.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Saturday, October 19, 2013

0 Sastera Malaysia harus berjiwa besar kalau mahu maju

Promosi sastera Melayu ke peringkat antarabangsa 2013/10/14 - 20:38:42 PM Dr Anwar Ridhwan Cetak Emel Kawan Tiada produk yang akan dikenali tanpa usaha promosi. Setiap promosi pula memerlukan peruntukan tersendiri yang dianggap sebagai elemen kos pengeluarannya. Maka program pengembangan sastera Melayu pada peringkat antarabangsa harus dipromosi secara berterusan, berskala luas dan berjangka panjang. Peranan itu turut dimainkan oleh penerbit luar negara yang bersedia bekerjasama dengan kita. Lokasinya di seberang laut akan memberi kesan ke atas penjualan serta penyebaran karya sastera kita di luar negara. Sebagai contoh, terjemahan ke dalam bahasa Perancis wajar diterbitkan oleh penerbit di Perancis; terjemahan ke dalam bahasa Inggeris wajar diterbitkan oleh penerbit di England atau Amerika Syarikat, terjemahan ke dalam bahasa Jerman wajar diterbitkan oleh penerbit di Jerman dan begitulah seterusnya. Niat baik untuk menterjemah dan menerbitkan karya sastera kita, dengan harapan ia akan tersebar pada peringkat antarabangsa, ada kalanya dihalang apabila menerbitkannya di Malaysia. Sudahlah begitu, strategi pengedarannya pula kurang berkesan. Jika karya terjemahan sastera kita diterbitkan dalam negara, penyebarannya agak terbatas yang hanya dilakukan dalam pesta buku antarabangsa (itu pun kita tidak dapat membawa semua judul buku terjemahan), atau melalui usaha promosi dan pembelian secara online (itu pun jika penerbit tempatan melakukannya secara agresif). Kerjasama dengan penerbit luar Dalam hubungan ini penerbit tempatan wajar menjalin kerjasama penerbitan dengan penerbit luar negara. Dalam kes tertentu, ada penerbit luar negara yang berminat menerbitkan karya asing (termasuk dari Malaysia), hingga tidak memerlukan apa-apa kos daripada penerbit Malaysia. Dalam sesetengah kes pula, mereka memerlukan pembabitan sebahagian kos daripada pihak kita; yang mana ini pun wajar dipertimbangkan kerana akan memudahkan penyebaran karya sastera kita di luar negara. Satu lagi yang sering diabaikan ialah pusat pengajian Melayu/Malaysia di luar negara. Sungguhpun jumlah pusat pengajian Melayu/Malaysia di luar negara tidak sebanyak beberapa dekad yang lalu, kita boleh menjalin kerjasama dengan tenaga akademik dan pelajarnya. Kerjasama ini boleh meliputi usaha penterjemahan, penjualan karya serta aktiviti seperti pelancaran buku, diskusi buku, sesi bersama pengarang, pengisian jurnalnya tentang sastera Melayu dan sebagainya. Kedutaan kita di luar negara juga wajar memperkenalkan sastera dan sasterawan kebangsaan kita. Hanya sebahagian kecil kedutaan, dalam waktu tertentu saja pula, yang mahu memberi layanan terhadap aktiviti sastera kebangsaan kita di luar negara. Yang lain, pada umumnya buta terhadap perkembangan sastera kebangsaan, jauh pula untuk turut mempromosikannya. Situasi ini harus diubah supaya kedutaan kita turut memainkan peranan memperkenalkan sastera/sasterawan kita di luar negara, terutama bagi yang karyanya telah diterjemahkan ke dalam bahasa asing. Terbit karya pengkritik sastera Satu lagi faktor yang kita abaikan ialah membina pengkritik sastera yang tulisan mereka boleh diterbitkan dalam jurnal atau majalah sastera antarabangsa. Tanpa sesiapa menulis mengenai sastera kita dalam jurnal atau majalah sastera antarabangsa, sastera kita kurang diketahui secara meluas, terutama oleh golongan pemikir sastera yang serius. Situasi ini juga harus diubah, dengan melantik dan membayar honorarium yang sewajarnya kepada mereka yang kita kenal pasti boleh memikul misi itu. Satu daripada masalah kegiatan sastera Malaysia peringkat kebangsaan dan apatah lagi peringkat antarabangsa ialah sesuatu kegiatan itu tidak tekal, tidak berkesinambungan. Kelemahan ini harus diatasi. Kita wajar mempunyai program sastera peringkat kebangsaan dan antarabangsa yang berkesinambungan, termasuk tarikh tahunan yang dikekalkan, hingga ia membentuk nama dan jenama yang dikenali secara global. Dengan cara itu sastera kita akan sentiasa diikuti perkembangannya. Kita wajar mempunyai satu atau dua kegiatan sastera antarabangsa tahunan yang kekal berpanjangan, terutama yang membabitkan penyertaan penulis dan sarjana di luar dunia Melayu. Melalui kegiatan seperti ini, akan terjalin perkenalan, interaksi serta pendedahan sastera dan sasterawan kita dengan lebih meluas lagi. Dalam era media elektronik secara perlahan melemahkan pengaruh media cetak, kita wajar mengoptimumkan penggunaan teknologi ICT untuk mempromosi sastera dan sasterawan kita dalam pelbagai bahasa dunia. Medium ini harus kita manfaatkan sebaik mungkin. Perlu ada usaha yang bersepadu dan berwawasan besar untuk tujuan berkenaan, dengan menggunakan kemudahan internet, media sosial dan sebagainya, dalam pelbagai bahasa utama dunia. Penulis ialah Sasterawan Negara dan pensyarah Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA

Friday, October 18, 2013

0 Berkat kahwin selepas 80 tahun perkahwinan

Lelaki berusia 103 tahun berkahwin lagi RIELLA duduk di atas kerusi roda di sebelah isterinya, Lopez pada majlis perkahwinan yang diadakan di belakang rumah mereka di Santa Rosa del Aquaray, Asuncion pada Selasa lalu.- AFP BUENOS AIRES - Seorang lelaki berusia 103 tahun, Jose Manuel Riella melangsungkan semula perkahwinan dengan isterinya, Martina Lopez yang berusia 99 tahun pada Selasa lalu di belakang rumah mereka di Asuncion, Paraguay. Pasangan itu sebelum ini telah melangsungkan perkahwinan buat kali pertama pada tahun 1933 tanpa dihadiri oleh seorang paderi tetapi disaksikan hanya pegawai pentadbiran. Namun, selepas 80 tahun hidup bersama, pasangan itu sekali lagi melangsungkan perkahwinan dengan dihadiri seorang paderi Kristian Katolik. Ketika majlis itu berlangsung, Riella duduk di atas sebuah kerusi roda. Majlis perkahwinan itu dihadiri oleh lapan orang anak mereka. Seramai 50 cucu, 35 cicit dan 20 piut pasangan itu turut menyaksikan majlis perkahwinan itu. - Agensi Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1018&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2i0ijaki2 Hakcipta terpelihara

Sunday, October 06, 2013

0 Apabila kerajaan AS tiada duit untuk bayar gaji kakitangan awam

Jaga-jaga jangan jadi macam Amerika 2013/10/05 - 03:43:52 AM Kunta Kinte Cetak Emel Kawan Yang kita pernah dengar, ada negara miskin tak cukup duit nak belanja sampai gaji kakitangan awam pun tak boleh dibayar atau lambat dibayar. Ada yang berhutang dengan kakitangan awam sampai berbulan-bulan. Nak bangunkan negara dan bayar hutang luar tentulah jauh sekali. Bila dah tak ada jalan lain, mereka cap duit. Mereka tambah jumlah mata wang dalam edaran. Yang tak dapat gaji, dapat gaji tapi bila nak belanja tak laku. Harga barang-barang dan perkhidmatan naik sebab yang naik bukan pengeluaran barang-barang dan perkhidmatan, tetapi jumlah duit. Kita kena ambil tahu sebab ekonomi Amerika adalah yang terbesar di dunia. Apa yang berlaku kepada Amerika jejas satu dunia” Bila jumlah duit naik, tapi tak disokong oleh harta kerajaan yang berharga macam emas dan simpanan mata wang asing, nilainya bukan saja tak naik malah turun. Lagi banyak duit dicap dan diedarkan, lagi murahlah nilainya. Lagi-lagilah kalau ekonomi negara yang cap duit tu pula lemah. Pasal itulah pengurusan ekonomi, belanjawan, cukai dan mata wang sangat penting. Sebab itulah banyak negara bila dapat Menteri Kewangan yang baik, mereka jaga betul-betul. Masalahnya, dalam dunia tak banyak orang politik yang cekap dan pandai hal kewangan. Bila tak cekap dan tak pandai, tapi ada kuasa mereka lebih banyak fikir hal politik dan populariti daripada kepentingan jangka panjang negara. Di sesetengah negara, bila dapat Menteri Kewangan yang cekap dan bagus, mereka simpan lama-lama. Tapi manusia tetap manusia. Bila dia berjaya sebagai Menteri Kewangan dan jadi popular, dia nak naik jadi Perdana Menteri pula atau rakyat jelata paksa dia jadi Perdana Menteri. Itulah yang jadi kepada Manmohan Singh di India. Dia sangat berjaya sebagai Menteri Kewangan, tapi bila dipilih jadi Perdana Menteri dia tak berjaya nak ubah ekonomi India. Akhirnya yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Pengurusan kewangan lemah, ekonomi tak berkembang dan, baru-baru ini nilai tukaran rupee merudum. Tapi itu cerita negara miskin. Pada akhir-akhir ini negara maju pun hadapi masalah yang sama. Mula-mula Iceland, lepas itu Greece. Portugal dan Sepanyol pun kena walaupun tak teruk sangat. Tak mampu bayar gaji Macam mana pun yang paling teruk hadapi masalah belanjawan ialah Amerika Syarikat. Dah banyak kali Kerajaan Amerika dekat-dekat muflis sampai nak bayar gaji kakitangan awam pun tak mampu. Di bawah Presiden Barack Obama saja dah dua kali. Kali pertama dia nasib baik bila parti dia, iaitu Demokrat berjaya dapat kerjasama parti pembangkang, Republikan. Tapi kali ini Republikan tak mahu tolong dia lagi kalau dia tak mahu dengar kehendak mereka. Obama pula tak mahu mengalah. Jadi pertengahan minggu ini, pemerintahan Kerajaan Amerika ditutup. Kerajaan tak ada duit nak bayar gaji kakitangan Persekutuan. Beratus-ratus ribu pekerja awam diperintah jangan datang kerja sebab Pentadbiran Obama tak ada duit lagi nak bayar gaji mereka. Nak tambah hutang pun tak dibenarkan lagi. Pendek kata, Kerajaan Pusat Amerika dah bankrap. Kita kena ambil tahu sebab ekonomi Amerika adalah yang terbesar di dunia. Apa yang berlaku kepada Amerika jejas satu dunia. Penutupan kerajaan Dalam bahasa Inggeris disebut government shutdown atau lebih kurang penutupan kerajaan. Kerajaan ditutup kerana tak ada duit nak uruskan pentadbiran awam. Inilah bahananya bila orang politik asyik main politik, lebih banyak cakap dan berslogan daripada buat kerja, banyak melawat ke luar negara, boros dan salah guna kewangan negara. Bila orang politik yang tak ada pengetahuan dalam pengurusan ekonomi dan kewangan jadi Presiden atau Perdana Menteri, inilah akibatnya. Obama dia peguam. Penasihat dia pun nampaknya half-past six. Negara bankrap dan rakyat jelata menderita. Itu pun ada lagi orang kita yang sanjung Obama macam dia dewa. Kerajaan Amerika dah bankrap, tapi pemimpin Amerika dok ingat mereka kuat dan berkuasa macam zaman Perang Dingin, boleh peras ugut satu dunia beli senjata dan barang-barang keluarannya. Apa yang jadi kepada Amerika dan kepada makin banyak negara maju boleh jadi kepada kita kalau kita tak belajar, tak ambil iktibar. Dan kalau kita dok ingat kita kaya, kita stabil dan kita boleh hutang bila-bila masa kita mahu. Kita pun akan muflis kalau pengurusan ekonomi, kewangan, percukaian dan mata wang kita tak cekap, kerajaan boros, rasuah dan salah guna kuasa. Artikel terkait : Impak penutupan kerajaan AS SEKUMPULAN penjawat awam menyertai tunjuk perasaan untuk menuntut Kongres menamatkan penutupan kerajaan AS di luar bangunan U.S. Capitol di Washington, Amerika Syarikat kelmarin. BALI - Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry semalam memberi amaran kepada Kongres supaya berfikir panjang mengenai impak negatif yang akan timbul berikutan penutupan operasi pentadbiran negara itu sejak lima hari lalu. Pertikaian antara Parti Demokrat dan Republikan itu disifatkan beliau sebagai 'cuai' dan boleh menjejaskan kreadibiliti AS di mata dunia jika ia tidak diselesaikan segera. Malah, ia seakan-akan memberi mesej kepada dunia bahawa AS tidak mampu menyelesaikan masalahnya sendiri. "Sekiranya krisis ini berterusan atau berulang, orang ramai akan mula mempersoalkan kemampuan AS untuk mengendalikan kerajaannya sendiri," kata Kerry dalam satu mesyuarat sewaktu Sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang berlangsung di sini. Kerry bagaimanapun menegaskan bahawa imej AS masih belum tercalar di mata pemimpin dunia dan yakin isu itu dapat diselesaikan tidak lama lagi. "AS tetap menjadi kuasa paling besar di dunia dari segi kapasiti ketenteraan dan ekonomi," tambah Kerry. Sebelum ini, Presiden AS, Barack Obama terpaksa membatalkan lawatannya ke beberapa buah negara ASEAN termasuk Malaysia, Brunei dan Filipina. Obama juga terlepas peluang menghadiri mesyuarat APEC. Kerry yang menggantikan tempat Obama untuk lawatan ke negara ASEAN menyatakan, beliau percaya tindakan Republikan menghalang perbelanjaan kerajaan di Kongres sebagai satu langkah berbahaya. Biarpun begitu, Kerry menegaskan, isu di Washington tidak akan menjejaskan komitmen AS terhadap rakan-rakannya di Asia dari aspek perdagangan dan pelaburan di rantau terbabit. Penutupan kerajaan AS berlaku apabila Republikan yang menguasai Dewan Perwakilan enggan meluluskan wang untuk operasi pentadbiran kecuali undang-undang penjagaan kesihatan yang dikenali sebagai Obamacare ditangguhkan atau tidak dibiayai. Obama dikatakan enggan untuk berunding dengan Republikan mengenai isu bajet sehinggalah mereka meluluskan rang undang-undang sementara untuk membuka kembali kerajaan AS. Selain bersetuju menaikkan had pinjaman berkanun kepada AS$16.7 trilion (RM53.1 trilion) "Undi dan hentikan sandiwara ini. Tamatkan penutupan kerajaan ini sekarang," tegas Obama. Penutupan kerajaan memberi impak besar. Dari segi polisi dana luar, ia menangguhkan bantuan keselamatan kepada Israel dan menjejaskan pemantauan terhadap sekatan yang dikenakan ke atas beberapa buah negara seperti Iran. Penutupan kerajaan AS turut memberi kesan kepada pelancong yang ingin mengunjungi Institusi Smithsonian yang terdiri daripada 19 buah muzium, galeri-galeri dan Zoo Nasional. Sementara taman-taman awam termasuklah Statue of Liberty, Yosemite dan Alcatraz juga terpaksa ditutup. Krisis itu menyebabkan ratusan ribu penjawat awam di beberapa jabatan seperti pertahanan, perdagangan, tenaga dan pengangkutan diarahkan untuk bercuti tanpa gaji. Justeru, penyelidikan saintifik juga terpaksa ditangguhkan. Kali terakhir AS menutup operasi kerajaannya adalah pada 17 tahun lalu. - Agensi Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1006&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2gsKM6VMU Hakcipta terpelihara