Suara daripada perut
Oleh RAJA NORAIN HIDAYAH RAJA ABDUL AZIZ
rnorain@hmetro.com.my
VENTRILOQUIST..kembar seiras ini memiliki minat sama.
BERCAKAP melalui perut tanpa sedikit pun menggerakkan bibir mungkin kedengaran pelik dan mustahil dilakukan. Namun bagi pengamal seni ventriloguist, ia dianggap satu keistimewaan kerana tidak semua mampu melakukannya.
Pasangan kembar seiras, Mohd Syazwan Nizam Matusin dan Mohd Syazrul Nizam Matusin, 22, kembali menghidupkan seni ventriloquist di negara ini yang semakin ‘tenggelam’, walaupun satu ketika dulu ia pernah popular menerusi watak Jalut yang dimainkan oleh pelawak, Mahadi.
URUS..Jeff Omar (dua dari kiri) dan Kay Maria (kanan) bertanggungjawab membawa Wan dan Rul ke Kuala Lumpur.
DUMMY..keletah Buntak (kiri) dan Awang menarik perhatian penonton.
Menggunakan patung atau ‘dummy’ yang diberi nama Buntak dan Awang, dua beradik itu mengecapi populariti di negeri asal, Sabah.
Mohd Syazwan yang lebih mesra disapa dengan nama Wan adalah identiti sebenar kepada dummy bernama Buntak, manakala Mohd Syazrul atau Rul lebih serasi bersama Awang.
Apabila melihat persembahan mereka, dapat dirasakan Buntak dan Awang seakan-akan hidup sehingga membuat penonton terpana dan tertanya-tanya adakah patung itu bernyawa.
Lebih menarik, mereka bukan hanya membuat persembahan lawak jenaka, malah boleh menyanyi dengan melontarkan suara lantang tanpa perlu membuka mulut mahupun menggerakkan bibir sekalipun.
Wan berkata, Buntak adalah patung pertama dimilikinya apabila dibeli oleh ayahnya, Matusin Awang Damit, 57.
Katanya, dia mula meminati seni itu apabila menonton sebuah rancangan televisyen ventriloquism dari Jepun menerusi televisyen ketika berusia 15 tahun.
“Sama seperti orang lain, saya pada mulanya hairan melihat patung itu bercakap, sedangkan mulut ‘pemegangnya’ langsung tidak bergerak.
“Namun selepas melihat secara teliti persembahan mereka, baru saya tahu dari mana suara itu dikeluarkan,” katanya.
Bertitik tolak dari situ, anak muda ini menanam azam untuk mendalami seni itu dan mula melakukan latihan secara sendirian berpandukan maklumat dan video yang ditontonnya melalui Internet.
Pada mulanya, dia menggunakan patung yang dibuat sendiri dan berlatih di depan cermin hampir setiap hari bagi memahirkan diri.
Melihat kesungguhan dan minat mendalam untuk menjadi ventriloquist, ayahnya mengimport Buntak untuknya dan sejak itu dia terus aktif mengadakan persembahan di sekitar Sabah.
Penghijrahan dua beradik kembar ini ke Kuala Lumpur diuruskan oleh pelakon dan juga penerbit drama, Jeff Omar yang tertarik dengan bakat dimiliki mereka.
Walaupun pada mulanya timbul rasa ragu-ragu dan bimbang untuk berhijrah, apatah lagi perlu berjauhan dengan keluarga, semua itu ditolak ke tepi demi mengembangkan bakat dimiliki.
Wan berkata, sehingga kini mereka memiliki enam patung pelbagai ‘jantina’ dan mempunyai karakter dan suara berbeza.
Bercerita mengenai Buntak, Wan berkata, Buntak diberi karakter sebagai seorang yang banyak cakap, nakal dan sering mencuit hati dengan telatahnya yang lucu.
Katanya, setiap patung perlu diberi karakter tertentu bagi menjadikan ia benar-benar hidup dan berbeza dengan karakter mereka.
“Karakter yang diberikan itulah sebenarnya membantu menghidupkan sesuatu persembahan selain pengisian dan jalan ceritanya.
“Menjadi cabaran pada kami berdua untuk mempelbagaikan karakter dan suara supaya ia tampak berbeza antara satu sama lain,” katanya.
Berbeza dengan Wan, Rul pada mulanya hanya menjadi ‘back-up’ kepada abangnya ketika melakukan persembahan kerana dia lebih terarah kepada bidang nyanyian.
Ketika itu dia masih belum bersedia menjadi ventriloquist, sebaliknya lebih selesa menjadi penghibur yang meniru suara Tan Sri P Ramlee di Sabah.
“Minat saya dalam bidang ini timbul agak lambat berbanding abang saya, namun semua itu tidak dijadikan alasan untuk saya terus memantapkan diri dengan ilmu ventriloquism.
“Kami sering bertukar-tukar pendapat dan idea sebelum melakukan sesuatu persembahan supaya persembahan kami menarik perhatian penonton,” katanya.
Oleh kerana seni ini memerlukan mereka bercakap dari dalam perut dan bibir tidak boleh digerakkan, menjadi satu cabaran untuk menyebut sesetengah
perkataan.
Perkataan yang mengandungi huruf seperti B, M, P dan W sukar disebut tanpa menggerakkan bibir dan ia mengambil masa lama untuk belajar menyebut huruf itu.
“Walaupun pada mulanya sukar membiasakan diri, lama-kelamaan kami berjaya menyebut perkataan itu.
“Dua elemen penting yang ditekankan adalah kesungguhan dan kesabaran kerana ia saling bergantung antara satu sama lain dalam memastikan setiap persembahan kami sampai kepada audiens,” katanya.
Awang yang memiliki rambut berwarna kuning lebih bersifat senyap berbanding Buntak tetapi diserapkan dengan sedikit karakter gatal dan selamba.
Rul berkata, dia mengambil masa tiga hari dan tiga malam untuk memikirkan karakter sesuai untuk Awang dan selepas itu pula perlu menjiwai karakter berkenaan.
“Karakter dipilih mestilah berlainan dengan karakter saya supaya penonton boleh melihat perbezaan itu, sekali gus menjadikan persembahan lebih berkesan.
“Elemen komedi perlu disuntik untuk mengelak penonton berasa bosan, namun komedi dipersembahkan perlu ‘masuk’ dengan penonton bagi mengelak ‘persembahan syok sendiri’,” katanya.
Lazimnya, mereka akan duduk berbincang sebelum melakukan persembahan bagi bertukar-tukar idea supaya persembahan mereka selari dan berkesan.
Kebiasaannya mereka menjadi apa saja elemen yang berada di sekeliling mereka untuk dijadikan bahan komedi kerana ia lebih dekat dengan penonton.
Sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur, kembar seiras ini sering mengadakan persembahan silap mata, nyanyian dan ventriloquist di sekitar Labuan dan mempunyai pengikutnya yang tersendiri.
Tambah menarik, kedua-dua beradik ini sering menduduki tempat antara tiga teratas dalam Pertandingan Bintang P Ramlee di Sabah.
Ventriloquism berasal daripada perkataan Latin yang mana venter yang bererti perut dan loqui bermaksud bercakap.
Seni ini mula dipopularkan oleh Harry Lester (1878 - 1956), yang dilahirkan di Poland dan dikenali di atas pentas sebagai The Great Lester.
Sementara itu, Jeff Omar yang bertindak selaku pengurus dan dibantu oleh dramatis tanah air, Kay Maria berkata, Wan dan Rul mempunyai potensi yang besar untuk pergi jauh dalam bidang seni kerana mereka memiliki kelainan berbanding bakat baru yang sedia ada.
Katanya, di kala dunia seni dibanjiri bakat baru yang kebanyakannya memilih dunia nyanyian dan lakonan, mereka tampil berbeza.
“Tidak keterlaluan jika saya katakan mereka mempunyai bakat yang lengkap iaitu mampu menyanyi, menjadi pelawak dan berlakon.
“Bakat seperti inilah yang patut diketengahkan kerana jika dilihat daripada maklum balas yang diterima, kebanyakannya melahirkan rasa kagum pada bakat yang dimiliki mereka,” katanya.
Menurutnya, Wan dan Rul sering memberikan komitmen yang tinggi terhadap apa jua yang dilakukannya tanpa pernah putus asa.
Tambahnya, dia mempunyai perancangan untuk mengetengahkan bakat mereka dengan menerbitkan sebuah rancangan televisyen khas untuk mereka di samping memberi peluang untuk berlakon dalam mana-mana drama.
“Wan dan Buntak pernah berlakon dalam drama Selamat Hari Raya Bapak pada Aidilfitri tahun lalu dan ia adalah platform yang tepat untuk membuatkannya dikenali.
“Saya mempunyai harapan yang cukup besar iaitu ingin membawa mereka ke peringkat antarabangsa dan sekaligus melakar nama antara vertaloquist tersohor dunia,” katanya.
INFO
Ventriloquist adalah seni bercakap melalui perut tanpa menggerakkan bibir Mohd Syazwan
Nizam Matusin (Wan) mengendalikan patungnya yang diberi nama Buntak manakala Mohd Syazrul Nizam Matusin (Rul) bersama Awang
Buntak mempunyai karakter nakal, lucu dan banyak cakap. Awang pula bersifat pendiam dan gatal
Mempunyai bakat meniru suara artis, terutama seniman Tan Sri P Ramlee
Boleh dihubungi menerusi lama sosial facebook: www.facebook.com/wan rul magic puppet
PROFIL
NAMA: Mohd Syazrul Nizam Matusin
UMUR: 22 tahun
LAHIR: 7 April 1989
ASAL: Beaufort, Sabah
KELUARGA: Kedua daripada lima beradik
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia
IDOLA: Tan Sri P Ramlee, Terry Fator dan Cyril Takayama
PROFIL
NAMA: Mohd Syazwan Nizam Matusin
UMUR: 22 tahun
LAHIR: 7 April 1989
ASAL: Beaufort, Sabah
KELUARGA: Sulung daripada lima beradik
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia
IDOLA: Tan Sri P Ramlee dan Terry Fator
Sunday, February 06, 2011
0 Ventriloquist kembar dari Beaufort Sabah (Terry Pator adalah idola mereka)
Wednesday, February 02, 2011
0 David Teoh beri angpow 10% daripada pendapatan bisnes filemnya - SURVIVAL PENERBIT CINA DI BAWAH TENAGA PRODUKSI MELAYU
David Teo beri bonus RM4.5 juta
Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my
HAMPIR semua individu yang terlibat dalam produk terbitan MIG diberi habuan setimpal tenaga yang dicurahkan mereka.
SAMA seperti tahun-tahun sebelumnya, Metrowealth International Group (MIG ) sekali lagi meneruskan tradisi pemberian bonus kepada pelakon dan kakitangan MIG yang menjayakan filem-filem terbitan MIG
Tahun ini pada acar Malam Penghargaan dan Penyampaian Bonus, 1 Dekad, 49 Filem MIG yang diadakan di Hotel One World, Damansara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIG, David Teo telah berhabis sebanyak RM4.5 juta untuk pemberian bonus kepada 200 orang.
Katanya, tahun 2010 merupakan tahun paling gemilang MIG sejak penubuhannya pada tahun 2000 apabila 29 filem yang ditayangkan 11 daripadanya merupakan filem terbitan MIG dan berjaya mengutip RM42 juta.
Justeru, pihaknya mengagih-agihkan bonus berbentuk wang ringgit, rumah, kereta dan beberapa hadiah lain kepada pelakon, pengarah, kru produksi, kakitangan syarikatnya dan pihak media sebagai tanda penghargaan serta setiap rezeki harus dikongsi bersama.
"Setiap rezeki yang saya dapat, saya harus kongsi bersama mereka yang menjayakannya, lebih banyak yang saya kongsi, maka, lebih banyak rezeki yang akan saya perolehi pada masa depan.
"Lagipun bonus ini merupakan satu motivasi kepada mereka untuk memberikan khidmat dan karya yang lebih cemerlang. Sebagai sebuah syarikat, kejayaan tidak akan diperolehi tanpa kerjasama dan sokongan daripada ramai pihak terutama kakitangan dan pekerja produksi," tuturnya.
Mendahului penerima bonus terbanyak malam itu, aktor Shaheizy Sam yang membawa banyak keuntungan kepada MIG apabila dua filem lakonannya Adnan Sempit dan Ngangkung mencatat sejarah sebagai filem paling laris.
Adnan Sempit berjaya mengutip RM7.8 juta, manakala Ngangkung pula berjaya dicatatkan di dalam Malaysia Book of Records 2011 sebagai filem dengan kutipan pecah panggung paling tinggi iaitu RM8.4 juta.
Setimpal dengan kejayaannya itu, Sam telah diberikan sebuah rumah Semi-D dua tingkat di Saujana Putra, Puchong dan pakej mengerjakan umrah untuk tiga orang sebanyak RM30,000.
Sam yang terkejut dengan pemberian bonus itu mengucapkan kesyukurannya atas limpahan rezeki yang diberikan dan segala kejayaannya itu akan dikongsi bersama keluarga terutama bersama kedua ibu bapanya.
"Saya memang sudah lama bercadang mahu mengerjakan umrah bersama ibu dan bapa saya, pakej umrah yang saya terima ini satu yang amat bermakna. Jika tidak ada aral melintang, lagi cepat lagi bagus tetapi saya belum tahu mahu pergi bila," ujarnya sambil tersenyum.
Tambah Sam, rumah yang diterimanya itu merupakan rumah pertama yang dimiliki dan akan siap pada penghujung tahun ini.
"Saya tidak sangka akan diberikan rumah, semua hadiah ini memang tidak dijangka. Terima kasih kepada peminat yang menonton filem lakonan saya, kerana tanpa mereka saya tidak akan menerima semua ini," katanya yang akan muncul dalam filem Kongsi, Sekali Lagi dan 8 Jam tahun ini.
Pengarah muda yang kini sedang sibuk di set penggambaran filem ketiganya yang berjudul Petiga, Farid Kamil pula menerima wang tunai sebanyak RM30,000.
"Saya bersyukur dengan bonus yang diberi kerana secara tidak langsung ia membuatkan saya rasa dihargai oleh MIG, saya rasa bukan saya seorang yang rasa seperti ini, tetapi semua orang yang terima bonus," ucapnya.
Selain kakitangan MIG yang masing-masing mendapat rumah Semi-D setingkat, pengarah filem Ngangkung, Ismail Bob Hasim pula menerima sebuah kereta mewah Toyota Alphard 3.5, pelakon Lisa Surihani dan Intan Ladyana masing-masing menerima RM15,000, manakala, Nora Danish, Angah Raja Lawak, Putri Mardiana, Azad Jazmin dan Yana Samsudin menerima RM10,000 setiap seorang.
Sebanyak 10 buah filem MIG yang menanti tayangannya tahun ini antaranya Kembar Siang, Keramat, Senario The Movie Ops Pocot, Sekali Lagi, 3,2,1 Cinta, 8 Jam, Flat 3A, Alamak Toyol dan yang masih dalam pembikinan Petiga.
MIG kini mempunyai 42 pelakon di bawah naungannya termasuk Shaheizy Sam, Lisa Surihani, Farid Kamil, Yana Samsudin, Intan Ladyana, Fizo Omar, Kamal Adli, Diana Amir, Pierre Andre, Angah Raja Lawak, Along Cham, Fezrul Khan, Azad Jazmin, Aeril Zafril, Putri Mardiana, Boy Iman, Zul Suphia'an dan ramai lagi.
Saturday, January 29, 2011
0 Hasil penyamaran Metroplus: Bongkar modus operandi sebuah sekolah agama menjual CD agama dan minyak kecerdasan minda
RM300 sehari kutip derma
Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my
ALOR GAJAH: Sekumpulan pelajar yang mendakwa dari sekolah agama di sebuah negeri di utara tanah air mendakwa mampu memperolehi pendapatan RM300 sehari setiap seorang dengan menjual cakera padat (CD) dan minyak untuk kecerdasan minda.
Pada masa sama, mereka turut menafikan dakwaan kegiatan berkenaan bukan meminta sedekah sebaliknya menjual barangan, sekali gus mengutip derma untuk mengisi tabung pelajaran sekolah agama terbabit.
Bagaimanapun, kegiatan terbabit dikatakan menimbulkan persepsi negatif di kalangan orang ramai berikutan dibimbangi pelajar berusia belasan tahun berkenaan dipergunakan individu tertentu demi mengaut keuntungan.
Metroplus yang melakukan penyamaran di dua lokasi berbeza, di sini, turut berpeluang untuk menemubual dua remaja perempuan bagi mengetahui modus operandi kegiatan mereka.
Gadis berusia 13 tahun yang enggan dikenali berkata, dia sudah membuat kerja berkenaan sejak tiga tahun lalu secara sukarela dan bukannya paksaan seperti didakwa, malah turut diberi tunjuk ajar cara-cara untuk melariskan jualan mereka.
Menurutnya, pada peringkat awal ibu bapanya agak keberatan untuk memberi kebenaran, namun kini mereka mulai faham selepas diterangkan tujuan sebenar dan merestui kerja amal kebajikan berkenaan biarpun terpaksa bersusah payah.
“Setiap seorang daripada kami mampu memperoleh jualan sehingga RM300 sehari dan mungkin lebih hasil daripada kutipan derma yang disumbangkan orang ramai dan setiap daerah di sesuatu negeri akan dibahagikan kepada sembilan sektor.
“Seorang remaja perempuan akan diletakkan di setiap sektor yang dipantau seorang warden untuk memerhatikan gerak geri mereka dari jauh menggunakan kenderaan agar aktiviti mereka berjalan dengan lancar.
“Kami menjual CD lagu dan beberapa jenis minyak ‘pintar’ untuk kecerdasan minda kanak-kanak serta dewasa pada harga RM20 setiap satu yang mana hasil jualan akan diserahkan kepada warden untuk dikumpulkan,” katanya.
Katanya, kebiasaannya aktiviti akan bermula dari jam 11 pagi hingga 10 malam yang mana sebelum itu mereka diberi taklimat dan dihantar ke lokasi ditetapkan.
Rakannya berusia 17 tahun ketika ditemui pula berkata, mereka melakukan kegiatan berkenaan secara sukarela tanpa dibayar upah oleh pihak sekolah, kecuali diberi duit makan antara RM10 hingga RM15 sehari.
Menurutnya, mereka datang sekadar untuk menjual barang bagi mengutip derma sebagai dana bagi mengembangkan syiar Islam berikutan peruntukan yang diterima masih tidak mencukupi untuk proses pembelajaran.
Selain itu, katanya, mereka juga sudah dilatih untuk menjawab sebarang pertanyaan orang ramai dengan tenang dan sabar apabila berdepan dengan cabaran yang mendatang.
“Kalau setakat maki hamun sudah menjadi perkara biasa, tetapi tak kurang juga ramai yang kasihan lalu membeli barang yang kami jual dan tak kurang juga yang beri duit saja. Paling penting, mereka (orang ramai) ikhlas nak derma. “Kebiasaannya kami akan berpindah dari satu tempat ke tempat lain untuk menimba pengalaman baru di sana kelak,” katanya.
Artikel berkaitan:
Pusat transit pelajar tahfiz jual barang diarah tutup
PORT DICKSON: Sebuah premis di D’Ambang Kota, Lukut, di sini, dipercayai pusat transit pelajar sebuah tahfiz di Kedah yang melakukan jualan tanpa lesen di negeri ini dan Melaka, sudah diarah tutup oleh Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) sejak kelmarin.
Yang Dipertua MPPD, Abdul Wahab Shamsuddin berkata, pihaknya menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan premis dua tingkat itu tidak dibuka semula.
“Arahan sudah dikeluarkan, namun kita tidak dapat memastikan sama ada pihak terbabit masih beroperasi atau tidak kerana perkara itu bukan di bawah bidang kuasa MPPD.
Baru-baru ini, MPPD bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dan polis menyerbu premis berkenaan yang dipercayai menggunakan kanak-kanak untuk menjual pelbagai barangan.
0 Pulangkan gaji: Gaji tiga kali lebih tinggi untuk perlawanan yang tidak pernah dimenangi
Pemain pulang semula gaji RM36.6 juta
GIL MECHE membaling bola dalam satu perlawanan besbol di bandar Kansas pada 25 Mei tahun lalu.
WICHITA, Amerika Syarikat – Seorang pemain besbol pasukan Kansas City Royals, Gil Meche memulangkan semula gaji berjumlah AS$12 juta (RM36.6 juta) pada tahun lalu kerana menganggap dia tidak layak untuk menerimanya, lapor sebuah akhbar semalam.
Meche mengambil keputusan itu kerana menganggap prestasinya tidak memuncak kerana dia hanya bermain dalam sembilan perlawanan dan pasukannya tidak pernah menang satu pun daripadanya.
Bintang sukan itu menerima gaji tiga kali lebih banyak berbanding pemain lain di dalam pasukan yang sama.
“Saya bukan hendak menjadi hero. Saya cuma mahu kembali menjalani hidup yang selesa.
“Mengambil wang sebanyak itu (RM36.6 juta) daripada pasukan yang telah memberi saya lebih AS$40 juta (RM122 juta) untuk diri dan keluarga, bukanlah perkara yang betul untuk dilakukan,” tegas Meche.
Dia yang berusia 32 tahun menandatangani kontrak selama lima tahun bernilai AS$55 juta (RM168 juta) dengan pasukan Kansas City Royals bermula pada musim 2007.
Keputusannya itu mendapat pujian daripada para blogger dan pengulas sukan. – Agensi
Thursday, January 27, 2011
0 Astro First: Penduduk luar bandar yang berkeluarga vs Golongan bermastautin di bandar: VS CETAK ROMPAK
Sumber pendapatan tambahan
Oleh Muhamad Fairoz Azizan
2011/01/27
Astro First tidak jejas kunjungan ke pawagam, sesuai kaedah pemasaran terkini filem
SALURAN berbayar Astro First yang menimbulkan pelbagai reaksi dan tanggapan di kalangan pengikut serta penggiat industri filem dianggap medium terbaik untuk penerbit memasarkan filem mereka, selain di pawagam. Walaupun filem yang ditayangkan di saluran itu masih rancak diputarkan di panggung, kewujudan saluran berkenaan dilihat bertujuan memberi kesaksamaan kepada semua pihak termasuk penonton.
Bukan bererti menyekat pendapatan pembikin filem, sebaliknya ia menjadi medan buat penerbit filem meraih pendapatan alternatif, selain kutipan diperoleh menerusi tayangan di pawagam. Kini mereka mampu memasarkan filem ke seluruh negara termasuk ke kawasan pedalaman. Malah, saluran itu juga dianggap antara cara terbaik untuk penonton yang tidak berpeluang menonton di pawagam, untuk sama-sama menonton di rumah bersama keluarga. Apatah lagi kini peminat filem tempatan dapat menontonnya berulang kali, hanya di kediaman masing-masing. Penayangan segera di saluran itu juga dianggap antara langkah bagi menyekat kegiatan cetak rompak yang kian berleluasa di samping menyelamatkan filem tempatan yang kurang mendapat sambutan ketika di pawagam.
Bagi dua penerbit yang aktif menghasilkan pelbagai judul, Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan Norman Abdul Halim, langkah yang diambil pihak stesen televisyen berbayar ini harus dipandang positif oleh semua pihak bagi menaikkan lagi industri perfileman, malah penerbit filem turut berpuas hati dengan wujudnya saluran ini yang dianggap sumber pendapatan kedua bagi penggiat filem.
Dengan tidak perlu menunggu sehingga enam bulan untuk menonton filem tempatan yang ditayangkan di pawagam, penonton juga dapat meluangkan masa bersama keluarga, di samping mengelakkan kesesakan di bandar.
Bagi Idham, saluran itu dianggap medium penyelamat bagi penerbit filem untuk memasarkan filem mereka, selain menarik minat penonton di luar bandar.
“Sepatutnya dari dulu lagi saluran ini diwujudkan bagi membantu industri filem kita dan saya rasa ini adalah medium terbaik untuk penerbit filem meraih pendapatan tambahan, selain pungutan dilakukan di pawagam,” katanya.
Dianggap tidak menjejaskan industri perfileman tempatan, saluran itu padanya memberikan fokus kepada penonton yang berkeluarga dan di luar bandar, yang kini tidak perlu menunggu masa yang lama untuk menonton filem terbaru.
Jelas sekali wujud keadilan kepada penonton dengan hanya membayar RM15 untuk satu filem, mereka boleh menonton berulang kali dalam tempoh 48 jam, malah penerbit juga mendapat imbuhan daripada setiap filem yang dilanggan.
Kata Idham, konsep langgan dan tonton yang diwujudkan Astro ialah langkah berkesan bukan saja bagi menarik minat penonton, malah dapat menyalurkan filem terbaru ke seluruh negara dan dengan cara itu penerbit filem dapat meraih pendapatan sampingan.
“Target saluran ini adalah untuk penonton yang berkeluarga dan mereka yang berada di luar bandar, yang susah untuk ke panggung. Justeru ia tidak menjejaskan tayangan di panggung kerana sasarannya berbeza, iaitu golongan muda dan bermastautin di bandar,” jelas Idham yang juga seorang pengarah terkenal.
Kehadiran saluran ini juga dianggapnya bertepatan dengan waktunya, pada ketika industri itu kian tercalar disebabkan oleh kegiatan cetak rompak.
Jelasnya, setiap orang perlu menerima perubahan dalam industri perfileman daripada cara tradisional menonton filem di pawagam beralih ke kaca televisyen dan hakikatnya kini, setiap orang tidak boleh menidakkan format baru untuk menonton filem tempatan yang kian maju.
Menonton atas talian di internet
JIKA kini orang ramai boleh menonton filem baru di kaca televisyen, tidak mustahil satu hari nanti penonton atau peminat filem tempatan sudah boleh melakukannya secara atas talian di internet. Malah kaedah itu sudah dipraktikkan di negara luar.
Bak kata Norman, dalam industri muzik sendiri sudah ada perubahan di mana peminat boleh mendengar lagu terbaru di internet atau hanya memuat turun melalui telefon bimbit.
“Tidak mustahil kalau satu hari nanti industri filem tempatan turut terkena tempias pemodenan dan kecanggihan teknologi kini.
"Walaupun ada format baru sebegini, orang ramai masih tetap akan ke panggung untuk menonton kerana suasana ketika menonton di panggung cukup berbeza berbanding di rumah,” katanya.
Menurutnya lagi, walaupun industri muzik sudah beralih format, begitu juga teknologi untuk mendengar lagu terbaru, namun format CD masih mendapat permintaan ramai daripada peminat muzik. Begitu jugalah dengan industri filem.
“Jika dulu filem baru tempatan ditayangkan pada musim perayaan saja dan penerbit filem dibayar hanya sekali satu jumlah, tetapi kini dengan adanya saluran ini, penerbit filem dapat menikmati keuntungan daripada setiap langganan penonton.
“Sejak dulu lagi mentaliti penonton beranggapan setiap filem yang ditayangkan di pawagam akan tetap ditayangkan di televisyen, malah dikeluarkan dalam bentuk VCD dan DVD, tetapi penonton tetap juga ke panggung kerana sistem bunyi dan gambar yang lebih cantik dan jelas,” katanya.
Malah, dengan adanya saluran ini juga ia menjadi wadah baru dalam industri perfileman yang dikatakan kian berubah daripada panggung ke VCD dan DVD, kini terus ke kaca televisyen tanpa menunggu masa yang lama untuk menonton filem baru.
Ketika yang sama ia dianggap penggerak ke arah pemodenan filem tempatan yang mungkin mencetus revolusi baru dalam teknologi pemasaran filem dan tidak mustahil satu hari nanti penerbit filem akan menjadikan televisyen sebagai saluran kedua penting untuk meraih pendapatan.
Tuesday, January 25, 2011
0 Pameran (Gambar merakam emosi) dari Belanda tajaan syarikat Belanda
Sudut gambar merakam emosi
YEN YEN (kanan) diiringi Pengurus Projek Pameran Foto Akhbar Dunia, Janssen meneliti kisah di sebalik paparan gambar yang dipamerkan.
SEKEPING gambar boleh membawa seribu makna. Bagaimanapun, di Pameran Foto Akhbar Dunia yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), gambar-gambar menjelaskan lebih daripada itu.
Ia menceritakan segalanya melalui darah, tangisan dan kegembiraan yang dilihat menerusi lensa jurufoto profesional.
Banyak yang bakal meruntun emosi pelawat ke pameran itu sehingga 27 Januari ini. Antaranya adalah apabila melihat kerakusan umat manusia dalam peperangan ataupun kebuluran yang memaksa penduduk luar bandar di Zimbabwe memakan bangkai gajah.
Seorang peguam kanan S.Radhakrishnan berkata, imej manusia memakan gajah itu walaupun mengerikan tetapi inilah realiti di abad ke-21 seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen semasa melancarkan pameran itu baru-baru ini.
Bagi Pengurus Projek Pameran Foto Akhbar Dunia, Jurre Janssen, imej-imej itu mencerminkan realiti.
"Inilah dunia di sekeliling kita. Ada yang mungkin berkata gambar-gambar ini menunjukkan konflik di sekeliling dunia, kematian, pertumpahan darah tetapi ia lebih daripada itu. Saya juga berharap orang ramai akan menatap gambar-gambar lain yang menceriakan," katanya.
Memang benar selain paparan bersifat perit dan ngeri, terdapat juga rakaman potret dan alam semula jadi yang mengagumkan, seterusnya boleh membawa keceriaan pada mereka yang menatapnya.
Tetapi, gambar-gambar perit dan ngeri yang menyentuh sanubari itulah yang membawa pengajaran kepada kita.
Salah satunya adalah imej seorang kanak-kanak perempuan dikeluarkan daripada runtuhan di Gaza selepas serangan udara Israel pada 6 Januari tahun lepas. Itu satu daripada contoh perbuatan manusia yang mengancam manusia.
Pameran itu yang dibawa kembali ke Malaysia selepas lapan tahun itu, dianjurkan oleh Duta Belanda ke Malaysia, Paul Bekkers yang percaya seni dan budaya merupakan medium penting untuk mempertingkat lagi hubungan baik Belanda-Malaysia.
Terpesona dan gerun
BANYAK peristiwa global dapat dinilai melalui foto-foto yang dipamerkan.
Gerry Power, Pengarah Urusan Wilayah Malaysia dan Brunei bagi syarikat Belanda TNT Express yang menaja acara itu, menyifatkan gambar-gambar tersebut begitu mengagumkan.
"Ada antara imej ini sangat grafik. Saya begitu terpesona dan adakalanya gerun dengan imej tertentu tetapi inilah hakikat sebenar dunia," kata beliau.
Power berkata pameran itu adalah mengenai elemen manusia dan kehidupan harian.
Tetapi adakah warga Malaysia bersedia menatap imej tertentu yang dianggap sensitif?
Datuk Peter Brokenshire, Pengurus Besar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang menjadi tuan rumah pameran itu berkata, penganjur mengambil langkah berhati-hati dalam menempatkan gambar-gambar itu dan meletakkan notis untuk mengisyaratkan kandungan yang mungkin menyinggung pihak tertentu.
"Tetapi kita perlu lihat pameran ini dalam gambaran yang lebih menyeluruh.
"Ia adalah pameran antarabangsa. Mereka yang matang mahu melihat imej-imej yang mencabar. Malangnya, ia mencerminkan keadaan sebenar dunia hari ini," katanya, sambil menambah, orang ramai perlu lihat perkara yang berlaku di bahagian lain dunia.
Pembuka mata
Collin Tang, 31, bersetuju dengan kata-kata itu. Menurutnya, pameran itu pastinya membuka minda kita dan memberikan kita lebih banyak maklumat mengenai peristiwa yang berlaku di dunia. Ia ditambah pula dengan paparan budaya dan gaya hidup yang kita tidak dapat lihat di Malaysia.
Jurugambar, R.A. Ramesh, 44, berpendapat pameran itu sangat intelektual dan mengajar orang ramai akan apa yang berlaku di seluruh dunia selain daripada menampilkan ragam kehidupan orang ramai di seluruh dunia.
"Kita perlu membuka minda kita. Saya sendiri seorang jurugambar. Saya datang ke sini untuk belajar teknik fotografi, dan di sebaliknya saya mempelajari sesuatu yang lebih signifikan," katanya yang memberitahu bahawa pameran itu turut memberi beliau sedikit sebanyak pengajaran mengenai hak asasi manusia. - Bernama
Monday, January 24, 2011
0 Lee Kuan Yew dan suara hatinya di buku Hard Truths
Kuan Yew gesa penduduk Islam kurang patuh pada agama
SEJUMLAH naskhah buku Hard Truths to Keep Singapore Going yang merupakan memoir Lee Kuan Yew dipamerkan di sebuah kedai buku di Tanjong Pagar, Singapura kelmarin.
SINGAPURA - Pengasas Singapura, Lee Kuan Yew menggesa masyarakat Islam di negara itu supaya menjadi kurang tegas dalam hal pematuhan ajaran agama demi meningkatkan integrasi dan proses pembangunan negara bangsa.
Singapura didominasi oleh penduduk etnik Cina manakala kaum minoritinya dibentuk oleh kelompok Melayu beragama Islam dan orang India.
Kuan Yew sering menekankan mengenai pentingnya keharmonian kaum.
"Saya ingin menyatakan pada hari ini, kita boleh mengintegrasikan semua agama dan kaum kecuali Islam," kata Kuan Yew dalam bukunya yang bertajuk Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going.
Buku tersebut mengandungi pandangan-pandangan jujurnya mengenai Singapura dan masa depannya.
"Saya fikir kita bergerak maju dengan baik sehinggalah timbulnya Islam dan jika kamu tanya tentang pemantauan saya, komuniti-komuniti lain lebih mudah berintegrasi, kawan-kawan, perkahwinan berlainan bangsa dan sebagainya.
"Saya fikir masyarakat Islam secara sosialnya tidak menimbulkan sebarang masalah, tetapi mereka berbeza dan terpisah," kata Kuan Yew yang menggesa komuniti Islam untuk menjadi kurang tegas dalam mematuhi Islam.
Sewaktu pelancaran buku tersebut pada Jumaat lalu, beliau yang menyifatkan dirinya sebagai seorang yang pragmatik memberi amaran kepada rakyat Singapura tentang perasaan puas hati mereka.
Kuan Yew turut menyatakan republik yang majoritinya terdiri daripada etnik Cina itu masih dalam proses membangunkan sebuah negara bangsa.
Di dalam bukunya, beliau menyifatkan Singapura sebagai sebuah bangunan 80 tingkat yang dibina di atas tanah berpaya.
Kuan Yew menegaskan bahawa Singapura mesti berdepan dengan perasaan bermusuhan daripada jiran-jiran beragama Islam yang lebih ramai.
"Kita mempunyai jiran-jiran yang peramah? Sedarlah... Inilah yang melemahkan kita kerana kita merupakan orang yang gemar mencampuri urusan orang lain," katanya yang mendakwa usaha Malaysia dan Indonesia untuk menjejaskan perniagaan pelabuhan Singapura.
Singapura keluar dari Persekutuan Malaysia pada tahun 1965 ekoran perbezaan besar terhadap dasar Kuala Lumpur yang memberi keistimewaan kepada kaum Melayu. Sejak itu, Singapura telah mewujudkan pasukan tentera paling moden di Asia Tenggara untuk menangani ancaman negara asing.
Bercakap tentang politik tempatan, Kuan Yew menyatakan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah sejak tahun 1959 apabila Singapura memperoleh autonomi politik daripada pemerintah kolonial Britain akan kehilangan kuasanya pada satu hari nanti.
"Akan tiba satu masa apabila orang ramai berkata, mari cuba pihak yang satu lagi. Sama ada kerana kualiti PAP telah menurun atau pihak pembangkang sudah menghasilkan satu pasukan yang setanding dengan PAP. Hari itu akan tiba. Bagi tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, saya tidak fikir ia akan berlaku. Menjangkau tempoh itu, saya tidak tahu," katanya.
Kuan Yew menyatakan walaupun satu kaji selidik menunjukkan sebaliknya, beliau percaya rakyat Singapura masih belum bersedia menerima seorang perdana menteri yang bukan daripada etnik Cina.
"Satu undian menyatakan 90 peratus masyarakat Cina Singapura menyatakan mereka akan melantik seorang bukan Cina sebagai PM. Baiklah, ini adalah ideal. Anda percaya undian-undian ini? Betul-betul sampah. Mereka bercakap apa yang secara politiknya betul," tegasnya.
Kuan Yew juga mempertahankan dasar mempromosikan perkahwinan sesama rakyat Singapura yang berpendidikan tinggi.
Dasar itu dilihat oleh para pengkritik sebagai satu proses kejuruteraan sosial dan menafikan tanggapan mengenai cinta pandang pertama.
"Rakyat mendapat pendidikan. Golongan yang cerdik akan naik statusnya dan mengahwini pasangan yang sama-sama menerima pendidikan yang bagus. Hasilnya, anak mereka pasti lebih pandai berbanding anak-anak tukang kebun.
"Ini adalah hakikat kehidupan. Anda mempunyai seekor kuda betina yang bagus, anda tidak mahu membuat kacukkan antara ia dengan seekor kuda biasa. Anda akan mendapat anak kuda yang kurang bagus. Manusia yang tertarik kepada karakteristik fizikal akan menyesal mengenainya," katanya lagi.
Kuan Yew mendedahkan beliau telah mendermakan semua pendapatannya berjumlah AS$10 juta (RM30.6 juta) kepada kebajikan sejak mengundurkan diri sebagai perdana menteri pada tahun 1990 selepas 31 tahun berkuasa.
Menteri-menteri kabinet Singapura mendapat bayaran gaji tertinggi di dunia sebagai sebahagian daripada strategi mencegah rasuah dan menarik bakat dari sektor swasta.
Kuan Yew yang memegang jawatan khas, Mentor Perdana Menteri kini bertindak selaku penasihat kepada Perdana Menteri Singapura yang juga merupakan anak lelakinya, Lee Hsien Loong yang mula memerintah sejak tahun 2004.Di sebalik kata-katanya yang tegas, Kuan Yew menunjukkan ciri-ciri kelembutannya apabila ditanya tentang mendiang isterinya, Kwa Geok Choo yang meninggal dunia pada usia 89 tahun, Oktober lalu.
"Ia membawa makna lebih keseorangan," kata Kuan Yew dalam buku tersebut yang mengandungi siri temu ramah eksklusif dengan wartawan-wartawan akhbar Straits Times. - AFP
Artikel lanjutan:
Kuan Yew sangsi orang Melayu, negara jiran
Bersama Rejal Arbee
2011/01/27
APAKAH gerangannya dengan bekas Perdana Menteri Singapura sekarang Menteri Mentornya, Lee Kuan Yew ini? Tidak habis-habis menunjukkan sikap berseteru dan bermusuhan hingga berterusan menghina negara ini dan juga orang Melayu termasuk warganya sendiri?
Terakhir ialah pandangannya yang dibukukan dalam terbitan terakhir bertajuk Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going mengenai kedudukan rakyat beragama Islamnya serta perbelanjaan yang begitu tinggi untuk pertahanannya. Pandangannya terhadap dua topik ini menunjukkan betapa dia dihantui kesangsiannya terhadap orang Melayu/Islam dan jirannya Malaysia dan Indonesia kerana berada di tengah-tengah Alam Melayu. Kesangsiannya itu sudah lama dirasai tetapi kini dia sendiri terang-terangan mengakuinya. Maka itu tidak menghairankan bagaimana Melayu di Singapura menghadapi pelbagai tekanan walau pun ada antara mereka itu yang pertikaikan pandangan ini seperti wujud cemuhan sesetengah daripada mereka yang menulis kepada Berita Harian Singapura mengecam Tun Dr Mahathir Mohamad yang baru-baru ini menimbulkan lagi pandangannya bagaimana Melayu Singapura berterusan dipinggirkan.
Peminggiran Melayu di republik itu berlaku sejak awal lagi bermula apabila republik itu dinyahkan dari Malaysia oleh Tunku Abdul Rahman pada 1965 kerana kempen Kuan Yew dan parti PAPnya pada Pilihan Raya Umum 1964 yang memainkan isu perkauman dengan begitu ketara, tetapi masih gagal mendapat sokongan bukan Melayu. Kempen perkauman itu berlarutan walaupun selepas pilihan raya itu.
Kedua-dua hal ini menjadi dendam kesumat dalam sanubarinya hingga mempengaruhi dasar yang dilaksanakannya di republik itu.
Peminggiran Melayu didedahkan dengan panjang lebar oleh Dr Lily Zubaidah, anak bekas Menteri Republik itu Abdul Rahim Ishak serta anak saudara Presiden Pertamanya, Yusof Ishak dalam bukunya The Singapore Dilemma: Political and Educational Marginality of the Malays yang diterbitkan pada 1998.
Dr Lily yang lama menetap di Australia bertugas sebagai pensyarah kanan di University of Sydney menerbitkan buku keduanya berjudul Singapore in the Malay World Jun lalu.
Kedua-dua buku itu mengenai kedua-dua isu yang banyak menghantui pemikiran Kuan Yew hingga ada yang berkata dia sudah hilang pertimbangan waras terhadap kedua-dua isu itu. Dia mendapatkan penasihat Yahudi Israel sejak 1965 yang banyak membantu Singapura dalam hal keselamatan dan pertahanan.
Kuan Yew menggunakan kepakaran Israel dalam keselamatan dan pertahanan kerana wujudnya persamaan kedudukan republik itu di kelilingi Alam Melayu seperti Israel di tengah-tengah Alam Arab. Singapura dan Israel juga mempunyai persamaan rakyat minoriti mereka iaitu orang Arab bagi Israel dan minoriti Melayu di republik itu yang mereka curigai.
Bagi Israel cara menangani kedudukan itu ialah dengan melakukan pelbagai usaha sulit mengadu domba antara negara Arab supaya tidak bersatu seperti juga diusahakan republik itu yang tidak senang melihat wujudnya hubungan akrab antara Malaysia dan Indonesia.
Demikian juga bagaimana wujudnya persamaan terhadap perlakuan Israel yang berterusan mencurigai rakyat minoriti Arabnya yang sentiasa dipantau dan diperhatikan secara sulit oleh badan perisikannya seperti Mossad. Singapura juga dituduh melakukan perkara sama terhadap rakyat berketurunan Melayu dan baru-baru ini menambahkan pengambilan polis cawangan khasnya dikatakan untuk melakukan pemantauan itu dengan lebih menyeluruh.
Jadi, kenyataan terakhir Kuan Yew ini yang mencurigai Melayu yang berpegang kuat ke atas agama Islam hingga menuduh sikap itu menjadi batu penghalang terhadap usaha mengintegrasikan pelbagai kaum di republik itu tidak menghairankan. Maka dia menyarankan rakyat Islamnya, iaitu Melayu melonggarkan pegangan agama mereka untuk berintegrasi, bahkan berkahwin dengan bangsa lain mungkin tanpa pasangan mereka menukar agama untuk memeluk Islam?
Kerajaan PAP Singapura sudah melakukan pelbagai usaha yang sememangnya mendiskriminasi rakyat Islam/Melayunya. Misalnya untuk mengaburi mata ramai bahawa jumlah penduduk Melayu tidak seberapa, orang Melayu dibeza-bezakan dengan mereka berketurunan Jawa atau Bawean (Boyan) yang tidak diterima sebagai Melayu dalam kad pengenalan mereka.
Demikian juga keturunan rakyatnya dari India atau Pakistan berkahwin dengan wanita Melayu tidak diiktiraf sebagai Melayu walaupun sudah beberapa generasi dan mereka sudah pun diserap dan mengamalkan cara hidup Melayu dan bertutur bahasa Melayu di rumah.
Demikian juga orang Melayu dikecualikan daripada menyertai Khidmat Negara (National Service) kerana mencurigai kesetiaan Melayu. Ini memberi kesan buruk kepada anak muda Melayu apabila memohon pekerjaan kerana majikan tidak akan mahu mengambil mereka bekerja selagi tidak mempunyai sijil mengatakan mereka sudah menjalani latihan National Service.
Seperti ditohmahkannya, Kuan Yew amat tidak menyenangi orang Melayu yang banyak menghabiskan masa di masjid menunaikan solat wajib. Di Singapura masjid yang ada bukannya didirikan dengan biaya atau bantuan pemerintah. Semuanya dibiayai derma penduduk setempat, misalnya di kawasan perumahan flet HDB.
Mengikut dasar kerajaan PAP yang diwujudkan oleh Kuan Yew semua flet itu harus mempunyai sehingga 20 peratus penghuni Melayu dan mereka inilah yang mengutip/mengumpul derma mendirikan masjid.
Ini yang tidak disenangi Kuan Yew yang sebolehnya mahu rakyat berketurunan Melayu menyertai balai rakyatnya yang ditubuhkan di setiap kawasan rumah pangsa HDB seperti juga rakyat keturunan Cina dan India. Balai rakyat itu dikendalikan Jawatankuasa Perundingan Rakyat, iaitu pertubuhan akar umbi PAP.
Dalam pertahanan pula seperti ruangan ini sudah beberapa kali sebut beberapa tahun lalu republik itu juga mengikuti jejak Israel berbelanja besar mengadakan pelbagai peralatan canggih khusus untuk tentera udaranya termasuk beberapa skuadron pesawat tempur tentera udaranya yang dilengkapi peluru berpandu terkini yang diperoleh dari Amerika Syarikat.
Ruangan ini sebelum ini mempersoalkan kenapa Singapura perlu berbelanja begitu besar mengadakan peralatan tempur yang begitu canggih termasuk peluru berpandu yang terkini. Peralatan itu bukan hanya untuk pertahanan tetapi ialah untuk bertempur. Siapa yang hendak ditempurinya?
Itulah sebabnya beberapa skuadron pesawat tempurnya tidak disimpan di pulau sebesar sekangkang kera itu, tetapi ditempatkan di Australia dan Taiwan, kononnya kalau ia diserang pesawat tempurnya boleh bertindak balas segera.
Terakhir ia membiayai sebahagian kos membangun dan mengadakan suatu sistem perisai udara menggunakan teknologi satelit yang diusahakan Israel diberi nama ‘Dome’ untuk pertahankan pulau itu daripada serangan peluru berpandu.
Republik itu berbelanja sehingga hampir 2.5 peratus daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasarnya (KDNK) bagi pertahanannya hingga mencecah lebih RM30 bilion setahun untuk beberapa tahun kebelakangan ini.
Ini adalah kerana ia bersikap dikepung hingga takutkan bayang-bayang sendiri. Maka itulah ia membangunkan pulau itu seperti sebuah kubu dan mecurigai jirannya khususnya Malaysia.
Penulis ialah Felo Kanan UKM






