.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Tuesday, September 28, 2010

0 Benjamin Stephen akan disiasat berhubung klip video di YouTube

Rais arah SKMM siasat klip video paderi hina Islam
28/09/2010 3:17pm


KUALA LUMPUR 28 Sept. - Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) supaya membuat siasatan serta-merta terhadap klip video dalam laman YouTube yang memaparkan seorang paderi menyampaikan ceramah menghina Islam.

Rais berkata, beliau telah mengarahkan SKMM supaya merekodkan perkara-perkara yang perlu seperti masa penyiaran, kandungan suara dan simbol yang dikeluarkan oleh paderi tersebut dalam klip video itu.

"Kita akan buat siasatan secepat mungkin di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, saya sendiri akan tentukan supaya kes ini dibawa ke perhatian pihak berkuasa secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar "Isu dan Cabaran Dalam Memulihara Arkib Audiovisual di sini hari ini.

Semalam, seorang penulis blog yang juga Presiden Penaja Perikatan Blogger Muslim (MBA), Zainol Abideen mendedahkan tindakan seorang paderi, Benjamin Stephen yang didakwa menghina agama Islam dan Rasulullah.

Paderi tersebut dilaporkan menghina Islam ketika menyampaikan ceramahnya di sebuah gereja di Kuching, Sarawak baru-baru ini.

Rais berkata, isu itu merupakan hal yang serius dan kementerian akan mengambil tindakan tidak kira di mana ia dipancarkan sama ada menerusi laman YouTube atau Yahoo, asalkan ia disiarkan di negara ini kepada pendengar dan pemerhati internet. - Bernama


Artikel berkaitan:

KDN diminta ambil tindakan kes paderi hina Islam


2010/09/28
PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) diminta menyiasat segera dan mengambil tindakan tegas terhadap dakwaan seorang paderi mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhamad dan Islam ketika berceramah di sebuah gereja di Kuching, Sarawak, baru-baru ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, berkata KDN perlu melihat perkara itu secara serius kerana membabitkan dakwaan terhadap kesucian Islam dan Nabi Muhamad. Beliau berkata, tindakan paderi itu itu boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dan kemarahan di kalangan umat Islam sehingga mencetuskan ketegangan antara penganut pelbagai agama dan kaum di Malaysia, pada masa depan. “Jika kita tidak melihat perkara ini secara lebih serius dan memaafkan mereka terbabit begitu saja, saya bimbang umat Islam akan bangkit dengan kemarahan berbentuk perkauman sehingga mencetuskan rusuhan di negara ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran Yayasan Wakaf Malaysia di Masjid Putra di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan tindakan seorang paderi yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhamad dan agama Islam dalam satu ceramah di sebuah gereja di Kuching, Sarawak yang disiarkan di internet.

Mengulas lanjut, Mashitah berkata, pihaknya juga akan meminta pihak berkuasa agama Islam Sarawak menyiasat terperinci dan mengambil tindakan tegas terhadap paderi terbabit.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata Jabatan Agama Islam negeri perlu menyiasat laporan dakwaan berlaku penghinaan terhadap agama Islam di negara ini.
Beliau berkata, hasil siasatan itu perlu diserahkan kepada pihaknya supaya tindakan selanjut dapat diambil.

“Biar jabatan agama negeri menyiasat perkara berkenaan dulu kerana tindakan tidak boleh diambil tanpa ada laporan rasmi mengenai dakwaan ada pihak yang menghina Islam.

“Hasil laporan siasatan itu boleh diserah kepada saya supaya tindakan lanjut boleh diambil terhadap mereka terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Artikel susulan:
Jangan timbulkan isu sensitif bangkitkan kemarahan kaum lain
29th September, 2010
KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengingatkat mana-mana pihak supaya tidak mencetuskan isu-isu sensitif terutamanya mengenai agama yang boleh membangkitkan kemarahan kaum lain seperti umat Islam.

Katanya semua pihak harus mengakui bahawa Islam adalah agama rasmi persekutuan dan perkara itu harus dihormati oleh rakyat di negara ini termasuk bukan beragama Islam.

“Saya memperingatkan semua pihak terutamanya bukan Islam supaya faham sensitiviti agama tidak hanya menyentuh individu tetapi menyentuh bangsa dan penganut agama tersebut. Kesannya lebih dahsyat daripada pertembungan antara kaum atau etnik tersebut.

“Kena beringat jangan menyentuh soal sensitiviti. Ini satu kesepakatan bahawa Malaysia mengamalkan agama Islam sebagai agama persekutuan dan agama lain bebas untuk mengamalkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kemelut Peradaban Remaja Masa Kini: Perspektif Al-Quran dan As-Sunnah di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM).

Yang turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Dr Rohana Yusof, Pengurus Besar Yayasan Taqwa, Ahmad Ayob Ibrahim dan Ketua Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Prof Madya Dr Mustaffa Abdullah.

Sebanyak 10 kertas kerja dibentang oleh 10 penceramah termasuk bekas Pengurus Besar Bernama, Datuk Seri Azman Ujang pada persidangan selama dua hari anjuran bersama Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Yayasan Taqwa dan Panel Sosial Perundangan Islam JAKIM.

Beliau diminta mengulas laporan tindakan seorang paderi yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhammad dan agama Islam dalam satu ceramah di sebuah gereja di Kuching, Sarawak yang disiarkan di internet.

Presiden Penaja Perikatan Blogger Muslim (MBA) Zainol Abideen dilaporkan berkata paderi bernama Benjamin Stephen itu menyampaikan ceramah menghina Islam di sebuah gereja di Kuching, Sarawak.

Jamil berkata, hanya pihak-pihak berwajib seperti polis dan mahkamah yang boleh mendakwa pihak yang terlibat.

“Kita bersetuju perkara itu dibuat penelitian oleh pihak berwajib seperti polis. Kuasa yang ada untuk mengambil tindakan hanya mahkamah, jadi mahkamah sebelum pendakwaan ada bukti yang konkrit supaya tiada kelemahan yang akan menyukarkan tindakan diambil terhadap pihak berkenaan,” katanya.

Mengulas mengenai majlis pada hari ini, Jamil berkata aktiviti sebegini wajar diteruskan bagi membendung masalah remaja yang semakin meruncing pada waktu ini.

“Kita mengharapkan program sebegini anjuran badan kerajaan dan juga NGO supaya mereka dapat menyumbang idea dalam membendung masalah remaja yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini,” katanya.


Artikel susulan:

Siasat paderi hina Islam di bawah Kanun Keseksaan
KUALA LUMPUR 29 Sept. – Majlis Peguam menggesa pihak berkuasa menyiasat segera kes seorang paderi yang didakwa menyampaikan ceramah menghina Islam di sebuah gereja di Kuching, Sarawak, baru-baru ini.

Presidennya, Ragunath Kesavan berkata, jika siasatan terhadap kes tersebut dilengah-lengahkan, ia bakal menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan umat Islam.

Jelas beliau, pendakwaan di mahkamah juga perlu disegerakan sekiranya terbukti paderi terbabit bersalah agar semua berpuas hati dengan tindakan yang dilakukan pihak berkuasa.

‘‘Dalam kes tersebut, Majlis Peguam berpendapat bahawa penggunaan Akta Hasutan adalah tidak relevan kerana akta berkenaan dilihat tidak objektif.

‘‘Justeru, tindakan harus dilakukan dengan mengguna pakai peruntukan Kanun Keseksaan Seksyen 298 iaitu mengeluarkan perkataan dengan sengaja untuk mengguris hati orang dalam sesuatu agama.

‘‘Seksyen 298A iaitu menyebabkan rasa tidak damai, perpecahan dan rasa tidak senang hati, prejudis kerana alasan agama juga boleh dikenakan. Kedua-dua seksyen itu lebih spesifik berbanding Akta Hasutan. Oleh itu, pihak berkuasa perlu melakukan siasatan dengan segera,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein memberitahu, pihak polis telah diarah bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat tindakan paderi berkenaan yang didakwa menyampaikan ceramah menghina Islam.

Beliau berkata, ceramah yang dimuat naik ke dalam lama web YouTube itu merupakan satu tindakan biadab dan boleh menggugat keharmonian negara.

Hishamuddin yang berang dengan perbuatan itu seterusnya meminta PDRM merujuk kepada pejabat Peguam Negara bagi merangka tindakan yang boleh diambil terhadap paderi terbabit.

Akhbar baru-baru ini melaporkan pendedahan Presiden Penaja Perikatan Blogger Muslim (MBA), Zainol Abideen mengenai tindakan seorang paderi, Benjamin Stephen yang didakwa menghina agama Islam dan Rasulullah ketika menyampaikan ceramah di sebuah gereja di Kuching.

Mengulas lanjut, Ragunath berkata, dalam dakwaan membabitkan paderi itu, kes 12 individu yang didakwa membawa dan memijak kepala lembu serta menyertai perhimpunan haram membantah pembinaan sebuah kuil di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, 28 Ogos tahun lalu boleh dijadikan rujukan.

Dalam kes berkenaan, jelasnya, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Beliau kemudiannya menyelar tindakan paderi itu yang dilihat tidak wajar dilakukan dalam keharmonian yang dikecapi di negara ini.

‘‘Niat dia (paderi) pun tidak baik. Perkara sebegini, mengutuk agama orang lain, tidak seharusnya berlaku di Malaysia,’’ tambahnya.


Artikel berkaitan:

Maglin kecewa sikap paderi hina Islam
KUALA LUMPUR 29 Sept. – “Saya harap dakwaan itu tidak benar tetapi jika ia berlaku, saya kecewa dengan sikap paderi berkenaan.”

Demikian luahan Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D’Cruz yang juga beragama Kristian berhubung dakwaan terdapat paderi memberi ceramah menghina Islam di Kuching, Sarawak.

Menurutnya, paderi itu tidak sepatutnya bertindak sedemikian termasuk mencela Nabi Muhammad SAW kerana beliau sama sekali tidak mengenali manusia yang dihinanya itu.

“Anda tidak hidup di zamannya dan tidak kenal pun siapa Nabi Muhammad. Jadi anda tidak boleh menilai orang yang anda tidak kenal.

“Itu bukan urusan paderi berkenaan dan dia tidak perlu masuk campur. Anda hanya perlu jaga rumah sendiri dan tidak perlu menyibuk di rumah orang lain kecuali jika anda dapat membantu orang itu,” katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan buku Warisan Maktab Kirkby di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan), Bukit Kiara di sini hari ini.

Maglin mengulas tindakan seorang paderi yang didakwa berceramah menghina Islam di sebuah gereja di Kuching, Sarawak baru-baru ini.

Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah membuka kertas siasatan berhubung kes berkenaan mengikut Akta Hasutan 1948.

Maglin menambah, tindakan paderi itu juga jelas bertentangan dengan ajaran dalam kitab Injil yang menganjurkan agar penganut Kristian bersikap merendah diri dan sentiasa membantu.

0 comments: