.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Sunday, July 25, 2010

0 Seks bebas dulu melibatkan bohsia sekarang gadis biasa. Majoriti mangsa adalah tahap pendidikan SPM, PMR

Kes remaja hamil kronik

Oleh Hafizah Iszahanid
bminggu@bharian.com.my
2010/07/25
Pergaulan bebas punca utama

KUALA LUMPUR: Seramai 768 remaja seawal usia 13 tahun, melahirkan anak yang sebahagian besarnya luar nikah sejak 2008 hingga bulan lalu, akibat pergaulan bebas. Berdasarkan rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini saja, JKM mencatat 111 kes remaja bawah umur hamil berbanding 113 kes sepanjang 2009 dan 107 kes pada 2008. Jumlah itu dipercayai lebih tinggi kerana ia berdasarkan kes dirujuk kepada JKM untuk mendapatkan perlindungan di Taman Seri Puteri, selain statistik tiga hospital kerajaan – Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang dan Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

Ada 135 hospital kerajaan di seluruh negara, tetapi usaha Berita Minggu mendapatkan perangkaan di kebanyakan hospital tidak berjaya, kerana antara lain alasan ialah isu sensitif dan bimbang dikenakan tindakan Kementerian Kesihatan.

Sebahagian remaja berkenaan membuat pengakuan sudah berkahwin kepada pihak hospital, ada mendakwa tidak tahu hubungan seks dengan rakan boleh menyebabkan kehamilan, malah ada kes mengaku dirogol.

Bagaimanapun, remaja diklasifikasi kepada dua kategori, bawah 18 tahun dan bawah 16 tahun. Remaja bawah 16 tahun yang hamil dianggap sebagai kes rogol, walaupun atas dasar suka sama suka.
Justeru, pasangannya boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang sedia ada, manakala remaja di bawah usia 18 tahun akan dirujuk kepada JKM sebagai pelindung yang diwartakan.

Pengarah Bahagian Kanak-Kanak JKM, Noramni Mohd Yusoff, berkata pihaknya tidak hairan jika angka sebenar remaja bawah umur yang hamil lebih tinggi.
“JKM hanya rekodkan kes dilapor atau memohon perlindungan. Statistik sebenar hanya boleh diperoleh dari hospital seluruh negara,” katanya kepada Berita Minggu.

Tinjauan di HKL dan HTAR, mendapati pada 2008 seramai 106 remaja bawah umur hamil luar nikah, manakala di HKL, 50 kes pada 2008, 67 kes (2009) dan sehingga Jun tahun ini, 38 kes.

Kajian Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Jabatan Kerja Sosial Perubatan HKL mendapati, kebanyakan remaja bawah umur ini tidak tahu hubungan kelamin boleh menyebabkan kehamilan.

Mereka melakukannya atas dasar ingin mencuba dan berseronok dengan rakan sekelas, kekasih yang lebih berusia selain ada juga kes mengaku dirogol.

Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Kanan, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, HTAR, Dr Mohamad Farouk Abdullah berkata, kajian 2008 mendedahkan kebanyakan remaja berkenaan berusia antara 14 hingga 18 tahun dengan majoritinya, berbangsa Melayu.

“Mungkin jumlahnya lebih lagi, tetapi tidak mustahil ada sebahagian yang menggugurkan kandungan. Memang jika kita lihat dari aspek sosialnya, keadaan ini teruk, tetapi dari sudut perubatan, jika mereka datang awal mendapatkan bantuan perubatan kita boleh membantu dari segi penjagaan sepanjang hamil,” katanya.

Beliau berkata, mendapat penjagaan kesihatan yang sempurna ketika hamil membolehkan remaja ini menginsafi kesilapan mereka, pada masa sama, memberi peluang mereka kembali ke sekolah.

Katanya, sepanjang 2008, 13,189 kelahiran dicatatkan di HTAR dengan 256 membabitkan kelahiran di kalangan remaja bawah umur. Daripada jumlah itu 75.8 peratus mengaku sudah berkahwin, 21.9 peratus tidak berkahwin sementara tiga peratus mendakwa dirogol. Kebanyakan mereka berpendidikan sehingga Penilaian Menengah Rendah (49.6 peratus), Sijil Pelajaran Malaysia (27.7 peratus), manakala bakinya hanya belajar setakat sekolah rendah.

Dalam konteks inilah Dr Farouk berkata, mungkin sudah tiba masanya untuk masyarakat berfikiran lebih terbuka dalam isu pendidikan seks di sekolah.

“Kebanyakan remaja yang hamil luar nikah ini tidak tahu hubungan intim boleh menyebabkan mereka hamil. Buat sekali tidak hamil, jadi mereka rasa tidak mungkin hamil dan lebih kerap melakukannya dan akhirnya hamil,” katanya.

Ketua Jabatan Kerja Sosial Perubatan HKL, Hasnah Sulaiman, berkata memang amat menyedihkan kebanyakan remaja bawah umur ini berbangsa Melayu beragama Islam. Malah latar belakang mereka terbabit ialah daripada keluarga berpendapatan rendah selain kurang ilmu mengenai sistem reproduktif manusia.

“Apabila ditanya, majoriti menjawab mereka buat atas dasar suka sama suka, berseronok-seronok dan tidak sangka boleh mengandung. Jika dulu kita mungkin kata remaja ini adalah bohsia atau minah rempit, tetapi rata-rata hari ini mereka adalah remaja biasa yang lazim kita temui di sekolah dan ada yang bertudung labuh,”

“Jika di HKL, dalam puluhan kes pasti ada lebih daripada satu kes remaja ini datang daripada keluarga yang porak peranda atau jika tidak bermasalah tetapi susah. Malah, kajian kami pada 2004 mendedahkan banyak kes membabitkan remaja yang tinggal bersama keluarga di rumah flat satu bilik,” katanya.

Saturday, July 24, 2010

0 Laptop termurah. Berita baik untuk asia, tragedi untuk bisnes AS. Hal ini memang dijangkakan

Komputer riba India RM112.12

2010/07/24



KAPIL menunjukkan komputer kos murah ciptaan India.Perkakasan kos rendah khusus untuk pelajaran

NEW DELHI: India muncul dengan komputer riba termurah di dunia, peralatan komputer skrin sesentuh yang berharga hanya sekitar AS$35 (RM112.12). Menteri Pembangunan Sumber Manusia India, Kapil Sibal minggu ini mengumumkan peralatan perkomputeran riba kos rendah yang direka khusus untuk pelajar, menyatakan jabatannya mula berunding dengan pengeluar global untuk memulakan pengeluaran secara besar-besaran tidak lama lagi. “Kami sudah mencapai satu tahap pembangunan pada hari ini, papan induk, cip pemproses, sambungan, semuanya kos terkumpul sekitar AS$35 (RM112.12), termasuk memori, paparan dan segala-galanya,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata peralatan sesentuh itu dipasang dengan pelayar internet, pembaca PDF dan kemudahan persidangan video, namun perkakasannya dicipta dengan fleksibel bagi membolehkan komponen baru ditambah mengikut keperluan setiap pengguna.

Kapil berkata peralatan komputer berasaskan Linux itu dijangka diperkenalkan kepada institusi pendidikan tinggi bermula 2011, namun sasaran itu ialah untuk menurunkan lagi harganya kepada AS$20 (RM64.07) dan pada akhirnya sehingga AS$10 (RM32.04).

Peralatan itu dibangunkan oleh pasukan penyelidik di institusi teknologi terkemuka India, Institut Teknologi India dan Institut Sains India.
India membelanjakan kira-kira tiga peratus daripada bajet tahunannya untuk pendidikan sekolah dan memperbaiki kadar kecelikan kepada lebih 64 peratus daripada sejumlah 1.2 bilion penduduknya.

Kajian yang dijalankan sebelum ini menunjukkan ramai pelajar tidak begitu mahir membaca atau menulis dan kebanyakan sekolah kerajaan tidak memiliki kemudahan mencukupi. – Reuters

0 Konflik bertengkar dalam filem/drama mengajar penonton cara bergaduh?

Adegan bertengkar tidak berfaedah


2010/07/24

DALAM kebanyakan drama dan filem Melayu, sering dipaparkan babak pertengkaran yang membabitkan suami isteri, adik beradik, rakan sepejabat, penduduk sekampung dan sebagainya. Perbalahan lebih dahsyat ditunjukkan jika berlaku pertelingkahan politik, perbezaan pandangan agama dan sebagainya. Tontonilah kebanyakan drama dan filem Melayu hari ini dan sejak sekian lama dulu lagi, pasti ada elemen pertikaman lidah. Setidak-tidaknya ia adegan pertelingkahan antara hero dan heroin atau pasangan kekasih. Biasanya, perbalahan ini ditunjukkan dengan ekspresi wajah mereka yang bertelagah hingga menjerit-jerit. Jika marah, ekspresi marah ditonjolkan sejelas-jelasnya. Begitu juga dengan ekspresi benci seseorang. Perhatikan juga apakah punca dan topik pergaduhan mereka. Tidak banyak perbalahan mengenai isu besar yang sering diketengahkan. Kebanyakannya mengenai salah faham, salah sangka, fitnah, cemburu buta, hasrat dengki dan sebagainya. Hakikatnya, dalam kehidupan seharian, perbalahan suami dan isteri adalah perkara rahsia. Jika suami isteri bergaduh, hanya diketahui antara mereka berdua. Masyarakat umum hanya tahu apabila pertikaian mereka berakhir dengan perceraian, terutama jika dibawa ke mahkamah syariah. Itu pun, kebanyakan kes, seboleh mungkin mereka merahsiakan apa juga yang terjadi, melainkan kes perbicaraan mereka mendapat liputan media. Pengarah drama dan filem tentunya mahukan adegan perbalahan ini kerana ia akan dapat mencantikkan dialog. Apa yang kita lupa ialah, perbalahan dalam drama ini disaksikan orang Melayu. Jika inilah yang disajikan kepada mereka setiap hari, tidak hairanlah orang Melayu memang suka berbalah. Apabila adegan perbalahan ini ditontoni setiap hari, orang Melayu tidak lagi segan silu untuk bertengkar dan berbalah kerana pada mereka ia norma dan nilai orang Melayu.

0 41 orang muflis setiap hari. Penyumbang tertinggi ialah kegagalan bayar hutang

Muflis muda

Laporan Khas oleh Mohd Aziz Ngah dan Alzahrin Alias
bminggu@bharian.com.my
2010/07/24

Ramai eksekutif terjerat godaan kad kredit untuk hidup mewah

KUALA LUMPUR: Seramai 38,357 individu berusia 25 hingga 44 tahun diisytiharkan muflis di seluruh negara dalam tempoh 65 bulan sehingga Mei lalu, trend yang amat membimbangkan kerana status itu boleh menjejaskan masa depan golongan muda. Ini bermakna 41 orang bankrap setiap hari yang antaranya berpunca daripada kegagalan menyelesaikan pinjaman sewa beli kenderaan, tidak dapat mengawal penggunaan kad kredit hingga banyak hutang tertunggak selain pinjaman peribadi. Kebanyakan pemegang kad kredit di kalangan golongan muda menggunakan kemudahan itu untuk berbelanja barangan tidak penting, mewah serta mengeluarkan wang tunai untuk perbelanjaan harian.

Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, berkata dalam tempoh itu, 80,348 kes direkodkan muflis membabitkan semua golongan. Ini bermakna 41 orang muflis setiap hari.

“Sepanjang tempoh itu, golongan berusia 35 hingga 44 tahun paling ramai diisytiharkan bankrap.

“Golongan pertengahan umur (35 hingga 44 tahun) mencatatkan 25,229 kes atau 31.4 peratus kes diikuti golongan 45 hingga 54 tahun dengan 21,051 kes (26.2 peratus), golongan berusia 25 hingga 34 tahun (13,128 kes atau 16.34 peratus) dan 55 tahun ke atas 9,722 atau 12.1 peratus),” katanya kepada Berita Harian.
Beliau berkata, daripada 80,348 kes muflis itu, kes pinjaman sewa beli kenderaan mencatatkan 19,380 kes atau 24.12 peratus daripada keseluruhan kes. Ini bermakna, setiap hari ada 10 pembeli kenderaan diisytiharkan muflis kerana gagal menjelaskan hutang dan keseluruhannya 41 individu diisytiharkan bankrap.

Jumlah itu diikuti faktor kegagalan menyelesaikan pinjaman peribadi dengan 9,464 kes (11.78 peratus), pinjaman perniagaan dengan 8,786 (10.93 peratus), pinjaman perumahan (6,022 kes atau 7.49 peratus) dan hutang kad kredit (4,417 kes atau 5.5 peratus).

Faktor lain yang menyumbang kepada peningkatan jumlah itu ialah hutang cukai pendapatan (882 kes), penjamin korporat (4,291 kes), penjamin sosial (3,726), biasiswa atau pinjaman pelajaran (147) dan lain-lain faktor (23,333 kes).

Jika diambil kira jumlah tidak direkodkan iaitu merujuk kepada kes yang dilaporkan sebelum 2005, jumlah sebenar kes bankrap adalah 217,577 kes.

Abdul Karim turut mengakui kebanyakan kes muflis membabitkan golongan muda adalah berkaitan penggunaan kad kredit tidak terkawal dan gagal membayar balik hutang dalam tempoh ditetapkan berbanding kes golongan lebih berusia yang majoritinya berkaitan soal pinjaman perumahan, kenderaan dan perniagaan.

Bagaimanapun, katanya, mereka yang sudah diisytiharkan muflis masih berpeluang membuat rayuan termasuk berunding dan merayu tindakan itu tidak diteruskan serta membuat perkiraan bagaimana hutang boleh dijelaskan sekiranya kes petisyen kebankrapan belum difailkan ke mahkamah.

Berdasarkan jumlah aduan diterima, masalah berkaitan pinjaman peribadi didapati meningkat dengan ketara bermula dengan 1,487 kes pada 2005, menurun kepada 961 kes (2006) tetapi meningkat semula kepada 1,425 kes (2007), 1,506 kes (2008) dan 2,806 kes pada 2009.

Mengikut Akta Kebankrapan 1967, ada tiga cara bagaimana mereka boleh melepaskan diri daripada status muflis iaitu melalui pembatalan perintah penghukuman; pelepasan dengan perintah mahkamah dan pelepasan melalui Sijil Ketua Pengarah Insolvensi.

Mengulas situasi itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhamad Sha’ani Abdullah menyifatkan ia suatu yang membimbangkan kerana status muflis itu sendiri dianggap menutup masa depan mereka.

“Ada pengadu yang datang ke FOMCA mengakui terlebih berbelanja, sanggup berhutang semata-mata mahu hidup gaya mewah,” katanya.

“Mereka sanggup beli set teater rumah yang mewah, aksesori kereta mahal, televisyen canggih sedangkan itu tidak begitu penting berbanding keperluan asas lain. Lebih banyak berhabis duit membeli rumah,” katanya.

0 Sabah layak ke liga super! Terima kasih! Tahniah! Syukur! Bukannya mudah di liga super

Sabah iringi Felda United ke Liga Super

KUALA LUMPUR - Sabah berjaya memintas PKNS pada perlawanan terakhir Liga Perdana musim ini selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Pos Malaysia tatkala pesaingnya itu tewas 2-1 kepada Harimau Muda, semalam.

Beraksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, skuad bimbingan Gary Phillip itu berjaya memperoleh jaringan seawal minit keempat menerusi gerakan cantik Farid Ideris yang memperdayakan pertahanan lawan sebelum masuk petak penalti melepaskan rembatan deras.

Jaringan tunggal itu sudah cukup untuk membawa Sabah kembali ke Liga Super dengan menduduki tangga kedua di belakang Felda United yang sudah mengesahkan tempat ke saingan tersebut lebih awal sebelum perlawanan terakhir.

Felda United muncul juara Liga Perdana dengan mengumpul 50 mata selepas mencatat keputusan seri 0-0 menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

PKNS yang memerlukan kemenangan untuk kekal di tangga kedua gagal berbuat demikian ketika beraksi di gelanggang sendiri di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya apabila ditewaskan Harimau Muda.

Harimau Muda yang turun tanpa 10 pemain utama mendahului 2-0 pada separuh masa pertama hasil jaringan D. Saarvindran pada minit ke-23 dan 42 manakala gol sagu hati PKNS disumbangkan oleh Cristie Jaya Seelan seminit sebelum perlawanan tamat.

Sementara itu, USM FC berjaya mencatatkan kemenangan 4-1 ke atas Shahzan Muda yang tersingkir ke dari Liga Perdana apabila menduduki tempat terakhir dengan hanya mengumpul lapan mata daripada 22 perlawanan.

Turut mengikut jejak langkah Shahzan Muda tersingkir dari Liga Perdana ialah Melaka yang menduduki tangga kedua terbawah dan mereka tewas pada perlawanan terakhir 6-1 kepada Sarawak.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membelasah Majlis Perbandaran Muar 8-0.

Sabah mara ke Liga Super selepas menanti dalam tempoh lima tahun, kali terakhir mereka beraksi di kejohanan utama Liga Malaysia itu ialah pada 2005.


Artikel berkaitan:


Sabah ke Liga Super, Melaka, Shahzan cicir
Oleh Norakmah Md Youb dan Nazri Abu Bakar
bhsukan@bharian.com.my
2010/07/24


PEMAIN Felda United, Mohd Saufi Ibrahim (kiri) diasak pemain Tentera, Ahmad Tarmini Saiban dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium KLFA, malam tadi.MD Farid Ideris muncul wira Sabah apabila jaringannya seawal minit keempat membantu pasukannya muncul naib juara Liga Perdana selepas menewaskan Pos Malaysia 1-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Kejayaan pasukan negeri di bawah bayu itu juga dibantu oleh kemenangan Harimau Muda yang menundukkan pencabar terdekat, Selangor PKNS 2-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya. Keputusan itu menyaksikan Sabah mengiringi Felda United mara ke kelompok elit – Liga Super – musim depan selepas mengutip 48 mata daripada 15 kemenangan, tiga seri dan empat kekalahan. Sebelum perlawanan terakhir malam tadi, Sabah dan Selangor PKNS terikat dengan 45 mata tetapi pasukan kelab dari Selangor itu berada di tangga kedua dengan kelebihan jaringan.

Felda United yang sudah mengesahkan kejuaraan pula menutup tirai dengan keputusan seri 0-0 menentang Tentera di Stadium Bola Sepak Cheras.

Pasukan itu menghimpun 50 mata hasil 15 kemenangan, lima seri dan dua kekalahan. Sementara itu, Melaka melakar sejarah hitam apabila menjadi negeri pertama terpaksa beraksi dalam Liga FAM musim depan selepas sekadar menduduki tangga kedua tercorot apabila dibelasah Sarawak 6-1 di Stadium Hang Tuah.

Turut terhumban ke Liga FAM ialah Shahzan Muda yang menduduki tangga tercorot selepas tewas dalam perlawanan terakhir kepada USM 4-1 di Stadium Olahraga USM.

Tuesday, July 20, 2010

0 Pembangkang Sarawak mahu lawan 1 lawan 1. Sabah apa cerita? X cukup modalkah?

Pakatan pembangkang bentuk majlis hadapi pilihan raya Sarawak


2010/07/19
KUALA LUMPUR: Parti pembangkang di Sarawak menubuhkan satu pakatan pembangkang 'Majlis Pakatan Rakyat Sarawak' sebagai persediaan menghadapi pilihan raya negeri yang perlu diadakan sebelum Julai tahun depan.

Majlis itu terdiri daripada pemimpin pembangkang utama negeri daripada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan Parti Nasional Sarawak (SNAP) yang mengadakan mesyuarat pembentukan pertamanya malam tadi, dengan hasrat untuk mewujudkan barisan bersatu menghadapi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri nanti. "Kita bekerja ke arah pertandingan satu lawan satu selain mempunyai slogan dan manifesto pilihan raya yang sama. Ini akan dibuat oleh jawatankuasa kecil," kata pengerusi DAP Sarawak Richard Wong Ho Leng ketika dihubungi. Wong, yang juga ketua pembangkang negeri berkata dengan pembentukan majlis ini, parti pembangkang di negeri ini kini boleh bekerja ke arah mencapai objektif untuk membentuk kerajaan negeri akan datang dengan memperoleh sekurang-kurangnya 36 daripada 71 kerusi negeri.

"Bagaimanapun, jika kita tidak dapat membentuk kerajaan negeri, sekurang-kurangnya kita mesti menafikan majoriti dua pertiga BN di negeri ini," katanya. - BERNAMA

0 Kisah pengemis diangkat ke filem dengan kos RM34j. Terima kasih untuk jurugambar amatur

PAKAIAN Cheng Guorong semasa berkeliaran di jalan-jalan Ningbo, China kini menjadi fesyen selepas gambarnya disiarkan di Internet pada Januari lalu.



NINGBO - Seorang pengemis di China, Cheng Guorong menjadi kaya dan terkenal selepas gambarnya tersiar di Internet, lapor sebuah akhbar semalam.

Walaupun selekeh, berambut panjang dan berjanggut, lelaki tersebut memiliki wajah kacak yang menarik perhatian ramai peminat sejak gambarnya tersiar pada Januari lalu.

Guorong, 34, digelar pengemis paling seksi di China dan dia turut mengecapi status simbol seks di kalangan pengguna Internet.

Nasibnya berubah selepas gambarnya dirakamkan oleh seorang jurugambar amatur ketika dia berkeliaran di jalan raya di bandar ini untuk meminta makanan pada tahun lalu.

Tidak lagi menyelongkar tong sampah, Guorong kini menerima banyak tawaran iklan dan dia turut bekerja sebagai model peragaan.

Pakaiannya semasa dia menjadi pengemis turut menjadi ikon fesyen.

Para peminat lelaki tersebut turut menderma sebanyak 100,000 yuan (RM49,138) bagi membantunya memulakan hidup baru.

Dia juga ditawarkan berlakon dalam sebuah filem mengenai kisah hidupnya yang diterbitkan oleh penerbit filem tempatan, Deng Jiangguo dan menelan kos sekitar 72 juta yuan (RM34.3 juta).

Filem tersebut akan menjalani penggambaran pada September depan dan ia dijadualkan ditayangkan pada Februari 2011.

Guorong berpindah ke bandar di timur China ini pada 1996 untuk mencari kerja bagi menyara isteri dan dua anaknya tetapi malu untuk menghubungi mereka setelah dia hilang pekerjaan dan wang simpanannya habis.

Saudara-maranya menyangka dia mati sehingga mereka melihat imej-imejnya di Internet.

Guorong tidak dapat menahan kesedihan apabila mendapati bapa dan isterinya terbunuh dalam satu kemalangan kereta setelah dia kembali ke kampung halamannya untuk kali pertama dalam tempoh 14 tahun baru-baru ini. - Agensi