.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Tuesday, June 14, 2011

0 Contohi bagaimana terengganu hebat akademik dan sukan

Contohi Terengganu

Oleh MANIRAH OTHMAN
manirah.othman@kosmo.com.my




PEMBANGUNAN sukan yang tersusun, persiapan lebih awal dan sistem pengurusan yang profesional merupakan tiga elemen utama menjadikan Terengganu sebagai kuasa baru sukan tanah air.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat berkata, trend sukan di Terengganu yang melihat sukan sebagai ‘sumber rezeki’ juga merupakan antara faktor mendorong kepada lahirnya jaguh sukan bertaraf antarabangsa.

Katanya, gabungan semua elemen itu telah terbukti dengan kejayaan Terengganu muncul juara Sukan Malaysia (Sukma) buat kali ketiga berturut-turut.

Sebelum ini, Terengganu berjaya merangkul kejuaraan buat kali pertama pada tahun 2008 ketika mereka menjadi tuan rumah sebelum mengulanginya di Melaka tahun lalu.

“Selepas berakhirnya Sukma 2010 di Melaka tahun lalu, kita hanya sempat berehat selama sebulan sebelum memulakan latihan secara konsisten.

“Untuk membentuk atlet terbaik dalam tempoh setahun memang tidak boleh, tetapi kebanyakan daripada atlet yang kita hantar bertanding telah dilatih sejak usia kecil lagi,” katanya.

Menurut Rozi, di Terengganu sebenarnya telah wujud trend baru dalam bersukan yang mana aktiviti sukan dilihat sebagai acara wajib.

“Kita ada sekolah sukan sendiri dan beberapa buah sekolah di negeri ini merupakan kuasa dalam pelbagai bidang sukan,” jelasnya.

Penganalisis sukan, Profesor Tan Sri Khoo Kay Kim pula menyarankan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) agar melihat modul yang digunakan Terengganu dalam mengurus dan mentadbir sukan.

“Dulu Terengganu merupakan pasukan tercorot dalam sukan berbanding Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Sarawak.

“Namun, secara tiba-tiba, negeri dari Pantai Timur itu telah melonjak dan muncul sebagai juara Sukma dalam tiga edisi berturut-turut,” katanya.

Semua itu, kata Kay Kim, adalah disebabkan kemampuan Terengganu mengenal pasti bakat dalam kalangan anak-anak tempatan.

“Terengganu boleh diibaratkan sebagai lubuk atlet berkualiti seperti yang dibuktikan dengan lahirnya Azizulhasni Awang, Anuar Manan dan Fatehah dalam sukan berbasikal,” katanya.

Anak jati Terengganu yang juga bekas Raja Pecut negara, Nazmizan Muhammad pula memuji tindakan berani kerajaan negeri yang sanggup melabur bagi memastikan atlet-atlet negeri itu dilatih oleh jurulatih profesional.

“Atlet akan dibimbing oleh jurulatih berpengalaman sejak kecil lagi sementara prasarana sukan sentiasa dinaik taraf bagi memberi faedah kepada ahli-ahli sukan,” jelasnya.

0 comments: