.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Tuesday, January 18, 2011

0 Apabila perniagaan modal RM200,000 masih dianggap modal kecil? Atau bisnes RM2j tetap masih kecil

Koperasi Setiakawan wujudkan 10 kedai rakyat
KANGAR 17 Jan. - Koperasi Setiakawan Bhd. merancang mewujudkan 10 buah kedai rakyat di tiga negeri mulai Jun ini, kata Pengurus Besarnya, Bahari Ali di sini hari ini.
Katanya, koperasi yang berorientasikan perniagaan itu akan memberi bantuan modal sebanyak RM100,000 bagi setiap kedai rakyat itu yang masing-masing tiga buah di Perlis dan Pulau Pinang serta empat buah di Kedah.
Bercakap kepada para pemberita di sini hari ini, beliau berkata, kedai rakyat yang memasarkan barangan runcit serta barangan keperluan masyarakat setempat itu akan dikendalikan sendiri oleh anggota-anggotanya.
"Kami berharap kedai-kedai rakyat itu akan mula beroperasi Jun ini," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Selain itu, beliau berkata, koperasi yang berpejabat di Jejawi, Perlis itu akan turut menyertai industri burung walet di atas tapak seluas lebih dua hektar di Sanglang dekat sini, yang membabitkan kos kira-kira RM2 juta.
"Kami menawarkan 2,000 lot saham yang setiap satu bernilai RM1,000 kepada anggota-anggota koperasi yang berminat menyertai industri yang semakin berkembang itu.
Bahari berkata, projek itu akan dilaksanakan secepat mungkin berikutan minat yang ditunjukkan oleh anggota-anggotanya.
Sebelum itu, koperasi itu telah menganjurkan kursus industri burung walet di sini dan siri kedua kursus itu akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat dengan setiap peserta di kalangan anggota koperasi dikenakan yuran RM200 manakala kepada bukan anggota sebanyak RM300.
Menurutnya, koperasi itu juga telah menjalin kerjasama dengan syarikat Agronusa Sdn. Bhd. bagi memasarkan pokok stevia dan produks tumbuhan berdaun manis itu mulai Februari ini.
Katanya, koperasi akan menjual benih-benih stevia pada harga RM5 bagi setiap pokok kepada anggota koperasi manakala kepada bukan anggota sebanyak RM8.
Beliau berkata, koperasi akan membeli balik daun stevia yang ditanam anggota-anggota koperasi pada kadar harga RM10 sekg manakala bukan anggota sebanyak RM8 sekilogram.
Bagi daun yang telah dikeringkan, koperasi akan membeli pada harga RM50 sekilogram daripada anggotanya manakala daripada bukan anggota sebanyak RM40.
Koperasi itu juga akan membeli satu unit kedai bernilai RM800,000 di Taman Angsana, Sungai Petani sebagai pusat operasi koperasi itu kelak.
Katanya, bayaran permulaan sebanyak RM200,000 bagi membeli kedai berkenaan akan dikeluarkan koperasi itu termasuk melalui sumbangan daripada anggota-anggota lembaga pengarahnya. - Bernama

Saturday, January 15, 2011

0 One Drop Perfumes lebarkan pasaran di peringkat antarabangsa

One Drop ke pasaran dunia

One Drop Perfumes kini menembusi pasaran antarabangsa seperti United Kingdom, Holland, Amsterdam, Ireland, Indonesia, Brunei, Singapura dan Filipina.



ZETTY menunjukkan sebahagian daripada produk One Drop Perfumes yang diberi imej baru lagi eksklusif.



MEMILIKI minyak wangi jenama antarabangsa seperti Calvin Klein, Estee Lauder, Elizabeth Arden, DKNY, Hugo Boss dan Davidoff boleh dikatakan kehendak hati yang mahu dipenuhi oleh sesiapa sahaja tidak kira lelaki atau wanita.

Namun, kerana harganya yang mahal mencecah ratusan ringgit dan mengandungi alkohol membuatkan seseorang itu terpaksa melupakan hasrat tersebut.

Melihat kepada permintaan terhadap minyak wangi tanpa alkohol yang semakin meningkat, One Drop Sdn. Bhd. One Drop tidak melepaskan peluang keemasan tersebut dengan menjadi perintis memperkenalkan wangian tanpa alkohol pertama di Malaysia dikenali dengan nama One Drop Perfumes by Egyptian Potion pada tahun 2006.

Fenomena

Sejak itu, One Drop Perfumes menjadi satu fenomena kerana dalam masa yang singkat, ia telah menarik minat masyarakat Malaysia dengan menawarkan minyak wangi tanpa alkohol yang berkualiti dan haruman yang menyamai jenama antarabangsa. Lebih menarik, ia menawarkan harga yang jauh lebih murah dan mampu dimiliki oleh sesiapa sahaja.

"Walaupun sudah empat tahun berada di pasaran sejak ia diperkenalkan, sambutan orang ramai terhadap One Drop Perfumes sangat menakjubkan. Permintaan terhadap wangian yang dekat di hati para pengguna ini semakin meningkat.

"Bagi menghargai sokongan pengguna, kami telah melakukan transformasi terhadap produk wangian ini agar tampak lebih eksklusif dengan botol yang lebih menarik dan pembungkusan kotak magnetik yang baru. Pada masa yang sama, ia masih mengekalkan harga seperti sebelumnya," kata Pengarah Eksekutif One Drop Sdn. Bhd., Zetty Syazleen Ismail.

Buat masa ini, One Drop Perfumes menawarkan tujuh set haruman khusus buat wanita, lima set haruman lelaki dan dua wangian istimewa buat remaja dengan harga antara RM25 hingga RM45.

"Memiliki haruman One Drop sangat berbaloi kerana dengan hanya RM40 seseorang itu dapat memiliki lapan haruman daripada pelbagai jenama minyak wangi antarabangsa yang mahal harganya.

"Ia bukan sahaja mendapat sambutan di pasaran tempatan malah turut menembusi pasaran antarabangsa seperti United Kingdom, Holland, Amsterdam, Ireland, Indonesia, Brunei, Singapura dan Filipina," ujarnya.

Zetty berbangga kerana One Drop Perfumes bukan sahaja memberikan peluang kepada orang ramai memiliki minyak wangi mampu milik, malah dalam masa yang sama membantu ibu-ibu tunggal dan mereka yang dalam kesusahan menambahkan sumber kewangan masing-masing melalui penjualan One Drop Perfumes.

Persaingan sihat

Walaupun kini sudah banyak syarikat yang tampil dengan produk minyak wangi tanpa alkohol selepas One Drop menjadi perintis mengkomersialkannya sejak empat tahun lalu, Zetty melihat senario tersebut sebagai satu persaingan yang sihat.

"Apa yang kami lakukan menjadi ikutan syarikat lain. Tiada apa yang perlu dirisaukan mengenai hal ini kerana kami sentiasa memberikan nafas baru terhadap produk One Drop Perfumes dan mempunyai kelompok pengguna yang setia dengan perkembangan produk kami.

"Dalam pada itu, kami tampil dengan produk baru setiap tahun selain jaminan ia lebih berkualiti, tahan lama dan eksklusif dan menampilkan harga yang mampu dimiliki semua," jelasnya.

Tambah Zetty, sumber minyak wangi One Drop adalah dari Mesir dan dibungkus di kilang syarikat di Bayan Lepas, Pulau Pinang. KIlang tersebut telah diiktiraf dengan status Amalan Pengilangan Baik (GMP) yang membolehkan pemantauan kualiti dilakukan dengan lebih teliti.

Rangkaian One Drop Perfumes juga ternyata istimewa kerana diformulasikan sendiri oleh One Drop Perfumes dengan menggunakan khidmat pakar wangian dari Perancis yang pernah bekerja di bawah syarikat jenama wangian antarabangsa terkemuka.

Dengan formula tersendiri, proses pembikinan wangian itu dihasilkan melalui pembuatan yang teliti dan dijamin tidak menjejaskan keaslian harumannya.

One Drop kini mempunyai lebih 30,000 pengedar di seluruh Malaysia. Antara selebriti terkenal yang pernah menggunakan One Drop Perfumes ialah Fahrin Ahmad, Rozita Che Wan, Rita Rudaini, Amy Search dan ramai lagi.

Para pembaca yang ingin menjadi pengedar bagi menambahkan pendapatan boleh menghubungi One Drop di 03-2072 5555 atau layari laman web www.onedropperfumes.com. -NURUL IZZA ROSLY

0 Ain Maisarah dengan Berita Harian - Halatuju bisnes Novelis Gedik

Novel bersiri terbaru Ain Maisarah di BH Sabtu ini


2011/01/13



NOVELIS muda yang semakin popular dalam kalangan remaja, Ain Maisarah kembali berkongsi kisah The Wannababes dari Sekolah Sri Bangsar dalam novel bersiri berjudul Jutawan Gedik. Menariknya, novel yang tidak pernah lagi dicetak di mana-mana akhbar atau majalah ini boleh diikuti dalam sisipan Berita Harian mulai Sabtu ini.

“Kisah ini pastinya punyai elemen lucu dan diserikan dengan gelagat ‘gedik’ dunia remaja. Paling penting, moral utama cerita ini adalah agar remaja menghargai dana kewangan yang diberikan ibu bapa. “Jujurnya, saya sangat seronok menulis cerita ini. Dalam cerita ini, saya dapat membuli The Wannababes, kumpulan paling ‘gedik’ seantero Bangsar. Saya dapat selitkan maklumat keusahawan dan berkongsi angan-angan saya sendiri, jikalau benar satu hari nanti boleh bergelar jutawan,” katanya yang mempunyai 40,000 pengikut setia di laman sosial Facebook dan pengikut blognya pula mencecah 25,000 orang. Ain Maisarah yang popular dengan novel bersiri Aku Mahu seperti Aku Mahu Saiz S, Aku Mahu Teman Tapi Mesra, Aku Mahu Buli dan Aku Mahu Ke New York berharap kisah terbaru ini dapat membawa pengajaran positif kepada semua pembaca.

menghantar cerita adalah mengikut pusingan minggu. Berdebar juga saya apabila perlu sesuaikan jadual waktu,” katanya.

Jutawan Gedik 40 siri ini berkisar mengenai Kelab Jutawan Sri Bangsar. Bagi mereka yang sudah biasa dengan siri Aku Mahu itu, kelab itu sebenarnya ialah penjenamaan baru bagi Kelab Usahawan yang mahu mendidik ahlinya berniaga.

Satu tugasan diberi kepada semua ahli bagi mencapai misi mengutip RM1 juta. Lalu bermulalah pengalaman lucu, kelakar dan menyedihkan dalam usaha mendapat wang itu. Ada yang mencari cicak bintik yang dikatakan boleh mengubati AIDS. Ada yang berniaga cupcake. Ada yang buat perkhidmatan pos surat layang Sri Bangsar.
Dan The Wannababes sendiri mahu mencapai RM1 juta dengan cara paling ‘gedik’ bergaya. Mereka mahu buka salun dan spa kecantikan remaja. Mampukah mereka jadi jutawan dengan usaha mereka sendiri? Ikutlah kisah lucu ‘gedik’ dunia remaja tetapi penuh dengan nasihat dan teladan kepada mereka.

Monday, January 10, 2011

0 Simpan gambar anda sebelum facebook ditutup pada 15 Mac 2011

Kecoh Facebook akan ditutup 15 Mac depan



GAMBAR laman web Facebook pada skrin sebuah komputer di Washington pada 9 November lalu.



PALO ALTO, California - Khabar angin dalam kalangan pengguna Internet mengenai penutupan laman sosial popular Facebook kini tersebar luas terutamanya menerusi laman sosial Twitter, lapor sebuah akhbar semalam.

Antara mesej yang disampaikan oleh pengguna Twitter adalah seperti: "Facebook bakal ditutup pada Mac 2011? Saya harap tidak."

"Khabar angin adalah Facebook akan ditutup. Tolong jangan beralih kepada Twitter dan jangan rosakkan pengalaman jaringan sosial saya," kata @jjelksboss melalui Twitternya.

Terdapat juga kumpulan yang dibentuk di laman Facebook yang meminta agar laman sosial itu tidak ditutup dengan mesej: "Facebook akan ditutup pada 15 Mac 2011. Adakah terdapat cara lain untuk menghalangnya?"

Pada bulan lepas Yahoo telah mengumumkan bahawa Yahoo Video akan ditutup pada tarikh sama tetapi ia tidak bermaksud semua jaringan di Internet akan turut terhenti.

Dalam perkembangan sama akhbar Weekly World News melaporkan bahawa pengasas laman sosial itu, Mark Zuckerberg, 27, sedang menghadapi tekanan untuk terus menguruskan laman sosial tersebut.

"Facebook sudah di luar kawalan saya dan tekanan menguruskan syarikat ini telah mengganggu hidup saya. Saya perlu hentikannya untuk mengelakkan tekanan ini," jelas Zuckerberg dalam satu sidang media di luar pejabatnya di Palo Alto baru-baru ini.

Dalam satu temu ramah menerusi telefon Zuckerberg memberitahu: "Saya secara peribadi tidak menganggap ia sebuah keputusan besar. Secara jujurnya saya fikir ia (menutup laman Facebook) adalah untuk kebaikan. Tanpa Facebook orang ramai akan keluar dan berjumpa dengan rakan-rakan, itu adalah lebih baik."






MARK ZUCKERBERG



"Saya tidak kisah mengenai wang. Saya hanya mahu kehidupan saya balik," kata Zuckerberg.

Akhbar itu melaporkan Naib Presiden Perhubungan Teknikal Facebook, Avrat Humarthi menjelaskan bahawa bermula 15 Mac ini pengguna tidak lagi akan dapat memasuki akaun Facebook dan meminta pengguna melakukan sesuatu agar semua gambar-gambar kesayangan tidak hilang.

"Seluruh laman web ini akan ditutup pada tarikh itu. Justeru, jika anda tidak mahu gambar-gambar di Facebook hilang, saya nasihatkan agar anda menyimpannya sebelum laman itu ditutup," jelas Humarthi.

Bagaimanapun, akhbar International Business Times melaporkan bahawa khabar angin itu hanya disebarkan melalui laman-laman blog dan tiada laporan daripada mana-mana akhbar arus perdana berhubung penutupan tersebut.

Menurut Lou Kerner dari firma Wedbush Securities, Facebook mempunyai lebih 600 juta pengguna di seluruh dunia dengan 300 pemegang saham. - Agensi

0 Anda tidak akan tenang selagi belum akui kesalahan

Walcott akui sengaja jatuhkan badan



Cesc Fabregas (kiri) menyempurnakan penalti ketika menentang Leeds United pada perlawanan pusingan ketiga Piala FA di Stadium Emirates kelmarin yang berakhir dengan seri 1-1. - AFP




LONDON - Penyerang England, Theo Walcott meminta maaf kerana sengaja menjatuhkan badan untuk memperoleh sepakan penalti bagi membolehkan Arsenal mencatat keputusan seri 1-1 dalam perlawanan pusingan ketiga Piala FA menentang Leeds, kelmarin.

Ketika Arsenal ketinggalan 0-1 kepada pasukan divisyen dua itu, pemain sayap lincah itu merebahkan badan, selepas dia dikasari Paul Connolly.

"Saya meminta maaf kepada pengurus kerana sebenarnya saya telah merebahkan badan, saya cuba untuk mendapatkan sepakan penalti.

"Saya mendengar ada pemain yang mengatakan jika terdapat sentuhan ia akan berhasil. Saya tidak gembira dengan diri saya, sendiri kerana melakukan perkara tersebut tetapi saya gembira kami berjaya mencatat keputusan seri," katanya.

Walcott, 21, memperoleh sepakan penalti pada masa kecederaan selepas dia ditarik di dalam petak penalti, membolehkan ketua pasukan, Cesc Fabregas menyamakan kedudukan dan memperoleh perlawanan ulangan di Elland Road.

"Saya boleh bergurau bersama pengadil selepas perlawanan tersebut dengan mengatakan ia adalah penipuan pertama yang saya lakukan.

"Saya tidak perlu menghebohkan perkara itu dan berbincang dengan pemain lain, tetapi saya hanya meluahkan apakah perasaan saya ketika itu. Saya harap semua orang menghormatinya," katanya. - Reuters

Friday, January 07, 2011

0 Lingkaran Api Pasifik menjadikan Indonesia negara paling tidak selamat diduduki?

Lingkaran musibah

Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my
2010/10/31




Gempa bumi, tsunami dan letusan Merapi melanda Indonesia hampir serentak

ANDAI mahu diukur dari segi kedudukan, kestabilan muka bumi dan kekerapan ditimpa bencana alam, Indonesia mungkin paling layak berada di tempat teratas senarai negara paling tidak selamat untuk diduduki. Jika diteliti, sukar rasanya untuk republik itu melepasi tempoh setahun tanpa ada satu pun bencana mencelah. Namun apa yang dihadapi negara jiran itu kali ini sesuatu yang jauh berbeza daripada kebiasaan kerana tiga musibah datang hampir serentak. Semuanya kerana kedudukan republik berkenaan dalam Lingkaran Api Pasifik. Isnin lalu, Indonesia dikejutkan dengan gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter di Sumatera, sekali gus mencetuskan tsunami dan keesokannya pula, Gunung Merapi di Balerante, Jawa Tengah menyemburkan awan panas dan menurunkan hujan abu volkanik bersuhu 600 darjah Celsius.

Setakat Khamis lalu, bencana tsunami yang melanda Kepulauan Mentawai dan mencipta ombak besar setinggi tiga meter dilapor melenyapkan beberapa kampung dan mengorbankan hampir 300 nyawa manakala angka korban angkara gunung berapi Merapi mencecah puluhan orang.

Pakar gunung berapi berkata, ketika mereka tidak boleh menidakkan letusan lebih ganas, ia mungkin berterusan sebagai siri letupan kecil seperti yang berlaku Selasa lalu.

“Jika keadaan berterusan seperti ini untuk beberapa waktu, kita akan melihat letusan yang perlahan dan panjang,” kata penyelidik gunung berapi, Gede Suantika.
Seperti Kepulauan Aleutian di Alaska yang bertaburan dengan gunung berapi, kepulauan Indonesia juga terletak di sempadan bawah laut antara dua plat paling besar dalam kerak bumi.

Dalam kes Indonesia, kerak plat Australia terletak di bawah kerak plat Eurasia yang membentuk kubu Sunda. Pergeseran kedua-dua plat memanaskan batu ke tahap cair, membekalkan magma yang membesar untuk membentuk gunung berapi serta mencetuskan gempa bumi.

Zon sama mengeliling Pasifik, mewujudkan rangkaian gunung berapi yang memanjang dari Andes sehingga Pasifik Barat, lalu membentuk Lingkaran Api.

Risiko keseluruhan rantau itu membuatkan sebahagian pakar gempa bumi berjaga sepanjang malam kerana ia juga mengandungi sebahagian zon yang membentuk ketegangan selama lebih 200 tahun. Jika ia dibebaskan dalam satu keadaan, gempa boleh mencecah 8.5 pada skala Richter yang boleh mencetuskan gempa bumi amat kuat.

Bahagian itu berpusat di bawah Pulau Siberut di Padang. Pada September 2009, gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter melanda persisiran pantai Padang.

Sekali pandang, ia menepati corak gempa bumi pada ukuran sama yang berlaku sepanjang bahagian lain di pantai itu sejak 2004 apabila gempa bumi berukuran 9.1 pada skala Richter menggegarkan utara Sumatera, menyebabkan anggaran 231,000 kematian secara langsung atau tidak langsung kerana tsunami yang merebak ke seluruh Lautan Hindi.

Sebahagian penyelidik berkata, mereka mengesyaki siri apa yang dikatakan gempa bumi lemah yang mewakili zon berkenaan sekadar menyesuaikan diri untuk berubah dalam corak tekanan yang disebabkan gegaran pada 2004.

Bagaimanapun, menurut sepasukan pakar gempa bumi yang berada di situ, gegaran pada 2009 tidak memberi kesan dalam mengurangkan ketegangan yang sudah terbina selama 200 tahun.

Menulis dalam jurnal Nature Geoscience, Januari lalu, pasukan berkenaan memberi amaran bahaya gempa bumi berukuran lebih 8.5 pada skala Richter masih ada di sepanjang segmen di Padang.

Sebarang harapan gempa bumi Isnin lalu mungkin mengurangkan ketegangan, nyata tersasar. Berdasarkan maklumat awal mengenai lokasi dan kedalaman pecahan, gempa itu berlaku amat jauh daripada ketegangan yang tercetus berhampiran Padang.

Indonesia dikelilingi pulau yang dianggarkan berjumlah 17,504 buah dan dengan kedudukan geografi yang meletakkan republik itu di titik pertembungan tiga plat yang mempunyai pergerakan tersendiri dengan arah bertentangan, lalu menyebabkan kumpulan tenaga tidak boleh dibendung, sekali gus mencetuskan gempa bumi.

INFO: Tragedi bencana alam paling dahsyat dalam sejarah Indonesia


Gempa bumi Toba di Sumatera Utara
Gempa bumi gunung berapi yang dianggap terbesar dalam sejarah dunia berlaku kira-kira 450,000 tahun lalu. Ia disebabkan aktiviti magma yang selalunya berlaku sebelum letusan gunung berapi. Aktiviti yang semakin memuncak akan menyebabkan letupan yang juga mengakibatkan gempa bumi. Kesan gempa bumi itu membentuk Danau Toba yang kini terkenal sebagai destinasi pelancongan.


Gempa bumi di Jawa
Juga gempa bumi gunung berapi yang berlaku di pergunungan Jawa Timur dengan ukuran 6 hingga 6.8 pada skala Richter, kira-kira 1,770 tahun lalu. Gegaran menyebabkan letusan Gunung Sumeru dan tragedi ini meragut 6,000 nyawa serta menghasilkan hujan debu selama empat hari di seluruh kawasan tengah hingga Jawa Timur. Gunung Sumeru dianggap gunung berapi paling aktif sehingga sekarang.


Gempa bumi 25 November 1833
Ia menyebabkan wujudnya segmen Kubu Sumatera di sepanjang 1,000 kilometer di tenggara. Perkara sama berlaku dalam gempa bumi pada 26 Disember 2004. Ia mencetuskan tsunami yang melanda pantai barat Sumatera, kawasan paling hampir dengan pusat gegaran ialah Pariaman hingga Bengkulu.


Letusan gunung berapi Krakatoa
Apabila Krakatoa meletup pada Ogos 1883, ia menyamai kuasa bom atom. Letusan dapat didengar sehingga beribu kilometer, menggegarkan seluruh Lautan Pasifik, menyebabkan seluruh ‘pulau Krakatau’ tenggelam dan turut membawa bersama 100 pulau sekitarnya. Bencana itu membunuh 36,000 orang, kebanyakannya disebabkan tsunami. Debu letusan sampai hingga ke New York, menyebabkan penurunan suhu seluruh dunia untuk tempoh hingga setahun.

0 Planet kembar bumi yang boleh didiami manusia. Jarak 20 tahun cahaya

Bumi baru

Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my
2010/10/10
Saintis temui planet miliki banyak persamaan

ANDAI bumi semakin tidak selamat diduduki berikutan pencemaran manusia daripada peperangan hingga pencemaran, mungkin penemuan baru sekumpulan pakar astronomi boleh dijadikan alternatif untuk didiami - andai ada syarat teknologi untuk sampai ke sana. Pakar astronomi, baru-baru ini, mengumumkan penemuan planet yang disifatkan kembar bumi kerana miliki banyak persamaan tetapi bersaiz tiga kali ganda lebih besar dan mengelilingi bintang terletak 20 tahun cahaya. Planet berkenaan terletak dalam ‘zon Goldilocks’ bintang itu - rantau di angkasa lepas yang menyaksikan keadaannya sama ada terlalu panas atau terlalu sejuk untuk membentuk lautan, tasik dan sungai.

Ia bagaimanapun, dikatakan memiliki atmosfera dan graviti seperti di bumi yang menjadikannya kemungkinan besar boleh didiami.

Penemuan itu berlaku tiga tahun selepas pakar astronomi menemui planet sama tetapi tidak sesuai diduduki di sekitar bintang sama. Penyelidik mendapati pertemuan itu menunjukkan alam semesta dipenuhi dunia seperti bumi.

“Jika tidak, kita tidak sepatutnya menemui satu planet lain begitu cepat dan amat hampir. Bilangan sistem dengan potensi planet boleh diduduki berkemungkinan cuma 10 atau 20 peratus, dan apabila menggandakannya dengan beratus bilion bintang di Milky Way atau Bima Sakti, ia satu jumlah besar.
“Besar kemungkinan berpuluh bilion sistem ini dalam galaksi kita,” kata Dr Steven Vogt yang mengetuai kajian berkenaan di Universiti California, Santa Cruz.

Keputusan itu dihasilkan 11 tahun selepas pemerhatian di Pusat Pemerhatian W M Keck di Hawaii. Planet berkenaan beredar mengelilingi bintang kecil berwarna mereka dinamakan Gliese 581 di buruj Libra. Ia yang dinamakan Glieseg, terletak pada jarak 189,902,592,000,000 kilometer dari bumi - kedudukan yang amat jauh sehingga cahaya daripadanya mengambil masa 20 tahun untuk tiba di bumi!

Ia cuma mengambil masa 37 hari untuk mengelilingi matahari yang bermakna setiap musim, planet berkenaan cuma bertahan beberapa hari. Separuh planet berkenaan sentiasa mengadap bintangnya dan berpanas sepanjang siang manakala separuh lagi sentiasa dalam kegelapan - menyamai bumi ketika malam.

Tempat paling sesuai untuk kehidupan atau manusia pada masa depan terletak di zon antara kegelapan dan cahaya yang mengelilingi planet berkenaan.

Jika Gliese 581g mempunyai kandungan berbatu yang serupa dengan bumi, keluasannya garis pusatnya kira-kira 1.2 hingga 1.4 kali ganda lebih luas daripada bumi. Graviti pula berkemungkinan serupa yang membolehkan angkasawan berjalan di permukaan tanpa sebarang kesukaran.

Pakar astronomi kini menemui enam planet dalam orbit di sekeliling Gliese 581 - paling banyak ditemui dalam sistem planet berbanding sistem solar bumi. Dua daripada planetnya yang dikesan sebelum ini dicadangkan sebagai planet yang boleh diduduki. Bagaimanapun, ia terletak di kawasan melampau Zon Goldilocks - satu di bahagian panas dan satu di bahagian sejuk manakala Gliese 581g, sebaliknya, terletak di tengah-tengah.

Bintang itu belum diberikan nama rasmi. Ia muncul dalam katalog bintang yang disusun oleh pakar astronomi Jerman, William Gliese, yang kemudian diberi nombor rujukan 581.

Pakar menamakan planet yang didapati mengelilingi bintang dengan huruf. Lima planet yang ditemui sekitar Gliese 581 sebelum ini dinamakan daripada b hingga f, menjadikan penemuan terbaru sebagai Gliese 581g.

Fakta
Gliese 581g


Purata suhu permukaan: antara -31 darjah Celsius dan -12 darjah Celsius


Jarak dari Bumi - 20 tahun cahaya atau 189,902,592,000,000 kilometer


Masa diperlukan untuk mengembara ke Gliese 581g dalam roket yang berkelajuan satu persepuluh kelajuan cahaya atau 30,577.536 kilometer sesaat - 200 tahun


Panjang tahun - 37 hari (berbanding bumi 365 hari)


Jarak daripada matahari - kira-kira sembilan juta kilometer