.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Saturday, July 03, 2010

0 Kemiskinan di luar bandar menggalakkan penghijrahan ke bandar. Akibatnya banyak masalah sosial berlaku di bandar

Kemiskinan antara punca kes buang bayi


2010/07/03
IPOH: Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah bertitah, kemiskinan wajib diperangi dan ditangani secara berkesan kerana ia adalah antara punca utama pelbagai masalah sosial termasuk kes salah laku seks dan pembuangan bayi yang semakin berleluasa.

Baginda bertitah, kemiskinan mewujudkan tekanan dalam kehidupan harian, mempengaruhi tekanan emosi dan mencetuskan kemiskinan budaya, nilai dan moral selain menjadi punca perceraian, aktiviti kurang bermoral, keruntuhan akhlak serta menggadai harga diri. "Betapa suasana ekonomi di luar bandar mencetuskan kemiskinan dan ia menggalakkan berlakunya penghijrahan ke bandar, lalu meningkatkan bilangan kemiskinan bandar. "Bentuk dan pembangunan kawasan kediaman golongan miskin bandar bagaikan kotak sarang merpati, yang tidak dilengkapi kawasan riadah dan kemudahan aktiviti sosial untuk membolehkan adanya saluran bagi remaja melepaskan tekanan," titahnya pada Persidangan Ke-172 Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) di sini, semalam.

Justeru, Raja Nazrin bertitah, cara pengagihan zakat secara adhoc mungkin tidak lagi sesuai bagi menangani cabaran pada era ini, kerana masalah kemiskinan bukan saja tidak dapat diselesaikan, malah menjadi lebih serius hingga memusnahkan nilai masyarakat.

0 Kereta masa depan. Cerita di TV yang menjadi kenyataan

Kereta boleh terbang



DALAM gambar yang disediakan oleh Terrafugia ini menunjukkan kereta Transition semasa berlepas. Syarikat Terrafugia merancang untuk mula menjual kenderaan ini pada akhir tahun depan. - AP



WASHINGTON 2 Julai - Kereta yang dilengkapi sayap untuk membolehkannya terbang dijadual memasuki pasaran mulai tahun depan.

Syarikat Terrafugia semalam mengumumkan rancangannya untuk melancarkan kereta-kapal terbang bernama Transition itu menjelang akhir 2011.

Terrafugia baru-baru ini melepasi satu halangan utama apabila Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) memberi pengecualian khas supaya Transition tidak dikenakan had berat.

"Inilah kenderaan ajaib yang akan datang. Sesiapa sahaja boleh membeli kereta Ferrari tetapi Ferrari tidak boleh terbang," kata Naib Presiden Terrafugia, Richard Gersh.

Transition sama sekali bukan seperti yang digambarkan dalam lukisan kartun yang menunjukkan kereta terbang meluncur laju di atas lalu lintas biasa, atau seperti dalam filem Chitty Chitty Bang Bang.

"Tidak ada butang untuk melancarkan kereta itu pada panel (peralatan)" jelas Gersh.

Sebaliknya kereta-kapal terbang itu dilengkapi sayap yang boleh dikembangkan untuk terbang, proses yang dilaporkan mengambil masa seminit, dan dilipat semula apabila hendak dipandu sebagai kereta.

Namun landasan masih diperlukan untuk Transition berlepas dan mendarat.

Transition dipasarkan lebih sebagai sebuah kapal terbang yang boleh dipandu dan bukan sebagai sebuah kereta yang boleh terbang, walaupun kenderaan itu mempunyai ciri kedua-duanya.

Terrafugia mahu memasarkan Transition kepada juruterbang persendirian sebagai cara lebih mudah dan lebih murah untuk terbang.

Mereka berkata, dengan kenderaan itu tidak ada lagi masalah mencari pengangkutan jenis lain untuk pergi dan balik dari lapangan terbang. - AP

0 Bintik merah/hitam di belakang telinga menunjukkan seseorang itu masih teruna

Wanita buktikan pesalah rogol masih teruna


NGUYEN DINH KIEN (kiri) memeriksa titik akupuntur pada muka seorang lelaki di rumahnya di Hanoi baru-baru ini.



HANOI - Seorang wanita yang merupakan pakar akupuntur Vietnam, Pham Thi Hong menjadi selebriti apabila dia berjaya membantu membebaskan tiga lelaki yang dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan merogol setelah mereka didapati masih teruna.

Pada mulanya, seorang pesalah itu, Nguyen Dinh Kien dirawat oleh wanita tersebut empat tahun lalu.

Wanita itu kemudian mendapati terdapat beberapa bintik merah di belakang telinga lelaki itu yang menunjukkannya masih teruna sekali gus tidak bersalah merogol seorang gadis berusia 20 tahun pada 2000.

Dia kemudian mendapati dua lagi rakan lelaki itu mempunyai bintik sama yang menunjukkan mereka sebenarnya tidak pernah melakukan hubungan seks.

Wanita itu kemudian melancarkan kempen untuk membebaskan mereka dan usahanya berjaya apabila Presiden Vietnam, Nguyen Minh Triet mengarahkan kes tersebut dibuka semula.

Hasilnya, ketiga-tiga lelaki berkenaan dibebaskan pada Januari lalu selepas para penyiasat mendapati terdapat kekurangan bukti dalam kes tersebut.

Bintik di belakang telinga itu hanya akan hilang selepas lelaki bersetubuh dengan wanita tetapi ia tidak terjejas jika hubungan seks sesama jantina.

"Ada titik merah kecil di belakang telinga ketiga-tiga kerana bintik itu akan hilang dengan sendiri jika mereka melakukan persetubuhan," kata Hong. - AP


Sumber lain: Berita Harian:


Ujian tentukan teruna diperkenal


2010/07/03

Kaedah pakar akupuntur bebaskan tiga lelaki daripada hukuman penjara

HANOI: Seorang pakar akupuntur mendakwa boleh mengesan sama ada seorang lelaki masih lagi teruna berdasarkan bintik kecil pada telinganya, kini menjadi selebriti Vietnam kerana berjaya membantu membebaskan lelaki yang didapati bersalah atas tuduhan rogol dari penjara.

Pakar akupuntur, Pham Thi Hong, melobi untuk pembebasan lelaki terbabit, merayu kesnya sehingga kepada presiden, kerana percaya mereka masih teruna dan tidak wajar didakwa bersalah atas tuduhan merogol. “Mereka mempunyai bintik hitam di belakang telinga,” kata Hong, 54. “Bintik itu akan hilang jika mereka melakukan hubungan seks. Semua pesalah itu tidak pernah melakukan hubungan seks berdasarkan pengalaman saya selama beberapa tahun,” katanya. Hong nampak bintik pada telinga Nguyen Dinh Kien buat kali pertama kali dia menemuinya untuk rawatan empat tahun lalu.

Dia dibawa ke hospital dari penjara untuk menjalani hukuman 16 tahun selepas didapati bersalah merogol beramai-ramai seorang wanita berusia 20 tahun pada 2000.

Selepas melihat bintik itu pada telinga Kien, Hong percaya dia tidak bersalah. Hong kemudian memeriksa dua orang lagi yang bersubahat dengannya dan melancarkan kempen pembebasan mereka.

Berikutan kempen itu, Presiden Nguyen Minh Triet kemudian mengarahkan kes terbabit disiasat semula.
Penyiasat yang mengkaji semula kes menemui beberapa kelemahan termasuk keterangan tidak bersalah tertuduh tidak dimasukkan dalam fail kes, lapor akhbar Pioneer. – AP

0 Apa lagi sumbangan yang boleh diberi hadiah 1 juta?

Pakar matematik tolak lagi hadiah AS$1 juta


GRIGORY PERELMAN



NEW YORK - Pakar matematik Rusia yang gemar bersendirian, Grigory Perelman, menolak satu lagi hadiah berjumlah AS$1 juta (RM3.2 juta) setelah dia meraih populariti global kerana memberi jawapan mengenai masalah matematik dikenali sebagai tekaan Poincare yang dianggap mustahil untuk diselesaikan.

Pihak pengurusan Institut Matematik Clay (CMI) memberitahu kelmarin bahawa Perelman memaklumkan pusat penyelidikan itu yang beribu pejabat di Cambridge, Negeri Massachusetts, Amerika Syarikat (AS) bahawa dia tidak akan menerima hadiah tersebut.

Pada 8 dan 9 Jun lalu, institut berkenaan telah mengadakan satu persidangan di Paris bagi meraikan kejayaan Perelman menyelesaikan tekaan Poincare yang merujuk kepada ciri-ciri ruang berbilang dimensi.

Perelman berjaya membuktikan bahawa sebarang bentuk yang tidak memiliki lubang boleh diunjur atau dikecilkan menjadi satu sfera.

Tekaan Poincare telah membingungkan pakar-pakar matematik sejak ia dicetuskan oleh seorang warga Perancis, Henri Poincare pada 1904.

Hadiah CMI diumumkan selepas beberapa pakar memeriksa penemuan Perelman dan mendapati jawapannya tepat dan sempurna.

Sementara itu, CMI menyatakan, ia akan mengumumkan pada musim luruh ini cara untuk menggunakan wang hadiah yang ditolak oleh Perelman itu bagi manfaat bidang matematik.

Perelman sebelum ini menolak banyak hadiah dan berulang kali tidak muncul pada acara penyampaian hadiah yang diadakan untuk dirinya.

Dia menyiarkan penyelesaian untuk tekaan Poincare di Internet pada 2002 dan 2003.

Pada 2006, Perelman telah dianugerahkan Pingat Fields bersama sejumlah wang yang merupakan pengiktirafan tertinggi dalam bidang matematik, setanding dengan Hadiah Nobel.

Namun, ahli matematik berusia 44 tahun itu menjadi orang pertama menolak Pingat Fields dengan alasan tidak mahu menonjolkan diri kerana dia bukan lagi sebahagian daripada komuniti pakar matematik. - AFP