Ekonomi keluarga tak kukuh punca cerai di Sabah
TAWAU 29 Okt. - Keadaan ekonomi keluarga yang tidak kukuh serta kurang pengetahuan agama dikenal pasti antara punca utama berlakunya perceraian di Sabah.
Sehubungan itu, menurut Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Baharuddin Alwi, pasangan yang ingin berkahwin perlu terlebih dahulu berusaha mengukuhkan ekonomi mereka dan mendalami ilmu agama.
"Cinta semata-mata tidak menjamin kebahagiaan, sebab itulah bagi pasangan terutamanya bakal pengantin lelaki mereka perlulah memiliki pekerjaan tetap," katanya pada Seminar Belaian Bahtera Kasih di Auditorium Perpustakaan Tawau di sini, kelmarin.
Turut hadir, Pembantu Menteri Kewangan negeri Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan dan Pengarah JHEAINS, Datuk Amri Suratman.
Menurutnya, dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, seramai 650 pasangan Islam direkodkan bercerai di negeri itu.
Katanya, kebanyakan pasangan yang bercerai berusia di bawah 40 tahun dan melibatkan perkahwinan yang mencapai usia lima tahun ke atas.
"Bagi usia perkahwinan di bawah tiga tahun, kes perceraian kurang, sekali gus menunjukkan kesan positif langkah mewajibkan Kursus Perkahwinan sejak 2009," ujarnya.
Beliau menasihatkan pasangan Islam yang mempunyai masalah perkahwinan supaya mencari jalan penyelesaian bagi menyelamatkan perkahwinan mereka.
Katanya, pasangan terbabit boleh merujuk masalah mereka di pejabat-pejabat agama berdekatan untuk mendapatkan nasihat dan kaunseling.
Sunday, October 30, 2011
0 Susah kahwin kalau tiada duit, risiko bercerai tinggi
Saturday, October 29, 2011
0 Tanah pertanian kurang, buatlah bisnes perkhidmatan dan pembuatan dan buat join venture
Saranan ceburi sektor perkhidmatan, pembuatan
KUALA LUMPUR 28 Okt. - Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kuala Lumpur & Selangor (ACCCIM) menyarankan usahawan muda menceburi perniagaan dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan berbanding pertanian.
Presidennya, Tan Sri William Cheng berkata, potensi dalam sektor tersebut dilihat lebih tinggi berbanding pertanian yang memerlukan tanah dan kos yang tinggi.
Katanya, Malaysia sudah kekurangan tanah untuk pertanian, oleh itu usahawan muda perlu menerokai bidang lain dengan cara menjalin kerjasama di peringkat antarabangsa.
"Perniagaan secara individu sangat menyukarkan kerana persaingan yang kuat sehingga ramai usahawan muda gagal bertahan.
"ACCCIM dengan itu mencadangkan agar mereka (usahawan muda) menceburi sektor perkhidmatan dan pembuatan melalui kerjasama dengan China dan menerokai pasaran Asia Tenggara,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Usahawan Muda-Peluang Perniagaan Menerusi Pelan Transformasi Ekonomi, di sini hari ini.
Cheng berkata, berdasarkan keadaan sekarang usahawan tempatan dilihat tidak mampu menandingi keupayaan perniagaan China yang semakin berkembang khasnya dalam aspek teknologi dan saiz pasaran.
Menurutnya, perancangan masa depan perlu dibuat contohnya perkongsian secara bersama antara negara-negara Asia Tenggara dengan China dalam menghasilkan sesuatu produk khas untuk rantau ini.
"Contohnya dalam bidang automotif dan pembuatan kapal. Kita boleh membuat pembahagian tugas menghasilkan komponen untuk setiap negara dan menghasilkan produk sendiri tanpa campur tangan luar.
"Cara ini dilihat mampu mengurangkan kos, persaingan dan meningkatkan pasaran serta jenama produk tersebut," jelasnya.
0 Filem bajet besar tetapi susah jual kalau skrip kurang mantap
Filem terbaharu SRK kurang laris
KHAN membuat persembahan ketika mempromosikan filem terbitannya itu di Ludhiana, Punjab India Oktober lalu.
MUMBAI - Filem bajet besar yang menampilkan bintang Bollywood, Shah Rukh Khan bertajuk Ra.One menerima maklum balas bercampur-campur kelmarin.
Pujian diberi kepada kesan-kesan khas yang digunakannya, tetapi skripnya dikritik. Menjadi antara filem India paling mahal dengan perbelanjaan mencecah AS$20 juta (RM61.3 juta), Ra.One dilihat gagal memecahkan rekod hari pertama tayangan.
Laman web Boxofficeindia.com yang memantau kutipan filem di panggung menyatakan filem adiwira sains fiksyen versi Hindi itu berjaya mengutip sekitar AS$3 juta (RM9.20 juta) dalam tempoh 24 jam pertama selepas ditayangkan pada Rabu lalu.
"Ia mungkin menjadi filem kedua atau ketiga yang mencatat kutipan tertinggi. Namun, ia ketinggalan sebanyak 30 peratus berbanding rekod filem Bodyguard yang ditayangkan dua bulan lalu," katanya.
Khan dilihat berusaha keras mempromosikan filem tersebut selama beberapa bulan dengan menghadiri tayangan-tayangan perdana antarabangsa di Dubai, London dan Toronto.
Dalam filem tersebut, Khan memegang watak G.One yang menentang makhluk jahat bernama Ra.One untuk menyelamatkan manusia sejagat. - AFP
0 Lebih kaya RM1j Dollar dengan menang peraduan program realiti
Kerani bergaji RM399 menang kuiz RM3.07 juta
SUSHIL KUMAR memegang cek bernilai AS$1 juta (RM3.07 juta) sambil bergambar bersama bintang Bollywood, Amitabh Bachchan.
NEW DELHI - Seorang kerani kerajaan dengan gaji bulanan cuma AS$130 (RM399) menjadi peserta pertama yang pernah memenangi AS$1 juta (RM3.07 juta) dalam rancangan kuiz popular di negara berkenaan.
Kemenangan Sushil Kumar dalam kuiz Who Wants to Be a Millionaire versi India menjadikannya ikon kepada jutaan belia di India yang mahu membebaskan diri mereka daripada belenggu kemiskinan.
Kejayaan pemuda berusia 26 tahun yang berasal dari pedalaman negeri Bihar, timur India itu mirip plot filem popular 2008, Slumdog Millionaire.
Filem tersebut yang memenangi beberapa anugerah Oscar, mengisahkan tentang seorang pemuda miskin yang menjadi kaya selepas memenangi kuiz berkenaan.
Kumar dan isteri yang baru lima bulan dikahwininya menangis semasa hos rancangan itu, Amitabh Bachchan, menyerahkan cek AS$1 juta kepada mereka selepas dia berjaya menjawab semua soalan dengan betul.
"Anda mencipta sejarah. Kecekalan dan keazaman anda membolehkan anda pergi begitu jauh dalam program ini," kata Bachchan.
Program yang dirakam pada Selasa lepas itu akan ditayangkan di India pada minggu depan.
Bercakap mengenai kemenangannya, Kumar berkata, dia terpaksa menonton rancangan kuiz itu di rumah jiran kerana tidak mampu membeli set televisyen.
Menurutnya, dia akan menggunakan sebahagian wang kemenangan tersebut untuk menduduki peperiksaan pentadbiran awam bagi menjamin masa depan yang lebih cerah.
Sebahagian lagi wang tersebut akan digunakan untuk membeli kediaman baharu buat isterinya, membayar semua hutang ibu bapanya dan dijadikan modal untuk adik-beradiknya membuka perniagaan kecil. - AP
Friday, October 28, 2011
0 Persaingan masa depan adalah persaingan mencari makanan?
Pertanian lubuk kekayaan generasi baru
Oleh NORDIN ABDUL MALEK
PENULIS ialah Pengerusi Eksekutif Institut Skill-Tech
WARREN Buffett, seorang pelabur hartanah dan antara manusia paling kaya di dunia kini sanggup berpanas di gurun Futuo, Ghana bagi projek mega tanaman soya dan jagungnya yang bernilai lebih AS$38 juta. Projek-projek pertanian beliau kini diamanahkan kepada anak lelakinya, Howard Buffett untuk diberikan perhatian yang lebih serius.
Di sebalik label diktator, Muammar Gaddafi pernah melakukan dasar drastik untuk mengubah landskap ekonomi Libya dan bagi menggelakkan kebergantungan dunia luar dengan membina sistem saliran air paling efisien di dunia bagi disalurkan ke tanah-tanah kontang Libya bagi tujuan pertanian.
Walaupun Libya merupakan negara pengeksport minyak kelapan terbesar di dunia, sebahagian besar pendapatan negara disalurkan untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan pertaniannya.
Semua fakta di atas sebenarnya menggambarkan persiapan untuk berdepan dengan krisis yang paling digeruni oleh lebih enam bilion penduduk dunia yang bakal melanda pada tahun 2050 kelak iaitu krisis makanan dunia.
Peningkatan suhu dan perubahan iklim dunia, pertambahan penduduk dan keluasan tanah pertanian yang semakin berkurangan merupakan petanda-petanda awal bahawa teori krisis makanan ini perlu diambil perhatian dengan lebih serius oleh semua pihak.
Namun, di sebalik kekalutan ini, ia juga merupakan rahmat kepada sesiapa yang bijak mengambil peluang terutamanya kepada golongan petani untuk mencipta kekayaan.
Bagi para petani di Malaysia khususnya, tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa merekalah golongan yang paling bertuah jika dunia dilanda krisis makanan nanti, kerana bumi Malaysia sememangnya dicipta subur untuk pertanian tanpa perlu jutaan ringgit bagi pembinaan saliran canggih dan tidak perlu untuk kita sampai ke Afrika mengintai peluang bertani di sana seperti yang dilakukan sesetengah negara lain.
Dalam Pelan Transformasi Ekonomi (ETP), sektor pertanian diberikan perhatian yang khusus dan diangkat menjadi salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Bajet 2012 pula memperlihatkan keseriusan negara dalam memajukan sektor ini apabila peruntukan keseluruhan bagi pertanian ditambah kepada RM29.8 bilion berbanding RM3.8 bilion tahun lalu.
Peluang sudah terbentang luas, bantuan sudah dihulurkan oleh pihak kerajaan, tapi persoalannya, sejauh manakah masyarakat petani sedia ada di Malaysia bersedia untuk berdepan dengan tekanan yang amat tinggi dari seluruh dunia dan masih berkesankah teknik serta minda pertanian konvensional generasi petani terdahulu?
Tugas dan tanggungjawab ini seharusnya digalas oleh generasi baru, terutamanya graduan-graduan berteraskan pertanian kerana kepesatan industri pertanian dunia ini memerlukan minda yang segar dan nilai inovasi yang tinggi selaras dengan peredaran zaman agar industri pertanian kita tidak terus ketinggalan.
Generasi muda pertanian ini pula perlu berani dan diberikan galakan untuk menjadi usahawan kerana adalah mustahil untuk memiliki kekayaan seperti yang digambarkan selain menceburkan diri dalam bidang perniagaan.
Hal ini bersesuaian dengan Hadis Rasulullah SAW iaitu 9 daripada 10 pintu rezeki adalah daripada perniagaan. Mungkin ia satu kebetulan apabila ketika kecil Nabi Muhammad juga dilatih untuk menjadi pengembala kambing. Keusahawanan pertanian seolah-olah sunnah sebagai karier wajib kebanyakan Nabi.
Namun, di samping peluang dan bantuan pelbagai pihak, faktor paling penting penentu kejayaan graduan dalam bidang perniagaan ialah jati diri masing-masing kerana kualiti seorang usahawan berjaya bukan semata-mata dilihat daripada pencapaian akademik dan pensijilan.
Mengumpul kekayaan dalam bidang pertanian berbeza daripada bidang lain kerana bidang ini kelihatan kotor, susah dan kadang kala berbahaya atau lebih dikenali sebagai bidang 3D (dirty, difficult, dangerous).
Oleh sebab inilah, pembentukan jati diri dan sahsiah yang menepati keperluan serta keazaman spiritual yang tinggi diberikan penekanan khusus di Institut Skill-Tech (IST). Subjek Jati Diri juga dijadikan subjek wajib kepada semua pelatih di IST.
Pendekatan ini terbukti berjaya apabila sehingga kini hampir 300 usahawan yang dilahirkan IST masih bertahan dan majoritinya sedang menuju kepada perusahaan berskala besar.
Resipi unik dalam pembentukan usahawan tani berjaya yang digunakan oleh IST sebenarnya hasil garapan buah fikir dan real-life practice yang disumbangkan oleh lebih 300 syarikat berteraskan pertanian di Malaysia, bermula daripada syarikat Industri Kecil Sederhana (IKS) hinggalah kepada syarikat-syarikat konglomerat besar seperti Felda, IOI dan Borneo Samudera.
Berdasarkan penilaian dan kajian yang dilakukan oleh IST sendiri terhadap usahawan-usahawan mereka, di samping jati diri yang mantap, mereka juga perlu memiliki cita-cita yang tinggi dan jiwa yang besar supaya dapat mengusahakan pertanian yang lebih bersifat komersial dan berskala besar.
Nilai-nilai inilah yang membezakan antara usahawan tani 'belakang rumah' dengan mereka yang berpendapatan lumayan sehingga mampu menembusi pasaran global dan menjadi juara dalam transformasi 'pertanian' kepada 'industri pertanian' dan daripada sekadar 'petani' kepada 'usahawan tani'.
Hari ini kita boleh menghela sedikit nafas lega apabila melihat 400 orang lagi generasi muda bakal bergelar pemain utama dan pemangkin transformasi industri pertanian Malaysia setelah tamat latihan di IST.
IST telah pun memainkan peranan sebagai peneraju latihan kemahiran sumber manusia berteraskan pertanian di Malaysia.
Jika momentum sedia ada diteruskan, IST pasti menjadi institusi latihan kemahiran bertaraf dunia suatu hari nanti.
Wednesday, October 26, 2011
0 Gaji Profesor di Indonesia sama dengan jawatan PPT di Malaysia
Gaji profesor di Indonesia lebih rendah dari guru
daripada SAHARUDIN MUSTHAFA
saharudin.musthafa@utusan.com.my
JAKARTA 25 Okt. - Percaya atau tidak, gaji serta elaun yang diterima oleh seorang profesor penyelidikan di Indonesia setiap bulan jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan gaji yang diterima oleh seorang guru sekolah rendah di Jakarta.
Gaji pokok seorang profesor penyelidikan kategori IV (E) di Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia (LIPI) misalnya hanyalah sebanyak Rupiah 3.6 juta (RM1,288) dan elaun-elaun sampingan sebanyak Rupiah 1.6 juta (RM565) sebulan.
"Jumlah gaji yang saya terima sebulan ialah sebanyak Rupiah 5.2 juta (RM1,837) sebulan," kata Profesor Dr. Ir Jan Sophaeluwakan, seorang pakar geologi mendedahkan gaji yang diterimanya biarpun sudah 30 tahun berkhidmat di LIPI, lapor akhbar Kompas hari ini.
Bagaimanapun, pendapatan yang diterima seorang profesor penyelidikan yang menduduki jabatan struktur adalah sedikit tinggi kerana mereka menerima elaun jabatan sebanyak Rupiah 3.2 juta (RM1,132) setiap bulan.
"Gaji pokoknya masih sama iaitu Rupiah 3.6 juta setiap bulan dan tidak akan naik lagi kerana tangga gaji tersebut sudah sampai ke kedudukan pangkat tertinggi IV (E)," ujar Prof. Dr. Ir Bambang Subiyanto, pakar biomateria yang juga Ketua Pusat Inovasi LIPI.
Biarpun menerima elaun sampingan, namun gaji profesor penyelidikan yang juga pemegang ijazah sarjana dan doktor falsafah dari luar negara masih belum boleh menandingi pendapatan guru di sekolah rendah.
Gaji seorang guru sekolah rendah di daerah Serang, Wilayah Banten misalnya, boleh membawa pulang gaji sebesar Rupiah 6.5 juta (RM2,300).
Pendapatan sebanyak itu merupakan jumlah gaji pokok sebanyak Rupiah 2.3 juta (RM813) serta elaun sampingan sebanyak Rupiah 3.87 juta (RM1,370).
"Tidak ketinggalan pemerintah daerah Serang juga memberikan elaun sebanyak Rupiah 440,000 setiap bulan kepada kami," kata Turman, guru sekolah rendah di Serang yang sudah 29 tahun bergelar pendidik.
Pendapatan seorang guru sekolah rendah di Jakarta dilaporkan jauh lebih tinggi kerana selain menerima gaji pokok Rupiah 2.3 juta serta elaun-elaun lain juga sebanyak itu, guru-guru juga berpeluang mendapat elaun kerja daerah sebanyak Rupiah 4 juta RM1,414) daripada pemerintah Daerah Khusus Ibukota Jakarta.
"Lumayan setiap bulan boleh memperoleh pendapatan sebanyak Rupiah 8.6 juta (RM3,040) setiap bulan," komen guru besar Sekolah Rendah Negeri Duri Pulo 1, Jakarta yang berpengalaman selama 26 tahun sebagai guru sekolah.
Menurut Bambang, kurangnya perhatian pemerintah terhadap kerjaya seorang profesor bukan hanya pada pendapatan yang rendah ditawarkan.
Sebaliknya, kemudahan untuk melakukan penyelidikan juga amat terbatas sehingga memaksa golongan cendekiawan tempatan mengadakan kerja-kerja kajian akademik secara kerjasama dengan institusi pengajian tinggi sama ada di dalam atau luar negara.
Jan pula berpendapat, ekoran tidak mendapat perhatian daripada pemerintah, ahli-ahli akademik Indonesia ada masanya melakukan kajian dan penyelidikan yang tidak relevan dengan bidang dan kepakaran mereka.
Berdasarkan laporan berkenaan, gaji yang diterima profesor penyelidikan di negara jiran Indonesia mencecah angka Rupiah 90 juta (RM31,000) sebulan sementara di Jepun dianggarkan antara Rupiah 600 juta hingga Rupiah 900 juta (RM212,000) hingga (RM318,000). - Utusan
0 Penghuni bumi semakin ramai juga susah
Penghuni dunia cecah 15 bilion
2011/10/25
Bumi kini hadapi masalah penduduk, suhu
NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran penduduk dunia akan mencecah 15 bilion orang menjelang akhir abad ini, menyebabkan tekanan berat kepada sumber planet Bumi, kecuali tindakan segera diambil untuk mengawal kadar pertumbuhan.
Perangkaan itu berkemungkinan mengejutkan ramai pakar kerana ia jauh lebih tinggi berbanding yang dianggarkan.
Terdahulu, PBB menganggarkan dunia akan memiliki 10 bilion penduduk menjelang akhir abad ini, manakala ketika ini hampir tujuh bilion orang menghuni dunia.
Perangkaan baru itu dinyatakan dalam kajian oleh Dana Kependudukan PBB (UNFPA) yang akan disiarkan minggu ini. Laporan bertajuk ‘Kedudukan Penduduk Dunia 2011,’ dihimpun untuk menandakan bahawa di mana-mana saja di muka Bumi, bayi yang dilahirkan akan menjadikan penduduk dunia melebihi tujuh bilion.
Sebahagian pakar memberi reaksi terkejut dengan perangkaan itu. Pengerusi Population Matters, Roger Martin, yang berkempen untuk mengawal penduduk, berkata Bumi memasuki fasa baru yang bahaya.
“Planet kita menghadapi masalah dari semua aspek termasuki pertumbuhan penduduk dan perubahan suhu. Planet sebenarnya tidak menampung tujuh bilion penduduk,” katanya.
Bumi mempunyai dua kali ganda penduduk sejak tahun 1960-an, disebabkan kadar kelahiran tinggi di Afrika, Asia dan Amerika Latin.
Sebahagian lagi masih ragu-ragu dengan fakta bahawa penduduk dunia akan mencecah 15 bilion dengan kadar segera. Penulis Population Bomb, Profesor Jack Goldstone, dari Universiti George Mason, berkata beliau yakin pemimpin dunia akan mengambil tindakan tertentu untuk memastikan penduduk dunia dapat dikurangkan.
“Cara mengurangkan bilangan kanak-kanak dalam keluarga tersebar ke seluruh dunia,” katanya sambil menambah 10 hingga 12 bilion penduduk menjelang 2100.
Ramai pakar dasar percaya kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) mempunyai cara mengehad dan mengawal penduduk dunia. Kunci utama, kata mereka ialah memastikan perancangan keluarga yang berkesan disampaikan ke seluruh negara membangun.
“Apa yang amat kritikal ialah komitmen kerajaan. Perancangan keluarga sebenarnya tidak mahal,” kata Naib Presiden Majlis Kependudukan beribu pejabat di New York, John Bongaarts.
Bagaimanapun, aktivis isu perancangan keluarga berdepan faktor budaya dan agama yang menjadikan usaha mendidik wanita dan mengurangkan saiz keluarga sukar. – Agensi
