.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Wednesday, October 26, 2011

0 Penghuni bumi semakin ramai juga susah

Penghuni dunia cecah 15 bilion


2011/10/25
Bumi kini hadapi masalah penduduk, suhu

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran penduduk dunia akan mencecah 15 bilion orang menjelang akhir abad ini, menyebabkan tekanan berat kepada sumber planet Bumi, kecuali tindakan segera diambil untuk mengawal kadar pertumbuhan.
Perangkaan itu berkemungkinan mengejutkan ramai pakar kerana ia jauh lebih tinggi berbanding yang dianggarkan.
Terdahulu, PBB menganggarkan dunia akan memiliki 10 bilion penduduk menjelang akhir abad ini, manakala ketika ini hampir tujuh bilion orang menghuni dunia.

Perangkaan baru itu dinyatakan dalam kajian oleh Dana Kependudukan PBB (UNFPA) yang akan disiarkan minggu ini. Laporan bertajuk ‘Kedudukan Penduduk Dunia 2011,’ dihimpun untuk menandakan bahawa di mana-mana saja di muka Bumi, bayi yang dilahirkan akan menjadikan penduduk dunia melebihi tujuh bilion.

Sebahagian pakar memberi reaksi terkejut dengan perangkaan itu. Pengerusi Population Matters, Roger Martin, yang berkempen untuk mengawal penduduk, berkata Bumi memasuki fasa baru yang bahaya.

“Planet kita menghadapi masalah dari semua aspek termasuki pertumbuhan penduduk dan perubahan suhu. Planet sebenarnya tidak menampung tujuh bilion penduduk,” katanya.
Bumi mempunyai dua kali ganda penduduk sejak tahun 1960-an, disebabkan kadar kelahiran tinggi di Afrika, Asia dan Amerika Latin.

Sebahagian lagi masih ragu-ragu dengan fakta bahawa penduduk dunia akan mencecah 15 bilion dengan kadar segera. Penulis Population Bomb, Profesor Jack Goldstone, dari Universiti George Mason, berkata beliau yakin pemimpin dunia akan mengambil tindakan tertentu untuk memastikan penduduk dunia dapat dikurangkan.

“Cara mengurangkan bilangan kanak-kanak dalam keluarga tersebar ke seluruh dunia,” katanya sambil menambah 10 hingga 12 bilion penduduk menjelang 2100.

Ramai pakar dasar percaya kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) mempunyai cara mengehad dan mengawal penduduk dunia. Kunci utama, kata mereka ialah memastikan perancangan keluarga yang berkesan disampaikan ke seluruh negara membangun.

“Apa yang amat kritikal ialah komitmen kerajaan. Perancangan keluarga sebenarnya tidak mahal,” kata Naib Presiden Majlis Kependudukan beribu pejabat di New York, John Bongaarts.

Bagaimanapun, aktivis isu perancangan keluarga berdepan faktor budaya dan agama yang menjadikan usaha mendidik wanita dan mengurangkan saiz keluarga sukar. – Agensi

Saturday, October 22, 2011

0 Risiko survival hidup akibat penjamin jatuh bankrap

Jangan ambil mudah jadi penjamin

Amran Othman, Selayang

SAYA sebenarnya telah disenarai hitam oleh pihak bank kerana saya menjadi penjamin kepada seorang rakan yang tidak bertanggungjawab. Saya ingin mengetahui sama ada pihak bank masih boleh menimbangkan permohonan saya membuat pinjaman untuk membeli kereta baharu.

MASALAH pembayaran balik hutang adalah sebahagian lumrah kehidupan dan tidak ramai orang yang terlepas daripada kesilapan ini. Pada peringkat yang paling asas, masalah ini mungkin timbul kerana anda terlupa membuat bayaran tepat pada masanya.

Anda mungkin dikenakan denda kecil tetapi tidak serius kerana tiada kesan dalam jangka panjang.

Namun begitu, jika nama anda dimasukkan dalam senarai hitam, ia bukan lagi masalah kecil dalam laporan kredit anda - ini satu tanda amaran besar kepada pemberi pinjaman.

Selepas disenarai hitam, anda tidak layak lagi untuk mendapat segala jenis pinjaman. Prosedur untuk dikeluarkan daripada senarai hitam juga amat rumit.

Ramai orang beranggapan bahawa tiada masalah untuk menjadi penjamin kepada orang lain; semudah meminjamkan kereta kepada kawan.

Tetapi jika kereta tersebut mengalami kemalangan, di situlah masalah anda bermula. Dalam keadaan yang sama, apabila anda menjadi penjamin kepada orang lain, anda mungkin menjadi mangsa.

Jika anda pernah menjamin seseorang dan beliau mengalami masalah kewangan dan gagal membayar, tuntutan juga akan dibuat terhadap anda dan nama anda akan dimasukkan dalam rekod senarai hitam dan rekod ini akan kekal dalam laporan kredit anda - walaupun selepas kawan anda menjelaskan segala hutang dan menyelesaikan masalah tersebut.

Malah, masalah besar seperti disenarai hitam mungkin kekal dalam laporan kredit anda selama bertahun-tahun, menjejaskan markah kredit anda.

Walaupun masalah kredit anda timbul kerana gagal membayar, tempoh tertentu diperlukan sebelum tanda tersebut hilang daripada laporan kredit dan menaikkan markah kredit anda untuk mencerminkan rekod pembayaran semasa yang lebih baik.

Ini bermakna jika anda menghadapi masalah besar seperti disenarai hitam atau muflis, anda mungkin terpaksa menunggu sehingga nama anda dikeluarkan sepenuhnya daripada rekod. Sebagai contoh, jika anda telah diisytiharkan muflis atau telah disenarai hitam, kredit anda terjejas teruk dan anda tidak mungkin mendapat sebarang bentuk pinjaman.

Walaupun markah kredit anda sekarang ini cukup baik, anda mungkin perlu memerlukan lebih masa untuk meningkatkan penarafan kredit secukupnya bagi mendapatkan pinjaman.

Institusi kewangan mungkin mempunyai dasar pinjaman berbeza. Dalam memproses permohonan pinjaman, institusi kewangan akan melakukan penilaian kredit ke atas peminjam.

Ini mungkin membabitkan pemeriksaan latar belakang daripada pelbagai sumber, antara lain, Biro Kredit sahih atau agensi seperti CTOS Sdn. Bhd. (CTOS), Financial Information Services Sdn Bhd (FIS), RAM Credit Information Sdn Bhd (RAM) atau Central Credit Reference Information System (CCRIS), sebuah sistem maklumat yang disediakan oleh Bank Negara Malaysia.

Maklumat yang disediakan oleh agensi rujukan kredit akan membantu institusi kewangan dalam proses penilaian mereka.

Justeru, masing-masing mungkin mempunyai penilaian berbeza terhadap kedudukan anda.

Jika anda mempunyai masalah kredit, cara terbaik untuk menyelesaikannya ialah dengan mendapatkan penjelasan daripada bank yang terbabit atau anda boleh mengemukakan pertanyaan di http://creditbureau.bnm.gov.my/ atau menghubungi BNMTELELINK at 1-300-88-5465.

0 Menjadi pemain di gelanggang bisnes industri kreatif?

Industri kreatif jana RM7.2b

Oleh WANDA IDRIS
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 21 Okt. – Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) yang dilancarkan hari ini bukan sahaja akan memperkasakan industri kreatif negara tetapi mampu menjana perolehan secara langsung sehingga RM7.2 bilion setahun.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, ia juga bakal mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2020.

Malah, beliau percaya, sumbangan dasar industri kreatif kepada Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) akan melonjak berbanding kira-kira dua peratus ketika ini.

“Ini kerana industri kreatif merupakan antara sumber penting dalam pertumbuhan ekonomi negara yang mampu menyumbang kepada ekonomi berpendapatan tinggi.

“Bagaimanapun, ini bergantung kepada pemasaran dan latihan-latihan yang harus kita wujudkan,” katanya selepas merasmikan pelancaran DIKN dan Jelajah Kreatif DIKN di Kompleks Kraf di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Kamaruddin Siaraf serta para penggiat seni, budaya dan warisan tanah air.

DIKN digubal berpaksikan tiga skop utama industri kreatif iaitu multimedia, seni budaya dan warisan dengan menggariskan 11 strategi dan 51 pelan tindakan bagi memenuhi keperluan industri.

Rais berkata, dalam merealisasikan matlamat dasar tersebut, penting untuk memupuk bakat-bakat muda di peringkat sekolah menengah dan menarik minat mereka menceburkan diri dalam bidang yang ditetapkan.

“Ini termasuk menyediakan pelbagai peluang, latihan serta bimbingan selain pemasaran. Selain itu, kementerian juga menjalinkan usahasama dengan Universiti Multimedia Malaysia (MMU) untuk mengetengahkan bakat mereka dalam menghasilkan produksi yang berkualiti,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan juga menyediakan pelbagai program dan dana bertujuan menggalakkan pertumbuhan industri kreatif termasuk pinjaman Dana Industri Kreatif RM200 juta yang dilancarkan pada 2009.

Selain itu, tambahnya, Dana Pengdigitalan bernilai RM119 juta serta geran RM100 juta yang diuruskan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk penghasilan kandungan kreatif multimedia.

Tuesday, August 30, 2011

0 Kekalahan terbesar Arsenal dalam tempoh 115 tahun

Wenger tak undur



GAYA Arsene Wenger mengarahkan pemain ketika menentang Manchester United di Old Trafford kelmarin. - REUTERS



MANCHESTER - Arsene Wenger tidak berhasrat untuk meletak jawatan sebagai bos Arsenal walaupun mengakui amat malu apabila pasukannya diratah 2-8 oleh Manchester United kelmarin.

Wayne Rooney dengan ledakan hatriknya memimpin pasukan muda United melakar kemenangan sensasi ke atas Gunners di laman sendiri, kelmarin.

Ia merupakan kekalahan terburuk Arsenal dalam sejarah sejak 1896.

Malah, beberapa pemimpin tertinggi Arsenal dilihat meninggalkan tempat duduk orang kenamaan di Old Trafford 10 minit perlawanan berakhir, menunjukkan mereka tidak sanggup lagi menyaksikan aksi memalukan pasukan mereka.

Ditanya sama ada dia menimbangkan kemungkinan meletak jawatan, Wenger berkata: "Tidak. Tidak sama sekali. Kekalahan besar ini pastinya menyakitkan. Ia cukup memalukan.

"Namun kami baru sahaja bermain tiga perlawanan dan secara adilnya, anda harus memberikan saya lebih masa sebelum boleh mengatakan saya gagal sepenuhnya.

"Kami bekerja keras untuk mencari pemain-pemain tetapi agak ketinggalan dari aspek tawaran gaji.

"Saya tahu di England apabila anda tewas, membawa masuk pemain baru selalunya menjadi jalan penyelesaian."

Kekalahan mengejutkan kelmarin menunjukkan betapa longlainya skuad Arsenal yang ditimpa pelbagai masalah kecederaan, penggantungan dan penghijrahan pemain sejak awal musim.

Namun, Wenger kini semakin terdesak memandangkan masa kian suntuk apabila tempoh perpindahan pemain musim panas bakal melabuhkan tirainya esok.

Ketibaan pemain terbaru iaitu penyerang Korea Selatan, Park Chu-Young, nyata tidak memadai buat Gunners. - Agensi


Artikel berkaitan:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0830&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_08.htm

Wenger enggan letak jawatan

MANCHESTER – Arsene Wenger enggan meletak jawatan sebagai pengurus Arsenal biarpun berasa cukup malu apabila The Gunners dibelasah 2-8 oleh Manchester United di Old Trafford malam kelmarin.

Wayne Rooney mengetuai amukan United itu apabila meledak hatrik untuk ‘menghadiahkan’ Arsenal kekalahan terburuk dalam sejarah kelab itu sejak tahun 1896.

Lima lagi gol United disumbangkan oleh Ashley Young (dua gol), manakala Danny Welbeck, Nani dan Park Ji-sung masing-masing meledak satu gol.

Dua gol saguhati Arsenal diperoleh menerusi Theo Walcott dan Robin Van Persie.

Wenger dilihat melangkah keluar daripada bangku simpanan sebelum wisel penamat ditiup.

Ditanya adakah dia akan meletak jawatan, Wenger bingkas berkata: “Sudah tentu tidak. Memang kekalahan ini satu yang menyakitkan dan memalukan.

“Tapi kami baru bermain tiga perlawanan dan kami sepatutnya diberi lebih masa jika mahu benar-benar mengatakan saya sudah tersilap langkah.

“Kami telah berusaha keras untuk mencari pemain baharu tetapi kami tetap menjadi pilihan kedua apabila terdapat kelab lain yang membuat tawaran terutama dari segi gaji.

“Saya sedar di England apabila kita tewas, menandatangani pemain baharu sentiasa menjadi jalan penyelesaiannya.”

Sebaliknya, pengurus United, Alex Ferguson tetap berasa bangga biarpun menganggap anak-anak buahnya mampu untuk menjaringkan lebih daripada lapan gol.

“Kamu pasti tidak mahu menjaringkan lebih banyak gol apabila beraksi menentang pasukan yang tempang seperti ini.

“Sudah tentu saya berasa simpati terhadap Wenger. Lihatlah betapa lemahnya mereka, tetapi kami tetap perlu mencari gol untuk mengutip mata penuh,” kata Ferguson. – Agensi


Artikel berkaitan:

Rooney rasa bangga

MANCHESTER – Penyerang Manchester United, Wayne Rooney mengakui, dia sentiasa berasa gembira setiap kali dapat menjaringkan gol ketika menentang musuh ketat, Arsenal.

Malah Rooney turut menyimpan hasrat untuk bergelar penjaring terbanyak sepanjang zaman United setelah meledak hatrik ketika membantu The Red Devils membelasah Arsenal 8-2 pada aksi Liga Perdana England di Old Trafford malam kelmarin.

Tambahan tiga gol itu meletakkan Rooney kini di tangga kesembilan senarai penjaring terbanyak United dengan jumlah 152 gol setakat ini.

“Saya sentiasa sedar tentang statistik ini setiap kali sebelum perlawanan dan bagi saya banyak peristiwa penting akan berlaku setiap kali kami bertemu Arsenal.

“Gol pertama saya bersama Everton hadir ketika bertemu Arsenal dan gol pertama saya bersama United dalam Liga Perdana England juga ketika bertemu Arsenal.

“Kini gol ke-150 saya buat United hadir juga ketika bertemu Arsenal,” kata Rooney.

Rooney, 25, masih berpeluang cerah untuk memintas penjaring terbanyak United sepanjang zaman iaitu Bobby Charlton dengan 249 gol.

“Saya bertanya berapa banyak lagi gol untuk saya menyamai pencapaian Charlton dan Ryan Giggs beritahu yang saya perlu jaringkan 100 gol lagi. Jadi ia merupakan sasaran saya kini,” tegas Rooney.

Penyerang England itu turut menganggap dirinya kurang bernasib baik apabila hanya dapat menjaringkan satu gol ketika United menewaskan Tottenham 3-0 minggu lalu.

“Prestasi kami pada perlawanan ini cukup luar biasa dan kami memang layak untuk mencapai kejayaan ini. Tak kisahlah sama ada Arsenal tampil dengan barisan terkuat atau tidak, kami tetap mahu menjaringkan gol,” jelas Rooney. – Agensi

Friday, August 26, 2011

0 Kerana bola sepak moden dan wang

Fergie simpati nasib Wenger


2011/08/25
LONDON: Bos Manchester United, Alex Ferguson memuji cara rakan sejawatnya di Arsenal, Arsene Wenger menangani tekanan selepas dikritik berterusan kerana melepaskan dua tonggak utama – Cesc Fabregas dan Samir Nasri – serentak sepanjang jendela perpindahan musim panas ini.

Pengendali dari Scotland itu juga menganggap spekulasi mengatakan Wenger bakal meninggalkan Emirates sebagai mengarut. “Orang bercakap mengenai Arsenal dan Arsene yang akan meninggalkan kelab,” kata Ferguson. “Tetapi siapa yang dapat menggantikannya? “Ini situasi yang tidak masuk akal. Kita berada dalam dunia gila. Anda hanya perlu tewas dalam beberapa perlawanan, dan anda bakal dihujani kritikan serta tuntutan mahu anda meninggalkan kelab.”

Ferguson dan Wenger adalah dua seteru ketat Liga Perdana Inggeris yang menyaksikan pertarungan sengit antara United dan Arsenal, terutama insiden “Pizzagate” pada musim 2004-05.

Ketika itu, rekod tanpa kalah 29 perlawanan Arsenal dimusnahkan United di Old Trafford dengan kemenangan 2-0. Pemain Arsenal dituduh membaling makanan kepada lawannya selepas perlawanan dan Wenger turut menuduh Ruud van Nistelrooy sebagai pembohong.

Namun di sebalik hubungan panas itu, Ferguson tetap hormat pengendali dari Perancis itu dan mahu dia terus berada di Emirates.
“Dia sudah memberikan Arsenal landasan yang tidak pernah terfikir oleh kelab itu sebelum ini,” katanya. “Dia perlu terus berada di sana. Jangan pedulikan kritikan.” – Agensi


Artikel berkaitan:


'Semua kerana wang'


2011/08/25
Bukan satu kebetulan apabila semua orang berhijrah ke City: Wenger

LONDON: Pengendali Arsenal, Arsene Wenger mengakui dia tidak pernah terfikir akan kehilangan Samir Nasri dan Cesc Fabregas serentak, tetapi percaya faktor ‘psikologi’ memainkan peranan dalam memaksanya melepaskan dua pemain itu.

Nasri yang meninggalkan Emirates untuk menyertai kem Etihad bersama Manchester City selepas kedua-dua kelab bersetuju dengan harga 23 juta pound (RM113 juta) buat pemain tengah Perancis itu, bakal mengikut jejak bekas rakan sepasukan, Gael Clichy. Wenger mengakui Roberto Mancini berjaya dalam usahanya memancing semua pemain terbaik Liga Perdana Inggeris, apatah lagi disokong dana berterusan pemilik kelab berkenaan. “Saya seorang yang realistik, jadi saya tidak suka berangan-angan,” kata Wenger. “Ia sebahagian daripada kehidupan moden seorang pemain bola sepak profesional. Bukan satu kebetulan apabila semua orang berhijrah ke Manchester City.

“Peraturan bola sepak memang begini. Seseorang pemain boleh mencecah harga jutaan ringgit hari ini dan tidak bernilai sesen pun dalam tempoh enam bulan, kelihatan seperti tidak logik tetapi itulah hakikat yang perlu ditelan.

“Akan tiba harinya apabila anda terpaksa membuat keputusan berdasarkan faktor psikologi dan kewangan.”

Wenger juga sedar era kesetiaan pemain pada sesebuah kelab sudah berakhir, terutama apabila ada kelab yang mampu menawarkan gaji lebih lumayan.
“Kami tidak mahu kehilangan Fabregas, tetapi kami dipaksa berada dalam situasi yang tidak kami ingini,” kata pengendali Perancis itu. “Situasi Nasri pula ialah dia tidak mahu melanjutkan kontraknya kerana ada tawaran lebih lumayan menanti di tempat lain.”

Nasri, 24, sempat bersama Arsenal untuk tempoh tiga tahun. Dia dipancing City ketika kontraknya masih berbaki setahun dan menjadi tonggak kedua Gunners melangkah keluar musim panas ini selepas Fabregas.

Penampilan terakhirnya ialah ketika tewas 2-0 di tangan Liverpool Sabtu lalu dan Nasri tidak diturunkan menentang Udinese untuk kelayakan Liga Juara-Juara. – Agensi

Sunday, August 21, 2011

0 Tulislah novel penyiasatan dan kanak-kanak atau novel seram untuk jadi popular

James Patterson penulis paling lumayan dunia



James Patterson


NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Penulis novel penyiasatan AS, James Patterson merupakan penulis berpendapatan tertinggi di dunia dengan perolehan AS$84 juta (RM250.5 juta) sepanjang tahun lalu.

Patterson, 64, yang popular menerusi buku penyiasatan Alex Cross, mengungguli senarai tahunan penulis buku yang memperoleh pendapatan tertinggi di dunia oleh majalah Forbes.

Selain novel penyiasatan, bapa tunggal itu banyak menulis buku cerita kanak-kanak selain menulis ulasan filem pada lapangnya.

Lebih 10 juta buku tulisannya dijual pada tahun lalu dengan lebih 20 tajuk bukunya menduduki tempat pertama carta buku terlaris di AS.

Senarai tahunan Forbes kali ini didominasi penulis AS melainkan Ken Follett yang berada di tempat ke-11 manakala penulis buku Harry Potter, JK Rowling pula berada di tangga ke-13 setelah dia tidak menulis sebarang buku pada tahun lalu.

Tempat kedua senarai berkenaan menjadi milik penulis novel cinta ghairah, Danielle Steel yang berpendapatan AS$35 juta (RM104.3 juta) diikuti di tempat ketiga oleh penulis seram terkenal, Stephen King dengan perolehan AS$28 juta (RM83.5 juta).

Turut berada dalam senarai sama dari tempat keempat hingga ke-10 ialah Janet Evanovich AS$22 juta (RM65.6 juta), Stephenie Meyer AS$21 juta (RM62.6 juta), Rick Riordan AS$21 juta (RM62.6 juta),

Dean Koonz AS$19 juta (RM56.6 juta), John Grisham $18 juta (RM53.6 juta), Jeff Kinney AS$17 juta (RM50.7 juta) dan Nicholas Spark AS$16 juta (RM47.7 juta). - Agensi

Saturday, August 20, 2011

0 Kajian pendapatan antara etnik di Malaysia

Graduan Melayu, bumiputera terima gaji permulaan terkecil
SHAH ALAM 19 Ogos - Para graduan Melayu dan bumiputera merupakan golongan terbesar yang menerima gaji permulaan terkecil sebaik sahaja memasuki pasaran kerja iaitu antara RM501 sehingga RM2,000 ke atas berbanding kumpulan etnik lain.

Timbalan Ketua Pengarah 1 Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mat Noor Nawi berkata, berdasarkan statistik 2009, sebanyak 24 peratus daripada golongan itu menerima gaji antara RM501 hingga RM1,000; RM1,001-RM1,500 (29 peratus); RM1,501-RM2,000 (24 peratus) dan hanya 19 peratus menerima gaji RM2,000 ke atas.

Katanya, ia berbeza dengan 70 peratus graduan berketurunan Cina yang mendapat gaji permulaan antara RM1,501 hingga RM2,00 ke atas; RM1,001-RM1,500 (21 peratus) dan lapan peratus daripada mereka menerima antara RM501 hingga RM1,000.

Bagi graduan berketurunan India pula katanya, sebanyak 14 peratus menerima gaji permulaan antara RM501 hingga RM1,000; RM1,001 hingga RM1,500 (29 peratus); RM1,501-RM2,000 (28 peratus) dan sebanyak 27 peratus daripada mereka menerima gaji melebihi RM2,000.

"Sementara penyertaan bumiputera sebagai (ahli) lembaga pengarah di syarikat-syarikat besar adalah tinggi tetapi bukan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.

"Satu-satunya Ketua Pegawai Eksekutif bumiputera selain daripada di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah di Shell," katanya semasa membentangkan kertas kerja pada Konvensyen Memperkasa Model Baru Ekonomi: Satu Jihad Ekonomi Bumiputera di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Dalam pembentangan itu, Mat Noor memetik pelbagai kajian dan laporan bebas antaranya oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), agensi Bloomberg, Bursa Malaysia dan penyiasatan pendapatan isi rumah 2009.

Bagi kategori pendapatan purata bulanan isi rumah mengikut aktiviti dan kumpulan etnik pula katanya, masyarakat Melayu dan bumiputera yang bekerja sebagai majikan hanya memperoleh RM7,078 berbanding RM7,271 (India) dan RM8,559 yang diperolehi para majikan berketurunan Cina.

Menurutnya, untuk kategori pekerja sektor awam pula, kumpulan bumiputera memperoleh pendapatan bulanan purata sebanyak RM4,925; RM5,109 (India) dan RM6,288 bagi masyarakat Cina.

"Bagi yang bekerja sendiri, masyarakat bumiputera memperoleh RM2,487 diikuti India menerima RM3,717 dan Cina sebanyak RM4,561," jelasnya.