.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Monday, September 20, 2010

0 Sediakan skrip untuk setiap perayaan besar di Malaysia terutama Hari Raya, Hari Kemerdekaan, Tahun Baru, Dan Lain-Lain

Tak perlu filem raya?


2010/09/18
ASSALAMUALAIKUM! Bukan sekali kisah ketandusan filem bertemakan Aidilfitri dibangkitkan. Bukan isu pun, tetapi ia menarik perhatian saya yang bukan pertama kali. Sama ada karyawan filem kita sememangnya tidak dikurniakan ilham yang baik mahupun gangguan persekitaran yang membantut kemungkinan hasrat menghasilkan filem sedemikian, saya kurang pasti.

Namun sebagai pemerhati, lebih-lebih lagi yang meneruskan kelangsungan hidup di atas landasan kewartawanan hiburan ini, saya melihat ada kewajarannya penerbitan tema seumpama itu di kelir lebar.

Selain membesarkan Aidilfitri setahun sekali, yakni hari kemenangan umat Islam, suasana sambutannya mempunyai warna tersendiri yang menggambarkan wajah kita.

Bukankah filem kita mencari wajah kita untuk ditempatkan di dalam peta perfileman dunia? Biarpun slogan bertukar kepada ‘era globalisasi’ yang sehingga kini belum menampakkan pencapaian itu, rasanya ‘filem kita, wajah kita’ masih relevan untuk diletakkan di pasaran dunia global seperti dicanangkan.

Barangkali produser atau pengarah filem masih mempunyai ketakutan untuk mengeluarkan filem bertemakan Hari Raya, takut ia tidak dapat ditayangkan pada musim perayaan sepatutnya kerana perlu bersaing dengan filem lawak ‘slapstik’ yang menjadi tradisi sebagai umpan masyarakat mengunjung panggung wayang.

Pun begitu, tema Hari Raya tidak semestinya terikat dengan kisah air mata sebagaimana menjadi pilihan pengarah drama atau pengendali stesen televisyen.

I Know What You Did Last Raya yang ditayangkan kira-kira enam tahun lalu, sekurang-kurangnya menjadi contoh dalam menjana transformasi paradigma perfileman Melayu kita.

Barangkali juga karyawan kita bimbang syarat wajib tayang sebagaimana ditetapkan Finas. Namun saya yakin, jika bijak menyusun masa dan kerja serta melalui budi bicara di meja rundingan, ia bukan kekangan kerana orang Finas kerjanya untuk memudahkan pihak pembikin filem.

Tiba masanya untuk kita beralih seperti yang boleh saya kaitkan dengan perutusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sempena sambutan kemerdekaan Malaysia ke-53, Selasa lalu, yang menekankan soal penjanaan transformasi.

Cuba tengok sepanjang tiga Hari Raya pertama ini, semua filem yang ditayangkan di TV tiada langsung bertemakan Aidilfitri. Ini kerana kita tidak mempunyai filem yang sesuai untuk sambutan itu, jadi langsung, mana filem yang ada, ditayangkan saja. Tiada masalah. Lagipun, orang kita mana nak kisah pasal tema ini kerana yang penting ‘masyuk’ perlu diutamakan.

Ahhh... lupakan saja hasrat untuk tengok karyawan kita buat filem raya sebab tema atau konsep begitu hanya sesuai untuk tayangan di kaca TV.

Sejak dulu lagi, kita terbiasa dengan kisah anak lupakan ibu, menantu dari bandar yang janggal beraya di kampung dan sebagainya sudah kita saksikan di TV.

Tiga raya pertama ini pun kita jenuh dihidangkan dengan drama yang saya maksudkan. Jadi apa nak kisah kalau filem raya tidak wujud di panggung? Dalam pada itu saya sokong hasrat A Razak Mohaideen untuk sekali lagi mengambil tema Hari Raya. Difahamkan Razak yang juga pengarah filem 4 Madu yang ditayangkan di pawagam seluruh negara ini akan mengarah Raya Tak Jadi pada 2011. Moleklah, sekurang-kurangnya kita nampak juga usaha beliau yang sensitif dengan keperluan semasa.

Bercakap mengenai tema sedemikian, tema Hari Raya kalau diamati lebih mendalam, ia besar maknanya. Kita sedia tahu Hari Raya adalah hari kemenangan umat Islam, jadi apa salahnya kita jadikan tema kemenangan dalam perjuangan misalnya sebagai filem keraian merayakan apa yang patut dirayakan.

Entahlah, saya cuma tahu berkata melalui ayat-ayat ini kerana yang membuatnya tentu lebih pening. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Bagaimanapun, situasi sambutan Ramadan dan Syawal di negara kita jauh berbeza. Tidak perlu jauh ke negara Islam di Timur Tengah hingga ke Makkah serta Madinah, cukuplah negara jiran kita Indonesia sebagai contoh.

Ya, sekarang hubungan diplomatik dua negara ini kurang mudah tetapi saya melihatnya untuk kita teladani sambutan dua bulan mulia itu di kalangan umat Islam di sana. Tidak hanya drama bercorakkan sambutannya, malah iklan juga bagai meraikan kedatangan bulan-bulan itu, terutama Ramadan.

Pengalaman berpuasa dan beraya di Makkah tahun lalu mengukuhkan lagi keterbukaan minda saya terhadap sambutan Ramadan dan Syawal di kalangan umat Nabi Muhammad SAW. Mereka membesar-besarkan Ramadan, meraikannya dengan penuh takwa.

Cuba cermin kembali diri kita hari ini, menjelangnya Ramadan hanya bagai petanda bagi sesetengah orang yang kita perlu buat persiapan Hari Raya.

Pakaian, perabot, langsir dan benda duniawi yang sewaktu dengannya yang menjadi keutamaan di dalam kotak fikiran masing-masing. Namun lain orang lain padang, jadi pandang-pandang dan jeling-jelinglah mana yang berkenan.

Wassalam!

0 comments: