Sumber: UM:
ARKIB : 03/02/2010
98,747 anggota polis naik gaji
03/02/2010 7:04pm
Oleh HELMI MOHD. FOAD
PUTRAJAYA 3 Feb. - Sejumlah 98,747 anggota dan pegawai polis akan mendapat penyelarasan kenaikan gaji dan elaun imbuhan tetap di bawah skim perkhidmatan baru berkuat kuasa 1 Januari 2009.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penyelarasan itu membabitkan tiga pergerakan gaji tahunan dan kenaikan Imbuhan Tetap Khidmat Polis (ITKP) daripada RM1,500 hingga RM6000 bergantung kepada pangkat dan perubahan jadual gaji matrik. - Utusan
Thursday, February 04, 2010
0 Anggota polis layak menerima kenaikan gaji ini supaya lebih dihormati rakyat
Wednesday, February 03, 2010
2 Mengingatkan kita Malaysia guna Stadium Bukit Jalil untuk perhimpunan aman
Sumber: BH:
Jakarta bina tempat khusus demonstrasi
JAKARTA: Pihak berkuasa ibu negara Indonesia merancang membina sebuah tempat khusus untuk penunjuk perasaan bagi menghindar mereka daripada berhimpun di jalan raya dan menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk di bandar raya paling sesak di dunia itu.
Jurucakap Gabenor Jakarta Fauzi Bowo, Cucu Ahmad Kurnia, berkata tempat itu juga akan menjadi simbol yang menunjukkan bahawa demokrasi sudah pulih di Indonesia. Ketika pemerintahan bekas Presiden Suharto, tunjuk perasaan hampir dilarang sama sekali sehingga kekecewaan rakyat menyebabkan bantahan besar-besaran memaksa beliau meletak jawatan.
Sejak itu, bantahan dan tunjuk perasaan sudah menjadi perkara biasa di Indonesia. Walaupun ia jarang bertukar ganas, ia memburukkan keadaan lalu lintas yang sedia sesak, terutama apabila mereka berarak di bulatan besar berhampiran Hotel Indonesia.
"Gabenor juga mahu mewujudkan sudut penceramah yang boleh menampung kira-kira 10,000 pengunjung berhampiran Tugu Monumen Nasional Indonesia. Kami mahu membinanya agar setiap orang mempunyai tempat untuk menyuarakan pandangan mereka dan tahu di mana hendak berbuat demikian," katanya.
Istana Presiden, pejabat naib presiden dan gabenor terletak berhampiran tugu di Medan Merdeka itu.
Beliau berkata, tunjuk perasaan sering menyebabkan perjalanan menuju ke pusat bandar raya yang dihuni 14 juta penduduk itu, mengambil masa yang lebih panjang, berikutan jumlah kenderaan terlalu banyak.
Tahun lalu, Fauzi mengharamkan tunjuk perasaan di sekitar Hotel Indonesia selepas pertempuran berlaku antara kumpulan penunjuk perasaan yang bertelagah
Cucu berkata, tempat berkenaan dijangka siap pembinaannya tahun depan, dan akan dilengkapi pentas untuk konsert.
Sementara itu, Datuk Bandar Jakarta, Sylviana Murni, berkata adalah menjadi tanggungjawab pihak kerajaan untuk menyediakan ruang bagi rakyat mengkritik mereka yang berkuasa.
"Kita mesti berbuat demikian untuk memuaskan hati rakyat," katanya yang menambah pembinaan itu diilhamkan daripada Sudut Penceramah di Hyde Park, London. – Reuters
0 Tahniah designer E-pasport ini! Hasil yang membanggakan
Sumber: BH:
E-pasport Malaysia versi ICAO dilancar
Oleh Azrina Ahzan dan Siti A'isyah Sukaimi
bhnews@bharian.com.my
HISHAMMUDDIN menunjukkan e-pasport Malaysia versi ICAO di KLIA, semalam.
Dokumen pertingkat integriti, keseragaman perjalanan antara negara anggota: Hishammuddin
SEPANG: Kementerian Dalam Negeri semalam melancarkan e-pasport Malaysia versi Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bertujuan meningkatkan integriti dan keseragaman dokumen perjalanan antara negara anggota ICAO, selain mencegah pemalsuan pasport Malaysia.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pasport berkenaan juga mampu melindungi identiti rakyat Malaysia, memperkasa kawalan keselamatan di pintu masuk negara dan mampu menyaring pengembara berisiko tinggi.
"Pasport baru ini adalah sejajar dengan saranan ICAO supaya semua negara membuat penambahbaikan terhadap dokumen pasport antarabangsa masing-masing mengikut piawaian yang dite-tapkan.
"Ia kerana keadaan landskap baru perubahan mobiliti manusia dan keselamatan global yang tanpa sempadan memerlukan pasport versi ICAO ini diperkenalkan di negara ini, dalam usaha membendung kegiatan anti pemerdagangan orang dan penyeludupan dadah," katanya kepada media selepas melancarkan e-pasport Malaysia versi ICAO di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.
ICAO adalah agensi khas yang ditubuhkan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan diberi mandat untuk mewujudkan piawaian serta spesifikasi pasport antarabangsa yang perlu dipatuhi negara anggotanya.
Setakat ini, e-pasport ini sudah diperkenalkan di 74 negara dan antara ciri keselamatannya ialah resolusi imej yang lebih tinggi untuk pengecaman wajah lebih tepat serta data yang terkandung dalam cip elektronik boleh dibaca semua negara berbanding sebelum ini.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, pengeluaran pasport itu akan dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara dan dijangka boleh dikeluarkan semua pejabat imigresen termasuk di luar negara mulai Ogos ini.
"Rakyat Malaysia yang memiliki pasport ini akan menikmati kemudahan e-perkhidmatan di pintu pemeriksaan automatik yang dise-diakan oleh negara anggota ICAO di seluruh negara.
"Walaupun pengeluaran pasport ini membabitkan kos tambahan, caj yang dikenakan tetap sama iaitu RM300 bagi pasport yang mempunyai tempoh sah lima tahun dan RM100 bagi pasport dua tahun," katanya.
Mengenai struktur gaji dan imbuhan yang bakal dinikmati anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), beliau berkata, ia akan diumumkan pada sidang media khas yang diadakan selepas mesyuarat pasca Kabinet kementeriannya hari ini.
Monday, February 01, 2010
0 Bantu blog ini mencapai hasrat 1Malaysia kepada rakyat Malaysia
Sumber: NST:
Penulis blog boleh bantu jelaskan konsep 1M'sia pada rakyat: Sapawi 
DIHARGAI … Sapawi diperhatikan oleh Presiden Persatuan Alumni SMESH/SBPS (ASSA), Hamidah Jafar menerima cendera kenangan daripada Ketua Penolong Pengarah Pembangunan Persekutuan Sabah, Khairul Aminus Kamarudin.
1st February, 2010
KOTA KINABALU: Peranan penulis blog penting dalam membantu memperjelaskan konsep Satu Malaysia kepada rakyat pelbagai kaum.
Exco Penerangan Negeri Sabah Datuk Sapawi Ahmad berkata dengan ruang yang mereka miliki, penulis blog dapat membantu dan ia merupakan sumbangan bermakna ke arah memperkukuhkan keharmonian dan kemakmuran yang dinikmati ketika ini.
“Kita perlu sedar bahawa konsep Satu Malaysia meletakkan perpaduan dan persefahaman kaum sebagai perkara utama kerana kita mahukan keharmonian dan kemakmuran negara berterusan dan berpanjangan,” katanya pada Wacana Ilmu Perpaduan 1 Malaysia: Realiti atau Fantasi di sini kelmarin.
Beliau berkata meskipun ketika ini rakyat mula memahami akan konsep Satu Malaysia , namun penulis blog tetap diharap dapat memberi sumbangan dengan melontarkan idea-idea yang bernas.
Bagaimanapun Sapawi yang juga Ketua Penerangan Umno Sabah berharap agar penulis blog di negeri ini tidak terpengaruh dengan usaha pihak tertentu yang cuba mempergunakan mereka.
Katanya pihak tertentu itu berusaha memperdayakan mereka dengan menutup kebaikan konsep itu dengan melontarkan pandangan-pandangan yang berunsurkan negatif.
“Jangan terpengaruh dengan pihak itu…perkara penting yang harus kita sedar ialah konsep Satu Malaysia adalah untuk mengangkat martabat negara demi kepentingan rakyat pelbagai di negara ini.
“Kerana itulah Sabah dan juga Sarawak dilabelkan sebagai contoh terbaik untuk konsep Satu Malaysia dan ini adalah keistimewaan yang wajar kita banggakan dan kekalkan,” katanya.
Sapawi menegaskan keistimewaan itu bukan sahaja perlu dikekalkan tetapi harus dipertingkatkan.
Katanya sesebuah negara amat bergantung kepada persefahaman dan perpaduan rakyatnya untuk mencapai kemajuan dan pembangunan.
“Negara tidak mungkin mencapai kemajuan dan membangun jika rakyatnya tidak memiliki persefahaman…jika perpaduan rakyat lemah, kita akan mudah untuk dikucar-kacirkan,” katanya dan menambah hal itu berlaku di beberapa buah negara yang bu- kan sahaja dipergunakan tetapi terus mundur.
Sambil menyifatkan konsep Satu Malaysia sebagai idea yang hebat, beliau memberitahu keharmonian dan kemakmuran yang dinikmati tidak mungkin ada jika perpaduan dan persefahaman kaum diketepikan.
Katanya apa yang berlaku di beberapa buah negara adalah contoh terbaik jika perpaduan dan persefahaman kaum dike- tepikan.
“Kita mahu agar keharmonian dan kemakmuran negara terus dinikmati oleh generasi ketika ini dan juga generasi akan datang…kita mahu ia kekal dan berterusan,” katanya lagi.
Majlis Anjuran Alumni SMESH/SBPS (ASSA) dengan kerjasama Pejabat Pembangunan Persekutuan Sabah turut dihadiri oleh ahli panelnya Mustapha Sakmud dan Aikesah Mohd Ali.
0 Isu bersara awal dalam kerajaan: Berapa banyak wang di tangan baru anda berani bersara awal?
Sumber: BH:
Cuepacs mahu jumpa JPA bincang isu persaraan pilihan
KUALA LUMPUR: Cuepacs akan menemui Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam bulan ini untuk meminta dipertimbangkan pelaksanaan peraturan persaraan pilihan penjawat awam.
Presidennya, Omar Osman, berkata perbincangan itu bertujuan mendapatkan penjelasan lanjut JPA berhubung perkara itu setelah banyak pertanyaan dibangkitkan mengenai peraturan baru itu yang melibatkan 1.2 juta penjawat awam.
Beliau berkata Cuepacs juga terkejut apabila ditanya anggotanya mengenai perkara itu kerana JPA tidak pernah mengajaknya berbincang mengenainya.
"Sukar bagi kami untuk menjelaskan perkara ini kerana kami (Cuepacs) tidak tahu tentangnya ... ada yang menyangka kami yang membawa (cadangan perkara itu) kepada kerajaan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Beliau mengulas pekeliling JPA pada 25 Jan lepas mengenai persaraan pilihan anggota yang akan diluluskan dengan syarat jika mereka bersetuju dibayar 20 peratus daripada ganjaran atau RM10,000 terlebih dahulu, mengikut mana yang lebih ketika bersara pilihan mulai Februari 2010 atau selepasnya.
Omar berkata bayaran 20 peratus atau RM10,000 daripada ganjaran benar-benar tidak mencukupi untuk penjawat awam bersara pilihan untuk meneruskan kehidupan sementara menunggu pencen mereka.
"Dulu kita tidak ada masalah kerana ganjaran diberi cukup dan dapat menampung sehingga boleh terima pencen...tapi sekarang, tak ada maknanya bersara pilihan sekarang kalau dapat RM10,000 sahaja," katanya.
Katanya, beliau tidak mahu, akibat daripada peraturan itu, penjawat awam terutamanya dari kumpulan sederhana dan bawahan membuat pinjaman daripada Ah Long untuk menampung kehidupan.
Beliau berkata kerajaan harus memahami masalah penjawat awam kerana kebanyakan mereka yang memohon berhenti awal bukanlah kerana kepentingan peribadi tetapi akibat beberapa kesulitan kehidupan.
"Jika kerajaan beri 50 peratus daripada ganjaran, eloklah sikit, contohnya kalau ganjaran sebenar RM80,000 maka dapatlah dia RM40,000. Beri RM10,000 nak buat apa, satu jam sahaja boleh habis. Oleh itu, kita minta kerajaan kaji semula semula perkara ini," katanya. - Bernama
0 Hari ini 01022010. Tarikh yang istimewa. Apa hajat anda. Mari buat hajat
Tarikh yang istimewa. Tidak mahu ketinggalan untuk post tajuk tentang tarikh ini.
Apa kisah anda hari ini? Berita gembira, suka dan duka? Kejayaan dan kegagalan? Mari kongsikan kepada pembaca.
Kejayaan anda hari ini:
1. Man U menang
2.
3.
4.
5.
6.
Kegagalan anda hari ini:
1. Arsenal kalah
2.
3.
4.
5.
6.
0 Selalunya idea spontan adalah sangat paling berpotensi. Mari hasilkan idea spontan yang akan jadi lumayan
Sumber: UM:
Tuah lagu ciptaan lima minit
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar WAHIDAH ZAINAL

PETE yang mengagumi bakat besar Aizat menyifatkan penyanyi dan komposer muda itu sebagai anak muda berjiwa besar.
--------------------------------------------------------------------------------
SEHINGGA ke hari ini, kalau ditanya kepada Pete Teo apakah perasaannya selepas menjuarai Anugerah Juara Lagu Ke-24 (AJL24), jawapannya akan tetap disulami ketawa kecil.
Biarpun sudah berminggu-minggu berlalu, namun kemenangan lagu Pergi tetap menjadi perdebatan dan perbualan.
Baginya, pengiktirafan tertinggi itu merupakan hadiah yang paling istimewa dalam hidupnya sepanjang bergelar anak seni hampir dua dekad.
Tidak pernah mengimpikan sebarang kemenangan pada malam gilang-gemilang itu kerana melihat saingan yang begitu sengit, hala tuju Pete dalam bidang muzik hanya satu.
Dia mahu melahirkan muzik yang penuh jujur dan ikhlas agar pendengar mampu menikmati karya itu sebaiknya menerusi mesej yang disampaikan.
"Saya berterima kasih kepada pihak juri yang telah menobatkan lagu Pergi sebagai juara dan jujurnya, saya benar-benar terkejut dengan kemenangan ini.
"Sebagai seorang komposer, saya lebih berasa puas hati dengan gaya penyampaian Aizat yang telah menghidupkan lagu ini dengan cukup cemerlang sekali.
"Rasanya, tiada siapa yang dapat membawakan lagu ini sebaik Aizat. Saya memang kagum dengan kebolehannya dan dia memiliki jiwa yang besar dalam bidang muzik," demikian luahan jujur Pete sewaktu sesi fotografi yang berlangsung di kediamannya di pinggir ibu kota, baru-baru ini.
Dengan kemenangan lagu Pergi itu, gandingan Pete bersama penulis lirik, Amran Omar dan Aizat selaku penyanyi membawa pulang hadiah kemenangan sebanyak RM35,000.
Bukan itu sahaja, Pete juga berjaya menjadi komposer bukan Melayu kedua yang memenangi gelaran tertinggi itu selepas Aubrey Suwito memenanginya pada tahun 2006 menerusi lagu Gemilang.
Cuma, Pete berasa sedikit ralat kerana tidak berpeluang mengecapi kejayaan lagu Pergi pada malam bersejarah itu kerana berada di China atas urusan kerja.
"Namun begitu, kekecewaan saya itu sedikit terubat kerana dapat menontonnya secara langsung biarpun menerusi laman web sahaja," kata Pete yang tidak putus memuji kesungguhan Aizat sewaktu merakamkan lagu tersebut di studio walaupun memakan masa selama lima jam.
Barangkali ramai yang tidak tahu apabila lagu Pergi merupakan lagu yang paling singkat pernah dicipta oleh Pete iaitu dalam tempoh lima minit sahaja!
Sekadar menyingkap sejarah kelahiran lagu Pergi, pada asalnya, lagu berkenaan merupakan lagu Inggeris yang berjudul I Go.
Kemudian, ia dialih bahasa menjadi Pergi selepas Allahyarham Yasmin Ahmad mahu menjadikan ia sebagai lagu tema untuk filem Talentime.
Mungkin sudah menjadi rezeki Pete apabila pengarah filem tersohor itu tertarik dengan melodi lagu tersebut sebaik sahaja mendengarnya di internet.
Mengimpikan untuk bekerja dengan Allahyarham Yasmin sejak mengenalinya sekitar tahun 2003, Pete tidak menunggu masa yang lama untuk memberikan persetujuan dan dengan pantas, dia mengusulkan cadangan itu kepada pihak pengurusannya.
"Daripada situ, kami berbincang dan menyenaraikan beberapa penulis lirik yang kami fikir berpotensi untuk menterjemahkan lirik I Go kepada bahasa Melayu.
"Selepas diteliti, dengan penuh yakin saya sendiri memilih Amran Omar yang saya kira layak untuk menggalas tanggungjawab itu memandangkan dia antara penulis lirik prolifik di negara ini.
"Dia baca lirik I Go dan menterjemah kepada bahasa Melayu dengan mengekalkan maksud serta emosi lagu berkenaan seperti mana yang saya mahukan," cerita Pete yang cukup peramah ini panjang lebar.
Diajukan dengan soalan tentang pertikaian segelintir pihak yang tidak puas hati dengan kemenangan lagu itu, dengan tenang Pete memberitahu dia tidak kisah tentang apa yang mahu diperkatakan.
Kerana baginya, keputusan yang telah dilakukan adalah tentang penilaian serta apa yang juri lihat serta dengar untuk setiap lagu yang bertanding.
Tambah anak kelahiran Tawau, Sabah ini lagi, dia percaya setiap komposer memiliki sentuhan dan cara menulis lagu yang tersendiri tanpa perlu mengikut orang lain.
"Saya percaya pada muzik saya sendiri dan bagi saya, setiap muzik dan karya yang saya hasilkan haruslah jujur dan ikhlas agar pendengar dapat merasakan mesejnya.
"Jujurnya, saya bukan seperti komposer lain yang berani eksperimen dengan muzik yang baru semata-mata untuk menjadikan ia sebagai muzik yang popular.
"Saya seorang yang cukup ringkas dan setiap melodi yang terhasil adalah dengan petikan gitar saya sahaja.
"Persetankan kalau ada yang mengatakan muzik saya kolot atau tidak mengikut peredaran zaman kerana hanya saya sahaja yang tahu apa yang saya mahukan," katanya dalam nada lembut namun tegas.
Hakikatnya, nama Pete sebenarnya bukanlah asing bagi mereka yang mengikuti perkembangan dunia hiburan.
Kalau ada yang tidak tahu, bakat dan muzik Pete sudah lama berkelana jauh ke negara luar seperti Hong Kong, China, Taiwan malah lagu-lagunya turut diminati oleh pecinta muzik di Russia.
Sebelum kemenangannya di AJL, Pete pernah mencipta kejayaan di Anugerah Industri Muzik dengan menggondol beberapa anugerah seperti Video Muzik Terbaik, Kulit Album Terbaik dan juga Album Inggeris Tempatan Terbaik untuk album keduanya, Television.
Lebih membanggakan lagi apabila nama Pete tersenarai antara 135 individu di Asia yang perlu diperhatikan untuk tahun 2009 oleh CNN.
Pete dengan jujur mengakui, namanya memang tidak popular seperti komposer arus perdana yang lain kerana dia lebih selesa untuk tidak terlalu menonjolkan dirinya.
Bukan mahu berlagak atau menganggap dirinya bagus dan hebat, tapi kata Pete itu adalah dirinya dan perjuangannya sejak dulu lagi.
Kerana itu jugalah, apabila ditanya nama penuhnya dan umurnya kini, Pete hanya akan tersenyum dan memberikan jawapan-jawapan yang melucukan.
Apa yang penting baginya adalah dia mahu masyarakat lebih mengenali muziknya berbanding dengan dirinya sendiri.
Inspirasi
"Namun, selepas kemenangan lagu Pergi, ia telah memberikan anjakan baru dalam kerjaya saya apabila kini semakin ramai yang mahu mengenali dan mengambil tahu tentang kerja-kerja saya.
"Memang ia satu berita yang gembira buat saya dan ia menjadi inspirasi untuk saya terus bekerja keras untuk menghasilkan muzik yang berkualiti," katanya penuh optimis.
Sempat juga ditanya kepada Pete, seandainya dia diberi peluang bekerjasama dengan artis tempatan lain, Pete tidak menunggu lama untuk memberikan jawapannya.
"Jaclyn Victor, Ning Baizura, Faizal Tahir dan Datuk Siti Nurhaliza antara nama-nama yang ingin saya bekerjasama kerana mereka memiliki bakat nyanyian yang cukup bagus.
"Tetapi, seperkara yang ingin saya ingatkan bagi mereka yang mahu merakamkan lagu dengan saya.
"Mereka perlu jujur dan menjadi diri sendiri tanpa berselindung di sebalik status mereka sebagai artis kerana jika saya mahukan karya yang jujur, begitu juga saya mahukan daripada mereka.
"Saya bukan seorang yang suka melakukan tugas sambil lewa dan saya akui, saya seorang yang cukup tegas serta cerewet kerana mahukan hasil yang terbaik," katanya tanpa selindung dalam nada yang cukup tegas.
Jika mereka tidak mengenali Pete, mungkin mereka akan beranggapan dia adalah seorang yang sombong dan berat mulut.
Tetapi, selepas hampir dua jam duduk dan bersembang dengannya, Pete sebenarnya seorang yang penuh dengan humor serta memiliki wawasan tersendiri dalam bidang muzik dan juga perfileman.
"Bagi saya, muzik itu terlalu luas dan saya sendiri tidak mahu mengehadkan diri saya.
"Kerana itu, saya kini semakin galak untuk meluaskan bakat saya dalam bidang penciptaan skor muzik untuk filem yang pada saya cukup mencabar minda serta kreativiti saya.
"Semakin sukar perkara itu dilakukan, semakin saya suka dan dapat menumpahkan ilham saya untuk perkara yang saya lakukan itu," ujarnya yang menghasilkan skor muzik dan lagu tema untuk filem Talentime dan Gubra serta filem indie, At The End Of Daybreak arahan Ho Yuhang.
Di samping itu juga, Pete juga mahu terus aktif dalam bidang lakonan dan tawaran berlakon untuknya juga semakin mencurah-curah kini.
Siapa yang dapat lupa lakonannya sebagai Uncle Lim iaitu sahabat kepada watak Saadom lakonan Afdlin Shauki dalam filem Papadom.
Begitu juga dengan filem-filem lakonannya untuk pengarah-pengarah indie seperti Ho Yuhang, Tan Chui Mui dan James Lee yang kebanyakannya meraih pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Filem terbarunya, Stretch yang menyaksikannya berlakon di samping pelakon terkenal Hollywood, mendiang David Carradine akan ditayangkan tidak berapa lama lagi.
Bagi mereka yang mahu mengenali lebih dalam lagi tentang Pete Teo, bolehlah layari laman web rasminya, www.peteteo.com.






