Sumber: Arsenalmalaysia.blogspot.com :
UEFA Champion League: Arsenal Bergaya Atasi Porto 5-0! 
Terbaik dari Arsenal, tiada ungkapan lain yang dapat mengambarkan kemenangan Arsenal pada pagi ini dengan begitu banyak gerakan dan pemainan cantik yang ditunjukan Arsenal. Ketiadaan kapten pasukan,Cesc Fabregas tidak begitu dirasai apabila Arsenal mudah melepasi halangan daripada Porto dengan kemenangan 5-0 di Emirates Stadium, dan aggregate 6-2 dan hero pada pagi ini ialah Nicklas Bendtner yang menjaringkan hatrik pertama beliau bersama Arsenal. Berikut ialah kesebelasan utama Arsenal yang diturunkan Wenger:-
Arsenal's Team XI
Almunia
Sagna---Campbell---Vermaelen---Clichy
Nasri---Song---Diaby
Rosicky---Bendtner---Arshavin
Subs: Fabianski, Armand Traore, Silvester,Walcott,Eboue,Denilson,Eduado.
Arsenal membuat perubahan pada skuad yang menang sabtu lepas ketika melayan Porto pagi tadi dengan memberi peluang kepada Campbell bergandingan dengan Vermaelen serta Song kembali mengisi dibahagian defensive midfielder dan Arshavin mengantikan Walcott dengan bermain di sebelah sayap kiri.
Arsenal yang memerlukan gol awal bagi menghidupkan peluang, ternyata impian tersebut menjadi kenyataan apabila Nicklas Bendtner membuka jaringan pada awal pemainan pada minit ke-9 selepas mendapat bola muntah hasil gerakan Nasri dan Arshavin dengn menolak mudah bola ke gawang Porto.
Kemudian Arsenal mengandakan asakan bagi menambah jaringan dan pada minit ke-25 Bendtner sekali lagi menjadi pemain yang menjaringkan gol apabila gerakkan yang dimulakan oleh Arshavin yang berjaya mengelecek pertahanan Porto masuk kedalam kotak penalti dan membuat hantaran kepada Bendtner yang tidak dijaga oleh pertahanan Porto dan Bendtner mudah menolak bola kegawang yang terbuka luas. First half Arsenal mendahului 2-0.
Pada separuh masa kedua Arsenal bermula agak perlahan, dengan Porto yang semakin terdesak mencari gol bagi sekurang-kurangnya mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti tetapi tersentak apabila Samir Nasri menjaringkan gol cantik pada minit ke-63. Nasri yang dikawal rapat oleh 3 orang pertahanan Porto berjaya mengelecek dan melepasi halangan sebelum merembat masuk melepasi penjaga gol Porto iaitu Helton ke penjuru gol. Gol yang menarik serta gerakkan solo yang menarik dari pemain yang terbaik.Arsenal mendahului 3-0 dan membunuh semangat melawan Porto yang cuba bangkit.
Tidak cukup dengan itu, Wenger membuat pertukaran dengan memasukan Eboue mengantikan Rosicky dibahagian sayap kanan. Dan hasilnya Eboue ternyata tidak mengecewakan pengurus beliau apabila menjaringkan gol ke-4 Arsenal pagi ini. Gol yang berpunca dari satu counter attack dari sepakkan sudut Porto, bola berjaya dikeluarkan pertahanan Arsenal dan Arshavin yang dikawal berjaya mencuri bola tersebut lalu membuat larian solo sambil dibantu Eboue dan Arshavin melorong bola kepada Eboue sebelum beliau memperdayakan Helton dan menolak bola ke dalam gawang yang tidak dijaga. 4-0 Arsenal mendahului pada minit ke-66.
Kemudian Bendtner melengkapkan malam gemilang Arsenal apabila menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-90 apabila Eboue dijatuhkan dalam kotak penalti sekali gus menjadikan malam terbaik bagi Nicklas Bendtner yang menjaringkan hatrik. Nampaknya Bendtner membalas balik kritikan keatas beliau.
Untuk keseluruhan pemainan, Arsenal bermain sebagai satu pasukan yang begitu baik ketika menyerang dan ampuh ketika bertahan dengan gandingan Sol Campbell dan Thomas Vermaelen membuktikan yang mereka mampu beraksi baik dan mengekalkan fokus dari dibolosi oleh penyerang Porto. Nasri dan Arshavin merupakan nadi pasukan pada pagi ini dengan beberapa gerakan menarik dan gol paling terbaik pada pagi ini semestinya gol yang dihasilkan oleh Samir Nasri (boxer bunga). Dan pujian aku juga tidak terlepas kepada prestasi terbaik yang ditunjukkan Nicklas Bendtner yang menyumbat hatrik pertama dalam karie beliau sebagai pemain Arsenal.
Habis pemainan 90minit, Arsenal berjaya layak ke suku akhir UEFA Champion League dengan sangat bergaya dan menunjukkan azam yang kuat bagi memburu piala musim ini.Aku rasa tak sia-sia aku bersengkang mata pada pagi ni. So to All Arsenal Supporter, Always Trust In Arsene Wenger!!! GO ARSENAL GO!!!
Wednesday, March 10, 2010
0 UEFA Champion Leagu: Arsenal 5, Porto 0
Monday, March 01, 2010
0 Lagi pemain arsenal patah kaki dalam perebutan kejuaraan
Sumber: UM:
Malang Ramsey rencat pesta Arsenal
Aaron Ramsey menahan kesakitan akibat patah kaki sambil cuba ditenangkan oleh pemain yang menerjahnya, Ryan Shawcross pada perlawanan Liga Perdana England, kelmarin.– AP
LONDON, England – Kegembiraan Arsenal mengalahkan Stoke 3-1 terencat apabila pemainnya, Aaron Ramsey patah kaki akibat terjahan keras pemain lawan, Ryan Shawcross, kelmarin.
Pengurus Arsenal, Arsene Wenger berkata, Ramsey mungkin akan dipindahkan ke hospital di London.
‘‘Kami tahu ia merupakan kecederaan yang amat teruk, namun kami tidak tahu berapa lama dia akan direhatkan, apa yang pasti sudah tentu untuk jangka panjang.
‘‘Saya kecewa dengan terjahan yang dilakukan oleh Shawcross. Kami memang sudah mengetahui dengan cabaran yang akan dihadapi dalam setiap perlawanan.
‘‘Namun, kami hilang tiga pemain (Eduardo dan Abou Diaby) kerana terjahan melampau, saya enggan untuk mempercayai bahawa ia merupakan satu kebetulan.
‘‘Saya sukar mempercayai apabila terpaksa melalui perkara seperti ini. Saya hanya percaya apa yang saya lihat dan apabila anda mendapati pemain mengalami kecederaan sedemikian, ia amat sukar untuk diterima,’’ kata Wenger.
Shawcross dilayangkan kad merah sejurus selepas insiden itu dan dia menangis selepas melihat kecederaan yang dialami Ramsey.
‘‘Kami tidak dilindungi sepenuhnya. Kadang kala kami sering menjadi mangsa kepada kekasaran pemain lawan,’’ kata ketua pasukan Arsenal, Cesc Fabregas.
Namun, Shawcross mengakui tiada niat mencederakan Ramsey ketika melakukan terjahan itu.
‘‘Saya berasa cukup sedih apabila melihat Ramsey mengalami kecederaan yang begitu teruk dan harapan saya bersamanya.
‘‘Saya mendoakan Ramsey agar cepat sembuh daripada kecederaannya,’’ kata Shawcross.
Selepas perlawanan itu, Fabio Capello memanggil Shawcross ke dalam skuad England buat kali pertama dalam kariernya menjelang pertemuan persahabatan dengan Mesir.
‘‘Sepanjang yang saya tahu, Shawcross tidak pernah berniat sebegitu. Tidak mungkin... walaupun berjuta tahun dia tidak akan beraksi dan berbuat begitu kepada seseorang.
‘‘Dia begitu kecewa dengan apa yang terjadi, anda boleh lihat dia menangis ketika meninggalkan padang, dia terkejut apabila mengetahui kecederaan Ramsey,’’ kata Wenger.
Permainan terikat 1-1 ketika insiden itu berlaku, namun Arsenal mendapat penalti di saat akhir permainan sebelum Thomas Vermaelen menambah jaringan ketiga pada masa kecederaan. – AP
Respon:
Apabila melihat ulang tayang pertembungan kaki itu, betapa sukar untuk mempercaya. Masih ingat bagaimana tiga tahun dulu, pemain arsenal patah kaki dan sejak itu prestasi merosot dan gagal kerkal di takhta liga. Sangat menyedihkan untuk pasukan, team, negaranya, dirinya, keluarganya dan semua yang dekat dengan ramsey.
0 Laporan berita gempa di Chile oleh Utusan Malaysia
Sumber: UM:
Chile bergegar lagi 115 kali
WASHINGTON 28 Feb. - Beberapa gegaran baru yang kuat melanda Chile awal hari ini, gegaran susulan selepas gempa kuat yang melanda negara Amerika Latin itu, semalam.
Setakat ini jumlah korban dilaporkan meningkat kepada 300 orang dan jumlah yang terbunuh dalam bencana itu dijangka terus meningkat.
Jabatan Geologi Amerika Syarikat menyatakan sebanyak 115 gegaran susulan dilaporkan di negara itu berukuran antara 4.9 hingga 6.9 pada skala Richter awal hari ini.
Kejadian itu menyebabkan penduduk di wilayah tengah Chile yang teruk dilanda bencana itu terpaksa bermalam dalam khemah bagi mengelakkan kemalangan.
Jabatan itu melaporkan gegaran paling kuat berukuran 6.1 pada skala Richter dikesan pada pukul 8.25 pagi waktu tempatan (pukul 11.25 malam waktu Malaysia), pada kedalaman 35 kilometer kira-kira 63 kilometer ke utara bandar Talca.
Chile terletak dalam kawasan lingkaran api di Pasifik dan sering mengalami gegaran seismik.
Pusat gempa bumi yang berlaku semalam berada beberapa ratus kilometer ke utara kejadian gempa besar yang melanda Chile pada Mei, 1960 berukuran 9.5 pada skala Richter yang mengorbankan antara 2,200 hingga 5,700 penduduk.
Pegawai Chile berkata, kejadian gempa semalam menyebabkan 1.5 juta rumah dan bangunan rosak atau ranap, selain menyebabkan kemudahan pengangkutan di bandar Concepcion yang terletak berhampiran pusat gempa itu mengalami kerosakan teruk.
Gempa yang melanda Chile semalam itu juga merupakan antara 10 gempa paling kuat pernah dilaporkan dalam sejarah.
Gegarannya dapat dirasakan sehingga sejauh Jepun dan turut menyebabkan tsunami di Lautan Pasifik.
Amaran tsunami telah dikeluarkan di 55 negara sehingga ke New Zealand dan gempa itu telah mencetuskan tsunami di utara Jepun, menyebabkan ratusan ribu penduduk dipindahkan. – AFP
Respon:
115 gegaran susulan? 10 gempa terkuat dalam sejarah? Takut! Mari berdoa kepada Tuhan Yang Maha Kuasa.
0 Gempa bumi terkuat dan bertalu-talu di merata-rata tempat
Sumber: BH:
16 gempa bumi kuat gegar Chile, 214 maut
CONCEPCION, Chile: Satu daripada gempa bumi terkuat dunia pada abad ini menggoncang Chile semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 214 orang maut, meruntuhkan bangunan serta mencetuskan tsunami yang mengancam pantai Pasifik sehingga Hawai dan Jepun.
Bangunan terbakar, jambatan runtuh dan runtuhan menghalang jalan raya di serata tengah Chile tetapi angka korban awal adalah agak rendah berbanding gempa bumi yang menggegarkan Haiti bulan lalu.
Sebuah bangunan pangsapuri dengan 200 penghuni runtuh di Concepcion, bandaraya paling hampir dengan pusat gempa itu, dan anggota penyelamat tidak pasti beberapa ramai yang terselamat.
Kenderaan yang terbalik berselerakkan di bawah jejambat runtuh di ibu negara Santiago dan bekalan elektrik terputus di serata tempat, menyukarkan usaha menilai tahap kerosakan dan kemalangan jiwa.
Kerajaan menyatakan sekurang-kurangnya 214 orang terbunuh dalam gempa bumi bermagnitud 8.8 itu yang berlaku pada 3.34 pagi (0634 GMT), menyebabkan orang ramai yang sedang tidur bertempiaran keluar dari rumah masing-masing ke jalan raya sambil berpelukan dan menangis.
Pegawai Chile berkata, bilangan kematian tidak mungkin meningkat secara drastik dan Pusat Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGA) piawaian bangunan yang baik membantu mengurangkan kemalangan jiwa.
Ia adalah gempa bumi kelima terkuat sejak 1900 dan menjejaskan ekonomi serta prasarana pengeluar tembaga utama dunia itu. - Reuters
Respon:
Sangat menakutkan apabila rentetan gempa bumi berlaku dalam selang masa yang singkat setiap hari di banyak tempat di seluruh dunia.
0 PM benarkan rakyat manfaat jana wang di internet
Sumber: BH:
Rakyat diminta manfaat internet jana pendapatan
Oleh Abdul Razak Raaff dan Rosli Abdul Jalil
bminggu@bharian.com.my
PEKAN: Datuk Seri Najib Razak meminta rakyat memanfaatkan sepenuhnya laman sosial internet yang semakin popular di kalangan masyarakat negara ini bagi menjana ekonomi menerusi perniagaan secara atas talian (online).
Perdana Menteri berkata laman sosial seperti Facebook, Myspace, Twitter dan Friendster bukan hanya untuk bersuka-suka atau aktiviti sosial.
“Saya meminta masyarakat tidak hanya menggunakan internet atau jalur lebar untuk kegunaan sosial tetapi juga menggunakan kemudahan ini untuk mempertingkatkan ekonomi masing-masing dengan menjalankan aktiviti perniagaan secara online,” katanya ketika berucap melancarkan Tanjung Agas Real-Time Broadband (TARB) Tanjung Agas Technology Sdn Bhd, di sini, semalam.
Turut hadir Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah yang juga Pengerusi Tanjung Agas Technology Sdn Bhd (TATSB) dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Najib berkata, banyak laman sosial atau sesawang tempatan boleh digunakan untuk menjalankan perniagaan atau mencari maklumat yang lebih bermanfaat untuk menjana ekonomi dan perniagaan.
“Sejajar dengan tahun inovasi kali ini, rakyat seharusnya berinovasi untuk membangunkan ekonomi dan taraf hidup melalui teknologi komunikasi maklumat (ICT ) dan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB),” katanya.
Najib juga meminta supaya pengguna internet tidak menyalahgunakan laman sosial bagi tujuan memfitnah atau memburukkan pihak lain.
“Infrastruktur dan perkhidmatan moden saja tidak memadai dan ia perlu digunakan sebaik-baiknya oleh orang ramai dan janganlah disalahgunakan termasuk menabur fitnah,” katanya.
Najib berkata, hanya beberapa hari lalu, laman Facebooknya mencapai lebih 100,000 peminat, membuktikan masyarakat negara ini sememangnya gemar berhubung.
Sementara itu, Najib turut melakukan kunjungan ke Unit Haemodialisis Hospital Pekan dan menyaksikan penyerahan tiga unit mesin haemodialisis bernilai RM135,000 yang disumbangkan Radicare (M) Sdn Bhd.
Unit itu mempunyai 16 unit mesin haemodialisis yang memberi perkhidmatan kepada 41 pesakit buah pinggang.
Sumbangan itu bagi membantu pihak hospital menampung rawatan bagi pesakit yang memerlukan rawatan dialisis di Hospital Pekan.
Respon:
Bidang maklumat adalah produk dan perkhidmatan yang baik. Yang penting, kita kena hasilkan produk sendiri. Program affiliate juga merupakan pilihan terbaik, kita harus tahu skil dan triknya...
Saturday, February 20, 2010
0 Ghairah menikmati hidup berkeluarga memang dashyat sehingga pelajar IPTA pun sanggup ketepikan mazhab
Sumber: HM:
Nikah koboi di asrama
Oleh Murni Wan Omar, Amir Abd Hamid dan Yusliza Yakimir Abd Talib
am@hmetro.com.my
2010/02/19 KUALA LUMPUR: Ghairah mahu menikmati hidup bersuami isteri selepas bertemu kekasih ketika sama-sama menuntut di menara gading, namun pada masa sama tidak mahu perbuatan itu diketahui ibu bapa mendorong segelintir pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ternama di pinggir ibu negara terjerumus dengan amalan ‘pernikahan dalam dorm (asrama)’.
Perkahwinan adalah fitrah manusia, namun amalan di kalangan mahasiswa terbabit nyata meragukan apabila upacara pernikahan pasangan pengantin terbabit hanya disempurnakan sesama rakan sekuliah selaku kadi, wali dan saksi - tidak ubah seperti pernikahan koboi.
Seperti pasangan normal, kumpulan terbabit juga mempunyai kadi yang menikahkan pasangan berkenaan secara berjabat tangan dengan pengantin lelaki sebelum diperakui sebagai sah oleh saksi. Cuma yang berbeza ia dilakukan pada waktu malam dan semua yang hadir hanya rakan sekuliah.
Sehingga kini, tujuh pasangan di IPTA berkenaan dikesan melangsungkan pernikahan yang didakwa mereka sah dan halal mengikut mazhab dianuti, sedangkan umat Islam di negara ini berpegang kepada Mazhab Syafie yang mengamalkan cara pernikahan berbeza.
Selepas berlangsung majlis akad nikah di asrama lelaki dalam kampus IPTA berkenaan, ‘pasangan pengantin’ baru dibenarkan menjalani kehidupan sebagaimana suami isteri yang diijabkabulkan mengikut amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Bagaimanapun, kegiatan songsang itu akhirnya terbongkar apabila satu daripada pasangan yang bernikah mengikut kaedah meragukan itu menemui Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Sahabat Insan dan Iman Malaysia (Sidim), Hanafi Abdul Malek, untuk mendapatkan pandangan.
Sarat mengandung bayi hasil pernikahan itu, gadis berusia 23 tahun berkenaan serta pasangannya berusia sebaya menemui Hanafi kerana tidak sanggup lagi menyorokkan perkahwinan mereka daripada pengetahuan ibu bapa.
“Saya didatangi pasangan terbabit baru-baru ini. Saya ingatkan mereka mungkin datang kerana terjebak masalah sosial, tapi alangkah terkejut apabila mereka mendakwa berkahwin di asrama lelaki IPTA berkenaan.
“Kadi, wali, saksi dan tetamu semuanya terdiri pelajar. Mereka mendakwa menganut mazhab yang membenarkan perkahwinan dengan cara sedemikian.
“Semua kes pernikahan itu tidak diketahui ibu bapa pasangan terbabit. Pelajar berkenaan yakin pernikahan itu sah semata-mata dengan alasan mereka mempelajari segala hukum-hakam dalam mazhab berkenaan yang membolehkan upacara pernikahan pelik itu dijalankan,” kata Hanafi ketika ditemui di pejabatnya di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, berdasarkan pengakuan pasangan terbabit, mereka yang mendakwa sudah ‘sah’ sebagai suami isteri menyewa tempat tinggal sama ada rumah atau bilik di luar kampus universiti sejurus majlis akad nikah disempurnakan bagi mengelakkan pernikahan diketahui pihak pentadbiran universiti.
Katanya, pasangan berkenaan memaklumkan, setakat ini tujuh pasangan ‘suami isteri’ di kalangan pelajar yang bernikah mengikut amalan mazhab berkenaan, menyewa kediaman yang diubah suai dan dipecahkan menjadi beberapa bilik di kawasan penempatan tidak jauh dari universiti itu.
“Kemungkinan jumlah pasangan yang melakukan pernikahan pelik di asrama lelaki di universiti itu lebih daripada yang diketahui.
“Malah, mungkin juga fahaman yang dipegang mereka turut membabitkan pelajar universiti lain di negara ini,” katanya.
Hanafi berkata, kegiatan yang semakin mendapat sambutan itu perlu dibanteras segera bagi mengelak lebih ramai pelajar pusat pengajian tinggi mengambil jalan mudah untuk merasai dunia bersuami isteri dengan mengenepikan hukum syarak dan pihak keluarga.
“Lebih memburukkan keadaan jika kegiatan mereka tersebar kepada pelajar yang cetek ilmu agama. Pemikiran golongan pelajar ini lebih mudah dipengaruhi walaupun secara terang-terangan ‘pernikahan mahzab lain’ menyalahi hukum.
Menurutnya, Sidim mengadakan sesi kaunseling kepada pasangan terbabit dengan menasihatkan mereka tidak membelakangkan ibu bapa dalam segala hal terutama membabitkan pemilihan pasangan hidup.
“Saya nasihatkan remaja khususnya pelajar universiti tidak membuat keputusan terburu-buru dan terjebak dengan pujukan segelintir rakan mereka yang kononnya dianggap bijak. Ingatlah keredaan Ilahi bersangkut paut dengan keredaan ibu bapa,” katanya.
0 Selamat RMj untuk bayar saman, selepas ini apakah program MW seterusnya? Mungkin program 1j ganda 1j? Mawi tentunya orang bisnes
Mahkamah Tinggi tolak saman RM1 juta terhadap Mawi World
2010/02/19 KUALA LUMPUR: Syarikat minuman Yassa Sdn Bhd gagal dalam tuntutan saman RM1 juta yang difailkan terhadap Mawi World Sdn Bhd selepas Mahkamah Tinggi menolak saman itu atas alasan ia tidak berasas.
Hakim Datuk Azahar Mohamed berkata, Yassa sebagai plaintif dalam kes ini tidak menunjukkan keterangan mengenai kerugian dialami hasil penggunaan butiran maklumat lesen Yassa yang digunakan oleh Mawi World bagi pengeluaran air mineral berjenama "Mawi World".
"Dengan alasan-alasan itu, saya tidak ada pilihan lain, tetapi untuk menolak tuntutan plaintif dengan kos," katanya. Pada 31 Oktober 2006, Yassa menyaman Mawi World kerana mendakwa ia melanggar hak harta Yassa dengan memasarkan air galian berjenama "Mawi World", menggunakan butiran maklumat milik syarikat itu seperti lesen pengeluaran minuman air mineral dan alamat kilang minuman pada botol minuman tanpa memperoleh kebenaran syarikat itu.
Ia juga mendakwa botol minuman air galian yang menggunakan gambar penyanyi Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 29, mengandungi maklumat mengenai sumber dan kandungan yang sama dengan air mineral jenama "Streamline" keluaran Yassa.
Mawi World selaku defendan, dalam pernyataan pembelaan berkata syarikat itu tidak pernah melanggar mana-mana hak harta sebagaimana didakwa syarikat Yassa. Dalam keputusannya, Hakim Azhar berkata mahkamah menerima keterangan saksi defendan kedua, Ahmad Rathi Mohd Mohyodin, bekas pengurus syarikat Johtaw Corporation iaitu syarikat yang dilantik Mawi World untuk mengeluarkan dan membekalkan air mineral berjenama "Mawi World" bahawa syarikat Johtaw diberi kebenaran menggunakan butiran maklumat lesen yang dipegang Yassa pada botol air mineral "Mawi World" itu.
Hakim Azhar berkata mengikut keterangan Ahmad Rathi yang ketika itu berurusan dengan pengurus Yassa, arwah Bahari Othman bahawa dia (Ahmad Rathi) mendapat kebenaran menggunakan butiran maklumat itu oleh arwah Bahari bagi pihak Yassa. "Berdasarkan keterangan saksi defendan kedua, saya tidak nampak alasan untuk menolak keterangannya," katanya. Hakim Azahar berkata dalam hujahan hari ini peguam Adnan Seman yang mewakili Yassa berasaskan kepada "tort of conversion" iaitu melanggar atau menggunakan hak milik orang lain, tetapi Adnan tidak menggunakan autoriti yang jelas bagi menyokong sama ada butiran maklumat lesen yang dipegang Yassa itu adalah hak harta Yassa.
Beliau berkata, dalam satu kes undang-undang yang diputuskan mahkamah di negara ini yang dirujuk oleh peguam Adnan, maklumat sulit seseorang itu ialah hak hartanya tetapi dalam kes ini butiran maklumat dan lesen yang dipegang Yassa bukan sulit kerana lesen boleh ditarik bila-bila masa jika berlaku percanggahan.
Lesen pengeluaran air mineral itu dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Hakim Azhar membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak.
Terdahulu, Adnan dalam hujahannya berkata, kesan daripada penggunaan butiran maklumat lesen oleh pihak ketiga tanpa kebenaran akan menyebabkan pemegang lesen mengalami kesusahan, antaranya jika berlaku keracunan dalam air mineral itu, lesen akan ditarik. Semasa diminta Hakim Azhar mengemukakan bukti seperti penyata akaun, jumlah keuntungan bagi menyokong jumlah gantirugi RM1 juta yang dituntut Yassa, Adnan berkata kerugian Yassa tidak dialami secara terus tetapi hasil penggunaan butiran maklumat di lesen itu menyebabkan pihak Mawi World mendapat keuntungan dengan cara salah.
Hakim Azhar meminta penjelasan Adnan sama ada Yassa mengetahui keuntungan yang diperoleh oleh Mawi World hasil daripada penjualan air mineral jenama "Mawi World" itu, Adnan berkata mengikut rekod syarikat Johtaw, Mawi World ada membuat tempahan air mineral minimum sebanyak 300 kotak. "Ambil kira jumlah tempahan minimum itu dan promosi yang dibuat Mawi World itu, membuatkan kerugian pada plaintif," katanya.
Peguam Juliana Mohamed, yang mewakili Mawi World, berhujah bahawa butiran maklumat pada lesen adalah maklumat awam dan ia tidak boleh dimiliki. Beliau berkata, tidak wujud perlanggaran hak harta kerana keterangan daripada Ahmad Rathi membuktikan bahawa Yassa membenarkan Johtaw menggunakan butiran maklumat pada lesen yang dipegang Yassa bagi mengeluarkan air mineral "Mawi World".
Perbicaraan kes itu mengambil masa sehari iaitu pada Rabu, dengan memanggil tiga saksi. Pengarah Yassa, Muhammad Nizam Bahari, yang mengambil alih perniagaan syarikat Yassa selepas kematian bapanya Bahari, pada 22 Okt 2006, adalah saksi tunggal plantif dan saksi pertama memberi keterangan. Kemudian diikuti keterangan daripada Mohd Azhar Arifin, saksi defendan pertama, iaitu pegawai pemasaran di Mawi World yang bertanggungjawab mencari peluang bagi mengembangkan perniagaan Mawi World. Ahmad Rathi adalah saksi defendan kedua.
Ketika ditemui selepas keputusan itu, Adnan berkata pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan hari ini. -Bernama
