HIKMAT PERTEMUAN Sempena cuti umum 16 September, Azmil mempunyai rancangan dengan rakan-rakan ke Kolam Air Panas Poring, Ranau yang jauhnya lebih 150KM dari rumah kediaman tetapi Puan Hasnah, ibu Azmil mempunyai rancangan lain iaitu ke perbarisan hari keputeraan TYT Negeri Sabah dan sambutan Hari Malaysia peringkat negeri. Mereka mahu menyaksikan pasukan yang disertai Sazali, abang Azmil mempertahankan kejuaraan mereka tahun lalu bagi kategori jabatan tidak beruniform. Puan Hasnah mahu Azmil tidak membantah kerana jarak rumah dengan lokasi perbarisan cuma 15KM sahaja. “Ibu harap kau faham, Azmil? Ini cara ibu untuk menghalang kau terus berkawan dengan budak nakal seperti Dino,” ujar Puan Hasnah menampakkan kerisauannya. “Kalau begitu saya di rumah sahaja. Main internet, main facebook dan tunggu sehingga kamu balik! Saya tengok siaran langsung di tv sahaja,” tegas Azmil kerana kecewa. “Selepas acara perbarisan selesai, kita pergi merdeka raya di rumah kawan ibu, setuju?” pujuk Puan Hasnah kepada anak bongsunya yang berumur 20 tahun itu. Azmil menyoal ibunya kenapa mereka harus pergi ke majlis merdeka raya tersebut. Ibunya memberitahu bahawa majlis tersebut agak istimewa kerana menyambut hari raya serentak dengan sambutan Hari Malaysia. “Anak sulung mereka yang tidak pulang pada hari raya pertama telah balik kelmarin. 5 tahun mereka tunggu kepulangan anak mereka itu. Hari Malaysia pada tahun ini mesti hari raya yang sangat bermakna untuk keluarga mereka,” terang Puan Hasnah. Azmil terkedu. “Lima tahun tidak balik raya? Mesti ada pergaduhan yang besar di antara mereka, kan?” soal Azmil yang tertarik dengan berita yang disampaikan ibunya. “Ibu harap ajakan ibu ini tidak sia-sia. Sejak berkawan dengan Dino, kau kurang bergaul dengan orang lain. Ibu mahu kau bergaul dengan lebih ramai kawan. Inilah peluang untuk kau berkenalan dengan kawan baru atau jumpa kawan-kawan lama,” nasihat Puan Hasnah. Azmil menjawab, “Aah... Banyak sangat perayaan kerajaan buat setiap tahun. Macamlah banyak duit sangat. Dari sambutan Tahun Baharu, Tahun Baharu Cina, Pesta Menuai - Gawai, Deepavali, Hari Wesak, Hari Raya Aidil Fitri dan lain-lain. Entah berapa billion duit kerajaan sudah dibazirkan,”katanya. “Kita sepatutnya bersyukur kerana kerajaan mampu mengadakan sambutan perayaan-perayaan itu. Ini Kita tidak akan jumpa ini di negara lain, tahu tak?” jawab Puan Hasnah. Perbezaan pendapat di antara Azmil dengan ibunya terus berlarutan. Azmil menjelaskan duit pembayar cukai sepatutnya diguna untuk membantu orang miskin di bandar dan luar bandar. Puan Hasnah pula berpendapat perayaan-perayaan begitu perlu untuk memupuk perpaduan antara kaum. Dalam hal politik pula, supaya rakyat lebih mengenali pemimpin negara. “Lebih banyak keburukan daripada kebaikannya, ibu,” Azmil terus membantah. “Yang paling teruk ialah menggalakkan remaja bergaul bebas. Inikah yang kerajaan mahu dari kami iaitu bergaul bebas tanpa batasan?” Azmil meninggikan suaranya. Puan Hasnah hairan bagaimana anaknya begitu pandai mencari alasan. Puan Hasnah yakin mesti Dino yang telah menghasut anaknya. “Adakah muda-mudi yang datang ke sambutan perayaan hari kebangsaan mesti bergaul bebas dan suka hati melanggar tatasusila? Kenapa? Kau pergi hanya untuk mencari gadis?” tukas Puan Hasnah dengan nada agak keras. Azmil gembira ibunya menyebut berkenaan hal mencari gadis. Azmil menganggap telah berjaya memperdaya ibunya menurut kehendaknya. “Ini keputusan muktamad. Esok mesti bangun awal, jam 7 tepat mesti berada di sana,”perintah Puan Hasnah. Azmil tidak puas hati tetapi tetap akur dengan kehendak ibunya. “Saya datang untuk ‘cuci mata’ sahajalah! Kalau saya dapat pikat gadis di sana, ibu bayar saya RM100, bagaimana?” kata Azmil. Puan Hasnah menggeleng-geleng kepala mendengar cabaran Azmil yang sedemikian rupa. Keesokan harinya, di tempat permulaan perbarisan kawad kaki, suasana agak meriah. Ramai pengunjung telah datang untuk menyaksikan pasukan masing-masing atau sekadar memeriahkan perarakan hari kebangsaan. Bunyi pancaragam menghidupkan suasana. Kelihatan beberapa anggota pasukan keselamatan sedang berkawal untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku. Puan Hasnah di sebelah suaminya, Encik Bakri teruja melihat kesegakan Sazali, anak sulung mereka dalam pasukan yang disertainya. Azmil berdiri agak jauh dari ibu bapanya kerana mahu mencari gadis yang boleh dipikatnya. Azmil ternampak seseorang gadis, namun sebelum sempat Azmil mengecamnya, kelibat gadis itu menghilang di sebalik ratusan orang yang hadir. “Mustahil saya silap orang,” bisik hati Azmil apabila usaha untuk mengejar gadis tersebut gagal. Azmil akur tidak dapat mengejar gadis itu tatkala disapa oleh seseorang yang lain. “Hei Azmil, buat apa di sini?” tegur orang itu. “Hei kau pula John! Saya datang ke sini untuk tengok abang perbarisan,” jawab Azmil. “Kau kelihatan sedang bekerja dengan uniform kau?” soal Azmil pula. “Saya sedang bekerja. Juruteknik peralatan ICT untuk program kita hari ini,” jawab John. “Wow hebatlah! Ada kerja kosong untuk saya?” tanya Azmil teruja. “Saya memang sedang mencari kerja sekarang?” tambah Azmil. “Kebetulan kami kekurangan pekerja. Ada kerja di pejabat dan kerja maintenance. Datanglah temuduga sebelum diisi oleh orang lain,” beritahu John. John menghulurkan kad namanya. Azmil menyatakan kekagumannya terhadap John. “Kita kan kawan baik? Saya yakin kau mesti suka kerja ini,” beritahu John memberi semangat kepada Azmil. “Terima kasih John! Tidak sangka kita dapat berjumpa di sini,” ujar Azmil. “Saya lihat kau kejar orang tadi? Nampak tergesa-gesa saja?” John bertanya inginkan kepastian. “Tadi saya nampak Azura dengan seseorang. Mesra betul saya tengok. Saya berharap seseorang itu bukan teman lelakinya,” jelas Azmil. “Ooo... Itu memang Azura. Dia semakin cantik sekarang kan?” Azmil tersengih. “Ooh.. Rupanya kamu ada bertegur-sapa tadi?” tanya Azmil. “Ya. Lelaki itu tunang Azura. Bekerja sebagai guru di sekolah menengah. Mereka baru bertunang sebulan yang lalu. Azura cerita kepada saya tadi,” John menjelaskan. “Azura pandai cari calon suami kan?” John cuba mengusik Azmil. Azmil membuat pengakuan bahawa dia hampir mahu memikat Azura sebentar tadi. Mujurlah mereka cepat berlalu jika tidak tentu memalukan Azmil yang masih belum berkerjaya. Azmil teringat akan Dino yang juga belum bekerja tetapi selalu ada banyak wang di dompet. “Berkenaan kerja itu, boleh saya bawa kawan sekali?” tanya Azmil mengalihkan topik perbualan. Azmil berazam untuk mengubah sikap Dino yang memang agak nakal menjadi baik. “Ada tiga kekosongan,” jawab John. “Terima kasih John!” kata Azmil bertambah ceria. John melihat jam di tangannya dan kemudian meminta diri kerana perlu bertugas. “Saya harus beredar sekarang, telefon saya dahulu sebelum hadir temuduga,” pesan John. Selepas John berlalu, Azmil memandang sekeliling kalau-kalau masih ada gadis lain yang menarik minatnya. Azmil tetap ingat yang dia telah bertaruh dengan ibunya. “Awal betul Azura bertunang. Kalau tidak, bukankah ini peluang untuk saya mencari bakal menantu ibu?” Azmil meluahkan kekecewaannya namun dia pasrah. Di tengah ribuan pengunjung yang lain, Azmil berharap dapat berjumpa beberapa orang lagi yang dikenalinya sama ada bekas guru di sekolah menengah dahulu mahupun artis yang dia minati. “Rupanya banyak kebaikan datang ke perayaan yang ramai orang begini. Saya sudah dapat hasilnya hari ini. Jika saya tidak datang hari ini, tentu tidak berjumpa John. Mulai sekarang saya mesti selalu berfikiran positif,” luah Azmil menginsafi diri. “Saya mesti berterima kasih kepada ibu. Tetapi sebelum itu kami mesti beri sokongan kepada pasukan abang dahulu,” tegas Azmil kepada diri sendiri. Azmil berharap pasukan abangnya menang lagi tahun ini. Puan Hasnah melihat Azmil sedang mara ke arah mereka. “Chayo! Chayo! Kita akan sokong pasukan abang!” jerit Azmil dengan agak bersemangat sehingga membuatkan Puan Hasnah agak kehairanan. “Azmil kelihatan gembira?” teka Puan Hasnah. “Tadi saya berjumpa dengan rakan sekelas di SMK dulu. Dia rekomenkan saya satu pekerjaan. Saya tidak sabar untuk hadir ke temuduga,” Azmil menjelaskan kepada ibunya. “Baguslah. Tidak sia-sia ibu mengajak kau ke mari,” ujar Puan Hasnah sambil tersenyum. “Selepas ini kita pergi beraya pula di rumah kawan ibu. Harap-harap ada rezeki baru atau peluang lain menanti kau di sana,” sambung Puan Hasnah memberi perangsang kepada anak manjanya yang masih kelihatan riang. “Ya. Sambutan Hari Malaysia dan hari raya tahun ini sangat bermakna buat saya! Sekarang saya tidak sabar hendak makan ketupat raya pula,” jawab Azmil kegirangan. Acara perbarisan kawad kaki baharu sahaja diumumkan untuk bermula. Kelihatan pasukan yang disertai Sazali sedang bersedia untuk bergerak. Di majlis merdeka raya yang akan dikunjungi Puan Hasnah sekeluarga, persiapan sedang rancak dijalankan. Beberapa wanita dewasa sedang menyediakan juadah sambil menonton siaran langsung perarakan hari merdeka peringkat kebangsaan di tv nasional.
Tuesday, August 20, 2013
0 Belajar menulis cerpen - Hikmat Pertemuan. Tema kemerdekaan. Mohon komen untuk penambahbaikan karya seterusnya
Thursday, August 08, 2013
0 Apabila rumah kebajikan lebih sempurna daripada rumah sendiri?
Aidilfitri tanpa kehadiran anak Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA kamilah.mustapha@kosmo.com.my SENI AISHAH sebak ketika ditemu bual di Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas, Puchong baru-baru ini. KUALA LUMPUR - "Perniagaannya tidak maju jika mak cik tinggal dengan dia (anak). Mak cik juga dianggap pembawa sial dan celaka menyebabkan mak cik dibuang ke sini." Demikian antara luahan sedih Seni Aishah Abdullah, 73, ketika ditemui wartawan Kosmo! di Rumah Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas di Kampung Pulau Meranti di Puchong dekat sini. "Sejak dicampak ke sini tujuh tahun lalu, mak cik tidak pernah dipedulikan oleh keluarga dan tiga orang anak mak cik," katanya dalam nada tersekat-sekat kerana terlalu sedih mengimbau nasib diri yang malang. Seni Aishah yang berasal dari Bandar Kinrara merupakan seorang India Muslim yang dihantar ke pusat jagaan itu oleh salah seorang anak lelakinya. "Anak saya memiliki perniagaan kedai runcit. Kami selalu bergaduh berpunca daripada hal-hal kecil dan selepas dia (anak) tidak tahan dengan mak cik dan ditambah perniagaannya kerap rugi, anak ambil keputusan hantar mak cik di sini," kata warga emas itu. Walaupun pada hakikatnya amat menyakitkan apabila dibuang darah daging sendiri, namun Seni Aishah memberitahu, dia tetap bersyukur kerana pusat jagaan itu lebih sempurna dan terjaga berbanding tinggal di rumah anak-anak sendiri. Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0808&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2bKApYCXa Hakcipta terpelihara
Tuesday, July 30, 2013
0 Cinta Hattan & Arinie
Arinie 'aku' sudah kembali Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN pengaranghiburan@utusan.com.my Gambar WAHIDIN SALIM HATTAN dan Arianie kembali disatukan. TIDAK ramai yang tahu akan cerita ini. Peristiwa yang berlaku dalam hidupnya pada satu malam, kira-kira tujuh tahun lalu menjadikan penyanyi Memburu Rindu terus-terusan dilanda kasmaran kepada wanita bernama Arianie Mohd. Abidin. "Selepas dua atau tiga tahun bercerai, aku didatangi mimpi. Mimpi yang indah sekali dan berlaku pada satu malam Jumaat. Aku bermimpi dengan disaksikan oleh arwah ayah aku sendiri. Dalam mimpi itu, aku dan Arianie kembali bernikah. Kami kembali menjadi suami isteri dalam mimpi yang sangat mendamaikan jiwa itu," beritahu Hattan kepada Mega dalam perbualan eksklusif kami, selepas empat hari kembali bergelar suami. Lalu, mimpi itulah yang memberi kekuatan kepada lelaki yang dilahirkan dengan nama Mohd. Shukri Sahabuddin ini. Mimpi itu kejap dan berbekas di jiwa, menaburkan bunga-bunga semangat untuk kembali memburu cinta wanita itu. Meskipun mereka telah dipisahkan oleh satu talak pada 2005 (Hattan mengaku lafaz cerai dibuat kerana sifat 'baran' sendiri), Arianie masih ada untuknya. Arinie lah isteri yang akan menjaga makan minum pada hari tuanya dan Arianie juga adalah tulang rusuk yang akan kembali kepada dirinya sebagai tuan pemilik. "Aku pegang pada mimpi itu sebagai petunjuk Allah. Sebab itu, selepas tiga tahun kami bercerai, aku lebih banyak bertaubat, tinggalkan dunia-dunia kelab malam, kehidupan buruk. Satu persatu aku tinggalkan sebab aku tahu, hal-hal itu antara perkara yang buat Arianie tidak suka," katanya. Kepada penulis sendiri, Hattan pernah katakan bahawa walau dengan apa cara sekalipun, dia yakin wanita itu akan kembali menjadi miliknya, dengan izin Yang Maha Esa. "Aku dapat rasa, tidak akan ada perempuan lain yang boleh jaga aku, sama macam Arianie jaga aku. Hanya dia yang faham tentang aku," itu yang diucapkan kira-kira empat atau lima tahun lalu. Ketika itu dia telah kehilangan Arianie hampir lima tahun dan selepas perceraian, Hattan mengakui sukar untuk dia meneruskan hidup tanpa wanita itu di sisi. "Aku memang hendak kahwin dengan dia balik, aku tak boleh kahwin dengan orang lain. Bila aku hilang dia, baru aku tahu dia sangat bernilai pada hidup aku," katanya lagi dalam perjalanan pulang kami selepas terlibat dalam penganjuran Konsert Pancaindera di Johor Bharu ketika itu. Sebenarnya hasrat Hattan untuk kembali memiliki Arianie tidak pernah padam. Hari pertama dia melafazkan cerai, detik itu juga dia berpaling daripada rasa amarah dan mahu kembali bersatu dengan Arianie. Lalu, ketika buat kali keduanya menzahirkan lafaz kembali bernikah dengan wanita yang sama, ada air mata yang deras mengalir di pipi lelaki ini. Semuanya kerana terkenangkan kembali kepada mimpi yang memberikan kekuatan kepada dirinya untuk mendapatkan semula Arianienya yang telah pergi. "Ketika mahu berjabat tangan dengan tok kadi, aku teringat kepada mimpi malam Jumaat itu, itulah keajaiban, benda tu yang buat aku menangis. Tak tahu nak cakap apa lagi. Ya Allah, ini dia, inilah dia. Aku tak boleh hendak terang kepada semua orang kenapa aku menangis. Aku menjadi sangat insaf. Tuhan itu satu, Dia Maha Agung dan aku sebak sendirian. "Melalui mimpi itu, aku tahu, aku sangat sayang dan kasih kepada dia. Tiada tempat untuk orang lain di hati ini, selain dia sebenarnya," katanya yang dalam perbualan kami, turut beberapa kali menjadi sebak tidak keruan. Hattan dan Arianie kembali bergelar suami isteri pada 15 Ramadan 1434 dengan mas kahwin RM300 tanpa sebarang hantaran lain, di Putrajaya, Rabu lalu. Bukan tidak ada perempuan lain yang singgah di hatinya sebelum ini. Ada. Malah, Hattan pernah bernikah seketika dengan seorang wanita lain tidak lama dahulu tetapi bercerai hanya selepas dua bulan menjadi suami isteri. Untuk Arianie pula, pernah bertunang, tetapi terputus di tengah jalan, maka hari ini dia kembali kepada Hattan, lelaki yang telah memberikannya seorang zuriat sebelum ini. "Masa Arianie bertunang, aku cakap sendiri kepada dia, "Kau takkan bernikah dengan dia, kau akan bernikah dengan aku balik." Arianie marah kepada aku ketika itu, tetapi itu adalah keyakinan aku. Aku pun tidak boleh jadi suami kepada perempuan lain sebab dalam otak aku, tak pernah padam nama Arianie. Asyik teringat kepada Arianie, macam mana aku nak bahagia dengan perempuan lain?" demikian ceritanya dengan nada paling berterus terang. Hikmah tangguh tunai haji Hari pertama setelah kembali bergelar isteri, melihat Arianie masuk ke rumah kelamin mereka di Putrajaya, hati lelakinya begitu terkesan. "Dio masuk rumah den, dio susun balik baju-baju den, hati den pun cair," ketawanya dalam bahasa Negeri Sembilan yang lepas bebas. Perbualan kami berlangsung selepas empat hari Hattan kembali bergelar suami Arianie. Apa yang mahu dikongsi? "Aku boleh cakap, hidup aku lebih bermakna. Kami jadi macam dulu-dulu semula, macam baru kahwin. Tetapi kali ini lebih romantik dan cinta kami lagi matang. Semalam kami pergi pasar malam Putrajaya, beli samping aku. Boleh pegang-pegang tangan, peluk-peluk pinggang lagi," katanya. Hattan juga mengaku, dia pernah membuat keputusan untuk membatalkan hasrat menunaikan ibadah haji pada 2012 meskipun sudah membuat banyak persiapan untuk itu. "Pada tahun 2012, memang sudah daftar, tetapi tiba-tiba aku tidak jadi pergi. Hati aku kuat mengatakan, aku nak tunggu Arianie untuk pergi buat ibadah Haji bersama-sama sebagai suami isteri. "Insya Allah, kalau semuanya berjalan lancar, aku akan bawa Arianie dan ibu mertua sekali mengerjakan ibadah haji bila rezeki kami sampai nanti," kata bapa kepada Adam Eiman, 15. Majlis pernikahan ringkas yang turut disertai dengan majlis berbuka puasa itu dihadiri oleh kira-kira 250 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga, rakan-rakan terdekat serta petugas media. Selain daripada beberapa rakan artis dan pemain bola sepak yang hadir, majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bersama keluarganya. Pasangan itu sah menjadi suami isteri dengan dua kali lafaz pada pukul 6 petang di hadapan Pegawai Tadbir Agama Daerah Sepang, Abdul Halim Mohd. Isa. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20130730/hi_01/Arinie-aku-sudah-kembali#ixzz2aVNwIL1E © Utusan Melayu (M) Bhd
Friday, July 19, 2013
0 Visi 100 tahun Jepun dalam bola sepak, lihatlah hasilnya dalam 21 tahun ini...
AFC iktiraf Liga-J status 'A' 2013/07/19 - 04:14:21 AM Cetak Emel Kawan Aksi Liga-J mula mendapat perhatian pemain bertaraf dunia. Kuala Lumpur: Liga Bola Sepak Profesional Jepun atau dikenali sebagai Liga-J mula diperkenalkan oleh Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) pada 1992 bagi meningkatkan pencapaian skuad negara itu di pentas antarabangsa. Penubuhan liga berkenaan yang menggantikan liga amatur, Liga Bola Sepak Jepun (JSL) menjadi antara liga paling berjaya di benua Asia dan dikelaskan sebagai liga berstatus A oleh Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC). Menurut laman web rasmi Liga-J (http://www.j-league.or.jp) dan wikipedia J. League Division 1, pada awalnya Liga-J hanya dikorporatkan dengan melantik Saburo Kawabuchi sebagai pengerusinya. Perlawanan sulung secara rasmi bagaimanapun hanya berlangsung pada 15 Mei 1993 antara Verdy Kawasaki (sekarang dikenali Tokyo Verdy) menentang Yokohama Marinos (Yokohama F Marinos) di Stadium Nasional Kasumigaoka. Galak promosi Untuk meningkatkan mutu bola sepak dan memperoleh penajaan lebih memberangsangkan, pengurusan Liga-J pantas tampil dengan dua penyelesaian. Pertama, memperkenalkan Visi 100 tahun Liga-J untuk mengubah kepada persatuan bola sepak profesional sepenuhnya pada 2092 dengan menggalakkan lagi promosi sukan bola sepak serta mendapat lebih penajaan. Kedua, mengubah infrastruktur liga pada 1999 dengan membahagikan kepada dua bahagian, iaitu Divisyen Pertama membabitkan 16 kelab dan Divisyen Dua, 10 kelab. Selepas era Kawabuchi sebagai pengerusi liga, Masaru Suzuki mula mengambil alih pada tahun ke-10 penubuhan Liga-J dalam meneruskan entiti nasional serta mencadangkan idea baru yang kemudian berterusan ketika era dua pengerusi seterusnya, Kenji Onitake dan Kazumi Ohigashi.
Friday, April 12, 2013
0 Minda Challenge - idea diiktiraf dan dibayar
Idea bantu ibu tunggal diiktiraf Oleh IZRINDA BADROLHISHAM berita@kosmo.com.my SAMHAN (duduk, tengah), Azalia (duduk, dua dari kiri) bersama beberapa pemenang pertandingan The Big DRe1M di Kuala Lumpur kelmarin. KUALA LUMPUR - Idea juara pertandingan The Big DRe1M anjuran 1Malaysia For Youth (IM4U), Samhan Adnan, 33, untuk membantu golongan ibu tunggal, fakir miskin dan penganggur diiktiraf. Pemenang tempat pertama itu membawa pulang RM100,000. Menurut Samhan, melalui wang itu, dia akan membantu golongan kurang bernasib baik melalui pengalamannya sebagai jurulatih kecergasan selama 13 tahun. "Saya akan beri mereka latihan kecergasan supaya ia dijadikan sumber pendapatan sebagai jurulatih kecergasan atau membuka pusat kecergasan," katanya ketika ditemui di sini kelmarin. Sementara itu, Azalia Abdul Rahman, 25, yang muncul naib juara bersama Mohd. Nazmi Zaidi Moni, 28, dan Yushasnor Abdul Rahman, 26, memenangi wang tunai sebanyak RM50,000 melalui idea mereka memulihara khazanah alam. "Saya dan rakan-rakan akan menentang aktiviti pembalakan di hutan tropika dan kerosakan karang laut," katanya. Bagi tempat ketiga yang mendapat RM20,000 pula dimenangi oleh Mohamad Razi Zainon, 30, kerana ideanya yang mahu mengutip RM1 daripada rakyat Malaysia untuk membantu golongan kurang bernasib baik. Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.
Thursday, March 28, 2013
0 Pencipta Aplikasi, siapa pun boleh jadi jutawan bila sampai masanya
Pelajar 17 tahun jadi jutawan D’ALOISIO menunjukkan aplikasi Summly di London semalam. -REUTERS LONDON – Seorang pelajar sekolah di sini, Nick D’Aloisio yang berusia 17 tahun menjual satu aplikasi bagi membolehkan teks berita dapat dibaca menerusi telefon bimbit kepada syarikat Yahoo! dalam urus niaga yang dianggarkan sebuah akhbar bernilai sehingga AS$60 juta (RM184.1 juta). Aplikasi itu akan membolehkan D’Aloisio menjadi salah seorang jutawan termuda di dunia. Ia dicipta pada November 2012. Syarikat Yahoo! tidak mendedahkan perjanjian urus niaga itu tetapi akhbar London Evening Standard menyatakan Yahoo! akan membayar antara AS$30 juta (RM92.05) hingga AS$60 juta (RM184.1 juta). Menurut syarikat itu menerusi satu kenyataan bahawa ia teruja untuk memiliki Summly yang memudahkan maklumat diperoleh dengan pantas, mudah dan ringkas. Ketika berusia 15 tahun, D’Aloisio mencipta aplikasi Summly di rumahnya di sini. Syarikat Yahoo! menyatakan, D’Aloisio dan pasukan Summly akan menyertai syarikat itu dalam tempoh beberapa minggu lagi. D’Aloisio membuat kenyataan di Twitter dengan menyatakan: “@Summly telah menandatangani satu perjanjian untuk dimiliki Yahoo! “Teruja untuk memulakan babak baharu Summly! “Terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan kepada saya.” Akhbar London Evening Standard menyatakan, D’Aloisio pada mulanya mencipta aplikasi itu sebagai hobi. “Saya tidak menyedari ia boleh menghasilkan wang,” kata D’Aloisio. Ketika ditanya tentang pendapatannya yang besar ekoran pembelian syarikatnya, D’Aloisio berkata” “Saya suka kasut. Saya akan membeli sepasang kasut Nike dan saya mungkin memperoleh sebuah komputer baharu. “Namun, buat masa kini, saya hanya mahu menyimpan wang itu di bank. “Saya tidak perlu untuk banyak berbelanja.” D’Aloisio belajar kod komputer semasa berumur 12 tahun selepas Stor Aplikasi Apple dilancarkan. Dia kemudian mencipta beberapa aplikasi termasuk Facemood yang merupakan perkhidmatan yang menganalisis sentimen bagi menentukan mood para pengguna Facebook. Pelajar itu juga pernah mencipta aplikasi perkhidmatan mencari muzik, SongStumblr. D’Aloisio turut memberikan nasihat kepada beberapa remaja iaitu: “Jika anda mempunyai idea yang baik atau anda terdapat satu ruang kosong di dalam pasaran, terokailah dan lancarkannya kerana terdapat beberapa pelabur di seluruh dunia kini yang mencari syarikat-syarikat untuk membuat pelaburan.” – Agensi
Wednesday, March 20, 2013
0 Semua orang memerlukan kata-kata rangsangan untuk bermotivasi
Bisnes produk ungkapan positif
PELBAGAI kata-kata positif dalam bentuk kad boleh dibeli di Positive Emporium.
PENGUNJUNG di pusat beli-belah Publika berhampiran Jalan Duta, Kuala Lumpur yang lalu-lalang di hadapan premis Positive Emporium di paras G2 akan memperlahankan langkah atau berhenti seketika untuk membaca ungkapan-ungkapan yang dizahirkan pada bingkai-bingkai di kaki lima premis. Ungkapan-ungkapan tersebut seolah-olah menyambut kehadiran sesiapa sahaja yang melangkah masuk ke sebuah premis berkeluasan kira-kira 15.79 meter persegi itu.
Antara ungkapan yang tertera ialah Untuk Sukses Tiada Istilah Sakit, yang ada hanya bangkit; Satu langkah lebih baik daripada seribu angan-angan; Selagi masih hidup, masih ada harapan dan sebagainya.
Kepada Mohd. Khairul Nizam Johari, 28, paparan kata-kata penuh inspirasi memberikan kesan mendalam kepada dirinya.
"Saya sukakan kata-katanya yang ringkas dan mempunyai maksud yang mendalam. Produk pertama saya beli berupa bingkai yang tertulis kata-kata Stop wishing, start doing dan yang kedua ialah Every wall is a door.
"Kata-kata ini saya letakkan di meja belajar dan pada dinding bilik yang kini sudah penuh dengan kata-kata pemberi semangat kepada saya," kata Penolong Pengurus di MAS Golden Lounge.
Positive Emporium satu-satunya premis yang menawarkan 100 peratus produk berpaksikan kata-kata positif penuh motivasi di Malaysia.
Pelbagai pilihan produk dijual seperti organizer dan pelekat yang boleh diletakkan di mana-mana sahaja.
Mengakui kata-kata tersebut memberikannya semangat apabila rasa rendah diri menyelubungi, dia kini bangkit daripada bekerja sebagai seorang chef kepada seorang penolong pengurus.
Dalam pada itu, seorang lagi pelanggan setia Positive Emporium, Noorul Sakinah Mohamad, 27, memberitahu, dia sanggup mencari lokasi Positive Emporium walaupun tinggal di Temerloh, Pahang selepas melihatnya di laman sosial Facebook.
"Selepas berkunjung ke sana buat pertama kali pada bulan Disember tahun lalu, saya terus teruja melihat pelbagai produk yang dijual di situ.
"Walaupun kedainya kecil, kesan kata-katanya cukup besar kepada saya. Sejak itu, saya tidak pernah ketinggalan membeli produk-produknya secara dalam talian," katanya yang merupakan salah seorang pelanggan tetap yang membeli secara talian. Positive Emporium juga mengemaskini produknya melalui aplikasi Whatsapp.
Menggemari ungkapan, 99% of success is failure, kata-kata positif membuatkan mindanya sentiasa positif dan yakin dalam melakukan sesuatu perkara. Dia juga gemar memberikan hadiah berupa kata-kata positif buat rakan-rakan yang mendirikan rumah tangga dan menyambut hari lahir.
Sementara itu, pemilik Positive Emporium, Nur Azam Zamberi, 33, nekad meneruskan perniagaan tersebut kerana mahu membenihkan pemikiran positif kepada komuniti.
Bermula secara kecil-kecilan, bisnesnya beroperasi di jalanan. Nur Azam kemudian mengembangkan bisnes dalam industri kewangan dan kini menyandang jawatan Pengarah Agensi Kumpulan bagi Etiqa Takaful Berhad.
Tambahnya, ungkapan-ungkapan membina yang diperoleh melalui pembacaan, seminar dan majalah membuatkan semangatnya sentiasa membara.
NUR RIZA sedia membantu apabila anda berkunjung ke Positive Emporium.
Agenda utama
Nur Azam pernah memborong poster-poster kata-kata positif untuk diletakkan di pejabat dan bilik tidur.
Menurut anak sulung daripada lima beradik yang berasal dari Ipoh, Perak itu, dia tidak meletakkan nilai komersial sebagai agenda utama. Bisnes itu turut didokong oleh dua adiknya iaitu Nur Rini dan Nur Riza yang masing-masing berusia 27 dan 24 tahun.
Berbekalkan inspirasi dalam dirinya, tiga beradik tersebut mula membuka gerai kecil dengan modal RM100 pada akhir tahun 2011.
Melihatkan sambutan yang menggalakkan terhadap produk jualan di gerai, Nur Azam bertekad meluaskan empayar positifnya dengan membuka sebuah premis di Publika dengan sewa RM4,000 sebulan berbekalkan modal RM100,000.
Menurut Nur Azam, semua orang memerlukan kata-kata positif, baik seorang anak, seorang ibu, seorang pelajar, ahli perniagaan, lebih-lebih lagi usahawan yang selalu berdepan dengan penolakan.
Item yang mendapat tempat dalam hati pelanggan ialah pelbagai jenis bingkai yang mengandungi kata-kata inspirasi yang unik dan berkesan.
"Kata-kata yang selalu dibeli pelanggan ialah Every Wall Is A Door. Kebanyakan pelanggan sukakan perkataan-perkataan yang ringkas, malah ada pula yang gemar kata-kata yang mempunyai impak.
"Ada seorang mat saleh datang dan terbaca ungkapan, If you born poor it is not your fault, if you die poor it is your fault. Teruja dengan kata-kata tersebut, dia terus membelinya," ujarnya sambil memberitahu item yang paling laris dijual ialah bingkai dan button batch.
Selain bingkai, Positive Emporium menjual pelbagai produk lain seperti kad nota, baju-T, button batch, jam, koleh, pelekat, buku nota, rantai kunci, penanda buku, poskad dan organizer.
Berbekalkan kepakaran dalam bidang grafik, Nur Rini dan Nur Riza membuat reka bentuk terhadap setiap produk yang dijual.
"Setiap kata-kata ada cara susunannya kerana ia mampu mempengaruhi emosi pembaca," kata Nur Rini sambil memberitahu, pemilihan fon dan saiz sangat penting dan ia tidak boleh dilakukan sebarangan.
Walaupun menjual kata-kata ungkapan dalam bahasa Melayu dan Inggeris, ada dalam kalangan mat saleh yang membeli ungkapan bahasa Melayu untuk dijadikan kenang-kenangan.
Sambil memberitahu akan memperbanyakkan suntikan elemen Islamik dalam masa terdekat, setiap hari Positive Emporium akan menampilkan ungkapan-ungkapan baharu yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook.
SESIAPA sahaja yang lalu-lalang di premis ini akan teruja membaca kata-kata positif yang setia menyambut ketibaan pengunjung.
Ragam pengguna
Menggunakan laman maya seperti Facebook, Instagram dan Twitter sebagai medium promosi, adik-beradik tersebut turut menjual rangkaian produk mereka secara talian.
"Pelbagai ragam yang dapat kami lihat. Ada yang datang menyalin apa dibaca seolah-olah sedang menaip mesej dan mengambil gambar menggunakan telefon," katanya bahawa Positive Emporium dibuka setiap hari bermula dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.
Bagi memberikan kepelbagaian kepada para pelanggan, Nur Riza memberitahu, sekurang-kurangnya lima ungkapan baharu setiap bulan akan dizahirkan mengikut tema.
Barang-barang Positive Emporium dijual dari RM5 hingga RM700.
Walaupun usia Positive Emporium baru masuk bulan keempat, Nur Azam rancak merencanakan masa depan perniagaan tersebut. Nur Azam mahu menjual produknya melalui ebay. Dalam tempoh dua tahun lagi, dia merancang mengadakan PositivEmporium Megastore. PositivEmporium Megastore akan menjual pelbagai barangan selain menganjurkan bengkel seni.
"Melalui bengkel ini, pelanggan boleh menghasilkan sesuatu dengan menggunakan kreativiti mereka sendiri," ujarnya," katanya yang turut mempunyai gerai di The Street@ The Curve dibuka pada setiap hujung minggu.







