.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Tuesday, October 05, 2010

0 Ambil pelajaran dari kegagalan perkahwinan pertama Faizah - Roslin Hashim

Cerai ekspres

Oleh Nor Affizar Ibrahim
affizar@bharian.com.my
2010/09/28

Faizah bangkit semula

TIDAK pernah langsung terlintas dalam fikirannya, diceraikan hanya selepas beberapa hari dinikahkan. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Tetapi itulah perjalanan hidup dilalui Faizah Mohamad. Perkahwinannya dengan pemain badminton negara, Roslin Hashim, hanya bertahan 12 hari. Baik buruk berkahwin dengan orang yang dikenali ramai, berita perkahwinan dan perceraian ekspresnya menjadi tumpuan. Ramai orang memperkatakan mengenai perkahwinan singkatnya dan tidak kurang yang menuding jari kepadanya apabila pelbagai cerita pelik mula kedengaran.

Perceraian berlaku tanpa diduga dan dipinta itu bagaikan satu mimpi dalam hidup. Apatah lagi, sebelum berlaku perceraian itu tiada bibit pertelagahan dan persengketaan antaranya dengan bekas suami, malah berpendapat, tiada alasan munasabah untuk berpisah.

Namun, wanita muda ini menerima perceraian itu sebagai takdir yang ditentukan Allah untuk perjalanan hidupnya sekali pun tidak sempat untuk mengecapi kemanisan hidup rumah tangga dan menunaikan tanggungjawab sepenuhnya sebagai isteri.

“Saya tidak pernah menyesali perceraian itu berlaku, tetapi apa yang dikesalkan ia berlaku hanya dalam tempoh 12 hari perkahwinan kami. Tidak sempat lagi bernafas, perceraian pula berlaku. Penat buat kenduri majlis perkahwinan pun tidak habis lagi,” katanya.
Mengimbau gelodak jiwa dirasakan apabila talak dilafazkan oleh bekas suami, Faizah berkata, ketika itu perasaannya bercampur baur, ada rasa terkejut, sedih dan keliru. Dunia yang terang dirasakan gelap seketika. Kebahagiaan dicari dan diimpikan dalam hidup berumah tangga seolah-olah tiada lagi, sebaliknya dilihat bakal melalui masa depan yang gelap.

Seminggu tempoh awal perceraian, perasaan tidak keruan terus menyelubungi diri sehinggakan tidur malamnya sering saja terganggu. Mujur, pada saat hati remuk dan kecewa, Faizah mendapat sokongan daripada keluarga, saudara-mara dan kawan rapat. Sokongan itu sedikit sebanyak memberikan kekuatan dalam dirinya untuk menempuh hari mendatang dan cuba menerima perpisahan itu.

“Ramai juga yang tertanya-tanya mengapa perceraian itu berlaku termasuklah masyarakat sekeliling. Tetapi tiada pula yang bertanya secara terus terang kepada saya, mungkin mereka menghormati perasaan saya ketika itu,” katanya.

Faizah menguatkan diri. Selain semangat orang di sekeliling, dia mencari kekuatan dalam diri dan membina semangat baru, di samping sentiasa mendekatkan diri kepada Allah serta tidak putus berdoa supaya hidupnya diberkati dan dapat menerima ujian yang menimpa.

Justeru, bangkit daripada rasa sedih dan kecewa serta cuba berdepan dengan hakiki kehidupan anak ketiga dalam empat beradik itu bertekad, menjalani rutin kehidupan seperti biasa tanpa perlu menyembunyikan diri dan berterusan memendam perasaan.

“Alhamdulillah, perlahan-lahan saya dapat menerima apa yang sudah berlaku. Saya cuba melawan perasaan negatif dalam diri dan tidak ingin memikirkan perkara yang bukan-bukan. Ahli keluarga pula selalu bersama dan tidak akan membiarkan saya berseorangan kerana mereka bimbang emosi saya terganggu sehingga boleh mengalami kemurungan.

“Syukur, Allah memberikan kekuatan dan saya mempunyai hati yang cukup cekal berdepan dengan ujian itu. Sehinggakan, ada rakan abang yang turut kagum dengan keupayaan saya melalui peristiwa itu dan berkata, jika orang lain mungkin sudah lama ‘meroyan’ tetapi saya tabah dan tidak banyak perubahan diri berlaku,” katanya diiringi gelak kecil sambil bersyukur sudah pun berjaya memadamkan perasaan sedih di hati.

Faizah berkata, apa yang membuatnya sedikit terkilan ibunya mengalami tekanan emosi lebih teruk daripadanya, berikutan ‘perceraian ekspres’ itu. Sehinggakan, hampir setiap hari, tidak kering pipi ibunya dibasahi air mata.

“Ibu berasa terlalu sedih mungkin saya satu-satunya anak perempuan dalam keluarga. Sangkanya, kenduri kahwin saya adalah yang terakhir dalam keluarga tetapi apa yang terjadi lain pula. Selain itu, ada juga teman rapat dan saudara-mara menangis lebih teruk daripada saya kerana terlalu simpati serta kasihan mengenangkan apa yang berlaku kepada saya,” katanya.

Ditanya, tidakkah tiada perasaan rendah diri terutama apabila memikul gelaran janda pada usia masih muda, tanpa berselindung, Faizah berkata, perasaan seumpama itu memang wujud.

Malah, ujarnya, dia pernah berasa takut untuk berdepan dengan masyarakat. Tetapi perasaan itu tidak lama kerana menyedari perkara itu bukanlah kehendaknya sendiri, sebaliknya jodohnya sudah pun ditakdirkan berakhir di situ.

Kata Faizah lagi, jika ada yang menyatakan perkenalan singkat dengan bekas suami menyebabkan punca perceraian itu berlaku, baginya itu bukan faktor utama kerana ada pasangan yang langsung tidak mengenali antara satu sama lain, masih boleh kekal bahagia hidup berumah tangga.

“Sebenarnya, ada juga hikmah dan pengajaran yang saya peroleh daripada perceraian singkat itu. Saya berpendapat, apabila sudah menjadi suami isteri mesti ada komunikasi dan tolak ansur. Jika ada masalah yang ditimbulkan oleh unsur luar, perlulah ditangani dengan baik. Saya juga melihat, jangan terlalu cepat mempercayai orang luar kerana ada antaranya bersikap bermuka-muka,” katanya.

Mengenai perancangannya pada masa kini, Faizah yang bekerja sebagai kerani pentadbiran di syarikat swasta berkata, kegagalan perkahwinan pertama tidaklah mematahkan semangatnya untuk kembali hidup berumah tangga.

Namun, dalam mencari atau menentukan jodoh, dia lebih selesa mengikut arus. Paling penting, lelaki yang bakal menyinari hidupnya kelak mestilah bertanggungjawab, dapat menerimanya seadanya dan boleh menjadi khalifah dalam sebuah keluarga.

“Perkahwinan itu suci, jadi saya tidaklah perlu takut atau fobia dengan apa yang sudah berlaku. Kita berusaha dan selebihnya biarlah Allah menentukan,” katanya.


Perceraian bukan jalan penyelesaian - Tangani masalah rumah tangga dengan matang

PERCERAIAN mungkin dilihat sebagai jalan penyelesaian masalah dan boleh merungkaikan kemelut rumah tangga yang berantakan serta tidak boleh diselamatkan lagi. Namun, apa yang menyedihkan jika perceraian atau perpisahan pasangan suami isteri itu berlaku pada usia perkahwinan masih muda lagi dan belum pun setahun rumah tangga itu dibina.

Kesannya, tentu ada dan tidak mustahil sebahagiannya impak negatif, sama ada kepada pasangan mahu pun keluarga kedua-dua pihak. Lebih teruk, jika pasangan itu dikurniakan anak, keadaan tentu lebih merumitkan. Belum pun sempat anak itu mengecapi hidup berkeluarga yang lengkap, ada ayah dan ibu, sudah berlaku kehancuran rumah tangga.

Melihat senario masa kini, realitinya ‘perceraian ekspres’ bukan kes terpencil, sebaliknya sudah pun banyak kes yang berlaku. Lebih membimbangkan, ia membabitkan pasangan pengantin baru yang masih muda. Baru saja memasuki alam perkahwinan tetapi hanya kerana salah faham dan perselisihan kecil, mudah saja talak dilafazkan dan berlaku perceraian.

Ada juga pihak melahirkan kegusaran kerana ada yang menjadikan trend berkahwin, semata-mata untuk mendapatkan gelaran janda kerana menganggap gelaran itu ada pasaran tersendiri, maksudnya mereka ini akan mendapat status tersendiri, kononnya lebih mahal berbanding anak dara.

Berkongsi pandangan mengenai isu itu, Ketua Eksekutif Pusat Kaunseling Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Norazman Amat, berkata tidak dinafikan sejak kebelakangan ini kes masalah rumah tangga ada unsur perceraian adalah antara paling tinggi dirujuk di pusat kaunseling dan ditangani selain masalah gejala sosial dan isu remaja.

Norazman berkata, dalam sebulan pusat kaunseling MAINS menerima antara 40 kes hingga 60 kes membabitkan kes masalah perkahwinan dan kebanyakannya berkaitan isu perceraian. Majoriti pasangan yang mendapatkan khidmat kaunseling adalah golongan yang masih dalam awal perkahwinan iaitu antara lima hingga 10 tahun mendirikan rumah tangga. Tidak kurang yang tempoh perkahwinan tidak sampai setahun dan masing-masing memutuskan untuk tidak bersama lagi.

“Masalahnya, kebanyakan pasangan yang datang mendapatkan khidmat kaunseling selepas krisis dihadapi mereka begitu kritikal dan sukar dirungkaikan serta sudah pun ada hasrat untuk bercerai. Tidak kurang juga ada yang datang ke sini selepas melafazkan talak,” katanya.

Norazman berkata, senario ‘cerai ekspres’ atau berkahwin dalam tempoh singkat terutama di kalangan pasangan muda, sememangnya membimbangkan dan membawa kesan tertentu.

Katanya, keadaan itu berlaku kerana pasangan tiada matlamat jelas dalam perkahwinan yang dibina, sebaliknya mendirikan rumah tangga sekadar memenuhi tuntutan. Misalnya, orang lain berkahwin, dirinya juga ingin berbuat demikian dan ada pula yang mendirikan rumah tangga kerana tidak mahu menanggung dosa bersekedudukan, tanpa memahami apa sebenarnya erti serta tanggungjawab yang harus dipikul.

“Persediaan tidak ada untuk menjadi suami atau pun isteri. Walaupun mahu berkahwin ada yang langsung tidak mahu mencari atau menambah ilmu, seolah-olah perkahwinan itu dilakukan atas dasar suka-suka saja. Mungkin ada yang kata sudah bersedia bergelar suami atau isteri tetapi untuk ke arah itu tiada persediaan dibuat. Bagi mendirikan rumah tangga, pasangan perlulah membuat persediaan yang baik dan ia tidaklah semestinya sempurna,” katanya.

Norazman menambah, menunaikan tanggungjawab bukanlah semudah seperti kata-kata. Justeru, perlulah ada sifat sabar, komitmen dan tolak ansur di samping perlu tunjukkan kesediaan bagi memikul amanah itu sebaik yang mungkin.

Katanya lagi, pasangan suami isteri harus ingat detik berkenalan sebelum berkahwin, sama ada bertunang atau berkasih sama sekali jauh berbeza dengan alam rumah tangga.

“Pasangan bukan saja boleh belajar melalui pengalaman peribadi tetapi juga orang lain, termasuk ibu bapa. Jika ibu bapa ada membuat kesilapan, takkan ingin ulang semula? Berusahalah jadi yang terbaik dan kekuatan jati diri perlu ada,” katanya.

Antara faktor lain berlaku ‘cerai ekspres’ kata Norazman, faktor persekitaran masyarakat pada masa kini iaitu memberikan idea bahawa bercerai adalah jalan atau pilihan paling mudah untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga.

Katanya, persekitaran tidak membantu memberikan sokongan supaya pasangan terbabit berdamai atau memberikan alternatif lain, sekali gus menjadi lebih mudah rumah tangga dibina hancur berkecai. Begitu juga restu dan keredaan ibu bapa penting sebelum berkahwin.

Mengenai kesan perceraian pada usia muda, Norazman berkata, ada yang negatif tetapi pada masa sama boleh dilihat dari sudut positif. Bagi lelaki misalnya, barangkali ada yang melihat individu terbabit belum ada kualiti menjadi tunggak utama keluarga.

“Lelaki mungkin sedikit impak negatif, malah walaupun ada yang sudah bergelar duda, masih lagi sentiasa menganggapnya dirinya bujang. Lebih-lebih lagi, jika perkahwinan itu tidak dikurniakan anak. Bagi wanita, khususnya yang muda, gelaran janda boleh memberikan konotasi yang tidak elok. Pasangan bercerai ada anak lagi timbul banyak masalah yang perlu diselesaikan seperti hak penjagaan dan nafkah,” katanya.

Bagaimanapun, kata Norazman, bercerai ketika usia masih muda ada kala mungkin lebih baik jika dibandingkan bercerai apabila mencecah usia yang meningkat dan mungkin sudah bercucu.

“Kegagalan membina rumah tangga pada usia masih muda boleh juga memberikan pengajaran dan pengalaman kepada individu berkenaan. Mana tahu, bagi perkahwinan seterusnya individu terbabit lebih bersedia. Apa pun, dalam membina rumah tangga janganlah berpegang pada budaya try and error kerana perkahwinan adalah sepanjang hayat dan itulah konsep sebenarnya,” katanya.


INFO:
Tiga perkara yang membolehkan suami menceraikan pasangan jika hanya diketahui selepas pernikahan:


•Pasangan disahkan gila.


•Pasangan berpenyakit sopak.


•Pasangan berpenyakit kusta.
(Jika sebelum bernikah bakal suami baru mengetahui perkara terbabit, seelok-eloknya perkahwinan dibatalkan)

Antara punca pasangan suami isteri bercerai dalam tempoh singkat:


•Kegagalan mendewasakan diri, ada yang masih berperangai seperti ketika bujang, selain gagal atau tidak mahu memahami tanggungjawab sebagai suami atau isteri.


•Ada kalanya pasangan seolah-olah terlupa sudah bergelar isteri atau suami dan tidak sensitif dengan persekitaran. Contohnya, bertengkar hanya perkara remeh yang boleh diselesaikan dengan mudah.


•Apabila mentua atau orang luar gemar masuk campur dalam hal rumah tangga pasangan, walaupun mereka tidak perlu melakukannya.


•Pasangan gagal mengenali hati budi pasangan masing-masing. Sebaik-baiknya jika dari awal lagi tiada persefahaman, perkahwinan tidak perlu diteruskan.

0 Bagaimana menidurkan bayi

Bantu bayi tidur nyenyak

Susunan Nor Affizar Ibrahim

2010/10/05
Waktu, keselesaan tempat faktor penting dorong si kecil terus lena

BAYI yang kerap menangis, terbangun waktu malam atau meragam ketika tidur, sudah tentu akan meresahkan ibu bapa. Bagi ibu bapa yang berkerjaya, tentu memberi lebih kesan kerana waktu tidur mereka juga akan terganggu menyebabkan badan tidak bermaya untuk meneruskan tugas harian keesokan harinya.

Namun, kesan lebih membimbangkan ialah kesihatan bayi kerana tidur yang cukup amat penting untuk tumbesaran. Bayi yang baru lahir khususnya, pada keseluruhannya akan tidur 16 hingga 20 jam sehari dan terjaga apabila tiba waktu makan. Bagaimanapun, setiap bayi mempunyai keunikan gaya tidur secara tersendiri. Masa terpanjang untuk bayi tidur selalunya empat hingga lima jam bergantung kepada daya tahan lapar. Tiada jadual tidur yang tetap untuk bayi yang baru lahir. Pada biasanya, bayi akan mula mengenali waktu malam ketika berusia tiga bulan. Lebih kurang 90 peratus bayi pada peringkat itu akan tidur sepanjang malam, iaitu enam jam hingga lapan jam.

Kadangkala bayi akan menangis atau membuat bunyian jika tidak nyenyak tidur. Mereka akan terbangun dengan sendirinya ketika tidur pada waktu malam. Jika bayi menangis berterusan selama beberapa minit, anda perlu memberi perhatian. Antara faktor bayi menangis ialah mungkin lapar, basah, sejuk atau sakit.

Justeru, jika bayi bermasalah untuk tidur walaupun sudah diberi makan susu yang secukupnya, amat penting untuk anda menyelidiki apakah masalah sebenar dihadapinya. Beri perhatian dengan segera tanpa perhatian yang berlebihan kerana bayi perlu meneruskan tidurnya.

Terdapat beberapa cara untuk membantu bayi tidur dengan nyenyak sepanjang malam tanpa sebarang gangguan. Pertama sekali, anda boleh menidurkan bayi anda dengan mengenal pasti masa yang sesuai untuk tidur dan pastikan tempat tidur disediakan selesa, selamat serta memberi persekitaran yang menyenangkan. Hindarkan rangsangan yang berlebihan ketika menyusukan bayi di waktu malam dan ketika menukar lampin. Bayi yang baru lahir ke dunia, lazimnya masih tidak dapat menyesuaikan diri dalam suasana begitu terang, oleh itu bilik perlu digelapkan dan pastikan persekitarannya selesa dan senyap.
Pakar juga menasihatkan, supaya bayi dipangku sebelum tidur dan dialih ke katil sebelum melelapkan mata. Dengan cara itu, bayi akan belajar tidur dengan sendiri. Memainkan muzik yang berirama perlahan bila tiba waktu tidur turut membantu bayi tidur nyenyak, malah dengan muzik ia boleh membentuk jadual tidur berkala.

Selain itu, memastikan posisi tidur bayi juga adalah penting. American Academy of Paediatrics mencadangkan posisi tidur yang sihat bagi bayi adalah tidur terlentang dan bukan meniarap atau mengiring. Tetapi bayi boleh ditiarapkan ketika jaga untuk perkembangan otot, mata dan bagi mengelakkan belakang kepala bayi menjadi leper.

Kejadian kematian bayi secara mengejut (Sudden Infant Death Syndrome-SIDS) berkurangan ke 50 peratus sejak posisi tidur cara itu dicadangkan pada 1992. Bagaimanapun, posisi sedemikian dikecualikan pada bayi yang cacat di bahagian kepala atau mempunyai lidah besar yang akan menyekat pernafasan.

Untuk memberikan lebih keselesaan, bayi ditidurkan secara terlentang di atas tilam yang padat dan kemas di katil bayi mengikut tahap keselamatan terkini. Jangan gunakan bantal, pelapik tilam, selimut, permainan yang ada isian dan pengadang katil yang tidak selamat.

Bayi di bawah usia dua tahun sebenarnya, tidak memerlukan bantal untuk tidur. Malah, kanak-kanak juga sebenarnya tidak memerlukan bantal. Bagaimanapun, jika anda ingin memberinya bantal, carikan bantal bersaiz kecil (saiz bantal pesawat).

Bantal bayi juga haruslah padat manakala ringan tidak digalakkan kerana ia terlalu lembut dan boleh menyebabkan bayi anda tercekik. Namun, lebih baik jika menunggu sehingga bayi anda berpindah ke katil yang lebih besar sebelum memberinya bantal.

Jika menggunakan selimut pula, posisikan kaki bayi pada penghujung palang katil. Selimutkan bayi dengan selimut yang nipis ke paras dadanya. Pastikan kepala bayi tidak tertutup dengan selimut apabila tidur. Elakkan menyelimuti bayi secara berlebihan dan pastikan suhu badan bayi tidak panas.

Jangan sesekali menidurkan bayi atas tilam air, sofa, tilam yang lembut, bantal atau di permukaan yang lembut. Keadaan seumpama itu tidak menjamin keselamatan bayi. Ketika tidur juga pastikan bayi memakai pakaian sesuai yang nipis dan sesuai dengan suhu bilik.

Bagi katil bayi, pakar mencadangkan ibu bapa menggunakan flanel, cadar kalis air yang lebih sejuk dan selesa berbanding plastik atau cadar getah. Anda juga perlu bijak memadankan katil bayi anda dengan usianya. Gunakan katil bayi bagi anak anda yang berumur 24 bulan hingga 36 bulan, katil yang lebih besar bagi anak yang berusia tiga tahun hingga empat tahun dan katil bersaiz penuh bagi anak yang berusia lima tahun atau enam tahun.

Mengikut laporan, bayi yang berkongsi katil dengan orang lain boleh membahayakan bayi berkenaan. Bagi mengelakkan itu berlaku, letakkan katil bayi berdekatan dengan katil ibu bapa untuk memudahkan penyusuan ibu dan sentuhan. Jika ibu memilih untuk menyusukan bayi di atas katil, pastikan bayi tidak tidur dalam posisi meniarap di permukaan tilam yang lembut atau cadar yang tidak kemas atau longgar. Katil perlu dijauhkan dari dinding dan perabot untuk mengelakkan bayi daripada tersepit.

0 Rahsia bisnes TV3 semasa Hari Raya Aidilfitri 2010

TV3 masih pilihan utama

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

2010/10/05
Mentor catat rating tertinggi kerana penampilan artis yang baru dan segar

PROGRAM yang disiarkan oleh TV3 sepanjang musim raya masih menjadi pilihan utama penonton dengan kebanyakannya mencatatkan rating lebih dua juta tontonan.

Mentro Raya menjadi program paling tinggi dengan catatan 3.3 juta penonton mengatasi Datuk Siti Nurhaliza, Anuar Zain dan Faizal Tahir meskipun ketiga-tiganya penyanyi bernama besar. Ini juga kejayaan pertama untuk program hiburan apabila muncul nombor satu sedangkan sebelum ini kedudukan itu sering kali dikuasai program berbentuk drama mahupun filem tempatan. Selain itu, TV3 turut mencatatkan prestasi cemerlang apabila berjaya mengekalkan kedudukan kukuh dengan meraih jumlah penonton tertinggi untuk hampir ke semua program sepanjang minggu raya mengatasi saluran tempatan yang lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPB), Datuk Seri Farid Ridzuan yang ditemui ketika majlis rumah terbuka MPB di Sri Pentas baru-baru ini berkata, persiapan lebih awal penyumbang kepada kejayaan program terbitan TV3.

Ia juga adalah usaha MPB mengurangkan jumlah program raya terbitannya sebaliknya memberi keutamaan kepada mutu kandungan sesebuah program yang hendak disiarkan.

“Selalunya persiapan dibuat antara lima hingga tujuh bulan sebelum Aidilfitri tetapi kali ini persiapan lebih awal dilakukan. Tahun ini juga, kami mengurangkan program raya tetapi kita lebih fokus dengan kualiti. Kami menumpukan kepada program raya minggu pertama saja.
“Setiap program terbitan TV3 dihasilkan berdasarkan kajian yang dilakukan ke atas penonton ketika acara Jom Heboh. Program kami diterbitkan berdasarkan populariti dan permintaan daripada penonton.

“Mentor adalah muncul program paling konsisten jumlah penontonnya. Setiap kali muncul di kaca televisyen, program berkenaan mampu meraih purata dua juta penonton. Sempena musim perayaan pula, Mentor menjadi program paling tinggi jumlah penonton.

Ini disebabkan kelainan kepada barisan artis yang ditampilkan dalam program ini yang tiada di mana-mana stesen lain.

“Berbanding penyanyi lain, mereka bukan saja muncul di program terbitan TV3, tetapi wajah mereka juga boleh dilihat di stesen TV lain. Mungkin disebabkan itu ratings program mereka terpaksa dibahagikan dengan stesen lain,” jelas Farid.

Oleh kerana sering muncul sebagai stesen TV nombor satu, Farid berkata ia memberi tekanan kepada pasukan produksi MPB.

Tekanan itu, katanya, bukan untuk bersaing dengan stesen TV lain tetapi bagaimana untuk meningkatkan lagi kualiti program di bawah terbitan MPB.

Menurutnya, pihaknya tidak memandang kepada persaingan daripada stesenTV lain kerana lazimnya pesaing sering mengikut jejak langkah mereka tetapi kepuasan penonton lebih menjadi keutamaan.

Selain mementingkan mutu program hiburan, TV3 juga amat mementingkan aspek yang sama untuk drama. Telefilem yang disairkan oleh TV3 iaitu Airmata Nur Salina menerusi slot Cerekarama, contohnya berjaya mencatat 2.5 juta penonton.

Slot berkenaan jelas Farid, umpama tiang seri kepada TV3 dan beliau akui tidak semua drama yang disiarkan di dalam slot Cerekarama mencapai mutu yang ditetapkan hampir 90 peratus adalah konsisten.

Malah slot berkenaan juga mendapat kepercayaan daripada pengiklan.

“Kami tahu standard yang penonton di TV3 mahukan. Pengiklan juga amat yakin dengan slot ini sehingga mereka berani membeli slot iklan tanpa menonton tajuk drama yang bakal disiarkan. Kami memang sentiasa mencari drama yang terbaik tetapi kami juga mengetahui syarikat produksi yang terkenal sentiasa sibuk.

“Selain slot Cerekarama, slot di waktu perdana seperti Samarinda juga mempunyai purata penonton mencecah dua juta orang seperti drama Syurgamu Ramadan baru-baru ini. Tidak timbul soal MPB pilih kasih, pantang bagi saya apabila orang melabelkan kami hanya memilih syarikat produksi dan juga pelakon tertentu kerana apa yang cuba kami hidangkan adalah demi kepuasan penonton,” katanya.

Antara program lain yang mencatat jumlah peratus tinggi sepanjang Syawal ialah Sampaikan Raya 2010 (31 peratus), Stylistika Siti (28 peratus), Syawal Pertama (41 peratus), Bas Raya (38 peratus), Bang Bang Boom Raya (30 peratus), Ewah Ewah Raya (35 peratus), Cheritera (33 peratus) dan Manikam Kalbu (30 peratus) dengan kadar penonton melebihi 1 juta penonton secara purata.