.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Sunday, October 10, 2010

0 Sedangkan Iqbal juara Pilih Kasih susah cari makan, inikan pula yang tidak ada nama? Jangan mengharap sangat nanti kecewa!

Juara Pilih Kasih tak popular?


IQBAL mengakui dirinya masih tidak popular walaupun bergelar juara program Pilih Kasih.




SEJAK jadi juara Pilih Kasih pada 16 Ogos tahun lalu, senyap saja, tak dapat tawaran berlakon ke?

Eh, saya sudah berlakon empat telemovie, empat drama bersiri, senyap lagi ke? Saya juga dapat berlakon filem pertama berjudul Abu Ya yang penggambaran dilakukan pada bulan Ramadan lalu. Esok (Khamis lalu) saya akan mula penggambaran drama bersiri 13 episod bertajuk Songkok.

Empat drama saja? Berbaloi ke jadi juara?

Sikit ke tu bang? Saya rasa banyak jika hendak dibanding sebelum masuk Pilih Kasih. Dulu hendak dapat tawaran berlakon sekali dalam setahun pun susah. Dan yang penting, hampir semua tawaran berlakon itu saya mendapat watak utama. Itu perbezaan besar dan saya rasa berbaloilah.

Iqbal rasa popular ke selepas jadi juara Pilih Kasih?

Tak popular pun, baru ditahap nama hendak naik kerana saya masih budak baru dalam industri. Setiap kali saya pergi ke lokasi penggambaran, saya letak dalam minda saya macam hendak ambil SPM. Ini kerana banyak lagi ilmu lakonan yang saya perlu belajar. Sebenar Pilih Kasih bukan tempat mencari popular semata-mata tetapi hanya tempat menjual nama supaya orang kenal.

Kalau saya kata awak macam tak popular langsung, senyap sunyi, marah tak?

Saya tak kisah orang nak kata apa. Mereka tidak tahu antara perbezaan menjadi penyanyi dan pelakon. Jadi penyanyi mudah sikit hendak popular kalau rezeki tiba-tiba satu lagu popular. Bidang lakonan ni kena ambil masa untuk popular kerana perlu bermula dari bawah.

Agaknya sebab ada yang kata Iqbal ni harap muka saja jambu, lakonan ‘ala-ala’ saja? Sebab tu tak laku sangat kan?

Saya tak guna muka untuk ceburi bidang lakonan kerana lakonan adalah jiwa seni saya. Saya beri sepenuh hati apabila berlakon.

Iqbal juga dikatakan tak sesuai untuk watak hero kerana nampak lembik dan tak macho kalau hendak dibandingkan dengan Remy Ishak, Fizz Fairuz dan Farid Kamil?

Sebenarnya watak hero ikut jalan cerita. Ada watak yang memerlukan hero yang macho dan ada juga watak yang mahukan hero yang nampak baik dan muka jambu.

Tak sedihkah nasib diri macam ni? Orang lain kalau jadi juara program realiti boleh popular tetapi Iqbal sebaliknya?

Saya tak sedih pun walaupun ramai orang yang masih tak kenal saya. Lagi orang tak kenal saya, lagi tu saya nak kenalkan diri saya. Saya masih muda dan ada waktu lagi nak mencipta nama.

Rosyam Nor selaku penerbit program ada bagi tawaran berlakon tak?

Ada, satu drama saja.

La, syarikat dia kan buat banyak drama, kenapa satu tawaran saja? Sepatutnya dialah yang menaikkan nama Iqbal.

Okeylah tu, walaupun satu tawaran ada juga. Syukur, Alhamdulilah.

Tak kecik hati dengan Rosyam?

Saya tak kisah sangat. Saya pun faham, sebenarnya banyak watak dalam drama-drama terbitan Rosyam tidak sesuai dengan saya.

Maknanya syarikat dia tak tolong naikkan nama Iqbal, setuju tak?

Kalau isu naik nama tu, saya rasa Suhan Movie dah berjaya menaikkan nama saya sebagai juara.Orang tahu siapa juara Pilih Kasih, Iqbal, okeylah tu.

Ada yang kata Pilih Kasih musim pertama macam gagal sebab tiada pemenang yang betul-betul diterima industri, setuju?

Siapa kata gagal? Pada saya ia tak gagal. Ia jadi platform untuk mendapat ilmu yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit walaupun bernilai RM1 juta. Peluang dan ilmu yang diberikan dalam Pilih Kasih betul-betul berharga. Bukan senang nak jadi juara. Kalau diberi peluang, saya nak masuk balik Pilih Kasih musim kedua.Banyak yang boleh belajar sebenarnya di situ.

Nama Iqbal ‘sendu’, bila-bila masa saja juara ke-dua akan menenggelamkan nama Iqbal?Sudah bersedia hadapi realiti itu?

Itu semua cabaran. Tetapi saya pun perlu berusaha gigih, tak boleh duduk diam dan mengalah. Yang penting saya jangan cepat putus asa.

Dengar cerita pernah mengamuk gara-gara kecewa sebab tak dapat tawaran, betul ke? Awak koyak replika cek Pilih Kasih lepas tiga bulan tak dapat tawaran berlakon, betul ke?

Betul tu. Saya tertekan sangat ketika itu akibat menghadapi masalah kewangan. Saya yang tanggung keluarga sekarang. Ayah dah pencen dan mak hanya jaga anak orang. Saya ada seorang adik lagi.

0 Kanak-kanak bukan hanya perlu keperluan asas tetapi masa daripada ibu-bapa. Ini bukan perkara remeh!

Penderaan emosi rosakkan psikologi anak

Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my
2010/10/10

UNICEF lancar kempen didik masyarakat, ibu bapa sedia persekitaran selamat, terjamin

KETIKA penderaan fizikal terhadap kanak-kanak semakin kerap dilaporkan, masyarakat seolah-oleh terlupa bahawa penderaan berbentuk emosi turut membawa natijah tidak kurang teruknya kepada mangsa. Mungkin penderaan emosi tidak menampakkan kesan nyata menyebabkan ramai menutup mata kepada masalah itu sedangkan ia umpama barah yang memakan tahap keyakinan diri kanak-kanak sehingga boleh merosakkan psikologi mangsa.
Penderaan emosi berlaku apabila ibu bapa atau penjaga tidak mengambil berat dan mengasihi anak, dengan gagal memberi perhatian, kasih sayang dan persekitaran sokongan bersesuaian dengan perkembangan mereka.

Akta Kanak-Kanak 2001 menyatakan seorang kanak-kanak mengalami kecederaan emosi jika wujud kerosakan pada fungsi mental dan emosi yang dibuktikan dengan antaranya, gangguan mental dan tingkah laku, termasuk kebimbangan, kemurungan, memencilkan diri, menunjukkan tingkah laku permusuhan atau perkembangan lambat.

Ia berlaku apabila ibu bapa atau penjaga tidak mampu menangani tekanan dialami setiap hari seperti keletihan, tidak mempunyai pekerjaan, kemiskinan, perceraian, kematian, krisis kesihatan dan masalah mental.
Ketika kanak-kanak mungkin pulih daripada kecederaan fizikal, kesan penderaan emosi mungkin berterusan, termasuk risiko peningkatan kemurungan berpanjangan, kurang keyakinan diri dan tidak pandai menjalin hubungan.

Naib Presiden Persatuan Sosial Malaysia, Amy Bala, berkata sekadar menyediakan keperluan asas kepada kanak-kanak, tetapi mengabaikan aspek kasih sayang dan perhatian, juga dianggap satu bentuk penderaan.

“Ramai menyangka apalah yang seorang kanak-kanak tahu. Mereka menyangka kanak-kanak cuma perlukan keperluan asas. Kanak-kanak bukan hanya perlukan makan, minum, perlindungan dan tempat tinggal yang selesa, mewah dan sebagainya, malah mereka juga perlukan masa.

“Kadang-kadang ibu bapa atau orang dewasa lupa kanak-kanak sebenarnya ingin berkongsi sesuatu. Tindakan mereka memberi gambaran mereka perlukan perhatian. Malangnya, kita pandang perkara itu remeh.

“Kita penat kerana lapan jam bekerja sehingga tidak memberi perhatian kepada anak sekembali ke rumah, tetapi kita terlupa anak juga menunggu sehingga lapan jam untuk mendapatkan perhatian ibu bapa,” katanya.

Berikutan itu, kempen anjuran Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), ‘Get on Board: Raise Your Hand, Stop Child Abuse Now’ dilancarkan untuk membuka mata masyarakat, bukan hanya penderaan fizikal dan seksual saja perlu dicegah, sebaliknya segala bentuk penderaan.

Kempen selama dua bulan itu bertujuan mendidik masyarakat mengetahui dengan lebih lanjut apa yang mereka boleh lakukan untuk mencegah penderaan terhadap kanak-kanak.

Menurut wakil UNICEF di Malaysia, Hans Olsen, setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk membesar dalam persekitaran yang selamat dan dilindungi.

Katanya, masyarakat perlu disedarkan mengenai kesan buruk penderaan kanak-kanak dan menggesa penduduk negara ini mengetahui lebih lanjut mengenai penderaan dan apa yang boleh dibuat untuk melindungi golongan itu.

Justeru, kempen berkenaan dianjurkan bagi memperkasa dan menggalakkan orang ramai terbabit secara individu dan menyokong keluarga serta ibu bapa bagi mencegah sebarang bentuk penderaan kanak-kanak.

Kempen secara online selama dua bulan itu diharap meraih sokongan 100,000 rakyat Malaysia menjelang Hari Hak Asasi Manusia yang disambut Disember ini.

Orang ramai yang ingin menyertai dan memberi sokongan kepada kempen itu boleh melayari laman web www.uniteagainstabuse.my.

“Masalah ini perlu ditangani bersama, apa yang paling penting bukan mencari kesalahan orang lain, sebaliknya sama-sama membantu menanganinya. Daripada berdiam diri dan menunggu kerajaan bertindak, lebih baik kita sebagai rakyat mengambil inisiatif menghalang semua bentuk penderaan,” kata Olsen.

0 Kes Siti Balqis, 9 makhluk halus diusir bomoh dan dihanyut ke laut

Penduduk serbu rumah gadis ghaib rakam gambar jin


2010/10/10



ORANG ramai mengambil gambar jin dan makhluk halus didakwa dimasukkan ke dalam tabung khas sebelum dihanyutkan ke laut oleh bomoh, malam tadi.
JERTIH: Rumah gadis yang mengalami gangguan misteri yang menyebabkannya sering ghaib di Kampung Gong Nangka, Apal, dekat sini, diserbu ratusan penduduk selepas dua lelaki datang menawarkan diri merawat gadis itu mendakwa berjaya menangkap sembilan makhluk halus malam kelmarin.

Dalam kaedah rawatan tradisional jam 7.30 malam itu, dua lelaki menggunakan kaedah masing-masing bagi merawat Siti Balqis Mohd Nor, 22, yang ghaib ‘dilarikan’ makhluk ketika senja dan dinihari, sejak dua bulan lalu. Dua lelaki itu yang menawarkan khidmat percuma selepas membaca kisah itu di akhbar sejak Selasa lalu, berpecah dua ketika sesi rawatan dengan seorang daripadanya berada di dalam rumah mengerjakan solat dan seorang lagi di luar rumah menggunakan jampi. Kira-kira 15 minit selepas rawatan, seorang lelaki yang berada di luar rumah mendakwa melihat satu lembaga yang didakwanya dapat ditangkap.

Dia mendakwa dapat menangkap sembilan jin atau makhluk halus yang menyebabkan beratus-ratus penduduk menyerbu rumah gadis itu.

Selepas menangkap sembilan makhluk itu, bomoh itu memasukkannya ke dalam bekas khas bertutup bagi mengelak makhluk berkenaan terlepas.

Orang ramai yang menyaksikannya tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar dan video, kebanyakannya menggunakan telefon bimbit untuk dijadikan kenangan dan bahan bukti kejayaan bomoh berkenaan.
Usaha Berita Minggu mendapatkan komen dan mengambil gambar dua bomoh itu gagal kerana mereka tidak mahu menonjolkan diri sebaliknya memberitahu makhluk halus yang ditangkap, dihanyutkan ke laut.

Siti Balqis pula mengakui kini berasa lebih tenteram kerana dalam tempoh 48 jam lalu, beliau sudah tidak lagi ghaib.

“Saya harap usaha murni semua pihak yang menghulurkan bantuan akan membuahkan hasil dan membolehkan saya kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Ramlan Ali.

Ibunya, Norizan Said, 47, berkata, sejak kisah anaknya disiarkan, 17 bomoh menawarkan diri merawat Siti Balqis secara percuma tetapi kejadian malam tadi adalah kemuncaknya apabila bomoh berkenaan dapat menangkap makhluk yang sebelum ini didakwa menjadi punca anaknya ghaib.

Katanya, sejak kisah anaknya disiarkan media, keluarganya juga berasa lega kerana tidak perlu lagi menanggung perbelanjaan besar untuk mengupah bomoh sama ada berasaskan rawatan Islam atau kaedah tradisional kerana semuanya kini menawarkan khidmat merawat anaknya secara percuma.

Saturday, October 09, 2010

0 Kemalangan ini mengingatkan kepada telemovie WAIBI yang bakal ditayangkan di RTM




Ahli Parlimen Batu Sapi meninggal dunia dalam nahas
09/10/2010 5:07pm


KOTA KINABALU 9 Okt. - Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Edmund Chong Ket Wah dari Parti Bersatu Sabah (PBS) meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di sini, pagi ini.

Edmund, 54, dipercayai sedang menunggang motosikal berkuasa besar dari Sembulan ke Tanjung Aru apabila bertembung dengan sebuah kereta Mercedez kira-kira pukul 11.40 pagi ini.

Mayatnya telah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth di sini.

Beliau merupakan Ahli Parlimen pertama di Batu Sapi selepas memenangi pilihan raya umum pada 2004 lalu. - Utusan



Artikel susulan:

Ahli Parlimen Batu Sapi maut

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
pengarang@utusan.com.my

KOTA KINABALU 9 Okt. - Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Batu Sapi, Datuk Edmund Chong Ket Wah, 54, terbunuh apabila motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di sini hari ini.

Kejadian berlaku pukul 11.40 pagi ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Kawasaki 750cc terbabit dalam kemalangan di Jalan Coastel Tanjung Aru-Kota Kinabalu, berhampiran Apartmen Graceville di sini.

Berikutan kemalangan itu, wakil rakyat tersebut tercampak kira-kira lima meter ke laluan bertentangan selepas dipercayai merempuh besi penghadang jalan.

Edmund dikatakan mengalami kecederaan serius di muka dan kepala berikutan kemalangan itu.

Ketika kejadian, beliau dikatakan dalam perjalanan pulang selepas membeli tiket kapal terbang untuk menghadiri persidangan Parlimen minggu depan.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria berkata, semasa kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah Tanjung Aru menghala ke bandar Kota Kinabalu.

"Kemalangan itu melibatkan sebuah motosikal berkuasa besar yang dinaiki Ahli Parlimen itu dengan sebuah kenderaan jenis Mercedes-Benz yang datang dari arah yang sama.

"Siasatan awal mendapati, berlaku pergeselan antara dua kenderaan itu kerana terdapat kesan kemik di bahagian kanan kereta berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk dibedah siasat.

Katanya, pemandu kereta Mercedes-Benz berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan.

Dalam pada itu, katanya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kita sedang mengadakan siasatan menyeluruh untuk mengenal pasti punca kejadian itu.

"Sehubungan itu, kita meminta orang awam yang menyaksikan kejadian supaya tampil ke balai polis berhampiran bagi menyalurkan maklumat," ujarnya.

Selain menjadi Ahli Parlimen Batu Sapi, Edmund merupakan Pengerusi Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah.

Pada pilihan raya umum 2008 lalu, Edmund menang kerusi Parlimen Batu Sapi setelah menewaskan calon Bebas, Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708 undi.

Beliau memperoleh 9,479 undi manakala, Kwong Wing mendapat 5,771 undi.

Kali pertama beliau menjadi Ahli Parlimen adalah pada 2004 selepas menang tanpa bertanding di kerusi Parlimen Batu Sapi.

Beliau yang juga Bendahari Parti Bersatu Sabah (PBS) negeri dan Ketua PBS Bahagian Elopura, meninggalkan seorang isteri, Linda Tsen Thau Lin, 54, dan empat anak.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman berkata, kematian Edmund merupakan kehilangan besar kepada BN dan rakyat Sabah.

"Bagi pihak kerajaan negeri dan keluarga, saya ingin menyampaikan takziah kepada keluarga Edmund Chong dan juga kepada PBS atas kemalangan dan kematian Ahli Parlimen Batu Sapi.

"Kita kehilangan seorang wakil rakyat yang begitu dedikasi dan komited terhadap tugas dan tanggungjawab beliau selaku Ahli Parlimen kawasan yang beliau wakili," ujarnya.


Artikel berkaitan:


Terpelanting 50 meter
Oleh JUNAIDI LADJANA dan FARDY BUNGGA

metahad@hmetro.com.my
2010/10/10
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Edmund Chong Ket Wah daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) terbunuh selepas motosikal Kawasaki 750cc ditunggangi dipercayai bergesel dengan sebuah kereta Mercedes sebelum terpelanting sejauh kira-kira 50 meter di Jalan Coastel Kota Kinabalu, pagi semalam.



MAUT... anggota polis dan orang ramai mengangkat mayat Chong selepas terbabit dalam kemalangan.
Difahamkan sebelum kejadian, Chong dalam perjalanan pulang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di Petagas ke kediamannya di Taman Likas Jaya, Likas, dekat sini.


Motosikal ditunggangi Chong dipercayai bergesel pada pintu kanan depan kereta, dalam perjalanan dari arah yang sama sebelum tercampak ke seberang jalan.


Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu, dan berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.


Beliau berkata, siasatan awal mendapati ada kesan hentakan di bahagian kanan pintu depan kereta mewah terbabit.


Bagaimanapun, pemandu kereta itu yang dikatakan ahli perniagaan berusia 31 tahun hanya cedera ringan dan diberikan rawatan pesakit luar di hospital sama.


“Mangsa mati di tempat kejadian akibat parah di kepala. Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.


“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan,” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat QEH, di sini, semalam.


Dalam pada itu, isteri mendiang, Datin Linda Tsen Thau Lin, 54, yang turut berada di Rumah Mayat QEH enggan ditemubual kerana terlalu sedih dengan kematian suaminya.


Chong yang juga Bendahari Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), meninggalkan isteri, Datin Linda Tsen Thau Lin, 54, dan empat anak berusia antara 13 hingga 23 tahun.


Mendiang dilahirkan pada 9 April 1956 di Sandakan, berkelulusan dalam bidang kejuruteraan mekanikal dan memegang jawatan sebagai Bendahari PBS serta pengerusi cawangan Elopura parti berkenaan.


Mendiang memenangi kerusi Parlimen Batu Sapi sejak pilihan raya umum 2004 apabila diisytiharkan menang tanpa bertanding selepas lawannya menarik diri pada saat akhir.


Beliau berjaya mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya umum 2008 selepas menewaskan calon Bebas, Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708 undi. Pada pilihan raya itu, mendiang meraih 9,479 undi manakala Chung 5,771 undi.


Beberapa wakil rakyat turut kelihatan menziarahi mendiang, antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Api-Api, Datuk Dr Yee Moh Chai yang juga Timbalan Presiden PBS serta Adun Tamparuli, Datuk Jahid Jahim.


Mayat Chong akan dibawa ke Rumah Mayat Fook Lusiew, Jalan Tuaran, di sini.



Artikel susulan:

BN Batu Sapi tingkat persiapan hadapi pilihan raya kecil


2010/10/10

SANDAKAN: Barisan Nasional (BN) Batu Sapi akan meningkatkan persiapan menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, yang akan diadakan berikutan kematian Ahli Parlimennya, Datuk Edmund Chong Ket Wah dalam nahas jalan raya, semalam.

Pengerusinya, Datuk Samsudin Yahya, berkata semua parti komponen BN di kawasan Parlimen itu sudah mengenal pasti kempen yang sesuai untuk mendekati pengundi dan ia akan diperkemaskan lagi. "Kami yakin tiada masalah untuk mempertahankan kerusi Parlimen Batu Sapi kerana ia adalah kubu kuat BN," katanya di sini, hari ini. Dalam kejadian di Kota Kinabalu semalam, Edmund yang juga Bendahari Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) meninggal dunia selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya terbabit dalam nahas jalan raya dengan sebuah kereta di Jalan Coastal, Tanjung Aru.

Samsudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong, yakin pucuk pimpinan BN akan meletakkan calon yang berjiwa rakyat dan mampu menyambung tugas Edmund untuk berkhidmat kepada rakyat di Parlimen Batu Sapi.

Mengulas kematian Edmund, Samsudin menyifatkan BN Batu Sapi kehilangan seorang pemimpin yang baik dan berjiwa rakyat.

"Saya kehilangan seorang rakan khususnya dalam perjuangan BN di Batu Sapi. Beliau adalah seorang Anggota Parlimen yang bekerja kuat untuk parti dan prihatin dengan kebajikan rakyat," katanya.
Beliau mengucapkan takziah kepada keluarga Edmund dan berharap isteri serta anak-anaknya bersabar menghadapi dugaan itu.

Parlimen Batu Sapi mempunyai dua DUN iaitu Sekong diwakili Samsudin dari UMNO dan DUN Karamunting diwakili Timbalan Ketua Menteri, Datuk Peter Pang En Yin yang kini wakil rakyat Bebas menyokong BN selepas keluar dari Parti Liberal Demokratik pada bulan lalu. - BERNAMA



Artikel susulan:

Dewan Rakyat belum terima notis kematian wakil Batu Sapi


2010/10/11
KUALA LUMPUR: Notis kekosongan kerusi Parlimen Batu Sapi berikutan kematian penyandangnya, Datuk Edmund Chong Ket Wah, belum dihantar ke Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana Dewan Rakyat masih belum menerima notis dan surat kematian secara rasmi.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Jaafar, berkata beliau yakin akan menerima notis tersebut daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) atau keluarganya dalam masa sehari dua lagi. "Kebiasaannya apabila berlaku kematian Ahli Parlimen, pihak yang berwajib iaitu parti atau keluarga akan beri notis kepada Parlimen secara bertulis bersama sijil kematian. "Tetapi saya cukup yakin Dewan (Rakyat) akan menerima notis tersebut selewat-lewatnya lusa, dan kemudian baru kita dapat hantar ke SPR supaya dapat ditentukan tarikh penamaan calon, pilihan raya dan sebagainya," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini hari ini.

Pada kejadian di Kota Kinabalu Sabtu lalu, Chong yang juga Bendahari Agung PBS meninggal dunia selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya terbabit dalam nahas jalan raya dengan sebuah kereta di Jalan Coastal, Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah.

Parlimen Batu Sapi mempunyai dua DUN iaitu Sekong yang diwakili Datuk Samsudin Yahya daripada BN dan DUN Karamunting oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Peter Pang En Yin, yang kini wakil rakyat Bebas menyokong BN selepas keluar daripada Parti Liberal Demokratik bulan lalu.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Chong memenangi kerusi tersebut setelah menewaskan calon Bebas, Chung Kwong Wing, dengan majoriti 3,708. Mendiang memperoleh 9,479 undi manakala Chung meraih 5,771 undi. - BERNAMA

Friday, October 08, 2010

0 British kata Malaysia tidak akan berjaya kerana kepelbagaian kaum didalamnya. Mahukah kita nafikan hakikat itu? Banyak hal belum selesai

Kumpulan fanatik berfikiran sempit, negatif

Oleh DR. SAODAH ABD. RAHMAN

KEJAYAAN Malaysia dalam membentuk sebuah negara membangun yang pesat jika dibandingkan dengan negara membangun yang lain adalah hasil daripada ketekunan dan prihatin kerajaan dalam mengekalkan keamanan yang bercorak universal. Sikap yang sering membangkitkan emosi perkauman dan kemarahan masyarakat pelbagai kaum perlu ditangani secara tegas.

Sejarah pembentukan Malaysia sepatutnya difahami oleh semua golongan masyarakat supaya tidak wujud individu-individu yang terlalu fanatik kepada bangsa dan agama secara membuta tuli, menghina dan memperlekehkan agama dan budaya kaum lain.

Sikap terlalu angkuh dengan kedudukan dan kepercayaan agama jika sukar dikawal boleh menyebabkan seseorang itu mudah membangkitkan sentimen sehingga menyebabkan berlakunya kemarahan dan persengketaan sesama kaum.

Sikap toleransi umat Islam terhadap agama lain mempunyai kaitan dengan prinsip pemerintahan dan kepimpinan Islam yang berasaskan kepada undang-undang dan hubungan mereka dengan masyarakat bukan Islam yang berdasarkan kepada keadilan, saling hormat menghormati, kerjasama dan berkomunikasi.

Malaysia yang dipimpin oleh para pemimpin pelbagai kaum dan agama adalah bukti yang jelas menunjukkan masyarakat Islam mempunyai sikap keterbukaan terhadap bukan Islam selama mana kedudukan agama mereka tidak tergugat. Perkara seperti ini sepatutnya difahami oleh kesemua kaum dalam negara ini.

Jika keamanan dan kestabilan negara berasaskan kepada konsep saling hormat menghormati, memahami antara satu sama lain dan kerjasama dalam membangunkan negara maka usaha ke arah ini perlu dipergiatkan supaya setiap individu yang lahir dalam negara ini menikmati pembangunan dan kekayaan negara secara aman dan harmoni.

Sikap terlalu fanatik kepada kepercayaan sehingga menghina agama lain secara membuta tuli bukan merupakan ciri-ciri orang yang mempunyai keperibadian keagamaan. Setiap agama mempunyai tradisi, budaya dan cara beribadat yang berbeza. Justeru, masyarakat pelbagai kaum dalam negara ini perlu memahami perbezaan dalam budaya dan tradisi keagamaan supaya tidak ada individu-individu yang terlalu ghairah untuk mereformasikan budaya dan agama masyarakat lain ke dalam budaya dan tradisi agama mereka.

Sifat fanatik dan terlalu taksub kepada kepercayaan agama wujud dalam diri seseorang disebabkan individu tersebut tidak terdedah kepada corak kehidupan masyarakat lain. Setiap agama mengajar penganutnya supaya menghormati ajaran agama lain dan batas-batas tertentu berhubung dengan manusia. Jika tokoh-tokoh agama tidak prihatin terhadap ajaran moral yang diajar oleh agama mereka, maka secara tidak langsung mereka akan merendahkan kedudukan agama mereka kepada masyarakat lain.

Jika keamanan dan keharmonian merupakan asas ajaran agama, kenapa isu-isu sensitif sering dibangkitkan? Setiap orang beragama merasai diri mereka sahaja yang diterima oleh Tuhan. Ini merupakan fitrah kepada setiap penganut agama. Orang Islam memperakui bahawa Islam adalah agama yang diwahyukan oleh Allah tetapi mereka dicegah daripada menghina Tuhan yang disembah oleh masyarakat lain. Ini kerana setiap manusia amat sensitif terhadap isu-isu keagamaan dan ketuhanan.

Masyarakat yang digelar oleh al-Quran sebagai Ahli Kitab (Kristian dan Yahudi) sepatutnya lebih memahami konsep kasih sayang dan konsep hidup berjiran seperti diajar oleh Nabi Isa dan Musa. Al-Quran meletakkan Ahli Kitab yang beragama Kristian sebagai orang paling tawadduk dan berbudi pekerti tinggi dan paling hampir dengan Islam kerana mereka menghayati ajaran Nabi Isa seperti mana firman Allah dalam surah 3 (al-Ma'idah ): 52 yang bermaksud; "Dan sesungguhnya kamu dapati yang paling dekat persahabatannya dengan orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata, 'Sesungguhnya kami ini orang Nasrani/ Kristian' yang demikian itu disebabkan di antara mereka itu terdapat paderi-paderi atau rahib yang tidak menyombong diri."

Di dalam perpustakaan di Vatican, Rom, penulis melihat al-Quran dimuliakan dan diletakkan di tempat yang dihormati. Hubungan orang Kristian terutamanya Pope dan bishop begitu mesra dan akrab dengan orang Islam. Sepatutnya perhubungan persahabatan dan persefahaman antara umat Islam dan Kristian dalam negara ini menjadi semakin kukuh kerana dalam aspek teologi terdapat banyak perkongsian antara kedua agama.

Pendedahan dalam kehidupan pelbagai kaum amat penting bagi menjalinkan persefahaman di antara kaum dalam negara ini. Sikap prejudis terhadap kaum dapat di atasi jika setiap individu dalam negara tidak dihasut dan disemarakkan dengan api permusuhan serta saling menghormati antara satu sama lain.

Oleh itu sikap fanatik dan keterlanjuran segolongan kecil kaum usah dijadikan sebagai isu besar yang boleh menyemarakkan pertelingkahan dan permusuhan antara kaum demi memelihara keamanan dan kestabilan politik dalam negara ini. Hayatilah konsep hidup yang mengamalkan prinsip kasih dan sayang serta saling hormat-menghormati dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama sebagai simbol kepada kecemerlangan tamadun yang sedang dibina.

DR. SAODAH ABD. RAHMAN,

Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

0 Jalan raya Malaysia membunuh atau pengguna jalan raya Malaysia saling membunuh? Atau yakin masuk syurga kerana sudah beragama?

Malaysia pegang rekod kematian jalan raya

Oleh AZMAN ANUAR
rencana@utusan.com.my

PENGUATKUASAAN undang-undang trafik dan saman nampaknya masih kurang berkesan dalam mendisiplinkan pemandu Malaysia. Angka kematian di jalan raya terus meningkat. Satu demi satu Ops Sikap dilaksanakan tetapi kadar kemalangan tidak pun menurun. Jadi sudah ada komentar yang mengkritik pelaksanaan Ops Sikap.

Malah, langkah mencegah kemalangan itu dianggap sebagai projek membuang masa dan membazir wang kerajaan semata-mata. Ungkapan kata-kata "kelajuan itu membunuh" ternyata tidak meresap ke dalam minda pemandu Malaysia.

Jika diteliti data kajian Forum Pengangkutan Antarabangsa Paris, ketika 30 negara menunjukkan penurunan kadar kematian jalan raya dari tahun 2000 hingga 2009, hanya tiga negara merekodkan peningkatan. Paling menonjol di antara tiga negara itu ialah Malaysia yang menjadi tumpuan bersama Argentina dan Kemboja.

Daripada kajian melibatkan semua negara, Malaysia berada di kedudukan paling atas dengan kadar kematian tertinggi iaitu seorang bagi 100,000 penduduk.

Berdasarkan 23.8 kematian bagi setiap 100,000 penduduk tahun lalu, kadar kematian akibat kemalangan di Malaysia adalah 6.3 kali lebih tinggi berbanding dengan United Kingdom (UK), Sweden dan Belanda. Ini bermakna bahawa 6.3 kematian di Malaysia bagi setiap satu nyawa penduduk UK pada tahun lalu.

Kemalangan jalan raya mengakibatkan ekonomi Malaysia kehilangan RM9 bilion tahun lalu dari segi kehilangan nyawa dan cedera. Tahun lalu berlaku 6,640 kemalangan jalan raya atau 18.2 kematian sehari, bermakna setiap 1 jam 20 minit seorang rakyat Malaysia terbunuh di jalan raya.

Kementerian Pengangkutan memaklumkan, kelajuan di jalan awam telah terbukti secara saintifik sebagai faktor utama peningkatan ketara risiko maut dan cedera bukan sahaja kepada pemandu dan penumpang tetapi juga kepada pengguna jalan raya lain yang tidak bersalah. Kira-kira 60 hingga 70 peratus kemalangan berlaku akibat kelajuan.

Menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), motosikal dan kereta masing-masing mencatatkan lebih 60 peratus dan 20 peratus kematian di jalan raya. Sementara kadar kemalangan maut paling tinggi melibatkan orang muda yang berumur di antara 16 hingga 25 tahun.

Kementerian Pengangkutani sedang mengkaji pelaksanaan sistem penguatkuasaan automatik yang melibatkan penggunaan kamera dalam usaha menambah baik dan meningkatkan penguatkuasaan di kawasan mudah berlaku kemalangan.

Pakar pengangkutan awam, Prof. Dr. Abd. Rahim Md. Nor menyokong penggunaan kamera automatik. Kayanya, ini menambah satu lagi langkah, dalam senarai langkah yang telah dilaksanakan selama ini.

"Bagaimanapun, pada pendapat saya, ini tidak dapat mengubah dengan signifikan sikap pemandu kerana, pertama punca utama kemalangan di Malaysia ialah 'tidak mahir memandu'. Kedua, dasar kita terhadap saman berubah-ubah. Saman masih rendah dan tidak bersifat menghukum serta boleh pula mendapat diskaun. Malaysia belum faham konsep 'rakyat diutamakan'.

Dr. Abd. Rahim, Profesor Pengangkutan Awam dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia mendapati Ops Sikap hanya berkesan dalam mengurangkan kemalangan di musim perayaan (lihat rencana Utusan Malaysia, 20 September 2010). Malangnya, Ops Sikap melibatkan kos yang tinggi dan sumber manusia yang banyak. Sikap pemandu masih tidak berubah. Pemandu berdisiplin bukan kerana kesedaran, tetapi kerana mereka sedang diperhatikan oleh penguat kuasa undang-undang jalan raya.

"Semasa Ops Sikap, kita dapat kurangkan kematian kepada 14 sehari. Selepas Ops Sikap kematian naik semula kepada 18 sehari. Orang ramai tidak tahu pun angka-angka ini," kata Dr. Abd. Rahim.

Beliau melihat penggunaan kamera automatik kaedah yang berkesan untuk mengesan pemandu memandu melebihi had kelajuan. Bukti imej sah di mahkamah.

"Pihak berwajib perlu membangunkan suatu sistem pangkalan data yang besar, sentiasa di kemas kini, dan sistem penghantaran saman yang cekap dan boleh dipercayai. Bahagian penghantaran saman perlu kuat, kalau tidak data dan imej akan bertimbun-timbun, dan ada orang yang akan disaman dan ada pula yang terlepas atau lewat dihantar saman. Ini akan menjemput rungutan orang ramai tentang ketidakcekapan dan ketidakadilan.

"Kaedah ini tidak akan mengubah sikap. Pemandu masih tidak faham mengapa kemalangan berlaku, mengapa suami dan anak mereka mati di jalan raya.

"Kita masih belum memberi lampu isyarat yang betul kepada orang ramai. Mereka perlukan kemahiran memandu yang tinggi, dan kesedaran tentang punca kemalangan. Isunya ialah ramai yang belum sedar, dan langkah-langkah setakat ini belum berjaya menyedarkan sepenuhnya orang ramai," kata beliau.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berpendapat pelaksanaan sistem automatik salah satu kaedah paling berkesan dalam meningkatkan kecekapan penguatkuasaan dan menahan kemungkinan pesalah trafik.

Beliau menjelaskan kaedah ini selari dengan rancangan jangka panjang untuk 'visi sifar kemalangan maut'. Pelaksanaan sistem kamera automatik ini diharap membantu menyelamatkan nyawa rakyat.

Malaysia perlu belajar dan mengambil pendekatan terbaik daripada negara luar. Mungkin ia amat berguna untuk menyelamatkan nyawa rakyat, memerangi gejala rasuah dan menjadikan pemandu Malaysia berhemah di jalan raya.

Persoalannya, bagaimana Malaysia hendak mempercepatkan program ini. Janganlah kita terus memegang kecemerlangan sebagai negara paling tinggi kematian di jalan raya dalam kajian global.

0 Pengikut ajaran Ahmadiyah bukan lagi Islam kerana tidak mengaku Nabi Muhammad bukan nabi terakhir

Pengikut Qadiani jangan lagi dakwa diri Islam
JAKARTA 7 Okt. - Pertubuhan Islam terbesar di Indonesia, Nahdlatul Ulama (NU) menggesa pengikut ajaran Ahmadiyah (Qadiani) supaya jangan lagi mendakwa diri mereka sebagai penganut Islam.

Gesaan itu disuarakan semalam oleh Timbalan Setiausaha Agung NU, Enceng Shobirin dalam perbincangan mengenai penyelesaian isu Ahmadiyah.

Kata Enceng, pengikut ajaran sesat itu akan terus disisih dan dipulaukan jika mereka terus berkeras untuk mengaitkan diri mereka dengan Islam sedangkan mereka melanggar ajaran-ajaran Islam yang paling asas.

Beliau memberi amaran keganasan terhadap pengikut Ahmadiyah akan berulang kerana umat Islam menganggap ajaran itu sebagai ancaman terhadap kesucian Islam.

Seorang lagi anggota panel perbincangan, Timbalan Pengerusi NU, Slamet Effendi Yusuf berkata, umat Islam di serata dunia tidak mengiktiraf ajaran Ahmadiyah yang tidak mengaku Nabi Muhammad sebagai nabi terakhir, sebagai sebahagian Islam.

"Malah di Pakistan di mana Ahmadiyah bermula, ajaran itu tidak diiktiraf sebagai sebahagian Islam tetapi pengikutnya bebas untuk mengamalkan ajaran mereka.

"Mungkin inilah penyelesaian terbaik kepada masalah Ahmadiyah," kata Slamet. - Agensi