Amaran IMF kepada AS
WASHINGTON 30 Jun - Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) bahawa tahap beban hutang negara itu kini dalam keadaan bahaya.
IMF turut menasihatkan AS supaya tidak melaksanakan penyelarasan fiskal terlalu ketat kerana ia boleh mengakibatkan pertumbuhan ekonomi negara itu semakin perlahan.
Dalam penilaian tahunan keadaan kewangan AS, IMF berkata, sekiranya AS tidak meningkatkan had hutang tertingginya, negara itu dikhuatiri tidak lagi mampu menampung komitmen perbelanjaan, sekali gus menimbulkan kesan huru-hara dalam pasaran global.
''Penyatuan polisi fiskal perlu diteruskan memandangkan dinamik hutang tidak stabil dan kehilangan kredibiliti fiskal yang akan menyebabkan keadaan semakin teruk,'' kata IMF.
Tambahnya, cabaran utama polisi adalah untuk melaksanakan penyatuan fiskal dan memastikan pemulihan yang semakin rapuh kembali kepada landasannya.
Di sebalik beban hutang yang cukup bahaya, AS perlu meningkatkan modal sebanyak AS$14.29 trilion melalui pinjaman bagi mengelak daripada tercetusnya satu kejutan teruk kepada ekonomi dan pasaran kewangan dunia, menurut IMF.
Perbendaharaan AS mengunjurkan negara itu terpaksa menangguhkan pembayaran semula hutang mulai 2 Ogos ini sekiranya modal tidak ditingkatkan. - AFP
Friday, July 01, 2011
0 Amerika Syarikat (AS) diambang kebankrapan, beban hutang melampau
0 Kemampuan menguasai bahasa asing beri kelebihan mencari kerja dan gaji menarik
Malaysia semakin ketandusan modal insan
KUALA LUMPUR 30 Jun – Malaysia didapati semakin mengalami ketandusan modal insan akibat penghijrahan kerja-kerja berbakat.
Kelly Services (M) Sdn. Bhd. (Kelly Malaysia) dalam Tinjauan Pekerjaan dan Panduan Gaji Kelly 2011/12 berkata, meskipun berhadapan dengan situasi itu namun pasaran kerja di negara ini masih optimistik.
Pengarah Urusan Kelly Malaysia dan Singapura, Melissa Norman berkata, tinjauan itu mendapati terdapat aliran keluar bakat tempatan yang semakin ketara disebabkan mereka semakin bersedia untuk bertukar kerja terutama ke pasaran serantau.
‘‘Kami dapati majikan sanggup membayar gaji lebih tinggi untuk menarik bakat yang boleh terus bekerja dan memerlukan latihan minimum.
‘‘Permintaan bakat semakin ketara dalam bidang yang pesat berkembang seperti industri perbankan dan kewangan, perkhidmatan, teknologi maklumat dan kejuruteraan,’’ katanya di sini hari ini.
Panduan Gaji Kelly turut menunjukkan gaji bagi jawatan pengurus tahap pertengahan hingga kanan dengan pengalaman antara tujuh hingga 10 tahun bagi sektor perbankan dan kewangan terutama dalam kewangan Islam melonjak sebanyak 12 peratus.
Profesional dalam teknologi maklumat dan telekomunikasi dengan pengalaman berkaitan antara lima dan lapan tahun boleh mengharapkan kenaikan gaji antara 15 peratus hingga 20 peratus.
Bakat dalam jualan dan pemasaran pertengahan hingga kanan dengan rekod pencapaian baik dan prestasi tinggi berpeluang memperoleh kenaikan gaji antara 15 peratus hingga 20 peratus dengan pakej komisen menarik.
Panduan Gaji Kelly dalam tinjauan itu turut mendedahkan Malaysia kekal sebagai peserta utama dalam industri pusat panggilan disebabkan kebolehan penguasaan pelbagai bahasa di kalangan kakitangan tele pemasaran tempatan, dengan lebih 85 peratus ejen memiliki kelebihan tersebut.
Majikan dalam bidang itu sanggup menawarkan insentif dan elaun tambahan untuk calon yang fasih dalam bahasa popular lain seperti bahasa Korea, Jepun dan Indonesia.
Industri penting lain juga mencatatkan kenaikan gaji ialah sektor kejuruteraan dengan kenaikan 15 peratus dan juga peningkatan permintaan untuk kakitangan kontrak ekoran pelaksanaan pelbagai projek pembangunan.
0 Bayar gaji minimum atau denda RM10K seorang kepada majikan
Rang Undang-Undang Majlis Perundingan Gaji Negara diluluskan
2011/06/30
KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 untuk menubuhkan sebuah badan bebas, Majlis Perundingan Gaji Negara.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata majlis itu berfungsi untuk mengkaji dan menetapkan gaji minimum berteraskan prinsip tripartisme antara kerajaan, pekerja dan majikan. "Majlis ini akan dibantu oleh kumpulan profesional dalam Jawatankuasa Teknikal terdiri daripada pakar ekonomi, statistik dan sosial," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini. Beliau berkata, menurut rang undang-undang itu, majikan yang tidak membayar gaji pokok sebagaimana dinyatakan dalam perintah gaji minimum kepada pekerjanya boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap pekerja, jika sabit kesalahan.
Dr Subramaniam berkata, majikan juga boleh dikehendaki membayar apa-apa perbezaan gaji pokok kepada pekerja yang didapati dibayar di bawah paras gaji minimum serta bayaran berkaitan.
"Bagi kesalahan berterusan, penalti dicadangkan adalah denda tidak melebihi RM1,000 sehari bagi setiap kesalahan, sementara bagi kesalahan berulang penalti yang dicadangkan adalah denda RM20,000 maksimum atau penjara tidak melebihi lima tahun bagi setiap kesalahan," katanya.
Beliau berkata, gaji minimum akan membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan kuasa beli bagi menghadapi peningkatan kos sara hidup dan seterusnya menangani isu kemiskinan di kalangan pekerja.
"Gaji minimum juga bagi mengelakkan eksploitasi majikan ke atas pekerja dalam keadaan majikan mudah mendapat bekalan pekerja asing yang sanggup menerima gaji rendah.
"Ia juga bertujuan mengoptimumkan penggunaan tenaga kerja tempatan dan bagi menggalakkan majikan meningkatkan rantaian nilai melalui pelaburan dalam teknologi tinggi dan peningkatan produktiviti pekerja," katanya.
Beliau berkata, pada masa ini, penetapan gaji bagi pekerja sektor swasta di Malaysia ditentukan melalui tiga kaedah iaitu kuasa pasaran berdasarkan penawaran dan permintaan dalam pasaran buruh serta Perjanjian Kolektif (CA) hasil rundingan antara kesatuan sekerja dengan pihak majikan. - BERNAMA
Tuesday, June 14, 2011
0 Apabila memikir gempa bumi, ngeri tengok bangunan lebih 10 tingkat
Penduduk ibu kota gempar rasai gegaran
14/06/2011 12:01pm
Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
KUALA LUMPUR 14 Jun – Penghuni di beberapa buah bangunan yang mempunyai ketinggian lebih lapan tingkat di sekitar ibu negara hari ini panik apabila merasai dua gegaran iaitu kira-kira pukul 8 dan 11 pagi.
Sekurang-kurangnya 10 lokasi terlibat dikenal pasti dan antaranya di Pekeliling, Wangsa Maju, Jalan Sultan Ismail, Bangsar, Salak Selatan, Bukit Bintang dan Putrajaya.
Gegaran berpunca daripada dua gempa bumi bermagnitud 5.5 dan 5.6 skala Richter yang berlaku di Sumatera Utara pada pukul 8.08 dan 11.01 pagi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pertama pada pukul 8.23 pagi.
Menurutnya, berikutan itu, bangunan seperti Menara Dion dan Kenanga di Jalan Sultan Ismail serta Ibu Pejabat Tenaga Nasional Berhad (TNB) dekat Bangsar telah diperiksa sebanyak dua kali untuk tujuan keselamatan. - Utusan
0 Contohi bagaimana terengganu hebat akademik dan sukan
Contohi Terengganu
Oleh MANIRAH OTHMAN
manirah.othman@kosmo.com.my
PEMBANGUNAN sukan yang tersusun, persiapan lebih awal dan sistem pengurusan yang profesional merupakan tiga elemen utama menjadikan Terengganu sebagai kuasa baru sukan tanah air.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat berkata, trend sukan di Terengganu yang melihat sukan sebagai ‘sumber rezeki’ juga merupakan antara faktor mendorong kepada lahirnya jaguh sukan bertaraf antarabangsa.
Katanya, gabungan semua elemen itu telah terbukti dengan kejayaan Terengganu muncul juara Sukan Malaysia (Sukma) buat kali ketiga berturut-turut.
Sebelum ini, Terengganu berjaya merangkul kejuaraan buat kali pertama pada tahun 2008 ketika mereka menjadi tuan rumah sebelum mengulanginya di Melaka tahun lalu.
“Selepas berakhirnya Sukma 2010 di Melaka tahun lalu, kita hanya sempat berehat selama sebulan sebelum memulakan latihan secara konsisten.
“Untuk membentuk atlet terbaik dalam tempoh setahun memang tidak boleh, tetapi kebanyakan daripada atlet yang kita hantar bertanding telah dilatih sejak usia kecil lagi,” katanya.
Menurut Rozi, di Terengganu sebenarnya telah wujud trend baru dalam bersukan yang mana aktiviti sukan dilihat sebagai acara wajib.
“Kita ada sekolah sukan sendiri dan beberapa buah sekolah di negeri ini merupakan kuasa dalam pelbagai bidang sukan,” jelasnya.
Penganalisis sukan, Profesor Tan Sri Khoo Kay Kim pula menyarankan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) agar melihat modul yang digunakan Terengganu dalam mengurus dan mentadbir sukan.
“Dulu Terengganu merupakan pasukan tercorot dalam sukan berbanding Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Sarawak.
“Namun, secara tiba-tiba, negeri dari Pantai Timur itu telah melonjak dan muncul sebagai juara Sukma dalam tiga edisi berturut-turut,” katanya.
Semua itu, kata Kay Kim, adalah disebabkan kemampuan Terengganu mengenal pasti bakat dalam kalangan anak-anak tempatan.
“Terengganu boleh diibaratkan sebagai lubuk atlet berkualiti seperti yang dibuktikan dengan lahirnya Azizulhasni Awang, Anuar Manan dan Fatehah dalam sukan berbasikal,” katanya.
Anak jati Terengganu yang juga bekas Raja Pecut negara, Nazmizan Muhammad pula memuji tindakan berani kerajaan negeri yang sanggup melabur bagi memastikan atlet-atlet negeri itu dilatih oleh jurulatih profesional.
“Atlet akan dibimbing oleh jurulatih berpengalaman sejak kecil lagi sementara prasarana sukan sentiasa dinaik taraf bagi memberi faedah kepada ahli-ahli sukan,” jelasnya.
Sunday, May 22, 2011
0 Lebih 91,000 rakyat Malaysia dijangkiti HIV, yang tidak dilaporkan berapa banyak?
Seramai 91,362 rakyat negara ini dijangkiti HIV sejak 1989
22/05/2011 5:28pm
KOTA BHARU 22 Mei - Seramai 91,362 rakyat Malaysia telah dijangkiti HIV sejak virus tersebut kali pertama dilaporkan di negara ini pada 1986 dan bagi tempoh sama seramai 16,352 orang disahkan menghidap AIDS.
Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia (MAF), Profesor Dr. Adeeba Kamarulzaman berkata, dalam tempoh yang sama, sebanyak 12,943 kematian telah direkodkan disebabkan oleh epidemik itu.
Jelas beliau, kaum lelaki mencatatkan jumlah terbanyak yang dikesan menghidap HIV/AIDS iaitu sebanyak 97,085 orang dan daripada jumlah itu, seramai 11,239 telah meninggal dunia.
"Statistik turut menunjukkan seramai 10,629 wanita telah dijangkiti bermula 1988 dan daripadanya seramai 1,704 orang telah terkorban.
"Ini adalah statistik yang dikeluarkan Majlis AIDS Malaysia (MAC) melalui sumber yang diterima daripada Unit Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya ketika ditemui pada Bengkel Latihan Fasilitator Manual Islam dan HIV/AIDS Kelantan di sini, hari ini. - Utusan
Sunday, May 01, 2011
0 Perkahwinan Putera William dengan Kate Middleton
Perkahwinan Diraja Britain meriah
2011/04/30
TUANKU Mizan dan Tuanku Nur Zahirah antara jemputan yang hadir majlis perkahwinan Putera William dan Kate di London, semalam.
PUTERA William dan Kate selepas majlis perkahwinan semalam.
PUTERA William dan Catherine melintasi jemputan selepas majlis perkahwinan mereka, semalam.
Upacara di Westminster Abbey jadi tumpuan dua bilion penonton dunia
LONDON: Putera William dari Britain dan Catherine Middleton selamat melangsungkan perkahwinan mereka di Westminster Abbey semalam dalam satu upacara diraja penuh gilang gemilang yang menarik tumpuan dua bilion penonton di seluruh dunia selain menyuntik kehidupan baru dalam keluarga diraja. Sebelum melafazkan ikrar, Middleton, 29, ‘rakyat biasa’ pertama yang berkahwin dengan seorang pewaris takhta sejak 350 tahun lalu, memakai gaun putih dan penutup muka jarang, melangkah perlahan di hadapan 1,900 tetamu sambil diiringi lagu dendangan Charles Parry berjudul, I Was Glad. Ketika kedua-duanya dipertemukan di altar gereja, William, 28, atau nama sebenarnya William Arthur Philip Louis yang memakai seragam tertinggi tentera merah berselempang biru kelihatan berbisik kepadanya, menarik senyuman manis pengantin perempuan pada permulaan upacara.
Ketua paderi Canterbury, Rowan Williams mengesahkan pasangan itu sebagai suami isteri dengan ucapan: “Saya mengisytiharkan mereka sebagai suami isteri.”
Beberapa jam sebelum upacara bersejarah itu, William dan Middleton mendapat hadiah perkahwinan diraja daripada Ratu Elizabeth, gelaran Duke dan Duchess of Cambridge.
Istana Buckingham berkata William kini digelar His Royal Highness The Duke of Cambridge manakala Catherine Middleton, akan memakai gelaran Her Royal Highness The Duchess of Cambridge.
Kenyataan istana juga menyebut bahawa William turut dinamakan sebagai Earl of Strathearn dan Baron Carrickfergus manakala Middleton menjadi Countess of Strathearn dan Baroness Carrickfergus.
Sementara itu gaun pengantin Middleton yang menjadi tumpuan spekulasi industri fesyen selama beberapa bulan diperbuat daripada sutera satin berwarna gading dengan renda dan layah panjang rekaan Sarah Burton dari Alexander McQueen.
Beliau memakai tiara yang dipinjamkan Ratu Elizabeth dan cincin pertunangan nilam bertatah berlian yang pernah menjadi milik bonda William, Puteri Diana, yang bercerai daripada Putera Charles pada 1996, setahun sebelum kematiannya dalam satu kemalangan kereta tragik di Paris ketika berusia 36 tahun.
Loceng berbunyi dengan kuat dan tiupan trumpet kedengaran ketika 1,900 tetamu terlebih dulu mengambil tempat di dalam gereja bersejarah itu yang tapak penyatuan untuk keluarga diraja sejak William the Conqueror ditabalkan pada 1066.
Ratu Elizabeth, anggota keluarga diraja lain, pemain bola sepak David Beckham dan isterinya Victoria, penyanyi Elton John dan Perdana Menteri David Cameron adalah antara tetamu yang hadir.
Tidak ketinggalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah dari Malaysia, Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri, Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Puteri Maha Chakri Sirindhorn dari Thailand, Putera Albert II dari Monaco dan tunangnya, Charlene Wittstock serta Puteri Lalla Salma dari Maghribi.
Mereka menyertai 50 ketua negara serta pekerja kebajikan dan veteran perang yang mengenali putera berkenaan sejak beliau menjalani latihan ketenteraannya.
Sementara itu jumlah penonton upacara perkahwinan Putera William dan Kate, seramai dua bilion orang adalah lebih ramai berbanding 750 juta orang ketika perkahwinan ayahanda dan bondanya Putera Charles dan Puteri Diana pada 1981. – Reuters/Agensi
Rakyat Britain rai di Hotel Intercontinental KL
KUALA LUMPUR: Lebih 500 jemputan termasuk rakyat Britain yang menetap di Malaysia meraikan perkahwinan Putera William dan Kate Middleton di Hotel Intercontinental di sini, semalam.
Majlis anjuran Pesuruhjaya Tinggi British di Kuala Lumpur itu bermula kira-kira jam 6 petang dengan jemputan menyaksikan siaran langsung majlis perkahwinan pasangan diraja itu disusuli acara memotong kek, persembahan muzik dan tarian serta sesi kebajikan.
Pesuruhjaya Tinggi Britain, Simon Featherstone, berkata perkahwinan William dan Kate dianggap peristiwa sangat menarik kepada United Kingdom (UK).
“Hampir dua bilion orang di seluruh dunia menonton dan meraikan perkahwinan William dan pasangannya, Kate termasuk kami di Malaysia. Ini menunjukkan negara ini dan UK ada banyak persamaan.
“Saya percaya perkahwinan ini mempunyai signifikasi yang mencerminkan nilai kreatif dan moden dinamik Britain,” katanya di sini, semalam.
Sementara itu, kemeriahan perkahwinan diraja itu yang disiarkan secara langsung menerusi kaca televisyen, turut menarik minat Datuk Seri Najib Razak.
Malah, Perdana Menteri secara berseloroh memberitahu wartawan sidang media selepas beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di sini semalam, perlu diadakan secara ringkas.
“Banyak yang minat...ini semua (merujuk kepada beberapa Ahli MT UMNO yang turut hadir pada sidang media itu) teringin sangat nak tengok perkahwinan diraja itu,” katanya.
