.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }
Showing posts with label gunung berapi. Show all posts
Showing posts with label gunung berapi. Show all posts

Sunday, February 27, 2011

0 Gunung berapi meletus selama 26 tahun tanpa henti di Indonesia : Ramalan

Gunung diramal meletus 26 tahun


2011/02/27
SIDOARJO: Sebuah gunung berapi berlumpur Indonesia diramalkan akan meletus tanpa henti untuk sekurang-kurangnya 26 tahun lagi, termasuk mengeluarkan gas berapi menerusi tasik lumpur.

Tekanan bawah tanah menjadi punca gunung berapi Lusi di Jawa Timur di sini, berkemungkinan mengeluarkan lumpur kelabu sehingga isinya habis pada 2037, kata saintis. Namun, gas akan terus keluar selama beberapa dekad dan abad akan datang. “Kami menjangka letusan akan berterusan hingga 26 tahun sebelum letusan menurun ke paras sesuai dan bagi Lusi untuk bertukar kepada gunung berapi berbuih perlahan,” kata ketua pasukan saintis, Richard Davies, profesor sains Bumi di Universiti Durham, di timur laut England. Tiga belas orang terkorban apabila Lusi meletus 29 Mei 2006. Pada kemuncaknya, gunung berapi itu mengeluarkan ledakan lumpur bersaiz 40 kolam Olimpik setiap hari, satu kadar yang berkurangan kepada empat kolam sehari, kata Davies menerusi telefon.

Tasik lumpur gunung itu kini menenggelamkan 12 perkampungan pada kedalaman sehingga 15 meter dan memaksa kira-kira 42,000 penduduk berpindah.

Simulasi komputer itu adalah berdasarkan data daripada perigi gas komersial sedia ada di rantau sama dan data gambaran seismik yang memberi gambaran struktur geologi Lusi.

“Di pertengahan tasik atau gunung berapi, wujud satu lubang dengan lebar 50 meter namun ada 166 lubang lain yang muncul sejak lebih empat tahun lalu,” kata Davies.
“Ia muncul di kilang, jalan raya, di rumah penduduk. Sesetengahnya menyala, ada kejadian penduduk cedera akibat api yang terbentuk ketika nyalaan.”

Beliau memberi amaran, kuasa yang ada pada Lusi adalah jangka panjang namun secara berperingkat kurang dramatik.

“Anda tidak boleh kembali ke sana. Malah, pada akhirnya kesan gunung berapi akan meningkat,” kata Davies.

“Saya fikir kami sudah melihat kemusnahan paling dramatik. Namun ia bukan penamatnya. Lubang ini masih terbentuk.” – AFP

Saturday, November 06, 2010

0 Gunung Merapi meletus enam kali ganda kuat pada waktu orang nyenyak tidur

Gunung Merapi mengganas



GAMBAR menunjukkan satu mayat diliputi debu dari Gunung Merapi bergelimpangan di sebatang jalan di Argomulyo,Yogyakarta semalam.



YOGYAKARTA - Angka korban Gunung Merapi di Pulau Jawa, Indonesia melepasi angka 122 orang manakala berpuluh-puluh lagi sesak nafas dan melecur selepas ia meletus semalam, kata beberapa pegawai.

Letusan kuat pada tengah malam Khamis lalu adalah enam kali ganda lebih kuat daripada letusan pertama pada 26 Oktober lalu dengan angka kematian keseluruhan setakat ini 122 orang.

Semalam, lebih 70 orang terbunuh selepas Gunung Merapi mengganas dengan menghamburkan awan panas.

Sebahagian mangsa terbaru yang mati itu ditemui anggota penyelamat sedang tidur dan bercakap menggunakan telefon.

Gunung Merapi yang terletak kira-kira 30 kilometer dari sini adalah gunung berapi paling aktif di Indonesia dan ia menghamburkan awan setinggi 8,000 meter.

Jurucakap Hospital Sarjito, Banu Hermawan berkata: "Kami khuatir angka kematian akan terus meningkat kerana terdapat beberapa lokasi yang masih belum dapat dilawati kerana abu panas dan bahang gunung berapi."

Kebanyakan mangsa yang mati adalah kanak-kanak dari Kampung Argomulyo yang terletak sekitar 18 kilometer dari kawah gunung berkenaan.

Letusan semalam dan kelmarin turut mengeluarkan awan panas yang menyebabkan sejumlah rumah di zon bahaya musnah.

Di Brongang iaitu kira-kira 15 kilometer dari kawah Gunung Merapi, askar-askar mengeluarkan sejumlah mayat dari rumah-rumah yang hangus dilitupi abu setebal lima sentimeter sebelum mengumpulkannya di atas beberapa buah trak.

Berpuluh-puluh mangsa yang cedera dibawa keluar dengan menggunakan pengusung.

Keadaan mereka sangat mengerikan dengan baju dan selimut hangus melekat pada kulit selepas dibakar awan panas dikenali sebagai awan piroklas dengan suhu setinggi 750 darjah Celsius yang membakar paru-paru manusia.

Seorang penduduk kampung, Niti Raharjo, 47, yang dirawat di hospital kerana melecur di kaki berkata, dia bangun dan menghidupkan enjin motosikal untuk melarikan diri bersama anak lelakinya selepas mereka dikejutkan oleh gegaran kuat semasa sedang tidur pada tengah malam kelmarin.

"Kami diselubungi hawa panas dan terdapat asap putih di merata-rata tempat. Saya melihat orang ramai bertempiaran lari manakala beberapa wanita pengsan akibat terlalu takut," ceritanya.

Gunung Merapi kerap meletus sepanjang abad lepas.

Pada tahun 1994, 60 orang terbunuh dalam tempoh beberapa hari manakala pada 1930, 12 penduduk kampung terbakar hangus dengan kematian keseluruhan mencecah 1,300 orang.



WAJAH beberapa penduduk sekitar Gunung Merapi dipenuhi dengan debu semasa mereka melarikan diri di Klaten awal pagi semalam.


Bahaya paling dahsyat adalah awan piroklas yang bergerak di cerun selatan Gunung Merapi sejurus sebelum tengah malam semalam pada kelajuan 100 kilometer sejam.

Haba panas yang dibawa awan itu seperti pembunuh senyap yang meragut nyawa penduduk kampung ketika mereka sedang nyenyak tidur.

"Saya menemui tiga mayat iaitu seorang kanak-kanak dan bapanya yang masih terbaring di katil mereka. Mereka sedang tidur apabila awan panas melanda rumah mereka," kata seorang anggota penyelamat, Utha.

Dia menghantar 10 mayat ke sebuah hospital di sini.

"Mayat-mayat mereka melecur teruk. Kami turut menemui satu mayat seorang lelaki yang masih memegang gagang telefon," tambahnya lagi.

Setiap kali meletus, Gunung Merapi mengeluarkan abu yang melitupi setiap benda termasuk haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Abu Gunung Merapi melitupi kawasan sejauh 30 kilometer dan menghalang sinaran matahari sekali gus memaksa para pemandu memasang lampu kenderaan mereka pada waktu siang.

Seorang ahli vulkanologi yang mengkaji Gunung Merapi selama beberapa tahun berkata, beliau kini keliru untuk meramalkan aktiviti gunung berkenaan yang seterusnya.

Menurutnya, beliau tidak pernah melihat gunung berapi setinggi 2,914 meter itu begitu aktif seperti yang berlaku sekarang. - Agensi


Artikel berkaitan:

Mati dalam keadaan tragis
YOGYAKARTA 5 Nov. -Kebanyakan korban terbaru Gunung Merapi hari ini maut dalam keadaan tragis, apabila mereka ditemui mati di atas katil atau semasa berbual di telefon akibat terkena lahar panas gunung berapi mencecah suhu 1,000 darjah Celcius yang terhambur dari kawah gunung itu hari ini.

Pasukan mencari dan menyelamat berjaya mengeluarkan 31 mayat daripada rumah-rumah yang hangus di Argomulyo, pagi ini, namun masih belum dapat pergi ke bahagian lain di kampung tersebut yang terletak kira-kira 18 kilometer dari Merapi, kerana keadaan yang terlalu panas.

"Saya menemui tiga mayat terdiri daripada seorang kanak-kanak, ibu dan bapanya yang masih berada di atas katil. Mereka mungkin sedang tidur semasa debu panas Merapi mengganas.

"Mayat mereka melecur teruk. Kami juga menemui satu mayat lelaki dengan telefon bimbit masih berada di tangannya," kata pekerja penyelamat, Utha. - AFP


Artikel berkaitan:

Letusan paling dahsyat sejak 1930

Daripada BORHAN ABU SAMAH
borhan.samah@utusan.com.my


YOGYAKARTA 5 Nov. - Gunung Merapi meletus lagi malam tadi, letusan paling dahsyat sejak ia mula meletus pada 26 Oktober lalu mengakibatkan 77 orang lagi maut.

Letusan kali ini bukan sahaja menyebabkan korban yang lebih besar tetapi ramai mangsa yang maut, mati dalam keadaan tragis, selain turut menyebabkan banyak rumah hangus, kampung lenyap ditimbus lahar dan debu panas, beribu-ribu penduduk hilang rumah kediaman dan terpaksa dipindahkan serta banyak penerbangan terpaksa dibatalkan.

Letusan kali ini menghamburkan debu dan awan panas setinggi 8,000 meter serta sejauh 28 kilometer dan memuntahkan lahar serta lumpur bara dan batu-batu yang mengalir menuruni gunung itu menyapu apa sahaja yang merintanginya sepanjang malam tadi sehingga pagi ini mencetuskan keadaan panik dan kelam kabut.

Ramai penduduk yang tinggal di kawasan sekitar gunung itu bertempiaran lari menyelamatkan diri dalam keadaan gelap malam serta awan pekat menuju ke jalan-jalan raya untuk mencari perlindungan.

Dengan angka terbaru itu, jumlah korban Gunung Merapi sejak ia mula meletus 26 Oktober lalu, sehari selepas kejadian tsunami di Kepulauan Mentawai di Sumatera Barat akibat gempa bumi, kini meningkat kepada 113 orang.

Jumlah mereka yang telah dipindahkan kini lebih 100,000 orang, dengan 30,000 ditempatkan di stadium sukan kira-kira 25 kilometer dari gunung itu.

Lapangan Terbang Antarabangsa Adi Sutjipto di Yogyakarta ditutup berikutan diselubungi debu panas setinggi 2,914 meter yang berbahaya kepada pesawat.

"Berdasarkan letusan hari ini, letupan yang dicetuskan oleh Gunung Merapi kali ini lebih dahsyat daripada letusan pada 1930,'' kata pakar gunung berapi, Subandrio.

Pada 1930, kira-kira 1,300 orang maut apabila gunung itu meletus yang dianggap paling besar sejak 1872.

Zon berbahaya telah diperluaskan dari 15 kilometer hingga 20 kilometer sekitar gunung itu dan mereka yang tinggal dalam radius itu telah diarah berpindah segera, katanya.

Menteri Pengangkutan Indonesia telah mengarahkan juruterbang supaya menjauhkan pesawat mereka kira-kira 12 kilometer dari debu panas gunung berapi itu dan beberapa penerbangan menghubungkan Jawa Tengah dengan Singapura dan Malaysia minggu ini telah dibatalkan.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono telah mengumumkan penghantaran satu briged tentera bagi membantu kerja-kerja menyelamat di wilayah Jawa Tengah ekoran tragedi itu. - UTUSAN

Tuesday, November 02, 2010

0 Bimbang 21 gunung berapi menunjukkan aktiviti gegaran di Indonesia

21 gunung lagi dikhuatiri meletus


2010/11/02



SEKUMPULAN penduduk meninggalkan kawasan dekat Merapi di perkampungan Balerante, Klaten, semalam.Indonesia gusar aktiviti seismik meningkat selain Merapi

YOGYAKARTA: Indonesia pada masa ini bukan saja memantau Merapi yang memuntahkan gas dan debu panas semalam tetapi juga 21 gunung berapi lain yang menunjukkan tanda-tanda semakin aktif termasuk Galunggung, Dempo, Sinabung dan Anak Krakatau. Letusan baru itu dilaporkan ketika Indonesia turut bertungkus lumus menangani kesan tsunami dengan dua bencana itu mengorbankan hampir 500 penduduk menyebab-kan tentera turut membantu. Merapi adalah antara 129 gunung berapi aktif di Indonesia. Letusannya menyebabkan 38 kematian sejak seminggu lalu. Lebih 69,000 penduduk sudah dipindahkan daripada kaki gunung itu yang kini diselaputi debu.

Penduduk yang berada di khemah perlindungan sementara beberapa kilometer jauhnya turut lari mencari tempat lebih selamat selepas Merapi meletus lagi diikuti letupan kuat, kata Subrandrio, pegawai pemantau Merapi.

Gunung itu banyak kali meletus sejak dua abad lalu. Pada 1994, 60 orang maut manakala 1,300 terbunuh dalam letusan pada 1930 yang memusnahkan lebih 24 kampung.

Kerajaan juga meningkatkan tahap berjaga-jaga membabitkan 21 gunung berapi lain yang menunjukkan peningkatan aktiviti termasuk gegaran dan muntahan debu hitam sejak dua bulan lalu, kata pakar gunung berapi, Syamsul Rizal.
Seorang lagi pegawai, Gede Swantika berkata adalah biasa tahap berjaga-jaga ketiga tertinggi ditetapkan lima hingga 10 kerana sesebuah gunung berapi itu mungkin meletus dalam tempoh dua minggu.

Katanya, pegawai yang memantau aktiviti gunung berapi mengesan lebih banyak tempat menunjukkan aktivisi seismik lebih tinggi.

“Kita akui ini suatu yang luar biasa kerana membabitkan lebih 20 gunung berapi pada satu masa. Kami perlu terus memantau tetapi saya tidak boleh kata atau ramal mana satu akan meletus. Kami hanya dapat kesan coraknya,” katanya lagi.

Di PADANG, pihak berkuasa menafikan laporan bahawa bantuan tersadai di pelabuhan menyebabkan mangsa tsunami yang terselamat terpaksa mencari tumbuhan liar selepas bencana alam yang membunuh beratus-ratus orang.

Ketika Presiden Susilo Bambang Yudhoyono berkata bahawa negaranya menerima bantuan asing untuk pembinaan semula kampung yang terjejas, ada laporan menuduh kerajaan merancang untuk menempatkan semula penduduk jauh dari kawasan pantai.

Mangsa yang terselamat dalam kejadian tsunami setinggi tiga meter di pulau Mentawai, barat Sumatera mengadu bahawa bantuan terlalu perlahan tiba kepada mereka manakala pekerja bantuan berkata koordinasi adalah terlalu lemah.

Tsunami berikutan gempa bumi berukuran 7.7 skala Richter itu meranapkan kira-kira 10 kampung, memusnahkan sekolah, masjid dan rumah tradisional di kawasan pedalaman dan pantai yang popular di kalangan peluncur asing. – AFP/AP

“Penangguhan disebabkan keadaan cuaca buruk. Tetapi sekarang kami sudah tiba ke kawasan terjejas dan bantuan dihantar walaupun ia agak terbatas,” katanya. – AFP/AP

Wednesday, September 08, 2010

0 Lanjutan letusan gunung berapi di Sumatera Utara, Indonesia

Letusan paling kuat Sinabung



GAMBAR yang diambil pada pukul 12:31 pagi tadi menunjukkan pancutan TINGGI ABU GUNUNG BERAPI DARI KAWAH GUNUNG SINABUNG di daerah Tanah Karo, Sumatera Utara. – AFP



KABANJAHE, Indonesia 7 Sept. – Sebuah gunung berapi di Indonesia yang kembali aktif selepas empat abad, memuntahkan abu setinggi beribu-ribu meter ke udara hari ini dalam letusan paling kuat setakat ini.

Seorang saksi berkata, lahar, batuan, abu dan gas dimuntahkan ke udara dari kawah Gunung Sinabung yang mempunyai ketinggian 2,460 meter dan terletak di utara Sumatera itu sejurus selepas tengah malam.

Letusan berkenaan dikatakan berlaku selama lima minit dan gegarannya dapat dirasai sejauh lapan kilometer.

“Ia dua kali ganda lebih kuat berbanding sebelum ini dan abu setinggi 5,000 meter juga dirakamkan,” kata pakar gunung berapi kerajaan, Agus Budianto.

Lebih 20,000 penduduk meninggalkan kediaman mereka sejak gunung berapi itu mula meletus penghujung bulan lalu dan kekal di pusat pemindahan sementara.

Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono melawat kawasan berdekatan Gunung Sinabung semalam dan menasihati penduduk yang dipindahkan ke tempat perlindungan sementara supaya bersabar.

“Buat masa ini, Sinabung sangat aktif dengan siri letusan. Untuk keselamatan anda, tolong kekal di pusat pemindahan buat sementara waktu... Saya harap ia tidak akan berpanjangan,” kata beliau lagi.

Setiap letusan baru yang berlaku, timbul kebimbangan mengenai penduduk yang masih berada di kediaman mereka di kaki gunung untuk mengawal rumah dan tanaman mereka.

Indonesia mempunyai 69 gunung berapi aktif yang meletus beberapa kali sebelum ini dan terletak di kawasan yang dikenali sebagai Lingkaran Api Pasifik.

Gunung berapi mengorbankan ribuan rakyat Indonesia sejak 200 tahun lalu termasuk letusan Gunung Tomboro pada 1815 yang telah menyebabkan 70,000 nyawa terkorban.

Menurut beberapa pakar arkeologi, Gunung Sinabung yang terletak berdekatan dengan Danau Toba, yang mempunyai kawah sepanjang 100 kilometer dan dipercayai hampir memusnahkan semua umat manusia ketika ia meletus 69,000 hingga 77,000 tahun lalu. – AFP

Sunday, August 29, 2010

0 Gunung berapi meletus selepas 400 tahun menyepi di utara Sumatera, Indonesia

Gunung berapi meletus selepas 400 tahun menyepi
29/08/2010 12:55pm


JAKARTA, Indonesia, 29 Ogos - Gunung berapi di barat Indonesia melimpahkan lava serta menyemburkan pasir panas ke udara awal pagi tadi, pertama kali meletus selepas tidak aktif sejak 400 tahun lalu.

Ahli gunung berapi kerajaan, Surono berkata, Gunung Berapi Sinabung di utara Sumatera itu mula menggelegak beberapa hari lalu dan letusan yang berlaku sebentar tadi hampir berhenti.

Letusan itu menyebabkan debu dan pasir disembur ke udara setinggi 1.5 kilometer namun lava hanya melimpah keluar di sekitar kawah. - AP


Artikel berkaitan:

Indonesia keluarkan amaran berbahaya selepas letusan gunung berapi


2010/08/29
JAKARTA: Indonesia dalam keadaan berhati-hati selepas gunung berapi di pulau Sumatera meletus, meluahkan asap dan abu sedalam 1,500 meter ke udara sehingga memaksa sekurang-kurangnya 12,000 penduduk berpindah.

"Pada awalnya kami menganggap abu dan asap itu disebabkan hujan, tetapi ini kami tahu punca kejadian itu adalah tekanan daripada magma. Ia jelas berbahaya...jadi kami meningkatkan amaran ke tahap tertinggi atau peringkat merah," kata Ketua Pusat Amaran Bencana negara itu, Surono di sini, sebentar tadi. - AFP


Artikel berkaitan:

DUNIA

Ribuan lari gunung berapi meletus



GAMBAR menunjukkan Gunung Sinabung meletus di daerah Tanah Karo, di luar bandar Medan, Sumatera Utara semalam.


JAKARTA - Sebuah gunung berapi di Pulau Sumatera, Indonesia meletus buat pertama kali dalam tempoh 400 tahun semalam. Gunung itu mengeluarkan asap dan debu ke udara sekali gus menyebabkan ribuan penduduk bertindak menyelamatkan diri dengan meninggalkan rumah masing-masing.

Menurut beberapa pegawai, pemerintah Indonesia mengeluarkan satu amaran selepas Gunung Sinabung itu meletus dan menyebabkan kawasan di sekitarnya diselubungi asap hitam.

Setakat ini tidak ada sebarang kecelakaan sama ada melibatkan kematian atau kecederaan dilaporkan kepada pihak berkuasa.

"Ia amat berbahaya. Justeru kami meningkatkan amaran ke peringkat paling tertinggi atau amaran merah," kata Ketua Pusat Amaran Gunung Berapi Indonesia, Surono.

"Dari kawah itu, gunung itu menghaburkan asap dan debu 1,500 meter ke udara," tambahnya.

"Pada mulannya, kami menganggap debu dan asap itu berlaku akibat hujan tetapi kini kami tahu tekanan yang menyebabkan ia berlaku adalah daripada magma," jelas Surono.

Dia berkata, Gunung Sinabung yang setinggi 2,460 meter di utara Sumatera itu tidak pernah meletus lebih 400 tahun tetapi ia kini menunjukkan tanda-tanda letusan.

Kira-kira 9,300 orang sudah dipindahkan dari beberapa buah kampung ke bandar-bandar termasuk di Berastagi dan Kabanjahe.

"Debu itu tersebar pada jarak sehingga 30 kilometer dari gunung berapi. Ramai penduduk kampung yang dipindahkan itu adalah petani," jelasnya. - AFP


Artikel susulan:

Gunung Sinabung terus hamburkan abu


GUNUNG Sinabung memuntahkan asap dan debu ke udara di Karo dekat Medan, Sumatera, Indonesia, semalam. - AP



KABANJAHE 30 Ogos - Gunung berapi Sinabung di Indonesia terus menghamburkan asap dan abu jauh ke udara hari ini, menyebabkan penerbangan tergendala dan beribu-ribu lagi penduduk melarikan diri ke pusat perlindungan sementara.

Syarikat penerbangan diberi amaran supaya mengelakkan Gunung Sinabung di Sumatera Utara apabila ia meletus pada hari kedua selepas kembali aktif buat kali pertama dalam tempoh empat abad, semalam.

"Ia meletus lagi pada 6.30 pagi ini (7.30 pagi waktu Malaysia) dan letusan berlaku selama kira-kira 15 minit.

"Asap dan abu menjulang sekurang-kurangnya 2,000 meter," kata pakar gunung berapi kerajaan, Agus Budianto.

Letusan itu lebih besar daripada letusan semalam apabila Sinabung kembali aktif buat kali pertama sejak 1600, menjadi gunung terbaru dalam senarai 69 gunung berapi aktif di Indonesia.

Pesawat diarah menjauhi kawasan gunung berapi dan pelawat ke Sumatera Utara diberi amaran mengenai kemungkinan penerbangan mereka tergendala, kata jurucakap Kementerian Pengangkutan, Bambang Ervan.

"Lalu lintas udara keluar masuk ke wilayah itu boleh terjejas, semuanya bergantung kepada arah angin," katanya.

Beberapa penerbangan domestik termasuk ke ibu kota wilayah, Medan terpaksa dibatalkan disebabkan asap tebal.

Jumlah penduduk yang ditempatkan di pusat perlindungan sementara meningkat kepada 21,000 orang, kata pegawai pengurusan bencana, Andes Mbaga.

Sebanyak 16 pusat perlindungan didirikan untuk menempatkan penduduk yang meninggalkan kampung mereka apabila abu dan batu mula dihamburkan ke kawasan sekitar awal semalam. - AFP