.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Tuesday, August 10, 2010

0 Gempa bumi di dua tempat sejajar

Gempa bumi sederhana melanda utara Jepun


2010/08/10
TOKYO: Gempa bumi pada ukuran 5.8 magnitud menggegarkan utara Jepun hari ini; tetapi tiada amaran tsunami dan laporan kerosakan diterima setakat ini.

Jabatan Kajiselidik Amerika Syarikat (USGS), berkata gempa bumi dasar laut yang berlaku pada jam 2.50 petang tadi dikesan di luar pesisir pantai Iwate, iaitu 515 kilometer utara Tokyo. Katanya lagi, ia juga dikesan pada kedalaman kira-kira 21 kilometer. Tiada amaran tsunami dikeluarkan Agensi Meterologikal Jepun. - AFP


Artikel berkaitan:

Tsunami kecil landa Kepulauan Vanuatu akibat gempa


2010/08/10
SYDNEY: Tsunami kecil melanda pesisir pantai Vanuatu selepas gampa kuat berukuran 7.5 magnitud melanda negara di kepulauan Pasifik Selatan itu tengah hari tadi.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik berkata, tsunami (ombak) berukuran 22 sentimeter (9 inci) melanda di pesisir pantai ibu negara Port Vila selepas gempa berukuran 7.5 magnitud menggegarkan bangunan dan memutuskan bekalan elektrik. “Gempa yang berlaku agak kuat dan kami masih berasa gegaran susulannya," kata Pesuruhjaya Tinggi New Zealand kepada AP. Gempa melanda jam 4.23 petang waktu tempatan (1.23 tengah hari Malaysia), di 40 kilometer di barat daya Port Vila dan di kedalaman 35 kilometer, menurut Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS).

Bangunan yang menempatkan pejabat dan kediaman pesuruhjaya Tinggi New Zealand antara yang mengalami kerosakan teruk akibat gempa berkenaan.

Perhubungan telefon juga terputus di Port Vila serta beberapa kawasan masih lagi terputus bekalan elektrik. - AFP

0 BI adalah penting. Banyak hal dalam BI. Bangsa luar tidak akan mempelajari bahasa melayu jika ianya tidak penting bagi mereka.

Dunia hormati bahasa Melayu jika Malaysia berjaya: Tun Mahathir


2010/08/10
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata bahasa Melayu akan hanya dihormati oleh dunia jika Malaysia mampu mencapai tahap kejayaan lebih tinggi.

Beliau berkata, untuk membina sebuah negara yang lebih unggul, rakyat Malaysia terlebih dulu perlu berfikiran terbuka untuk menggunakan teknologi bagi mendapatkan pengetahuan dan maklumat dalam pelbagai bahasa, terutama bahasa Inggeris, sebelum Malaysia dapat meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengetahuan dan dihormati di mata dunia. "Walaupun kita mahu berbangga dengan bahasa kita sendiri, kita perlu sedar yang orang lain mungkin tidak melihatnya sebagai penting untuk mempelajari bahasa ini jika ia dilihat tidak berguna kepada mereka. "Untuk membolehkannya (untuk bahasa kebangsaan diiktiraf), Malaysia perlu berjaya dan perlu mempunyai akses kepada pengetahuan, yang kebanyakannya terdapat dalam bahasa Inggeris...dengan itu baru orang lain akan belajar bahasa kita," katanya ketika menyampaikan syarahan umum mengenai impak teknologi ke atas masa depan pengajian tinggi sempena ulang tahun ke-10 Universiti Terbuka Malaysia (OUM) di sini, hari ini.

Dr Mahathir mengulangi pendiriannya bahawa belajar bahasa Inggeris serta bahasa-bahasa lain bukan bermakna seseorang itu tidak cintakan bahasa ibunda.

"Belajar bahasa Inggeris bukan bermakna kita tidak patriotik. Kita belajar bahasa-bahasa lain untuk mendapatkan pengetahuan kerana kita mahu dihormati...apabila kita berpengetahuan, kita boleh gunakannya untuk memperbaiki diri sendiri, tidak kira ianya dalam apa juga bahasa," katanya.

Memberikan contoh orang Greek, China dan Arab, Dr Mahathir berkata, mereka sudah sampai ke tahap tinggi, lebih ramai orang berminat mempelajari bahasa mereka, khususnya untuk memahami tamadun mereka.
"Dalam dunia sekarang, pendidikan adalah faktor paling penting dalam membina sebuah negara berjaya," katanya.

Beliau menggesa penuntut institusi pengajian tinggi menjadi lebih kreatif dan memanfaatkan teknologi moden untuk membangunkan sistem lebih baik yang dapat memberi faedah kepada lebih ramai orang dengan akses lebih mudah kepada pengetahuan dan maklumat.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir melahirkan kebimbangan mengenai cadangan membenarkan mahasiswa terbabit dalam politik, di mana mereka mungkin mengabaikan pelajaran jika mereka menghabiskan terlalu banyak masa berpolitik.

Merujuk kepada pembabitan pemimpin sekarang dalam politik semasa menjadi penuntut, beliau berpendapat pembabitan mereka bukan dalam "politik sebenar" tetapi lebih kepada aktiviti mahasiswa.

Kerajaan semalam menyatakan kesediaan untuk mendengar pandangan semua pihak mengenai cadangan membenarkan mahasiswa aktif dalam politik. - Bernama

0 Kerana populasi manusia meningkat dan bencana alam, manusia perlu ke planet lain?

Saintis minta manusia hidup di planet lain


STEPHEN HAWKING





LONDON - Pakar astrofizik, Stephen Hawking, 68, memberi amaran bahawa bangsa manusia perlu membuka penempatan baru di angkasa lepas dalam tempoh dua kurun lagi atau berdepan risiko pupus, lapor sebuah akhbar semalam.

Pakar astrofizik terkenal itu berkata, satu-satunya peluang untuk mengekalkan kesinambungan manusia adalah dengan membuka penempatan baru di planet-planet asing.

"Saya melihat bahaya menunggu umat manusia. Sebelum ini, sudah beberapa kali kita diancam kepupusan. Sebagai contoh, krisis peluru berpandu nuklear Cuba pada 1963," kata Hawking.

"Populasi manusia meningkat dan sumber asli di bumi terhad. Kita pula mengubah alam sekitar yang mendatangkan risiko manusia itu sendiri," tambahnya.

Menurut Hawking, adalah sukar bagi umat manusia mengelak bencana dalam masa 100 tahun akan datang, inikan pula untuk tempoh 1,000 tahun atau sejuta tahun.

"Satu-satunya peluang untuk selamat adalah untuk tidak kekal di bumi, tetapi memulakan kehidupan di angkasa lepas," jelasnya. - Agensi

1 Kisah di Thailand. Kerana wang, cinta, nafsu dan cemburu

Aktres mahu terus bersama 'tomboy'


2010/08/10


SUMMONRAT melemparkan senyuman kepada peminat. Foto kecil ketika saat manis bersama Pattinya.Sumonrat Wattanaselarat tak percaya kekasih ada teman baru

BANGKOK: Aktres terkenal Thailand Sumonrat 'Peemai' Wattanaselarat enggan meninggalkan pasangannya seorang jutawan tomboy, walaupun selepas pasangannya itu mengakui perkahwinan mereka sudah berakhir. Peemai memohon maaf kepada ‘suaminya’, Pattinya ‘Pa Top’ Kuantrakul seorang tomboy, mengisytiharkan menerusi televisyen minggu lalu bahawa perkahwinan yang dilangsungkan di Maldives tiga bulan sebelumnya, sudah berakhir. “Sejak berkahwin, kelakuan Peemai berubah. Dia mengekori saya ke mana saja dan enggan pergi kerja,” kata Pa Top, yang berkata dia kecewa dengan isterinya itu.

“Beliau boleh lupakan hasrat untuk bersatu semula kerana saya sudah menemui orang lain pada masa kini,” katanya sambil mengakui Peemai masih tinggal di rumah keluarganya.

Pasangan itu berkahwin di Maldives pada 20 April lalu dengan Peemai memakai bikini, bukan gaun pengantin yang lebih tradisional untuk menarik perhatian Pa Top.

Selepas berkahwin, mereka dilanda masalah, Peemai berhenti pergi ke tempat kerja untuk berlakon dalam sitkom dan sebuah drama bersiri, menyebabkan jadual produksi kelam kabut.
Beberapa hari selepas kemunculan Pa Top di televisyen, Peemai pula bersemuka dengan media di set penggambaran baru sebuah drama bersiri televisyen di wilayah timur laut, Nakhon Ratchasima.

Peemai mengakui kenakalannya namun percaya dia berhak diberi peluang kedua kerana percaya, Pa Top sebenarnya tidak ada kekasih baru dan kenyataannya itu hanya mahu menakut-nakutkannya.

“Saya tak keseorangan kerana kami mempunyai antara satu sama lain. Pa Top amat digilai gadis. Saya enggan melepaskannya keluar bersendirian, justeru saya mengekorinya ke mana-mana.

“Beliau mula mengadu saya mengganggunya daripada melakukan kerjanya, saya terlalu bergantung kepadanya. Saya cuba untuk berdamai dengannya,” katanya.

Jurang usia 20 tahun juga turut dipersalahkan. “Dia kurang bercakap, hanya beberapa patah perkataan. Saya tidak faham apa yang diperkatakannya. Pada mulanya saya mengugut meninggalkannya. Kemudian kami lebih banyak bertengkar, dia mengugut meninggalkan saya pula,” kata Peemai. – Agensi

Monday, August 09, 2010

0 Pemain muda arsenal diuji kemampuan untuk mengangkat England di persada dunia

Pemain muda jadi taruhan England


Jack Wilshere (kanan) menjadi taruhan baru Fabio Capello dalam perlawanan persahabatan menentang Hungary pada Rabu ini. – AP



LONDON – Pemain muda Arsenal, Jack Wilshere dan Kieran Gibbs di samping bintang Fulham, Bobby Zamora disenaraikan dalam skuad England tatkala pengurus Fabio Capello memulakan usaha untuk membina semula pasukan yang mantap.

England akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang Hungary.

Hanya 10 daripada 23 pemain dalam senarai skuad Piala Dunia England dinamakan dalam pasukan seramai 23 pemain kali ini dengan pemain-pemain utama masih dikekalkan.

Penjaga gol David James, yang akan memasuki usia 40 tahun minggu ini dan Rob Green digugurkan, begitu juga dua pemain Tottenham Hotspur Aaron Lennon dan Jermain Defoe.

Selain itu, turut tidak disenaraikan dalam skuad ini ialah pemain bek tengah West Ham, Matthew Upson dan pemain tengah Liverpool, Joe Cole.

Peter Crouch juga diketepikan manakala, Emile Heskey yang dikritik hebat penyokong-penyokong England kerana mempamerkan permainan hambar bersara dari arena antarabangsa.

Wes Brown, Gary Cahill dan Phil Jagielka diberi peluang untuk membuktikan mereka berbaloi di pertahanan manakala Ashley Young, Darren Bent dan Carlton Cole akan berganding dengan Zamora untuk membantu Wayne Rooney di depan.

Theo Walcott dan Adam Johnson, yang kedua-duanya diketepikan semasa Piala Dunia dipanggil semula.

Perlawanan persahabatan pada Rabu ini di Stadium Wembley akan menjadi eksperimen buat Capello menguji gandingan baru ini sebelum bermulanya kelayakan Kejohanan Eropah 2012.

Pemain tengah yang cukup kreatif, Wilshere, 18, menjadi pemain Arsenal paling muda dalam liga dua tahun lalu tetapi menghabiskan separuh dari musim lalu bermain dengan Bolton selepas gagal mendapat tempat dalam kesebelasan Gunners.

‘‘Dipanggil bermain dalam skuad England merupakan satu penghargaan buat saya dan keluarga. Namun, sasaran saya ialah menempatkan diri dalam skuad utama Arsenal dan bermain dalam liga,’’ kata Wilshere yang dipetik dalam laman web www.arsenal.com.

Dalam pada itu, Gibbs berkata: ‘‘Untuk mencapainya, saya perlu bekerja keras dan kekalkan fokus. Sungguh mengejutkan apabila anda dipanggil menyertai skuad Fabio Capello. Ini merupakan saat paling indah.’’– Reuters

0 Ajar anak BI sebelum umur 5 tahun

Tingkatkan penguasaan bahasa Inggeris hadapi era globalisasi: Tuanku Zara


2010/08/08
IPOH: Sejajar dengan kemajuan sains dan teknologi serta arus globalisasi, tindakan segera perlu diambil untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat negara ini, titah Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim hari ini.

Baginda bertitah, bahawa dengan meningkatnya daya hubungan global, para pelajar khususnya dan rakyat Malaysia amnya, perlu menjadi komunikator yang berkesan, yang bukan sahaja fasih bertutur dalam bahasa Inggeris, tetapi juga mampu menghayati kesusasteraannya. "Penguasaan bahasa Inggeris amat penting bagi menjamin kejayaan seseorang individu, di samping memantapkan kedudukan ekonomi negara di peringkat global. Ia akan membolehkan kita mengambil bahagian dan berinteraksi secara berkesan di peringkat global," jelas baginda ketika bertitah pada majlis penyampaian sijil Ninth Cambridge English Speakers of Other Languages (ESOL) sempena sambutan Jubli Perak Institut Pembelajaran dan Latihan Ipoh di sini. Pada majlis itu, Tuanku Zara juga menyampaikan sijil Cambridge ESOL kepada 121 pelajar.

Bahasa Inggeris sudah dan besar kemungkinan akan kekal sebagai bahasa perantaraan global serta menjadi bahasa perhubungan utama dalam bidang sains, perdagangan, hubungan antarabangsa dan budaya popular, titah baginda.

"Kita perlu sentiasa berwaspada untuk memastikan kita tidak terus ketinggalan seperti sekarang. Kita hidup pada era yang lebih mengutamakan penggunaan mesej secara ringkas dan tidak mementingkan penumpuan, yang boleh melemahkan penguasaan kita terhadap bahasa ini. Ketika dunia begitu sibuk dengan twitter dan SMS, kita perlu lebih beriltizam untuk meningkatkan kefasihan dan kecekapan kita dalam menggunakan bahasa Inggeris," titah baginda.

Tuanku Zara bertitah, guru dan sekolah perlu memainkan peranan penting untuk mewujudkan persekitaran di mana bahasa Inggeris ditutur dan difahami dengan baik.
Komunikasi yang baik bukan sahaja melibatkan nahu, perbendaharaan kata dan pembinaan ayat, tetapi juga kemampuan menyampaikan idea serta mesej dengan jelas, yang mampu memujuk dan secara penuh kreatif untuk membolehkan seseorang itu mempengaruhi dan memberi dorongan kepada orang lain, titah baginda.

"Ini bererti guru bahasa Inggeris sendiri perlu memiliki azam dan minat yang mendalam untuk meningkatkan kemahiran masing-masing dalam penggunaan bahasa itu agar mereka boleh menjadi model peranan yng berkesan untuk pelajar masing-masing," titah baginda.

Tuanku Zara menasihati ibu bapa supaya mengajar bahasa Inggeris kepada anak masing-masing sebelum mereka memulakan pendidikan formal kerana kajian menunjukkan bahawa kemampuan mempelajari sesuatu bahasa berada pada tahap optimumnya ketika seorang kanak-kanak berada dalam lingkungan usia lima tahun.

"Walaupun ibu bapa sendiri tidak boleh bertutur dalam bahasa itu, ini tidak seharusnya menyekat mereka daripada mendedahkan anak masing-masing kepada bahasa itu dengan menggunakan pelbagai cara – buku, muzik, program televisyen, filem, teater dan interaksi dengan mereka yang bertutur dalam bahasa Inggeris," titah baginda. - Bernama

Sunday, August 08, 2010

0 Saya buat sinopsis skrip untuk kes seumpama ini tapi jalan cerita berterabur. Rupanya lagi banyak perkara saya tidak tahu cara buat skrip

Kahwin muda atau berzina?
MINGGUAN: Bagaimana timbulnya cadangan mewujudkan sekolah hamil dan membenarkan perkahwinan bawah umur?

MOHD. ALI: Di Melaka kita telah menganjurkan dua seminar sosial iaitu bagi peringkat negeri dan kebangsaan. Di dalam kedua-dua seminar itu para peserta menyatakan kebimbangan yang amat sangat tentang gejala sosial termasuk kes buang bayi, hamil luar nikah, rogol dan sebagainya. Lebih menyedihkan kebanyakan kes melibatkan orang Islam.

Lalu diakhir seminar itu disarankan supaya diadakan pelbagai program untuk mengatasi gejala sosial termasuk mengadakan ceramah motivasi dan seminar pendidikan. Paling mustahak sekali jalan penyelesaian yang dicadangkan adalah balik kepada ajaran agama. Kita dah cuba banyak bidang tetapi sehingga hari ini statistik kes-kes tersebut bukannya menurun sebaliknya makin meningkat.

Di Melaka kita perkenalkan program Rumahku Syurgaku, kita beri pegawai tambahan, kita adakan ceramah tambahan di semua peringkat, tapi jumlah kes sosial semakin meningkat malah perceraian pun makin meningkat. Ini bermakna pendekatan yang lepas kurang berkesan. Apa yang kita lihat anak-anak muda banyak terlibat dalam kes buang bayi, hampir setiap bulan ada kes tersebut tidak kira di Melaka atau pun negeri-negeri lain. Semuanya berlaku.

Kita lihat kes buang bayi di negeri Melaka. Pada 2001 ada satu kes, tahun ini pula tiga kes buang bayi. Bagi kes bayi lahir luar nikah pula pada 2009 ada 391 kes dan untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini sebanyak 174 kes dicatatkan. Ini amat merunsingkan. Bagi tahun lepas kes lahir bawah umur 16 tahun adalah sebanyak 33 orang, manakala 114 kes pula (17-20 tahun), 123 kes (21-24 tahun), 57 kes (25-30 tahun), 3 kes (31-40 tahun) dan satu kes (41 tahun ke atas).

Maknanya hampir 78 peratus yang terlibat dalam kes hamil luar nikah adalah remaja bawah umur 24 tahun.

Jadi apa punca yang sebenar?

MOHD. ALI: Saya melihat isu yang sebenar adalah budak-budak muda ini hendak berkahwin tapi tidak dibenarkan, jadi mereka berzina. Bila berzina mereka takut ibu bapa marah, takut kena halau maka untuk elak itu semua jadilah kes buang bayi.

Mengapa kita biarkan mereka berzina? Bukankah elok kita bagi mereka kahwin pasal itu yang mereka hendak. Kita tak bagi kahwin sebab mereka muda, kerja pun tak ada, ada yang masih bersekolah. Jadi saya berpendapat cadangan seminar adalah berbalik kepada agama, jadi apakah yang terbaik selain mengahwinkan mereka? Kalau kita tak mengahwinkan mereka, mereka akan bersekedudukan, ada hubungan seks sehingga mendapat anak luar nikah.

Sedangkan walaupun mereka bawah umur 16 tahun, tetapi sudah akil baligh dan tidak dapat menahan nafsu. Sama ada ibu bapa tahan, ustaz tahan, Ketua Menteri tahan mereka tidak peduli, mereka nak kahwin juga. Jadi daripada buat maksiat bukankah lebih baik mereka dikahwinkan.

Persoalannya sekarang, mengahwinkan pasangan muda selesai timbul pula masalah lain, mereka tidak bekerja dan masih bersekolah, apa masa depan mereka?

MOHD. ALI: Lepas dikahwinkan kerajaan negeri akan bimbing mereka. Ada yang bertanya bagaimanapun pula kalau mereka dah kahwin sedangkan mereka budak sekolah, siapa nak tanggung. Bagi saya benda itu semua tidak sepatutnya timbul. Daripada ibu bapa tanggung malu, nak kena jaga anak luar nikah lagi baik jaga cucu yang halal kerana anak mereka sudah berkahwin. Cumanya ada ibu bapa yang miskin, ada juga remaja daripada keluarga bermasalah maka kerajaan negeri dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) untuk membiayai perkahwinan mereka dengan perbelanjaan RM500 majlis yang cukup untuk upah nikah, saksi dan sebagainya. Mas kahwin boleh hutang.

Selepas menjadi suami isteri kalau ibu bapa tidak mahu jaga, kerajaan negeri akan ambil tanggungjawab untuk jaga pasangan yang halal bernikah ini. Saya percaya daripada jaga pasangan yang berzina elok kita jaga pasangan halal bernikah. Kalau mereka masih bersekolah, biarkan mereka terus pergi sekolah, tetapi rupa-rupanya budak sekolah salah, mengandung kena berhenti.

Maka saya cadangkan tubuh sekolah untuk remaja hamil bernikah. Timbul pula persoalan siapa nak tubuhkan sekolah itu. Kita bersetuju JAIM akan tubuhkan sekolah seumpama itu supaya pasangan remaja yang bernikah, kemudian mengandung dapat meneruskan persekolahan mereka di situ. Mereka akan diajar dengan mata pelajaran agama, dididik bagaimana mahu menjadi ibu bapa yang bertanggungjawab dan juga perancang keluarga.

Selepas bersalin, kalau ibu bapa remaja masih tak mahu jaga anak dan cucu mereka, maka kerajaan negeri akan jaga. Lebih daripada itu, kita akan usaha mencari keluarga angkat untuk bayi yang dilahirkan oleh gadis remaja ini. Saya percaya ramai yang nak jadi keluarga angkat kepada bayi yang dilahirkan menerusi pernikahan yang halal. Kalau keluarga nak jaga lagi kami alu-alukan. Bukankah menjaga yang halal lebih mudah daripada menjaga yang haram. Kerajaan negeri dapat pahala, saya dapat pahala, tak ada orang kata anak luar nikah.

Mereka juga akan diajar perancang keluarga, oleh itu mereka tahu sama ada nak tambah anak lagi atau nak tangguh dulu supaya dapat meneruskan persekolahan. Kalau belum kahwin nak ajar perancang keluarga seperti dalam pendidikan seks mana boleh, dia orang nak buat apa, dia orang belum kahwin belum nikah tapi kalau dah kahwin apa nak ajar pun boleh.

Datuk Seri tidak nampak sebarang masalah untuk laksanakan semua ini?

MOHD. ALI: Bagi saya memang tidak ada masalah, sebab itu bila kita bawa perkara ini kepada MAIM, semua ahli majlis setuju. Bulan lepas saya jumpa dengan kumpulan amil, di Melaka ada 180 masjid lebih kurang 500 amil datang. Saya terangkan dan mereka bersetuju bahkan ada yang mengemukakan pelbagai cadangan untuk menjaga budak-budak ini dan sekelip mata jawatankuasa yang berkenaan ditubuhkan dan menggerakkan kerja masing-masing.

Perkara ini mendapat perhatian dunia. Reuters pun telefon, saya terangkan antara zina dan kahwin halal, walaupun masih bersekolah saya pilih yang halal. Mereka bawah umur kita ikut undang-undang minta kebenaran mahkamah syariah, bukan kita langgar undang-undang.

Seminar sosial menyarankan supaya kita kembali kepada ajaran agama. Sekarang ini saya ikut ajaran agama tapi ada pula yang kata takut sebab budak-budak belum faham tanggungjawab. Kalau pasal kahwin pun dah faham takkan pula tanggungjawab mereka tidak mahu faham. Dan inilah masanya kita beri mereka tanggungjawab. Ibu saya dulu kahwin umur 14 tahun, ada pula orang kata itu zaman dulu, tapi zaman dulu tak ada video lucah, zaman sekarang video lucah berselerak, patut sekarang umur 8 tahun sudah kena kahwin sebab ‘semangat’ budak-budak sekarang tinggi. Pancaroba lebih kuat daripada dulu. Saya akui jalan terbaik kita kena balik kepada agama walaupun syarat untuk berkahwin belum beberapa cukup, tapi antara zina dengan anak lahir luar nikah, lebih baik kahwin dan lahirkan anak yang sah taraf.

Bagaimana Datuk Seri melihat kesan jangka panjang?

MOHD. ALI: Dalam hal ini kerajaan negeri melaksanakan program sampingan untuk memastikan kesan jangka panjang yang positif. Kerajaan negeri mahu bertanggungjawab sepenuhnya dalam membendung gejala sosial. Kita fikirkan program keluarga angkat kerana yakin anak-anak halal berebut orang nak jaga. Anak luar nikah pun ramai orang nak jadikan anak angkat inikan pula anak yang halal. Apatah lagi jika matlamat menjadikan anak-anak ini anak angkat supaya remaja yang berkahwin muda dapat meneruskan persekolahan. Mengapa nak bagi pandangan negatif, jangan takut untuk jadi positif dan banyak masalah boleh selesai. Kita terlalu terikat dengan itu tak boleh, ini tak boleh dan pada masa yang sama orang beranak luar nikah semakin bertambah.

Sebelum ini kita kata kena didik ibu bapa untuk kurangkan gejala sosial tapi sudah puas ibu bapa dididik menerusi seminar, ceramah agama, program Rumahku Syurgaku tapi anak luar nikah makin banyak. Ada pula yang kata sebab banyak pub sana-sini, ada kerajaan negeri pub pun tak ada tapi anak luar nikah banyak juga. Maka saya yakin jawapannya adalah mengetahui apa sebenarnya kemahuan mereka. Oleh itu kalau ada anak kata ‘Alah mak kahwinkan aku’ maka ibu bapa kena positif fikiran, kalau anak nak kahwin janganlah risau hati. Ibu bapa patut bersyukur dapat cucu lebih awal, jabatan agama nak tolong anak-anak mereka daripada buat maksiat atau lari daripada rumah buat kerja tak senonoh, akhirnya berzina dan melakukan hubungan seks dengan macam-macam orang dan akhirnya lahirkan anak luar nikah, kemudian buang bayi yang tidak berdosa itu.

Datuk Seri tidak percaya pendidikan seks mampu kurangkan kes buang bayi dan hamil luar nikah?

MOHD. ALI :Pendidikan seks tidak akan membantu sama sekali dan tidak perlu pun mata pelajaran tersebut diajar di sekolah. Saya juga melihat tidak ada sebab pun mengapa kita nak ajar dia orang pendidikan seks malah kadang-kadang itu pun punca berlakunya seks bebas. Nak ajar buat apa mereka belum belum kahwin, maka pendidikan seks tak patut diajar disekolah. Nak ajar jaga kesihatan, mata pelajaran kesihatan dah ada, mata pelajaran agama ajar cara mandi junub dan macam-macam lagi maka mata pelajaran pendidikan seks Barat yang menawarkan salah satu bahagian penting bagaimana mencegah hamil adalah sesuatu yang tak patut diajar kepada orang yang belum kahwin.

Saya juga berpendapatan ia akan menggalakkan lagi seks luar nikah sebab itu kita tak setuju, siap buat kempen sekali, apa itu semua. Kita boleh jaga berpuluh ribu orang miskin dan berbelanja RM5 juta untuk bantu mereka, takkan tak boleh tolong remaja supaya mereka berkahwin dan mengadakan seks halal.

Bagaimana Datuk Seri jangkakan sambutan kelak?

MOHD. ALI: Kalau masih nak berzina saya tak tahu nak buat apa lagi. Saya dah adakan ruang, jangan esok mereka kata kerajaan tak buat apa, kerajaan tidur, aku nak kahwin dia tak bagi, ibu bapa pun dikatakan tidur dan tidak buat apa-apa. Sekarang ini kahwinlah kita tak halang hasrat mereka. Makan minum kerajaan tanggung, sekolah disediakan, keluarga angkat boleh dicari, kalau tak tampil juga tak boleh salahkan kerajaan sebab kerajaan dah ambil segala usaha termasuk jaga anak, sekolahkan dia. Tak timbul soal keciciran sekolah, disisih masyarakat dan lain-lain. Sekarang saya minta mereka tampil, saya percaya dalam kita bercakap ini pun ada yang terlanjur lagi.

Sekarang kita sedang mencari bangunan yang sesuai dan minta kerjasama ibu bapa kerana kita tidak mahu nanti ada sekolah tapi tak ada murid. Ahad ini (hari ini) kita akan adakan seminar di MITC berhubung perkara ini, mudah-mudahan mendapat sambutan.

Saya ambil pendekatan ikut kehendak orang, apa yang mereka hendak. Dulu kita lawan kehendak mereka, sekarang ikut apa yang remaja hendak. Hendak kahwin, kita kahwinkan. Masalah lain kerajaan negeri akan bantu, yang penting dapat elak berzina dan kurangkan masalah sosial.

Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Mingguan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp