Paderi Terry Jones tanggung kos AS$180,000
ORLANDO, Amerika Syarikat 19 Sept. - Pihak berkuasa bandar raya Gainesville di Florida akan menghantar bil berjumlah lebih AS$180,000 (RM576,000) kepada paderi Terry Jones bagi kos keselamatan yang ditanggung berhubung ugutannya untuk membakar al-Quran sempena hari ulang tahun memperingati serangan 11 September, 2001, baru-baru ini.
Agensi-agensi polis menghabiskan masa lebih sebulan untuk menyediakan pelan keselamatan bagi memastikan keselamatan komuniti di sekitar gereja Jones, Dove World Outreach Center iaitu lokasi yang dirancang bagi membakar lebih 200 naskhah al-Quran, kata jurucakap polis Gainesville, Korperal Tscharna Senn kelmarin.
Jones juga memberitahu pihak berkuasa bahawa dia menerima banyak ugutan bunuh berikutan rancangannya untuk membakar al-Quran, yang akhirnya dibatalkannya ekoran tekanan hebat daripada para pemimpin dunia.
Jabatan Polis Gainesville membelanjakan lebih AS$100,000 (RM320,000), manakala Pejabat Syerif Daerah Alachua menghabiskan kira-kira AS$80,000 (RM256,000) untuk langkah-langkah keselamatan pada hujung minggu lepas, iaitu hari yang dijadualkan bagi pembakaran tersebut.
"Kami ada 286 anggota beruniform dan hampir setiap orang bertugas sama ada di Dove Center atau di tempat lain yang boleh menjadi sasaran serangan.
"Melainkan seseorang anggota itu sakit atau cedera, mereka semua bekerja pada hari pembakaran itu dijadualkan," kata Senn.
Anggota polis memperketatkan kawalan keselamatan di gedung-gedung membeli-belah di kawasan berhampiran, stadium bola sepak Universiti Florida serta di kawasan sekitar gereja pada hari-hari sebelum pembakaran itu dijadualkan.
Jones kelmarin berkata, pihak gereja 'tidak menyedari mereka akan dikehendaki membayar bil keselamatan'.
"Jika kami mengetahui perkara ini awal-awal lagi, sudah tentu kami tidak mahu kawalan keselamatan disediakan," katanya.
Beberapa pihak menuduh pihak berkuasa melakukan persiapan keselamatan yang keterlaluan.
"Memang mudah untuk mendakwa kami membuat persiapan keterlaluan, tetapi jika sesuatu yang tidak diingini berlaku, kami akan dituduh kurang bersedia," kata Senn. - CNN
Monday, September 20, 2010
0 Paderi yang timbulkan krisis diminta bayar kos keselamatan polis
0 Bagaimana buat duit dengan Nuffnang?
Pendapatan lumayan dengan Nuffnang
Oleh ROSMALINA ABD. KADIR
rosmalina.kadir@kosmo.com.my
SEBUT sahaja Nuffnang, mustahil jenama komuniti pengiklanan blog itu tidak dikenali oleh blogger-blogger di seluruh Malaysia. Tidak hairan juga, jenama itu amat dikenali di negara-negara jiran terutama Singapura, Australia dan Filipina.
Sumbangan Nuffnang amat besar buat komuniti blogger yang menjadikan jenama itu sebagai platform untuk menjana pendapatan sampingan yang lumayan. Tidak keterlaluan jika dikatakan pendapatan yang diperoleh daripada Nuffnang adakalanya melebihi pendapatan pekerjaan tetap.
Iklan-iklan daripada Nuffnang yang merupakan komuniti pengiklanan blog pertama Asia Pasifik kini boleh dilihat di lebih 100,000 buah blog oleh lebih tiga juta orang setiap hari.
Ia membenarkan pengiklan untuk memaparkan iklan grafik dan video di blog-blog dalam pelbagai genre. Kejayaan Nuffnang kini dapat dilihat melalui pembangunan pejabatnya di empat buah negara iaitu Malaysia, Singapura, Filipina dan Australia.
Menarik tentang syarikat Nuffnang Sdn. Bhd. yang terletak di Kuala Lumpur, ia diteraju jejaka yang baru berusia 26 tahun. Timothy Tiah, sebagai pengarah urusan, turut meneraju cawangan Nuffnang bersama pengasas bersama, Cheo Ming Shen yang kini menguruskan pejabat di Singapura.
Menurut Timothy, blogger mampu menjana pendapatan lumayan berdasarkan jumlah pelawat blog. Semakin tinggi jumlah pelawat semakin tinggi pendapatan sehingga mampu mencapai puluhan ribu ringgit dalam masa sebulan.
"Kami menguruskan iklan-iklan yang akan dipaparkan dalam blog yang berdaftar tanpa mengenakan bayaran kepada blogger. Blogger hanya perlu menjalankan kerja editorial untuk iklan masing-masing bagi menjana pendapatan.
"Selain itu, kami juga menganjurkan majlis-majlis untuk blogger seperti tayangan filem, seminar, bengkel, parti dan sebagainya untuk merapatkan hubungan sesama komuniti blogger di bawah Nuffnang," katanya.
TIMOTHY merintis idea kewujudan Nuffnang bersama rakannya, Ming Shen sewaktu belajar di London.
--------------------------------------------------------------------------------
Menceritakan kewujudkan Nuffnang, Timothy memberitahu idea itu timbul di London ketika dia dan Ming Shen berbual mengenai pelan perniagaan mereka apabila pulang ke tanah air. Kedua-dua mereka adalah pelajar jurusan perniagaan dan bermula sebagai blogger.
"Kami berbincang mengenai perniagaan yang ingin kami jalankan selepas pulang ke Malaysia dan Singapura. Kemudian timbul idea untuk berkolaborasi mewujudkan Nuffnang selepas mempertimbangkan populariti blog yang semakin meningkat.
"Kami melakukan sesuatu yang belum pernah dilakukan oleh orang lain dan ia mendapat sambutan yang memberangsangkan hanya selepas beberapa tahun syarikat itu ditubuhkan," katanya mengenai syarikat itu yang memulakan pejabat pertamanya di Pulau Pinang pada tahun 2006.
Katanya, pada akhir tahun pertama Nuffnang ditubuhkan iaitu pada tahun 2007 mereka berjaya mengumpulkan sebanyak 7,523 orang blogger dan ia meningkat kepada 30,708 pada tahun 2008. Tahun 2009 pula jumlahnya meningkat kepada 68,455 orang, manakala sehingga Ogos lalu jumlahnya ialah 105,464 orang blogger.
"Komuniti blogger Nuffnang meningkat dengan pantas dan ini menunjukkan blog menjadi medium pengiklanan yang mendapat sambutan hangat daripada klien pengiklan. Ia menjadi pilihan baru selain medium utama iaitu media cetak dan elektronik.
"Bagaimanapun, untuk berjaya sebagai blogger yang berpendapatan tinggi, seseorang itu mestilah bekerja keras dan mewujudkan blog atas sebab yang betul. Ini kerana sekiranya blog diwujudkan semata-mata untuk mencari keuntungan, ia tidak akan berjaya," katanya.
KOMUNITI Nuffnang menjadi medium penting kepada blogger yang ingin menjana pendapatan sampingan.
--------------------------------------------------------------------------------
Menjana pendapatan
Selepas lima tahun menceburkan diri sebagai penulis blog, Mira Abu Bakar, 35, mempunyai pemerhati blog mencecah empat juta orang. Justeru, dia mampu menjana pendapatan sehingga RM100,000 setahun melalui iklan-iklan yang dipaparkan di blognya iaitu www.redmummy.com.
Mira yang mesra disapa sebagai Kak Red memberitahu, sebab utama dia mewujudkan blog tersebut bukanlah untuk mencari keuntungan kerana ia wujud sebelum Nuffnang beroperasi iaitu pada tahun 2005.
"Ketika mula-mula mendaftar dengan Nuffnang dan membuat editorial untuk iklan pertama, saya hanya memperoleh pendapatan RM90 tetapi jumlah itu meningkat sehingga RM5,000 sehingga RM10,000 sebulan kini.
"Pendapatan lumayan yang saya peroleh daripada blog menyebabkan saya menulis dengan serius dan memperuntukkan sehingga lima jam sehari untuk menguruskan blog saya. Tetapi saya juga dibantu suami yang bertindak sebagai jurugambar untuk menguruskan blog ini," katanya.
Katanya lagi, untuk berjaya melalui blog memerlukan usaha yang keras, sebagaimana dia yang sanggup duduk di hadapan komputer setiap malam bermula pukul 9 malam hingga 2 pagi semata-mata untuk memastikan blognya sentiasa update.
"Pendapatan yang saya peroleh kini tidak didapati dalam sekelip mata. Saya bermula dari bawah dan sesiapa sahaja perlu melalui jalan yang sama untuk berjaya. Jangan cuba meniru gaya blogger lain kerana ia tidak akan berjaya," katanya.
Vivy Sofinas, 23, pula mewujudkan blog sejak dua tahun lalu. Selepas mendaftar dengan Nuffnang dan mempunyai pembaca blog sehingga 7,000 orang sehari, dia memiliki iklan pertama hanya selepas empat bulan blog itu diwujudkan.
"Saya menyertai Nuffnang sejak Oktober tahun lalu dan sehingga kini saya memperoleh pendapatan mencecah RM10,000. Antara pengiklan tersebut ialah Astro, Dell, Lip Ice, Xpax dan Mamee.
"Blog saya banyak berkisar kehidupan peribadi terutama kisah mengenai opah saya yang mendapat sambutan ramai. Saya tidak sangka akan mempunyai ramai pengikut dan pembaca blog," katanya yang tidak pernah menyangka akan memperoleh pendapatan melalui blognya iaitu www.proudduck.com.
Sementara itu, Nor Izdyani Musawir, 20, turut gembira memperoleh pendapatan daripada iklan-iklan yang dipaparkan di blognya iaitu sayesayangiz.blogspot.com. Bagaimanpun, dia tidak dapat melupakan pengalaman perlu membuat rakaman video yang diminta pengiklan.
LAYARI laman web Nuffnang untuk mengetahui lebih banyak maklumat mengenai platform menjana pendapatan itu.
--------------------------------------------------------------------------------
"Saya terpaksa merakam diri sendiri dan menyanyi untuk iklan Munchy's. Perasaan ketika itu sungguh malu tetapi lama-kelamaan saya sudah terbiasa dan tidak kekok lagi untuk melakukan kerja-kerja editorial bagi iklan-iklan yang saya peroleh.
"Tetapi blog ini masih baru dan mempunyai pengikut lebih 2,000 orang. Sejak ditubuhkan tahun lalu, saya memperoleh pendapatan sampingan kira-kira RM2,000," katanya yang menjalankan perniagaan selendang pada awal kewujudan blognya untuk meningkatkan trafik pembaca.
0 Keghairahaan kembar 8 menjerat diri sendiri hingga hidup melarat. Mari ambil pengajaran
Ibu lahir kembar lapan ditawar bintangi filem lucah

NEW YORK - Seorang ibu tunggal yang melahirkan kembar lapan, Nadya Suleman (gambar) ditawarkan wang sebanyak AS$500,000 (RM1.6 juta) oleh pihak pengurusan syarikat Vivid Entertainment untuk membintangi sebuah filem lucah berdurasi satu jam, lapor sebuah akhbar semalam.
Laman web berita hiburan TMZ melaporkan, jika Nadya menerimanya, Vivid boleh menguruskan pembayaran pendahuluan dalam tempoh segera sebelum penggambaran pada bulan Oktober depan.
Sebelum ini, laman berita hiburan Radaronline.com melaporkan Nadya yang berumur 35 tahun telah melupakan hasratnya untuk muncul dalam program realiti televisyen dan terpaksa menerima wang kebajikan.
"Nadya perlu mengupah beberapa orang penjaga, selain perbelanjaan yang kian meningkat untuk membesarkan 14 orang anaknya.
"Dia memerlukan banyak wang hanya untuk memenuhi keperluan asas. Kini, pendapatannya semakin sedikit dan tidak lagi mencukupi sejak tahun lalu," kata satu sumber kepada Radaronline.com.
Sumber itu turut menyatakan bahawa Nadya sebelum ini menerima bantuan orang ramai untuk membiayai anaknya.
Nadya dikatakan sering gagal membayar pinjaman dan proses menarik balik rumahnya mungkin berlaku tidak lama lagi.
Pada awal tahun ini, Nadya bergambar dengan memakai bikini untuk majalah Star, kurang setahun selepas dia melahirkan kembar lapannya pada Januari 2009.
Nadya hamil kembar itu menggunakan sperma seorang lelaki. - Agensi
Sunday, September 19, 2010
0 Apabila orang KL yang pertama kali datang Sarawak dan Sabah (selama seminggu) merasa dia berada di luar Malaysia
Erti sebenar Hari Malaysia belum terisi
Oleh Kadir Dikoh
kadiro@bharian.com.my
2010/09/19
PERSEMBAHAN berkonsepkan muzikal teater dengan lima segmen persembahan iaitu Detik Merdeka Sebelum Malaysia diikuti Pembentukan Malaysia, Harmoni Malaysia, Gemilang Malaysia dan Gagasan Satu Malaysia sempena sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka Kota KInabalu, Sabah pada 16 September lalu.Pengukuhan integrasi nasional rapatkan Semenanjung, Sabah, Sarawak
SAMBUTAN Hari Malaysia pada 16 September, sudah berlalu dan kebetulan berada pada bulan Syawal. Banyak lagi perkara sebenarnya memerlukan renungan bersama berkaitan pengertian Hari Malaysia. Semua tahu apa itu Hari Malaysia dan bagaimana ia dibentuk tanpa perlu lagi kita jelaskan di sini, asalkan seseorang itu rajin membaca. Bagi generasi muda, mereka tidak perlu ditanya kerana daripada pengetahuan sifar mengenai Hari Malaysia, mereka boleh menulis dan membicarakannya dengan cuma mencari bahan yang berkaitan dalam internet. Apa yang perlu diberi tumpuan ialah pengisian erti Hari Malaysia itu sendiri kerana masih banyak prasangka buruk, prejudis, salah faham dan semangat kenegerian yang menebal bersarang di hati kita rakyat Malaysia.
Mungkin ada yang diperkatakan di Semenanjung mengenai sesuatu perkara itu tidak menimbulkan sebarang masalah tetapi agak sensitif bagi masyarakat di Sarawak dan Sabah, dan begitu juga sebaliknya.
Contohnya, apabila disebut 'seluruh Malaysia', tak perlulah kita sebut 'seluruh Malaysia atau negara termasuk Sabah dan Sarawak'. Sesetengah ahli politik suka menggunakan perkataan ini apabila mengumumkan sesuatu dasar untuk dilaksanakan di seluruh negara dengan menyelit perkataan/sebutan 'termasuk Sabah dan Sarawak'.
Bila dah disebut seluruh negara, maknanya 'seluruh negara' kerana sudah diketahui ia termasuk Sarawak dan Sabah. Bagaimana cara mengatasi masalah ini? Ahli politik sama ada yang mewakili parti pemerintah atau pembangkang perlu menghentikan gelaran itu dan begitu juga di pihak media cetak dan elektronik, bagi mengelak rasa prasangka buruk gara-gara buta sejarah.
Lebih menyedihkan ialah masih ada yang menganggap masyarakat dari Sarawak dan Sabah, bagaikan dari negara lain. Baru-baru ini, penulis menegur seorang kawan apabila menyebut ‘kita di Malaysia ini dah tak ada ikan terubuk, harapkan bekalan dari Sarawak saja’ apabila tersasul menyebut Semenanjung sebagai Malaysia, dan baginya Sarawak dan Sabah bukan sebahagian daripada Malaysia.
Terlanjur atau tersasul adalah perkara biasa tetapi apakah insiden seperti itu masih berterusan selepas negara merdeka 53 tahun atau sesudah 47 tahun Sarawak dan Sabah merdeka melalui Malaysia? Cara mengatasi keterlanjuran seperti ini ialah berfikir dulu sebelum bercakap.
Namun, persepsi negatif lain kini semakin berkurangan berbanding 20 atau 30 tahun lalu, apabila ada yang menganggap masyarakat di Sarawak dan Sabah, mendiami atas pokok. Entah dari mana cerita ini datang. Benar ada kaum tertentu misalnya, suku Penan mendiami kawasan pinggir hutan dan dalam hutan tetapi mereka tidak tidur berumah di atas pokok.
Begitu juga cerita mengenai kaum Iban masih memenggal kepala manusia dan ini pun cerita zaman dulu kala, zaman sebelum kedatangan Jepun pada 1940-an.
Cara menangani masalah ini jika masih ada ialah bertanya dulu atau membaca serta menghayati sejarah. Lebih elok lagi datang sendiri ke Sarawak atau Sabah untuk melihat keadaan sebenar, sambil melancong.
Bagaimanapun, kadang-kala semangat kenegerian tidak boleh dielakkan. Jika nak tengok betapa menebalnya semangat kenegerian, datanglah ke stadium ketika perla-wanan bola sepak antara negeri. Jika pasukan Kelantan menentang Selangor, rakyat negeri masing-masing akan sokong pasukan mereka dan begitu juga apabila membabitkan pasukan dari Sarawak dan Sabah.
Malah, ini juga berlarutan apabila membabitkan perlawanan antara daerah di dalam negeri, kerana penyokong dari daerah lain bagaikan nak bergaduh dengan penyokong dari daerah lain. Namun, semangat kenegerian atau kedaerahan dalam sukan seperti ini, lazimnya berlaku pada ketika itu saja dan bila habis permainan, maka tiada lagi isu itu.
Jika mahu melihat betapa menebalnya semangat kebangsaan atau kenegaraan, lihatlah apabila pasukan negara kita menentang pasukan badminton Indonesia atau mana-mana negara lain membabitkan apa juga sukan. Untuk menangani semangat kenegerian ini agak sukar kerana sudah berlaku secara semula jadi dan melalui perkahwinan rasanya akan 'mengurangkan' sedikit perasaan itu jika membabitkan pasukan negeri asal suami atau isteri.
Sebutan 'orang Malaya' pula masih lagi wujud, yang bagi sesetengah masyarakat di Semenanjung agak sensitif. Sebutan itu sebenarnya menebal di kalangan generasi tua tetapi semakin berkurangan untuk generasi muda. Bukan senang untuk menghakiskan fakta sejarah tetapi lama kelamaan, orang akan lupa juga.
Misalnya, di Sarawak pernah ada daerah dipanggil dengan nama 'Binatang' sejak dulu lagi tetapi kira-kira 30 tahun lalu ditukar kepada nama 'Bintangor' hingga sekarang. Bayangkan, dulu kala setiap kali ada ucapan pada majlis keramaian, akan disebut 'Pegawai Daerah Binatang' dan begitu jugalah menjadi sebutan harian, apabila nama jawatan serta daerahnya disebut. Penduduk tempatan tidak akan rasa pelik kerana sudah biasa dengan panggilan itu, tetapi orang luar daerah berkenaan, akan tersenyum malu mendengarnya.
Hakikatnya, Sarawak dan Sabah masih ketinggalan kira-kira 10 tahun dari segi pembangunan berbanding Semenanjung. Semenanjung Tanah Melayu merdeka pada 1957 dan selepas enam tahun kemudian, barulah kedua-dua negeri itu berkerajaan sendiri. Di antara 1957 hingga 1963, penduduk kedua-dua negeri itu masih menggunakan wang penjajah dengan gambar wajah Ratu Elizabeth.
Malah, pegawai asing terus dikekalkan dalam perkhidmatan awam negeri seperti jawatan Residen dan Ketua Polis Negeri untuk beberapa tahun selepas 1963, kerana tidak ada anak tempatan yang layak. Melalui proses 'Borneonisation' atau Borneonisasi, barulah pegawai ekspatriat dikurang dan seterusnya digantikan sepenuhnya oleh anak tempatan.
Hanya selepas 10 tahun menyertai Malaysia, Sarawak dan Sabah mula menikmati erti sebenar merdeka, apabila projek pembangunan lebih banyak dicurahkan dengan bantuan Kuala Lumpur. Pada awal kemerdekaan, Sarawak misalnya berdepan krisis politik dalaman selain ancaman komunis.
Tidak hairanlah pembangunan di Sarawak dan Sabah agak ketinggalan selain masalah geografi dengan keadaan muka bumi berbukit-bukau, terlalu luas hingga hampir menyamai seluruh Semenanjung. Malah bukan mudah untuk membawa pembangunan membabitkan lebih 5,000 kampung dan rumah panjang yang berselerak di seluruh Sarawak. Bayangkan, menjadi Ketua Menteri Melaka berbanding Ketua Menteri Sarawak.
Kerana jurang yang terlalu jauh antara Semenanjung dengan dua negeri di Borneo, juga menyukarkan usaha merapatkan perpaduan pada peringkat awal kemerdekaan. Rakyat saling tidak mengenali antara satu sama lain dari segi bahasa, budaya, cara hidup selain perbezaan sosioekonomi.
Perpaduan nasional meskipun sukar untuk mencapai sepenuhnya, sudah banyak kemajuan sebenarnya dicapai dalam tempoh 47 tahun ini. Cara terbaik untuk mempercepatkan proses integrasi nasional itu, bukan melalui ucapan atau retorik pemimpin politik meskipun peranan itu membantu, sebaliknya melalui perkahwinan dan kekerapan pertemuan di antara rakyat.
Sudah ramai warga Semenanjung berkahwin dengan orang Sabah dan Sarawak, begitu juga sebaliknya. Malah kewujudan syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia membantu lebih ramai rakyat Sarawak dan Sabah melawat Semenanjung dan begitu juga sebaliknya.
0 Trauma ibu muda apabila anaknya seusia dengannya semasa dia hamil. Mari ambil iktibar

Ibu muda disangka kakak
KATHLEEN bersama Georgia yang kini berusia 12 tahun.
LONDON - Ibu paling muda di Britain, Kahtleen Moss berharap anak perempuannya, Georgia Moss, 12, tidak mengulangi kesilapannya, lapor Daily Mail semalam.
Dia yang kini berusia 25 tahun, menggemparkan masyarakat Britain apabila melahirkan anaknya itu semasa baru berusia 12 tahun pada 1988 dan sehingga kini ramai menyangka mereka sebagai adik-beradik.
Kathleen hamil setelah kehilangan dara kepada seorang remaja lelaki yang ketika itu berumur 14 tahun di dalam sebuah karavan di Wales Utara dekat sini.
"Apabila Georgia berumur 12 tahun pada Jun lalu, ia mengembalikan banyak nostalgia. Sukar mempercayai saya menjadi ibu pada usia itu. Saya tidak mahu anak saya ada teman lelaki. Dia perlu memasuki universiti sebelum mahu bercinta atau berkeluarga," tambahnya. - Agensi
Saturday, September 18, 2010
0 Diaspora vs Facebook?
Diaspora dijangka saingi Facebook
WASHINGTON 17 Sept. - Empat mahasiswa Amerika Syarikat (AS) memperkenalkan laman web sosial baru dikenali sebagai Diaspora, yang lebih mesra pengguna serta menjamin keselamatan maklumat peribadi pemilik akaunnya, sekali gus dijangka menjadi fenomena baru di alam maya yang selama ini dikuasai oleh Facebook.
Sejak Rabu lalu, perisiannya boleh didapati melalui versi pemaju yang membolehkan orang ramai mencuba serta turut sama menyumbang untuk membangunkan aplikasi tersebut.
"Ia merupakan projek komuniti dan pembangunannya terbuka kepada orang ramai yang mempunyai kemahiran dalam membangunkan laman web sosial," kata pengasasnya di laman web projek tersebut, www.joindiaspora.com.
Daniel Grippi, Maxwell Salzberg, Raphael Sofaer dan Ilya Zhitomirskiy daripada Universiti New York memperkenalkan laman web sosial yang dihiasi warna putih dan kelabu itu dengan beberapa ikon yang mudah dikenali oleh pengguna yang sebelum ini biasa menggunakan Facebook.
Diaspora memberi keutamaan kepada keselamatan maklumat peribadi pemilik akaunnya yang merupakan masalah utama kepada pesaingnya yang kini mempunyai lebih setengah bilion pengguna dari seluruh dunia.
Sebelum memulakan projek tersebut, keempat-empat pelajar berkenaan memohon dana daripada orang ramai pada Mei lalu melalui laman web Kickstater.com yang merupakan platform kepada ahli perniagaan baru mencari pelabur.
Hasilnya, mereka berjaya mengumpul dana berjumlah AS$200,000 (RM621,500) sumbangan daripada orang ramai, selain turut menerima sumbangan daripada pengasas Facebook, Mark Zuckerberg. - AFP
Thursday, September 16, 2010
0 Apabila kejahatan dianggap ala bisa tegal biasa, tetap tidak cukup kerana peluang sangat terbuka luas. Saluran iblis goda
Pembunuhan kejam Sosilawati: Suspek ada harta lebih RM100j
2010/09/16
KUALA LUMPUR: Peguam dan ahli perniagaan yang juga suspek utama kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga lagi rakannya dipercayai memiliki kekayaan luar biasa, termasuk aset bernilai lebih RM100 juta, kebanyakannya menerusi penipuan sehingga membawa kepada pembunuhan. Ia merangkumi hartanah seperti bangunan komersial, ruang pejabat, stesen minyak, kilang, rumah mewah, ladang, kedai makan, pusat penternakan dan lot tanah di Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Malah, peguam dan ahli perniagaan bergelar Datuk itu mempunyai beberapa perniagaan di Chennai, termasuk menjadi rakan kongsi jutawan India, Allal Kathan Muthuraja, 34, yang dilaporkan hilang di Malaysia, 18 Januari lalu selepas menemui suspek di Banting atas urusan perniagaan.
Difahamkan, usaha mengesan mangsa dijalankan sejak lapan bulan lalu, namun gagal dan saudagar batu permata itu dipercayai menerima nasib yang sama seperti Sosilawati dan tiga lagi rakannya.
Sumber memberitahu Berita Harian, sebagai pengamal undang-undang, suspek mahir dalam prosedur berkaitan pemilikan harta, selain licik menyembunyikan aset daripada dikesan pihak berkuasa jika kegiatan jenayahnya terbongkar.
“Kebanyakan harta bukan atas namanya, sebaliknya menggunakan nama proksi paling dipercayainya termasuk kenalan rapat dan ahli keluarganya. Suspek memang membuat persediaan awal dengan mengambil kira segala kemungkinan, termasuk jika kegiatan jenayahnya terbongkar,” katanya.
Sumber yang pernah bekerja dengan suspek, berkata bekas majikannya menggemari kehidupan mewah, termasuk memiliki sekurang-kurangnya 15 kereta mewah terutama jenis Mercedes Benz dan BMW.
“Bagaimanapun, hanya sebuah kereta Toyota Camry yang didaftarkan atas namanya, manakala yang lain atas nama beberapa individu dipercayai orang kepercayaannya. Difahamkan, sembilan kenderaan sudah dirampas polis untuk tujuan siasatan, manakala enam yang lain disembunyikan sebaik suspek ditahan,” katanya.
Katanya, kaedah sama turut digunakan dalam pemilikan hartanah, termasuk 10 rumah mewah, masing-masing empat di Banting dan sebuah di Puchong, manakala selebihnya sedang dikesan.
“Suspek mempunyai empat stesen minyak, termasuk yang terbaru di Kuala Lipis, Pahang yang dibeli menggunakan hasil penipuan. Secara dasarnya, memang beliau memiliki aset itu tetapi atas dokumen memang tiada namanya. Sebagai peguam sivil, suspek cekap dalam jenayah kolar putih, terutama penipuan dokumen jual beli dan kontrak perjanjian, tetapi selalu terlepas daripada tindakan walaupun ada laporan polis dibuat terhadapnya,” katanya.
Sumber yang berhenti kerja kerana tidak mahu bersekongkol dalam kegiatan jenayah suspek, berkata bekas majikannya turut terbabit dalam kegiatan kongsi gelap.
“Biasanya, suspek akan dibantu satu kumpulan (kongsi gelap) dari Klang dalam kegiatan haram dengan sebahagian besar anggota kumpulan itu baru keluar dari Pusat Tahanan Simpang Renggam. Seorang saudara terdekat yang mahir dalam bidang teknologi maklumat akan memberi panduan kepadanya dalam urusan jual beli aset itu,” katanya.
Beliau berkata, suspek kemudian akan merujuk kepada lima peguam kepercayaannya, termasuk adik lelakinya yang juga suspek kedua kes Sosilawati supaya setiap perlakuannya tidak disabitkan kesalahan.






