Pandelela (kanan) menunjukkan pingat gangsa kepada rakan rakan terjunnya dari kiri Leong Mun Yee, Ng Yan Yee, Yeoh Ken Nee dan Traisy Vivien, semalam. Pandelela (kanan) menunjukkan pingat gangsa kepada rakan rakan terjunnya dari kiri Leong Mun Yee, Ng Yan Yee, Yeoh Ken Nee dan Traisy Vivien, semalam. Bangkit secara dramatik pada terjunan terakhir acara 10 meter London: "Terima kasih Malaysia...pingat ini saya kongsi bersama anda semua, " kata Pandelela Rinong sambil membelek-belek pingat gangsa miliknya di bawah pancaran matahari di Perkampungan Sukan, pagi semalam. Gadis berusia 19 tahun itu mencipta bangga 28 juta rakyat Malaysia apabila bangkit secara dramatik pada terjunan terakhir acara 10 meter platform individu wanita, kelmarin untuk naik gah ke podium di Pusat Akuatik selaku penerjun ketiga terbaik dunia ketika ini. "Saya menghargai sokongan semua pihak untuk saya berjaya di sini. Selepas ini saya harap sukan terjun akan popular seperti badminton," katanya yang muncul atlit pertama berjaya memecahkan dominasi badminton memenangi pingat di Olimpik sejak 1992. Dia mungkin tidak sedar betapa dia kini wanita pertama negara memenangi pingat di Sukan Olimpik dan juga bakal menerima pencen bulanan RM2,000 berkuat kuasa bulan depan. Dia turut meraih insentif RM100,000 dari kerajaan di atas keringat meletakkan nama Malaysia di peta dunia. Pada terjunan keempat dia berada di luar kelompok enam teratas. Ketika itu tiada siapa mempercayai dia mampu kembali kerana penerjun tersohor yang lain berada depan gadis berasal dari Bau itu - bandar kecil yang terletak kira-kira 45 minit perjalanan dari Kuching. Satu terjunan terbaik pada usaha kelima dengan penyudah kemas mengesahkan gangsa miliknya buat seluruh negara melonjak gembira. Emas seperti diramal awal dimenangi Chen Roulin dari China yang mengutip 422.30 mata, perak menjadi milik Brittany Broben dari Australia yang berada 55.80 mata di belakang dengan gangsa diraih Pandelela, 359.20. Ketika dia menang pingat, ibunya, Hartini Lamin tidak bersama anaknya kerana sudah dalam penerbangan pulang ke tanah air. "Saya cuba hubungi ibu saya...dia tak jawab...mungkin dalam perjalanan," kata jagoan terjun yang layak digelar penerjun kelas dunia. Ibunya yang dibawa oleh rombongan Dutch Lady pulang awal kerana program ibu bersama anak itu hanya sehingga pusingan awal saja. Dia juga menghambur kata-kata terima kasih kepada jurulatihnya, Yang Zhuliang yang banyak memberi semangat dan tunjuk ajar untuk tidak mudah putus asa dalam acara ini sekali pun dia melakukan terjunan pertama yang buruk. "Saya terlalu ghairah apabila mahu membuat terjunan pertama dan mungkin hilang tumpuan sikit, Tapi jurulatih berkata lupakan segera dan tumpu kepada empat terjunan lagi. Dia banyak membantu saya dalam cabaran kali ini," katanya. Pandelela juga berharap Majlis Sukan Negara (MSN) akan menyokong usaha ditunjukkan jurulatih negara itu yang difahamkan mungkin kembali melatih di Australia.
Artikel susulan: Olimpik ubah nasib Pandelela Oleh TAN MING WAI tan.mingwai@utusan.com.my Pandelela Rinong bersama ganjaran keseluruhan berjumlah RM300,000 iaitu Amanah Saham Wawasan RM200,000 dan ganjaran SHAKAM bernilai RM100,000 yang disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya semalam. - Bernama PUTRAJAYA - Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik, Pandelela Rinong yang menerima ganjaran RM300,000 menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, mula membayangkan masa depan cerah untuk dirinya dan keluarga. Tidak seperti kelaziman di kalangan anak muda seusia Pandelela yang masih perlu ditanggung oleh orang tua, ratu terjun negara berketurunan Bidayuh itu sudah selangkah ke depan apabila mampu berdikari. Malah kejayaan anak kedua daripada empat beradik pada Sukan Olimpik 2012 membawa sinar harapan ke dalam kehidupan keluarganya yang bukan berasal daripada golongan berada. Selama ini bapanya, Pamg Joheng, selaku ketua keluarga bertanggungjawab mencari nafkah dengan bekerja sebagai seorang buruh upahan harian. Menurut Pandelela, ganjaran yang diterimanya daripada pelbagai pihak berikutan kecemerlangannya pada Sukan Olimpik membawa impak positif kepada kedudukan kewangan keluarganya. Katanya, beberapa rancangan diusahakan dengan wang yang ada. "Ibu-bapa saya tak perlu lagi risau tentang kehidupan seharian selepas ini. Ganjaran ini meringankan beban mereka. "Mereka juga tidak perlu sakit kepala memikirkan pembiayaan kos pengajian saya selepas ini, segalanya sudah diuruskan," kata Pandelela ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam. Pandelela juga sedia merealisasikan impian bapanya untuk menjadi pengusaha restoran makan dengan membiarkan sebahagian ganjaran digunakan oleh Pamg sebagai modal perniagaan. "Ia bukan restoran besar, hanya kecil-kecilan macam kedai mamak. "Inilah satu cara untuk terus menambah sumber pendapatan keluarga untuk jangka panjang, kerana ibu dan ayah tidak mahu bergantung hanya kepada saya," katanya. Pandelela bagaimanapun berkata buat masa ini dia belum memutuskan mengenai bidang pengajiannya kerana fikirannya masih lagi tertumpu kepada terjun. "Saya tidak suka Matematik Tambahan, jadi kalau boleh saya akan mengambil jurusan yang tidak belajar subjek itu," katanya. Mengenai pertemuan selama 15 minit dengan Perdana Menteri semalam katanya: "Saya sangat teruja berjumpa PM, tetapi mak dan ayah yang kali pertama lagilah... tersenyum lebar bagaikan (patung) McDonalds!".Saturday, August 11, 2012
Thursday, August 02, 2012
0 Skandal mengatur pelawanan olimpik badminton bergu wanita
Empat beregu wanita kena singkir LAPAN pemain yang didakwa terlibat dalam skandal mengatur perlawanan di London kelmarin. Atas (dari kiri ke kanan), Ha-na, Jung-eun, Min-jung dan Kyung-eun manakala bawah (kiri ke kanan), Greysia, Meiliana, Xiaoli dan Yu Yang. LONDON - Persekutuan Badminton Dunia (BWF) telah membuat keputusan menyingkirkan lapan pemain wanita daripada beraksi pada Sukan Olimpik 2012. Empat pasangan beregu itu masing-masing satu dari China dan Indonesia serta dua dari Korea Selatan telah dibatalkan penyertaan mereka serta-merta setelah didakwa terlibat dengan skandal mengatur perlawanan. "Satu perbicaraan telah diadakan dan kami telah mencapai persetujuan untuk menyingkirkan kesemua lapan pemain badminton terbabit daripada Sukan Olimpik. "Lapan pemain wanita itu didakwa kerana bermain sambil lewa serta dengan sengaja tidak mahu memenangi perlawanan sehingga mendatangkan pandangan negatif orang ramai terhadap sukan badminton," kata jurucakap BWF semalam. Antara aksi yang mendapat cemuhan peminat di Arena Wembley kelmarin ialah perlawanan antara beregu No. 1 dunia dari China, Yu Yang/Wang Xiaoli dan gandingan bukan pilihan dari Korea Selatan, Jung Kyung-eun/Kim Ha-na. Yu Yang/Xiaoli dilihat sengaja 'menghadiahkan' kemenangan kepada lawan mereka dari Korea Selatan itu sehingga menyebabkan mereka terus disiasat oleh BWF sejurus selepas tamat perlawanan. Dengan kekalahan itu, Yu Yang/ Xiaoli dapat mengelak daripada menentang rakan senegara mereka, Tian Qing dan Zhao Yunlei pada peringkat suku akhir. Selain kedua-dua beregu tersebut, dua lagi beregu yang turut menerima hukuman yang sama ialah gandingan Ha Jung-eun/Kim Min-jung dari Korea Selatan dan Meiliana Jauhari/Greysia Polii (Indonesia). "Kami sudah layak, jadi mengapa perlu membazirkan tenaga? Ia tidak perlu untuk bekerja keras lagi kerana sudah layak ke pusingan kalah mati," kata Yu Yang. Jurulatih Korea Selatan, Sung Han-kook pula berkata, gandingan China itu tidak mempunyai semangat kesukanan. "Kita dapat melihat sendiri bagaimana mereka (Yu Yang/Wang Xiaoli) beraksi. "Mereka seolah-olah sengaja tidak mahu mendapatkan mata," tegasnya. Dalam pada itu, Jawatankuasa Olimpik China dilapor telah menja lankan siasatan terhadap dakwaan tersebut. "Jawatankuasa Olimpik China menentang sebarang salah laku yang melanggar semangat kesukanan dan moral," kata seorang jurucakap jawatankuasa tersebut. Sementara itu, Ketua Delegasi Olimpik Indonesia, Erick Thohir berkata, skuad badminton Indonesia akan mengemukakan rayuan berhubung hukuman tersebut. "Pasukan China telah berulang kali melakukan perkara itu tetapi kenapa BWF tidak menegur atau mengambil tindakan, sedangkan dalam perlawanan semalam (kelmarin), China yang mula 'menjual' permainan dan jika diberi amaran oleh BWF, tentu pasukan lain tidak mengikutnya," kata Thohir. - Agensi
Saturday, June 09, 2012
0 Wira bangsa sebagai pemandu bas di Timur China
Bin selamatkan 24 nyawa
SUASANA sedih menyelubungi Rumah Pengebumian di Hangzhou, China. Penduduk tempatan tanpa mengira latar belakang dan peringkat umur menangis teresak-esak meratapi kematian Wu Bin yang berusia 48 tahun.
Kesedihan semakin dirasai apabila persekitaran dewan dipenuhi jambangan bunga, kain rentang dan kepingan kad ucapan yang tertera luahan ringkas seperti, 'Anda pemandu hebat' dan 'Anda akan kekal di hati saya'.
Pemergian Bin, pada Jumaat lalu benar-benar membawa seribu satu kepahitan dan kisah pilu di hati warga China. Selepas koma dan terlantar di hospital selama tiga hari, pemuda kelahiran Hangzhou, Zhejiang itu menghembuskan nafas terakhirnya. Salah seorang doktor mengesahkan bahawa Bin mengalami kecederaan serius di hati sementara tiga tulang rusuknya patah.
Kecederaan yang dialami Bin disebabkan dadanya tertusuk serpihan logam tajam yang menembusi cermin depan bas yang dipandunya pada 29 Mei lalu. Pada masa itu, Bin, bapa kepada seorang cahaya mata sedang memandu bas antara bandar Wuxi dan Hangzhou di lebuh raya Wuxi, wilayah Jiangsu.
Meskipun cedera parah di dada kanan, Bin masih mampu mengawal kelajuan bas agar tidak tersasar. Bagi memastikan keselamatan 24 orang penumpang di dalam bas, Bin menekan brek, menukar gear dan menenangkan penumpang.
Selepas beralih ke tempat pemandu, Bin meminta penumpang menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan.
"Pada mulanya saya tidak sedar apa yang berlaku kerana Bin tidak menjerit. Saya fikir, bunyi bising tersebut mungkin melibatkan pelanggaran kenderaan lain.
"Sebaik saja dia ke belakang dan duduk di tempat penumpang, barulah saya sedar bahawa Bin mengerang kesakitan sambil memegang dada. Dalam beberapa minit kemudian dia pengsan," terang Han Weichun, seorang penumpang yang duduk betul-betul di belakang Bin.
Pemandu yang cermat
Hasil siasatan pihak polis mendapati, serpihan logam seberat 3.5 kilogram melayang dari sebuah kereta yang bertentangan lalu menusuk ke dada Bin.
Justeru, tindakan Bin yang mengutamakan para penumpangnya dan mengabaikan kesakitan yang dialaminya telah mendorong orang ramai menjulangnya sebagai wira.
Menurut rakan sekerja Bin, Chen Yibo, sejak berkhidmat sembilan tahun lalu, rekod kerja Bin sentiasa cemerlang. Dia sudah memandu sejauh sejuta kilometer (km) tanpa terlibat dalam sebarang kemalangan.
ORANG ramai membanjiri Rumah Pengebumian Hangzhou untuk memberi penghormatan terakhir kepada Bin.
"Dia juga tidak pernah disaman kerana selalu memandu mengikut kelajuan dan peraturan jalan raya yang ditetapkan. Para penumpang cukup berpuas hati dengan cara pemanduan dan servis Wu Bin," katanya yang sedih dengan kehilangan rakan sekerja yang dedikasi.
Di sebalik tragedi itu, Bin dijulang sebagai wira oleh penduduk di tempat kelahirannya, Hangzhou yang terletak di China timur. Mereka berkali-kali mengungkapkan bahawa Bin merupakan individu dan pekerja terbaik yang perlu dicontohi.
Sewaktu berlangsungnya upacara pengebumian Bin di Rumah Pengebumian Hangzhou, penduduk tempatan bertali arus semata-mata untuk memberikan penghormatan terakhir kepadanya. Sehinggakan, pihak polis terpaksa mengawal lalu lintas.
Esakan dan tangisan pula memenuhi dewan. Ternyata, kehilangan pemuda yang disifatkan murah dengan senyuman itu cukup berkesan di hati keluarga, jiran, sahabat handai dan penduduk tempatan.
Upacara pengebumian Bin turut dihadiri selebriti, golongan kenamaan dan para pemimpin negeri seperti Timbalan Menteri Pengangkutan, Feng Zhenglin, Timbalan Gabenor Wilayah Zhejiang, Wang Jianman dan Datuk Bandar Hangzhou, Zhang Jianting.
Pekerja contoh
Kerajaan wilayah Zhejiang menyifatkan Bin mati secara terhormat kerana tidak mementingkan diri sendiri manakala Kementerian Pengangkutan mengangkatnya sebagai pekerja contoh.
"Saya selalu menaiki bas yang dipandu Bin dari Wuxi dan Hangzhou. Dia seorang pemandu yang baik dan berhati-hati. Jadi, bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila Bin berusaha menyelamatkan nyawa penumpang meskipun dia sedang bergelut dengan kecederaan serius," luah Wu Yao yang juga jiran dengan Bin selama tiga dekad.
Dalam pada itu sahabat baik Bin, Feng Li menyatakan: "Tindakan Bin jelas menunjukkan dia seorang pemandu dan pekerja yang berwibawa. Barangkali, keperibadian Bin yang penyayang, mudah mesra dan mengambil berat tentang orang sekeliling mendorongnya bertindak seperti itu."
Sebagai memperingati jasa baik Bin, para pemimpin negara China termasuk ketua parti wilayah Zhao Hongzhu, telah menghulurkan sumbangan wang tunai sebanyak 500,000 yuan (RM249,500) kepada keluarga Bin. Sementara itu, majikan syarikat Bin berkhidmat pula menghadiahkan sebuah pangsapuri yang terletak di pusat bandar.
Tolak sumbangan
Lebih menyentuh perasaan apabila orang ramai dan pelbagai pihak turut menderma wang tunai meskipun menyedari hadiah tersebut tidak ternilai dengan pengorbanan yang dilakukan oleh Bin. Namun begitu, keluarga Bin menolak secara baik segala bentuk sumbangan dalam bentuk wang tunai mahupun barangan.
Mereka cuma mengharapkan agar masyarakat terus mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan mereka sekeluarga dalam menempuhi kehidupan tanpa Bin. Sebelum ini, Bin yang menetap bersama kedua-dua ibu bapanya, meninggalkan seorang balu dan seorang anak.
Dalam surat terbuka luahan hati keluarga Bin, mereka bersyukur dan berterima kasih kepada orang ramai yang tidak henti-henti menunjukkan kasih sayang serta bersimpati atas pemergian Wu.
GAMBARAN klip video CCTV yang menunjukkan detik Wu BIn sewaktu tertusuk serpihan logam yang menembusi cermin depan bas.
"Kami tidak memerlukan sebarang bentuk bantuan daripada orang perseorangan kerana kami akan berusaha sendiri dan bekerja keras untuk kehidupan. Bagi kami, bantuan yang diterima daripada pihak kerajaan dan majikan Bin sudah memadai," tutur kakak Bin, Wu Bingxin. Bingxin turut menyatakan mereka sekeluarga sudah biasa hidup secara sederhana.
Dalam pada itu, isteri Bin, Wang Lizhen, memberitahu, pagi Selasa minggu lalu merupakan detik akhir dia bertemu mendiang suaminya. Bin mengucapkan selamat tinggal kepadanya sebelum keluar bekerja.
"Saya dapat merasakan dia belum bersedia untuk 'pergi' meninggalkan kami. Ketika Bin berada dalam keadaan tidak sedar, saya mengusap dahinya dan tangannya bergerak memberi reaksi.
"Bin seolah-olah mahu meluahkan sesuatu kepada saya. Dia bagaikan berjuang untuk terus hidup. Namun apakan daya, tuhan lebih menyayanginya," jelas Lizhen dalam nada getar menahan sebak kerana kehilangan suami yang dikahwininya sejak 18 tahun lalu.
Tindakan Bin menyelamatkan 24 penumpang di dalam bas meskipun sedang bertarung dengan kesakitan akibat tusukan besi tajam, harus dicontohi oleh kumpulan pemandu pengangkutan awam di seluruh dunia.
"Sejak beberapa hari lalu, saya sentiasa menangis kerana sebak dengan keprihatinan Bin terhadap para penumpangnya. Semoga semangat Bin menjadi ikutan setiap lapisan masyarakat," tutur Shen Wei, guru sekolah menengah yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Bin bersama empat orang pelajarnya.

Thursday, May 24, 2012
0 Cabaran editor memilih karya di DBP
Dialog Orang Muda 'panas' Oleh Latifah Arifin latifah@bharian.com.my 2012/05/24 Dari kiri; Padilah, Lutfi Ishak dan Salbiah pada Dialog Orang Muda di Rumah PENA. Editor 'ditembak' dengan soalan pilih kasih dalam pemilihan karya MESKIPUN kehadiran pada Dialog Orang Muda: Media Massa dan Sastera kecil, ekoran perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah Celsea-Bayern Munich dan Piala FA Kelantan-Sime Darby malam sebelum program, tetapi sesi hampir dua jam tetap 'panas'. ‘Panas’ kerana panel majlis anjuran Biro Penulis Muda, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) diasak soalan dengan maksud tersirat dan meskipun dijawab panel, tetapi dapat disimpulkan beberapa penulis yang melontarkan soalan ‘sensitif’ tidak berpuas hati dengan jawapan panel. Saya tidak nafikan ada karya indie bermutu, tetapi sesuai dengan kedudukan Dewan Sastera dengan citra yang dibawanya selama ini, adalah tidak wajar untuk majalah ini menyiarkan karya penulis yang baru pertama kali menghasilkan karya, sekalipun karyanya bermutu. - Padilah Ali, Ketua Editor Bahagian Majalah DBP Ketua Editor Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Padilah Ali, menjadi ‘sasaran’ penulis muda dan mapan melepaskan rasa tidak puas hati mereka berhubung pemilihan cerpen mutakhir ini dalam majalah sastera berprestij, Dewan Sastera. Dewan Sastera menjadi dambaan hampir semua penulis kreatif negara ini, baik muda apalagi veteran untuk melihat karya mereka mendapat tempat kerana dianggap sebagai kayu aras bagi mengukur ‘kehebatan’ seseorang pengarang kreatif negara ini. Penulis mapan, Zainal Rashid Ahmad meluahkan rasa tidak puas berhubung pemilihan cerpen dalam Dewan Sastera sejak 10 tahun kebelakangan ini kerana tidak melahirkan penulis besar seperti yang pernah terjadi sebelum ini. “Saya tidak melihat citra Dewan Sastera seperti yang pernah dinikmatinya dulu. Saya dapati karya penulis indie yang banyak aliran pemikiran baru begitu sukar menembusi Dewan Sastera sedangkan sesetengah daripada karya ini hebat dan wajar diketengahkan. “Saya mengambil inisiatif mengumpul karya penulis indie untuk dibukukan dan dikongsi dengan rakan seperjuangan dari Indonesia untuk diketengahkan kepada pembaca sastera kerana berasa amat rugi jika dibiarkan begitu saja,” katanya juga Pengurus Besar, Bahagian Majalah dan Dokumentasi TV Al-Hijrah. Zainal Rashid turut meluahkan rasa tidak puas hati berhubung program anjuran DBP, Minggu Penulis Remaja (MPR) yang sebelum ini melahirkan ramai penulis berbakat besar, tetapi kini tidak lagi melahirkan penulis pelapis yang mampu menghasilkan karya hebat. Dialog bertambah panas panas apabila penulis muda yang juga produk MPR, Aidil Khalid, turut mempersoalkan kewibawaan Dewan Sastera sebagai majalah yang menerbitkan karya berprestij di negara ini, tidak lagi berada di landasan terbabit. “Saya berasa cukup terganggu apabila cerpen yang dihantar seorang penulis tidak mendapat tempat dalam Dewan Sastera, tetapi dipilih sebuah akhbar perdana negara ini dan memenangi hadiah sastera syarikat terbabit,” ujarnya. Padilah ketika menjawab persoalan itu menjelaskan, pemilihan karya bukan saja bergantung kepada tema, pendekatan, penstrukturan dan penceritaan, tetapi panel editor turut terikat kepada dasar penerbitan yang menyekat penyiaran karya yang menyentuh sensitiviti kelompok dan hal tertentu. “Saya tidak nafikan ada karya indie bermutu, tetapi sesuai dengan kedudukan Dewan Sastera dengan citra yang dibawanya selama ini, adalah tidak wajar untuk majalah ini menyiarkan karya penulis yang baru pertama kali menghasilkan karya, sekalipun karyanya bermutu. “Tidak semestinya penulis yang karya mereka tidak disiarkan dalam Dewan Sastera tidak bermutu. Tidak bermakna bila karya mereka pernah disiarkan dalam Dewan Sastera, karya mereka tidak boleh disiarkan dalam Tunas Cipta. “Kami di Dewan Sastera dan Tunas Cipta mempunyai garis panduan pemilihan karya yang sesuai untuk kedua-dua majalah berkenaan. Pemilihan karya diputuskan secara bersama oleh sidang editor dan saya terbabit sama. “Saya tidak menafikan ada karya yang cepat disiarkan kerana mutunya menyerlah berbanding sesetengah karya yang terpaksa menanti giliran, tetapi ini tidak bermakna karya yang disiarkan baik semua sepanjang bulan. “Penulis muda dan baru saya galakkan agar cuba menembusi Tunas Cipta terlebih dulu kerana persaingan pemilihan tidaklah terlalu sengit berbanding Dewan Sastera. Saya suka memberi nasihat kepada penulis jika karya pertama bermutu, tidak bermakna karya seterusnya juga demikian,” katanya berterus-terang. Bagi Padilah, beliau berkata demikian bukan kerana enggan menerima kritikan, tetapi bagi membolehkan semua penulis faham situasi editor yang ada kalanya tersepit dalam situasi penulis muda dan mapan serta akan berusaha membaiki kelemahan demi kebaikan semua pihak. akui, kadang kala editor tersepit sebegini dan mengharapkan penulis muda bersabar kerana masih ramai penulis mapan yang masih menunggu giliran karya mereka disiarkan. Padilah turut mencadangkan penulis kreatif agar bersikap lebih terbuka kerana DBP bukan saja menyedia Dewan Sastera dan Tunas Cipta, sebagai gelanggang berkarya kerana sebenarnya mereka turut boleh mengirimkannya ke Dewan Budaya. Menjawab persoalan editor ‘pilih bulu’, Editor Sastera, Berita Harian (BH), Salbiah Ani, menegaskan ruangan Sastera BH sentiasa mengamalkan sifat terbuka dan memberi peluang kepada semua penulis baik mapan mahupun muda kerana yang diutamakan ialah mutu karya. “Sebagai orang surat khabar yang menjadi keutamaan adalah isu semasa, perkara berkaitan bahasa dan bangsa Melayu, tetapi ini tidak bermakna karya bentuk lain tidak dipertimbangkan. Jika menulis mengenai isu pula janganlah mengulangi apa yang sudah disiarkan dalam berita dan rencana,” katanya. Beliau turut mengingatkan khalayak Dialog Orang Muda bahawa akhbar dan majalah mengamalkan pendekatan sedikit berbeza kerana batasan halaman memaksanya membahagikan peluang kepada karya yang lebih dekat dengan pembaca yang bukan saja orang sastera, tetapi juga biasa. “Sebagai editor sastera di akhbar saya juga turut dipersoalkan pengurusan kanan berhubung berapa banyak naskhah, pembaca dan nilai iklan yang berjaya dijana daripada halaman Sastera kerana syarikat bergerak atas dasar keuntungan. “Saya tidak akan membuka sebarang pintu polemik kerana pengalaman lalu, Berita Harian terpaksa mengorbankan RM80,000 untuk membayar seorang sasterawan hanya kerana serangan peribadi seorang pengkritik terhadapnya disiarkan dalam Berita Harian. “Segala aspek yang saya terangkan ini menjadi sebahagian daripada ciri dalam penilaian Indeks Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk diri saya selaku editor dan juga semua wartawan di bawah jagaan saya,” katanya. Beliau menutup Dialog Orang Muda dengan peringatan agar tidak menjadikan kemenangan karya dalam sesebuah hadiah sastera sebagai pengukur kerana mutu kerana pemilihan pemenang banyak dipengaruhi panel yang mengadilinya.
0 Ilmuan Islam menulis tentang politik luhur
Politik luhur landasan baru capai negara makmur Oleh Muhamad Razak Idris 2012/05/24 Idea ilmuwan Muslim mantapkan peradaban manusia patut jadi rujukan pemimpin TRADISI kesarjanaan Islam kaya dengan pelbagai perbahasan mengenai kehidupan ini. Persoalan politik antara aspek yang menjadi keprihatinan utama falsafah Muslim dalam perbahasan keilmuan mereka. Ketika menyampaikan syarahan perdana bertajuk ‘Falsafah Politik Islam dan Kepentingannya di Malaysia’ di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini, Profesor Dr Idris Zakaria merakamkan sejumlah pandangan daripada tokoh ilmuwan Islam berkenaan falsafah politik Islam. Masyarakat tidak mungkin akan mencapai kebahagiaan bernegara jika landasan kehidupan politiknya lemah dan goyah. Oleh itu, membina landasan politik luhur dan kukuh adalah asasi serta dilihat sebahagian daripada kewajipan beragama. Ini berasaskan kefahaman bahawa misi penurunan agama ialah mengatur perjalanan kehidupan manusia secara adil, saksama dan aturan keagamaan juga termasuk dalam urusan kehidupan berpolitik. Tokoh paling menonjol membicarakan persoalan ini, antaranya ialah Abu Nasr al-Farabi (870-950), Ali al-Hussin Ibn Sina (980-1037), Abu Hamid al-Ghazali (1058-1111) dan Ibn Khaldun (1332-1406). Sumbangan mereka dalam bidang pembangunan ilmu politik Islam tergambar menerusi pelbagai karya yang sehingga kini masih ditelaah. Al-Farabi sebagai contoh menulis beberapa karya utama mengenai politik, antaranya kitab al-Madinah al-Fadhilah dan al-Siayasah al-Madaniyyah. Ibn Sina merakam persoalan ini dalam karyanya, al-Syifa’, manakala Abu Hamid Al-Ghazali membicarakan persoalan politik dalam karyanya al-Tibr al-Masbuk fi Nasihat al-Muluk. Mengenai Ibn Khaldun, karya beliau al-Muqaddimah adalah teks penting yang merakamkan pelbagai teori pembangunan peradaban dan prinsip keluhuran politik. Penulis timbulkan beberapa tokoh dan karya terpilih ini bagi menunjukkan wacana kesarjanaan Islam tidak gersang daripada perbahasan mengenai idea serta pemi-kiran berhubung persoalan politik dan kenegaraan. Ia juga menggambarkan betapa ciri dan sifat sarjana Muslim bukan berwatak ‘eksklusif’ atau terpencil daripada arus perkembangan kehidupan politik serta isu kenegaraan di persekitarannya. Ternyata ahli falsafah Muslim peka dan arif realiti politik semasa serta menyumbang secara bermakna menerusi karya dan tulisan membimbing pemerintah serta rakyat ke arah mencapai buah kehidupan bernegara yang sempurna. Wacana politik Islam seperti tergambar dalam tulisan dan pemikiran ahli falsafah Muslim unik serta menarik. Politik Islam pada pandangan mereka adalah luhur dan landasan mencapai cita-cita tertinggi iaitu negara bahagia. Dengan kata lain, masyarakat tidak mungkin akan mencapai kebahagiaan bernegara jika landasan kehidupan politiknya lemah dan goyah. Oleh itu, membina landasan politik luhur dan kukuh adalah asasi serta dilihat sebahagian daripada kewajipan beragama. Ini berasaskan kefahaman bahawa misi penurunan agama ialah mengatur perjalanan kehidupan manusia secara adil, saksama dan aturan keagamaan juga termasuk dalam urusan kehidupan berpolitik. Berasaskan kesedaran bahawa pengukuhan landasan politik sebagai saluran bagi penterjemahan misi keagamaan, ahli falsafah Muslim membangunkan pelbagai teori, wawasan dan perancangan mengenai ilmu politik yang luhur. Al-Farabi sebagai contoh banyak menumpu wacananya mengenai kefahaman falsafah politik yang mana menurut beliau bagi mencapai as-saadah atau kebahagiaan. Dalam kata-katanya, Al-Farabi menjelaskan: “Kebahagiaan adalah suatu yang terbaik yang dituntut setiap manusia. Tidak ada perkara selainnya lagi untuk dicapai oleh manusia sepanjang masa dan terlebih besar daripada kebahagiaan itu sendiri.” Dalam kata lain, objektif terpenting politik ialah membina negara idaman dengan setiap warganya memperoleh kebahagiaan secara saksama. Cita-cita membina negara bahagia sebagai asas dalam politik Islam membawa kepada persoalan lanjut mengenai apakah bentuk caranya yang akan membawa masyarakat mencapai ideal berkenaan? Tentu banyak caranya. Dalam konteks ini, al-Farabi banyak menumpu kepada kepentingan struktur kepemimpinan yang kukuh dan berwibawa sebagai antara cara terpenting bagi membina sistem politik luhur. Struktur kepemimpinan ini merujuk secara khusus antaranya keperluan untuk masyarakat memiliki dan memilih ketua negara yang berkelayakan serta berkemampuan untuk mentadbir sistem politik. Untuk itu, ketua negara dalam sistem politik Islam adalah asasi. Menurut al-Farabi, ketua negara mesti memiliki kualiti diri yang tinggi lagi unggul kerana dia ibarat hati atau al-Qalb dalam tubuh manusia. Ketua negara berkualiti tinggi dari segenap aspek menjamin sistem politik luhur dapat ditadbir secara sempurna sebagai landasan menuju negara bahagia. Banyak ciri ketua negara disenaraikan al-Farabi antaranya, kesempurnaan tubuh badan dan bertenaga menjalankan tugas, mempunyai kefahaman serta daya ingatan tinggi, bijaksana, mampu menjelaskan secara baik dalam pelbagai persoalan kenegaraan, mencintai ilmu, tidak suka berfoya-foya, menjaga pemakanan, cinta kebenaran, membenci pembohongan, berjiwa besar, berhemah tinggi serta tegas menegakkan keadilan. Semangat sama mengenai kepentingan kualiti ketua negara dalam wacana politik Islam turut dikongsi Abu Hamid Al-Ghazali. Beliau dalam tulisannya menasihatkan ketua negara Islam peka terhadap permasalahan rakyat, segera menunaikan hajat rakyat apabila mendapat aduan serta tidak bermewah dalam berpakaian dan pemakanan. Ketua atau pemimpin negara harus tidak melaksanakan dasar yang boleh membawa perbuatan zalim atau menyebabkan rakyat menderita, kesusahan dan kemelaratan. Selaku pemerintah, ketua negara perlu menjadi teladan dan sumber bagi penyebaran nilai kebaikan dan kebahagiaan untuk seluruh kehidupan warga dan persekitarannya. Penulis ialah pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM
Thursday, May 10, 2012
0 jangan Pandang Enteng Hak Anda Pada Karya Seni Anda
Kemelut hak cipta Oleh Latifah Arifin latifah@bharian.com.my 2012/05/10 SEMINAR Hak Cipta 'Adaptasi daripada Buku kepada Skrin' di PWTC sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012. Pengarang perlu tahu dan sedar kepentingan melindungi karya KECUAIAN penulis terutama dalam memahami, meneliti dan menganalisis butiran dalam kontrak perjanjian sama ada bagi kebenaran mengadaptasi, pindah milik dan pelesenan karya dikenal pasti sebagai punca utama hak mereka sewenang-wenangnya dieksploitasi. Pensyarah Fakulti Undang-undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Rohazar Wati Zuallcobley, menasihatkan penulis yang mahu menuntut hak mereka agar tidak dibayangi kes mengenai pelanggaran hak cipta di Malaysia yang sedikit berbanding negara luar. “Penulis yang mahu menuntut hak mereka tidak boleh menjadikan perkara ini sebagai penghalang kerana Malaysia mempunyai Akta Hak Cipta 1987 dan jenis karya yang menerima perlindungannya, selain mereka juga boleh merujuk kes sama yang berlaku di luar negara,” katanya pada Seminar Hak Cipta - Adaptasi Daripada Buku kepada Skrin bersempena Pesta Buku Kuala Lumpur Antarabangsa 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini. Beliau mengambil inisiatif menjelaskan keraguan mengenai perlindungan undang-undang yang termaktub dalam Akta Hak Cipta 1987 sama ada ia setanding dengan perundangan hak cipta peringkat antarabangsa. “Akta Hak Cipta 1987 sememangnya setanding dengan undang-undang antarabangsa, apatah lagi Malaysia turut menjadi ahli kepada Konvensyen Berne yang memperkenalkan Perlindungan Karya Sastera dan Seni 1971. Rohazar turut berkongsi definisi hak cipta dengan peserta sebagai hak eksklusif yang diberikan oleh undang-undang bagi suatu jangka masa tertentu kepada penulis dan pengubah untuk mencetak, menerbitkan atau menjual salinan karya asal mereka. “Antara karya dilindungi termasuk penulisan sastera, seni, muzik, rakaman bunyi, filem, siaran dan karya terbitan termasuk terjemahan, data dan adaptasi. Bagaimanapun, idea dalam menghasilkan sesebuah karya tidak dilindungi di bawah akta ini,” katanya. Beliau yang juga penulis buku, Hak Cipta dan Hak Berkaitan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 2010 itu menambah, kebanyakan penulis masih belum sedar hak mereka dan kerugian timbul kerana pengabaian terhadap undang-undang yang sedia melindungi pemegang hak cipta. “Di bawah seksyen 8 (2), Akta Hak Cipta 1987 dengan jelas menerangkan, karya yang diadaptasi hendaklah tidak menjejaskan isi kandungan asal milik pengarang. Bagaimanapun, masalah timbul kerana penulis tidak menyedari hak mutlak berpihak kepada mereka. “Keadaan ini berterusan sehingga mereka menjadi mangsa keadaan apabila ada penerbit filem yang bertindak lebih bijak dengan memasukkan tambahan klausa dalam perjanjian yang menyatakan hak cipta keseluruhan automatik menjadi milik mereka,” tegasnya. Seminar berkenaan turut dihangatkan dengan persoalan penyertaan dalam sayembara, kadangkala mengakibatkan penafian hak terhadap pemilikan hak cipta yang dihadapi penulis asal tanpa mereka sedari. Prof Madya Rozahar Wati menasihati penulis agar meneliti dan memahami terma dan syarat penganjur termasuk sama ada semua hak cipta dipegang sepenuhnya penganjur sama ada karya menang atau kalah. “Jika penganjur menyatakan hanya karya yang menang saja dipegang hak ciptanya, secara automatik penulis yang gagal memenangi sebarang tempat dalam peraduan memiliki sepenuhnya hak cipta terhadap karya sendiri, “Bagaimanapun, jika syarat peraduan tidak menyatakan apa-apa mengenai hak cipta, berasaskan seksyen 10, Akta Hak Cipta 1987 tentunya penulis asal menjadi pemilik hakiki hak cipta bagi karyanya itu,” ujarnya. Seminar anjuran Bahagian Harta Intelek, Jabatan Penerbitan DBP bertambah hangat apabila penggiat filem yang juga Pensyarah Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik, UiTM, Dr Mahadi J Murat merungkai dilema perlindungan hak cipta daripada kaca mata pembuat filem. “Memahami sempadan hak dan tanggungjawab di antara penulis asal dan penerbit filem sewajarnya menjadi asas untuk merundingkan suatu kaedah menang-menang dalam kalangan mereka yang terbabit dalam perkara ini. “Bagaimana kita mencari titik pertemuan di antara penulis asal, penulis skrip dan penerbit filem adalah kunci bagi mengelakkan isu tidak puas hati terhadap hak masing-masing timbul. Apa yang saya lihat, pergelutan terjadi kerana penulis sendiri gagal memahami dan menyedari hak mereka,” katanya yang pernah menghasilkan filem sejak era 1980-an merangkumi Sayang Salmah yang memenangi beberapa anugerah. Seminar berkenaan turut dihantui soalan panas daripada peserta yang mempersoalkan hak penulis asal novel, Ombak Rindu, Fauziah Ashari yang mendakwa tidak mendapat hak sewajarnya apabila filem adaptasi novel itu pecah panggung dan meraih keuntungan jutaan ringgit. Dr Mahadi menjawab persoalan itu dengan kenyataan sektor perfileman sudah mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dan sentiasa ada perjanjian membabitkan keseluruhan produksi termasuk pelakon, penulis skrip dan pekerja di belakang tabir termasuk sumber karya yang diadaptasi. “Dalam kes Ombak Rindu, penulis buku berkenaan ada menyuarakan perasaan tidak puas hati terhadap royalti yang diperuntukkan dan saya nasihatkan penulis menjadikan isu itu sebagai pengajaran sebelum membenarkan karya diadaptasi. “Jangan lupa novel Ombak Rindu menerima banyak manfaat selepas diadaptasi. Bayangkan naskhah itu laris seperti pisang goreng panas sehingga mencecahkan cetak ulang ke-23. Penulis dan syarikat penerbitan novel itu turut mendapat habuan lumayan gara-gara filem Ombak Rindu meletup. “Masyarakat perlu sedar, filem yang baik bukan saja bergantung kepada skrip atau jalan cerita semata-mata, tetapi turut dibantu skor muzik menarik, pelakon popular dan sinematografi indah,” ujarnya. Seminarnya ini tentunya tidak sia-sia bagi karyawan sastera memandangkan ia menjelaskan beberapa dimensi berhubung Akta Hak Cipta 1987 yang hakikatnya menjadi kepentingan pengkarya, tetapi mereka perlu ada kesedaran mengenai demi menjaga kepentingan diri.
Tuesday, May 08, 2012
0 Penetapan baharu umur belia dari 40 ke 30 tahun, aku pun terkena
Umur belia dihad kepada 30 tahun Oleh FAHAMI AHMAD fahami.ahmad@kosmo.com.my LEBIH ramai golongan belia bawah umur 30 tahun akan berpeluang menerajui persatuan belia jika umur belia dihadkan kepada 30 tahun. - Gambar hiasan PUTRAJAYA - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bercadang untuk menetapkan had umur baharu bagi golongan belia di negara ini iaitu bermula dari 15 hingga 30 tahun berbanding 15 hingga 40 tahun sebelum ini. Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, had umur baharu tersebut dicadangkan supaya selaras dengan had umur belia di negara-negara Komanwel dan negara-negara jiran Malaysia. Menurut beliau, had umur 40 tahun untuk golongan belia yang diaplikasi di Malaysia ketika ini sudah tidak sesuai kerana mereka yang berumur 30 tahun ke atas sudah terlalu berusia untuk menerajui mana-mana persatuan belia. "Selain itu, tujuan kita awalkan had umur ini kepada 30 tahun adalah bagi membolehkan proses kematangan rakyat di negara ini akan menjadi lebih awal. "Kalau di negara lain, mereka yang berumur 40 tahun sudah menjadi pemimpin negara tetapi di negara kita, golongan itu baru hendak menjadi ketua persatuan belia," katanya.



