.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Saturday, July 17, 2010

0 Jadilah pemain EPL supaya gaji macam Wayne Rooney

Gaji baru Rooney RM643,000 seminggu

LONDON - Gaji baru Wayne Rooney bakal mencecah 130,000 pound (RM643,500) seminggu, menjadikan dia pemain yang mendapat gaji paling tinggi dalam sejarah Manchester United.

Difahamkan, gaji baru itu akan diterima menerusi kontrak baru lima tahun bersama United, dengan bayaran keseluruhan 35 juta pound (RM173.2 juta) ketika kedua-dua pihak mahu menyelesaikan perkara itu sebelum musim baru Liga Perdana England bermula.

Sebuah akhbar di London melaporkan, ketua eksekutif United, David Gill akan berbincang dengan pemain antarabangsa England itu dan agennya, apabila Rooney pulang bercuti dari Barbados.

Pengumuman itu dibuat sebelum Red Devils memulakan kempen liga menentang Newcastle pada 16 Ogos.

Real Madrid berminat untuk mendapatkan Rooney, jadi United membuat keputusan untuk mengikat pemain itu dengan kontrak baru yang lebih lumayan, di mana dia akan dibayar 6.76 juta pound (RM33.4 juta) setahun.

Pemain berusia 24 tahun itu masih mempunyai baki kontrak dua tahun dengan gaji 90,000 pound (RM445,500) seminggu.

Dia turut meraih pendapatan tambahan sebanyak 760,000 pound (RM3.76 juta) sebulan bagi bayaran perjanjian hak penyiaran imej.

Rooney mengharungi saat menakjubkan musim lalu apabila menjaringkan 26 gol dalam Liga Perdana England, ketika United menduduki tempat kedua di belakang juara, Chelsea. - Agensi

0 Prinsip kejayaan Bilionar Mexico: Jangan berniaga dengan ahli politik dan berbelanja sederhana

Bilionair Mexico kedekut

MEXICO CITY 16 Julai - Bilionair dari Mexico, Carlos Slim mungkin terkenal sebagai lelaki terkaya di dunia, namun beliau merupakan seorang yang berjimat dalam perbelanjaan hariannya apabila hanya membelanjakan sebanyak AS$24,000 (RM76,970.40) sebulan, menurut biografi terbarunya.

Slim, 70, berjaya mengatasi Bill Gates dalam senarai lelaki terkaya di dunia yang dikeluarkan Forbes selepas dikatakan mempunyai harta berjumlah AS$53.5 bilion (RM171.58 bilion).

Beliau mula berniaga ketika berusia 10 tahun dengan menjual gula-gula dan minuman kepada ahli keluarganya sebelum mula aktif membuat pelaburan ketika berlaku krisis ekonomi.

"Tidak seperti golongan bangsawan lain, Slim lebih gemar mengamalkan cara hidup sederhana," kata penulis buku biografinya, Jose Martinez kepada pemberita pada majlis pelancaran edisi terbaru buku berkenaan.

Anak kelima daripada enam adik-beradik itu belajar dalam bidang kejuruteraan awam sebelum membangunkan teknologi telefon untuk syarikat Telmex yang memonopoli industri telekomunikasi di Mexico.

Beliau kemudiannya membeli syarikat telekomunikasi itu daripada kerajaan Mexico pada 1990.

Kini empayar perniagaan bilionair itu semakin berkembang di Mexico dengan pelaburan dalam beberapa syarikat lain seperti pembinaan, kumpulan kewangan Inbursa dan juga gedung serbaneka.

Pelaburannya di Amerika Latin kini berjumlah AS$60 bilion (RM192.42 bilion) sejak 10 tahun lalu.

"Semua pelaburan itu dibuat oleh seorang lelaki yang hanya menggunakan AS$24,000 (RM76,970) sebulan perbelanjaan harian, walaupun menguasai lebih 40 peratus saham di Mexico," kata Mertinez, sambil menambah kata bahawa Slim masih menggunakan jam tangan plastik sehingga hari ini.

Dalam pada itu, buku itu menulis, falsafah yang dipegang Slim adalah 'jangan berniaga dengan ahli politik' selain mengamalkan kehidupan yang penuh kesederhanaan. - AFP

0 Yang indah dan yang kejam tentang bola sepak. Sabah harus menyalahkan diri atas kekalahan dengan USM

Felda United juara Liga Perdana


PEMAIN Felda United meraikan kejayaan pasukan itu menjuarai Liga Perdana musim ini selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Harimau Muda di Stadium Hang Tuah, Melaka, semalam. - Utusan/GAIE UCHEL



KUALA LUMPUR - Kejuaraan Liga Perdana musim ini sah milik Felda United, walaupun sekadar menang tipis 1-0 ke atas Harimau Muda di Stadium Hang Tuah, semalam.

Jaringan Mohd. Munir Amran pada minit ke-65 melalui sepakan penalti, sudah cukup memastikan Felda meraih tiga mata penuh.

Kemenangan berharga itu memberikan Felda mata ke-49, empat mata mengatasi dua pencabar terdekat, PKNS dan Sabah, yang tidak lagi berpeluang memintas kedudukan Felda, walaupun masih ada satu perlawanan pada 23 Julai ini.

Status juara Liga Perdana, melayakkan Felda United untuk beraksi pada Piala Malaysia dan Liga Super.

Jurulatih Felda United, E. Elavarasan berkata, dia gembira usaha keras para pemain di sepanjang musim ini akhirnya memberikan pulangan setimpal.

''Apa yang saya boleh katakan, saya cukup berpuas hati dengan komitmen para pemain dalam perlawanan ini dan secara keseluruhannya, sehingga meletakkan Felda United sebagai juara Liga Perdana.

''Saya belum mahu memikirkan aksi dalam Piala Malaysia, saya mahu pemain meraikan kejayaan ini,'' katanya selepas perlawanan.

Di Stadium Likas, Sabah berpesta gol membelasah Melaka 8-2, namun ia gagal mengubah kedudukan mereka di tangga ketiga.

Penyerang Sabah, Mohd. Farid Ideris berjaya menjaringkan empat gol pada minit ke-40, 49, 64 dan ke-84.

Empat lagi gol Sabah dijaringkan Farid Saibun pada minit ke-2, Radzi Mohd.Hussin minit ke-30, Zainizam Marjan minit ke-71 dan Razlan Oto pada minit ke-88.

Melaka pula memperoleh jaringan melalui Zul Indra Putra Adam pada minit ke-8 dan Mohd Shazeman Abdul Karim pada minit ke-67.

PKNS yang berada di tangga kedua liga, mencatat kemenangan lebih besar apabila menjadikan pasukan tercorot liga, Shahzan Muda sebagai mangsa dengan kemenangan 8-0 dalam aksi di Stadium Darul Makmur.

ATM pula bangkit daripada ketinggalan untuk menang 3-2 mengatasi PDRM.

Gol ATM dijaringkan Ahmad Tharmini Saiban pada minit ke-60 dan 77 serta Syafiq Abd. Samad pada minit ke-73.

Dua gol PDRM dihasilkan Fauzi Abd. Majid pada minit ke-13 dan Eddy Gapil pada minit ke-64.

Sarawak juga berjaya mengutip tiga mata penuh selepas menewaskan USM FC 4-2 di Stadium Sarawak.

Di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Pos Malaysia mencipta kemenangan selesa apabila menang 6-2 kepada MP Muar.

Tuesday, July 13, 2010

0 Nilai pertaruhan judi piala dunia 1/2 juta. Berapa nilai cukai kerajaan boleh dapat?

Judi Piala Dunia setengah bilion

Oleh ATIKAH DALI
atikah.mohddali@kosmo.com.my


MOHD. BAKRI (kanan) menunjukkan slip bayaran pertaruhan judi haram pada sidang akhbar di Bukit Aman semalam.



KUALA LUMPUR - Seramai 227 individu termasuk kaki judi dan bookie yang dipercayai terlibat dalam sindiket judi bola sepak Piala Dunia 2010 membabitkan wang pertaruhan berjumlah hampir setengah bilion ringgit ditahan di seluruh negara.

Daripada jumlah tersebut, beberapa lelaki yang ditahan merupakan ejen kepada ah long yang menawarkan pinjaman wang kepada kaki judi berkenaan.

Ejen-ejen ah long dicekup ketika mereka berada bersama kaki judi ketika serbuan dilakukan polis.

Kesemua mereka yang berusia antara 15 hingga 73 tahun itu ditahan secara berasingan dalam 151 serbuan Ops Soga di seluruh negara sejak bermulanya perlawanan Piala Dunia pada 11 Jun lalu dan berakhir semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, daripada 227 yang ditahan, seramai 218 merupakan rakyat tempatan manakala baki sembilan orang lagi warga Indonesia.

"Bertindak atas maklumat, satu unit gempur ditubuhkan dengan kerjasama daripada polis antarabangsa (Interpol) bagi menangani perjudian haram," kata beliau pada sidang akhbar di pejabatnya di Bukit Aman di sini semalam.

Menurut beliau, hasil tangkapan tersebut polis merampas sebanyak 78 unit komputer, 69 buah komputer riba, 178 buah telefon bimbit, 12 buah mesin faks, empat buah pencetak dan modem yang digunakan untuk tujuan perjudian haram tersebut.

Selain itu, polis turut merampas sebanyak 450 helai kertas dan nota mengandungi nota-nota berkaitan pertaruhan dan wang tunai sebanyak RM99,266.

"Jumlah tangkapan tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 300 peratus berbanding tangkapan semasa perlawanan Piala Eropah pada tahun 2008," kata beliau.

Menurut beliau, Malaysia menduduki tangga kedua tertinggi selepas Thailand di kalangan enam buah negara yang menyertai Asia Pacific Expert Group On Asia Organised Crime (APEC/AOC) bagi membanteras judi haram sempena Piala Dunia 2010.

Selain Malaysia dan Thailand, empat buah lagi negara yang menyertai APEC/AOC ialah Singapura, Hong Kong, Macau dan China.

Mohd. Bakri sebelum ini mendedahkan pihaknya mengenal pasti lebih tujuh orang kenamaan (VIP) terlibat dalam kegiatan perjudian haram tersebut dan mereka telah melarikan diri ke luar negara sebelum berlangsung Piala Dunia 2010 pada Jun lalu.

Bagaimanapun, selepas siasatan beliau kemudian mengesahkan hanya terdapat empat dalang yang terlibat dalam kegiatan judi tersebut tetapi tiada sebarang tangkapan dibuat kerana mereka telah lari ke negara jiran.

"Kita telah mengenal pasti lokasi negara mereka tinggal dan memantau ahli keluarga mereka di sini," kata beliau.

Keempat-empat dalang tersebut yang dipercayai ahli perniagaan bergelar Datuk merupakan rakyat tempatan dan berusia lewat 40-an.

Kesemua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953.

0 Kisah Sotong Paul akan diingati sampai bila-bila. Saya fikir Paul berjaya redahkan ketegangan bookie piala dunia

Sotong Paul akan bersara


PAUL berenang dekat replika trofi Piala Dunia di dalam
Akuarium Sea Life di Oberhausen, Jerman semalam.



BERLIN - Sotong kurita selebriti, Paul yang menjadi sensasi kerana meramalkan tujuh perlawanan bola sepak Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan akan bersara daripada membuat ramalan perlawanan bola sepak.

Menurut jurucakap Akuarium Sea Life du Oberhausen, Tanja Munzig, haiwan itu tidak lagi melakukan urusan ahli nujum.

"Ia tidak lagi membuat sebarang ramalan sama ada bola sepak atau politik, gaya hidup atau ekonomi.

"Paul akan kembali dengan pekerjaan lama iaitu membuat kanak-kanak gembira," kata Munzig.

Ramalan terakhir yang dibuat sotong itu ialah kemenangan Sepanyol ke atas Belanda.

Namun semalam, kakitangan akuarium itu yang menjadi tempat tinggal haiwan berkenaan menghadiahkan Paul dengan piala emas mirip Piala Dunia.

Semasa piala itu yang dihiasi dengan tiga kupang, Paul pada mulanya tidak menghiraukannya selama beberapa minit semasa ia dimasukkan ke dalam akuarium.

Akhirnya, sotong itu mengambil salah satu kupang dan memakannya di depan kamera televisyen.

Paul mendapat perhatian peminat bola sepak apabila ia meramalkan dengan tepat perlawanan melibatkan Jerman termasuk kekalahan skuad itu kepada Sepanyol.

Sementara itu, seorang ahli perniagaan Sepanyol mahu membeli Paul dengan harga AS$38,000 (RM121,676) dan mahu menamakannya Paulo.

Ahli perniagaan itu mahu menjadikan haiwan tersebut sebagai maskot untuk satu majlis makanan yang besar.

Sebelum ini, sotong itu menjadi kemarahan penduduk Jerman dan Argentina yang mahu memakannya selepas dia meramalkan Argentina kalah kepada Jerman dan Sepanyol menewaskan Jerman. - Agensi


Artikel berkaitan:

Zoo Sepanyol mahu sotong Paul




GAMBAR menunjukkan sotong bernama Paul di dalam Akuarium Sea Life di Oberhausen pada 12 Julai lalu.


MADRID - Sebuah zoo di sini membuat tawaran untuk mendapatkan sotong selebriti Piala Dunia, Paul dari tempat tinggalnya di Akuarium Sea Life, Oberhausen, barat Jerman.

Pihak pengurusan zoo itu akan menawarkan haiwan lain bagi menggantikan wang kepada pihak akuarium tersebut sebagai tukaran untuk mendapatkan Paul.

Namun, seorang jurucakap Akuarium Sea Life menegaskan haiwan itu tidak akan dipindahkan ke tempat lain.

Sotong itu berumur dua setengah tahun dan dilahirkan di sebuah akuarium di England pada Januari 2008.

Jangka hayat haiwan tersebut ialah tiga tahun.

Sotong itu menjadi terkenal kerana ia meramalkan dengan tepat semua perlawanan melibatkan Jerman selain Sepanyol pada Piala Dunia 2010.

Cara sotong itu membuat ramalan ialah dengan memilih salah satu bekas berisi makanan yang dihiasi dengan bendera negara yang bertanding dalam akuarium tersebut. - Agensi


Artikel berkaitan:

Sotong Paul ramal bakal Presiden Rusia



KEPUTUSAN hasil tilikan Paul (gambar tengah) sama ada Putin (kiri) atau Medvedev (kanan) dipilih menjadi ketua negara Rusia terpaksa dirahsiakan pihak berkuasa sehingga tamat Pilihan Raya Presiden pada 2012.


MOSCOW - Sebuah akhbar ternama Rusia, Komsomolskaya Pravda semalam mendedahkan, sotong psikik sensasi Piala Dunia 2010, Paul telah pun ditugaskan untuk membuat ramalan siapakah bakal presiden baru negara itu baru-baru ini.

Namun, keputusan daripada hasil tilikan sotong itu yang dijalankan oleh pihak berkuasa Rusia secara rahsia di akuarium Sea Life di Oberhausen, Jerman diarah untuk tidak didedahkan kepada umum sehingga selesai Pilihan Raya Presiden pada 2012.

Akhbar itu melaporkan, Paul seperti dilakukan ketika memilih pemenang antara dua pasukan bertanding, turut diminta memilih antara dua bekas tertera nama calon iaitu Perdana Menteri, Vladimir Putin and Presiden Dmitry Medvedev.

Rakyat Rusia sehingga kini masih keliru dengan keadaan politik negara itu apabila Putin dan Medvedev dilihat sama-sama berkuasa sebelum dua pemimpin itu mengarahkan pilihan raya dibuat. - Agensi

Monday, July 12, 2010

0 Cristiano Ronaldo pun ada masalah sendiri

Ibu terkejut anak luar nikah Ronaldo




LONDON - Keluarga pemain bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo (gambar) berasa terkejut dengan tindakan bintang itu yang mahu menjaga sendiri anak lelakinya yang diperoleh menerusi sumbangan seorang ibu tumpang, lapor sebuah akhbar semalam.

Ibu Ronaldo, Maria Dolores dos Santos Aveiro pada mulanya terkejut apabila bintang bola sepak itu memberitahunya dia akan menjadi bapa.

Satu sumber dekat dengan bintang bola sepak itu memberitahu, keluarga Ronaldo menganggap anak berkenaan perlu dibesarkan oleh ibu dan bapanya secara bersama dan bukannya oleh bintang bola sepak tersebut secara bersendirian.

"Terdapat perbalahan dan beberapa anggota keluarga enggan memberikan restu kepada anak Ronaldo," kata sumber itu.

Menurut sumber itu, terdapat luka dalam keluarga yang perlu dibaiki oleh Ronaldo dan ia memerlukan masa.

Ronaldo mengumumkan dia menjadi bapa kepada seorang bayi yang baru dilahirkan selepas Portugal tersingkir pada Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia di Afrika Selatan baru-baru ini.

Identiti bayi itu bagaimanapun dirahsiakan oleh Ronaldo. - Agensi

0 Kapal Angkasa rakam asteroid untuk mempertahankan bumi

Rosetta rakam imej asteroid Lutetia


Salah sebuah model kapal angkasa Rosetta yang dirakamkan di ESA di Darmstadt, Jerman, kelmarin. - AP



PARIS 11 Julai - Sebuah kapal angkasa Eropah, Rosetta berjaya merakamkan imej sebuah asteroid hari ini, sekali gus mampu membantu memberi maklumat bagi mempertahankan Bumi daripada musnah akibat pelanggaran dengan asteroid itu

Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA) berkata, kapal angkasa bernilai AS$1.25 bilion (RM3.9 bilion) itu terbang dengan kelajuan 47,800 kilometer sejam antara planet Marikh dan Jupiter serta merakamkan imej asteroid berbentuk ubi kentang yang diberi nama Lutetia dari jarak 3,200 kilometer.

Objektif pengambilan imej Lutetia yang mempunyai saiz diameter 134 kilometer itu ialah untuk mengukur kepadatan asteroid berkenaan bagi tujuan mempertahankan Bumi.

Dengan mengetahui kepadatan asteroid itu, ia boleh membantu mereka yang bertanggungjawab mempertahankan Bumi, sama ada untuk melantunkan semula asteroid itu ke angkasa lepas ataupun meletupkannya.

"Ia merupakan satu kejayaan setelah Rosetta melakukan tugas tanpa sebarang masalah.

"Lutetia menunjukkan sedikit kelainan 24 jam lalu. Kini kita perlu berterima kasih kepada Rosetta yang merupakan 'sahabat baru'," kata ESA dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Seorang saintis daripada Institut Max Planck Jerman, Holger Siersks yang mengendalikan kamera Osiris di kapal angkasa berkenaan berkata, ia berjaya merakamkan lebih 400 imej memberi butiran terperinci tentang asteroid itu.

"Rosetta membuka satu lembaran baru yang bakal membuatkan para saintis terus sibuk melakukan penyelidikan," katanya.

Imej yang dirakam oleh Rosetta hanya akan diterima lewat 25 minit daripada saat ia dirakamkan kerana kedudukannya yang berada lebih 500 juta kilometer dari Bumi.

Kini Rosetta telah memasuki separuh daripada misi pelayarannya selama 12 tahun sejak ia dilancarkan pada 2004 dengan jarak penerbangan yang dijangka sejauh 7.1 bilion kilometer. - AFP