.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Thursday, January 27, 2011

0 Astro First: Penduduk luar bandar yang berkeluarga vs Golongan bermastautin di bandar: VS CETAK ROMPAK

Sumber pendapatan tambahan

Oleh Muhamad Fairoz Azizan

2011/01/27
Astro First tidak jejas kunjungan ke pawagam, sesuai kaedah pemasaran terkini filem

SALURAN berbayar Astro First yang menimbulkan pelbagai reaksi dan tanggapan di kalangan pengikut serta penggiat industri filem dianggap medium terbaik untuk penerbit memasarkan filem mereka, selain di pawagam. Walaupun filem yang ditayangkan di saluran itu masih rancak diputarkan di panggung, kewujudan saluran berkenaan dilihat bertujuan memberi kesaksamaan kepada semua pihak termasuk penonton.

Bukan bererti menyekat pendapatan pembikin filem, sebaliknya ia menjadi medan buat penerbit filem meraih pendapatan alternatif, selain kutipan diperoleh menerusi tayangan di pawagam. Kini mereka mampu memasarkan filem ke seluruh negara termasuk ke kawasan pedalaman. Malah, saluran itu juga dianggap antara cara terbaik untuk penonton yang tidak berpeluang menonton di pawagam, untuk sama-sama menonton di rumah bersama keluarga. Apatah lagi kini peminat filem tempatan dapat menontonnya berulang kali, hanya di kediaman masing-masing. Penayangan segera di saluran itu juga dianggap antara langkah bagi menyekat kegiatan cetak rompak yang kian berleluasa di samping menyelamatkan filem tempatan yang kurang mendapat sambutan ketika di pawagam.

Bagi dua penerbit yang aktif menghasilkan pelbagai judul, Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan Norman Abdul Halim, langkah yang diambil pihak stesen televisyen berbayar ini harus dipandang positif oleh semua pihak bagi menaikkan lagi industri perfileman, malah penerbit filem turut berpuas hati dengan wujudnya saluran ini yang dianggap sumber pendapatan kedua bagi penggiat filem.

Dengan tidak perlu menunggu sehingga enam bulan untuk menonton filem tempatan yang ditayangkan di pawagam, penonton juga dapat meluangkan masa bersama keluarga, di samping mengelakkan kesesakan di bandar.

Bagi Idham, saluran itu dianggap medium penyelamat bagi penerbit filem untuk memasarkan filem mereka, selain menarik minat penonton di luar bandar.
“Sepatutnya dari dulu lagi saluran ini diwujudkan bagi membantu industri filem kita dan saya rasa ini adalah medium terbaik untuk penerbit filem meraih pendapatan tambahan, selain pungutan dilakukan di pawagam,” katanya.

Dianggap tidak menjejaskan industri perfileman tempatan, saluran itu padanya memberikan fokus kepada penonton yang berkeluarga dan di luar bandar, yang kini tidak perlu menunggu masa yang lama untuk menonton filem terbaru.

Jelas sekali wujud keadilan kepada penonton dengan hanya membayar RM15 untuk satu filem, mereka boleh menonton berulang kali dalam tempoh 48 jam, malah penerbit juga mendapat imbuhan daripada setiap filem yang dilanggan.

Kata Idham, konsep langgan dan tonton yang diwujudkan Astro ialah langkah berkesan bukan saja bagi menarik minat penonton, malah dapat menyalurkan filem terbaru ke seluruh negara dan dengan cara itu penerbit filem dapat meraih pendapatan sampingan.

“Target saluran ini adalah untuk penonton yang berkeluarga dan mereka yang berada di luar bandar, yang susah untuk ke panggung. Justeru ia tidak menjejaskan tayangan di panggung kerana sasarannya berbeza, iaitu golongan muda dan bermastautin di bandar,” jelas Idham yang juga seorang pengarah terkenal.

Kehadiran saluran ini juga dianggapnya bertepatan dengan waktunya, pada ketika industri itu kian tercalar disebabkan oleh kegiatan cetak rompak.

Jelasnya, setiap orang perlu menerima perubahan dalam industri perfileman daripada cara tradisional menonton filem di pawagam beralih ke kaca televisyen dan hakikatnya kini, setiap orang tidak boleh menidakkan format baru untuk menonton filem tempatan yang kian maju.

Menonton atas talian di internet

JIKA kini orang ramai boleh menonton filem baru di kaca televisyen, tidak mustahil satu hari nanti penonton atau peminat filem tempatan sudah boleh melakukannya secara atas talian di internet. Malah kaedah itu sudah dipraktikkan di negara luar.

Bak kata Norman, dalam industri muzik sendiri sudah ada perubahan di mana peminat boleh mendengar lagu terbaru di internet atau hanya memuat turun melalui telefon bimbit.

“Tidak mustahil kalau satu hari nanti industri filem tempatan turut terkena tempias pemodenan dan kecanggihan teknologi kini.
"Walaupun ada format baru sebegini, orang ramai masih tetap akan ke panggung untuk menonton kerana suasana ketika menonton di panggung cukup berbeza berbanding di rumah,” katanya.

Menurutnya lagi, walaupun industri muzik sudah beralih format, begitu juga teknologi untuk mendengar lagu terbaru, namun format CD masih mendapat permintaan ramai daripada peminat muzik. Begitu jugalah dengan industri filem.
“Jika dulu filem baru tempatan ditayangkan pada musim perayaan saja dan penerbit filem dibayar hanya sekali satu jumlah, tetapi kini dengan adanya saluran ini, penerbit filem dapat menikmati keuntungan daripada setiap langganan penonton.

“Sejak dulu lagi mentaliti penonton beranggapan setiap filem yang ditayangkan di pawagam akan tetap ditayangkan di televisyen, malah dikeluarkan dalam bentuk VCD dan DVD, tetapi penonton tetap juga ke panggung kerana sistem bunyi dan gambar yang lebih cantik dan jelas,” katanya.

Malah, dengan adanya saluran ini juga ia menjadi wadah baru dalam industri perfileman yang dikatakan kian berubah daripada panggung ke VCD dan DVD, kini terus ke kaca televisyen tanpa menunggu masa yang lama untuk menonton filem baru.

Ketika yang sama ia dianggap penggerak ke arah pemodenan filem tempatan yang mungkin mencetus revolusi baru dalam teknologi pemasaran filem dan tidak mustahil satu hari nanti penerbit filem akan menjadikan televisyen sebagai saluran kedua penting untuk meraih pendapatan.