.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Tuesday, November 08, 2011

0 7 bilion manusia dan kebimbangan krisis kemanusiaan

7 bilion bukan sekadar angka

Oleh SYALMIZI HAMID dan KUMARA SABAPATTY




DI MANA-MANA bahagian dunia pada minggu ini, kelahiran bayi dianggap sesuatu yang sangat istimewa kerana mereka merupakan penduduk ke-7 bilion bumi.

Bilangan penduduk bumi mencecah angka tujuh bilion Isnin lalu, cuma 12 tahun selepas ia mencapai enam bilion. Peralihan angka satu bilion itu hakikatnya memberi cabaran yang besar untuk tahun-tahun akan datang.

Bagaimanapun, sesetengah orang bertanya sebesar mana angka tujuh bilion itu?

Individu seperti genius matematik, Adi Putra Abdul Ghani, mungkin menyukai permainan angka itu. Sekali pandang, ia tidak jauh berbeza daripada enam bilion.

Kalau ditulis dalam nombor, ada sembilan nombor sifar dalam 6,000,000,000, sama seperti sembilan nombor itu dalam 7,000,000,000.




DUNIA menyaksikan penduduk bumi sudah mencecah angka tujuh bilion pada minggu ini.


Tetapi jika anda mengira semua nombor yang ada di antara enam bilion dan tujuh bilion, ia akan mengambil masa selama 30 tahun untuk diselesaikan. Ya, tiga dekad.

Bilakah kali terakhir anda menggunakan angka tujuh bilion dalam kehidupan seharian? Pernahkah anda makan tujuh bilion sesuatu atau memiliki tujuh bilion benda?

Pada awal tahun ini, cuma ada 140 orang di dunia yang mempunyai kekayaan bernilai kira-kira AS$7 bilion (RM21 bilion), menurut majalah Forbes.

“Nombor itu berada di luar pemikiran harian kita,” kata profesor madya matematik di Universiti Villanova, Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS), Klaus Volpert.

“Kita mengira hingga angka 10 menggunakan jari tangan dan itulah skala kita. Malah untuk mengira hingga sejuta pun bukanlah satu kebiasaan. Angka yang besar itu membuatkan kita keliru,” tambah beliau.

Ada banyak cara untuk kita membayangkan angka tujuh bilion. Tujuh bilion saat yang lalu ialah tahun 1789. Di Amerika Syarikat, ia merupakan tahun George Washington menjadi Presiden pertama negara itu.

Jika anda membuat tujuh bilion langkah di sepanjang garisan Khatulistiwa, iaitu kira-kira setengah meter bagi setiap langkah, anda boleh berjalan mengelilingi bumi sebanyak 106 kali.

Katakanlah purata ketinggian manusia ialah 1.6 meter. Jika anda menyusun mereka secara menegak, ia akan mencecah kira-kira 1 per 14 jarak matahari atau 27 kali jarak di antara bumi dengan bulan, kata Volpert.

Makanan


KRISIS air di India, negara kedua penduduk paling ramai di dunia, boleh bertukar menjadi krisis kemanusiaan.



Tujuh bilion semut, purata tiga miligram seekor pula boleh menjadi seberat 23,000 kilogram.

“Minda kita cuma menerawang apabila memikirkan betapa besarnya tujuh bilion,” kata Volpert.

Beliau berkata, perasaan yang sama akan hadir apabila kita cuba membayangkan ukuran yang sangat kecil atau sesuatu yang berada di luar angkasa.

“Setiap kali kita mendongak ke langit dan melihat bintang, kita akan terpegun dengan skalanya yang besar dan menakjubkan,” ujarnya.

Bumi belum sampai ke angka satu bilion penghuni sehingga tahun 1800, menurut Biro Referen Populasi AS, dan mencecah dua bilion pada tahun 1930.

Tetapi dengan kemajuan perubatan moden, ia hanya mengambil masa selama 30 tahun untuk mencatat tiga bilion, 14 tahun untuk empat bilion, 13 tahun untuk menjadi lima bilion dan 12 tahun untuk mencapai enam dan tujuh bilion.



Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan populasi dunia akan bertambah kepada 9.3 bilion menjelang tahun 2050.

Pertambahan itu menimbulkan kebimbangan tentang banyak perkara daripada makanan hinggalah ruang untuk tempat tinggal.

Pakar-pakar di National Geographic berkata, tujuh bilion manusia muat untuk bandar Los Angeles di AS yang seluas 800 kilometer persegi – jika kita berdiri dari bahu ke bahu. Mujurlah bumi mempunyai keluasan 149 juta kilometer persegi.

Pertambahan penduduk bermakna lebih banyak proses perbandaran berlaku. Pada tahun 1950, kira-kira 730 juta orang penghuni dunia adalah penduduk bandar.

Ada hampir 3.5 bilion penghuni bandar pada tahun 2009 dan dijangka 6.3 bilion manusia tinggal di bandar-bandar pada 40 tahun akan datang.

PBB juga menganggarkan pertambahan sebanyak 70 peratus terhadap keperluan makanan untuk sembilan bilion orang pada tahun 2050.

Kegunaan air juga dijangka meningkat dua kali ganda. Malangnya, lebih satu bilion manusia sekarang tidak mendapat bekalan air minuman.

Dijangkan bilangan lelaki dan wanita adalah sama. Namun, jangka hayat khususnya di negara maju akan bertambah.

Menurut Biro Perangkaan AS, sekarang terdapat hampir 390,000 orang yang berumur 100 tahun atau lebih, hampir 13 juta berumur lebih 90 tahun dan 1.5 bilion melebihi usia 50 tahun.

0 Skrip telefilem terbaik yang diarah sendiri perlu pelakon yang terbaik

Syarat Sabri
Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my
2011/11/07



Sabri (kiri) terkejut dengan kemenangan besar Sanggul Beracun. Erra memberikan lakonan memberangsangkan dalam telefilemSanggulBeracun.Pengarah Sanggul Beracun percaya cerita yang baik bermula daripada watak kuat

SELEPAS menyedari satu-persatu karya dan drama arahannya, Sanggul Beracun, memenangi beberapa kategori dalam Anugerah Skrin 2011, Jumaat lalu, barulah pengarah yang juga pelakon Sabri Yunus menyedari kelebihan yang ada pada dirinya. Telefilem pertama arahannya yang pernah disiarkan di Astro Citra meraih empat kategori utama pada anugerah terbabit, iaitu Lakon TV Terbaik, Videografi Terbaik, Pengarah Terbaik dan Drama Terbaik. Kata Sabri, sepatutnya dirinya sudah lama berkecimpung di dalam bidang pengarahan, namun selepas berusia 50 tahun barulah dia berpeluang menduduki kerusi sutradara sekali gus membuktikan kepada industri penerbitan bahawa darah seni deras mengalir dalam dirinya.

“Saya sepatutnya sudah lama mengarah. Sebelum ini saya banyak berada di hadapan kamera dan sukar untuk orang melihat kemampuan saya di belakang kamera, seterusnya memberikan saya peluang. Saya sendiri pun tidak mencari peluang itu. Tetapi, saya hanya membuat penulisan yang kecil dan mengarah untuk sitkom saja. Ini kerana saya tidak pernah cuba untuk membuat perkara yang sebesar ini dan saya percaya orang susah untuk mempercayai saya,” katanya yang cukup merendah diri.

Sabri yang cukup dikenali ketika membintangi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu memberitahu, skrip Sanggul Beracun karyanya mempunyai sesuatu yang ‘luar biasa’ namun tidak berkeyakinan untuk mengarahkannya.

“Apabila skrip saya siap, saya rasa ada sesuatu yang besar dalam skrip itu, tetapi tidak terfikir langsung untuk mengarahkan drama ini. Saya ada mencari seorang pengarah yang boleh dikatakan dikenali dalam industri, tetapi biarlah saya merahsiakan namanya, untuk mengarah telefilem ini kerana saya percayakan keupayaannya.
“Pada masa yang sama juga, pengurus produksi saya ada memberi cadangan lebih baik saya sendiri yang mengarah kerana ia skrip saya dan saya lebih tahu isi kandungan dan ceritanya. Dengan kata semangat dan peluang itulah membuatkan saya memberanikan diri untuk mencuba.

“Dengan syarat, saya meminta semua pelakon yang akan membintangi drama ini adalah dari mereka yang terbaik kerana saya percaya cerita yang baik bertolak daripada watak yang kuat.

“Bagi saya, menilai pelakon amat sukar, jadi saya memilih pelakon yang hampir tepat dengan apa yang saya mahukan. Begitu juga selepas ini saya akan kekalkan dengan cara saya," katanya yang terkejut dengan pengiktirafan diterima drama arahannya.

Sabri menegaskan, dia percaya anugerah drama dan pengarah terbaik yang diterima malam itu adalah hasil kerjasama baik semua pihak yang menjayakan telefilem berkenaan.

"Semua pekerja saya yang begitu komited, termasuk pelakon, banyak membantu saya untuk mendapat anugerah ini,” katanya yang mengaku amat cerewet dalam soal pemilihan pelakon.

Sanggul Beracun yang diterbitkan Balang Rimbun Sdn Bhd dibintangi Erra Fazira, Namron, Along Azendy, A Wahab Hamzah, Haryanto Hassan, Kasaruddin Saisi dan Nurseha.

Kecewa Erra kalah

BERKALI-KALI Sabri mengulangi, dirinya tidak pernah meletakkan harapan yang tinggi untuk merangkul trofi pelbagai kategori pada majlis anugerah pertama yang disertainya sebagai orang di belakang tabir.

“Sebenarnya saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi, malah tidak dapat berasa suasana majlis penganugerahan itu. Saya sendiri tidak pernah menghadapi suasana penganugerahan seperti ini, malah dipertandingkan untuk diri sendiri.

“Keyakinan saya untuk drama ini mula timbul selepas ramai mengatakan watak Erra Fazira cukup kuat untuk meraih anugerah Pelakon Wanita Terbaik Drama, dan saya juga mengakuinya. Saya sendiri tidak meletakkan banyak harapan untuk drama ini, cuma satu saja sudah cukup untuk mewakili drama saya, iaitu watak Erra.

“Erra begitu bagus untuk watak cerita ini kerana dia memberikan lebih daripada apa yang pengarah mahukan. Jadi, kekalahan Erra membuatkan saya amat kecewa, tetapi bukan kecewa dengan pemilihan juri tetapi kerana sangat mengharapkan dia menang,” katanya.

Sementara itu, Sabri turut memberitahu, telefilem seterusnya, Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman yang diangkat daripada buku tulisan Anwar Ridhwan lebih mencabar daripada drama Sanggul Beracun.

Katanya, ia sebuah novel yang besar dan pernah memenangi anugerah GAPENA pada 1980 dan latarnya juga lebih lama daripada Sanggul Beracun, iaitu sekitar 1940-an.