.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Tuesday, February 09, 2010

0 Politik Malaysia kritik Institut Raja-raja

Sumber: MK:

Nizar: Malaysia menuju monarki mutlak

Hafiz Yatim
Feb 9, 10
4:40pm



Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini akan mengakibatkan situasi kemungkinan berlakunya monarki mutlak di Malaysia, dakwa menteri besar Perak yang disingkirkan, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Menurut beliau tidak perlu diadakan pilihan raya kerana raja-raja boleh menentukan siapa yang akan mengetuai kerajaan negeri ataupun pada peringkat persekutuan.

Pada sidang media, sejurus selepas mahkamah menolak permohonannya, hari ini, Nizar berkata: “Ini adalah risiko paling besar yang dihadapi oleh negara masa kini dan kita perlu perbetulkannya. Keputusan mahkamah itu mengketepikan prinsip-prinsip yang ditetapkan dalam perlembagaan.”

Nizar juga berkata dia belum membuat keputusan samada akan merayu berhubung keputusan itu yang mengistiharkan Datuk Seri Zambry Abd Kadir sebagai menteri besar Perak yang sah.


“Kami akan teliti keputusan bertulis penghakiman dan kemudiannya membuat keputusan,” katanya sambil meminta penyokongnya supaya bertenang.

“Ini adalah hari yang paling sedih bagi Malaysia kerana ia membuktikan sistem penghakiman negara adalah tidak bebas. Sasaran kita sekarang ini ialah merampas semula Perak.

“Rakyat ingin melihat badan kehakiman bebas membuat keputusan. Tetapi berdasarkan apa yang didengar tadi, ia menunjukkan badan kehakiman masih tidak bebas dan dipengaruhi pihak tertentu.”

Menurut Nizar, krisis di Perak tidak sepatutnya berakhir dengan keputusan mahkamah tetapi perlu diserahkan kepada rakyat untuk menentukan siapa yang patut mewakili mereka.

0 Keputusan Mahkamah Persekutuan siapa MB Perak yang sah

Sumber: MK:

Zambry diisytihar MB Perak yang sah

Hafiz Yatim
Feb 9, 10
11:11am




Mahkamah Persekutuan hari ini sebulat suara memutuskan bahawa Datuk Seri Zambry Abd Kadir dari BN adalah menteri besar Perak yang sah.


Presiden Mahkmah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, mengetuai panel lima orang hakim yang mendengar kes tersebut.

Yang lainnya ialah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria dan Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong dari Mahkamah Persekutuan.

Keputusan penal hakim tersebut diumumkan oleh Arifin pada jam 11 pagi.

Istana Keadilan di Putrajaya, menjadi tumpuan sejak jam 7 pagi tadi apabila orang ramai beratur untuk mendapatkan pas masuk ke dewan mahkamah. Begitu juga penyokong BN dan Pakatan.

Pada 5 November lalu, Mahkamah Persekutuan telah mendengar rayuan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan hujah para peguamnya selama enam jam, tetapi telah menangguhkan keputusannya.

Sebelum itu, mahkamah telah menolak permohonan Nizar supaya panel penuh 11 orang hakim atau tambahan bilangan panel hakim, untuk mendengar kesnya itu.

BN mengambil alih pentadbiran negeri Perak apabila tiga ADUN Pakatan rakyat keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong BN.

Berikutan itu, Pakatan telah membawa perkara itu ke mahkamah.


Pada 11 Mei, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim telah memutuskan bahawa Nizar merupakan menteri besar Perak yang sah.

Zambry kemudiannya membuat rayuan dan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara menolak keputusan Mahkamah Tinggi itu, dengan alasan hakim berkenaan telah gagal untuk mengambilkira keseluruhan bukti yang dikemukakan.

Nizar diwakili oleh para peguam yang diketuai oleh peguam kanan Sulaiman Abdullah, manakala peguam kanan Cecil Abraham mewakili Zambry.

0 Minuman bergas dan kaitannya dengan kanser pankreas

Kerap minum air soda berisiko kena kanser pankreas

WASHINGTON 8 Feb. - Mereka yang minum sekurang-kurangnya dua tin minuman soda seminggu menanggung risiko lebih tinggi menghidap kanser pankreas.

Satu kajian melibatkan lebih 60,000 orang di Singapura mendapati mereka yang kebanyakannya minum jus buah-buahan sebagai ganti minuman ringan tidak mengalami risiko yang sama.

Gula mungkin menjadi puncanya tetapi mereka yang kerap mengambil minuman soda selalunya mempunyai tabiat lain yang tidak baik untuk kesihatan, kata ketua kajian, Mark Pereira daripada Universiti Minnesota hari ini.

"Kandungan gula yang tinggi dalam minuman soda boleh meningkatkan paras insulin dalam badan dan kami berpendapat peningkatan paras insulin menyumbang kepada pertumbuhan sel kanser pankreas," menurut Pereira dalam satu kenyataan.

Insulin, sejenis hormon yang membantu badan menguraikan gula, dihasilkan dalam pankreas.

Pereira dan rakan-rakan yang menulis dalam jurnal Cancer Epidemiology Biomarkers & Prevention berkata, mereka mengikuti perkembangan kesihatan 60,524 lelaki dan wanita dalam Kajian Kesihatan Cina Singapura selama 14 tahun.

Dalam tempoh itu, 140 sukarelawan tersebut disahkan menghidapi kanser pankreas. Mereka yang minum sekurang-kurangnya dua tin minuman soda seminggu mengalami risiko 87 peratus lebih tinggi termasuk di kalangan pesakit kanser pankreas itu.

Kanser pankreas adalah antara jenis kanser yang paling berbahaya, dengan 230,000 kes dikesan di seluruh dunia. Di Amerika Syarikat (AS), 37,680 orang didiagnosis menghidapi kanser pankreas dalam setahun dan 34,290 meninggal dunia akibat penyakit itu.

Persatuan Kanser Amerika melaporkan, hanya kira-kira lima peratus pesakit kanser pankreas masih hidup lima tahun selepas mula didiagnosis. - Reuters

0 12,000 pelanggan direkrut jadi penggodam? Bayangkanlah bagaimana 'virus' ini merosakkan bumi. Sangat menakutkan

Pusat latihan godam ditutup


Tiga ditahan raih RM3.45j

BEIJING: Polis China menutup satu operasi latihan penggodam yang secara terbuka merekrut ribuan ahli secara online asas serangan siber serta perisian haram, kata media tempatan semalam.

Tindakan tegas itu berikutan meningkatnya kebimbangan China menjadi pusat jenayah internet global. Enjin pencarian gergasi Google, berkata bulan lalu akaun

e-mel miliknya digodam dari China dalam satu serangan yang turut menjejaskan 20 syarikat lain.


Polis di wilayah Hubei menahan tiga orang disyaki menguruskan laman penggodam dikenali sebagai Black Hawk Safety Net yang menyebarkan teknik menggodam laman web dan perisian Trojan, lapor China Daily.

Perisian Trojan membolehkan capaian luaran komputer apabila dipasang, digunakan penggodam mengawal komputer secara haram.

Black Hawk Safety Net merekrut 12,000 pelanggan berbayar dan mengutip lebih tujuh juta yuan (RM3.45 juta) yuran keanggotaan, sementara tambahan 170,000 mendaftar secara percuma, lapor akhbar.


Media melaporkan polis merampas sembilan pelayan, lima komputer dan sebuah kereta serta menutup laman web terbabit dalam kes itu. Pihak berkuasa turut membekukan aset bernilai 1.7 juta yuan (RM861,875).

Berikutan itu, laman web berkenaan ditutup selepas siasatan membabitkan kerjasama 50 pegawai polis dari tiga wilayah lagi.

Kes ini berpunca daripada serangan penggodam terhadap sebuah kafe internet di bandar Macheng, Hubei, pada 2007 sehingga menyebabkan perkhidmatan laman web terganggu lebih 60 jam dan ada di kalangan suspek yang ditahan mengaku menjadi anggota Black Hawk Safety Net. – AP

0 Strategi pemerintah untuk negara di abad ke-21

4 tonggak jaya agenda negara: PM

Oleh Johari Ibrahim
joib@bharian.com.my



NAJIB berucap pada majlis perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, semalam.



Pentadbiran awam pantas buat keputusan secara kreatif, inovatif

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak menggariskan empat tonggak utama untuk dilaksanakan oleh pentadbiran awam bagi menjayakan agenda negara sepanjang tahun ini, iaitu gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan; Program Transformasi Kerajaan (GTP); Model Ekonomi Baru dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Perdana Menteri, dua perkara lain yang menjadi elemen penting kepada empat tonggak berkenaan ialah pemikiran kreatif dan inovatif serta kepantasan membuat keputusan.


Beliau berkata pemikiran kreatif dan inovatif, iaitu pendekatan penciptaan nilai perlu digunakan dalam ekonomi dan pembangunan yang turut membabitkan penilaian semula pemikiran tahap lama bagi mencari kaedah yang lebih baik.

"Kepantasan membuat keputusan dan melaksanakan dasar pula memberi kesan yang amat besar kepada pentadbiran kerana ia ada kaitan langsung dengan daya saing Malaysia.

"Kita akan dinilai oleh laporan daya saing dunia dan kalau kita berada dalam senarai 10 negara teratas, tentu orang akan lihat kita sudah berada pada tahap negara yang berkemampuan tinggi.


"Saya harap penjawat awam akan memberi komitmen sepenuhnya (kepada) apa yang dianggap penting untuk memenuhi jangkaan dan harapan rakyat," katanya pada majlis perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini semalam.

Najib mengumpamakan empat tonggak berkenaan seperti empat kaki kerusi yang semuanya diperlukan untuk memastikan tempat duduk itu stabil dan selamat.

"Kalau kerusi yang stabil... nak duduk kita rasa selamat. Ada kerusi tiga kaki tetapi tak berapa selamat dan kalau dua kaki lagilah tak selamat," katanya.

Menghuraikan gagasan 1Malaysia, Najib berkata beliau tidak mahu ia dianggap sebagai slogan atau retorik, sebaliknya pengertian yang mendalam dari segi pendekatan dan perubahan yang dilakukan kerajaan.

Beliau berkata gagasan itu adalah usaha murni memacu perpaduan nasional yang membawa kepada kestabilan dan bergerak dalam satu keluarga yang besar untuk menuju matlamat yang sama.

"Ada kumpulan dan individu yang ingin merosakkan keharmonian dan perpaduan dalam negara. Walaupun ia kecil tetapi ingat, bara kecil yang tidak dipadamkan, boleh menjadi api yang akan menghancurkan dan membinasakan kita.

"Jika gereja dan surau dibakar, kepala khinzir dicampak ke perkarangan masjid, ini adalah perkara serius yang mesti ditangani bersama," katanya.

Justeru, katanya, Gagasan 1Malaysia amat penting untuk memupuk rasa kekeluargaan sesama rakyat pelbagai kumpulan etnik serta budaya.

"Rakyat Didahulukan kerana kerajaan ini adalah kerajaan rakyat dan bukan (hanya) untuk perniagaan atau korporat besar. Ia kerajaan untuk rakyat dan ini kita mesti terjemahkan dalam bentuk dasar, program dan peruntukan kita, manakala Pencapaian Diutamakan kerana jika tidak rakyat akan bersikap sinis... umum satu dasar, umum satu program tetapi pelaksanaannya masih timbul banyak persoalan," katanya.

Perdana Menteri berkata GTP pula adalah janji kerajaan yang perlu ditunaikan oleh semua pihak selaras dengan akujanji kepada rakyat.

Beliau berkata Model Ekonomi Baru yang akan dibentangkan pada penghujung bulan depan pula bertujuan memberi suntikan kepada pembangunan ekonomi negara agar lebih berdaya saing.

"Ia berpindah daripada (negara) berpendapatan pertengahan kepada negara yang lebih kompetitif dan lebih berjaya. Ini akan merumuskan strategi ekonomi untuk negara," katanya.

Sementara itu, RMK-1O pula akan mengandungi banyak ketetapan yang dibuat dalam GTP, Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) dan Model Ekonomi Baru itu.