1 Dream Entertainment luaskan empayar seni hingga ke Nunukan 
MARLIN (kiri) Said (tengah) dan Ebi menunjukkan skrip Aboi.
29th November, 2010
EMPAYAR Bayu Movie’s, sebuah syarikat produksi tempatan milik artis popular iaitu bintang Akademi Fantasia ke 5, Ebi serta pelakon dan pengacara tempatan Marlin Malalin, telah menjalin kerjasama dengan SAM Production milik usahawan terkenal dari Keningau, Said Abd Malik untuk menerbitan telefilem komedi versi dvd dan vcd berjudul ‘ABOI’.
Kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menerbitkan telefilem berunsur komedi ini setelah menghabiskan masa dua jam perbincangan baru-baru ini. Apa yang menarik mengenai telemovie ini ialah cerita asalnya, konsep dan skrip tulisan Marlin dan Ebi sendiri.
Telefilem ini akan menggunakan khidmat pengarah filem dan penulis skrip terkemuka tanahair Kamal Ishak sebagai sutradara.
Ketika mengulas mengenainya, Ebi mahupun Marlin sangat berterima kasih dan menghargai kesudian Said dalam memberikan kerjasama menerbitkan telefilem ini.
ABOI akan memulakan penggambaran pada pertengahan Januari tahun depan dan memilih daerah keningau dan Bandaraya Kota Kinabalu sebagai lokasi. Walaupun ceritanya disampaikan menerusi watak bodoh-bodoh pintar, tetapi kisah ABOI sebenarnya sangat menarik.
Kerana ianya mengajak penonton supaya mencintai tanahair dan juga memberitahu Sabah ialah pengamal konsep 1Malaysia sejak dahulu lagi. Ini juga platform bagi mereka melahirkan rasa cinta dan penghargaan buat Sabah seterusnya Malaysia, sejajar dengan moto Empayar Bayu Movie’s iaitu “Sayang Sabah Sayang Malaysia”.
Mereka juga dalam proses membuat rundingan dengan nama-nama besar seperti Abu Bakar Ellah @ Ampal, Felix, Alex Raja Lawak, Clarice John Matha dan Den Bisa untuk membintangi ABOI.
“Ini adalah produk pertama syarikat ini, tetapi kami akan berikan yang terbaik dan berkualiti untuk tatapan semua. Kami juga berharap agar Aboi boleh mengangkat lagi martabat industri hiburan di Sabah ini.
“Kami mahu memadam segala tanggapan umum yang mengatakan bahawa produk hiburan Sabah kurang berkualiti. Ini juga tanda sokongan kami kepada gesaan Datuk Masidi Manjun, yang mahu melihat produk hiburan Sabah yang dihasilkan secara berkualiti.
“Pada saya kerajaan kita cukup baik kerana sentiasa menyokong karyawan tempatan dalam menghasilkan produk hiburan bertaraf nasional. Ini terbukti pada pemberian slot kisah Sabahan di stesen TV RTM,” kata Ebi selaku pengurus syarikat berkenaan yang turut memaklumkan bahawa Empayar Bayu Movie’s telah menjalin kerjasama dengan beberapa produksi di Kuala Lumpur untuk menerbitkan telefilem RTM yang berkonsepkan kisah etnik Sabah.
Sambil mengucapkan penghargaan kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar itu, dan juga kerajaan yang sentiasa memberi sokongan, Ebi yang bertindak selaku penerbit berharap ABOI akan mendapat sokongan bukan sahaja daripada kerajaan malah rakyat Sabah apabila ianya di pasarkan kelak.
Sementara itu, Penerbit Eksekutif Said turut berterima kasih kepada Ebi dan Marlin kerana memberi kepercayaan kepadanya berkerjasama menerbitkan ABOI.
“ABOI, sebuh cerita yang sangat menarik serta kaya dengan nilai-nilai patriotik walaupun disampaikan secara komedi. Ia bertujuan mengangkat martabat industri hiburan Sabah. Justeru saya tidak berfikir panjang untuk menerima tawaran Ebi dan Marlin untuk bekerjasama menerbitkan telefilem ini.
Saya juga tertarik dengan cara pembikinannya yang begitu professional sekali,” katanya yang sebelum ini pernah menerbitan telefilem versi cvd Bujang 2nd Hand, menggesa rakyat Sabah memberikan sokongan padu bila ABOI dipasarkan kelak.
Wednesday, December 01, 2010
0 Selamat maju jaya untuk Marlin dan Ebi atas usaha memartabatkan industri filem di Sabah!
0 Cabaran buat bisnes francais dari kaca mata instituti bank
Industri francais sukar dapat pinjaman bank
KUALA LUMPUR 30 Nov. - Institusi bank tempatan digesa supaya lebih berhati 'mulia' dalam mempertimbangkan pembiayaan untuk francaisi dalam usaha meningkatkan pertumbuhan industri francais.
Ini kerana perniagaan francais merupakan perniagaan yang berdaya maju dan berpotensi tinggi untuk berjaya berbanding perniagaan-perniagaan lain.
Ketua Pegawai Operasi Smart Reader Worldwide Sdn. Bhd., Dr. Richard Ong berkata, banyak francaisi membuat aduan bahawa sukar mendapatkan pembiayaan daripada institusi bank berikutan terma dan syarat yang ketat.
Beliau juga difahamkan pihak bank melihat rekod pengalaman perniagaan yang baik selain rekod pinjaman francaisi selama ini.
"Hampir semua francaisi yang baru memulakan perniagaan tidak mempunyai pengalaman perniagaan, jadi ia amat sukar untuk membuktikan rekod pengalaman perniagaan kepada pihak bank,'' katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berkongsi pandangan mengenai jaringan pembiayaan francais di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis ialah Ahli Jawatan Kuasa Utama Persatuan Francais Malaysia (MFA), Zainudin Zakaria dan Pengarah Urusan Ria-Two Sdn. Bhd., Rozaiman Che Kar serta Ketua Pembangunan Usahawan Jabatan Pembangunan Keusahawanan Malayan Banking Bhd. (Maybank), Abdul Razak Mohd. Tahar.
Sementara itu, Rozaiman pula berkata, institusi bank mungkin berdepan dengan pengalaman buruk pada tahun 1990-an apabila terdapat banyak syarikat francaisi mempunyai rekod perniagaan yang tidak baik.
Malah, katanya, institusi bank juga tidak mengenali industri francais secara keseluruhannya.
Salah satu pilihan yang boleh difikirkan, tambah Rozaiman, melalui pegangan kepentingan dalam syarikat francaisi sebanyak 60 peratus dimiliki oleh syarikat francaisor.
"Melalui kaedah ini, institusi bank akan menilai prestasi kewangan syarikat francaisor dan ia akan memudahkan francaisi mendapatkan bantuan kewangan,'' ujarnya.
Selain itu, Rozaiman berkata, francais tidak semestinya dalam bidang pengurusan restoran makanan segera, sebaliknya ia meluas sehingga meliputi bidang pendidikan dan bidang-bidang lain,'' ujar beliau.
Rozaiman turut menasihatkan para francaisi supaya menguruskan kewangan dengan bijak dan baik.
Katanya, pengurusan kewangan yang baik di samping lokasi perniagaan dan sikap yang positif akan membawa keuntungan kepada syarikat francaisi.
Kepada francaisor pula, beliau menasihatkan supaya memilih syarikat francaisi yang berdaya maju sahaja untuk mengurangkan risiko.
"Memberi kebenaran kepada syarikat lain melakukan francais ibarat sebuah keluarga yang membawa nama keluarganya. Jadi, ahli-ahli keluarga perlu menjaga nama masing-masing demi reputasi,'' ujarnya.
0 Selami kedaifan 200 penyewa PPRT hingga sanggup tunggak hutang sampai RM1/2 juta?
Penghuni PPR hutang RM500,000
Oleh NOOR HASLIZA NUSI
hasliza.nusi@kosmo.com.my
GEORGE TOWN - Gara-gara liat membayar sewa bulanan berjumlah RM102 sejak 10 tahun lalu, hutang tertunggak 200 penyewa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Sungai, Sungai Pinang di sini sudah mencecah lebih RM500,000.
Ekoran sikap degil itu, penyewa flat milik kerajaan negeri tersebut bakal berhadapan dengan tindakan mahkamah termasuk diusir serta-merta sekiranya mereka masih enggan membuat pembayaran.
Menurut Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Ong Ah Teong, pihaknya memberi tempoh selama tiga bulan sehingga Januari tahun depan kepada semua penduduk yang berhutang untuk menjelaskan tunggakan tersebut.
Katanya, tindakan tegas terpaksa diambil berikutan jumlah tunggakan yang sangat besar akibat sikap tidak bertanggungjawab penyewa.
"Kebanyakan penyewa langsung tidak membayar sewa bulanan sejak mula mendiami rumah dan semakan rekod menunjukkan tunggakan maksimum berjumlah RM10,000 oleh seorang penyewa.
"Pelbagai alasan diberikan mereka antaranya majoriti penduduk adalah golongan warga emas yang tidak boleh datang ke pejabat MPPP di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) untuk membuat bayaran," katanya ketika dihubungi semalam.
0 55-0 dan 22-0 adalah keputusan yang luar biasa. Tentu lawak memikirkan kenapa keadaan ini berlaku?
Kelab bola sepak kalah 55-0
PENJAGA gol Madron FC, Gavin Hall mengambil bola yang masuk ke dalam gawangnya dalam satu perlawanan baru-baru ini.
LONDON - Kelab bola sepak Britain yang selalu kalah dengan jaringan besar, Madron FC menunjukkan sedikit peningkatan apabila ia hanya kalah 22-0 pada Sabtu lalu selepas mencipta sejarah tewas 55-0 pada minggu lalu, lapor sebuah akhbar semalam.
Walaupun terdapat peningkatan, cuma penjaga gol, Gavin Hall dan tujuh lagi pemain sahaja yang bersetuju untuk merakamkan gambar berpasukan manakala tiga lagi tidak mahu kerana terlalu malu.
Kelab itu kalah kesemua 11 perlawanan dengan memberikan 227 gol kepada pihak lawan namun ia bukannya pasukan tercorot dalam Liga Cornish Mining kerana terdapat beberapa kelab lain yang dipotong mata. - Agensi
0 Penerbit mahu pengusaha pawagam kurangkan nisbah agihan pendapatan dari 50:50 ke 60:40 untuk menampung kos salinan filem
Duti hiburan filem dihentikan?
Oleh Zainuri Misfar
zainuri@bharian.com.my
2010/12/01
Penerbit bakal kehilangan pendapatan pemulangan cukai hiburan yang mungkin dimansuhkan serta-merta
PENERBIT filem kemungkinan kehilangan satu lagi punca pendapatan apabila ada ura-ura daripada kerajaan menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) untuk menghentikan pemulangan sebanyak 20 peratus duti hiburan yang dikutip daripada setiap penayangan filem mereka. Difahamkan pemulangan duti hiburan itu yang dianggap sebagai Skim Galakan Penerbitan akan dihentikan dengan serta merta pada bila-bila masa sahaja. Menurut sumber industri perfileman, pemansuhan duit hiburan kepada penerbit filem sudah dipersetujui oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan ia sudah dimaklumkan kepada Ahli Lembaga FINAS.
“Sebenarnya sudah lama kerajaan negeri sudah tidak mengembalikan 20 peratus daripada duti hiburan ini kepada syarikat penerbitan filem. Selama ini, pemberian duti hiburan kepada syarikat penerbitan filem adalah wang kerajaan yang diperuntukkan untuk operasi FINAS.
“Bagaimanapun, FINAS terpaksa menggunakan lebih RM10 juta setahun sebagai ganti duti hiburan ini yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan dan operasi perbadanan itu kerana sesetengah kerajaan negeri sudah menghentikan pemulangan duti hiburan ini.
“Akibat daripada perkara ini, FINAS menghadapi masalah kewangan untuk menampung aktiviti pembangunan dan pemasaran perfileman. Ini kerana hampir separuh peruntukkan kerajaan untuk FINAS sudah digunakan untuk membayar duti hiburan kepada penerbit filem.
“Memang perkara ini tidak diketahui oleh produser filem. Kami meminta FINAS supaya dapat menjelaskan kedudukan sebenar mengenai status duti hiburan ini,” katanya.
Duti hiburan adalah cukai yang dikenakan kerajaan. Dalam industri perfileman 14 peratus daripada 20 peratus keseluruhan duti hiburan itu akan dibayar balik kepada penerbit filem. Duti hiburan dipulangkan semula sebagai galakan kewangan untuk membantu penerbit filem.
Setiap tahun FINAS akan membayar semula antara RM4 juta hingga R5 juta kepada penerbit filem tertakluk kepada jumlah kutipan kasar daripada keseluruhan filem yang ditayangkan pada tahun berkenaan.
Sumber industri itu juga menegaskan, tanpa pemberian semula duti hiburan itu menyebabkan pendapatan syarikat penerbitan filem daripada setiap penayangan filem mereka semakin mengecil, malahan tidak memberikan sebarang keuntungan.
Ketika ini, syarikat penerbitan filem tempatan dalam keadaan amat tertekan apabila kutipan kasar untuk setiap filem yang ditayangkan terpaksa diagihkan kepada pihak panggung dengan nisbah 50:50.
“Mengikut sistem ini, ia sebenarnya sangat tidak adil kerana pihak pemamer tidak mengeluarkan sebarang kos berbanding penerbit. Sedangkan penerbit terpaksa membelanjakan kos promosi dan pemasaran. Penerbit juga terpaksa membayar kos membuat salinan filem bagi setiap panggung.
“Sekiranya satu salinan filem bernilai RM3,500, bayangkan berapa banyak kos yang dikeluarkan oleh syarikat perfileman yang mahu menayangkan filem mereka menerusi 50 hingga 60 panggung. Kos untuk ini saja sudah RM150,000 hingga RM200,000. Ini tidak termasuk sekurang-kurangnya RM100,000 untuk kos pemasaran.
“Jadi dalam hal ini, kami mendesak pihak panggung supaya membiayai kos membuat salinan filem kerana mereka sudah mengaut 50 peratus daripada setiap kutipan kasar filem yang kita tayangkan,” katanya.
Menurutnya, jumlah panggung yang bertambah tidak bermakna kutipan kasar filem tempatan meningkat kerana semakin banyak tempat untuk menayangkan filem, bermakna kos untuk membayar setiap salinan filem juga terus bertambah.
“Untuk mendapatkan pulangan modal sahaja, setiap penerbit filem harus memperolehi kutipan kasar sekurang-kurangnya RM3 juta. Selepas separuh atau 50 peratus diagihkan kepada pihak pemamer, kita (penerbit filem) dapat RM1.5 juta.
Kos untuk buat sebuah filem sudah dalam lingkungan RM1.2 hingga RM1.5 juta.
“Jadi, kalau kerajaan atau FINAS hendak menghentikan pemulangan duti hiburan itu, penerbit filem kita sudah tidak mendapat apa-apa keuntungan langsung.
Malahan, pemulangan duti hiburan itu juga masih tidak dianggap sebagai keuntungan, sebaliknya digunakan untuk menampung mana-mana kos yang belum dibayar.
“Sebab itulah, kita desak pihak pemamer supaya mengurangkan nisbah agihan itu kepada 60 peratus atau 70 peratus kepada penerbit filem. Mereka (pemamer) tidak berbuat apa-apa untuk membantu filem tempatan kerana tidak mahu langsung membiayai kos promosi, pemasaran dan salinan filem yang hendak ditayangkan,” katanya sambil membayangkan pemberhentian duti hiburan akan menjadikan industri perfileman semakin suram.
Monday, November 29, 2010
0 Drama Melayu tidak berani paparkan realiti kemiskinan dalam ceritanya takut memalukan bangsa? Penonton mahukan realiti
ARKIB : 28/11/2010
Filem dan kemiskinan
sitijarum
BARU-baru ini Siti menonton kembali filem City of Joys. Filem tahun 1992 ini mengingatkan Siti kepada kemiskinan di kampung-kampung dan juga di sebalik beranda Kuala Lumpur. Sudut ini tidak ada dalam filem kita. Yang banyak digambarkan kemewahan anak-anak muda yang luar biasa dan keruntuhan sosial yang menggila kononnya itu satu realiti.
Bagi Siti penderitaan hidup watak lakonan Shabana Azmi dan Om Puri dalam City of Joys sangat menyayat hati. Pasti banyak yang sebak melihat kemiskinan yang menjadi identiti Calcutta ditampilkan dengan cukup berkesan oleh pengarah Roland Joffe.
Pengarah yang pernah menghasilkan The Killing Fields dan Mission ini biarpun melankolik tetapi menginsafkan. Setahu Siti, tidak ada filem Hindi yang menjana industri perfileman India menyingkap Calcutta sedaif City of Joys. Lokasi lorong belakang yang berdebu dan sesak adalah sangat artistik untuk filem ini.
Tapi berbeza dengan filem kita. Manusia dalam filem Melayu semuanya hebat-hebat belaka. Anak-anak mudanya yang menganggur pun memiliki motosikal besar atau kereta mewah. Mereka banyak menghabiskan masa di pub atau disko.
Filem bebas menyingkap apa saja tentang manusia. Dan tentunya tidak salah kalau filem Melayu asyik dengan dunia artis yang mewah. Buatlah kerana itu sebahagian daripada watak manusia.
Tetapi sesekali wajarlah ada watak seperti kanak-kanak yang terpaksa berhenti sekolah untuk membantu ayah menoreh getah. Atau si kecil yang layaknya bermain layang-layang di pantai tetapi menyabung nyawa di tengah lautan diangkat ke filem.
Tetapi kebanyakan pengusaha filem Melayu tidak tertarik dengan watak-watak dalam keluarga daif yang pendapatan semusim sama dengan harga sepasang kasut seorang menteri.
Lalu jangan melatah seandainya Roland Joffe misalnya menceritakan tentang budak Melayu yang masih berkaki ayam dalam filem terbarunya. Atau menghasilkan City of Joys II berlatarkan Pulau Pinang yang maju tapi orang-orang Melayu terus merempat dan akhirnya pupus.
SITI JARUM: Jom enjoy
0 Drama bersiri 26 episod kos RM1juta. Mensasarkan pasaran ke Indonesia
Drama bertaraf filem
Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar MOHD FARIZWAN HASBULLAH
AHMAD Puad Onah (berdiri enam dari kiri),(berdiri empat dari kanan) bersama para pelakon dan tenaga produksi Cikgu Kemisah Kirkby selepas melancarkannya di Saloma Bistro, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
--------------------------------------------------------------------------------
DRAMA Cikgu Kemisah Kirkby yang ditayangkan melalui saluran TV2 setiap Rabu pukul 9 malam sejak 17 November lalu merupakan antara drama bersiri televisyen (TV) tempatan yang mementingkan kepuasan penonton.
Kerana itu, Multilift Film Production (MFP) selaku penerbit drama bersiri 26 episod tersebut sanggup mengeluarkan belanja yang tinggi bagi menerbitkan drama yang kosnya dikatakan mencecah RM1 juta.
Penerbit MFP, Anwar Ismail biarpun enggan mendedahkan kos penerbitan Cikgu Kemisah Kirkby, tetapi tidak menafikan ia menelan belanja yang besar kerana membina set khusus untuk pembikinan drama itu.
"Untuk pembikinan drama bersiri ini, kami telah membina sebuah rumah kayu yang besar di Desa Balqis, Kuala Linggi, Melaka. Di sana saja penggambaran drama bersiri itu dijalankan selama lebih sebulan.
"Set yang dibina khas untuk drama ini direka bagi menghidupkan jalan cerita watak Cikgu Kemisah Kirkby yang mendiami rumah tersebut," katanya kepada Hits pada pelancaran drama itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Watak Cikgu Kemisah Kirkby yang dilakonkan oleh Liza Othman itu memaparkan ketokohan seorang guru lepasan Kolej Kirkby di England dalam mendidik anak-anak bangsanya di sebuah kampung.
Meskipun cuma sekadar sebuah cerita fiksyen yang ditulis oleh penulis skrip Mahizan Husin, namun Anwar menyifatkan drama bersiri yang berkonsepkan kekeluargaan itu mempunyai taraf seperti sebuah filem cereka.
"Ini kerana, selain membabitkan kos yang tinggi dan pembinaan prob khas, Cikgu Kemisah Kirkby juga menghasilkan album lagu-lagu latar yang disiarkan menerusi drama itu berjudul Dendang Merantau nyanyian Endang S. Taurina.
"Album itu mengandungi 10 lagu dan lagu yang berjudul Cikgu Kemisah Kirkby dipilih sebagai lagu tema drama tersebut. Lagu-lagu daripada album itu bukan sahaja disiarkan dalam drama itu, tetapi ia juga dijual di pasaran.
"Sepanjang enam bulan drama 26 episod itu ditayangkan di TV2 secara tidak langsung ia akan mempromosikan album nyanyian Endang S. Taurina yang pernah popular di Malaysia dan Indonesia pada tahun 1980-an," ujarnya.
Idea mengundang Endang terlibat sama dalam drama Cikgu Kemisah Kirkby kata Anwar tercetus sewaktu dia menyertai Program Titian Budaya di Jakarta, Indonesia pada tahun 2007.
Katanya, dia menampilkan Endang S. Taurina sebagai penyanyi lagu-lagu tersebut selepas diperkenalkan oleh rakan baiknya, John Alan Shah sewaktu menyertai program pertukaran budaya Malaysia dan Indonesia itu.
"Endang bukan sahaja sudah dikenali ramai di Malaysia dan Indonesia sejak hampir 30 tahun lalu tetapi suaranya juga mantap seperti dulu. Suaranya juga sesuai untuk menyanyikan lagu lagu tema drama ini dengan baik.
"Untuk perancangan masa depan, kami berharap drama bersiri ini juga akan dapat ditayangkan di stesen-stesen TV di Indonesia. Sebab itu, kami gunakan Endang sebagai penyanyi lagu latar drama bersiri ini," jelasnya.
