.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Thursday, December 08, 2011

0 Apabila hanya ada tunai 1 bilion dan 8 laluan penerbangan perlu ditamatkan

MAS kini kritikal

Ahmad Jauhari Yahya (kanan) menjawab soalan pemberita selepas mengumumkan pelan pemulihan MAS di Kelana Jaya, Selangor, semalam. Di kirinya Mohammed Rashdan Yusof.


PETALING JAYA 7 Dis. - Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) yang rugi berturut-turut sepanjang tiga suku tahun 2011, kini 'kritikal' sehingga perlu menggantung rangkaian laluannya untuk mencapai aspirasi keuntungan menjelang 2013.

Penggantungan laluan yang terkandung dalam Pelan Pemulihan Perniagaan MAS yang diumumkan hari ini, terpaksa dilakukan kerana syarikat penerbangan itu hanya mempunyai tunai sebanyak RM1 bilion yang cukup sehingga tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Jauhari Yahya berkata, langkah yang tidak popular itu perlu dibuat, bukan hanya untuk mengembalikan keuntungan MAS tetapi menyenaraikan MAS semula dalam 10 kedudukan senarai syarikat penerbangan terbaik dunia.

Antara laluan yang telah menyumbangkan kerugian sebanyak 40 peratus kepada MAS ialah Cape Town, Johannesburg, Buenos Aires serta Dubai dan ia berkuat kuasa pada awal 2012.

Beliau berkata, beberapa laluan lain yang bakal digantung akan diumumkan kemudian selepas ia dimuktamadkan nanti dan tidak menolak beberapa laluan Eropah seperti Frankfurt dan Rom juga sedang diteliti.

''MAS tiada pilihan lain terpaksa 'mengecut' operasinya untuk berkembang dan paling penting syarikat penerbangan itu perlu dikeluarkan daripada situasi sukar supaya ia boleh berkembang semula.

''Kami hanya mahu memberi keutamaan kepada perniagaan teras sahaja dengan mengambil kira MAS perlu mempunyai saiz yang betul untuk meneruskan kelangsungan MAS pada masa depan.

''Pengurangan tempat duduk tersedia setiap kilometer (ASK) kira-kira 12 peratus dijangka mampu menjimatkan antara RM220 juta hingga RM302 juta pada tahun depan,'' katanya pada sidang akhbar pertamanya selepas dilantik menerajui MAS di sini hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Mohammed Rashdan Yusof.

Dengan pelan pemulihan itu, MAS akan menjadi penerbangan premium serantau yang menumpukan laluan yang mendapat permintaan tinggi seperti Manila, Jakarta dan Narita.

Beliau menafikan MAS bakal bersaing dengan AirAsia Bhd. (AirAsia) kerana penerbangan premium menawarkan kelas perniagaan dan perkhidmatan penuh.

Ahmad Jauhari berkata, kakitangan MAS yang terlibat dalam penggantungan laluan akan ditempatkan di anak-anak syarikatnya bukan teras.

''Kakitangan tidak mempunyai pilihan lain (untuk tidak menerimanya) kerana MAS mempunyai aliran kewangan terhad, sambil menyifatkan keadaan semasa MAS adalah lebih teruk berbanding ketika kerugian sebelum ini.

''Pemberhentian kerja secara sukarela (VSS) adalah pilihan terakhir yang kami akan buat,'' katanya.

Ahmad Jauhari menambah, tindakan kedua dalam pemulihan itu ialah memenangi semula hati penumpang MAS melalui penerimaan 23 pesawat baharu pada 2012.

Tegasnya, penggunaan pesawat baharu adalah kritikal kerana antara faktor-faktor yang menyumbang kepada penyusutan pelanggan adalah penggunaan pesawat yang lama.

Katanya, meskipun MAS memiliki krew kabin terbaik dunia namun persaingan hebat penggunaan pesawat baharu oleh syarikat-syarikat penerbangan khususnya dari Timur Tengah memberi kesan kepada MAS.

''Kami menjangkakan pesawat baharu mampu memperbaiki pengurusan pendapatan dan jualan taktikal dengan mengoptimumkan hasil antara RM394 juta hingga RM477 juta,'' kata beliau.

Tindakan ketiga adalah memberikan tumpuan terhadap pengurangan kos melalui simpanan yang diperoleh daripada penjimatan kos tetap, pemerolehan dan program pembaikan produktiviti yang menyumbang antara RM309 juta hingga RM392 juta.

Mohammed Rashdan berkata, pelan pemulihan yang dirangka itu mampu mengurangkan kerugian MAS pada tahun depan dengan unjuran aspirasi asas kes sebanyak RM165 juta dan sasaran dilanjutkan RM238 juta.

''Kami mahu mengekalkan tahap peningkatan keuntungan dan menjana keuntungan selepas cukai sebanyak RM900 juta pada 2016,'' jelasnya.


Artikel berkaitan:

Krisis: Industri penerbangan rugi

Oleh Abdul Muin Sapidin

GENEVA 7 Dis. – Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menjangkakan industri penerbangan bakal mengalami kerugian perolehan mencecah AS$8 bilion (RM24.9 bilion) pada tahun depan ekoran krisis ekonomi Eropah yang kian meruncing.

Unjuran kerugian itu adalah yang tertinggi sejak krisis ekonomi dunia pada tahun 2008.

Persatuan itu menurunkan sasaran awal keuntungan syarikat penerbangan pada tahun 2012 daripada AS$4.9 bilion (RM15.28 bilion) kepada hanya AS$3.5 bilion (RM10.2 bilion) dengan margin bersih sebanyak 0.6 peratus.

Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Tony Tyler berkata, perangkaan itu merupakan unjuran terbaik yang boleh dilakukan pada masa ini dengan mengambil kira suasana ekonomi Eropah yang kian perlahan selain faktor kenaikan harga bahan api.

‘‘Risiko paling besar yang terpaksa dihadapi syarikat penerbangan dalam mencatat keuntungan pada tahun depan ialah kegawatan ekonomi yang terhasil akibat kegagalan kerajaan menyelesaikan krisis hutang negara zon Eropah.

‘‘Unjuran ini mungkin berubah sekiranya ada tindakan daripada kerajaan untuk menyelesaikan isu penyediaan dana secara drastik selewat-lewatnya awal tahun hadapan,” katanya pada Hari Media Global IATA 2011 di sini hari ini.

Tyler berkata, berdasarkan analisa Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) baru-baru ini, kelembapan ekonomi zon Eropah berisiko mengakibatkan krisis perbankan di rantau itu sekaligus memberi kesan secara global.

Sementara itu, beliau berkata, sasaran keuntungan industri itu pada tahun ini kekal sekitar AS$6.9 bilion (RM21.5 bilion) walaupun suasana ekonomi yang lemah khususnya di Eropah dan Amerika Syarikat.

‘‘Dengan jangkaan margin keuntungan keseluruhan sebanyak RM1.2 peratus, ia memberitahu anda betapa sukarnya syarikat-syarikat penerbangan untuk mencatatkan keuntungan,” tambah Tyler.

Menurutnya, di peringkat global, permintaan penumpang dijangka berkembang sekitar 6.1 peratus tahun ini, lebih tinggi berbanding unjuran 5.9 peratus yang dibuat pada September lalu.

Dengan harga minyak Brent yang mencecah sehingga AS$112 setong, katanya, bil bahan api bagi industri penerbangan dijangka mencecah sehingga AS$178 bilion (RM555.36 bilion), lebih RM6.24 bilion daripada yang dijangka.

Artikel berkaitan:

MAS umum penamatan lapan laluan

KUALA LUMPUR 14 Dis. - Malaysian Airline System Bhd. (MAS) hari ini mengumumkan penamatan perkhidmatan udara ke beberapa destinasi berikutan pelaksanaan pelan rasionalisasi bagi mengurangkan kerugian.

Menurut kenyataan MAS, penamatan perkhidmatan itu membabitkan laluan Kuala Lumpur-Surabaya yang berkuatkuasa 6 Januari 2012, Lumpur-Dubai (10 Januari 2012) dan Kuala Lumpur-Karachi-Dubai (12 Januari 2012).

Selain itu, pada 13 Januari 2012, laluan Kuala Lumpur-Dubai-Damman turut dihentikan diikuti laluan Langkawi-Pulau Pinang-Singapura dihentikan berkuatkuasa 30 Januari 2012, Kuala Lumpur-Johannesburg (31 Januari 2012), Kuala Lumpur- Capetown-Buenos Aires (1 Februari 2012) dan Kuala Lumpur-Rom (2 Februari).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Jauhari Yahya berkata, penamatan laluan tersebut berdasarkan analisis keuntungan dan hasil syarikat.

Katanya, penamatan laluan-laluan itu melibatkan pengurangan 12 peratus kapasiti penumpang dan syarikat percaya melalui rasionalisasi laluan tersebut, ia akan meningkatkan hasil dan memberi impak kepada keuntungan sebanyak RM220 juta hingga RM302 juta pada 2012.

"Rasionalisasi laluan-laluan tersebut dijangka memberi impak minimum kepada kedudukan Malaysia sebagai salah satu destinasi pelancongan terbaik di Asia.

"Kami akan bekerjasama secara agresif dengan rakan kongsi perniagaan dalam industri yang sama,'' katanya.

Tambah Ahmad Jauhari, MAS akan berterusan mempromosi Malaysia dengan destinasi-destinasi utama di persada antarabangsa.

0 comments: