.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Monday, August 09, 2010

0 Pemain muda arsenal diuji kemampuan untuk mengangkat England di persada dunia

Pemain muda jadi taruhan England


Jack Wilshere (kanan) menjadi taruhan baru Fabio Capello dalam perlawanan persahabatan menentang Hungary pada Rabu ini. – AP



LONDON – Pemain muda Arsenal, Jack Wilshere dan Kieran Gibbs di samping bintang Fulham, Bobby Zamora disenaraikan dalam skuad England tatkala pengurus Fabio Capello memulakan usaha untuk membina semula pasukan yang mantap.

England akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang Hungary.

Hanya 10 daripada 23 pemain dalam senarai skuad Piala Dunia England dinamakan dalam pasukan seramai 23 pemain kali ini dengan pemain-pemain utama masih dikekalkan.

Penjaga gol David James, yang akan memasuki usia 40 tahun minggu ini dan Rob Green digugurkan, begitu juga dua pemain Tottenham Hotspur Aaron Lennon dan Jermain Defoe.

Selain itu, turut tidak disenaraikan dalam skuad ini ialah pemain bek tengah West Ham, Matthew Upson dan pemain tengah Liverpool, Joe Cole.

Peter Crouch juga diketepikan manakala, Emile Heskey yang dikritik hebat penyokong-penyokong England kerana mempamerkan permainan hambar bersara dari arena antarabangsa.

Wes Brown, Gary Cahill dan Phil Jagielka diberi peluang untuk membuktikan mereka berbaloi di pertahanan manakala Ashley Young, Darren Bent dan Carlton Cole akan berganding dengan Zamora untuk membantu Wayne Rooney di depan.

Theo Walcott dan Adam Johnson, yang kedua-duanya diketepikan semasa Piala Dunia dipanggil semula.

Perlawanan persahabatan pada Rabu ini di Stadium Wembley akan menjadi eksperimen buat Capello menguji gandingan baru ini sebelum bermulanya kelayakan Kejohanan Eropah 2012.

Pemain tengah yang cukup kreatif, Wilshere, 18, menjadi pemain Arsenal paling muda dalam liga dua tahun lalu tetapi menghabiskan separuh dari musim lalu bermain dengan Bolton selepas gagal mendapat tempat dalam kesebelasan Gunners.

‘‘Dipanggil bermain dalam skuad England merupakan satu penghargaan buat saya dan keluarga. Namun, sasaran saya ialah menempatkan diri dalam skuad utama Arsenal dan bermain dalam liga,’’ kata Wilshere yang dipetik dalam laman web www.arsenal.com.

Dalam pada itu, Gibbs berkata: ‘‘Untuk mencapainya, saya perlu bekerja keras dan kekalkan fokus. Sungguh mengejutkan apabila anda dipanggil menyertai skuad Fabio Capello. Ini merupakan saat paling indah.’’– Reuters

0 Ajar anak BI sebelum umur 5 tahun

Tingkatkan penguasaan bahasa Inggeris hadapi era globalisasi: Tuanku Zara


2010/08/08
IPOH: Sejajar dengan kemajuan sains dan teknologi serta arus globalisasi, tindakan segera perlu diambil untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat negara ini, titah Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim hari ini.

Baginda bertitah, bahawa dengan meningkatnya daya hubungan global, para pelajar khususnya dan rakyat Malaysia amnya, perlu menjadi komunikator yang berkesan, yang bukan sahaja fasih bertutur dalam bahasa Inggeris, tetapi juga mampu menghayati kesusasteraannya. "Penguasaan bahasa Inggeris amat penting bagi menjamin kejayaan seseorang individu, di samping memantapkan kedudukan ekonomi negara di peringkat global. Ia akan membolehkan kita mengambil bahagian dan berinteraksi secara berkesan di peringkat global," jelas baginda ketika bertitah pada majlis penyampaian sijil Ninth Cambridge English Speakers of Other Languages (ESOL) sempena sambutan Jubli Perak Institut Pembelajaran dan Latihan Ipoh di sini. Pada majlis itu, Tuanku Zara juga menyampaikan sijil Cambridge ESOL kepada 121 pelajar.

Bahasa Inggeris sudah dan besar kemungkinan akan kekal sebagai bahasa perantaraan global serta menjadi bahasa perhubungan utama dalam bidang sains, perdagangan, hubungan antarabangsa dan budaya popular, titah baginda.

"Kita perlu sentiasa berwaspada untuk memastikan kita tidak terus ketinggalan seperti sekarang. Kita hidup pada era yang lebih mengutamakan penggunaan mesej secara ringkas dan tidak mementingkan penumpuan, yang boleh melemahkan penguasaan kita terhadap bahasa ini. Ketika dunia begitu sibuk dengan twitter dan SMS, kita perlu lebih beriltizam untuk meningkatkan kefasihan dan kecekapan kita dalam menggunakan bahasa Inggeris," titah baginda.

Tuanku Zara bertitah, guru dan sekolah perlu memainkan peranan penting untuk mewujudkan persekitaran di mana bahasa Inggeris ditutur dan difahami dengan baik.
Komunikasi yang baik bukan sahaja melibatkan nahu, perbendaharaan kata dan pembinaan ayat, tetapi juga kemampuan menyampaikan idea serta mesej dengan jelas, yang mampu memujuk dan secara penuh kreatif untuk membolehkan seseorang itu mempengaruhi dan memberi dorongan kepada orang lain, titah baginda.

"Ini bererti guru bahasa Inggeris sendiri perlu memiliki azam dan minat yang mendalam untuk meningkatkan kemahiran masing-masing dalam penggunaan bahasa itu agar mereka boleh menjadi model peranan yng berkesan untuk pelajar masing-masing," titah baginda.

Tuanku Zara menasihati ibu bapa supaya mengajar bahasa Inggeris kepada anak masing-masing sebelum mereka memulakan pendidikan formal kerana kajian menunjukkan bahawa kemampuan mempelajari sesuatu bahasa berada pada tahap optimumnya ketika seorang kanak-kanak berada dalam lingkungan usia lima tahun.

"Walaupun ibu bapa sendiri tidak boleh bertutur dalam bahasa itu, ini tidak seharusnya menyekat mereka daripada mendedahkan anak masing-masing kepada bahasa itu dengan menggunakan pelbagai cara – buku, muzik, program televisyen, filem, teater dan interaksi dengan mereka yang bertutur dalam bahasa Inggeris," titah baginda. - Bernama