.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Wednesday, July 06, 2011

0 Hati-hati dengan lelaki yang mulut manis kerana dia pandai pujuk rayu

Jangan bodoh kerana cinta

‘‘SAYA masih tertanya-tanya mengapa wanita apabila dilanda gelora cinta mereka jadi bodoh, tak boleh berfikir, tak makan nasihat, jadi buta, pekak, bisu dan cuma percaya kekasihnya saja. Itulah yang terjadi pada saya dahulu, sehingga hampir memusnahkan hidup saya.’’ Demikian cerita FaraNajwa dalam emelnya.

‘‘Walaupun peristiwa itu berlaku 10 tahun lalu, tetapi bila melihat gelagat wanita kini yang tak boleh berfikir kerana cinta membuat saya teringat peristiwa pahit yang pernah saya lalui. Walaupun saya lulusan universiti tetapi ketika bercinta saya jadi bodoh.

‘‘Saya kenal Joe ketika sama belajar, dia menyayangi saya sepenuh hati, sanggup buat apa sahaja untuk saya. Dia tak benarkan saya keluar sendirian apa lagi naik bas. Saya ditatang macam putri. Dan saya menikmati saat-saat bercinta paling menyeronokkan.

‘‘Ketika bercinta kami berkongsi segalanya, masalah, duit makanan dan nota pelajaran. Tetapi satu masalahnya dia panas baran dan tak mahu mengalah. Ada masanya dia mengongkong saya hingga membuat hubungan kami jadi panas.

‘‘Dipendekkan cerita hubungan kami bertahan enam tahun, walaupun sering bergaduh kerana saya tahu dia playboy dan baran. Ramai kawan tahu dia ada ramai teman wanita, tetapi nasihat mereka saya anggap tomahan dan fitnah.

‘‘Akhirnya hubungan kami sampai ke tahap ‘terlarang,’ namun Joe berjanji akan bertanggung jawab dan berkahwin setelah tamat pengajian. Saya menangis dan kesal kerana terlanjur, kerana saya terdidik soal agama, namun kerana terlalu sayangkan Joe saya ikut sahaja kemahuannya. Memang saya bodoh.

‘‘Joe kenal keluarga saya, ibu ayah saya melayan Joe seperti anak sendiri. Lebih-lebih lagi Joe pandai ambil hati orang tua dan menghormati mereka. Dan keluarga saya menunggu saat dan ketika untuk kami segera kahwin.

‘‘Setelah enam tahun bercinta kami pun bertunang. Tetapi perubahan sikap Joe jelas apabila kami berkhidmat di negeri berjauhan. Dia jadi semakin sukar dihubungai. Saya dapat tahu dia bercinta dengan teman sepejabat. Beberapa kali kawan kami terserempak mereka pergi menonton dan makan malam, mereka cuba nasihatkannya. Tapi Joe tak peduli.

‘‘Setiap kali dengar berita, saya hubungi Joe sudah pasti dia menafikan, akhirnya dia tuduh saya suka dengar fitnah. Joe lebih berang bila saya hubungi teman wanitanya untuk kepastian. Saya terpaksa, kerana tarikh perkahwinan tinggal tiga bulan lagi.

‘‘Untuk menyejukkan kemarahan saya, Joe minta saya butikan kasih sayang saya padanya, dan sudah pasti ketika itu saya terpaksa membenarkan tubuh saya diratah. Saya tak berani membantah permintaan Joe kerana banyak sebab. Pertama saya terlalu sayangkannya, kedua tarikh perkahwinan semakin hampir, ketiga saya takut ditinggalkan, keempat malu jika kahwin tak jadi, kelima saya takut siapalah mahukan saya jika tak jadi kahwin, kerana saya bukan gadis lagi. Saya ikut kehendaknya disebabkan lima perkara tadi.

‘‘Malangnya Joe masih teruskan sikapnya. Saya jatuh sakit. Bila diberitahu, Joe kesal dengan perbuatannya, dia berjanji akan setia. Tetapi janji tinggal janji. Sekali lagi kami bergaduh. Kata Joe, ‘‘Apa awak nak jadi jika saya tinggalkan awak?

‘‘Tamparan kata-katanya membuka mata saya mengenali siapa Joe sebenarnya. Kata Joe pertunangan hanya adat. Dia masih berhak mencari calon isteri lebih sesuai. Lagipun dia tidak selesa dengan sifat saya yang teratur, kemas dan bersopan kerana dia mahukan wanita yang ‘sempoi’ dan ‘rock’. Dia juga tidak selesa dengan ketertiban keluarga saya kerana keluarganya biasa bercakap ‘kau dan aku’. Rumah kami yang kecil juga membuatkan dia tidak betah tinggal.

‘‘Seribu satu alasan Joe berikan menghina saya dan keluarga. Paling mendukacitakan dia merasakan perbuatannya meratah dan meniduri saya adalah perbuatan normal bagi pasangan bercinta, dan dia tidak mahu berkahwin atas dasar tanggungjawab saja kerana dalam jiwanya langsung tidak wujud perasaan cinta terhadap saya.

‘‘Kerana terlalu marah, mungkin sakit hati dan amat sedih, saya terpaksa menerima keputusan Jo yang mahu pertunangan kami diputuskan.

‘‘Sebulan selepas putus tunang, dengan izin Allah dan takdirNya juga seorang kenalan lama menyatakan hasratnya mengambil saya jadi isterinya. Saya yang masih dihantui sejarah hitam berterus-terang kepadanya keadaan diri saya yang tidak suci lagi. Saya sendiri tak tahu bagaimana saya berani memberitahu sejarah hitam saya yang tersimpan rapi selama ini. Alhamdulillah, dia terima saya seadanya katanya saya baik cuma tersilap langkah.

‘‘Dia terpikat dengan personaliti dan perilaku saya. Dia terus berjumpa keluarga melamar saya. Ibu dan ayah terkejut besar, dan menerimanya sebagai ketentuanNya.

‘‘Saya terima lamarannya bukan mahu jadikan beliau kambing hitam. Tetapi saya mahu buktikan saya mampu bangkit semula, dan musibah ini tidak memusnahkan hidup saya dan tidak mahu meratapi nasib sepanjang hayat.

‘‘Kami berkahwin beberapa bulan kemudian. Dan saya gunakan semua barangan yang telah saya siapkan sebelum ini. Saya belajar mencintainya selepas berkahwin. Alhamdulillah, Allah telah membuka hati dan perasaan saya untuk menerima cintanya.

‘‘Kini saya anggap sayalah manusia paling bertuah dan bahagia di dunia ini kerana diberi peluang kedua untuk merasa nikmat kasih sayang yang sebenar. Suami membimbing saya jadi isteri sempurna dan tidak putus-putus mengatakan betapa bertuahnya dia mendapat isteri seperti saya. Beliau tidak pernah mengungkit kisah silam saya.

‘‘Selepas berkahwin, Joe menghantar SMS menyatakan kekesalannya dan hasratnya untuk kembali kepada saya. Tetapi dia terkejut saya mendapat pengganti begitu cepat. Dan dia kesal dengan apa yang terjadi. Pada saya itu hanya omong kosong.

Saya bersyukur dan berusaha jadi isteri terbaik untuk suami tercinta sambil menunggu kelahiran anak kedua kami.’’ Demikian nasihat FaraNajwa.

0 Punca pendapatan terbesar bagi akhbar ialah melalui jualan iklan

Akhbar tarik iklan RM1.7b


2011/07/06
AKHBAR kekal sebagai peneraju dalam perbelanjaan pengiklanan (ADEX) dengan menarik perbelanjaan iklan sebanyak RM1.7 bilion dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, kata Persatuan Penerbit Akhbar Malaysia (MNPA).

Ini adalah pertumbuhan 14.3 peratus daripada RM1.5 bilion dalam tempoh sama tahun lalu. MNPA dalam kenyataannya berkata, ADEX berkembang 16.2 peratus kepada RM4.09 bilion dalam tempoh lima bulan sehingga Mei tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu, dan momentumnya dijangka berterusan. Pengerusi MNPA, Datuk Mohd Nasir Ali berkata kos pengeluaran akhbar tahun ini dijangka terus meningkat berikutan kadar pengangkutan, tarif elektrik dan kos buruh yang tinggi.

“Duti antilambakan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dalam jajaran 5.59 peratus hingga 43.24 peratus bagi import kertas akhbar dari Kanada, Indonesia, Korea, Filipina dan Amerika Syarikat, juga memburukkan lagi keadaan,” katanya.

MNPA adalah persatuan yang ditadbir oleh penerbit di Malaysia.

0 Penduduk miskin mempunyai banyak masa terluang: Merokok adalah cara untuk bergembira dan melupakan tekanan hidup

Rokok 'makanan' rakyat miskin


2011/07/06
JAKARTA: Ketika kerajaan Indonesia bertungkus-lumus menangani masalah kemiskinan dan kesihatan yang semakin meruncing di negara itu, satu kajian terbaru mendapati perbelanjaan membeli rokok adalah yang kedua tertinggi di kalangan penduduk negara itu selepas beras.

Ketua Agensi Statistik Pusat (BPS), Rusman Heriawan, berkata kajian dijalankan pihaknya mendapati, penduduk miskin bandar menghabiskan 25.44 peratus pendapatan mereka membeli beras manakala penduduk miskin luar bandar membelanjakan 32.81 peratus. Manakala penduduk bandar menghabiskan 7.7 peratus wang membeli rokok, warga luar bandar pula membelanjakan 6.3 peratus. “Penemuan kajian ini mengecewakan. Perbelanjaan membeli rokok dan tembakau kedua tertinggi. Rokok bukan makanan berkhasiat,” kata Rusman. Beliau berkata, lebih menyedihkan sebilangan keluarga lebih mengutamakan membeli tembakau berbanding menghantar anak ke sekolah.

“Ia satu-satunya cara mereka bergembira dan melupakan tekanan hidup. Penduduk miskin mempunyai banyak masa terluang, mereka bersembang untuk menghabiskan masa dan merokok sebahagian daripada tabiat diamalkan,” kata dekan jabatan Sosial dan Sains Politik Universiti Indonesia, Bambang Shergy Laksmono.

Beliau berkata, perbuatan itu juga cara melarikan diri daripada kenyataan namun menjadikan mereka bertambah miskin.

Pakar sosiologi dari Institut Sains Indonesia, Henny Warsilah menyalahkan kerajaan berikutan fenomena yang berlaku.
“Penduduk diberi laluan menghisap rokok dengan lambakan iklan rokok yang disiarkan secara besar-besaran melalui media massa tetapi tiada iklan larangan merokok yang berkesan. Kanak-kanak mula merokok sejak di tadika, sesuatu yang tidak kita lihat di negara lain,” katanya. – Agensi

Friday, July 01, 2011

0 Justin Timberlake beli laman Myspace dengan harga AS35 juta

Justin Timberlake beli laman MySpace

LAMAN rangkaian sosial MySpace.




LOS ANGELES – Penyanyi pop, Justin Timberlake merupakan sebahagian daripada pemilik laman rangkaian sosial MySpace selepas dia bekerjasama dengan syarikat Specific Media untuk membeli laman itu pada harga AS$35 juta (RM105.65 juta) daripada syarikat News Corp milik bilionair Rupert Murdoch, lapor sebuah akhbar semalam.

Sebagai persediaan untuk menerajui MySpace, Timberlake membina sebuah ibu pejabat di sini selain mengambil enam orang pekerja.

“Semasa kami menemui Justin dan ketika kami berbincang mengenai strategi kami, satu persetujuan telah dicapai dengannya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Specific Media, Tim Vanderhook.

“Salah satu daripada keghairahannya ialah dia seronok membantu artis lain dan mencipta satu komuniti untuk orang ramai menyuarakan perasaan mereka,” jelasnya.

MySpace pernah digelar sebagai raja laman jaringan sosial tetapi kewujudannya ditenggelamkan oleh Facebook dan Twitter sekali gus membawa kepada kemerosotan pengguna.

Facebook kini dilaporkan bernilai AS$70 bilion (RM212.3 bilion) manakala ketua pegawai eksekutifnya, Mark Zuckerberg, 27, dilaporkan memiliki kekayaan berjumlah AS$18 bilion (RM54.5 bilion)

Timberlake juga berlakon dalam filem The Social Network yang mengisahkan kehidupan Zuckerberg di Universiti Harvard.

Dalam filem itu, Timberlake memegang watak sebagai presiden pertama Facebook, Sean Parker yang juga pengasas laman stor muzik dan penjual syarikat, Napster. – Agensi

0 Amerika Syarikat (AS) diambang kebankrapan, beban hutang melampau

Amaran IMF kepada AS
WASHINGTON 30 Jun - Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) bahawa tahap beban hutang negara itu kini dalam keadaan bahaya.

IMF turut menasihatkan AS supaya tidak melaksanakan penyelarasan fiskal terlalu ketat kerana ia boleh mengakibatkan pertumbuhan ekonomi negara itu semakin perlahan.

Dalam penilaian tahunan keadaan kewangan AS, IMF berkata, sekiranya AS tidak meningkatkan had hutang tertingginya, negara itu dikhuatiri tidak lagi mampu menampung komitmen perbelanjaan, sekali gus menimbulkan kesan huru-hara dalam pasaran global.

''Penyatuan polisi fiskal perlu diteruskan memandangkan dinamik hutang tidak stabil dan kehilangan kredibiliti fiskal yang akan menyebabkan keadaan semakin teruk,'' kata IMF.

Tambahnya, cabaran utama polisi adalah untuk melaksanakan penyatuan fiskal dan memastikan pemulihan yang semakin rapuh kembali kepada landasannya.

Di sebalik beban hutang yang cukup bahaya, AS perlu meningkatkan modal sebanyak AS$14.29 trilion melalui pinjaman bagi mengelak daripada tercetusnya satu kejutan teruk kepada ekonomi dan pasaran kewangan dunia, menurut IMF.

Perbendaharaan AS mengunjurkan negara itu terpaksa menangguhkan pembayaran semula hutang mulai 2 Ogos ini sekiranya modal tidak ditingkatkan. - AFP

0 Kemampuan menguasai bahasa asing beri kelebihan mencari kerja dan gaji menarik

Malaysia semakin ketandusan modal insan
KUALA LUMPUR 30 Jun – Malaysia didapati semakin mengalami ketandusan modal insan akibat penghijrahan kerja-kerja berbakat.

Kelly Services (M) Sdn. Bhd. (Kelly Malaysia) dalam Tinjauan Pekerjaan dan Panduan Gaji Kelly 2011/12 berkata, meskipun berhadapan dengan situasi itu namun pasaran kerja di negara ini masih optimistik.

Pengarah Urusan Kelly Malaysia dan Singapura, Melissa Norman berkata, tinjauan itu mendapati terdapat aliran keluar bakat tempatan yang semakin ketara disebabkan mereka semakin bersedia untuk bertukar kerja terutama ke pasaran serantau.

‘‘Kami dapati majikan sanggup membayar gaji lebih tinggi untuk menarik bakat yang boleh terus bekerja dan memerlukan latihan minimum.

‘‘Permintaan bakat semakin ketara dalam bidang yang pesat berkembang seperti industri perbankan dan kewangan, perkhidmatan, teknologi maklumat dan kejuruteraan,’’ katanya di sini hari ini.

Panduan Gaji Kelly turut menunjukkan gaji bagi jawatan pengurus tahap pertengahan hingga kanan dengan pengalaman antara tujuh hingga 10 tahun bagi sektor perbankan dan kewangan terutama dalam kewangan Islam melonjak sebanyak 12 peratus.

Profesional dalam teknologi maklumat dan telekomunikasi dengan pengalaman berkaitan antara lima dan lapan tahun boleh mengharapkan kenaikan gaji antara 15 peratus hingga 20 peratus.

Bakat dalam jualan dan pemasaran pertengahan hingga kanan dengan rekod pencapaian baik dan prestasi tinggi berpeluang memperoleh kenaikan gaji antara 15 peratus hingga 20 peratus dengan pakej komisen menarik.

Panduan Gaji Kelly dalam tinjauan itu turut mendedahkan Malaysia kekal sebagai peserta utama dalam industri pusat panggilan disebabkan kebolehan penguasaan pelbagai bahasa di kalangan kakitangan tele pemasaran tempatan, dengan lebih 85 peratus ejen memiliki kelebihan tersebut.

Majikan dalam bidang itu sanggup menawarkan insentif dan elaun tambahan untuk calon yang fasih dalam bahasa popular lain seperti bahasa Korea, Jepun dan Indonesia.

Industri penting lain juga mencatatkan kenaikan gaji ialah sektor kejuruteraan dengan kenaikan 15 peratus dan juga peningkatan permintaan untuk kakitangan kontrak ekoran pelaksanaan pelbagai projek pembangunan.

0 Bayar gaji minimum atau denda RM10K seorang kepada majikan

Rang Undang-Undang Majlis Perundingan Gaji Negara diluluskan


2011/06/30
KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 untuk menubuhkan sebuah badan bebas, Majlis Perundingan Gaji Negara.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata majlis itu berfungsi untuk mengkaji dan menetapkan gaji minimum berteraskan prinsip tripartisme antara kerajaan, pekerja dan majikan. "Majlis ini akan dibantu oleh kumpulan profesional dalam Jawatankuasa Teknikal terdiri daripada pakar ekonomi, statistik dan sosial," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini. Beliau berkata, menurut rang undang-undang itu, majikan yang tidak membayar gaji pokok sebagaimana dinyatakan dalam perintah gaji minimum kepada pekerjanya boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap pekerja, jika sabit kesalahan.

Dr Subramaniam berkata, majikan juga boleh dikehendaki membayar apa-apa perbezaan gaji pokok kepada pekerja yang didapati dibayar di bawah paras gaji minimum serta bayaran berkaitan.

"Bagi kesalahan berterusan, penalti dicadangkan adalah denda tidak melebihi RM1,000 sehari bagi setiap kesalahan, sementara bagi kesalahan berulang penalti yang dicadangkan adalah denda RM20,000 maksimum atau penjara tidak melebihi lima tahun bagi setiap kesalahan," katanya.

Beliau berkata, gaji minimum akan membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan kuasa beli bagi menghadapi peningkatan kos sara hidup dan seterusnya menangani isu kemiskinan di kalangan pekerja.
"Gaji minimum juga bagi mengelakkan eksploitasi majikan ke atas pekerja dalam keadaan majikan mudah mendapat bekalan pekerja asing yang sanggup menerima gaji rendah.

"Ia juga bertujuan mengoptimumkan penggunaan tenaga kerja tempatan dan bagi menggalakkan majikan meningkatkan rantaian nilai melalui pelaburan dalam teknologi tinggi dan peningkatan produktiviti pekerja," katanya.

Beliau berkata, pada masa ini, penetapan gaji bagi pekerja sektor swasta di Malaysia ditentukan melalui tiga kaedah iaitu kuasa pasaran berdasarkan penawaran dan permintaan dalam pasaran buruh serta Perjanjian Kolektif (CA) hasil rundingan antara kesatuan sekerja dengan pihak majikan. - BERNAMA