.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Tuesday, February 15, 2011

0 Menguasai kemahiran sebagai pelengkap akademik akan jadi penentu siapa lebih hebat di pasaran pekerjaan

Rosmah mahu golongan muda kuasai kemahiran


2011/02/15



ROSMAH diiringi Sharifah Hapsah (dua dari kiri) dan Dzulkifli beramah mesra bersama peserta Program Kem Perkasa Remaja Siri 2 di UKM, semalam.BANGI: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menyeru golongan belia supaya menguasai kemahiran berpotensi bagi membolehkan mereka mempunyai daya kelangsungan untuk menghadapi arus pembangunan yang semakin mencabar.

Sehubungan itu, beliau meminta golongan belia menggunakan usia muda untuk menimba ilmu dan kepakaran kerana mereka mempunyai kuasa untuk mencipta serta melakukan transformasi negara ke tahap paling tinggi pada masa hadapan. Beliau berkata, selain itu golongan terbabit perlu mengikis sikap membuat kerja sambil lewa bagi memastikan dapat mencapai kejayaan dalam bidang diceburi serta dipandang tinggi masyarakat. “Sekiranya belia melakukan sesuatu perkara dengan tekun, dedikasi serta komitmen tinggi, mereka pasti menjadi semakin mahir dan berjaya dalam kerjanya,” katanya berucap pada Majlis Penutupan Kem PERKASA Remaja siri II yang disertai 29 peserta di kalangan anak peneroka FELDA di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, semalam.

Turut hadir, Naib Canselor UKM, Profesor Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan Pengarah Besar FELDA, Datuk Dzulkifli Abdul Wahab.

Rosmah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Dasar Program Permata Negara (PERMATA) berkata, belia juga perlu ada ikon tertentu yang dapat dijadikan penanda aras menentukan tahap pencapaian supaya setanding dengan ikon terbabit.

Selain itu, beliau juga menyeru badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta menggembleng tenaga secara proaktif dengan PERKASA Remaja dalam usaha mewujudkan persekitaran hidup bebas daripada gejala sosial.
Terdahulu, Rosmah berterima kasih kepada FELDA kerana memberi peluang dan keutamaan kepada belia FELDA menjadi peserta PERKASA Remaja yang dapat menjadi perintis belia FELDA yang lain.

“Kem PERKASA Remaja ini dapat membantu FELDA menangani masalah sosial dan melahirkan generasi baru yang lebih produktif dan sentiasa berdaya saing, kreatif dan berinovasi.

“Belia seperti ini sangat diperlukan dengan harapan dapat menyumbang kepada pembangunan untuk mencapai tahap negara maju menjelang 2020,” katanya.

0 Sudah sampai masanya untuk penganut islam cuba memahami bukan islam kerana banyak mereka belum tahu tentang agama lain termasuk kristian

Pemikiran ekstrem punca gawat

Oleh Johari Ibrahim
joib@bharian.com.my
2011/02/15



NAJIB berbual dengan pemimpin agama pada majlis bersama pemimpin agama sempena sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia, di PICC, Putrajaya, semalam. Malaysia jadi contoh perbezaan agama bukan penyebab ketegangan: Najib

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata, pemikiran ekstrem dikenal pasti adalah punca kepada ketegangan dalam sesebuah negara dan bukan disebabkan perbezaan agama yang dianuti penduduknya. Sambil menyifatkan kefahaman ekstrem dalam apa juga agama sebagai ancaman kepada usaha mewujudkan negara yang aman, Perdana Menteri berkata, sikap itu juga membawa kesan buruk kepada manusia jika tidak dibendung. “Malaysia sudah tunjukkan (contoh), perbezaan agama tidak semestinya membawa kepada permasalahan besar dalam sebuah negara, tetapi yang menjadi kekangan, hambatan dan yang punca ketegangan ialah kerana pemikiran ekstrem sama ada di kalangan orang Islam, Kristian, Buddha, Hindu atau apa-apa juga agama.

“Jika kita ada kefahaman ekstrem dan keterlaluan, kita akan membawa padah buruk kepada negara dan manusia sejagat,” katanya pada majlis bersama pemimpin agama sempena sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Najib turut menyampaikan sijil lantikan kepada Ahli Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama yang diwakili pengerusinya, Datuk Ilani Isahak; Datuk Azman Amin Hassan; Pengerusi Jawatankuasa Gabungan Penyelarasan Badan Bukan Kerajaan Islam, Datuk Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir; Presiden Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao, Dr Thomas Philips dan Pengerusi Interfaith Spiritual Fellowship (INSaF), Dr Amir Farid Isahak.

Ilani yang tidak hadir diwakili Ketua Pengarah Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Azman Amin Hassan yang turut mewakili ilmuan serta anggota dari Sabah dan Sarawak.
Sambutan julung kali diadakan pada minggu pertama setiap Februari itu adalah hasil pandangan Putera Ghazi dari Jordan ketika berucap pada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun lalu, bertujuan menjalin hubungan dan kemesraan antara pemimpin negara dengan pemimpin agama.

Najib juga berkata, konsep 1Malaysia bukan hanya slogan, sebaliknya inti patinya yang menuntut pada anjakan paradigma dari segi cara berfikir rakyat yang serendah-rendahnya, iaitu sikap bertolak ansur sehingga kepada menerima kepelbagaian dan kemuncaknya ialah setiap pihak raikan kepelbagaian itu.

Malah, Perdana Menteri berkata, isu kefahaman ekstrem menyebabkan beliau membawa cadangan diwujudkan Gerakan Kesederhanaan Global pada Persidangan PBB, tahun lalu kerana percaya itu saja jalan ke hadapan yang boleh menyelamatkan bukan saja negara, tetapi dunia serta ketegangan di banyak tempat.

Beliau berkata, kestabilan dan keharmonian negara adalah tonggak utama ketika kerajaan membentangkan iltizam memajukan negara dan rakyat menerusi pelbagai inisiatif seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP), Model Baru Ekonomi (MBE) dan Rancangan Malaysia KeSepuluh (RMKe-10).

Monday, February 14, 2011

0 Bolehkah bisnes satay kajang menjadi seperti keunggulan bisnes KFC?

Samuri cari pelabur sate
Oleh AHMAD FADZIL ZAINOL ARIFFIN
bisnes.utusan@gmail.com



Samuri Juraimi


KAJANG 13 Feb. - Sate Kajang Haji Samuri, pemilik empayar perniagaan sate yang terkenal, kini mencari pelabur yang benar-benar berminat untuk membantu mengembangkan operasi syarikat berkenaan.
Menurut Pengasas atau Pengarah Urusannya, Datuk Samuri Juraimi, pihaknya mahu mendapatkan pelabur bersama di dalam perniagaan itu tetapi penyertaan itu hendaklah tidak mengugat kepentingannya.
''Kerjasama yang bakal terjalin itu biarlah adil dan menyediakan situasi menang-menang terutama bagi menghormati pihaknya yang memerah keringat membangunkan perniagaan itu sejak 20 tahun lalu,'' kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini.
Katanya, antara syarat yang ditetapkan adalah beliau masih mempunyai kuasa terhadap perjalanan syarikat manakala pelabur itu mampu meluaskan lagi pasaran Sate Kajang Haji Samuri.
Samuri berkata, beliau pernah menerima tawaran daripada beberapa syarikat sebelum ini tetapi menolaknya kerana syarat yang diberikan mampu menyaksikan beliau kehilangan perniagaannya.
"Saya tidak mahu Sate Kajang Haji Samuri mudah diambil alih mana-mana pihak dan akhirnya jatuh kepada orang asing," kata beliau.
Samuri memulakan perniagaan sate selepas mempelajarinya daripada pelopor sate terkenal di Kajang, Tasmin Sakiban ketika berusia 14 tahun.
Beliau, kemudiannya membuka gerai pertamanya di sebelah Stadium Kajang bersama enam orang pekerja dan kini berkembang sehingga mempunyai 22 cawangan seluruh Malaysia dengan 600 pekerja.
Menurut Samuri, beberapa syarikat yang pernah menyatakan minat untuk bekerjasama tetapi apa yang ditawarkan dilihat seolah-olah cubaan untuk 'membunuh' perniagaannya.
Pada masa yang sama, Samuri berkata, beliau akan terus mengembangkan sendiri perniagaan itu dan memperkenalkan jenama Sate Kajang Haji Samuri.
"Kami bercadang meluaskan perniagaan ini secara francais dan ia mampu dicapai sekiranya kami berjaya mendapatkan lesen Amalan Pengilangan Terbaik (GMP) pada tahun ini,'' kata beliau.
Dengan lesen GMP itu, Samuri berkata, pihak beliau turut bercadang mengeluarkan produk sate sejuk beku yang bakal dipasarkan ke luar negara.
"Dengan menekankan kepada aspek pengkomersialan, saya yakin perniagaan kami dapat diperbesarkan lagi seperti mana francais ternama yang wujud di negara ini," kata beliau.
Samuri berhasrat untuk mewujudkan sekurang-kurangnya satu cawangan di setiap negeri seluruh negara.
"Melalui pembukaan cawangan baru dan adanya lesen GMP, ia bakal menjanjikan anjakan baru kepada perniagaan ini," kata beliau sambil menambah sejumlah 70 peratus pelanggan adalah orang Melayu berbanding 30 peratus pada awal penubuhannya.
Ditanya mengenai kedudukan kewangan syarikat, Samuri berkata, kedudukannya adalah stabil meskipun mengakui pengenaan levi pekerja melibatkan jutaan ringgit menjejaskan perancangan perniagaannya.
"Kami terpaksa mengambil pekerja asing kerana sekarang sukar mendapatkan tenaga kerja tempatan yang tidak gemar bekerja di gerai sate," katanya.
Samuri berkata, perniagaannya kini dikendalikan oleh 'generasi kedua' yang terdiri daripada anak-anak serta menantunya.
"Saya harap mereka membawa perniagaan ini ke peringkat yang lebih tinggi dengan merealisasikan apa yang saya harapkan (berkembang setanding dengan nama besar lain)," kata beliau yang masih mengawasi perjalanan syarikat dan memberikan nasihat tentang perniagaan berkenaan.

Saturday, February 12, 2011

0 Rakyat Malaysia harus diajar program internet seperti di Indonesia

Budak 13 tahun cipta laman mirip Facebook




MUKA surat Muhamad Yahya Harlan dalam laman salingsapa.com.



BANDUNG - Walaupun baru berusia 13 tahun, seorang budak lelaki di Indonesia, Muhamad Yahya Harlan ternyata hebat apabila dia mencipta laman jaringan sosial mirip Facebook, lapor akhbar dalam talian, Tribunnews.com semalam.
Laman itu yang dinamakan salingsapa.com dapat disiapkan Muhamad yang belajar di Sekolah Alam Bandung, di sini, dalam masa sebulan.
Konsep salingaapa.com hampir menyerupai Facebook yang diasaskan oleh Mark Zuckerberg dari Amerika Syarikat tetapi Muhamad berkata, laman webnya menampilkan beberapa ciri tambahan.
"Pada awalnya, saya menonton berita tentang ada orang Indonesia yang mencipta laman web seperti Facebook dalam bahasa Indonesia.
"Saya terus terfikir, saya juga boleh mencipta laman web serupa, tetapi lebih baik lagi," kata Muhamad ketika ditemui di sekolahnya kelmarin.
Seterusnya, anak sulung pasangan Yan Harlan, 45, dan isterinya, Fidriana, 37, itu mulai 'mengklik' komputernya untuk merancang ciri-ciri laman sosial yang akan dihasilkan nanti.
Dia turut mendapat bantuan daripada ayahnya yang menyumbang idea tentang ciri-ciri yang diperlukan untuk menghasilkan salingsapa.com.
Kini, kejayaan pelajar cilik itu mendapat penghargaan daripada pelbagai pihak.
Menurut ibunya, Muhammad membentangkan hasil kerjanya itu di hadapan 12 mahasiswa Institut Teknologi Bandung semalam.
"Harapan kami ialah laman sosial ciptaan anak saya ini akan digunakan untuk tujuan kebaikan," kata ibunya. - Agensi

Friday, February 11, 2011

0 Galakkan anak bersekolah tinggi untuk masa depan keluarga

Pegawai kanan, anggota polis diingat beri perhatian kebajikan keluarga
10th February, 2011

KOTA KINABALU: Pegawai kanan dan anggota polis pangkat rendah diingatkan supaya memberi perhatian terhadap kebajikan keluarga dan penghidupan anak-anak mereka terutama sekali dalam bidang pembelajaran.
Pesuruhjaya Polis sabah (PjP) Datuk Hamza Taib berkata ini adalah penting kerana generasi muda merupakan aset masa depan negara.
Beliau berkata demikian dalam satu temu bual bersama New Sabah Times kelmarin.
“Ibu bapa di kalangan pegawai dan anggota polis harus memberi perhatian serius terhadap pelajaran anak-anak mereka untuk menaikkan taraf hidup mereka di masa akan datang,” kata Hamza.
Hamza berkata adalah menjadi tanggungjawab hakiki pegawai dan anggota polis dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan dan ketenteraman awam, namun janganlah tugas yang dipertanggungjawabkan itu dijadikan alasan dari memenuhi tanggungjawab dan kebajikan ahli keluarga.
“Luangkanlah masa dan tunjukkan kemesraan bersama anak-anak dan isteri di rumah setelah habis masa bertugas,” kata Hamza.
Beliau meminta para ibu bapa di kalangan komuniti polis terutama sekali ibu-ibu dan ahli Persatuan Kebajikan Polis (Perkep) supaya meluangkan masa, memberi galakan dan mengadakan majlis motivasi kepada anak-anak untuk meningkatkan tahap pelajaran akademik mereka.
“Beri galakan kepada anak-anak supaya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi di institusi pengajian tinggi untuk menaikkan taraf kehidupan keluarga,” kata beliau.
Hamza berkata terdapat segelintir anak-anak dari kalangan pegawai dan anggota polis yang berminat menurut jejak ibu bapa mereka dan menjawat jawatan dalam Pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
“Dengan kelayakan akademik yang tinggi mereka (anak-anak pegawai dan anggota polis) akan berpeluang mengisi jawatan pangkat tinggi dalam pasukan di masa hadapan,” tambah beliau.
Beliau berkata kerajaan telah memperkenalkan dan melancarkan pelbagai kaedah pembelejaran bertujuan menaikkan taraf pendidikan serta pencapaian pelajar-pelajar dalam peperiksaan termasuk progam ‘Score A’ yang dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan beberapa tahun lalu.
Hamza juga menasihatkan pegawai dan anggota polis supaya memantau aktiviti anak-anak mereka selepas habis masa sekolah.
“Sayangilah anak-anak anda (pegawai dan anggota polis) dan berikan peluang agar mereka berjaya dalam akademik pelajaran seperti kamu sayangkan negara kita dan PDRM,” kata Hamza.

0 Menurut David Teoh, kualiti filem yang baik tidak terletak pada anugerah yang diraih tetapi dari kutipannya

Hormati selera penonton
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

2011/02/10
Pungutan tinggi bukan lagi perkara mustahil buat filem Melayu

INDUSTRI perfileman tanah air menunjukkan percambahan memberangsangkan apabila semakin banyak filem Melayu mampu mengutip hasil jutaan- ringgit. Angka RM4 juta bukan lagi satu fenomena luar biasa kepada industri apabila ramai penerbit sudah berjaya menikmati pungutan sebanyak itu, malah sebahagiannya mampu mencatat angka jauh lebih baik menerusi filem mereka.

Berdasarkan fakta daripada laman web FINAS, Sembilu 2 terbitan Skop Production Sdn Bhd milik Datuk Yusof Haslam ialah filem Melayu pertama mencipta rekod kutipan tinggi apabila berjaya memungut RM6.10 juta pada 1995. Kedudukan itu berjaya dipertahankan filem yang dibintangi Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain dalam tempoh agak lama. Hanya selepas enam tahun, Lagi-Lagi Senario terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd memecahkan tembok kukuh Skop Production dengan kutipan RM6.33 juta, pada 2001. Lapan tahun selepas itu, dua filem, animasi Geng: Pengembaraan Bermula terbitan Les’ Copaque Production Sdn Bhd berjaya memungut RM6.20 juta diikuti dengan Jangan Pandang Belakang Congkak terbitan MIG Production Sdn Bhd, dengan kutipan sebanyak RM6.09 juta.

Walaupun sasaran RM6 juta mungkin dilihat tinggi, tetapi baru-baru ini beberapa filem berjaya merentas angka berkenaan. Filem pertama yang mencetuskan fenomena itu ialah Adnan Sempit yang berjaya memungut RM7.66 juta. Meskipun kutipan itu dilihat sukar ditandingi, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila Ngangkung yang diterbitkan syarikat sama (MIG), mencipta satu lagi rekod dengan kutipan RM8.18 juta.

Siapa sangka Hantu Kak Limah Balik Rumah arahan Mamat Khalid yang dilihat sebagai sebuah filem ‘underdog’ juga mampu meraih kutipan sehingga RM8.12 juta? Tidak ketinggalan, Khurafat yang baru saja menjengah pawagam pada 13 Januari lalu juga sudah mampu membuatkan penerbitnya, Yusof, tersenyum bangga apabila dalam tempoh tiga minggu ditayangkan, filem arahan Syamsul Yusof itu berjaya mencecah lebih RM 7juta.

Kutipan kasar melebihi RM4 juta kelihatan seakan mudah untuk diraih penerbit filem sejak akhir-akhir ini, tetapi adakah itu membawa makna bahawa filem Melayu sedang melalui satu transisi ke zaman yang cerah?
Bagi penerbit yang cukup aktif menghasilkan filem malah antara produser yang memonopoli senarai pecah panggung, David Teo, keadaan itu masih belum boleh dikategori sebagai satu fenomena kerana setakat ini hanya empat filem berjaya meraih kutipan melebihi RM7 juta. Bagaimanapun David berkata, setiap produser mampu meraih kejayaan sepertinya asalkan mereka menghormati penonton.

“Saya anggap semua penerbit mampu meraih kutipan RM4 juta ke atas apabila kita sedar kehendak penonton. Jika setiap penerbit tahu dan menghormati kehendak penonton, mereka pasti akan mencapai tahap itu.

“Sebagai contoh, Datuk Yusof Haslam yang memberi kepercayaan kepada anaknya untuk mengarah. Lihatlah kedudukan filem Khurafat sekarang yang berjaya meraih kutipan cukup baik.

“Sudah lama saya menanamkan kesedaran dalam diri, jika mahu berjaya, penerbit atau pengarah seharusnya menghormati penonton mereka dan jangan hampakan perasaan mereka. Kritikan mereka itu harus dijadikan sebagai satu kesedaran kepada penerbit dan pengarah untuk menghasilkan filem lebih baik dan tidak syok sendiri, supaya dapat mencatat kutipan tinggi. Segelintir orang berpendapat kualiti sesebuah filem itu diukur dengan anugerah yang diraih tetapi bagi saya pula, kualiti filem terletak kepada kutipannya,” kata David.

Menyentuh kewujudan Astro First, David berkata, saluran berkenaan tidak akan menjejaskan kutipan filem tempatan di panggung. Beliau sebaliknya menyokong usaha stesen penyiaran itu mewujudkan saluran khas terbabit.

Katanya, dia tidak faham kenapa sesetengah penerbit ‘bising-bising’ dengan kewujudan Astro First kerana penerbit seharusnya mengambil peluang berkenaan sebagai alternatif untuk menjana pendapatan yang lebih.

“Kewujudan Astro First sekurang-kurangnya boleh menolong penerbit selepas tempoh dua minggu filem ditayangkan di pawagam. Jika sebelum ini pempamer boleh sesuka hati menarik tayangan filem selepas tempoh dua minggu walaupun kutipan menggalakkan, kini dengan adanya Astro First, penerbit terutama syarikat yang kecil mempunyai sumber pendapatan lain,” katanya.

Sunday, February 06, 2011

0 Ventriloquist kembar dari Beaufort Sabah (Terry Pator adalah idola mereka)

Suara daripada perut

Oleh RAJA NORAIN HIDAYAH RAJA ABDUL AZIZ

rnorain@hmetro.com.my



VENTRILOQUIST..kembar seiras ini memiliki minat sama.

BERCAKAP melalui perut tanpa sedikit pun menggerakkan bibir mungkin kedengaran pelik dan mustahil dilakukan. Namun bagi pengamal seni ventriloguist, ia dianggap satu keistimewaan kerana tidak semua mampu melakukannya.

Pasangan kembar seiras, Mohd Syazwan Nizam Matusin dan Mohd Syazrul Nizam Matusin, 22, kembali menghidupkan seni ventriloquist di negara ini yang semakin ‘tenggelam’, walaupun satu ketika dulu ia pernah popular menerusi watak Jalut yang dimainkan oleh pelawak, Mahadi.




URUS..Jeff Omar (dua dari kiri) dan Kay Maria (kanan) bertanggungjawab membawa Wan dan Rul ke Kuala Lumpur.

DUMMY..keletah Buntak (kiri) dan Awang menarik perhatian penonton.

Menggunakan patung atau ‘dummy’ yang diberi nama Buntak dan Awang, dua beradik itu mengecapi populariti di negeri asal, Sabah.

Mohd Syazwan yang lebih mesra disapa dengan nama Wan adalah identiti sebenar kepada dummy bernama Buntak, manakala Mohd Syazrul atau Rul lebih serasi bersama Awang.




Apabila melihat persembahan mereka, dapat dirasakan Buntak dan Awang seakan-akan hidup sehingga membuat ­penonton terpana dan tertanya-tanya adakah patung itu bernyawa.



Lebih menarik, mereka bukan hanya membuat persembahan lawak jenaka, malah boleh me­nyanyi dengan melontarkan suara lantang tanpa perlu membuka mulut mahupun menggerakkan bibir sekalipun.

Wan berkata, Buntak adalah patung pertama dimilikinya apabila dibeli oleh ayahnya, Matusin Awang Damit, 57.

Katanya, dia mula meminati seni itu apabila menonton sebuah rancangan televisyen ventriloquism dari Jepun menerusi televisyen ketika berusia 15 tahun.

“Sama seperti orang lain, saya pada mulanya hairan melihat patung itu bercakap, sedangkan mulut ‘pemegangnya’ langsung tidak bergerak.

“Namun selepas melihat ­secara teliti persembahan mereka, baru saya tahu dari mana suara itu dikeluarkan,” katanya.

Bertitik tolak dari situ, anak muda ini menanam azam untuk mendalami seni itu dan mula melakukan latihan secara sendirian berpandukan maklumat dan video yang ditontonnya melalui Internet.

Pada mulanya, dia menggunakan patung yang dibuat sendiri dan berlatih di depan cermin hampir setiap hari bagi memahirkan diri.

Melihat kesungguhan dan minat mendalam untuk menjadi ventriloquist, ayahnya mengimport Buntak untuknya dan sejak itu dia terus aktif mengadakan persembahan di sekitar Sabah.

Penghijrahan dua beradik kembar ini ke Kuala Lumpur diuruskan oleh pelakon dan juga penerbit drama, Jeff Omar yang tertarik dengan bakat dimiliki mereka.

Walaupun pada mulanya timbul rasa ragu-ragu dan bimbang untuk berhijrah, apatah lagi perlu berjauhan dengan keluarga, semua itu ditolak ke tepi demi mengembangkan bakat dimiliki.

Wan berkata, sehingga kini mereka memiliki enam patung pelbagai ‘jantina’ dan mempunyai karakter dan suara berbeza.

Bercerita mengenai Buntak, Wan berkata, Buntak diberi karakter sebagai seorang yang banyak cakap, nakal dan sering mencuit hati dengan telatahnya yang lucu.

Katanya, setiap patung perlu diberi karakter ­tertentu bagi menjadikan ia benar-benar hidup dan berbeza dengan karakter mereka.

“Karakter yang diberikan itulah sebenarnya membantu menghidupkan sesuatu persembahan selain pengisian dan jalan ceritanya.

“Menjadi cabaran pada kami berdua untuk mempelbagaikan karakter dan suara supaya ia tampak berbeza antara satu sama lain,” katanya.

Berbeza dengan Wan, Rul pada mulanya hanya menjadi ‘back-up’ kepada abangnya ketika melakukan persembahan kerana dia lebih ter­arah kepada bidang nyanyian.
Ketika itu dia masih belum bersedia menjadi ventriloquist, sebaliknya lebih selesa menjadi penghibur yang meniru suara Tan Sri P Ramlee di Sabah.

“Minat saya dalam bidang ini timbul agak lambat berbanding abang saya, namun semua itu tidak dijadikan alasan untuk saya terus memantapkan diri dengan ilmu ventriloquism.

“Kami sering bertukar-tukar pendapat dan idea sebelum melakukan sesuatu persembahan supaya persembahan kami menarik perhatian penonton,” katanya.

Oleh kerana seni ini memerlukan mereka bercakap dari dalam perut dan bibir tidak boleh digerakkan, menjadi satu cabaran untuk menyebut sesetengah
perkataan.

Perkataan yang mengandungi huruf seperti B, M, P dan W sukar disebut tanpa menggerakkan bibir dan ia mengambil masa lama untuk belajar me­nyebut huruf itu.
“Walaupun pada mulanya­ sukar membiasakan diri, lama-kelamaan kami berjaya menyebut perkataan itu.

“Dua elemen penting yang ditekankan adalah kesungguhan dan kesabaran kerana ia saling bergantung antara satu sama lain dalam memastikan setiap persembahan kami sampai kepada audiens,” katanya.

Awang yang memiliki rambut berwarna kuning lebih bersifat senyap berbanding Buntak tetapi diserapkan dengan sedikit karakter gatal dan selamba.

Rul berkata, dia me­ngambil masa tiga hari dan tiga malam untuk memikirkan karakter sesuai untuk Awang dan selepas itu pula perlu menjiwai karakter berkenaan.

“Karakter dipilih mestilah berlainan dengan karakter saya supaya penonton boleh melihat perbezaan itu, sekali gus menjadikan persembahan lebih berkesan.

“Elemen komedi perlu disuntik untuk mengelak penonton berasa bosan, namun komedi dipersembahkan perlu ‘masuk’ dengan penonton bagi mengelak ‘persembahan syok sendiri’,” katanya.

Lazimnya, mereka akan duduk berbincang sebelum melakukan persembahan bagi bertukar-tukar idea supaya ­persembahan mereka selari dan berkesan.

Kebiasaannya mereka menjadi apa saja elemen yang berada di sekeliling mereka untuk dijadikan bahan komedi kerana ia lebih dekat dengan penonton.

Sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur, kembar seiras ini sering mengadakan persembahan silap mata, nyanyian dan ventriloquist di sekitar Labuan dan mempunyai pengikutnya yang tersendiri.

Tambah menarik, kedua-dua beradik ini sering menduduki tempat antara tiga teratas dalam Pertandingan Bintang P Ramlee di Sabah.

Ventriloquism berasal daripada perkataan Latin yang mana venter yang bererti perut dan loqui bermaksud bercakap.

Seni ini mula dipopularkan oleh Harry Lester (1878 - 1956), yang dilahirkan di Poland dan dikenali di atas pentas sebagai The Great Lester.

Sementara itu, Jeff Omar yang bertindak selaku pengurus dan dibantu oleh dramatis ­tanah air, Kay Maria berkata, Wan dan Rul mempunyai ­potensi yang besar untuk pergi jauh dalam bidang seni kerana mereka memiliki kelainan berbanding bakat baru yang sedia ada.

Katanya, di kala dunia seni dibanjiri bakat baru yang kebanyakannya memilih dunia nyanyian dan lakonan, mereka tampil berbeza.

“Tidak keterlaluan jika saya katakan mereka mempunyai bakat yang lengkap iaitu mampu menyanyi, menjadi pelawak dan berlakon.

“Bakat seperti inilah yang patut diketengahkan kerana jika dilihat daripada maklum balas yang diterima, kebanyakannya melahirkan rasa kagum pada bakat yang dimiliki mereka,” katanya.

Menurutnya, Wan dan Rul sering memberikan komitmen yang tinggi terhadap apa jua yang dilakukannya tanpa pernah putus asa.

Tambahnya, dia mempunyai perancangan untuk mengete­ngahkan bakat mereka dengan menerbitkan sebuah rancangan televisyen khas untuk mereka di samping memberi peluang untuk berlakon dalam mana-mana drama.

“Wan dan Buntak pernah berlakon dalam drama Selamat Hari Raya Bapak pada Aidilfitri tahun lalu dan ia adalah platform yang tepat untuk membuatkannya dikenali.

“Saya mempunyai harapan yang cukup besar iaitu ingin membawa mereka ke peringkat antarabangsa dan sekaligus melakar nama antara ­vertaloquist tersohor dunia,” katanya.


INFO



Ventriloquist ­adalah seni ­bercakap melalui perut tanpa ­menggerakkan bibir Mohd Syazwan

Nizam Matusin (Wan) ­mengendalikan ­patungnya yang diberi nama Buntak ­manakala Mohd Syazrul Nizam Matusin (Rul) ­bersama Awang

Buntak mempunyai karakter nakal, lucu dan banyak cakap. Awang pula bersifat pendiam dan gatal

Mempunyai bakat ­meniru suara artis, ­terutama seniman Tan Sri P Ramlee

Boleh dihubungi ­menerusi lama sosial facebook: www.facebook.com/wan rul magic puppet

PROFIL

NAMA: Mohd Syazrul Nizam Matusin
UMUR: 22 tahun
LAHIR: 7 April 1989
ASAL: Beaufort, Sabah
KELUARGA: Kedua daripada lima beradik
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia
IDOLA: Tan Sri P Ramlee, Terry Fator dan Cyril Takayama


PROFIL

NAMA: Mohd Syazwan Nizam Matusin
UMUR: 22 tahun
LAHIR: 7 April 1989
ASAL: Beaufort, Sabah
KELUARGA: Sulung daripada lima beradik
PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia
IDOLA: Tan Sri P Ramlee dan Terry Fator