Wanita bersuami jutawan Jepun ketakutan diugut bekas kekasih
KUALA LUMPUR 11 Nov. - Disebabkan selesa menetap di tanah air sendiri, seorang surirumah, Ooi Choon Yean, 45, enggan berhijrah ke Jepun setelah berkahwin dengan suami yang berasal dari negara matahari terbit itu sejak 16 tahun lalu.
Dalam tempoh tersebut, pasangan suami isteri yang tidak dikurniakan cahaya mata itu sepakat untuk bergilir-gilir berulang-alik antara Malaysia dan Jepun sekurang-kurangnya sekali setahun bagi melepaskan rindu.
Pada mulanya, Choon Yean tiada masalah untuk setia terhadap suami yang merupakan bekas seorang pemaju hartanah yang kaya raya kerana lelaki itu memenuhi semua permintaan dan memanjakannya dengan wang ringgit.
Di kampung halamannya di Kulim, Kedah, Choon Yean tinggal bersama tiga anak hasil perkahwinan dengan suami pertama iaitu dua perempuan dan seorang lelaki masing-masing berusia 21, 25, dan 26 tahun.
Namun pada 2000, akibat sering berjauhan dengan suami, dia yang kesunyian akhirnya jatuh cinta dengan seorang lelaki sudah beristeri dua juga berasal dari Kulim.
Hubungan sulit terjalin selama 10 tahun itu membawa padah kepada Choon Yean kerana lelaki dicintai rupa-rupanya adalah seorang kasanova yang hanya mahu mengikis wangnya menyebabkan mangsa kerugian kira-kira RM700,000 termasuk kehilangan rumah apabila terpaksa digadaikan untuk mendapatkan wang bagi diserahkan kepada kekasihnya.
Lebih malang lagi, Choon Yean kini hidup dalam ketakutan kerana teman lelaki yang terkenal dengan gelaran '48' iaitu bermaksud penipu dalam bahasa Cina merupakan seorang ahli sindiket judi atau bookie mengugut mahu mencederakannya dan mendedahkan hubungan sulit mereka kepada suami jika enggan menyerahkan wang selepas dia bertindak memutuskan hubungan sejak empat bulan lalu.
Menurut Choon Yean, dia terjebak menjalin hubungan terlarang dengan lelaki terbabit kerana sikapnya yang pandai mengambil hati dan bermulut manis.
"Bekas teman lelaki mengambil kesempatan memikat saya apabila mendapat tahu saya bersuamikan lelaki kaya tetapi kesunyian kerana tinggal berjauhan dengan suami.
"Sepanjang 10 tahun bercinta, saya selalu memberi wang kepadanya, malah dia tanpa segan silu mencari rakan-rakan yang ada berhutang dengan saya dan menagih hutang tersebut untuk mendapatkan wang bagi kegunaannya sendiri," katanya pada sidang akhbar di pejabat Biro Perkhidmatan dan Aduan Awam Gerakan di Menara PGRM di sini hari ini.
Choon Yean berkata, dia mula menyedari tembelang kekasihnya itu pada tahun lalu apabila lelaki terbabit memintanya menjalani rawatan permanian beradas bersamanya untuk mendapatkan seorang anak bagi membolehkan mereka membolot harta suaminya.
"Dia tahu suami saya adalah orang kaya, manakala seorang abang dan adik lelaki suami yang tidak berkahwin juga mempunyai banyak harta.
"Jika mempunyai anak bersamanya, semua harta mereka akan diwariskan kepada anak tersebut yang kononnya hasil hubungan dengan suami," katanya sambil memberitahu dia menolak cadangan itu kerana menyedari ia berniat jahat.
Menurut Choon Yean, dia akhirnya hilang kepercayaan lalu bertindak memutuskan hubungan apabila lelaki terbabit sekali lagi menipu wangnya sebanyak RM38,000 pada empat bulan lalu apabila berjanji mahu membantu membebaskan anak perempuan bongsunya yang ditangkap polis kerana didakwa mengedar dadah.
Katanya, dia sudah empat kali membuat laporan polis meminta perlindungan dan siasatan dijalankan terhadap bekas teman lelakinya tetapi suspek masih lagi bebas dan mengugutnya sehingga kini.
"Sehubungan itu, saya minta pihak polis segera bertindak menyiasat laporan saya dan mengambil tindakan terhadap bekas teman lelaki yang mendakwa dirinya mempunyai rakan-rakan kongsi gelap dan kenal beberapa pegawai polis'," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Biro Perkhidmatan dan Aduan Awam Gerakan, Wilson Lau Hoi Keong berkata, pihaknya akan menulis surat kepada Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Kulim dan Bukit Aman untuk memaklum serta mendapatkan perkembangan lanjut siasatan kes tersebut.
Beliau turut menasihatkan golongan wanita yang kesunyian agar jangan mudah terpedaya dengan lelaki kasanova seperti '48' kerana kes menimpa Choon Yean sudah banyak kali dilaporkan kepada biro tersebut sejak kebelakangan ini.
Saturday, November 12, 2011
0 Ingatlah kepandaian manusia hanya sekecil butir pasir di pantai di mata Tuhan
0 11.11.2011 dan trend perkahwinan
Ramai pilih tarikh 11.11.11
2011/11/12
SEJUMLAH 77 pasangan pengantin meraikan kegembiraan mereka di majlis perkahwinan pengantin 1Malaysia diadakan di Dataran Bandaraya Johor Bahru, sempena tarikh 11.11.11 semalam.10 pasangan kecewa tak dapat nikah, pejabat agama tutup
SONGKHLA (Thailand): Hasrat kira-kira 10 pasangan yang mahu mengabadikan tarikh 11.11.11 dengan bernikah di sempadan semalam, musnah apabila pejabat Majlis Agama Islam Songkhla di sini, ditutup seminggu sempena cuti Aidiladha.
Difahamkan, pejabat majlis agama itu, yang diwartakan sebagai pihak berkuasa tunggal yang diberi kebenaran menguruskan pernikahan di selatan Thailand, ditutup sejak Ahad lalu, menyebabkan beberapa pasangan pengantin tidak dapat bernikah pada tarikh 11.11.11 yang muncul hanya sekali. Maklumat diperoleh Berita Harian mendapati, ada antara pasangan terbabit berusaha mencari jurunikah bertauliah di beberapa daerah lain di wilayah ini namun gagal berikutan arahan yang hanya membenarkan pernikahan dikendalikan di pejabatnya. Sumber ketika dihubungi Berita Harian mengesahkan kira-kira 10 pasangan tampil ke pejabat agama itu, dengan hasrat melangsungkan pernikahan, semalam.
“Kita percaya kebanyakan pasangan itu datang sendiri atau dibantu orang lain untuk bernikah tanpa menyiasat terlebih dulu operasi pejabat ketika cuti Aidiladha,” katanya, semalam.
Difahamkan, sepanjang tahun lalu, 3,260 pernikahan direkodkan Pejabat Konsul Malaysia di Songkhla membabitkan pasangan Malaysia di sekitar wilayah ini. Malah, tahun ini saja, tidak kurang 200 pasangan dari negara ini dilapor melangsungkan pernikahan di pejabat ini setiap bulan.
Sementara itu, jurunikah bertauliah di Klongget, Shafie Kayem Manaf ketika ditemui mengakui menerima panggilan daripada beberapa pasangan yang meminta bantuan melangsungkan pernikahan, semalam.
“Saya hairan kenapa mereka terlalu memilih tarikh istimewa sedangkan aspek pemilihan pasangan jauh lebih penting. Kita tidak mahu kerana tarikh, mereka hanya berkahwin selama enam bulan, selepas itu datang kembali untuk menuntut fasakh atau cerai,” katanya.
Di PUTRAJAYA, ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini, semalam mendaftarkan 111 perkahwinan dengan majoriti pengantin Cina serta lima pasangan India.
Jurucakap JPN berkata, pihaknya hanya menerima 111 pasangan untuk didaftarkan perkahwinan sebagai simbolik tarikh istimewa 11.11.11.
Tinjauan Berita Harian di kaunter pendaftaran JPN mendapati, ramai pasangan pengantin tiba seawal jam 8 pagi untuk mendaftarkan perkahwinan sambil diiringi keluarga serta sanak-saudara.
Seorang pengantin yang ditemui, Steve Raj, 29, berkata, tarikh 11.11.11 sangat istimewa dan hanya datang sekali.
“Saya sukar mengingati tarikh bersejarah seperti hari jadi. Jadi, saya tidak mahu melepaskan peluang berkahwin hari ini (semalam) kerana tarikhnya senang diingati,” katanya yang mengahwini kekasihnya, Emily Koo, 32.
Di KUANTAN, tarikh 11.11.11 menjadi detik terindah kepada 11 pasangan termasuk anak sulung pelakon terkenal, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar yang diijabkabulkan pada majlis pernikahan beramai-ramai yang dianjurkan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di Masjid Negeri, di sini.
Dengan sekali lafaz, anak Ahmad Tarmimi, Ahmad Tarmizi, 33, bekerja sebagai penyunting rancangan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) sah menjadi suami kepada pasangannya, Siti Norasyikin Abd Rahman, 26, dari Tanjung Lumpur, di sini.
Di KUCHING, pasangan pengantin, Justin Kho, 34, dan Stephanie Chan, 34, sanggup menunggu lapan tahun untuk melangsungkan perkahwinan pada 11.11.11.
0 Siapa mentadbir negara sebaik Parlimen dibubarkan?
TI-M syor KSN tadbir sementara
2011/11/12
Elak salah guna kuasa selepas Parlimen dibubar
KUALA LUMPUR: Transparency International Malaysia (TI-M) mencadangkan penubuhan kerajaan sementara bersifat neutral diketuai Ketua Setiausaha Negara (KSN) bagi mengambil alih dan mengurus pentadbiran negara sebaik saja Parlimen dibubarkan sehingga selesai proses pilihan raya.
Ia bertujuan memastikan tidak berlaku sebarang penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan penyandang dalam mengekalkan kuasanya, malah dalam tempoh berkenaan, kerajaan sementara tidak dibenarkan mengeluarkan peruntukan atau mengumumkan pelan pembangunan. Presidennya, Datuk Paul Low Seng Kuan, berkata kerajaan sementara boleh meneruskan pelaksanaan dasar sedia ada tetapi tidak boleh mengumumkan sebarang dasar baru. Katanya, pengasingan yang jelas antara parti dan kerajaan adalah penting sepanjang tempoh pembubaran Parlimen kerana tidak adil jika wakil rakyat daripada kerajaan penyandang meneruskan tanggungjawab dalam tempoh berkempen dengan menggunakan dana awam.
“Sepanjang tempoh kempen, kerajaan sementara akan menjalankan tugas pentadbiran negara dan kita juga perlu mengasingkan aktiviti politik daripada penjawat awam,” katanya pada sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya di Parlimen, semalam.
Jawatankuasa yang dipengerusikan Datuk Seri Dr Maximus Ongkili turut dianggotai lapan lagi anggota iaitu wakil Barisan Nasional (BN) iaitu Datuk Alexander Nanta Linggi (BN-Kapit), Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad (BN-Kangar), Tan Sri Dr Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah) dan P Kamalanathan (BN-Hulu Selangor).
Sementara itu, wakil pembangkang dianggotai Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak), Dr Mohd Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai) dan Anthony Loke (DAP-Rasah) manakala Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) mewakili wakil rakyat Bebas.
TI-M antara 12 pertubuhan bukan kerajaan, parti dan individu yang memberikan cadangan dan pandangan pada sesi pendengaran awam pertama berlangsung dua hari bermula semalam.
TI-M turut mencadangkan 22 penambahbaikan bagi meningkatkan ketelusan dan integriti dalam pembiayaan kewangan politik yang antara lain meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selain beberapa agensi berkepentingan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis menguatkuasakan undang-undang bagi mengekang aktiviti membeli undi dan politik wang.
Sementara itu, MCA mahu hak mengundi rakyat Malaysia di luar negara dibatalkan kerana mendakwa pihak berkenaan tidak memperoleh maklumat tepat berhubung kedudukan dan perkembangan politik dalam negara.
Ahli Jawatankuasa Tinggi Pusat parti itu, Datuk Ei Kim Hock, berkata maklumat diperoleh pihak berkenaan berkemungkinan tidak memberi gambaran sebenar keadaan di Malaysia, sekali gus tidak melayakkan mereka memilih kerajaan yang mampu memegang tampuk pemerintahan negara.
Tuesday, November 08, 2011
0 7 bilion manusia dan kebimbangan krisis kemanusiaan
7 bilion bukan sekadar angka
Oleh SYALMIZI HAMID dan KUMARA SABAPATTY
DI MANA-MANA bahagian dunia pada minggu ini, kelahiran bayi dianggap sesuatu yang sangat istimewa kerana mereka merupakan penduduk ke-7 bilion bumi.
Bilangan penduduk bumi mencecah angka tujuh bilion Isnin lalu, cuma 12 tahun selepas ia mencapai enam bilion. Peralihan angka satu bilion itu hakikatnya memberi cabaran yang besar untuk tahun-tahun akan datang.
Bagaimanapun, sesetengah orang bertanya sebesar mana angka tujuh bilion itu?
Individu seperti genius matematik, Adi Putra Abdul Ghani, mungkin menyukai permainan angka itu. Sekali pandang, ia tidak jauh berbeza daripada enam bilion.
Kalau ditulis dalam nombor, ada sembilan nombor sifar dalam 6,000,000,000, sama seperti sembilan nombor itu dalam 7,000,000,000.
DUNIA menyaksikan penduduk bumi sudah mencecah angka tujuh bilion pada minggu ini.
Tetapi jika anda mengira semua nombor yang ada di antara enam bilion dan tujuh bilion, ia akan mengambil masa selama 30 tahun untuk diselesaikan. Ya, tiga dekad.
Bilakah kali terakhir anda menggunakan angka tujuh bilion dalam kehidupan seharian? Pernahkah anda makan tujuh bilion sesuatu atau memiliki tujuh bilion benda?
Pada awal tahun ini, cuma ada 140 orang di dunia yang mempunyai kekayaan bernilai kira-kira AS$7 bilion (RM21 bilion), menurut majalah Forbes.
“Nombor itu berada di luar pemikiran harian kita,” kata profesor madya matematik di Universiti Villanova, Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS), Klaus Volpert.
“Kita mengira hingga angka 10 menggunakan jari tangan dan itulah skala kita. Malah untuk mengira hingga sejuta pun bukanlah satu kebiasaan. Angka yang besar itu membuatkan kita keliru,” tambah beliau.
Ada banyak cara untuk kita membayangkan angka tujuh bilion. Tujuh bilion saat yang lalu ialah tahun 1789. Di Amerika Syarikat, ia merupakan tahun George Washington menjadi Presiden pertama negara itu.
Jika anda membuat tujuh bilion langkah di sepanjang garisan Khatulistiwa, iaitu kira-kira setengah meter bagi setiap langkah, anda boleh berjalan mengelilingi bumi sebanyak 106 kali.
Katakanlah purata ketinggian manusia ialah 1.6 meter. Jika anda menyusun mereka secara menegak, ia akan mencecah kira-kira 1 per 14 jarak matahari atau 27 kali jarak di antara bumi dengan bulan, kata Volpert.
Makanan
KRISIS air di India, negara kedua penduduk paling ramai di dunia, boleh bertukar menjadi krisis kemanusiaan. 
Tujuh bilion semut, purata tiga miligram seekor pula boleh menjadi seberat 23,000 kilogram.
“Minda kita cuma menerawang apabila memikirkan betapa besarnya tujuh bilion,” kata Volpert.
Beliau berkata, perasaan yang sama akan hadir apabila kita cuba membayangkan ukuran yang sangat kecil atau sesuatu yang berada di luar angkasa.
“Setiap kali kita mendongak ke langit dan melihat bintang, kita akan terpegun dengan skalanya yang besar dan menakjubkan,” ujarnya.
Bumi belum sampai ke angka satu bilion penghuni sehingga tahun 1800, menurut Biro Referen Populasi AS, dan mencecah dua bilion pada tahun 1930.
Tetapi dengan kemajuan perubatan moden, ia hanya mengambil masa selama 30 tahun untuk mencatat tiga bilion, 14 tahun untuk empat bilion, 13 tahun untuk menjadi lima bilion dan 12 tahun untuk mencapai enam dan tujuh bilion.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan populasi dunia akan bertambah kepada 9.3 bilion menjelang tahun 2050.
Pertambahan itu menimbulkan kebimbangan tentang banyak perkara daripada makanan hinggalah ruang untuk tempat tinggal.
Pakar-pakar di National Geographic berkata, tujuh bilion manusia muat untuk bandar Los Angeles di AS yang seluas 800 kilometer persegi – jika kita berdiri dari bahu ke bahu. Mujurlah bumi mempunyai keluasan 149 juta kilometer persegi.
Pertambahan penduduk bermakna lebih banyak proses perbandaran berlaku. Pada tahun 1950, kira-kira 730 juta orang penghuni dunia adalah penduduk bandar.
Ada hampir 3.5 bilion penghuni bandar pada tahun 2009 dan dijangka 6.3 bilion manusia tinggal di bandar-bandar pada 40 tahun akan datang.
PBB juga menganggarkan pertambahan sebanyak 70 peratus terhadap keperluan makanan untuk sembilan bilion orang pada tahun 2050.
Kegunaan air juga dijangka meningkat dua kali ganda. Malangnya, lebih satu bilion manusia sekarang tidak mendapat bekalan air minuman.
Dijangkan bilangan lelaki dan wanita adalah sama. Namun, jangka hayat khususnya di negara maju akan bertambah.
Menurut Biro Perangkaan AS, sekarang terdapat hampir 390,000 orang yang berumur 100 tahun atau lebih, hampir 13 juta berumur lebih 90 tahun dan 1.5 bilion melebihi usia 50 tahun.
0 Skrip telefilem terbaik yang diarah sendiri perlu pelakon yang terbaik
Syarat Sabri
Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my
2011/11/07
Sabri (kiri) terkejut dengan kemenangan besar Sanggul Beracun. Erra memberikan lakonan memberangsangkan dalam telefilemSanggulBeracun.Pengarah Sanggul Beracun percaya cerita yang baik bermula daripada watak kuat
SELEPAS menyedari satu-persatu karya dan drama arahannya, Sanggul Beracun, memenangi beberapa kategori dalam Anugerah Skrin 2011, Jumaat lalu, barulah pengarah yang juga pelakon Sabri Yunus menyedari kelebihan yang ada pada dirinya. Telefilem pertama arahannya yang pernah disiarkan di Astro Citra meraih empat kategori utama pada anugerah terbabit, iaitu Lakon TV Terbaik, Videografi Terbaik, Pengarah Terbaik dan Drama Terbaik. Kata Sabri, sepatutnya dirinya sudah lama berkecimpung di dalam bidang pengarahan, namun selepas berusia 50 tahun barulah dia berpeluang menduduki kerusi sutradara sekali gus membuktikan kepada industri penerbitan bahawa darah seni deras mengalir dalam dirinya.
“Saya sepatutnya sudah lama mengarah. Sebelum ini saya banyak berada di hadapan kamera dan sukar untuk orang melihat kemampuan saya di belakang kamera, seterusnya memberikan saya peluang. Saya sendiri pun tidak mencari peluang itu. Tetapi, saya hanya membuat penulisan yang kecil dan mengarah untuk sitkom saja. Ini kerana saya tidak pernah cuba untuk membuat perkara yang sebesar ini dan saya percaya orang susah untuk mempercayai saya,” katanya yang cukup merendah diri.
Sabri yang cukup dikenali ketika membintangi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu memberitahu, skrip Sanggul Beracun karyanya mempunyai sesuatu yang ‘luar biasa’ namun tidak berkeyakinan untuk mengarahkannya.
“Apabila skrip saya siap, saya rasa ada sesuatu yang besar dalam skrip itu, tetapi tidak terfikir langsung untuk mengarahkan drama ini. Saya ada mencari seorang pengarah yang boleh dikatakan dikenali dalam industri, tetapi biarlah saya merahsiakan namanya, untuk mengarah telefilem ini kerana saya percayakan keupayaannya.
“Pada masa yang sama juga, pengurus produksi saya ada memberi cadangan lebih baik saya sendiri yang mengarah kerana ia skrip saya dan saya lebih tahu isi kandungan dan ceritanya. Dengan kata semangat dan peluang itulah membuatkan saya memberanikan diri untuk mencuba.
“Dengan syarat, saya meminta semua pelakon yang akan membintangi drama ini adalah dari mereka yang terbaik kerana saya percaya cerita yang baik bertolak daripada watak yang kuat.
“Bagi saya, menilai pelakon amat sukar, jadi saya memilih pelakon yang hampir tepat dengan apa yang saya mahukan. Begitu juga selepas ini saya akan kekalkan dengan cara saya," katanya yang terkejut dengan pengiktirafan diterima drama arahannya.
Sabri menegaskan, dia percaya anugerah drama dan pengarah terbaik yang diterima malam itu adalah hasil kerjasama baik semua pihak yang menjayakan telefilem berkenaan.
"Semua pekerja saya yang begitu komited, termasuk pelakon, banyak membantu saya untuk mendapat anugerah ini,” katanya yang mengaku amat cerewet dalam soal pemilihan pelakon.
Sanggul Beracun yang diterbitkan Balang Rimbun Sdn Bhd dibintangi Erra Fazira, Namron, Along Azendy, A Wahab Hamzah, Haryanto Hassan, Kasaruddin Saisi dan Nurseha.
Kecewa Erra kalah
BERKALI-KALI Sabri mengulangi, dirinya tidak pernah meletakkan harapan yang tinggi untuk merangkul trofi pelbagai kategori pada majlis anugerah pertama yang disertainya sebagai orang di belakang tabir.
“Sebenarnya saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi, malah tidak dapat berasa suasana majlis penganugerahan itu. Saya sendiri tidak pernah menghadapi suasana penganugerahan seperti ini, malah dipertandingkan untuk diri sendiri.
“Keyakinan saya untuk drama ini mula timbul selepas ramai mengatakan watak Erra Fazira cukup kuat untuk meraih anugerah Pelakon Wanita Terbaik Drama, dan saya juga mengakuinya. Saya sendiri tidak meletakkan banyak harapan untuk drama ini, cuma satu saja sudah cukup untuk mewakili drama saya, iaitu watak Erra.
“Erra begitu bagus untuk watak cerita ini kerana dia memberikan lebih daripada apa yang pengarah mahukan. Jadi, kekalahan Erra membuatkan saya amat kecewa, tetapi bukan kecewa dengan pemilihan juri tetapi kerana sangat mengharapkan dia menang,” katanya.
Sementara itu, Sabri turut memberitahu, telefilem seterusnya, Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman yang diangkat daripada buku tulisan Anwar Ridhwan lebih mencabar daripada drama Sanggul Beracun.
Katanya, ia sebuah novel yang besar dan pernah memenangi anugerah GAPENA pada 1980 dan latarnya juga lebih lama daripada Sanggul Beracun, iaitu sekitar 1940-an.
Monday, November 07, 2011
0 25 tahun Manchester United dengan Alex Ferguson
Hati Fergie tersentuh
Alex Ferguson (kanan) diberi penghormatan apabila namanya terpahat di bahagian tempat duduk terbesar di Old Trafford sebagai hadiah sempena sambutan ulang tahun ke-25nya selaku pengurus Manchester United ketika pasukan itu menentang Sunderland dalam saingan Liga Perdana Inggeris, kelmarin. - AFP
MANCHESTER - Alex Ferguson menyambut ulang tahun ke-25 selaku pengurus Manchester United dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Sunderland kelmarin, sebelum mengakui amat tersentuh dan beremosi apabila kelab memahat namanya di ruang tempat duduk Old Trafford sebagai tanda mengiktiraf jasanya.
'North Stand', antara bahagian tempat duduk terbesar di Old Trafford, kini dinamakan sebagai 'The Sir Alex Ferguson Stand'. Ketua eksekutif United, David Gill turut mengesahkan bahawa satu patung peringatan sedang dibina dan akan dipamer di stadium keramat United itu sebelum bermulanya musim depan.
"Saya amat beremosi. Saya tidak percaya dan menjangkanya. Saya perlu berterima kasih kepada kelab ini kerana memberi penghormatan setinggi ini kepada saya. Saya cukup bangga pada saat ini.
"Saya tidak tahu menahu mengenainya. (Penolong pengurus) Mike Phelan tahu tetapi tidak memaklumkan pada saya. Saya betul-betul tidak tahu, begitu juga ahli keluarga saya,'' kata Ferguson selepas diraikan di atas padang sebelum sepak mula.
Bagaimanapun Ferguson cemas seketika melihat aksi pasukannya kelmarin, selepas mereka memerlukan gol sendiri bekas pemain pertahanannya, Wes Brown di waktu kecederaan babak pertama untuk mencatat kemenangan 1-0.
Apa pun yang paling penting, United masih tidak dibolosi dalam empat perlawanan sejak mengalami kekalahan memalukan, 1-6 kepada Manchester City di tempat sendiri.
"Saya berharap wisel penamat dibunyikan sebaik kami mendahului 1-0. Ia hari yang mendebarkan buat pemain.
"Mungkin benar, hari istimewa ini mempengaruhi mereka. Mereka ingin melakukan yang terbaik untuk saya, jadi tidak hairan mereka beraksi dengan cemas. Saya ingat lagi sewaktu memperingati ulang tahun ke-50 nahas Munich, kita menentang City dan pemain terjejas pada hari tersebut dan tewas 2-0. Mungkin hari ini juga serupa." - AFP
Monday, October 31, 2011
0 Menang No 3 tulis cerpen jadi batu loncatan sebagai penulis profesional
PUTRAJAYA 30 Oktober ----- Anugerah Khas Inovasi SPA 2011 akhirnya berjaya disandang oleh Bahagian Perkhidmatan. Hadiah telah disampaikan oleh YBhg. Tan Sri Jamaluddin bin Haji Ahmad Damanhuri. Turut hadir, Setiausaha SPA, YBhg. Dato’ Lamien bin Sawiyo, Timbalan-timbalan Setiausaha, YBhg. Datuk Ramli bin Juhari, Puan Lim Mooi Eia serta warga SPA. Majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya Jumaat lepas turut menyaksikan Kumpulan Merpati dari Bahagian Perkhidmatan telah menjadi Johan Konvensyen KIK. Pengerusi SPA juga telah menyampaikan hadiah untuk pertandingan deklamasi sajak, menulis cerpen, berbalas pantun, Minda Challenge dan pejabat terbaik. Terdahulu dari itu YBhg. Datuk Dr. Maznah Hamid telah menyampaikan ceramah motivasi. Majlis diadakan adalah sempena Hari Inovasi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam 2011. ----- MediaSPA 








