.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Wednesday, November 24, 2010

0 Belajar sejarah untuk membina masa depan bukan untuk mengulangi kesilapan masa lalu

Peguam Syarie Menulis: Sejarah beri panduan bina masa depan cemerlang

Oleh Tuan Musa Awang

2010/11/24
CADANGAN kerajaan menjadikan subjek Sejarah sebagai mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) wajar dipandang dari perspektif positif, meskipun ada beberapa pihak menentangnya. Sebagai seorang yang mengambil subjek Sejarah sejak di bangku sekolah menengah, saya menyokong syor ini.

Sejarah bukan hanya untuk dikenang, dibukukan atau dijadikan rekod tawarikh untuk ditelaah oleh generasi akan datang, tetapi sejarah adalah satu bentuk pendidikan berterusan agar kita menghargai apa yang dikorbankan oleh tokoh terdahulu atau tidak mengulangi kesalahan sama yang pernah dilakukan oleh orang terdahulu. Bukti menunjukkan bahawa sejarah itu berulang-ulang, cuma watak, latar tempat dan plotnya saja berbeza. Daripada sejarah kita belajar bagaimana Nabi Muhammad SAW yang berasal daripada seorang anak yatim, miskin dan buta huruf mampu menjadi pemimpin agung, sehingga suatu ketika Islam menjadi tamadun peradaban yang mendominasi sebahagian besar dunia, kemudian menjadi lemah sehingga sekarang, akibat kesalahan dan kesilapan yang dilakukan oleh sebahagian umat Islam yang lupakan sejarah. Daripada sejarah juga kita belajar bagaimana Kesultanan Melayu Melaka menjadi sebahagian daripada tamadun Nusantara, yang kemudian jatuh ke tangan penjajah Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun akibat kesilapan yang dilakukan oleh sebahagian pemimpin dan rakyat yang lupakan sejarah. Sejarah membuktikan bahawa undang-undang Islam yang pernah menjadi hukum kanun kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dan sebahagian besar negeri Tanah Melayu telah dipinggirkan selepas penjajahan. Hakikatnya kini, Mahkamah Syariah berada pada taraf, status, kedudukan dan bidang kuasa yang lebih rendah dan sempit berbanding mahkamah sivil.

Sejarah ketamadunan Mesir di tepian Sungai Nil mengajar kita mengenai sejarah sistem kalendar, penyimpanan mayat dan piramid. Sejarah ketamadunan China dari tepian sungai Huang Ho dan Yang Tze mengajar kita mengenai sejarah penemuan kertas, sutera, dan sistem pertanian. Sejarah perang dunia pertama dan kedua mengajar kita mengenai relovusi dan perkembangan teknologi seperti pesawat terbang, kapal selam, senjata dan komunikasi. Dari sejarah, kita belajar bahawa pemimpin yang mencapai cita-cita politik mereka dengan bermandikan darah, air mata, dan penderitaan rakyat seperti Firaun, Stalin dan Hitler akan dikenang walaupun dari sudut negatif.

Belajar sejarah menjadikan kita semakin bijak untuk membangun dunia pada masa akan datang, bukan mengulangi kesalahan yang pernah dilakukan. Belajar sejarah menurut Islam adalah untuk memberi kesedaran, mengambil iktibar dan juga untuk menambah keimanan kepada Allah SWT.

Dianggarkan satu perenam daripada kandungan kitab suci Al-Quran adalah terdiri daripada kisah sejarah. Sebagai contoh, Surah al-Qasas, sebahagian besarnya menceritakan kisah Nabi Musa (as) menentang Firaun dan kaumnya. Firman Allah dalam ayat ke-4 surah itu yang bermaksud: Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir) dengan melampaui batas, serta ia menjadikan penduduknya berpuak-puak. Ia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya adalah ia daripada golongan yang membuat kerosakan.

Surah al-Kahfi pula menceritakan kisah sekumpulan pemuda yang tidur di dalam gua. Ayat 9 hingga 13 surah itu yang bermaksud: Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah Ashabul Kahfi dan Ar-Raqim itu saja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami? (Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami. Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak bilangannya. Kemudian Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), untuk Kami menguji siapakah dari dua golongan di antara mereka yang lebih tepat kiraannya, tentang lamanya mereka hidup (dalam gua itu). Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambah mereka dengan hidayah petunjuk.

0 comments: