Keajaiban Piala Dunia 2010
JOHANNESBURG – Keajaiban, kejutan serta keputusan di luar jangkaan terus berlaku di bumi Afrika Selatan.
Ramalan penggiat, pengikut serta pemimpin sukan di serata dunia terhadap Piala Dunia 2010 semuanya meleset.
Sejak daripada aksi pembukaan 11 Jun lalu, sudah terlalu banyak keajaiban berlaku sehinggalah ke pusingan suku akhir.
Ia bermula dengan penyingkiran naib juara edisi 2006, Perancis seawal saingan peringkat kumpulan lagi dan selepas itu diikuti juara bertahan, Itali yang turut terkandas pada peringkat yang sama.
Apabila saingan memasuki pusingan kalah mati membabitkan 16 pasukan terbaik, kejutan terus berlaku.
Ghana, satu-satunya pasukan dari benua Afrika yang mara, mene- ruskan kejutan untuk melangkah sehingga ke peringkat suku akhir sebelum tewas kepada Uruguay menerusi penentuan sepakan penalti.
Menariknya, tiada siapa meramalkan dua pasukan ini – Uruguay dan Ghana – akan mara ke pering- kat suku akhir tetapi kedua-dua negara telah membuktikan kepada dunia bahawa mereka juga mampu mencabar pasukan yang bergelar gergasi.
Keajaiban di bumi Afrika Selatan tidak terhenti setakat itu.
Pasukan-pasukan pilihan terus mengalami kemusnahan dalam misi mereka memburu kejuaraan.
Selepas penyingkiran Perancis, Itali dan England – antara pasukan yang dianggap gergasi di muka bumi – giliran Brazil pula tumbang.
Tiada siapa menjangka perjuangan Brazil akan terhenti setakat pusingan suku akhir.
Juara dunia lima kali ini disebut-sebut sebagai pilihan untuk muncul juara pada kejohanan tahun ini, namun mereka tersungkur di kaki Belanda yang tampil dengan corak bola sepak yang menghiburkan.
Pada aksi suku akhir itu Brazil tewas 1-2 dan terpaksa meninggalkan bumi Afrika lebih awal.
Selepas Brazil, giliran Argentina pula ‘menikmati’ penyingkiran.
Penyingkiran Argentina memang sungguh memalukan dan satu dunia menyaksi- kan bagaimana anak-anak buah Diego Maradona itu diperbudakkan oleh barisan muda Jerman yang dibarisi sebahagian besarnya pemain berusia di bawah 24 tahun.
Jerman mudah membelasah Argentina 4-0 dan kekala- han itu turut menjejaskan reputasi Maradona sebagai pemain terhebat dunia suatu ketika dulu.
Untuk memburukkan lagi gaya kekalahan yang dialami Argentina itu, bintang mereka, Lionel Messi dilihat terkapai-kapai mencari rentak meskipun Jerman tidak terlalu memberi tumpuan untuk mengawal pergerakannya.
MESSI turut tenggelam dan meninggalkan bumi Afrika Selatan tanpa merekodkan sebarang jaringan.
--------------------------------------------------------------------------------
Apa yang berlaku dengan Argentina itu boleh disimpulkan bahawa pemain bertaraf bintang itu masih belum cukup untuk menjamin kemenangan seperti mana yang dialami Perancis mahupun Brazil.
Brazil contohnya, memiliki bintang terhebat seperti Kaka, Robinho mahupun Fabiano tetapi reputasi yang ada pada mereka itu tidak cukup untuk menjamin kemenangan.
Kaka hilang taringnya dan begitu juga yang dialami bintang England, Wayne Rooney.
Turut tenggelam ialah bintang Portugal, Cristiano Ronaldo yang tampil dengan aksi mengecewakan sepanjang kempen di Afrika Selatan.
Setakat ini, Jerman, Belanda, Uruguay dan Sepanyol membuktikan kepada dunia bahawa bola sepak itu tidak lagi bergantung kepada seorang pemain bintang, sebaliknya kemenangan itu bergantung dengan kerja berpasukan.
Jerman hebat beraksi sebagai satu pasukan dan begitu juga yang dibuktikan oleh tiga lagi pasukan yang layak ke peringkat separuh akhir kali ini.
Boleh dikatakan bahawa Afrika Selatan bukan medan untuk pemain bintang dan juga bukan medan untuk pasukan yang bergelar gergasi menyerlah.
Bola sepak dunia kini menuntut aksi berpasukan dan kehebatan seorang bintang sudah tidak boleh dijadikan sandaran.
Ia mungkin membantu tetapi belum cukup untuk menjamin kemenangan.
Selain itu, aspek pembangunan juga dilihat penting seperti yang telah dibuktikan oleh Jerman.
Itali yang mengabaikan aspek pembangunan terus kecundang kerana pada saingan kali ini mereka terus memberi kepercayaan kepada ‘kuda tua’ untuk menggalas cabaran.
Selepas empat pasukan yang mara ke pusingan sepa- ruh akhir sudah diketahui, ramai yang tidak berani untuk membuat ramalan.
Keempat-empat pasukan – Uruguay, Belanda, Jerman dan Sepanyol – memiliki kekuatan tersendiri tetapi atas kertas, Jerman dan Belanda dilihat pilihan.
Namun, ramai yang kecewa kerana Jerman dan Sepanyol terpaksa membuat perhitungan terlalu awal pada pering- kat separuh akhir.
Dua pasukan ini seharusnya beraksi di pentas final yang memiliki corak permainan yang sungguh mempesonakan.
Apa pun, rumusan pada edisi di bumi Afrika Selatan ini boleh dikatakan sebagai medan melakar kejaiban serta kejutan. – Agensi
Monday, July 05, 2010
0 Apabila Jerman dan Sepanyol menang dengan corak berpasukan penuh dan menenggelamkan Kaka, Leonal Messi, Cristiano Ronaldo
Sunday, July 04, 2010
0 Cerita Police Story yang best apabila hero berjaya menipu polis dari menangkapnya
FILEM: Polis terkeliru
2010/07/04 JARANG sekali filem aksi Hong Kong mengecewakan penonton. Bukan saja seni pertarungannya kemas dan menarik, jalan ceritanya juga berbeza meskipun jalur garapannya masih sama, berkisar pada sindiket haram dan cabaran anggota polis.
Kejadian cemas yang mana sebuah van membawa bon tunai dirompak sekumpulan penjahat itu, tersembunyi satu agenda yang melangkaui imaginasi polis.
Triple Tap membariskan dua aktor hebat iaitu Louis Koo dan Daniel Wu yang dipertemukan dengan latar cerita berbeza. Koo yang sebelum ini membintangi beberapa filem hebat termasuk ProtƩgƩ, Run Papa Run dan Accident, menjayakan watak Ken, pegawai atasan sebuah firma pelaburan yang cekap dalam percaturan senjata.
Ken adalah dalang utama yang mengatur rancangan rompakan van itu bersama empat temannya. Bagaimanapun, rancangannya bertukar menjadi pertumpahan darah selepas seorang anggota polis trafik sempat berkejar ke lokasi kejadian dan mengecam wajahnya.
Buntu dengan situasi getir itu, Ken terpaksa membunuh semua temannya dan polis bagi menutup agendanya. Bagaimanapun, seorang lagi temannya, Pang Tao sempat melarikan diri dan terlepas.
Ken yang terperangkap dengan kehadiran polis berjaya menyembunyikan bon tunai itu dan menyerah diri. Rupa-rupanya Ken yang bijak mengatur rancangan dan bicaranya sekali lagi berjaya mengaburi mata polis kononnya dia hanya kebetulan berada di tempat kejadian dan cuba menyelamatkan seorang polis yang terbunuh namun tidak sempat.
Ken berjaya memanipulasi situasi dan memutarbelitkan fakta hingga terlepas daripada tahanan serta tuduhan di mahkamah. Ken terlepas atas alasan melindungi diri serta anggota polis yang ditembak.
Kes rompakan dan pembunuhan itu diketuai Jerry Chang (Daniel Wu). Sebelum ini Jerry bertemu Ken di padang latihan tembakan dan Jerry tewas kerana Ken mempunyai satu kelebihan, iaitu mampu menembak sasaran dengan tiga peluru sekali gus. Justeru, Jerry mula mengesyaki sesuatu yang aneh pada Ken. Mana mungkin anggota awam yang juga pelabur mata wang seperti Ken mampu mengendalikan senjata dengan hebat.
Triple Tap yang mencatat kos penerbitan hingga AS$5.5 juta ini mendapat sentuhan pengarah aksinya, Chin Ka-lok berjaya menyuntik rasa cemas di kalangan penonton dalam semua babak aksinya. Malah permainan senjata digunakan Ken dan Jerry punya elemen realistik.
Tidak hanya aksi dan babak pergelutan, malah Yee sempat bermain dengan emosi penonton, terutama ketika Ken tumpas dan sedar akan kegagalan rancangannya. Malah filem ini turut menyelitkan aspek percintaan dan persahabatan bagi menguatkan keseluruhan jalan ceritanya.
DATA
FILEM: Triple Tap
ARAHAN: Derek Yee
PELAKON: Louis Koo, Daniel Wu, Charlene Choi dan Li Bingbing
GENRE: Aksi
TAYANGAN: 1 Julai 2010
ULASAN: Murshid Eunos
0 Masih ingatkah anda bagaimana reaksi Suarez ketika bola penalti itu tidak menggegar jaring? Usaha antara hidup atau mati dalam bisnes bola sepak
Guna tangan: Suarez hanya digantung satu perlawanan
04/07/2010 11:35am
JOHANNESBURG 4 Julai - FIFA telah menggantung penyerang Uruguay, Luis Suarez satu perlawanan kerana sengaja menahan bola menggunakan tangan bagi menafikan gol kemenangan Ghana pada perlawanan suku akhir Piala Dunia semalam.
Jawatankuasa disiplin FIFA telah memutuskan bahawa Suarez bersalah menafikan peluang cerah jaringan gol pasukan lawan dan dikenakan penggantungan satu perlawanan.
Suarez tidak dapat bermain di peringkat separuh akhir menentang Belanda Selasa ini tetapi boleh diturunkan jika pasukannya mara ke perlawanan akhir.
Selepas tampanan Suarez pada minit-minit terakhir masa tambahan di Soccer City itu penyerang Ghana gagal menyempurnakan penalti dan perlawanan tersebut berakhir dengan seri 1-1.
Uruguay bagaimanapun menang 4-2 menerusi sepakan penalti untuk melangkah ke peringkat seterusnya. - AP
Artikel berkaitan:
FIFA kaji hukum Suarez
2010/07/04
Pemain Uruguay mungkin pulang awal gara-gara tampan bola
JOHANNESBURG: Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mungkin mengenakan hukuman lebih berat kepada penyerang Uruguay, Luis Suarez termasuk tiada aksi final jika pasukannya layak nanti gara-gara gelagat sumbangnya menampan bola dengan tangan untuk menafikan kemenangan bersejarah Ghana, awal pagi semalam. Badan induk itu akan mengkaji laporan rasmi sebelum membuat keputusan tempoh hukuman itu, termasuk penggantungan lebih daripada satu perlawanan selepas dilayangkan kad merah dalam saingan suku akhir yang penuh dengan kontroversi itu. “Jawatankuasa disiplin akan mengkaji insiden ini,” kata jurucakap FIFA, Pekka Odriozola, semalam. “Kami tidak menetapkan masa bila mahu membuat keputusan itu.”
Suarez akan diketepikan untuk perlawanan separuh akhir menentang Belanda, Selasa ini dan juga menafikan kehadirannya jika Uruguay layak ke final pada 11 Julai ini atau perlawanan tempat ketiga sehari sebelumnya.
Suarez menampan bola tandukan pemain Ghana, Dominic Adiyiah yang sudah mahu masuk ke dalam gawang pada akhir masa tambahan ketika kedudukan terikat 1-1.
Ghana diberikan sepakan penalti tetapi Asamoah Gyan gagal menyempurnakan dan mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti dengan Uruguay muncul pemenang, 4-2. - Agensi
Artikel lain:
'Tangan Tuhan' versi baru: Suarez
2010/07/04
JOHANNESBURG: Penyerang Uruguay, Luis Suarez mendakwa, tangannya yang menampan bola pada saat-saat terakhir – sekali gus menafikan peluang Ghana ke separuh akhir adalah versi terbaru “Tangan Tuhan”.
Suarez dilayangkan kad merah serta-merta oleh pengadil Portugal, Olegario Benquerenca kerana kesalahan menghalang tandukan pemain gantian, Dominic Adiyah daripada melepasi garisan gol yang menyaksikan Ghana dianugerahkan sepakan penalti. Bagaimanapun, Asamoah Gyan, gagal menyempurnakan sepakan itu pada penghujung masa tambahan itu, dengan sepakannya sekadar menggegar palang dan permainan berlarutan ke penentuan penalti dimenangi Uruguay 4-2 selepas terikat 1-1 pada masa sebenar. “Ini adalah penamat Piala Dunia. Saya tiada pilihan. Saya kini memiliki ‘Tangan Tuhan’,” kata Suarez. Diego Maradona sebelum ini diberi jolokan berkenaan selepas menjaringkan gol menggunakan tangan ketika bertemu England pada Piala Dunia 1986.
“Saya melakukannya supaya rakan sepasukan saya dapat memenangi penentuan penalti. Apabila melihat sepakan penalti Gyan tersasar, ia amat menggembirakan saya.” Suarez juga terlepas aksi separuh akhir nanti.
Pemain terbaik perlawanan, Diego Forlan, yang menyamakan kedudukan 1-1 menerusi sepakan percuma, berkata: “Dia (Suarez) memainkan peranannya. Dia tidak menjaringkan gol, tetapi menyelamatkan satu gol yang membawa kami ke separuh akhir.”
Jurulatih Uruguay, Oscar Tabarez turut mempertahankan tindakan Suarez yang membawa mereka ke separuh akhir pertama Piala Dunia sejak penampilan terakhir pada 1970. – AFP
Artikel lain:
Mental saya kuat: Gyan
2010/07/04
'Saya punya keberanian ambil penalti itu'
JOHANNESBURG: Penyerang Ghana, Asamoah Gyan berkata seharusnya dia muncul wira, awal pagi semalam tetapi pemain Uruguay, Luis Suarez sebaliknya menjadi wira yang dijulang di negaranya atas sebab yang salah. “Ini bukan permainan bola sepak. Dia (Suarez) sekarang adalah wira di negaranya. Bola sudah mahu masuk ke dalam gol dan dia menghalangnya dengan tangan. Saya pula gagal menyempurnakan sepakan penalti. Itulah yang berlaku,” katanya dengan nada sedih selepas tamat saingan suku akhir. Gyan berpeluang memastikan kemenangan Ghana pada perlawanan yang ketika itu terikat 1-1 menerusi sepakan penalti minit terakhir masa tambahan, selepas Suarez menampan bola tandukan Dominic Adiyiah di atas garisan bagi menghalang bola memasuki garisan gol.
Namun, penyerang Rennes itu gagal dalam sepakan penalti itu apabila rembatannya terkena palang.
“Saya akan bangkit kembali, mental saya kuat,” kata Gyan. “Saya mempunyai keberanian mengambil sepakan penalti itu, namun ia (kegagalan) perkara biasa dan saya memang pemain yang ditugaskan mengambil sepakan penalti.
Walaupun dia menebus hampa iu dengan menjaringkan gol pada penentuan sepakan penalti, penjaga gol Uruguay, Fernando Muslera menyelamatkan dua sepakan rakannya yang lain membolehkan pasukan Amerika Latin itu menang 4-2 dan layak ke separuh akhir menentang Belanda di separuh akhir. – AFP
Artikel berkaitan:
'Ia bukan hari kami'
2010/07/04
JOHANNESBURG: Sepakan penalti gagal disempurnakan penyerang Ghana, Asamoah Gyan di saat akhir masa tambahan menentang Uruguay, awal pagi semalam menyebabkan wakil tunggal Afrika terlepas impian besar mara ke separuh akhir.
Ketika Uruguay meraikan tuah mereka layak menentang Belanda Selasa ini, senario menyedihkan terpapar di gelanggang melihat Gyan menangis. Jurulatih Ghana dari Serbia, Milovan Rajevac bergelut untuk menahan air matanya pada sidang akhbar selepas perlawanan. “Tiada apa yang boleh dikatakan, kamu tahu? Ia adalah sebahagian daripada perlawanan,” kata Gyan. “Bola itu memang akan masuk, sudah melepasi garisan dan pengadil tidak membenarkannya. Ia bukan hari kami. Semuanya berkaitan nasib. Perbezaan antara kemanisan kejayaan dan kepahitan kekalahan disebabkan gelagat penyerang Uruguay, Luis Suarez yang menampan bola di atas garisan sekali gus menafikan Ghana gol kemenangan buat mencetus pesta di Afrika.
Rajevac pula berkata: “Di pengakhiran kami mempunyai peluang bersejarah. Ia seharusnya menjadi sesuatu yang menggembirakan. Kami tidak layak untuk kalah dengan cara begitu.”
Pada minit-minit terakhir masa tambahan, tandukan Dominic Adiyiah tidak diragui akan menerjah jaring untuk gol kemenangan Ghana, namun Suarez menjadi penghalang - dengan kedua-dua belah tangan, seperti sukan bola tampar, dia menampan bola itu keluar.
Pengadil Portugal, Olegario Benquerenca tidak teragak-agak melayangkan kad merah dan menghadiahkan penalti buat Ghana. - AFP
Artikel berkaitan:
Sepakan penalti Abreu imbau gaya klasik Panenka
2010/07/04
JOHANNESBURG: Sepakan penalti berharga Sebastian Abreu yang membutirkan kemenangan buat Uruguay menjadi antara sepakan penalti paling berani untuk memenangi penentuan sejak Antonin Panenka menjadikan gaya itu terkenal bagi menjulang Piala Eropah 1976.
Sepakan lambung Abreu dengan perlahan masuk ke gawang gol Ghana melengkapkan kemenangan penalti 4-2 Uruguay, selepas kedua-dua pasukan seri 1-1 sehingga masa tambahan yang akhirnya membawa wakil Amerika Selatan itu mara ke saingan separuh akhir buat pertama kali sejak 1970. Panenka menyempurnakan penalti yang mengharumkan namanya ketika Czechoslovakia menewaskan Jerman Barat 5-3 pada penentuan penalti final Euro 1976. “Ini cara melakukan sepakan (penalti),” kata pemain berusia 33 itu yang masih belum lahir ketika Panenka mencipta namanya. “Saya percaya dengannya dan pasukan membuatkan saya percaya ia adalah cara yang betul.”
Jurulatih Uruguay, Oscar Tabarez dapat merasakan ada ketenangan pada Abreu ketika pemain veteran itu membuat sepakan, kelmarin. “Ia bukan sesuatu yang gila, ia adalah gol,” kata Tabarez. “Saya memanggilnya ada gaya. Dia melakukannya ketika menentang Brazil pada Copa America, dan keputusannya sama.” - AP
Artikel berkaitan:
Suarez bangga
2010/07/04 JOHANNESBURG: Penyerang Uruguay, Luis Suarez mendakwa bola yang terkena tangannya pada minit terakhir perlawanan sekali gus menafikan tempat ke separuh akhir buat Ghana adalah versi baru ‘Tangan Tuhan’.
TERSELAMAT...Suarez (kanan) menampan bola dengan tangan pada perlawanan awal pagi semalam. Bagaimanapun, sepakan penalti diambil Asamoah Gyan itu terkena palang gol dan pengadil memberhentikan permainan untuk membolehkan keputusan dicapai menerusi penentuan penalti yang kemudiannya dimenangi Uruguay 4-2.
“Inilah Piala Dunia. Saya tidak mempunyai pilihan. Saya mencipta ‘Tangan Tuhan’ yang baru,” kata Suarez.
Diego Maradona pernah mencipta jaringan menerusi kaedah yang digelar 'Tangan Tuhan' ketika menentang England pada Piala Dunia 1986.
“Saya melakukannya bagi membolehkan kami mengharungi penentuan penalti. Apabila saya melihat Gyan terlepas peluang itu, ia memang sesuatu yang menggembirakan,” kata Suarez yang tidak diturunkan untuk separuh akhir nanti.
Jurulatih Uruguay, Oscar Tabarez mempertahankan tindakan Suarez dan berkata apa yang dilakukan oleh anak buahnya itu memberikan peluang kepada Uruguay untuk beraksi di separuh akhir pertama Piala Dunia sejak 1970.
Tabarez yang menyaksikan anak buahnya bangkit untuk mengikat kedudukan 1-1, berkata tindakan Suarez itu adalah reaksi spontan.
“Saya tidak fikir dia sengaja tetapi dia kini dilayangkan kad merah dan bakal terlepas perlawanan separuh akhir,” kata Tabarez.
“Dia menerima hukuman atas tindakannya. Dia sendiri pasti tidak tahu Ghana akan terlepas peluang menjaringkan gol menerusi Gyan. Adalah tidak adil untuk menuduh kami menang secara menipu.” - AFP
Artikel berkaitan:
Suarez ambil tempat Maradona
INSIDEN yang menyaksikan Suarez (kiri) menampan bola menggunakan tangan ketika menghalang tandukan Adiyah pada aksi suku akhir awal pagi semalam.
--------------------------------------------------------------------------------
JOHANNESBURG - Sebelum ini, legenda yang juga jurulatih Argentina, Diego Maradona digelar 'Tangan Tuhan', kini Luis Suarez pula mendakwa dia wajar dilabel 'Tangan Tuhan' versi 2010.
Semuanya gara-gara tindakan penyerang Uruguay itu yang dilihat sengaja menampan bola menggunakan tangan dalam kotak penalti bagi menghalang tandukan pemain gantian Ghana, Dominic Adiyah pada minit-minit terakhir perlawanan masa tambahan.
Bagaimanapun, penyerang Ghana, Asamoah Gyan gagal menyudahkan sepakan penalti tersebut.
"Saya kini ada 'Tangan Tuhan'. Saya berjaya melakukannya sehingga membolehkan kami menang menerusi penentuan sepakan penalti.
"Apabila saya melihat Gyan gagal menyempurnakan sepakan penalti, ia satu detik yang cukup menggembiran," jelas Suarez.
Sementara itu, jurulatih Uruguay, Oscar Tabarez mempertahankan tindakan Suarez yang dianggap berlaku secara tidak disengajakan.
"Tindakan Suarez terjadi secara refleks," jelas Tabarez.
"Dia menampan bola menggunakan tangan tetapi dia telah dilayangkan kad merah dan akan terlepas aksi seterusnya.
"Dia telah dihukum atas tindakannya itu tetapi ketika melakukan kesalahan tersebut, dia tidak tahu Ghana gagal menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan.
"Tidak adil rasanya jika ada yang mengatakan bahawa kemenangan kami ini atas dasar penipuan." - Agensi
Saturday, July 03, 2010
0 Kemiskinan di luar bandar menggalakkan penghijrahan ke bandar. Akibatnya banyak masalah sosial berlaku di bandar
Kemiskinan antara punca kes buang bayi
2010/07/03
IPOH: Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah bertitah, kemiskinan wajib diperangi dan ditangani secara berkesan kerana ia adalah antara punca utama pelbagai masalah sosial termasuk kes salah laku seks dan pembuangan bayi yang semakin berleluasa.
Baginda bertitah, kemiskinan mewujudkan tekanan dalam kehidupan harian, mempengaruhi tekanan emosi dan mencetuskan kemiskinan budaya, nilai dan moral selain menjadi punca perceraian, aktiviti kurang bermoral, keruntuhan akhlak serta menggadai harga diri. "Betapa suasana ekonomi di luar bandar mencetuskan kemiskinan dan ia menggalakkan berlakunya penghijrahan ke bandar, lalu meningkatkan bilangan kemiskinan bandar. "Bentuk dan pembangunan kawasan kediaman golongan miskin bandar bagaikan kotak sarang merpati, yang tidak dilengkapi kawasan riadah dan kemudahan aktiviti sosial untuk membolehkan adanya saluran bagi remaja melepaskan tekanan," titahnya pada Persidangan Ke-172 Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) di sini, semalam.
Justeru, Raja Nazrin bertitah, cara pengagihan zakat secara adhoc mungkin tidak lagi sesuai bagi menangani cabaran pada era ini, kerana masalah kemiskinan bukan saja tidak dapat diselesaikan, malah menjadi lebih serius hingga memusnahkan nilai masyarakat.
0 Kereta masa depan. Cerita di TV yang menjadi kenyataan
Kereta boleh terbang
DALAM gambar yang disediakan oleh Terrafugia ini menunjukkan kereta Transition semasa berlepas. Syarikat Terrafugia merancang untuk mula menjual kenderaan ini pada akhir tahun depan. - AP
WASHINGTON 2 Julai - Kereta yang dilengkapi sayap untuk membolehkannya terbang dijadual memasuki pasaran mulai tahun depan.
Syarikat Terrafugia semalam mengumumkan rancangannya untuk melancarkan kereta-kapal terbang bernama Transition itu menjelang akhir 2011.
Terrafugia baru-baru ini melepasi satu halangan utama apabila Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) memberi pengecualian khas supaya Transition tidak dikenakan had berat.
"Inilah kenderaan ajaib yang akan datang. Sesiapa sahaja boleh membeli kereta Ferrari tetapi Ferrari tidak boleh terbang," kata Naib Presiden Terrafugia, Richard Gersh.
Transition sama sekali bukan seperti yang digambarkan dalam lukisan kartun yang menunjukkan kereta terbang meluncur laju di atas lalu lintas biasa, atau seperti dalam filem Chitty Chitty Bang Bang.
"Tidak ada butang untuk melancarkan kereta itu pada panel (peralatan)" jelas Gersh.
Sebaliknya kereta-kapal terbang itu dilengkapi sayap yang boleh dikembangkan untuk terbang, proses yang dilaporkan mengambil masa seminit, dan dilipat semula apabila hendak dipandu sebagai kereta.
Namun landasan masih diperlukan untuk Transition berlepas dan mendarat.
Transition dipasarkan lebih sebagai sebuah kapal terbang yang boleh dipandu dan bukan sebagai sebuah kereta yang boleh terbang, walaupun kenderaan itu mempunyai ciri kedua-duanya.
Terrafugia mahu memasarkan Transition kepada juruterbang persendirian sebagai cara lebih mudah dan lebih murah untuk terbang.
Mereka berkata, dengan kenderaan itu tidak ada lagi masalah mencari pengangkutan jenis lain untuk pergi dan balik dari lapangan terbang. - AP
0 Bintik merah/hitam di belakang telinga menunjukkan seseorang itu masih teruna
Wanita buktikan pesalah rogol masih teruna
NGUYEN DINH KIEN (kiri) memeriksa titik akupuntur pada muka seorang lelaki di rumahnya di Hanoi baru-baru ini.
HANOI - Seorang wanita yang merupakan pakar akupuntur Vietnam, Pham Thi Hong menjadi selebriti apabila dia berjaya membantu membebaskan tiga lelaki yang dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan merogol setelah mereka didapati masih teruna.
Pada mulanya, seorang pesalah itu, Nguyen Dinh Kien dirawat oleh wanita tersebut empat tahun lalu.
Wanita itu kemudian mendapati terdapat beberapa bintik merah di belakang telinga lelaki itu yang menunjukkannya masih teruna sekali gus tidak bersalah merogol seorang gadis berusia 20 tahun pada 2000.
Dia kemudian mendapati dua lagi rakan lelaki itu mempunyai bintik sama yang menunjukkan mereka sebenarnya tidak pernah melakukan hubungan seks.
Wanita itu kemudian melancarkan kempen untuk membebaskan mereka dan usahanya berjaya apabila Presiden Vietnam, Nguyen Minh Triet mengarahkan kes tersebut dibuka semula.
Hasilnya, ketiga-tiga lelaki berkenaan dibebaskan pada Januari lalu selepas para penyiasat mendapati terdapat kekurangan bukti dalam kes tersebut.
Bintik di belakang telinga itu hanya akan hilang selepas lelaki bersetubuh dengan wanita tetapi ia tidak terjejas jika hubungan seks sesama jantina.
"Ada titik merah kecil di belakang telinga ketiga-tiga kerana bintik itu akan hilang dengan sendiri jika mereka melakukan persetubuhan," kata Hong. - AP
Sumber lain: Berita Harian:
Ujian tentukan teruna diperkenal
2010/07/03
Kaedah pakar akupuntur bebaskan tiga lelaki daripada hukuman penjara
HANOI: Seorang pakar akupuntur mendakwa boleh mengesan sama ada seorang lelaki masih lagi teruna berdasarkan bintik kecil pada telinganya, kini menjadi selebriti Vietnam kerana berjaya membantu membebaskan lelaki yang didapati bersalah atas tuduhan rogol dari penjara.
Pakar akupuntur, Pham Thi Hong, melobi untuk pembebasan lelaki terbabit, merayu kesnya sehingga kepada presiden, kerana percaya mereka masih teruna dan tidak wajar didakwa bersalah atas tuduhan merogol. “Mereka mempunyai bintik hitam di belakang telinga,” kata Hong, 54. “Bintik itu akan hilang jika mereka melakukan hubungan seks. Semua pesalah itu tidak pernah melakukan hubungan seks berdasarkan pengalaman saya selama beberapa tahun,” katanya. Hong nampak bintik pada telinga Nguyen Dinh Kien buat kali pertama kali dia menemuinya untuk rawatan empat tahun lalu.
Dia dibawa ke hospital dari penjara untuk menjalani hukuman 16 tahun selepas didapati bersalah merogol beramai-ramai seorang wanita berusia 20 tahun pada 2000.
Selepas melihat bintik itu pada telinga Kien, Hong percaya dia tidak bersalah. Hong kemudian memeriksa dua orang lagi yang bersubahat dengannya dan melancarkan kempen pembebasan mereka.
Berikutan kempen itu, Presiden Nguyen Minh Triet kemudian mengarahkan kes terbabit disiasat semula.
Penyiasat yang mengkaji semula kes menemui beberapa kelemahan termasuk keterangan tidak bersalah tertuduh tidak dimasukkan dalam fail kes, lapor akhbar Pioneer. – AP
0 Apa lagi sumbangan yang boleh diberi hadiah 1 juta?
Pakar matematik tolak lagi hadiah AS$1 juta
GRIGORY PERELMAN
NEW YORK - Pakar matematik Rusia yang gemar bersendirian, Grigory Perelman, menolak satu lagi hadiah berjumlah AS$1 juta (RM3.2 juta) setelah dia meraih populariti global kerana memberi jawapan mengenai masalah matematik dikenali sebagai tekaan Poincare yang dianggap mustahil untuk diselesaikan.
Pihak pengurusan Institut Matematik Clay (CMI) memberitahu kelmarin bahawa Perelman memaklumkan pusat penyelidikan itu yang beribu pejabat di Cambridge, Negeri Massachusetts, Amerika Syarikat (AS) bahawa dia tidak akan menerima hadiah tersebut.
Pada 8 dan 9 Jun lalu, institut berkenaan telah mengadakan satu persidangan di Paris bagi meraikan kejayaan Perelman menyelesaikan tekaan Poincare yang merujuk kepada ciri-ciri ruang berbilang dimensi.
Perelman berjaya membuktikan bahawa sebarang bentuk yang tidak memiliki lubang boleh diunjur atau dikecilkan menjadi satu sfera.
Tekaan Poincare telah membingungkan pakar-pakar matematik sejak ia dicetuskan oleh seorang warga Perancis, Henri Poincare pada 1904.
Hadiah CMI diumumkan selepas beberapa pakar memeriksa penemuan Perelman dan mendapati jawapannya tepat dan sempurna.
Sementara itu, CMI menyatakan, ia akan mengumumkan pada musim luruh ini cara untuk menggunakan wang hadiah yang ditolak oleh Perelman itu bagi manfaat bidang matematik.
Perelman sebelum ini menolak banyak hadiah dan berulang kali tidak muncul pada acara penyampaian hadiah yang diadakan untuk dirinya.
Dia menyiarkan penyelesaian untuk tekaan Poincare di Internet pada 2002 dan 2003.
Pada 2006, Perelman telah dianugerahkan Pingat Fields bersama sejumlah wang yang merupakan pengiktirafan tertinggi dalam bidang matematik, setanding dengan Hadiah Nobel.
Namun, ahli matematik berusia 44 tahun itu menjadi orang pertama menolak Pingat Fields dengan alasan tidak mahu menonjolkan diri kerana dia bukan lagi sebahagian daripada komuniti pakar matematik. - AFP






