Majikan perlu utamakan pekerja tempatan: Najib
Oleh Rohaniza Idris dan Mohd Azis Ngah
bminggu@bharian.com.my
2010/05/09
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak meminta semua majikan mementingkan pengambilan pekerja tempatan dan memberi keadilan serta upah yang wajar, bukannya mencari jalan mudah dengan membawa pekerja asing menguasai pasaran kerja di negara ini. Perdana Menteri berkata, majikan sepatutnya mencari jalan bagaimana mahu meningkatkan produktiviti pekerja tempatan. “Adalah tidak wajar pekerja tempatan diabaikan. Jangan salahkan kerajaan jika kita tidak meluluskan tambahan pengimportan pekerja asing. Kita nak lihat bagaimana pekerja tempatan boleh diberi keutamaan dalam pertimbangan majikan mengambil pekerja,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena sambutan Hari Pekerja 2010 anjuran Kementerian Sumber Manusia di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MIECC) di Mines Resort City, Seri Kembangan di sini, semalam.
Hadir sama Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam; Timbalannya, Datuk Maznah Mazlan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam.
Najib dalam amanatnya kepada 8,000 pekerja berkata, Malaysia antara negara yang terbaik dari segi rekod perhubungan perusahaan berbanding kebanyakan negara lain di dunia.
“Pencapaian itu kerana pekerja di negara ini tidak melihat semata-mata dari sudut kepentingan pekerja saja, tetapi mengambil kira dan sentiasa membuat pertimbangan bagaimana dan apa yang dikehendaki dan dituntut oleh mereka itu munasabah, wajar dan mampu disediakan pihak majikan mahupun kerajaan.
“Ia juga berlandaskan prinsip muafakat yang mana wujud pemuafakatan antara pekerja, majikan dan kerajaan. Hubungan tiga penjuru ini menjadi titik pertemuan untuk mencari penyelesaian kepada masalah yang timbul dengan semua pihak mengutamakan suasana kerja yang lebih positif dan kondusif,” katanya.
Najib berkata, dengan pendekatan pemuafakatan itu, negara akhirnya berjaya melepasi cengkaman krisis ekonomi global yang hebat sedangkan bukan semua negara berada pada landasan pemulihan kukuh seperti yang dilalui Malaysia.
Malah katanya, semalam (kelmarin) bursa saham seluruh dunia terganggu kerana krisis pinjaman yang terlalu tinggi di Greece, iaitu sebuah negara Kesatuan Eropah (EU) yang dikategorikan sebuah negara maju, tetapi mengalami krisis ekonomi dan tidak mampu ditangani mereka sehingga kini.
“Alhamdulillah, negara kita kini pulih daripada krisis berkenaan berkat rancangan dan dasar kerajaan yang tegas serta wujudnya permuafakatan antara pekerja dalam sektor awam dan swasta yang faham kedudukan kerajaan. Tahun lalu ada kita dengar mereka membuat pelbagai tuntutan, tetapi bila kerajaan kata tunggu tahun ini, kerana bukan tahunnya (buat tuntutan), mereka faham. Mereka kata tak apalah kita terima,” katanya.
Najib berkata, jika pemulihan ekonomi semakin rancak, beliau sebagai ketua kerajaan mengamalkan sikap bahawa pekerja patut mendapat upah, gaji dan imbuhan yang lebih tinggi.
Sunday, May 09, 2010
0 Orang tempatan memerlukan pekerjaan. Orang asing pun mahu kerja. Jika anda majikan, anda bagaimana?
0 Sorry PDRM silap sapu? Rupanya berperikemanusiaan juga mereka, tapi?

Penjenayah silap 'sapu'
Oleh Hardi Effendi Yaacob
hardi@bharian.com.my
2010/05/09
ANGGOTA polis memeriksa kenderaan rasmi Khalid yang ditemui semula di tepi jalan di Prima Damansara menghala Sungai Buloh, semalam.Kenderaan rasmi Khalid ‘dipulang’ selepas dua hari
PETALING JAYA: “Sorry PDRM... silap sapu,” demikian nota ringkas ditinggalkan penjenayah dalam kenderaan rasmi Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang ditemui semula pagi semalam selepas dilaporkan dicuri di Seksyen 9, Shah Alam dua hari lalu. Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, ketika dihubungi, berkata Proton Perdana V6 berwarna hitam itu ditemui kira-kira jam 8.45 pagi semalam di tepi jalan di Prima Damansara menghala ke Sungai Buloh. “Ia ditemui anggota peronda (MPV) dari Balai Polis Damansara ketika melakukan rondaan rutin di taman perumahan itu yang turut ditugaskan mengesan kereta berkenaan sejak dilaporkan hilang di Shah Alam, Khamis lalu.
“Difahamkan, kereta itu ditemui dalam keadaan baik tanpa sebarang kerosakan atau ada komponennya hilang. Malah, tiada pengubahsuaian dilakukan pada nombor pendaftarannya seperti yang biasa berlaku pada kereta curi,” katanya.
Bagaimanapun, agak melucukan apabila anggota peronda terbabit menemui sekeping nota ditinggalkan penjenayah yang memohon maaf kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana tersilap mencuri kereta rasmi pihak berkuasa berkenaan.
Katanya, kereta itu dihantar ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor untuk siasatan lanjut, termasuk ujian forensik bagi mengenalpasti jumlah sebenar suspek terbabit dalam kes berkenaan serta identiti mereka.
“Siasatan masih berjalan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor atau mana-mana bahagian komponen, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan antara satu hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Kereta Khalid dilaporkan hilang kira-kira jam 9 pagi, Khamis lalu ketika pemandunya yang dalam perjalanan menghantar dokumen dari IPK Selangor ke Ampang, berhenti bersarapan di sebuah restoran di Jalan Tengku Ampuan Zabedah, Shah Alam.
Dalam tempoh tidak sampai 24 jam, sebuah lagi kereta model sama milik peribadi Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohilan Pillay dilaporkan dicuri di hadapan rumah pembantunya di Taman Kepong, pagi kelmarin.
Difahamkan, kenderaan terbabit dilarikan bersama lambang dan pelekat `Ahli Dewan Negara – Parlimen Malaysia’ yang dikhuatiri disalahgunakan, termasuk dijual kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk tujuan tidak baik.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, ketika dihubungi memaklumkan kenderaan terbabit yang didaftarkan atas nama abang tokoh politik itu belum ditemui sehingga semalam.
“Semua pegawai dan anggota dikerah mengesan kenderaan itu, termasuk penjenayah yang melarikannya secepat mungkin melalui sekatan jalan raya di sekitar bandar raya,” katanya.
Saturday, May 08, 2010
0 Miskin tegar, Labuan bebas 100%, Sabah bagaimana? Miskin tegar di kampung-kampung dan miskin tegar di bandar-bandar
Labuan capai sasaran sifar peratus miskin tegar
6th May, 2010
LABUAN: Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Senator Dato’ Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, Labuan telahpun mencapai sasaran sifar peratus miskin tegar sepenuhnya.
Katanya, menurut laporan terkini Jawatankuasa Kemiskinan Labuan, kesemua 34 KIR miskin tegar yang direkodkan sejak tahun 2008 telah pun berjaya dikeluarkan daripada garis kemiskinan tegar sejak 15 April lalu.
“Kejayaan itu adalah hasil kerja keras jawatankuasa pelaksana Program Pemutihan Misin Tegar yang membabitkan pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Perangkaan Labuan dan Jawatankuasa Kemiskinan Labuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Bersama Penjawat Awam di Labuan yang diadakan di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan, pada Isnin.
Raja Nong Chik berkata, sejak tahun 2007 Labuan mencatatkan seramai 67 Keluarga Isi Rumah (KIR) miskin tegar dan jumlah itu berjaya dikecilkan kepada 34 KIR pada tahun 2008.
Bagaimanapun katanya, sehingga kini Labuan masih lagi mempunyai 229 KIR yang didaftarkan sebagai golongan miskin yang memerlukan perhatian untuk dibantu.
Justeru itu katanya, Jawatankuasa Kemiskinan Labuan bersama agensi yang terlibat perlu terus memainkan peranan untuk membantu golongan tersebut bagi memastikan golongan ini juga dapat dikeluarkan daripada golongan miskin.
Dalam perkembangan yang lain, Raja Nong Chik mahu kakitangan kerajaan termasuk Perbadanan Labuan selaku pihak berkuasa tempatan (PBT), lebih proaktif dalam memainkan peranan konsep 7P yang diperkenalkan oleh beliau sejak memeggang jawatan Menteri Wilayah.
Katanya, konsep 7P yang merangkumi Pembangunan, Perumahan, Penyengeraan, Penjaja, Penguatkuasaan, Pengangkutan dan Prihatin adalah selari dengan gagasan Perdana Menteri yang berlandaskan kepentingan dan kebajikan rakyat.
Hadir sama di majlis itu, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar yang juga Pengerusi Perbadanan Labuan, Dato’ Ahmad Phesal Talip dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan serta kira-kira 1,000 kakitangan penjawat awam daripada pelbagai agensi.
0 Pasangan remaja check in hotel untuk buat maksiat! Marilah bimbang
Jangan benarkan remaja berpasangan tempah bilik penginapan: John
7th May, 2010
KENINGAU: Mantan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah – Datuk John Angian merayu kepada pengusaha rumah penginapan di daerah ini supaya lebih bertanggungjawab, dengan tidak membenarkan sama sekali golongan remaja menginap dengan pasangan.
John berkata, banyak aduan yang diterima mendapati terdapat kes remaja bawah umur menempah bilik penginapan dengan pasangan, dan pengusaha rumah penginapan membenarkan tempahan bilik tersebut.
“Perbuatan ini tidak bertanggungjawab dan saya mahu ia dihentikan dengan serta-merta,” katanya.
John juga mahu supaya pengusaha rumah penginapan melaporkan kepada pihak berkuasa, jika terdapat remaja bawah umur yang didapati berbuat demikian.
Katanya, apa yang beliau cadangkan itu adalah untuk kebaikan semua pihak.
“Keberanian remaja masa kini melebihi batas dan pemantauan serius perlu dilakukan, dan ini adalah tanggungjawab bersama,” jelasnya.
Sepanjang dua tahun kebelakangan ini kes sumbang melibatkan anak-anak remaja didapati tidak terkawal.
Senario ini katanya menimbulkan tanda tanya kerana pada sebelum ini tidak pernah berlaku di daerah ini.
Kes bergaduh, mabuk dan mengunjungi pusat-pusat hiburan melibatkan golongan itu turut dilaporkan meningkat.
Mantan Timbalan Spekar itu menambah, ibu bapa zaman ini terpaksa bekerja keras untuk memastikan anak-anak mereka tidak terlibat dalam gejala sosial yang boleh meruntuhkan moral dan masa depan mereka.
Sungguhpun demikian katanya, ibu bapa tidak seharusnya dipersalahkan berhubung dengan keciciran moral di kalangan anak remaja hari ini, memandangkan banyak pengaruh berkesan yang terbit pada era globalisasi ini.
“Era digital telah meracuni dan menghancurkan masa depan remaja kita hari ini,” tegasnya.
John menarik perhatian kepada ibu bapa di daerah ini, supaya lebih tegas dan praktikal ketika mendidik anak-anak mereka.
Tuesday, May 04, 2010
0 Facebook bukan mainan. Anda diperhatikan dalam tudung saji. Anda umpama semut di tudung saji yang bertutup. Bukannya besar?
0 Air Asia vs MAS? Pertindihan laluan. Jika bisnes ini lebih murah, mungkin byk tauke berani buat bisnes. Seperti halnya Telekom, Celcom, Digi & Maxis
Kadar laluan bertindih hanya 30 hingga 40 peratus - AirAsia
SEPANG 3 Mei - Pengendali penerbangan tambang murah, AirAsia Bhd. (AirAsia) menafikan kenyataan Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) bahawa kadar pertindihan laluan MAS dan AirAsia X mencecah 90 peratus.
Sambil menyatakannya sebagai kurang tepat, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Tony Fernandes menambah, kadar pertindihan itu adalah kurang daripada jumlah yang didakwa.
Beliau menambah, AirAsiaX, syarikat tambang murah jarak jauh yang mana kepentingannya juga dipegang oleh AirAsia turut mempunyai laluan eksklusifnya sendiri.
Fernandes berkata, setakat ini kadar pertindihan adalah kira-kira 30 hingga 40 peratus sahaja.
''Kadar pertindihan 90 peratus itu tidak betul dan saya ada peta laluannya jika kamu mahu lihat nanti.
''Sebagai contoh, laluan kami ke China iaitu Tianjin tidak sama dengan Beijing seperti yang ditawarkan MAS, kedua-dua destinasi itu adalah berbeza,'' kata beliau pada sidang akhbar mengenai perkembangan Terminal Kekal Penerbangan Tambang Murah (PLCCT) yang diadakan di Ibu Pejabat AirAsia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Datuk Tengku Azmil Zahruddin tentang kadar pertindihan laluan yang tinggi berbanding antara Singapore Airlines (SIA) dan syarikat-syarikat di bawahnya Tiger dan SilkAir yang menyaksikan pertindihan hanya 17 peratus sahaja.
Selain itu, Tengku Azmil dalam komentarnya menyarankan supaya kedua-dua pihak bekerjasama untuk kepentingan rakyat Malaysia dan juga negara.
Pada masa yang sama, beliau menyarankan supaya kerajaan merumuskan satu polisi pengangkutan udara yang jelas supaya mampu memberikan pilihan sebenar dan menguntungkan Malaysia dalam jangka panjang.
Beliau mendakwa Suvarnabhumi di Thailand dan Changi di Singapura hebat kerana lapangan terbang asing itu memberikan pelanggan banyak pilihan daripada segi destinasi.
''Lebih kurang 93 syarikat penerbangan beroperasi dari Suvarnabhumi ke lebih 187 bandar raya di 71 negara. Sementara itu, lebih kurang 85 syarikat penerbangan beroperasi keluar dari Changi ke lebih daripada 200 bandar raya di 60 negara,''ujarnya.
Bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pula, lebih kurang 50 syarikat penerbangan beroperasi keluar ke 100 bandar raya di 44 negara.
Tengku Azmil juga menyarankan AirAsia mengelakkan pertindihan laluan dengan terbang ke lebih 34 destinasi baru yang kini belum mempunyai penerbangan terus dari Kuala Lumpur.
''Kesemua destinasi tersebut adalah di dalam lingkungan jarak operasi pesawat A330-300 milik AirAsiaX,'' jelasnya.
Pada masa yang sama, Fernandes enggan mengulas lanjut tentang kenyataan orang kuat MAS itu sebaliknya menyerahkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif AirAsiaX, Azran Osman-Rani untuk memberikan ulasannya.
''Saya akan pastikan Azran menjawab isu mengenai dakwaan MAS ini seawal-awalnya Rabu ini,'' ujarnya.
0 Kempen budaya membaca tanngungjawab siapa bila orang perlu tengok televisyen sebab ASTRO berbayar?
Internet, televisyen 'musuh' buku - Ungku Aziz
KUALA LUMPUR 3 Mei - Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz menganggap Internet dan televisyen merupakan 'musuh' kepada buku kerana menghakis budaya membaca di kalangan masyarakat seperti yang berlaku di Malaysia ketika ini.
Menurut tokoh akademik itu, penggunaan yang meluas kedua-dua medium itu kini membentuk masyarakat yang bergantung sepenuhnya kepada Internet dan televisyen untuk mendapatkan maklumat sekali gus meminggirkan kandungan sesebuah buku.
"Ia menjadi semakin parah apabila sesuatu pengetahuan itu tiada di Internet, maka ia akan diabaikan begitu sahaja dan sangat merugikan masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi menandatangani autograf buku mengenainya bertajuk The Renaissance Man di kedai buku Kinokuniya (Malaysia) Sdn. Bhd. di Suria KLCC hari ini.
Buku tersebut berkisar tentang pengalaman beliau sepanjang perkhidmatannya di Universiti Malaya (UM).
Kandungan buku itu disumbangkan oleh beberapa penulis antaranya bekas Naib Canselor UM, Datuk Dr. Hashim Yaacob; Prof. Emeritus Datuk Abu Bakar Abd. Hamid; Prof. Emeritus Dr. K. T. Joseph; Prof. Dr. Azizah Hamzah selain Ungku Abdul Aziz sendiri.
Mengulas lanjut, kata Ungku Abdul Aziz, budaya membaca buku di Malaysia agak rendah berbanding negara-negara luar khususnya penduduk di Eropah yang menjadikannya satu amalan.
"Mereka (penduduk Eropah) membaca buku di mana-mana sahaja walaupun masa terluang hanya 15 minit sedangkan negara mereka mempunyai kemudahan Internet yang baik ," katanya.
Tambahnya, masalah kurang membaca buku bukan sahaja berlaku kepada golongan remaja, malah kepada golongan korporat dan golongan berpendidikan tinggi yang suka menghabiskan masa lapang dengan bermain golf atau melayari Internet tanpa henti.
Beliau menolak dakwaan bahawa harga buku yang tinggi menjadi punca masyarakat Malaysia tidak membeli buku.
"Kini sudah ada kemudahan meminjam buku di perpustakaan yang menyediakan pelbagai genre bacaan kepada pembaca, ia bukan masalah,'' jelasnya.
Tambah beliau lagi, dengan membaca buku, seseorang akan mempunyai minda yang terbuka dan berupaya bercakap mengenai pelbagai perkara.
"Ia berbeza dengan mereka yang tidak membaca buku kerana tidak mengetahui banyak perkara," jelasnya.
Beliau turut mengesyorkan penulis tempatan supaya membanyakkan penghasilan buku dengan penulisan yang menarik dan sedikit kontroversi agar menarik minat pembaca.
