.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Wednesday, June 16, 2010

0 Sangat setuju dengan tulisan Dr Jeniri Amir berkenaan isu Malaysia, subsidi dan Greece

Ibrahim Ali tak wajar ‘serang’ Idris Jala
Oleh Dr Jeniri Amir



2010/06/16

Ahli Parlimen Gua Musang cetus kontroversi desak menteri tanpa portfolio undur daripada Kabinet

SAYA tidak pernah mengenali Datuk Ibrahim Ali, Ahli Parlimen Pasir Mas secara dekat. Saya hanya mengenali beliau melalui media. Sejak beberapa lama, nama Ibrahim sentiasa menggelegak di halaman media, termasuk di alam maya, lebih-lebih lagi sesudah menerajui Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA). Sebahagiannya lebih kerana komen dan kenyataan kontroversi beliau yang dianggap menentang arus. Terbaru, melalui ucapannya di Dewan Rakyat, Ibrahim mengeluarkan kenyataan yang tidak kurang kontroversi dan hangat apabila meminta Datuk Seri Idris Jala berundur sebagai menteri. Beliau meminta Perdana Menteri mempertimbangkan untuk menggugurkan anak Kelabit dari Sarawak itu daripada meneruskan tugasnya sebagai menteri tanpa portfolio di Jabatan Perdana Menteri, yang dipegangnya sejak Ogos tahun lalu.

Ibrahim berpendapat pencapaian Idris sebagai anggota Kabinet tidak seiring dengan pencapaiannya sebagai peneraju dalam sektor swasta. Kenyataan Ibrahim ketika mengulas Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) itu bukan saja mengejutkan, tetapi tidak masuk akal. Apakah tujuan Ibrahim yang bermulut celupar itu berbuat demikian? Adakah wajar Idris berundur semata-mata kerana membuat kenyataan yang disifatkan tidak patut?

Baru-baru ini, ketika membentangkan rancangan kerajaan untuk mengurangkan subsidi elektrik, gula, makanan, dan petrol, Idris mendakwa bahawa negara ini akan muflis seperti Greece menjelang 2019 jika langkah tidak diambil untuk memotong subsidi.

Pada tahun lalu, Idris berkata, Malaysia terpaksa membelanjakan RM74 bilion untuk tujuan subsidi. Sampai bilakah negara ini dapat terus bergantung pada subsidi? Dalam usaha untuk meyakinkan rakyat, kenyataan Idris disifatkan sesetengah pihak sebagai keterlaluan.
Ibrahim memang watak yang menarik. Laluan politiknya begitu berwarna-warni dan berliku-liku, tetapi beliau tetap terus bernafas dalam politik meskipun terpaksa berdepan pelbagai rintangan dan cabaran.

Menariknya watak Ibrahim terletak kepada cara beliau bercakap dan kenyataan yang dikeluarkannya. Ketika sebahagian besar pemimpin politik dilihat berhati-hati mengeluarkan kenyataan, lebih-lebih lagi yang sensitif dan dapat mencetuskan kontroversi, Ibrahim kelihatan tidak peduli, malah boleh dianggap lepas cakap.

Ibrahim tidak berpegang kepada peribahasa, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Sebaliknya, bagi beliau, perkatakan apa-apa yang patut diperkatakan, asalkan hati puas.

Hari ini, Ibrahim mempunyai bukan sedikit musuh meskipun tidak dinafikan beliau turut mempunyai penyokong yang sealiran pemikiran dengannya. Berdasarkan kenyataannya disiarkan dalam portal berita, begitu banyak komen negatif menyerang Ibrahim, sebahagiannya tidak layak pun disiarkan di halaman ini.

Tetapi kelihatannya, Ibrahim tidak mempedulikan semua itu, malah beliau kelihatan seronok apabila kenyataannya mendapat perhatian dan reaksi yang tidak kurang panas daripada pihak yang menjadi sasarannya.

Berbanding Ibrahim, saya mengenali Idris sejak kami sama-sama menuntut dalam Tingkatan Enam di Kolej Tun Datuk Tuanku Haji Bujang, Miri pada 1976 hinggalah kami sama-sama melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1978 biarpun dalam bidang berlainan.

Idris yang saya kenali adalah seorang pelajar pintar, malah menjadi ketua pengawas kami 34 tahun lalu. Beliau begitu gemar memetik gitar pada sebelah petang di bawah pokok di belakang asrama kami, dengan lagu popular Hotel California. Di USM, beliau bersama-sama dua lagi pelajar dari Sarawak meraih ijazah kelas kedua atas untuk program pengajian pembangunan yang diikutinya.

Ketika itu, tidak ada seorang pun yang mendapat ijazah kelas pertama. Tidak terlintas di fikiran pemegang ijazah Sarjana dari Warwick University, United Kingdom itu untuk menjadi Senator, apatah lagi menteri. Bukan beliau yang memohon jawatan itu, tetapi atas keyakinan dan kepercayaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana kemampuan, bakat dan potensi beliau.

Idris menjadi Pengarah Urusan dan CEO MAS pada Disember 2005, sesudah syarikat penerbangan itu mengalami kerugian paling besar dalam sejarah korporatnya. Sebelum menyertai Malaysia Airlines, Idris berkhidmat selama 23 tahun dengan Shell.

Antara 2002 dan 2005, Idris ialah Pengarah Urusan Shell MDS (Malaysia) dan Naib Presiden Shell Malaysia Gas & Power (Malaysia). Antara 2000 dan 2002, Idris adalah Naib Presiden Pemasaran Runcit, Shell International. Beliau juga naib presiden perundingan pembangunan perniagaan apabila menerajui pasukan atasan perunding dalaman mengenai projek penambahbaikan perniagaan radikal, memperbaharui model perniagaan runcit global Shell bagi mencapai pertumbuhan menguntungkan.

Antara 1998 dan 2000, Idris adalah Pengarah Urusan Shell Sri Lanka. Beliau membantu memulihkan perniagaan LPG Shell di Sri Lanka.

Idris tidak mempunyai kepentingan politik dan sentiasa berusaha untuk membantu kerajaan dan rakyat dengan melakukan sesuatu di luar kotak kebiasaan.
Jika kita masih ingat, ketika menerajui MAS, bukan tidak pernah pelbagai pihak mendesak supaya Idris berundur kerana dianggap mengambil tindakan yang merugikan MAS.

Tetapi ternyata kemudiannya, MAS meraih keuntungan AS$260 juta pada 2007 – rekod tertinggi pernah dicatatkan – ekoran pelan transformasi beliau. Justeru, wajarkah orang seperti Ibrahim yang belum lagi terbukti keupayaan dan kehebatannya, meminta supaya Idris berundur daripada Kabinet?

Penulis ialah pensyarah kanan di Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak

0 Bersalin pada usia lanjut. Teknologi perubatan menunaikan hasrat pada usia 66 tahun

Wanita 66 tahun lahir anak kembar 3


2010/06/16 INDIA: Seorang wanita berusia 66 tahun, Bhateri Devi akhirnya melahirkan dua bayi lelaki dan seorang perempuan selepas gagal memperoleh zuriat setelah 44 tahun berkahwin.


BHATERI dan tiga anak kembarnya. Suaminya, Deva Singh, 64, gembira kerana Bhateri sudah menunaikan impiannya untuk mendapat anak.

“Bhateri isteri pertama saya dan selepas gagal memberikan zuriat, saya berkahwin lagi tetapi isteri baru saya juga tidak dapat melahirkan anak,” katanya.


Devi dari daerah Madina di Rohtak, utara India menjalani kaedah rawatan IVF di Pusat Kesuburan Kebangsaan di Hisar, klinik yang sama di mana Rajo Devi Lohan, ibu tertua di dunia melahirkan anak pada usia 70 tahun 18 bulan lalu. “Bhateri gembira menjadi ibu buat kali pertama selepas hamil pada percubaan kali ketiga,” kata Dr Anurag Bishnoi. - Agensi

0 Lagenda Budak Setan, RM3.5j? Hasil yang baik untuk idea yang baik

Lagenda Budak Setan Raih RM3.5 juta


2010/06/16 FILEM adaptasi novel, Lagenda Budak Setan yang memasuki pawagam sejak 3 Jun lalu mendapat maklum balas positif daripada penonton. Difahamkan, kutipan filem arahan Sharad Sharan itu sudah berjaya mencecah RM3.5 juta.

Usaha mengadaptasikan novel kepada filem sebenarnya sudah lama dilakukan oleh karyawan seni tempatan. Begitupun penerimaan penonton terhadap filem adaptasi novel di sini masih sukar diramal.

Sebelum ini, cerita novel karya Datuk A Samad Said, Langit Petang pernah dipindahkan ke filem pada 1982 yang diarahkan Shahrom Mohd Dom, diikuti novel Sasterawan Negara, Datuk Shahnon Ahmad, Ranjau Sepanjang Jalan arahan Datuk Jamil Sulong. Novel popular Khadijah Hashim, Mira Edora juga pernah diadaptasikan ke filem pada 1990 arahan Zulkefli M Osman.

Selain itu U-Wei Saari pernah menghasilkan Jogho pada 1999 menerusi adaptasi novel Juara karya S Othman Kelantan. Kini, U-Wei sekali lagi sedang menyiapkan filem daripada novel Almayer's Folly menerusi Hanyut.

Walaupun Legenda Budak Setan terpaksa bersaing dengan filem lain termasuk Kecoh Betul menerusi tayangan serentak pada musim cuti persekolahan ini serta demam bola sepak piala dunia, sambutan begitu menggalakkan.

Filem genre drama dan cinta ini menampilkan nama besar yang pernah menggondol anugerah perfileman seperti Farid Kamil, Que Haidar dan Nur Fazura, Lisa Surihani selain bakat baru Shiqin Kamal.

Ikuti temubual wartawan Harian Metro, Wan Asrudi Wan Hasan (wanasr@hmetro.com.my), dengan Pengurus Besar Astro Shaw, Gayatri Su Lin Pillay, mengenai Lagenda Budak Setan.


RAP: Apakah perkembangan terbaru filem Lagenda Budak Setan?



GAYATRI: Saya dimaklumkan oleh kumpulan produksi kami, kutipan tiket Lagenda Budak Setan sudah mencecah RM3.5 juta sehingga semalam selepas 10 hari ditayangkan. Kami berharap jumlah berkenaan akan meningkat. Sambutan ini mungkin disebabkan penonton terdiri daripada pelbagai lapisan usia dan ramai yang pernah mengikuti novel Ahadiat Akashah.


RAP: Apakah reaksi pihak produksi dan barisan pelakon selepas melihat sambutan positif terhadap filem ini?

GAYATRI: Sudah tentu kami gembira dengan pencapaian ini. Sebelum ini sudah lama penonton pawagam tidak dihidangkan dengan tayangan genre seperti ini.


RAP: Difahamkan kutipan hari pertama bagi tayangan filem ini berjaya memecahkan rekod kutipan filem romantis dan cinta tempatan. Apa komen anda?

GAYATRI: Memang ia mencatat permulaan yang memberangsangkan. Bagi kami ini satu kejayaan yang merangsang minat kami untuk terus berkarya.


RAP: Adakah pemilihan pengarah Sharad Khan adalah langkah tepat memandangkan filem-filem arahannya sebelum ini gagal mendapat kutipan memberangsangkan?

GAYATRI: Setiap pengarah ada pendekatan yang berbeza dan memiliki kreativiti masing-masing. Pengalaman lalu mungkin mengajar Sharad untuk lebih prihatin dengan selera penonton. Sememangnya Sharad cukup berbakat dalam pengarahan filem. Sentuhannya dalam Lagenda Budak Setan lebih meninggalkan kesan.


RAP: Berdasarkan sambutan positif adakah anda berasakan tema seperti ini akan menjadi trend penggiat filem pada masa akan datang?

GAYATRI: Ini satu permulaan yang baik buat penggiat seni. Agak lama juga kita hendak melihat sambutan menggalakkan seperti ini terutama membabitkan filem adaptasi novel. Tidak mustahil perkara ini akan menjadi trend di kalangan penggiat filem selepas ini.


RAP: Perancangan untuk membawa filem ini ke peringkat antarabangsa ?

GAYATRI: Kami sudah menerima beberapa jemputan untuk menyertai festival filem di luar negara. Selain masih dalam perancangan untuk menayangkan filem atau menerbitkan Lagenda Budak Setan dalam bentuk Cakera Padat Video (VCD) atau DVD untuk dipasarkan di luar negara.


RAP: Apakah perancangan Astro Shaw selepas ini?

GAYATRI: Bagi meneruskan kesinambungan penerbitan filem yang diadaptasikan daripada novel pihak Astro Shaw kini dalam usaha memulakan penggambaran untuk filem terbaru yang dipetik daripada novel Ombak Rindu karya Fauziah Ashari. Ia akan diarahkan oleh Osman Ali. Penggambaran dijangka bermula Julai ini.

0 Penyakit misteri, penyakit cepat tua

Usia 12 tahun tapi tubuh 96 tahun



HAYLEY bersama rakan-rakan kelasnya.


BEXHILL - Seorang budak perempuan berumur 12 tahun, Hayley Okines di Britain menghidap penyakit cepat tua yang dikenali sebagai progeria menyebabkan dia kelihatan seperti berumur 96 tahun, lapor sebuah akhbar semalam.

Walaupun turut menghidap penyakit artritis, kurang selera makan dan mengambil banyak pil pada waktu pagi dan malam, dia enggan mengalah pada penyakit itu.

Dia kini belajar di sebuah sekolah menengah iaitu pencapaian yang tidak pernah diduga oleh ibu bapanya.

"Saya berasa bangga dengan Hayley. Dia tidak menjadikan penyakit artritis untuk menghalangnya dan dia cukup prihatin dengan ubat-ubatan. Dia cukup baik dalam mata pelajaran sains dan matematik," kata ibunya, Kerry.

Ibu bapanya amat bimbang dengan jangka hidup anak mereka itu kerana penghidap penyakit tersebut akan meninggal dunia pada umur 13 tahun.

Kerry dan suaminya akan membawa anak mereka itu kembali ke Boston, Amerika Syarikat (AS) untuk menjalani rawatan perubatan pada bulan depan.

Ibu budak perempuan itu berharap akan dapat menganjurkan pertemuan kanak-kanak yang menghidap penyakit tersebut di United Kingdom selepas majlis yang sama di AS dibatalkan kerana kekurangan dana. - Agensi

0 Afghanistan bakal menjadi negara kaya

Afghanistan ada simpanan galian RM3.2 trilion


GAMBAR menunjukkan bandar Kabul di Afghanistan pada waktu senja semalam.


WASHINGTON - Ahli-ahli geologi Amerika Syarikat (AS) telah menemui sejumlah mineral galian di Afghanistan yang mampu menukar negara yang sedang berperang itu menjadi kaya-raya, kata jurucakap Presiden Afghanistan, Hamid Karzai kelmarin.

Jurucakap itu, Waheed Omar berkata, mineral yang masih belum terusik itu meliputi sejumlah besar emas, besi, tembaga, kobalt dan logam-logam industri penting seperti lithium yang kesemuanya bernilai lebih AS$1 trilion (RM3.2 trilion).

Pakar-pakar dari AS juga percaya penemuan tersebut akan menjadikan Afghanistan sebagai antara pusat pelombongan paling penting di dunia.

Satu memo dalaman Jabatan Pertahanan AS atau lebih dikenali sebagai Pentagon menyatakan Afghanistan boleh menjadi 'lithium Arab Saudi'.

Lithium merupakan logam utama yang digunakan untuk menghasilkan bateri komputer dan telefon bimbit BlackBerry. Pada kebiasaannya ia digunakan di dalam bateri kerana ketahanannya yang boleh menjangkau 15 tahun.

Apabila digabungkan dengan logam-logam lain seperti aluminium dan kadminium, aloi lithium digunakan untuk membuat alat ganti pesawat berprestasi tinggi.

Kadang-kala, lithium juga digunakan sebagai penyejuk di dalam reaktor-reaktor nuklear.

"Wujud potensi yang sangat besar di sini. Sudah pasti akan timbul banyak kemungkinan, tetapi saya fikir potensinya amat signifikan," jelas seorang pegawai tinggi AS di rantau itu, Jeneral David Petraeus.

Logam-logam tersebut dikatakan berada di sepanjang sempadan Afghanistan dan Pakistan yang merupakan lokasi pertempuran sengit antara pejuang-pejuang Taliban dengan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) serta lokasi persembunyian pemimpin Al-Qaeda, Osama Laden.

Maklumat penemuan itu bocor kerana pentadbiran AS dikatakan terdesak untuk memperoleh berita baik ketika usaha ketenteraannya menentang Taliban hanya mencapai kejayaan kecil.

"Logam-logam ini akan menjadi tulang belakang ekonomi Afghanistan," kata penasihat Menteri Perlombongan Afghanistan, Jalil Jumriany.

Namun begitu, para penganalisis bimbang penemuan itu akan mencetuskan keganasan serta perebutan kuasa antara pemerintah di Kabul dengan pemimpin-pemimpin puak di kawasan yang memiliki banyak bahan mineral.

Ia juga boleh menimbulkan ketegangan antara AS yang sudah banyak melabur di Afghanistan dengan China dan Rusia yang mahu berkongsi kekayaan tersebut.

Pada tahun 2001, tentera AS menceroboh Afghanistan dalam misi untuk menangkap Osama dan melumpuhkan pejuang-pejuang Taliban.

Negara itu juga dipenuhi dengan sejumlah askar pengaman antarabangsa termasuk NATO yang turut disertai oleh AS. - Agensi

0 Selebriti setuju seks sebagai terapi minda dan fizikal terbaik

Seks kuruskan Robbie Williams



PENYANYI Robbie Williams menggunakan seks untuk memastikan dirinya kekal kurus. Dia yang berusia 36 tahun sering berdepan dengan masalah berat badan menegaskan bentuk badan terbarunya adalah hasil daripada aktiviti seks bersama tunangnya, Ayda Field.

Itu adalah jawapan yang diberikan oleh Robbie apabila ditanya mengenai bentuk badan terbarunya. "Badan yang hebat ini datang daripada seks. Ya, seks banyak membantu," katanya lagi.

Namun, bukan seks sahaja yang membantu mengekalkan bentuk badannya. Penyanyi yang popular dengan lagu Bodies itu juga mencuri masa untuk berlari setiap hari.

Katanya kepada akhbar Daily Star: "Saya berlari antara lapan hingga sembilan kilometer setiap hari. Ia amat memenatkan.

"Saya tidak rasa diri saya susut tetapi otot saya sudah kelihatan. Ia satu proses yang bagus dan saya berasa gembira dengan badan baru ini."

Robbie bukan satu-satunya selebriti yang menggunakan seks untuk kelihatan menarik. Penyumbang suara untuk animasi Shrek Forever After, Cameron Diaz juga memberi kredit kepada seks yang membantu mengekalkan keremajaannya.

Aktres berusia 37 tahun itu menyatakan: "Asas untuk mengekalkan keremajaan bagi saya adalah senaman, diet sihat, minum air yang banyak, ketawa dan banyak seks. Ya, kita perlukan seks sebagai manusia. Ia sesuatu yang sihat dan natural."