Sambutan Kapoww mengecewakan
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
2010/07/07
Azizi Chunk dakwa penonton kita masih prejudis filem tempatan
WALAUPUN diberikan ulasan yang baik oleh media, tetapi sambutan terhadap filem Kapoww sangat mengecewakan apabila kutipan kasarnya selepas dua minggu ditayangkan tidak seperti yang diharapkan oleh pengarahnya, Azizi Adnan.
Kapoww adalah filem terakhir kerana selepas ini saya akan beralih bidang. Mungkin menjadi pensyarah, siapa tahu mungkin juga menjual burger. Saya tidak mahu lagi ada kena mengena dengan dunia seni tanah air. Lebih baik jadi orang biasa, jiwa lebih tenang, katanya. Azizi atau dikenali juga sebagai Azizi Chunk berkata demikian sebagai meluahkan rasa terlalu kecewa dengan kutipan filem bercorak adiwira itu yang hanya memperoleh kutipan kasar kira-kira RM240,000 sejak mula ditayangkan pada 17 Jun lalu. Katanya, dia bersusah payah menghasilkan filem menggunakan teknologi dan animasi terkini bagi menyuntik kelainan kepada filem tempatan, tetapi sayangnya masyarakat tidak pandai menghargai kerana mereka belum bersedia dengan filem bercorak abstrak.
Sebaliknya penonton kita lebih menggemari filem yang cinta, seram dan rempit. Selain bersikap prejudis, penonton juga lebih cenderung memuja filem antarabangsa.
Saya tidak akan melanggar prinsip menghasilkan filem untuk keuntungan semata-mata. Saya mahu hasilkan filem yang dapat menaikkan minda masyarakat, saya tak mahu lemahkan mereka dengan cerita-cerita yang tiada unsur ilmiah.
Saya terlalu kecewa. Selama 13 tahun dalam bidang ini, saya berasakan perjuangan ini sia-sia. Saya bukan budak filem, saya bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang menceburi bidang perfileman disebabkan minat. Saya bukan orang yang mudah putus asa, kerana sudah berada dalam industri ini lebih satu dekad. Saya rasa masa yang saya peruntukan dalam industri ini sudah terlalu lama.
Tapi saya bangga dengan cerita yang saya buat. Kapoww mempunyai tanggungjawab sosial mengenai kisah derhaka terhadap ibu bapa. Oleh kerana masyarakat tidak sukakan filem seperti ini, saya berasakan mengundur diri (dari mengarah filem) adalah jalan terbaik, katanya.
Azizi juga tidak menolak kemungkinan drama bersiri Kapoww yang terlebih dulu menemui penonton sedikit sebanyak mempengaruhi keinginan mereka untuk ke pawagam. Bagaimanapun, maklum balas dari penonton drama bersiri itu adalah baik.
Selain itu, dia juga mendakwa kekurangan publisiti turut menjadi faktor filem arahannya itu tidak mendapat sambutan yang baik.
Namun begitu, dia enggan menyalahkan Tayangan Unggul Sdn Bhd (TUSB) sebagai penerbit walaupun soal publisiti sepatutnya menjadi tanggungjawab syarikat itu, kerana dia (TUSB) juga mempunyai banyak filem lain yang perlu diberi perhatian.
Kalau nak menyalahkan barisan pelakon, saya rasa tiada sebarang masalah. Mungkin promosi untuk filem ini tak banyak. Kisah pembikinan juga tidak ada, jadi penonton tak berapa tahu sangat mengenai filem ini. Jika disiarkan kisah di belakang tabir, sedikit sebanyak dapat menarik penonton ke pawagam.
Kemungkinan juga waktu tayangan tak sesuai kerana ketika itu ada beberapa filem Hollywood yang ditayangkan serentak antaranya Karate Kid dan Toy Story, katanya.
Azizi berkata, tidak ada guna menghasilkan filem yang sukar hingga memakan hampir dua tahun untuk disiapkan kerana di akhirnya ia akan mengecewakan pengarah itu sendiri.
Saya teringat kata seorang penerbit, katanya jangan hasilkan filem pandai nanti rugi. Nampaknya kenyataan itu benar. Saya juga kecewa kerana kalau kita berkarya, ada orang cuba bawa minda kita ke satu hiburan yang lain.
Selain itu ada juga yang cenderung menghina tanpa terlebih dulu menonton filem saya. Orang mengutuk dan menghina filem saya dengan cara yang melampau, seolah-olah tujuan mereka itu mahu merosakkan industri. Jadi saya rasa lebih baik saya tarik diri dan beri peluang kepada pengarah lain pula, katanya.
Thursday, July 08, 2010
0 Tajuk kapoww dikatakan sebagai filem pintar, sekali dengar nama tajuk kapoww anggapan awal saya filem ini 'filem bodoh-bodoh'
0 Apabila FINAS mahu filem sejarah sedangkan filem tema sejarah tidak laku, apa harus dibuat?
Epilog: Filem kenegaraan, sejarah harus jadi produksi wajib
Oleh Akmal Abdullah
2010/07/07
KELMARIN, ketika rombongan pengurusan kanan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengadakan kunjungan hormat terhadap pengurusan editorial The New Straits Times Bhd (NSTP) di Balai Berita, Kuala Lumpur, antara topik yang dibangkitkan ialah mengenai keperluan industri filem di negara ini menerbitkan filem bercorak sejarah dan kenegaraan secara konsisten.
Ia disuarakan oleh Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid yang berasakan perlu ada banyak filem bercorak kenegaraan seperti mengangkat perjuangan dan jasa tokoh silam serta apa saja berkaitan kepentingan negara. Antara alasan diberikan Ketua Pengarah FINAS, Mohd Mahyidin Mustakim ialah kesukaran produser untuk buat filem bercorak sedemikian kerana selain masalah bajet besar ia juga menghadapi masalah pasaran kerana sukarnya mendapat sambutan daripada penonton. Seniman, Datuk Mustapha Maarof yang turut bersama dalam kunjungan itu sebagai Ahli Lembaga Pengarah FINAS, turut akui sewajarnya filem berkonsep sejarah dan kenegaraan dihasilkan dengan sekurang-kurangnya setahun satu judul supaya negara mempunyai khazanah filem bermutu untuk dimanfaatkan rakyatnya. Namun, FINAS tetap berusaha menghasilkan sendiri dokumentari berkaitan kenegaraan seperti judul Becoming A King, Fight Master: Silat, Smart Tunnel dan Spellbound dan Jean Perera: The Beauty Queen Murder. Jawapan Mohd Mahyidin ada benarnya seperti terbukti beberapa judul filem cereka berkaitan sejarah dan kenegaraan seperti Embun, Paloh, Puteri Gunung Ledang dan Leftenan Adnan gagal mendapat sambutan baik malah ada yang boleh dianggap kantoi di pawagam, begitu juga filem yang pernah dihasilkan Datin Paduka Shuhaimi Baba - 1957: Hati Malaya juga gagal mendapat sambutan besar khalayak yang rajin ke panggung wayang.
Sebenarnya, industri filem di Malaysia tidak menghadapi masalah kepenontonan. Cuma ia menghadapi masalah tidak konsisten dari segi sambutan terhadap filem yang memasuki pawagam. Jika dilihat pada perangkaan mereka yang berkunjung ke pawagam, untuk filem tempatan saja, sejak Januari 2010 hingga Mei lalu, direkodkan sebanyak 2.9 juta penonton membeli tiket di pawagam seluruh negara untuk menonton filem terbitan Malaysia sendiri. Ini bererti sambutannya bagus dengan purata hampir 600,000 penonton menyokong filem Malaysia dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini. Jika diambil kira pula jumlah keseluruhan mereka yang pergi ke pawagam menonton filem import seperti filem Hollywood, jumlahnya lagi besar iaitu seramai 9.56 juta penonton dalam tempoh masa sama, selain filem berbahasa Mandarin dari Hong Kong, China, Taiwan termasuk Korea memperlihatkan ada sokongan 4.59 juta penonton dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini. Filem dari India dan lain-lain negara pula ditonton hampir 1.4 juta penonton.
Ia bermaksud, rakyat Malaysia serta mereka yang tinggal di negara ini memang boleh dianggap kaki wayang sebab sepanjang lima bulan tahun ini dari Januari hingga Mei lalu, hampir 18.5 juta penonton membeli tiket. Jumlah ini bersamaan hampir dua pertiga daripada jumlah rakyat Malaysia! Ertinya, filem cereka di pawagam tetap mendapat sambutan baik daripada rakyat Malaysia cuma mestilah pengisian dan filem itu disukai untuk menarik mereka ke pawagam.
Alasan produser takut nak buat filem sejarah sebab tidak laku, ia boleh diterima secara mudah kerana kita mengambil kira kepentingan produser filem adalah orang berniaga. Mereka tentu mengharapkan pulangan baik atau keuntungan hasil pelaburan besar menerbitkan filem apatah lagi untuk buat filem kenegaraan dan bertemakan sejarah bukannya mudah, banyak cabaran getirnya terutama dari segi penyelidikan, pembikinan dan mutu produksi.
Apapun alasannya sekarang, kita sudah kesuntukan masa. Negara kini sedang menghadapi krisis yang pelbagai termasuk politik, semangat cintakan negara dan patriotik di kalangan generasi muda yang semakin menghakis. Ramai yang sudah menjadi rakyat buta sejarah. Negara akan menghadapi generasi yang tidak kenal sejarah bangsa sendiri. Kementerian Pelajaran sudah mula sibuk merancang untuk mewajibkan mata pelajaran sejarah di sekolah rendah. Usaha untuk meningkatkan semangat belia untuk sedar mengenai kepentingan mengundi untuk Pilihan Raya Umum sedang dijalankan.
Pengabaian terhadap erti Demokrasi Berparlimen Raja Berperlembagaan tidak difahami dan menyedihkan institusi raja mula diperkotak-katikkan pihak tertentu. Perlembagaan mula dipermainkan dengan hujah politik dangkal kononnya atas nama kebebasan, hak asasi dan demokrasi melulu. Lebih menakutkan ada puak tertentu yang bersikap cauvinis untuk jadikan Malaysia sebagai negara republik. Semuanya kerana kegagalan kita menghayati sejarah negara sendiri dan belajar dari sejarah silam untuk membina bangsa Malaysia yang lebih kuat. Perpaduan yang ada belum kuat kerana masing-masing cuba menjadi hero kaum sendiri.
Atas sebab itu, sudah tiba masanya Kementerian yang menjaga kepentingan filem berbuat sesuatu. Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan harus memulakan langkah berani untuk merancang strategi jangka pendek dan jangka panjang menghasilkan banyak filem cereka yang berkisar aspek kenegaraan dan sejarah supaya filem dilihat membantu untuk membantu negara. Dalam entitinya sebagai produk hiburan, imej filem itu sendiri boleh dimanfaatkan untuk lebih mudah, santai dan difahami mengenai erti kenegaraan dan sejarah.
Demi kepentingan negara dan bangsa, sudah tiba masanya juga kerajaan menerusi kementerian terbabit berani menyediakan peruntukan besar supaya perancangan menghasilkan filem cereka berkaitan sejarah dan kenegaraan dihasilkan segera. Kita ada ramai tenaga kerja dan orang kreatif yang bijak untuk menghasilkan filem bercorak sedemikian, tetapi sayangnya mereka dipinggirkan kerana tidak ada produser yang berminat dan tidak ada usaha daripada pihak kerajaan untuk memberi ruang dan peluang kepada mereka.
Kita tidak boleh memberi alasan kerana bajet tidak ada sedangkan kita boleh berbelanja mewah untuk buat macam-macam program yang sekadar untuk kemeriahan dan glamor selain pelbagai festival yang sekadar untuk berpesta termasuklah Festival Kuala Lumpur! Gunakan wang rakyat untuk dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk filem sebegini. Kita malu kerana ketandusan filem bercorak sedemikian sedangkan negara jiran sedang ghairah untuk buat filem kenegaraan mereka. Jika bangsa Cina dan India boleh melihat filem sejarah mereka dari Cina dan India, tetapi orang Melayu dari Tanah Melayu pula nak tengok visual filem mengenai sejarah mereka dari mana? KIta juga boleh hasilkan filem yang memaparkan sejarah kewujudan pelbagai kaum di negara ini supaya gagasan 1Malaysia lebih difahami dan dihayati.
Kerajaan harus berani untuk buat tindakan menghasilkan banyak filem kenegaraan supaya ada khazanah yang boleh dirujuk untuk generasi sekarang dan akan datang. Jangan paksa dan tunggu produser untuk buat filem sebegini. kerajaan kena prihatin dan mengambil inisiatif. Kementerian yang diterajui Datuk Seri Dr Rais Yatim kenalah segera berbuat sesuatu sebelum terlambat, sebelum mereka dipersoalkan oleh generasi akan datang!
Kata orang, biar miring jangan sampai tertelangkup...
0 Parti Ekonomi Rakyat Sarawak lebih sesuai untuk Sarawak berbanding PKR, PAS dan DAP. Sabah bagaimana?
Parti baru mahu tanding 71 kerusi DUN Sarawak
Oleh Misiah Taib
2010/07/08
PERSB rancang perkenal calon pilihan raya negeri Sabtu
KUCHING: Parti Ekonomi Rakyat Sarawak (PERSB), sebuah parti baru ditubuhkan menjelang Pilihan Raya Umum Negeri Sarawak Kesepuluh mengesahkan akan bertanding di semua 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Setiausaha penaja parti itu, Noh @ Mohammad Noh Bakri @ Bakeri, berkata mereka sudah mengenal pasti 71 calon yang akan diletakkan untuk bertanding dalam pilihan raya negeri yang dijangka akhir tahun ini, atau paling lewat awal tahun depan. Malah katanya, parti itu sudah bersiap sedia dari segi modal sebagai wang cengkeram untuk semua calonnya. "Kami akan memperkenalkan semua 71 calon parti kami pada satu sidang media khas di Hotel Grand Continental di Kuching pada jam 9.30 pagi, Sabtu ini, katanya kepada Berita Harian.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai parti itu kecuali mengesahkan ia diketuai seorang ahli perniagaan, David Mathew, dari Lawas.
Katanya, parti itu ditubuhkan sekumpulan ahli perniagaan dan golongan profesional termasuk peguam.
Noh berkata, perjuangan PERSB berbeza dengan parti lain kerana tidak menyokong parti kerajaan Barisan Nasional (BN), mahupun pakatan pembangkang.
"PERSB mempunyai landasan perjuangan tersendiri dan kita akan memperjuangkan nasib penduduk luar bandar terutama yang tidak menikmati bekalan asas elektrik, air dan tiada sumber ekonomi," katanya.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negeri Sarawak yang dihubungi mengesahkan PERSB sudah memohon untuk didaftarkan.
0 Mawi buka syarikat penerbitan sendiri, menulis skrip dan mengarahnya sendiri. Tahniah mawi!
Mawi kembangkan kebolehan
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
2010/07/07
Nafi kerjaya nyanyian semakin malap
DUA kali diberi peranan sebagai anggota polis, pertama dalam filem Jin Notti dan kali kedua menerusi drama terbitannya sendiri, Jiwa Kacau menyebabkan Mawi menolak tawaran melakonkan watak sama biarpun hanya untuk klip video Tak Mungkin Berpaling.
Bersetuju dengan cadangan penyanyi itu, pengarah klip video berkenaan, Mohd Irwan Rauf, mengubah watak juara Akademi Fantasia (AF) musim ketiga itu daripada anggota polis kepada perompak. Klip video yang turut menampilkan Zamani Slam itu menjalani penggambaran selama dua hari di sekitar Kuala Lumpur, bulan lalu. Kali ini, Irwan menonjolkan kelainan apabila memaparkan jalan cerita mengenai dua perompak yang terjerat dengan kebaikan seorang wanita, sebagai simbolik kepada kisah cinta tiga segi dalam lagu yang pernah dipopularkan kumpulan Slam itu. "Saya sengaja memaparkan kelainan kepada jalan cerita klip video ini bagi menyokong susunan lagu Tak Mungkin Berpaling yang kini lebih segar. Kami masih mengekalkan tema sama iaitu mengenai cinta tiga segi tetapi dipaparkan dalam bentuk berbeza.
"Alhamdulillah anda yang menonton klip video ini faham apa yang ingin saya sampaikan. Sebelum ini Mawi sering tampil dengan karakter yang baik tetapi kali ini, kami mencuba kelainan dengan memaparkan watak Mawi sebagai perompak. Bagaimanapun saya menyelitkan sedikit unsur komedi dan mewujudkan penceritaan supaya klip video ini mempunyai karakter," katanya.
Mawi pula ketika ditemui di majlis tayangan klip video terbitan Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB), mengakui seronok dapat bekerjasama dengan Irwan apatah lagi dengan keterbukaan pengarah itu menerima cadangannya.
"Saya menolak watak polis kerana sudah beberapa kali diberikan watak serupa. Jadi saya memberi pandangan itu kepada pengarah, meminta supaya diberikan watak lain. Selain itu, saya juga menimba satu lagi pengalaman baru apabila buat pertama kalinya berlakon di samping Zamani selepas kami berduet bersama,"kata penyanyi Kian ini.
Bermula sebagai penyanyi, Mawi bagaimanapun turut mengembangkan sayapnya bergelar pelakon. Filem pertamanya Aduh Saliha sehingga kini masih lagi terbengkalai. Sebaliknya Mawi terlebih dulu muncul di layar perak menerusi Jin Notti.
Selepas itu, dia berjinak-jinak pula sebagai pengarah. Drama pertama arahannya Pak Nil Ibu Kirim Salam bakal menemui penonton pada Aidilfitri nanti. Anak muda kelahiran Johor ini mengambil keputusan untuk menduduki kerusi pengarah pengarah kerana keinginan untuk mencuba yang membuak-buak.
Cita-cita jadi pengarah filem
SETELAH memiliki syarikat produksi MW Entertainment Sdn Bhd, Mawi berasa terpanggil untuk mengarah. Bukan disebabkan karier nyanyiannya yang dikatakan semakin perlahan, tetapi Mawi ingin mempelbagaikan lagi kebolehan.
"Setakat ini, alhamdulillah, pada setiap bulan saya masih menerima pelbagai undangan menyanyi. Insya-Allah pada September saya akan muncul dengan album terbaru berjudul Idola. Jadi tak benarlah dakwaan mengatakan saya mengarah kerana undangan menyanyi kian berkurang.
"Selain album Idola, album kompilasi The Best Of Mawi juga akan berada di pasaran tidak lama lagi," katanya.
Menurutnya, bukan menjadi satu kesalahan menyimpan cita-cita sebagai pengarah filem suatu hari nanti, tetapi dia tidak mahu ia dilakukan secara tergesa-gesa.
"Telefilem Pak Nil Ibu Kirim Salam boleh dikatakan buah tangan saya sepenuhnya. Saya hasilkan skrip dan saya sendiri yang mengarah kerana saya sayang nak berikan kepada pengarah lain, bimbang tidak mendapat bayangan apa yang saya mahukan.
"Sebagai persediaan untuk telefilem ini, saya banyak menonton drama dan filem tempatan serta antarabangsa. Saya lihat bagaimana teknik penggambaran mereka, saya juga tidak kisah sekiranya dikritik, kata Mawi.
Pak Nil Ibu Kirim Salam adalah berdasarkan pengalaman Mawi sendiri. Skrip drama itu terhasil sebagai penghargaan untuk peminatnya yang menghidap autisme, kerana kesungguhannya mencari Mawi di serata tempat semata-mata untuk bertemu dengannya.
Telefilem itu dijayakan oleh Aznil Nawawi dan Along Raja Lawak serta penampilan khas 33 pelakon popular tanah air seperti Linda Onn, A Galak, Angah Raja Lawak, Hamid Gurkha, Zamani, Joey dan ramai lagi.
Aznil diangkat sebagai teraju utama kerana populariti pengacara dan penyampai radio itu dari segenap lapisan umur terutamanya kanak-kanak.
Wednesday, July 07, 2010
0 Bisnes di bandar
'Asrama haram' raih RM50,000
Oleh Gaddafi Musli
2010/07/07 SUBANG JAYA: Dua kedai pejabat yang diubah suai menjadi ‘asrama haram’ dengan bayaran mencecah RM580 sebulan bagi setiap bilik diserbu Bahagian Penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di sini, lewat petang kelmarin.
Difahamkan, pemilik premis itu memperoleh anggaran keuntungan sehingga RM50,000 sebulan hasil aktiviti haram mengubahsuai ruang pejabat miliknya.
Yang Dipertua MPSJ, Datuk Adnan Md Ikhsan, berkata siasatan awal mendapati pejabat tiga tingkat terbabit diubah suai menjadi 74 bilik sewa dengan bayaran RM480 hingga RM580 sebulan bergantung kepada saiz bilik.
Ketika serbuan, beberapa pelajar daripada kolej berdekatan yang menghuni asrama terbabit terpinga-pinga apabila diberitahu asrama yang diduduki mereka tidak mempunyai permit sah.
Adnan yang mengetuai operasi itu berkata, asrama terbabit dipercayai beroperasi lebih enam bulan lalu dan kebanyakan penghuninya terdiri daripada pelajar kolej berdekatan.
“Serbuan berdasarkan maklumat orang awam yang tinggal di kawasan berhampiran mengenai penyalahgunaan premis terbabit sebagai bilik sewa haram dan kami dapati semua penyewa tidak mengetahui bilik didiami mereka tidak mempunyai permit sah” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, MPSJ memandang serius kewujudan asrama haram seperti ini kerana aspek keselamatan dan keselesaan penghuni langsung tidak dipedulikan pemilik bangunan terbabit.
“Pengubahsuaian yang dibuat pemilik bangunan mendatangkan risiko kepada penghuni jika berlaku kejadian seperti kebakaran kerana pengudaraan yang tidak sempurna boleh menyebabkan sesak nafas” katanya.
Adnan turut menasihatkan orang ramai khususnya pelajar kolej supaya memeriksa terlebih dulu status rumah yang ingin disewa, sama ada pengubahsuaian yang dibuat mendapat kebenaran pihak berkuasa ataupun tidak. Katanya pemilik terbabit dikompaun mengikut Seksyen 70(12) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 iaitu menyalahgunakan bangunan asal dan boleh didenda maksimum RM12,500.
0 Apa tajuk jika kisah hidup ini difilemkan? Kata mereka, inilah yang kami dapat, menjadi anak yatim, menjadi janda
Sejuta wanita Iraq jadi janda akibat perang
2010/07/07
BAGHDAD: Peperangan selama tiga dekad, pembunuhan beramai-ramai dan pembunuhan puak menyebabkan kira-kira sejuta wanita di Iraq kehilangan suami dan menjadi janda, menurut kiraan kerajaan.
Seorang daripada mereka ialah Hameeda Ayad. Pada usia 45 tahun, dengan tiga anak, dia adalah salah seorang wanita di kalangan lebih 100,000 yang kehilangan suami dalam serangan diketuai Amerika Syarikat dan keganasan selepasnya, dengan hanya sedikit bantuan oleh kerajaan pasca peperangan. Hameeda berhak memperoleh 150,000 dinar (RM416) sebulan daripada kerajaan, dan tambahan 15,000 dinar (RM38) setiap seorang anaknya. Tetapi selepas dua tahun dia berusaha untuk mendapatkan tanda tangan dan dokumen rasmi untuk permohonannya, tanpa mengenali orang atasan, Hameeda akhirnya berputus asa, kerana penantiannya yang terlalu lama menyebabkannya mengabaikan anaknya yang berusia 10, 12 dan 15 tahun. Bagi menyara keluarganya, Hameeda terpaksa menjual soda dan makanan ringan di rumahnya di kawasan Syiah di selatan Baghdad selepas dia berpindah dari kawasan Sunnah selepas suaminya meninggal dunia akibat pembunuhan balas dendam pada 2007.
Kehidupan kami semakin sengsara dan terdesak, katanya. Inilah apa yang kami dapat daripada pendudukan dan impian sebuah demokrasi- menjadi anak yatim, janda, kehilangan tempat tinggal, dipinggirkan dan hidup sebagai pelarian.
Nahdah Hameed, wakil kerajaan bagi hal ehwal wanita, berkata setakat ini terdapat sejuta janda di Iraq dan walaupun keganasan pasca-serangan sudah reda, kejadian tembakan dan pengeboman sekali sekala terus menjadikan wanita Iraq janda.
Selain serangan, negara dengan 27 juta penduduk ini juga pernah melalui peperangan dengan Iran pada 1980 hingga 1988, Perang Teluk 1991 dan kempen kejam Saddam Hussein terhadap Syiah dan Kurdis pada 1980-an dan 1990-an. AP
Tuesday, July 06, 2010
0 Formula Joachim Loew membenam Australia, England dan Argentina di Piala Dunia. Briliant idea!
Guna taktik petak segi empat
GAMBAR menunjukkan Miroslav Klose dari Jerman menerima hantaran bola daripada seorang pemain sebelum dia menjaringkan gol semasa menentang skuad Argentina di Stadium Green Point, Afrika Selatan pada Sabtu lalu.
BERLIN - Jurulatih Jerman, Joachim Loew buat pertama kalinya mendedahkan taktik yang menyebabkan pasukan bola sepaknya mengamalkan pendekatan permainan moden sehingga menumbangkan pasukan lawan dengan jaringan gol yang banyak pada Kejohanan Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.
Skuad Jerman itu yang tidak mempunyai ramai bintang bola sepak membuat kejutan apabila melangkat ke separuh akhir dengan mudah berbanding pasukan seperti Brazil, Argentina dan England yang tewas di peringkat awal. Apakah rahsia pasukan Jerman itu yang pernah menjadi juara Piala Dunia pada 1954, 1974 dan 1990.
Jurulatih Jerman itu buat pertama kalinya mendedahkan kejayaan pasukan itu kepada sebuah akhbar di Jerman yang menyiarkan kenyataannya semalam.
Loew mendedahkan bahawa dia menggunakan taktik petak segi empat sama bagi memenangi perlawanan dan seterusnya Piala Dunia.
Jerman sememangnya dikenali sebagai sebuah pasukan yang berjaya tetapi kali ini, mereka turut menonjolkan corak permainan bola sepak yang menakjubkan.
Pasukan itu mara ke separuh akhir Piala Dunia setelah menewaskan Australia 4-0, Ghana 1-0, tewas kepada Slovakia 1-0 dan seterusnya menundukkan England 4-1 serta Argentina 4-0. Bagaimana Loew mencapai kejayaan tersebut?
"Perancangan tentang corak permainan kami di Piala Dunia 2010 telah lama difikirkan iaitu sejak daripada undian perlawanan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 4 Disember, tahun lalu," katanya Loew.
Menurutnya, pasukan Jerman cuma boleh merangkul Piala Dunia dengan corak serangan agresif sekali gus menyukarkan pihak lawan semasa di padang.
"Kaedah yang digunakan Itali bagi memenangi Piala Dunia pada 2006 dengan mengamalkan corak bertahan dan menang cuma menerusi satu gol sudah lapuk. Anda tidak akan ke mana-mana dengan bermain seperti itu sekarang. Kami merancang untuk Piala Dunia sehingga mencapai ke perlawanan akhir," jelasnya.
Taktik jurulatih berusia 50 tahun itu akhirnya membuahkan hasil apabila Jerman berjaya menjaring 13 gol setakat ini. Pasukan bola sepak berkenaan juga merupakan yang paling agresif pada Piala Dunia kali ini.
Bagaimana taktik Loew berkesan?
Dia membahagikan padang bola kepada 18 petak segi empat sama yang sama luas.
"Bagaimana kami menyusun dan mengawal permainan di petak-petak berkenaan merupakan faktor paling utama untuk permainan bola sepak yang hebat," kata Loew.
"Setiap pemain perlu tahu posisi mereka pada petak-petak itu supaya tiada pemain bergerak ke serata padang dengan sewenang-wenangnya. Sesetengah petak itu perlu sentiasa dikawal," jelasnya.
Taktik itu bermakna bola sentiasa bergerak dari satu petak ke petak lain sehingga mereka mendekati gol lawan.
Penyerang Jerman, Lukas Podolski dan Thomas Müller sentiasa mengawal bahagian kiri dan kanan padang.
Pemain tengah, Mesut Ozil mengawal segi empat sama di antara garisan tengah padang dan kawasan penalti pasukan lawan manakala Bastian Schweinsteiger melindungi kawasan di antara kawasan penalti pasukannya dan garisan tengah. Taktik tersebut menjadikan Schweinsteiger pemain paling penting dalam skuad Jerman.
Dia merupakan penggerak pasukan Jerman dengan menggerakkan Ozil dan pemain-pemain sayap selain mengatur barisan pertahanan.
"Schweinsteiger mengepalai dan mengatur pasukan itu dengan sempurna," ujar Loew.
Jurulatih berkenaan menamakan taktik keduanya sebagai 'sepak dan lari'.
"Permainan bukan berakhir apabila kami memiliki bola. Saya mahu melihat pemain-pemain bergerak dalam petak mereka dan meminta bola. Dengan cara ini, corak permainan kami adalah lebih dinamik dan lancar.
"Saya tahu beberapa pemain kami amat pandai bermain seperti itu," katanya.
Semua sesi latihan tersebut dirakamkan dan corak larian setiap pemain dianalisis.
"Anda tidak dapat merancang gerakan sempurna semasa sesi latihan. Namun, terdapat mekanisme dan prosedur yang sentiasa sama. Kami akan memperbaiki dua aspek berkenaan," jelas Loew.
Contoh terbaik mekanisme sama itu adalah corak serangan balas pantas oleh Jerman yang membawa kepada kemenangan 4-1 ke atas England.
Serangan balas bermula dengan hantaran jauh daripada Miroslav Klose yang diikuti oleh hantaran lintang daripada Ozil seterusnya jaringan gol oleh Muller.
"Itulah gerakan yang sempurna," ujar Loew.
Pada masa yang sama, dia turut menggunakan taktik psikologi untuk mendapatkan yang terbaik daripada setiap anak buahnya.
Sebelum perlawanan menentang Argentina bermula, Loew menunjukkan beberapa gambar demam Piala Dunia yang melanda rakyat Jerman. "Gambar-gambar itu menaikkan semangat juang kami semua," katanya. - Agensi






