.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Tuesday, August 03, 2010

0 Pengantin Muda, 17 dan 19

'Mereka dah berkenan'

Oleh Rashidi Karim

2010/08/02
KANGAR: “Saya mengesahkan bahawa saya menikahkan sendiri Mohd Firdaus Mohd Zain dengan anak gadis saya (Zuraida) semalam (kelmarin), dengan mas kahwin hanya RM50 tanpa belanja lain sehari lebih awal dari tarikh ditetapkan hari ini (semalam).

“Malah, saya juga melakukan pernikahan sama menyatukan anak keenam saya, Zakira, 17, dengan pasangannya, Bunyamin Abbas, 19, pada tarikh sama bersama hantaran mas kahwin sama iaitu RM50,” kata guru silat, Zubir Mat Isa, 47, semalam.

Katanya, pernikahan dua anak gadisnya itu disaksikan Imam I Masjid Ngulang di masjid berkenaan di Mata Ayer, dekat sini, kira-kira jam 6.30 petang, kelmarin.


Bagaimanapun, berlaku kontroversi baru apabila bapa Bunyamin juga membuat laporan di Balai Polis Padang Besar jam 12.30 tengahari semalam selepas tidak memaklumkan mengenai perkahwinan rahsia itu.


Zubir menafikan melarikan Mohd Firdaus, pelajar jurusan Usulludin dari Universiti Al-Azhar, Mesir, atau memaksanya berkahwin dengan anak gadisnya itu kerana mereka sudah lama ‘berkenan’.


“Jika perkahwinan ini terbatal, saya ada calon menantu untuk Zuraida iaitu seorang mualaf berbangsa Cina tetapi saya bersyukur berlangsung seperti dirancang,” katanya ketika ditemui di Pejabat Pertubuhan Darul Islah, Mata Ayer, dekat sini, semalam.


Katanya, dia terpaksa mempercepatkan pernikahan Mohd Firdaus yang sedang belajar di Mesir kerana bimbang perkahwinan yang dirancang tidak menjadi kenyataan selepas kes itu disiarkan secara meluas di akhbar.


Selain itu, katanya, dia tidak mengenakan perbelanjaan besar cukup sekadar mas kahwin RM50 kerana didakwa itu sunnah Nabi Muhammad dan dituntut Islam.


Kelmarin, muka depan akhbar ini melaporkan Mohd Fuzi dari Taman Melati, Setapak, Kuala Lumpur, mendakwa anak sulungnya dibawa lari untuk dipaksa berkahwin dengan anak gadis seorang guru silat di sini.


Mohd Firdaus yang bercuti di Perlis dilaporkan hilang sejak 16 Julai lalu, selepas bertemu seorang guru silat di pejabat Pertubuhan Darul Islah, di sini.


Difahamkan, dua laporan polis di Balai Polis Arau dibuat selepas usaha menemui dan menghubungi Mohd Firdaus gagal pada 27 dan 30 Julai lalu.



Zubir berkata, hasrat berkahwin terdetik dari hati Firdaus sendiri, tanpa dipaksa mana-mana pihak seperti didakwa keluarga pelajar itu.


“Saya tidak pernah memaksa Firdaus menikahi Zuraida, kerana dia sendiri menyuarakan hasrat itu.


“Malah, dakwaan saya melarikan Firdaus dari keluarganya tidak benar sama sekali,” katanya.


Ditanya kedudukan Mohd Firdaus sekarang, katanya: “Mohd Firdaus dan isterinya berbulan madu di Langkawi dan menetap di sebuah chalet di sini,” katanya.



Sementara itu, Mohd Firdaus tidak menjangka bertemu dengan bapanya ketika mereka hadir ke Balai Polis Padang Besar, namun enggan memberi komen.


Dia yang hadir tanpa isterinya dilihat terkejut apabila terserempak dengan bapanya sebelum berbincang untuk menyelesaikan isu itu.

Friday, July 30, 2010

0 Perkahwinan bukan seperti cerita cinderella

Sumber:
http://www.rehal-centre.com/index.php?option=com_content&view=article&id=55:perkahwinan-ala-laila-majnun-tidak-relevan&catid=36:keluarga&Itemid=11


Perkahwinan ala Laila Majnun tidak relevan

Hari jumaat yang lalu, saya ada terbaca satu artikel menarik mengenai isu ini di Berita Harian online yang saya rasakan patut dikongsi bersama di ruangan ini meskipun ia tiada kaitan dengan pendidikan anak-anak. Selamat membaca

Kajian 2006 menunjukkan ada paradigma baru di kalangan gadis dalam memilih pasangan hidup sesuai

WANITA sekarang semakin bersifat kebendaan. Mereka juga dikatakan malas berusaha untuk memiliki kesenangan hidup hanya kerana sanggup memilih lelaki berusia yang berharta sebagai pasangan hidup. Malah, ada yang menganggap perkahwinan tanpa berlandaskan cinta itu tidak akan kekal kerana hanya berdasarkan kebendaan dan bukannya cinta seperti yang sepatutnya apabila sesuatu pasangan itu mendirikan rumah tangga.

Persoalannya kini, mampukah perkahwinan yang berlandaskan cinta berkekalan hingga ke anak cucu? Berdasarkan senario hari ini, semakin ramai pasangan yang baru berkahwin akur dengan suratan takdir apabila perkahwinan yang dibina atas dasar suka sama suka itu berkecai di tengah jalan. Malah, ada usia perkahwinan yang baru mencecah lima bulan, tetapi sudah pun melafazkan talaq.

Pensyarah Psikologi di Kolej Universiti Help, Prof Datin Dr Noran Fauziah Yaakub, berkata perkahwinan ala Laila Majnun yang sanggup sehidup semati demi cinta tidak lagi relevan pada zaman ini berikutan kos sara hidup yang semakin tinggi, selain perubahan gaya hidup masyarakat yang lebih berpaksikan kebendaan.

Beliau berkata, perubahan itu secara tidak langsung membentuk satu pemikiran baru di kalangan wanita untuk memilih lelaki yang stabil sebagai teman hidup.

“Lazimnya, dalam keadaan hari ini cinta tidak boleh bertahan lama. Terlalu banyak dugaan yang terpaksa dilalui apabila mendirikan rumah tangga. Kita lihat hari ini apa saja yang kita lakukan memerlukan duit. Nak makan, duit. Berjalan sedikit pun guna duit. Apa tah pula membesarkan anak pada zaman moden ini memerlukan wang yang banyak.

“Jadi, pasti wanita hari ini terutama yang berpendidikan tinggi ingin mencari teman hidup yang mampu memberikan beliau kesenangan. Siapa yang hendak hidup susah hanya kerana cinta dengan lelaki yang tidak bekerja dan hidupnya tiada arah tujuan,” katanya ketika diminta mengulas laporan akhbar ini mengenai kecenderungan wanita memilih lelaki berusia yang berharta sebagai teman hidup (16 Februari 2007), baru-baru ini.

Kajian yang dijalankan terhadap 1,050 pelajar wanita IPT berusia antara 21 hingga 28 tahun itu mendapati 65 peratus memilih lelaki berharta pada peringkat usia 40 hingga 50 tahun sebagai teman hidup, manakala 12 peratus lagi menyatakan kesediaan mengahwini lelaki berharta pada peringkat usia 51 hingga 60 tahun.

Sejak kajian itu dilaporkan, pelbagai reaksi diberikan. Ada yang menganggap kajian berkenaan tidak relevan, tetapi ramai juga yang melihat dari sudut positif bahawa kajian berkenaan satu penanda aras perubahan dalam sosio budaya masyarakat. Ini jelas dilihat pada perubahan usia berkahwin di kalangan wanita yang secara tidak langsung mencerminkan perubahan struktur masyarakat.

Pada era sebelum negara merdeka, perkahwinan lazimnya membabitkan jodoh yang ditentukan ibu bapa. Ketika itu, usia berkahwin bagi wanita adalah seawal 13 tahun sebaik saja sudah mencapai akil baligh dengan teruna yang berumur lewat belasan tahun. Menerusi perkahwinan itu, kebiasaannya mereka mempunyai jumlah anak yang ramai, misalnya 10 orang.

Pasca merdeka, usia berkahwin bagi gadis menginjak kepada lewat belasan tahun, manakala lelaki pula berusia 20-an. Perkahwinan itu membawa kepada jumlah kelahiran yang semakin menurun iaitu dengan purata enam anak.

Bagaimanapun, pada 1980-an berlaku lagi perubahan pada struktur masyarakat apabila usia berkahwin bagi wanita ialah 20-an, manakala lelaki juga 20-an dengan perbezaan umur yang tidak begitu ketara. Perubahan itu disebabkan semakin ramai wanita yang melanjutkan pelajaran ke menara gading sehingga mereka menangguhkan perkahwinan.

Pada penghujung alaf lalu, berlaku satu lagi perubahan apabila semakin ramai wanita yang berkahwin pada usia lewat 20-an atau awal 30-an demi perkembangan kerjaya. Usia pasangan mereka juga menginjak kepada 30-an, sekali gus menyaksikan semakin ramai pasangan mempunyai anak pada usia yang agak lewat. Akibatnya, jumlah anak yang dimiliki sesebuah keluarga juga semakin mengecil iaitu antara dua atau empat anak.

Tetapi, sejak beberapa tahun kebelakangan ini bagaikan satu aliran pula apabila semakin ramai gadis berusia 20-an mengahwini lelaki yang berusia lewat 30-an atau 40-an. Meskipun jarak umur yang begitu ketara sehingga ada suara sinis yang mengatakan bagai anak dan bapa, perkahwinan dua generasi itu sudah menjadi lumrah dalam masyarakat hari ini.

Sehubungan itu, Prof Noran berkata, jika kajian berkenaan diambil sebagai realiti kecenderungan wanita hari ini dalam memilih teman hidup, kita akan melihat satu perubahan struktur masyarakat yang baru.

“Kajian berkenaan menunjukkan apa yang berlaku dalam masyarakat hari ini. Kita lihat di kebanyakan IPT sekarang, lebih ramai pelajar wanita berbanding lelaki, 60 peratus wanita berbanding 40 peratus lelaki. Jika wanita sudah berpendidikan tinggi, tentu mereka juga hendak mencari pasangan yang setaraf. Tetapi dengan ratio perbandingan pelajar itu tidak semua yang dapat mencari pasangan sebaya di kampus.

“Jadi, lazimnya mereka akan bertemu dengan lelaki di luar kampus iaitu apabila mereka bekerja. Ini secara tidak langsung menyebabkan mereka bertemu dengan lelaki yang berusia dan pada usia berkenaan, biasanya lelaki itu sudah mempunyai kedudukan yang kukuh,” katanya.

Lazimnya perkahwinan sebegitu menyebabkan bilangan anak turut berkurangan iaitu antara satu atau dua anak kerana suami yang sudah meningkat usia beranggapan sudah terlalu tua untuk menimang cahaya mata.

Bagaimanapun, beliau berkata, dari satu aspek mungkin kecenderungan wanita memilih lelaki berusia dan berharta itu disebabkan kelemahan lelaki sendiri. Sikap lelaki muda yang dikatakan panas baran dan tidak memahami berbanding lelaki berusia menyebabkan wanita mudah jatuh cinta kepada lelaki yang matang.

“Mungkin ramai yang mengatakan wanita memilih lelaki berusia ini hanya bermotifkan harta. Tetapi, kita perlu ingat lelaki berumur ini lazimnya banyak pengalaman, mereka lebih memahami dan romantis menyebabkan wanita mudah jatuh cinta walaupun hakikatnya lelaki itu bagaikan bapa.

“Lelaki muda pula mungkin tidak matang, malah peningkatan perceraian di kalangan pasangan yang baru berkahwin menyebabkan wanita hari ini merasa tidak selamat untuk bersama lelaki yang sebaya. Lagipun, secara fisiologi, fizikal mahupun psikologi, wanita tiga tahun lebih cepat berkembang berbanding lelaki. Maknanya wanita lebih matang daripada lelaki sebayanya,” katanya.

Dalam hubungan ini, beliau berkata, masyarakat tidak perlu cepat melatah apabila laporan sebegitu didedahkan kerana setiap universiti atau pensyarah lazimnya menjalankan pelbagai jenis kajian berdasarkan pengkhususan dan keperluan, bukan memilih sesuatu topik yang glamor semata-mata.

Pada masa sama, katanya, perkembangan terbaru itu harus dilihat sebagai cabaran bagi wanita yang sudah berusia. Laporan itu mungkin menggambarkan berlaku peningkatan kes poligami atau perceraian di kalangan pasangan sudah berusia berikutan si suami jatuh cinta dengan gadis yang lebih muda, tetapi wanita tidak harus berasa tergugat.

Apa yang penting, katanya, pastikan layanan terhadap suami tidak berbelah bagi kerana suami tidak mungkin terfikir untuk mencari yang lain jika sudah mempunyai rumah tangga yang stabil.

Pada masa sama, gadis muda pula janganlah hanya kerana ingin menikmati kemewahan segera sehingga sanggup meruntuhkan rumah tangga wanita lain. Bak kata orang, jangan mendirikan kebahagiaan di atas penderitaan wanita lain.

Alasan responden yang memilih lelaki berusia dan berharta sebagai pasangan hidup (65 peratus memilih lelaki pada peringkat usia 40-50 tahun, manakala 12 peratus memilih lelaki peringkat usia 51-60 tahun)



Masa depan dan kerjaya wanita tidak dapat dijangkakan.

Perlukan keselamatan dan jaminan masa depan.

Tidak perlu bekerja keras.

Hidup tidak pernah susah.

Hidup susah dan ingin merasa kesenangan hidup.

Tidak yakin diri dan perlukan sokongan lelaki berusia dan berharta.

Cara hidup zaman moden yang tidak kisah mengenai pemilihan lelaki berusia asalkan berharta.

Tidak salah dalam pilihan itu asalkan bahagia.

Tekanan hidup dan desakan kewangan.

Membantu keluarga.

Dapat hidup mewah dan impian menjadi kenyataan.

Mencari kasih sayang sejati.

Sudah jodoh apa hendak dikata.

Cinta lelaki berusia meyakinkan, cinta lelaki muda menyakitkan.

Lelaki berusia matang dalam pemikiran dan komunikasi.

Bijak berkata-kata dan boleh menjadi pemimpin keluarga yang baik.

Romantik dan sensitif dengan perasaan wanita.

Sabar melayan kerenah wanita.

Tidak lokek berbelanja.

Suka berjenaka dan banyak cerita yang melucukan.

Komited terhadap pekerjaan dan masa depan.

Bertanggungjawab dan boleh dipercayai.

Wanita tidak perlu kerja keras mencari duit.

Hendak menunjuk bahawa mereka mampu menarik golongan kaya menjadi pasangan hidup.

Dapat menyertai golongan elit dan ada kelas tersendiri.

Hidup masa kini berfokuskan duit dan bukan semata-mata kasih sayang.

Cinta boleh dipupuk dalam perkahwinan.

Alasan responden yang tidak memilih lelaki berusia dan berharta sebagai pasangan hidup mereka (10 peratus responden menyatakan TIDAK bagi pemilihan lelaki berumur)


Jarak usia terlalu jauh akan menyusahkan diri sendiri.

Gaya hidup dan cita rasa berbeza.

Tidak selari dengan kehendak dan keperluan wanita muda.

Mudah cemburu dengan lelaki muda yang menjadi sahabat wanita muda.

Komunikasi berkesan tidak akan berlaku kerana jarak usia.

Tidak menghiburkan dari aspek sosialisasi.

Tidak membahagiakan.

Kehidupan dalam perkahwinan hanya rutin dan akan membosankan.

Tidak ceria dalam pergaulan dan dunia sosial.

Tidak meyakinkan sama ada lelaki itu akan setia pada wanita.

Pergaulan lelaki berkaitan luas dan membimbangkan.

Takut dipergunakan untuk tujuan perniagaan lelaki berkaitan.

Bimbang dengan pandangan masyarakat.

Malu untuk memperkenalkan suami pada kawan.

Tidak dapat menerima dan bergaul dengan golongan berusia.

Tidak memandang harta sebagai objektif utama dalam hidup.

Memilih hidup yang ceria, kreatif dan inovatif. Tetapi golongan lelaki berusia dan berharta itu tidak dapat memenuhi kehidupan seperti itu.

Nota: kajian dilakukan Dr Rusinah Siron dan Sabariah Siron (2006)

0 Tempat pengkarya kreatif berkumpul dan berkongsi ilmu pengetahuan

Karya kreatif di alam maya

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
amir.azam@kosmo.com.my



KAPASITOR dibangunkan untuk penggiat karya kreatif seperti penulis, pelukis, penggubah lagu dan pemain muzik.



KEBANYAKAN orang tidak menyedari sisi kreatif di dalam diri kerana ia tidak pernah diterokai. Banyak faktor menyebabkan kreativiti itu terbantut begitu sahaja, salah satunya adalah kerana tiada medium untuk mengembangkan karya-karya kreatif itu.

Selain keterbatasan peluang menerbitkan karya kreatif, kos yang terlalu tinggi juga sering kali menjadi penghalang kepada usaha memahirkan bakat tersebut.

Lantaran itu, seorang anak muda membangunkan sebuah laman web www.kapasitor.net pada awal tahun 2001 untuk dijadikan platform kepada penggiat karya kreatif mengenengahkan bakat terpendam mereka.

Pengasas dan Ketua Arkitek Kapasitor, Muhammad Johari Rahmad, 28, berkata, Kapasitor adalah sebuah laman jaringan sosial dan platform terbaik kepada orang ramai untuk menajamkan kemahiran penulisan puisi, cerpen serta novel mereka.

"Kapasitor dibangunkan adalah untuk memberi peluang kepada orang ramai berkarya dengan lebih bebas dengan melontarkan idea-idea bernas mereka kepada umum di alam maya.

"Memandangkan Kapasitor merupakan sebuah laman jaringan sosial, hasil karya yang dihasilkan mereka dapat dilihat dengan lebih meluas," katanya ketika ditemui Kosmo!.

Selain penulisan kreatif, Muhammad Johari menambah, Kapasitor juga memberi peluang kepada orang ramai mengembangkan bakat dalam seni visual dan muzik.

Antara seni visual yang boleh dimuat naik dalam Kapasitor termasuk lukisan komik, lakaran, fotografi, seni halus, reka bentuk grafik dan banyak lagi.

"Kami juga tidak mengenepikan bakat-bakat penggubah lagu terpendam di negara ini dengan menyediakan platform kepada mereka berkarya dalam Kapasitor," katanya.

Ujar Muhammad Johari, laman web itu menawarkan tiga bahasa dalam penghasilan karya kreatif iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Indonesia.



MUHAMMAD Johari (kiri) boleh berbangga kerana idea dan kesungguhannya membangunkan Kapasitor diiktiraf dunia.



Katanya, dia merasakan pelbagai bahasa yang digunakan dalam Kapasitor mampu memeriahkan pembikinan karya kreatif di laman web berkenaan.

"Dalam pada itu, kami juga memberi peluang kepada pembaca untuk melontar komen-komen terhadap sesuatu karya kreatif yang terdapat di laman web berkenaan.

"Pendekatan itu diharap dapat membantu penggiat karya kreatif alam maya, memperbaiki dan menajamkan lagi kemahiran mereka dalam berkarya dengan mudah serta pantas," katanya.

Tiada caj ahli

Menariknya tentang laman jaringan sosial Kapasitor itu adalah ia terbuka kepada sesiapa sahaja dan tiada bayaran dikenakan kepada mereka yang ingin menjadi ahli.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Aplikasi dan Animasi Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya itu menambah, Kapasitor sudah mempunyai 3,000 ahli yang bergiat aktif dalam melontarkan dan berkongsi karya kreatif mereka.

Katanya, kelebihan menjadi ahli di laman Kapasitor adalah mereka boleh menggunakan gajet seperti Facebook, Twitter dan Google.

"Dengan menawarkan kemudahan ini, pengguna yang menggunakan laman Kapasitor boleh mengikuti perkembangan semasa ahli yang berkarya dalam laman dengan mudah dan pantas.

"Sebagai contoh, jika menggunakan gajet Google ahli-ahli akan menerima e-mel mengenai kegiatan ahli lain atau pun karya terbaru yang dimuat naik dalam Kapasitor.

Selain itu, katanya, apabila menggunakan gajet Facebook dan Twitter juga mereka boleh berkomunikasi dengan lebih terperinci serta rapat dengan ahli-ahli lain.

Ujar dia lagi, mereka yang tidak menjadi ahli juga boleh mengakses ke laman web berkenaan untuk membaca hasil karya kreatif.



DENGAN lebih 3,000 orang ahli, Kapasitor menjadi platform sihat untuk golongan muda beraktiviti.

--------------------------------------------------------------------------------


Katanya, dia tidak membataskan kepada ahli sahaja kerana sasaran utama laman web itu dibangunkan adalah untuk melahirkan bakat-bakat baru dalam penghasilan karya kreatif.

"Saya mendapati tidak semua orang yang mempunyai keyakinan diri apabila berdepan secara bersemuka untuk mengetengahkan hasil karya kreatif mereka.

"Menggunakan platform alam maya ini, ia banyak membantu khususnya mereka yang berbakat besar tetapi mempunyai perasaan malu atau segan untuk mempersembahkan hasil karya mereka," katanya.

Hak intelek

Ujar Muhammad Johari lagi, laman web Kapasitor juga menitik beratkan isu hak cipta intelek ahli-ahli yang berkarya.

Katanya, mereka yang menaik turun hasil karya dalam Kapasitor boleh menggunakan Creative Commons untuk menjaga hak intelek karya kreatif tersebut.

"Kita bukan sahaja ingin mengenengahkan bakat-bakat baru yang terpendam dalam menghasilkan karya kreatif tetapi mendedahkan tentang kepentingan hak mereka.

"Sebelum ini, tidak ramai yang mengetahui bahawa hasil karya kreatif mereka boleh dilindungi. Dengan adanya Creative Commons ia dapat membantu mereka menghormati dan menghargai hak orang lain," katanya.



MELALUI Kapasitor seseorang bukan sahaja memahirkan bakat kreativiti malah, meningkatkan keyakinan diri di depan khalayak.



Dalam pada itu, Muhammad Johari menambah, Kapasitor juga mempunyai sidang redaksi yang akan mengumpulkan karya-karya penulisan kreatif terbaik untuk dibukukan dalam majalah elektronik iaitu Prasasti.

"Pengumpulan hasil karya-karya terbaik ini akan dilakukan dalam tempoh dua atau tiga bulan untuk dijadikan bahan dalam Prasasti.

"Majalah elektronik yang dibukukan dalam format PDF boleh dimuat turun pada bila-bila masa sahaja mengikut kehendak pengguna," katanya.

Dia menambah, idea untuk membukukan hasil karya kreatif tersebut lahir kerana terdapat pengguna yang terlepas untuk membaca penulisan kreatif di laman web berkenaan.

Katanya, majalah elektronik ini memberi kebebasan kepada mereka untuk membaca hasil karya terbaik mengikut kesesuaian waktu dikehendaki.

Apa yang pasti, Muhammad Johari juga boleh berbangga kerana hasil cetusan ideanya mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila memenangi Anugerah e-Culture World Summit di Venice, Itali pada tahun 2007.

Dia berkata, anugerah berkenaan merupakan pemangkin kepada dirinya untuk terus membantu penggiat karya kreatif dalam mengembangkan bakat mereka di alam maya.

Bagaimanapun, dia menambah, pengiktirafan tersebut tidak mungkin tercapai jika tidak mendapat sokongan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), ahli keluarga dan rakan-rakan.

Menyentuh mengenai hala tuju Kapasitor, dia berkata, pihaknya sedang berusaha melaksanakan pelbagai bengkel untuk memberi pendedahan kepada ahli-ahli.

1 Asalnya dari keluarga susah. Apabila wang bukan halangan, bisnes keluarga dalam perancangan.

Kerana keluarga


2010/07/29

HAKIKATNYA dia tidak akan beraksi pada kempen Liga Juara-Juara Eropah musim depan namun ia tidak menghalang Yaya Toure untuk menyertai Manchester City dalam kancah bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan.



Realitinya ia lebih mudah. Benar, bayaran perpindahan sebanyak STG30 juta (RM149 juta) untuk muncul sebagai pemain pertama dalam EPL yang menerima gaji sebanyak STG200,000 (RM995,000) seminggu menyebabkan Toure tidak teragak-agak melupakan Liga Juara-Juara.

Namun sebenarnya bukan wang mahupun kekecewaan yang menjadi ukuran bagi pemain yang berusia 27 tahun itu.



Ia adalah kerana akhirnya dia berpeluang untuk bermain di samping abangnya, Kolo, menyebabkan Yaya meninggalkan Nou Camp.

Lebih daripada "cabaran" ditemuinya di Eastlands, keinginan kuatnya untuk menjadikan kelab terkaya dunia itu sebagai kuasa besar mencabar Manchester United, Chelsea dan, satu hari Barcelona. Dia juga terdesak untuk bermain secara tetap di kemuncak kariernya, Yaya juga begitu kepingin melihat adik-beradik Toure bersatu di atas padang.

"Saya lihat banyak perkara dalam akhbar mengenai kenapa saya meninggalkan Barcelona," kata Toure.

"Tapi bagi saya, saya mahu bermain dengan abang saya, Kolo, sekurang-kurangnya sekali. Dalam bola sepak, anda tidak tahu apa yang akan berlaku esok, dan [untuk bermain dengan Kolo] amat penting buat saya."

Perbezaan usia hanya dua tahun, lahir daripada akademi bola sepak sama di ASEC Mimosas di Abidjan yang melahirkan Salomon Kalou, Bakary Kone dan ramai lagi pemain generasi emas di Ivory Coast, nasib kedua-dua adik-beradik itu berbeza.



Kolo kekal dalam pasukan utama ASEC selama dua tahun sebelum berhijrah ke Arsenal. Yaya, dilihat sebagai lebih berbakat, hanya tiga bulan di akademi itu sebelum dia dibawa ke kelab Belgium Beveren. Dia dijemput untuk berlatih di utara London oleh Arsene Wenger tetapi gagal memikat.

Ia memakan masa hampir sedekad, apabila Kolo berpindah dari Abidjan ke London dan kemudian ke Manchester dan Yaya berhijrah menerusi Monaco dan Barcelona, sebelum kedua-duanya meraih impian mereka menjadi rakan sepasukan.

Memang ada ikatan kuat antara dua adik-beradik itu yang ketika kecilnya pernah bekerja untuk menyara keluarga mereka - Kolo pernah bekerja sebagai pengilap kasut untuk menyara keluarga Toure - dan dengan anugerah diterimanya mampu mengeluarkan mereka daripada kemelut kemiskinan.

"Keluarga kami amat miskin," kata Kolo. "Ibu saya meninggal dunia [pada 2003] dan saya hanya ada bapa [pegawai tentera]. Kami adalah keluarga bola sepak - abang saya Ibrahim bermain di Tunisia dan tiga lagi bekerja di Eropah - tapi kehidupan kami tidak pernah senang.

"Di Afrika, kehidupan boleh menjadi amat teruk. Kami hanya makan sekali sehari. Apabila saya menandatangani kontrak pertama di Eropah, saya berkata kepada Kolo bahawa kini keluarga kami boleh bergembira.

"Apabila kehidupan anda mula berubah dan anda mendapat sedikit wang, walaupun ia sedikit, anda mahu membantu keluarga, dan itulah yang saya lakukan. Kami orang biasa, kami bukannya datang daripada keluarga yang banyak wang. Itulah sebabnya saya sayangkan abang saya. Dia seorang lelaki yang baik, sentiasa mahu membantu orang lain."

Perkara sama boleh diperkatakan mengenai Yaya. Kedua-duanya sudah menjadi penderma bagi tanah air mereka, menghantar berlori-lori makanan ke Abidjan setiap tahun, tetapi mereka juga mahu menggunakan masa mereka bersama di Manchester untuk bekerja rapat menjayakan sesuatu yang tidak berkaitan dengan bola sepak.

"Saya mahu melakukan sesuatu yang penting dengan abang saya," kata Yaya. "Kami akan membentuk satu yayasan besar bagi membantu orang muda. Ia satu keseronokan dan kepuasan untuk melakukan kebajikan."


ADIK-BERADIK TERKENAL DALAM BOLA SEPAK



Gary dan Phil Neville (Manchester United dan England).

Frank dan Ronald de Boer (Ajax, Twente, Barcelona, Rangers, Al-Rayyan, Al-Shamal dan Belanda).

Bobby dan Jack Charlton (England).

Danny, Ray dan Rod Wallace (Southampton).

Ron dan Paul Futcher (Luton Town).

Jimmy dan Brian Greenhoff (Manchester United).

Thursday, July 29, 2010

0 Kemusnahan tamadun manusia? 2182 atau filem 2012? Apa yang pasti bumi akan musnah

Tamadun manusia musnah 2182?


LAKARAN artis menunjukkan kawah terbentuk akibat hentaman asteroid di Semenanjung Yucatan di Mexico sehingga mengakibatkan kepupusan dinosaur.



LONDON - Saintis-saintis memberi amaran bahawa ombak tsunami setinggi beberapa ribu meter mungkin memusnahkan tamadun manusia pada tahun 2182 kesan daripada hentaman sebuah asteroid gergasi, lapor sebuah akhbar semalam.

Kebarangkalian asteroid atau planet kecil yang dinamakan 1999 RQ36 itu menghentam bumi pada tahun berkenaan adalah satu nisbah 500 yang dianggap mungkin boleh berlaku.

Asteroid berdiameter kira-kira 548.6 meter itu yang pertama kali ditemui pada tahun 1999 merupakan sebahagian kumpulan Asteroid Berpotensi Merbahaya (PHA).

Menurut beberapa saintis, sebarang usaha termasuk letupan nuklear, untuk mengubah haluan asteroid itu perlu dilakukan 100 tahun lebih awal dari tarikh pelanggarannya sekiranya bumi ingin diselamatkan. - Agensi

Wednesday, July 28, 2010

1 Lelaki mahu kahwin supaya ada anak untuk jaga bila tua tetapi wanita belum mahu kahwin kerana faktor kerjaya

Wanita Asia tak suka kahwin


2010/07/27 PARIS: Semakin ramai lelaki Asia, terutama di Jepun, Korea Selatan dan Taiwan, memilih wanita asing sebagai pasangan kerana wanita tempatan enggan berkahwin.

Menurut kajian terbaru yang diterbitkan semalam, fenomena itu mula berlaku sejak lebih sedekad lalu turut menampakkan kecenderungan terhadap perpindahan wanita.

Menurut Daniele Belanger dari Universiti Western Ontario, sejak 1990-an semakin ramai lelaki Asia Tenggara mencari calon isteri di luar negara.


Di Taiwan, katanya, 15 peratus isteri berasal dari negara luar pada 2009 dan lapan peratus di Korea Selatan.


“Di Jepun, fenomena itu berlaku lebih awal, iaitu 1980-an, tetapi perkembangannya berlaku secara sederhana apabila hanya lima dan enam peratus perkahwinan direkodkan pada pertengahan 2000 membabitkan wanita asing,” katanya dalam jurnal Institut Kajian Demografi Kebangsaan (Ined).


Di ketiga-tiga negara itu, kata Daniele, pengantin wanita menjadi imigran paling ramai berbanding pekerja sementara yang dibawa masuk.


Kebanyakan wanita yang dijadikan isteri itu berasal dari China atau Vietnam.


“Lelaki tempatan mencari pasangan hidup di negara lain kerana kekurangan wanita tempatan,” katanya.


Menurut Daniele, disebabkan taraf pendidikan wanita meningkat, penyertaan mereka dalam sektor pekerjaan juga bertambah dan sebahagian daripadanya enggan memainkan peranan tradisional sebagai seorang isteri.


“Mereka lebih suka mengekalkan status sedia ada dan mengejar kerjaya,” katanya.


Sebaliknya, kata Daniele, lelaki mahu mendapat zuriat, dan sesetengahnya mengharapkan mereka boleh bergantung harap dengan anak masing-masing ketika tua.



“Justeru, lelaki tidak sanggup kekal membujang,” katanya. - Agensi

Tuesday, July 27, 2010

1 Perbezaan personaliti merupakan punca suami mencerai isteri

SINGAPURA

Lebih separuh kes cerai pasangan Islam dimulakan isteri

Kaunselor, peguam: Kecurangan suami punca utama, bukan kerana wanita sekarang lebih berdikari

Oleh
Linilidia Abdul Hamid
LEBIH separuh kes cerai pasangan Islam tahun lalu dimulakan oleh isteri.

Tuntutan cerai itu dimulakan isteri bukan semata-mata kerana kaum wanita kini semakin mampu berdikari, tetapi lebih disebabkan faktor kecurangan suami.

Perangkaan Perkahwinan dan Perceraian 2009 menunjukkan terdapat 1,631 kes cerai pasangan Islam dan 1,084 daripadanya, iaitu 66 peratus, dimulakan isteri.

Ini berbanding 494 kes yang dimulakan suami, sementara baki 53 pasangan memutuskan secara bersama untuk bercerai.

Namun berdasarkan pengamatan peguam dan kaunselor yang dihubungi Berita Harian, keputusan bercerai bukanlah sesuatu yang diambil mudah oleh para isteri itu.

Sebaliknya, ia merupakan jalan keluar terakhir setelah segala usaha lain tidak dapat menyelamatkan rumah tangga mereka.

Daripada 1,084 kes perceraian yang dimulakan isteri, kecurangan suami menjadi sebab utama bagi 230 kes, iaitu 21.2 peratus.

Ini berbanding hanya 65 kes isteri memulakan proses cerai akibat kecurangan suami 10 tahun lalu.

Sebanyak 104 kes cerai pula dimulakan suami atas sebab isteri curang, iaitu 21.1 peratus daripada 494 perceraian yang dimulakan suami.

Ini berbanding 33 kes sedemikian 10 tahun lalu.

Kecurangan isteri sebab kedua paling utama suami memulakan proses menceraikan isteri tahun lalu.

Perbezaan personaliti menjadi sebab utama, dengan sebanyak 141 kes, iaitu 28.7 peratus.

Peguam Ahmad Nizam Abbas daripada firma Straits Law Practice LLC berkata berdasarkan kes cerai yang diurusnya, memang benar sebahagian besar wanita yang memulakan proses itu lebih berdikari, berpendidikan dan mampu menyara diri sendiri.

Namun, isteri selalunya cuba menyelamatkan rumah tangga mereka sebelum meminta cerai.

Beberapa peguam dan kaunselor sosial berkata selain kecurangan suami, mereka menerima kes isteri curang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Ain, Encik Mohd Yusof Ismail, semasa beliau menjalankan sesi kaunseling bagi para banduan beliau pernah mendengar kisah-kisah sedemikian diceritakan kepadanya.

'Selalunya ia merupakan kes isteri kesunyian ketika suami dipenjara. Mula-mula hubungan yang dijalin hanya sekadar suka-suka kemudian menjadi lebih serius sehingga isteri akhirnya terjebak,' ujar beliau.

Encik Ahmad Nizam kerap juga mendapati kes isteri menyara suami dan bukan sebaliknya.

'Si isteri yang menyara suami dan keluarga. Ada juga kes isteri tiada lesen kereta tetapi terpaksa bekerja keras untuk bayar ansuran kereta yang akhirnya digunakan suami untuk berfoya-foya dengan perempuan lain.

'Bayangkan perasaan isteri dalam keadaan demikian,' ujar beliau.

Pengarah Pusat Sokongan Keluarga PPIS As-Salaam dan PPIS Vista Sakinah, Cik Azita Abdul Aziz, berkata:

'Daripada kes-kes yang saya tangani, wanita selalunya sanggup melalui susah payah. Jika suami bergaji kecil pun mereka tidak ambil kisah.

'Tetapi apabila suami mula curang, mereka berasa pengorbanan mereka selama ini tidak dihargai dan itulah antara punca mereka minta cerai.'