.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Wednesday, January 25, 2012

0 Desakan mendapat pekerjaan yang baik untuk kehidupan yang lebih baik

Menjana pekerjaan menerusi pendidikan tinggi
Oleh Dr Sharifah Hapsah

2012/01/25
Sekolah, universiti perlu lahir graduan berkualiti, bukan hanya pentingkan kelulusan

PADA masa lampau semua lulusan universiti terjamin memperoleh pekerjaan yang baik, khususnya dalam perkhidmatan awam yang sedang pesat berkembang. Apabila negara mencebur diri dalam perindustrian, ramai pula diterima bekerja dengan pihak swasta. Malah ada mahasiswa yang terus mendapat tawaran pekerjaan ketika masih berada di tahun akhir pengajian mereka. Namun keadaan ini sudah berlalu. Graduan termasuk yang memperoleh biasiswa pun tidak lagi terjamin akan diberi pekerjaan. Keadaan ekonomi ialah antara faktor penyebab seperti juga faktor kebolehupayaan graduan itu sendiri mendapat pekerjaan. Kita perlu berusaha menangani kedua-dua faktor ini supaya pengangguran tidak akan menjadi satu masalah rumit dalam kalangan graduan.

Nampaknya masalah yang amat meresahkan kita dewasa ini bukannya peningkatan kos rawatan pesakit, puak pelampau dan keganasan global atau pun pencemaran alam sekitar tetapi ketandusan pekerjaan yang baik untuk semua.

Dalam buku The Coming Jobs War yang berdasarkan satu bancian pendapat orang ramai, penulisnya Jim Clifton, yang juga Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Gallup, menyatakan dalam tempoh 30 tahun kebelakangan ini, masyarakat telah berubah daripada menginginkan kasih sayang, wang, makanan, perlindungan, keselamatan, kedamaian dan kebebasan kepada desakan untuk mendapat pekerjaan yang baik untuk diri dan anak-anak mereka.

Bancian ini juga mendapati bahawa tiga bilion daripada sejumlah lima bilion manusia berumur 15 tahun ke atas memaklumkan kepada Gallup bahawa mereka sedang bekerja atau mahukan pekerjaan. Masalahnya, kini ada 1.2 bilion pekerjaan formal sekurang-kurangnya 30 jam, dengan pendapatan tetap.
Keadaan ini boleh mewujudkan tekanan yang boleh menggugat kestabilan masyarakat akibat 1.8 bilion orang, merangkumi hingga seperempat daripada keseluruhan jumlah manusia di dunia, tidak mempunyai pekerjaan tetap. Pengangguran ialah masalah besar yang boleh mendatangkan kekecewaan dan kehampaan rakyat sesebuah negara. Ini dengan sendirinya boleh menyebabkan kemerosotan nisbah kesejahteraan negara. Penganggur ialah rakyat yang amat murung sehingga ada yang memerlukan lebih banyak rawatan kesihatan.

Pekerjaan dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mempunyai perhubungan rapat. Tanpa pertumbuhan KDNK penambahan pekerjaan tidak akan berlaku. Apabila tidak ada penambahan pekerjaan, pertumbuhan KDNK juga tidak akan berlaku. Justeru, penjanaan pekerjaan baru dan pertumbuhan baik KDNK ialah antara unsur perubahan utama yang boleh membawa kepada kesejahteraan dunia.

Maka, Program Transformasi Negara (GTP) yang diharap membuahkan hasil dalam jangka masa Rancangan Malaysia Kesepuluh dan ke-11 seiring dengan Model Baru Ekonomi adalah langkah tepat untuk menjana peluang pekerjaan. Wawasan mencapai taraf negara berpendapatan tinggi adalah sejajar dengan rangsangan pertumbuhan ekonomi, penjanaan pekerjaan dan penarikan pelaburan. Matlamat akhirnya ialah jaminan peningkatan kualiti hidup rakyat yang mana tidak seorang pun akan terpinggir, manakala masa hadapan generasi akan datang tidak pula terabai.

Pelajaran ialah asas dan landasan kepada GTP. Ia adalah juga satu daripada tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam Program Transformasi Kerajaan dan menjadi satu daripada 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dalam Program Transformasi Ekonomi, selain keperluannya Program Transformasi Luar Bandar dan Program Transformasi Politik.

Dengan itu, pengetua sekolah dan naib canselor universiti harus berpandangan jauh dan tidak hanya tertumpu kepada kadar kelulusan graduan tetapi turut memberi tumpuan kepada pendidikan yang dapat menjamin peluang pekerjaan yang lebih cerah.

Kebanyakan pekerjaan kini dijana oleh syarikat kecil dan sederhana (SKS). Di Amerika Syarikat misalnya 99 peratus daripada sejumlah enam juta syarikatnya mempunyai kurang daripada 500 pekerja. Penubuhan SKS pula memerlukan pencipta inovasi dan usahawan. Bagaimanapun, pencipta inovasi saja tidak memadai.

Inovasi belum tentu dapat dimajukan tanpa pengusaha berbakat yang boleh menilai dan menterjemahkan inovasi itu untuk dibangunkan sebagai satu usaha perniagaan. Pengusaha itu harus pula sudah mempunyai corak dan strategi perniagaan hingga dapat mengeluarkan barangan dan perkhidmatan yang boleh memenuhi kehendak pengguna untuk jualan dan mendatangkan keuntungan. Pertumbuhan KDNK dan penjanaan pekerjaan akan terlaksana dengan hasil perniagaan, bukannya daripada inovasi semata-mata.

Universiti perlu menyumbang kepada transformasi kebangsaan bukan saja dengan penghasilan graduan yang memenuhi keperluan ekonomi baru serta menjana ilmu untuk menyokong sistem inovasi kebangsaan, tetapi juga berperanan menjana pekerjaan.

Oleh itu sebuah universiti penyelidikan seperti UKM perlu memupuk budaya inovasi dan keusahawanan sebagai suatu nilai teras akademiknya. Inovasi, khususnya inovasi berteknologi memupuk dinamisme keusahawanan bagi merangsang pertumbuhan perniagaan dan menghasilkan pekerjaan berpendapatan tinggi.

Menerusi inovasi dan keusahawanan universiti bukan saja menghasilkan jurutera, saintis dan pereka ciptaan, tetapi juga pengusaha dan kelompok berbakat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang boleh memberi nilai tambah kepada syarikat terbitan universiti yang memberi manfaat kepada institusi, fakulti dan pelajar. Lebih penting lagi budaya inovasi dan keusahawanan akan dapat menanam keyakinan dan meningkat semangat para graduan untuk membenih idea sehingga tumbuh subur sebagai perniagaan melalui inovasi dan keusahawanan.

Misalnya di UKM pelajar semua bidang pengajian sejak tahun pertama lagi sehingga tahun akhir didedahkan kepada usaha dan pengalaman membawa hasil penyelidikan kepada pasaran. Mereka juga diberi ruang bekerja dengan SKS untuk menyelesaikan masalah sebenar dengan memenuhi kehendak pasaran.

Penulis ialah Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia

Thursday, January 19, 2012

0 Kehebatan Muzik Retro dan kehebatan Aizat mencipta lagu

Aizat pilih muzik retro untuk album ketiga
Oleh Muhamad Fairoz Azizan

2012/01/18
AizAT memperkenalkan Amir (kiri) sebagai artis pertama naungannya.



AizAT memperkenalkan Amir (kiri) sebagai artis pertama naungannya.

TERTARIK dengan melodi dan susunan muzik era 60-an dan 70-an, Aizat Amdan terdetik menghasilkan album berentak sedemikian bagi percubaan ketiganya nanti.
Berasakan muzik terbabit kembali mendapat tempat dan diterima peminat, album itu bagaimanapun bakal diperkuatkan lirik terkini.
Idea menampilkan kembali muzik retro tercetus selepas penyanyi yang dicalonkan dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-25 itu mendengar lagu nyanyian Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Datuk A Rahman Hassan. “Album ketiga nanti akan fokus kepada susunan muzik dan bunyi, malah saya akan masukkan irama lama ke dalam lagu moden kerana banyak maklum balas yang saya terima menyatakan mereka minat dengan lagu sedemikian.

“Walaupun iramanya sederhana, tetapi saya akan hasilkan sesuatu yang menarik terutama dari segi lirik supaya ia senang diingati. Lagu sebegini tidak terlalu kompleks dan berkonsepkan light and easy,” katanya pada majlis memperkenalkan artis baru di bawah syarikatnya, Kasi Gegar Entertainment (KGE), Amir Jahari.

Album yang memuatkan lebih 10 lagu terbaru itu hanya akan menjalani proses rakaman pertengahan Februari kerana studio rakamannya sedang diubahsuai.
Aizat, 23, juga merancang penerbitan album Inggeris pertamanya sebelum berangkat menyambung pengajian di United Kingdom, tahun ini.

“Sekarang saya sibuk menulis lagu dan setakat ini sudah 16 lagu disiapkan. Tetapi tidak semua lagu itu akan dimuatkan dalam album terbaru nanti," katanya. Tidak hanya menumpukan kepada bidang nyanyian, KGE turut menerbitkan program televisyen berbentuk travelog, Aizat Gegar New Zealand, siaran TV9, di samping terbabit dalam filem animasi, Bola Kampung.
“Insya-Allah lepas ini KGE akan terbabit dalam penghasilan lagu tema untuk filem atau drama, selepas filem Istanbul Aku Datang," ujarnya.

Sementara itu, Aizat berkata dia tertarik untuk mengambil bekas peserta Akademi Fantasia 9 dari Sarawak itu sebagai artisnya kerana bakat dimiliki penyanyi berkenaan.

“Dia boleh bermain muzik dan mencipta lagu. Insya-Allah dia juga akan muncul bersama albumnya sendiri, di samping menghasilkan lagu untuk artis lain,” jelasnya.

Tidak berasakan Amir menumpang popularitinya, sebaliknya Aizat menegaskan, bakat baru itu mempunyai aura tersendiri dalam memperkenalkan muziknya, malah kekuatan melodi dan lagunya mampu menarik minat pendengar.

Tuesday, January 03, 2012

0 Kinabatangan Sabah lebih ramai warga asing daripada penduduk tempatan





Artikel berkaitan:

Jumlah penduduk Malaysia yang terkini : 27,565,821 orang
14,112,667 lelaki dan 13,453,154 perempuan
6,396,174 isi rumah dan 7,380,865 tempat kediaman di seluruh negara
Banci 2010 adalah yang kelima dijalankan untuk menghasilkan data yang berguna bagi merancang dan melaksanakan dasar pembangunn negara. Banci sebelum ini dijalankan pada 1970, 1980, 1991 dan 2000
Selangor mempunyai taburan penduduk tertinggi dalam negara dengan 5,411,324 orang (19.63 peratus) setelah mencatat kadar pertumbuhan penduduk 3.17 peratus
Putrajaya yang mempunyai 67,964 penduduk mencatat pertumbuhan penduduk paling pesat iaitu 17.77 peratus akibat perpindahan kebanyakan pejabat kerajaan serta perpindahan penduduk ke kuarters kerajaan di situ.
Labuan, Sabah, Sarawak, Johor, Terengganu, Kedah dan Negeri Sembilan adalah antara negeri yang mencatatkan penurunan kadar pertumbuhan penduduk
Mengenai kadar kesuburan penduduk, beliau berkata ia menurun kepada 2.3 peratus pada tahun lepas berbanding tiga peratus pada tahun 2000.
Dijangka pada tahun 2015 terdapat kemungkinan kadar kesuburan penduduk di Malaysia turun kepada 2.1 peratus seperti juga di negara maju

0 Kenapa Lin Dan atau China terlalu handal dalam badminton?

Pengasas Apple inspirasi Lin Dan



Lin Dan

BEIJING - Bintang badminton China, Lin Dan semalam mendedahkan, pengasas Apple Inc., Steve Jobs adalah orang yang memberi inspirasi kepadanya untuk berjaya.

Lin Dan mendedahkan, dunianya terus berubah selepas membaca biografi lampau Jobs, di mana dia memasang azam yang kuat untuk mengejar mimpi.

Juara Olimpik dan dunia itu turut menambah, dia mahu menjadi seorang individu yang sangat berpengaruh dalam sukan badminton menerusi permainan dan karisma yang ada pada dirinya.

"Walaupun dia (Jobs) tiada kaitan dengan sukan, namun saya sangat berinspirasi selepas membaca biografinya. Kami selalu memikirkan bagaimana hendak mempromosikan badminton dengan lebih jauh menerusi pengaruh kami dan bagaimana hendak menarik orang ramai meminati bulu tangkis,'' kata Lin Dan dalam satu temu bual dengan stesen TV China, baru-baru ini.

Bekas pemain No. 1 dunia itu berkata, dia membaca buku tersebut ketika sedang bersantai dan tidak mempunyai latihan atau pertandingan.

Biarpun masih gagal merampas takhta No. 1 dunia daripada bintang Malaysia, Datuk Lee Chong Wei, Lin Dan mengharungi karier yang menakjubkan, termasuk merangkul kejuaraan dunia buat kali keempat di Arena Wembley, Ogos lalu, iaitu venue yang bakal menjadi tuan rumah Sukan Olimpik London 2012.

Dia turut melengkapkan gelaran "Grand Slam" dengan menumpaskan rakan senegara, Chen Long untuk merangkul kejuaraan Siri Super Masters Akhir di Li Zhou, China pada 18 Disember lalu.

Bagaimanapun di mata Lin Dan, bintang tenis China, Li Na yang muncul pemain pertama negaranya merangkul kejuaraan tenis Grand Slam dengan memenangi Terbuka Perancis, lebih layak ditabal sebagai bintang sukan terbaik China sepanjang 2011 kerana menunjukkan prestasi yang luar biasa.

Kejuaraan yang diraihnya berbeza dengan kemenangan kami pada Sukan Olimpik, dia telah merubah nilai sukan China di mata dunia. Saya harap, lebih ramai orang China akan melakukan apa yang telah dilakukan,'' katanya.

Lin Dan turut mendedahkan, dia terkejut dengan keputusan rakan senegara, Bao Chunlai untuk bersara secara tiba-tiba, bagaimanapun dia memahami mengapa pemain itu membuat keputusan tersebut.

Bercakap mengenai perancangannya pada 2012, Lin Dan menegaskan, fokusnya cuma satu, Sukan Olimpik London.

"Selain itu, saya juga merancang masa depan saya. Saya harap dapat mempromosikan badminton dalam cara yang baik tetapi sekarang, saya tahu peminat saya hanya mahu saya terus bermain dan mencari kejayaan,'' katanya lagi. - AGENSI

0 Peruntukan RM5j untuk majukan industri kreatif di Sabah

6 syarikat terima dana bangun industri kreatif



Mohd. Nazri Abdullah (kiri) diiringi Tengku Zaib Raja Ahmad (tengah) menyampaikan cek pendahuluan kepada Pengurus Syarikat Mentari Tropika (Sabah) Sdn. Bhd., Abu Bakar Elah di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

KOTA KINABALU 1 Jan. - Buat julung kalinya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) menandatangani perjanjian persefahaman dengan syarikat tempatan bagi membangunkan industri kreatif di negeri ini.

Ketua Pegawai Perkhidmatan dan Sokongan SKMM, Tengku Zaib Raja Ahmad berkata, melalui perjanjian itu pihaknya akan menyalurkan dana kepada enam syarikat terpilih bagi membangunkan kandungan kreatif tempatan.

"Dana daripada peruntukan sebanyak RM5 juta bagi tempoh tiga tahun itu diberi berdasarkan kos program yang dibuat oleh sesebuah syarikat industri kreatif di negeri ini.

"Jadi kita berharap ia akan menjadi pendorong kepada kerancakan pertumbuhan industri kandungan kreatif di Sabah dan Sarawak," katanya selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara SKMM dengan syarikat-syarikat pembekal bagi program TVi di sini kelmarin.

Turut hadir, Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Mohd. Nazri Abdullah dan Pengarah Yayasan Sabah, Tan Sri Datu Khalil Datu Jamalul.

Enam syarikat tempatan yang terpilih ialah Erawave Sdn. Bhd., Bestaborneo Sdn. Bhd, Apple Studio Production, Layar Kinabalu Sdn. Bhd., Mentari Tropika (Sabah) Sdn. Bhd dan Tampasak JA Production.

Pada majlis itu keenam-enam syarikat berkenaan turut menerima cek pendahuluan sebanyak 30 peratus daripada jumlah yang bakal diterima mereka.

Tambah Tengku Zaib, melalui perjanjian itu SKMM berperanan menyediakan dana manakala RTM akan memberikan nasihat dan tunjuk ajar kepada syarikat terbabit.

Katanya, program yang disiapkan oleh syarikat berkenaan kemudiannya akan ditayangkan di TVi.

"Menjadi harapan SKMM agar eksperimen kerjasama kali pertama ini akan menghasilkan impak positif kepada perkembangan industri kandungan kreatif di Sabah," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga akhir tahun ini SKMM telah meluluskan sebanyak RM34 juta projek bagi membangunkan industri kreatif di seluruh negara.

Ujarnya, daripada jumlah itu sebanyak RM10 juta digunakan dalam kerjasama strategik RTM dan SKMM bagi membangunkan kandungan Sabah dan Sarawak untuk saluran TVi.

Wednesday, December 14, 2011

0 Ombak Rindu - RM1,600 dan RM219,845.09 dan RM50,000 lagi

Alaf 21 Tidak Mahu Saman Penulis Novel Ombak Rindu



KUALA LUMPUR – Penerbit novel Ombak Rindu, Alaf 21 Sdn. Bhd. tidak akan menyaman Fauziah Ashari biarpun penulis novel itu memberi kenyataan di sebuah akhbar tabloid Rabu lalu bahawa dia hanya menerima royalti RM1,600 apabila karyanya itu diadaptasi ke filem.

Alaf 21 yang berada di bawah Kumpulan Karangkraf dibayar oleh penerbit filem Ombak Rindu iaitu Tarantela Pictures Sdn. Bhd, sebanyak RM4,000 termasuk bayaran yang diterima oleh Fauziah bagi mengadaptasi novel itu ke filem yang telah ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 1 Disember lalu.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr. Hushamuddin Yaacub, biarpun royalti adaptasi Ombak Rindu ke filem agak kecil tetapi pada masa sama populariti filem itu secara tidak langsung telah menyebabkan novel itu diulang cetak sebanyak dua kali baru-baru ini.

“Apapun saya telah ampunkan apa juga kenyataan Fauziah di akhbar tabloid itu. Kalau mahu minta ampun pun biarlah dia mintanya dengan Allah. Saya juga tidak akan menyaman atau mengambil tindakan mahkamah kerana kenyataannya itu melainkan kalau ia melampau-lampau,” ujarnya pada sidang akhbar di pejabat Kumpulan Karangkraf di sini.

Jelas Hushamuddin, Fauziah sepatutnya bersyukur kerana biarpun mendapat royalti yang sedikit tetapi populariti filem itu secara tidak langsung telah mempopularkan novel Ombak Rindu sehingga ia diulang cetak beberapa kali ekoran sambutan filem tersebut.

“Alaf Baru telah mengulang cetal novel Ombak Rindu sebayak 20,000 naskhah dan ia telah habis dijual. Hari ini kami mencetak lagi sebanyak 20,000 naskhah atas permintaan para pembaca. Daripada dua kali novel itu diulang cetak, Fauziah akan mendapat royalti sekurang-kurangnya RM50,000.

“Sebab itu, adalah tidak adil jika Fauziah kata dia tidak mendapat bayaran daripada hak kebenaran daripada novelnya itu. Saya rasa dia harus meneliti kontraknya dengan Alaf 21. Mungkin dia lupa atau tidak faham kontrak yang telah ditandatanganinya dengan kami,” ujarnya.

Tambah Hushamuddin Yaacob, pihaknya mempunyai hak untuk menguruskan novel Ombak Rindu termasuklah menjual hak karya itu kepada pihak lain dalam bentuk lain termasuklah adaptasi ke filem termasuklah menetapkan berapakah harga bayaran yang harus dibayar untuk sesuatu proses adaptasi itu dilakukan.

“Kami juga telah membayar royalti Ombak Rindu kepada Fauziah kerana sejak novel itu diterbitkan pada tahun 2002 dia telah menerima royalti berjumlah RM219,845,09 sen. Jumlah itu tidak termasuk RM1,600 yang diterimanya itu.

“Kami sebagai penerbit mengambil RM2,400 daripada royalti yang diberi oleh penerbit filem itu. Kami mula menjual hakcipta novel itu pada 2009 di mana ketika itu tidak ada penerbit filem yang berminat untuk mengangkat novel-novel terbitan kami menerusi medium filem.

“Ini adalah karya pertama Alaf 21 yang diadaptasi ke filem. Daripada novel itu diciplak atau diadaptasi tanpa kebenaran lebih baik kami memberi kebenaran ia difilemkan walaupun royalti yang dikenakan hanya RM4,000 sahaja,” tuturnya.

Sidang akhbar tergempar itu diadakan selepas Fauziah meluahkan rasa tidak puas hatinya dalam sebuah akhbar tabloid Harian Metro pada 7 Disember lalu yang menyatakan bayaran royalti yang diterimanya itu tidak berbaloi dengan sambutan filem Ombak Rindu.

Filem arahan Osman Ali itu yang dilakonkan antaranya oleh Maya Karin, Aaron Aziz, Lisa Surihani dan Bront Palarae itu mendapat sambutan luar dugaan apabila sehingga semalam kutipan tiket filem terbabit berjaya mencecah lebih RM5 juta. – mynewshub.my


Artikel berkaitan:

Rendahnya nilai novel ke filem

FILEM yang diadaptasi daripada novel atau buku bukanlah perkara baru. Ia sudah lama diamalkan dalam mana-mana industri filem di dunia termasuk di Malaysia. Kebanyakan buku atau novel yang diangkat ke filem adalah karya yang mempunyai tarikan yang tersendiri.

Kalau kurang berkualiti sekalipun, novel yang diangkat biasanya popular di kalangan pembaca. Contohnya, novel cinta yang mudah membuai perasaan. Cuma, tidak semua filem yang diadaptasi daripada novel dijamin mendapat sambutan.

Dalam konteks dunia perfileman tempatan pernah ada beberapa filem yang diangkat daripada novel tetapi gagal di pawagam. Misalnya, Jogho karya S. Othman Kelantan yang difilemkan oleh U-Wei Haji Saari. Filem itu banyak dijaja di festival filem luar negara. Tetapi sayangnya, kutipan tiketnya tidaklah bertaraf box-office.

Bagaimanapun, menjadi bonus jika sesebuah novel itu bukan sahaja mendapat sambutan para pembaca, malah turut bertaraf pecah panggung selepas ia diangkat ke layar perak. Novel Ombak Rindu nukilan Fauziah Ashari adalah salah satu buktinya.

Sejak sembilan tahun lalu lagi, Ombak Rindu sudah berjaya membuatkan penerbit dan penulisnya tersenyum lebar. Sebab itu, apabila ia terpilih untuk diangkat ke layar perak sepatutnya ada kepekaan dan nilai penghargaan yang tinggi pada naskhah itu supaya tidak timbul masalah dan rungutan di kemudian hari.

Ombak Rindu terbitan Alaf 21 Sdn. Bhd. pada 2002 bukan sahaja melayakkan penulisnya mendapat royalti lebih RM219,000 hasil jualan novel itu. Malah, filem Ombak Rindu arahan Osman Ali itu kini mencecah kutipan tiket lebih RM6 juta sejak tayangannya di pawagam 1 Disember lalu.

Senario itu membuktikan keupayaan Fauziah dan Osman dalam menterjemahkan karya itu mengikut medium masing-masing. Namun, apa juga kejayaan filem Ombak Rindu, kredit seharusnya diberikan lebih kepada Fauziah selaku pencetus idea asal naskhah tersebut.

Ini kerana, apabila ada mana-mana penerbit yang berminat mengangkat sesebuah novel ke filem maka sudah semestinya naskhah itu mempunyai tarikan tersendiri. Pihak penerbit mahupun pemegang hakcipta karya itu seharusnya peka dan tahu meletakkan harga produk-produk mereka.

Ia bagi mengelakkan sesebuah karya itu dipandang ringan oleh pihak-pihak lain. Novel sama juga medium lain sebagai salah satu wahana seni yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat. Dalam isu novel Ombak Rindu tarikan naskhah itu sepatutnya dihargai oleh penerbit.

Soal sebelum ini tiada pihak yang berminat mengangkat novel yang menarik seperti Ombak Rindu menerusi medium drama atau filem tidak timbul. Apa yang penting bukan mudah mahu menggamit emosi para pembaca dalam mengabiskan novel setebal 563 muka surat itu.

Kalau tidak ada penerbit yang berminat mengangkat novel atau buku yang hebat masyarakat keseluruhannya yang akan rugi kerana tidak dapat berkongsi pengalaman daripada cetusan idea-idea daripada adaptasi itu.

Daripada sudut lain ia juga ada kaitan dengan maruah dan taraf novel dan buku itu sendiri dalam konteks sebagai agen membentuk masyarakat membaca. Secara tidak langsung ia seolah-olah memijak peranan dan kekuatan yang ada pada novel lebih rendah daripada filem.

Hakikatnya baik novel mahupun filem kedua-duanya mempunyai peranan tersendiri.

Novel membawa para pembaca menyelami setiap patah perkataan dalam masa berjam-jam atau berminggu-minggu. Tetapi filem mampu menterjemahkannya melalui audio dan visual dalam masa dua jam.

Isu yang tercetus atas kontroversi Fauziah yang mengeluh kerana bayaran royalti yang diberikan oleh penerbit Ombak Rindu sebanyak RM4,000 agak kecil. Ada juga yang kata nasi sudah menjadi bubur apatah lagi ia muncul selepas filem itu mendapat sambutan.

Selepas ini baik penerbit, penulis mahupun pemegang hakcipta sesebuah novel seharusnya meletakkan harga dan maruah atas produk-produk mereka. Soal ada atau tidak penerbit yang mahu mengangkatnya ke medium filem itu perkara kedua.

Jika novel itu layak untuk diangkat ke layar perak, ringgit dan sen bukan persoalannya. Penerbit yang berminat untuk mengadaptasi mana-mana novel ke filem perlu membayar harga yang ditetapkan.

Novel yang menarik tetap hebat di hati pembaca biarpun ia tidak akan popular atau kurang mendapat sambutan di filem.

Apa yang penting novel mempunyai kelas dan peminatnya sendiri. Maruahnya harus dijaga, selain dihargai oleh pihak yang mahu mengangkatnya ke filem.


Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=hi_05.htm

0 Jenama Harimau Malaya makin laku


Ramai nak uji Harimau Malaya

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my


Kecemerlangan skuad Harimau Malaya membuatkan banyak pasukan antarabangsa berminat mengadakan perlawanan persahabatan.

SHAH ALAM - Arab Saudi sudah bersetuju dan sanggup membiayai, Congo pula sudah memohon malah sehingga Iran mahupun Paraguay, mula mengintai untuk mengadakan perlawanan bola sepak persahabatan dengan skuad kebangsaan sepanjang tahun depan.

Semuanya gara-gara fenomena kejayaan Harimau Malaya menjulang Piala Suzuki AFF 2010 dan kehebatan Harimau Muda pada Sukan SEA XXVI lantas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pula tidak menang tangan untuk menguruskan siri persahabatan antarabangsa A itu di Malaysia atau luar negara.

Hasrat negara di ranking dunia lebih baik yang memang ditunggu-tunggu Malaysia itu, didedahkan pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Subahan Kamal yang ditemui pada majlis undian Liga Super, Liga Perdana dan Piala FA 2012 di sini, semalam.

"Arab Saudi mempelawa, malah sanggup membiayai kehadiran pasukan kita dari segi penerbangan dan penginapan dalam persahabatan di Melbourne pada 20 Februari ini sebagai persediaan menjelang jadual Kelayakan Piala Dunia 2014 mereka dengan Australia.

"Hasrat kesemua pasukan ini menunjukkan Harimau Malaya sudah mempunyai nama dan mutu permainan yang boleh dibanggakan. Kecuali Arab Saudi yang sudah sah, yang lain-lain masih di peringkat perbincangan tetapi jika berjaya, ini bakal menjadi persediaan terbaik kita mempertahankan Piala Suzuki AFF, tahun depan," katanya.

Kata Subahan yang juga Naib Presiden FAM, Congo memohon untuk mengadakan persahabatan di Kuala Lumpur sementara rundingan dengan Iran bakal bergantung kepada persetujuan mengenai soal bayaran, tarikh perlawanan dan gelanggangnya.