22 negara hadapi krisis makanan
2010/10/10
ROME: Kira-kira 166 juta penduduk di 22 negara kini mengalami masalah kekurangan makanan kronik akibat krisis makanan yang berpanjangan.
Laporan terbaru Program Makanan Dunia (WFP) dan Operasi Makanan dan Pertanian (FAO) menyatakan perang dan bencana alam menyumbang kepada masalah kekurangan zat makanan di 22 negara termasuk Afghanistan, Haiti, Iraq, Somalia dan Sudan. Pengarah FAO, Jacques Diouf dan Pengarah WFP, Josette Sheeran, dalam laporan mereka menyatakan sesebuah negara yang melaporkan krisis makanan untuk tempoh sekurang-kurangnya lapan tahun dan menerima 10 peratus dana asing dalam bentuk bantuan kemanusiaan dianggap mengalami krisis makanan berterusan. Negara lain yang terbabit ialah Angola, Burundi, Republik Afrika Tengah, Chad, Congo, Korea Utara Republik Demokratik Congo, Eritrea, Habshah, Guinea, Ivory Coast, Kenya, Liberia, Sierra Leone, Tajikistan, Uganda dan Zimbabwe.
“Krisis berlarutan boleh berlaku terus-menerus sehingga proses pemulihan nya menjadi semakin sukar,” kata laporan itu.
Di kalangan 22 negara terbabit, kadar penduduk yang kekurangan zat makanan adalah tiga kali ganda lebih tinggi berbanding negara membangun. – AP
Monday, October 11, 2010
0 Krisis makanan sedang berlaku mengingatkan bekalan beras wangi dari Thailand belum sampai ke Kota Kinabalu Sabah
0 Barark Obama dari Demokrat boleh lakukan yang lebih baik berbanding calon Republikan
Penyokong Barack Obama kecewa
2010/10/10
Shepard FaireyArtis poster ‘Hope’ akui ramai hilang kepercayaan terhadap Presiden AS
WASHINGTON: Pelukis poster wajah Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama yang dipamerkan pada setiap kempen pilihan raya beliau pada 2008, Shepard Fairey, berkata beliau memahami mengapa semakin banyak pihak hilang kepercayaan terhadap pemimpin itu. Dalam satu temu ramah dengan National Journal, Fairey melahirkan kekecewaan dengan kepemimpinan Obama yang mendapat kepercayaan penuh Demokrat untuk membawa pelbagai perubahan sebelum ini. “Ada banyak perkara yang tidak dapat dikawal Obama dan Demokrat, tetapi perkara yang lebih penting ialah generasi muda mahukan seseorang yang mampu menentang status quo. Saya rasa Obama belum berjaya melakukannya,” katanya.
Fairey berkata, ketika menghasilkan poster berkenaan pada 2008, beliau cuba memaparkan imej seorang pemimpin yang prihatin terhadap pelbagai isu termasuk penjagaan kesihatan, membantu golongan pekerja dan menyekat pelobi.
“Apabila melihat pendirian Obama dalam pelbagai dasar, saya tanya kepada diri sendiri mengapa saya tidak tunjukkannya dalam satu poster saja,” kata Fairey dalam temu ramah telefon dari Los Angeles.
“Obama adalah ‘alat pelaksanaan dasar’ secara teori. Sekarang saya menyedari beliau mungkin bukan alat yang betul dan saya terpaksa menangani setiap isu secara berasingan,” katanya.
Lukisan potret Obama dengan kepala sedikit mendongak dan merenung jauh dan tulisan perkataan ‘Harapan’ di bahagian bawahnya, menggambarkan imaginasi Demokrat dan secara tidak langsung menghakis sokongan kepada Hillary Rodham Clinton.
Ratusan ribu poster dan pelekat dengan perkataan ‘Hope’ (Harapan) diedarkan kepada penyokong di seluruh negara ketika kempen pilihan raya presiden pada 2008.
“Bagaimanapun ia hanya satu permulaan. Lukisan itu dicetak semula berulang kali di internet dan versi yang mempersendakan Obama sebagai The Joker dan Socialism in place of Hope menjadi topik hangat pada banyak perhimpunan,” katanya.
Imej biru dan merah yang dihasilkan Fairey diubah suai daripada gambar Obama yang diambil Associated Press dan beliau kini terbabit dengan saman berikutan penggunaan gambar itu.
Mengenai Parti Republikan, Fairey menyifatkan pemimpin parti itu ‘hanya tahu menghalang’ dan percaya keadaan di Amerika akan lebih teruk jika mereka menang.
“Memang Obama boleh lakukan lebih baik dalam beberapa aspek. Tetapi, saya fikir, keadaan akan jauh lebih teruk jika Sarah Palin dan John McCain yang memerintah,” katanya. – Agensi
0 Tahun 2009-2010, Arsenal untung besar, Manchester United rugi besar. Pelajarilah rahsia bisnes Arsenal
United catat rugi bersih RM418 juta
2010/10/10
LONDON: Manchester United mencatat rugi bersih tahunan sebanyak 83.6 juta pound (RM418 juta) selepas pemilik kelab dari Amerika Syarikat menjelaskan segala bayaran berkaitan hutang, sekali gus menjejaskan keuntungan kelab.
Dalam laporan kewangan berakhir 30 Jun yang dikeluarkan kelmarin, United, mencatat keuntungan 286.4 juta pounds (RM1.4 bilion) berdasarkan pendapatan pemasaran dan penyiaran. Ia adalah pertama kali kelab mencatat keuntungan operasi mencecah 100 juta pound (RM500 juta). Tetapi kesannya sebahagian besar keuntungan itu terpaksa digunakan untuk membayar hutang menguruskan kelab sekitar 750 juta pound (RM3.7 bilion), dan kos berkaitan penerbitan obligasi yang menimbulkan kontroversi.
“Kami mempunyai struktur pembiayaan jangka panjang, pendapatan yang sangat baik dan berjaya mengawal kos selain boleh membayar bunga atas kewangan jangka panjang kami,” kata ketua eksekutif United, David Gill.
“Pada pendapat kami, jika sesuatu berubah dalam pemilikan, kelab ini mampu bertahan kerana mempunyai pembiayaan yang lebih dari cukup.”
Rekod kerugian terbesar kelab gergasi Liga Perdana itu dalam tahun kewangan sebelum ini adalah daripada keuntungan 25.5 juta pound (RM127.5 juta) yang terhasil daripada penjualan Cristiano Ronaldo kepada Real Madrid yang mencipta rekod dunia 80 juta pound (RM400 juta). – AP
0 Pelancongan menjana pendapatan RM1 bilion setiap minggu sepanjang tahun 2009 dengan penyumbang terbesar Singapura, Thailand dan Indonesia
23.65 juta pelancong lawat Malaysia sepanjang tahun 2009
10th October, 2010
LABUAN: Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Malaysia, Datuk Haji Ab Ghafar Ab Tambi berkata, Malaysia mencatatkan kemasukan pelancong asing seramai 23.65 juta dengan hasil pendapatan sebanyak RM53 bilion sepanjang tahun 2009.
Ini bermakna katanya, sektor pelancongan telah berjaya menjana pendapatan berjumlah RM1 bilion setiap minggu dan pengunjung teramai yang datang ke Malaysia adalah dari negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia.
“Dalam pada itu United Nation Wold Tourism Organisation sebagai sebuah badan Bangsa-Bangsa bersatu dalam sektor pelancongan telah meletakkan Malaysia di senarai 10 teratas destinasi pelancongan dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan Kuiz Program Pelancongan Pelajar (3P) peringkat Wilayah Persekutuan Labuan yang di Hotel Tiara dekat sini, kelmarin.
Sementara itu, katanya, untuk tahun 2020 kementerian telah mensasarkan seramai 36 juta pelancong asing yang akan melawat negara ini membabitkan pendapatan sebanyak RM168 juta.
Bagaimanapun, katanya, sasaran itu hanya akan dapat dicapai jika semua pihak termasuk pelajar menghayati konsep ‘Think Tourism dan Act Tourism serta mengamalkan sikap mesra pelancong melalui konsep ‘Malaysia Welcomes the Wold.’
Hadir sama, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan, Maxwell Francis.
Menyentuh mengenai industri pelancongan di Labuan, beliau yakin kedudukan geografi Labuan yang terletak bersebelahan dengan negara Brunei Darussalam dan wujudnya aktiviti selam skuba serta adanya kemudahan sukan laut yang baik mampu menarik lebih ramai lagi pelancong domestik dan antarabangsa berkunjung ke pulau bebas cukai ini.
Dalam pertandingan itu, SMK Labuan muncul juara sekaligus akan mewakili Labuan ke pertandingan peringkat kebangsaan yang akan diadakan November depan di Kuala Lumpur. Tempat kedua dan ketiga di sandang oleh SMK Pantai dan SMK Mutiara.
Sunday, October 10, 2010
0 Apabila ibu-bapa serahkan anak kecilnya untuk dikahwini
Pegawai kahwin budak 12 tahun
2010/10/09 NAJRAN: Hanya beberapa hari selepas Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Arab Saudi mendesak media dan orang ramai bersama-sama menentang perkahwinan kanak-kanak, seorang pegawai yang tugasnya mengesahkan perkahwinan mengaku berkahwin dengan seorang budak perempuan berusia 12 tahun.
Bagaimanapun, ibunya berang apabila mengetahui dia masih tidak menyentuh gadis berkenaan.
“Ibu saya marah apabila mendapat tahu saya melayani isteri saya seperti adik. “Selepas dua bulan berkahwin, ibu saya mendesak saya supaya meniduri isteri saya. Katanya, tidak ada gadis yang terlalu muda untuk dikahwini,” kata pegawai berkenaan.
Menurutnya, apabila melihat kali pertama isterinya, dia terkejut kerana gadis itu terlalu muda. “Saya mengambil masa yang lama untuk mencari jalan bagi melayaninya sebagai isteri. “Sepanjang tempoh itu, kami tidak melakukan seks. Kami tidur di bilik berasingan. “Saya sering menceritakan kisah Nabi Adam dan Hawa. Dan dia sering bertanya mengapa ibubapanya menyerahkan dia kepada saya,” kata pegawai itu. - Agensi
0 Sibuk boleh menyebabkan jodoh lewat
Presiden Filipina putus cinta
2010/10/09 MANILA: Sumber yang rapat dengan Presiden Benigno Aguino mengesahkan, pemimpin Filipina itu yang masih bujang, menamatkan hubungan dengan teman wanitanya, Shalani Soledad.
Menurutnya, tidak ada pihak ketiga yang terbabit.
Ketika ditanya semalam sama ada mereka benar-benar sudah memutuskan hubungan, Shalani, kaunselor di Bandar Valenzuela berkata menerusi mesej pesanan ringkas: “Lebih baik saya tidak bercakap mengenainya ketika ini.
Khabar angin mengenai status hubungan pasangan itu tersebar sejak beberapa bulan lalu.
Jadual ketat mereka menyebabkan Benigno atau lebih dikenali sebagai Noynoy, 50, dan Shalani, 30, jarang bertemu.
Menurut sumber itu, mereka hanya berhubung dengan menggunakan mesej pesanan ringkas menerusi telefon bimbit.
Kerana itu, rakan rapat pasangan itu tidak terkejut apabila hubungan itu tidak dapat diteruskan.
Dalam pertemuan dengan media semalam, Benigno meminta wartawan supaya tidak menulis mengenai kehidupan cintanya.
Beliau mengaku sukar untuk mencari teman hidup kerana terlalu sibuk. — Agensi
0 Tafsiran cina dan india sebagai kaum pendatang tidak lagi tepat tetapi yang lebih tepat ialah rakyat Malaysia yang setia
Kaum Cina bukan pendatang tetapi rakyat Malaysia yang setia - Najib
10/10/2010 6:21pm
KUALA LUMPUR 10 Okt — Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata rakyat Malaysia keturunan Cina bukan pendatang sebaliknya merupakan warga setia negara ini.
Kata-kata hinaan dan sentimen negatif seperti itu perlu dikikis, kata Perdana Menteri ketika merasmikan perhimpunan agung tahunan MCA ke-57 di Wisma MCA di sini.
“Saya setuju dengan anda bahawa kaum Cina Malaysia tidak boleh digambarkan sebagai kaum pendatang.
“Itu mungkin bagi beberapa generasi sebelum ini tetapi hari ini, anda adalah warga Malaysia yang setia,” katanya yang mendapat tepukan gemuruh daripada perwakilan.
Beliau berkata dengan melihat ke depan, semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang dan kepercayaan perlu bekerjasama bagi menyumbang ke arah membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara progresif.
Beliau berkata semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh orang-orang tua dahulu perlu diteruskan agar Malaysia akan terus bertambah kukuh dan dapat bersaing di arena global.
“Impian saya agar Malaysia menjadi negara maju abad 21 yang benar-benar berkelas tinggi. Bukan negara sederhana kelas kedua tetapi menjadi antara negara maju yang terbaik di dunia,” katanya.
Najib berkata kerajaan serius dengan inisiatif transformasi seperti Model Baru Ekonomi, Pelan Transformasi Ekonomi dan Rancangan Malaysia Kesepuluh dan semua ini tidak berguna tanpa mendapat sokongan rakyat.
“Itu sebab saya nak sangat kemenangan pada pilihan raya umum ke-13. Kita tidak boleh mentransformasi (negara ini) kecuali kita mendapat mandat baru (daripada rakyat) dalam pilihan raya umum ke-13.
“Ini merupakan sebahagian daripada usaha mentransformasikan Malaysia,” kata Najib. — Bernama
