.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Sunday, October 03, 2010

0 Filem Makan Doa dan Cinta lakonan Julia Robert bukanlah yang terbaik tetapi menarik untuk ditonton

Mesti Tonton: Bahagia selepas derita

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my
2010/10/02


JULIA ROBERTS bercinta bersama Javier Bardem dalam Eat Pray Love.

Eat Pray Love cetus motivasi

Judul: Eat Pray Love Pengarah: Ryan Murphy,Pelakon: Julia Roberts, Billy Crudup, Viola Davis, Richard Jenkins, James Franco, Javier Badam Berdasarkan buku tulisan: Elizabeth Gilbert Genre: Drama / Cinta
Tayangan: 30 September 2010

KETIKA hati mula berhenti untuk berharap dan perasaan putus asa menguasai diri, harapan membisikkan supaya jangan tunduk dan mengalah pada takdir yang melukakan. Walau sepahit manapun pengalaman yang dilalui, masih ada cahaya yang menanti di hujung terowong.

Kecewa dengan perceraian yang menyakitkan, seorang penulis, Liz Gilbert (lakonan Julia Roberts) memulakan pengembaraannya ke tiga negara dengan membawa sekeping hati yang luka.
Gilbert keluar dari zon selesanya dan sanggup mengambil risiko semata-mata untuk mengubah kehidupan. Dalam pengembaraannya itu, dia menemui keenakan makanan apabila berkunjung ke Itali, mempelajari kuasa doa ketika berada di India, seterusnya bertemu kedamaian dalaman serta cinta sejati sewaktu menjejak bumi Bali.

Filem arahan Ryan Murphy ini sebenarnya umpama sebuah motivasi untuk mereka yang kecewa dan putus asa di luar sana, supaya mereka tahu bahawa dunia belum berakhir hanya kerana sebuah perpisahan.

Watak Gilbert mengajar kita, andai mahukan perubahan dalam diri, sila keluar dari kepompong dan keluar melihat dunia ciptaan tuhan yang terbentang luas. Tidak siapa tahu, mungkin di luar sana nanti ada kebahagiaan yang menanti.

Memilih Julia Roberts sebagai pemegang watak Gilbert ialah pilihan yang tepat.
Julia bijak bermain dengan emosi seorang wanita yang keliru, kehilangan serta masih tercari-cari apakah sebenarnya yang dikehendaki dalam sebuah perhubungan.

Dengan menggunakan tiga perkara asas yang cukup dekat dengan kehidupan manusia iaitu makanan, doa dan cinta, penulis skrip bijak menggabungkan tiga elemen ini sehingga ia menjadi satu metafora yang menarik. Filem ini juga kaya dengan falsafah dan dialog yang mudah melekat dalam ingatan. Malah pemilihan tiga negara ini sebagai lokasi penggambaran juga membangkitkan mood untuk menjadikan filem ini seronok untuk ditonton.

Eat Pray Love mungkin bukan sebuah filem romantik yang terbaik kalau hendak dibandingkan dengan mana-mana filem pernah ditayangkan. Namun, ia tetap mempunyai keistimewaan tersendiri. Bagi mereka yang pernah membaca novelnya, jangan lupa menyaksikan filem ini kerana apa yang digambarkan penulis berkenaan dalam novel itu, divisualkan dengan cara yang lebih menarik oleh si sutradara.

0 Tertarik dengan sinopsis telefilem SORONG PAPAN TARIK PAPAN di TV 1

Kisah bapa tak percayakan anak sendiri


2010/10/02


Azza AFIBARAT pepatah, kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Begitulah yang berlaku dalam diri seseorang itu apabila lebih mengutamakan orang lain berbanding anak sendiri tanpa menyedari anak itulah yang bakal membela nasib mereka kelak, berbanding orang lain.

Kisah sama diangkat Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi telefilem Sorong Papan Tarik Papan yang akan disiarkan stesen itu Ahad ini, jam 10.05 pagi, mengisi slot Panggung Ahad di TV1. Telefilem yang dijayakan pelakon seperti Jantan Osman, Kismah Johar, Abon, Nazaruddin Abu Jamil, Azza AF, Zulkifli Daud dan Yang Kassim mengisahkan paparan realiti seharian seorang bapa bernama Pak Jalal. Pak Jalal amat kedekut dan garang terutama terhadap tiga anaknya iaitu Mamat, Mail dan Seri. Dia juga bersikap sedemikian terhadap isterinya, Mak Minah.

Walaupun dia seorang yang kaya dengan memiliki dusun buah-buahan serta ladang ternakan kambing yang besar, namun Pak Jalal sering memandang rendah terhadap Mamat dan Mail, sebaliknya dia lebih mempercayai pekerja ladangnya iaitu Joko dan Hameed.

Mamat dan Mail pernah meminta modal sebanyak RM10,000 daripada Pak Jalal untuk memulakan perniagaan tetapi permintaan mereka tidak diendahkan. Mamat terpaksa memperdayakan bapanya menerusi helah dengan menculik adik mereka, Seri. Mereka meminta wang tebusan sebanyak RM10,000 daripada Pak Jalal. Selain ingin memulakan perniagaan, mereka juga mahu memberi sedikit pengajaran atas sikap kedekut bapanya itu.

Setelah mendapat wang tebusan itu, Mamat dan Mail berhijrah ke bandar lalu menubuhkan Syarikat 2M (Syarikat Mamat dan Mail / Macam-Macam). Mereka berjaya dalam perniagaan dan menjadi pengedar utama Produk Gula Herba.
Sewaktu ketiadaan Mamat dan Mail, Pak Jalal jatuh sakit dan tidak dapat bangun. Joko dan Hameed yang diharapkan menjaga ternakan pula melarikan diri bersama kesemua kambingnya.

Pak Jalal benar-benar marah dan mula sedar selama ini dia hanya mempercayai pekerjanya itu berbanding kedua anak lelaki sendiri. Ketika sakit juga Pak Jalal meminum Produk Gula Herba, yang menyembuhkan kakinya.

Mamat dan Mail akhirnya pulang ke kampung dengan kejayaan. Mereka juga mengumumkan untuk terus menetap di kampung bagi mendirikan sebuah kilang dan turut menawarkan pekerjaan kepada penduduk kampung.

Melihat kejayaan Mamat dan Mail, Pak Jalal malu dan insaf akan kesilapannya. Dia kini sedar betapa sikap anaknya itu cukup berbeza daripada dirinya sendiri.

Namun adakah dia mampu menerima kebenaran penculikan terhadap Seri yang pernah dilakukan mereka dulu? Sama-sama saksikan kesudahan telefilem Sorong Papan Tarik papan dalam slot Panggung Ahad, di TV1.

0 Idea kreatif untuk jimatkan kos kerajaan

Pertandingan reka bentuk bantu kerajaan


2010/10/02
PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata, pertandingan reka bentuk baru bangunan hospital awam mampu membantu kerajaan membangunkan projek yang mempunyai nilai estetika, menjimatkan kos dan mudah dilaksanakan pada masa depan.

Perdana Menteri berkata, pertandingan itu membolehkan Kementerian Kerjaraya menyenarai pendek empat reka bentuk baru hospital kerajaan, masing-masing dua bagi model 76 katil dan 268 katil, tetapi belum ada rekaan yang memenuhi kriteria Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kerja Raya bagi kategori hospital 108 katil. “Dengan ada pertandingan ini, kita boleh melaksanakan projek dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) berdasarkan kepada memenuhi prinsip ‘value management’ (pengurusan nilai) dan dapat menentukan nilai estetika dapat dikekalkan pada tahap tinggi,” katanya selepas melawat pameran reka bentuk baru hospital kerajaan di Kementerian Kewangan di sini, semalam.

0 Cara promosi pembikin filem ialah melalui pertandingan

Bikin filem dalam 48 jam

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my
2010/10/02

BUAT kali pertama, pertandingan khusus untuk bakat dalam pembikinan filem, The 48 Hour Film Project singgah di Kuala Lumpur pada hujung minggu, 28 Oktober ini. Menerusi pertandingan terbabit, pembikin filem di seluruh negara akan bersaing sesama mereka dalam usaha membuktikan, siapakah yang mampu menghasilkan filem pendek dalam masa dua hari saja.

Lebih menarik, filem yang muncul pemenang akan bersaing pula bersama juara lain dari seluruh dunia. Justeru, pembikin yang berminat disaran menyertai pertandingan ini seberapa segera yang mungkin, berikutan jumlah penyertaan yang terhad (maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari http://www.kl48hour.com) Sebagai tahun permulaan, penerimaan penyertaan dilakukan berdasarkan siapa cepat dia dapat. Sebaik saja pendaftaran awal diselesaikan, penganjur akan menerima pasukan terbabit untuk diletakkan dalam Senarai Menunggu. Jika sekiranya pasukan yang mendaftar harus menarik diri, penganjur akan melihat kepada senarai terbabit.

Bagaimanapun, jika penyertaan cukup memberangsangkan, manakala penganjur pula berupaya mendapatkan masa tayangan tambahan, kemungkinan untuk beberapa penyertaan tambahan diterima adalah besar.

Pendaftaran untuk sesebuah pasukan hanyalah RM400 (ataupun RM350 sebelum 4 Oktober).

Program The 48 Hour Film Project ialah projek hujung minggu yang aktif di mana anda dan pasukan anda membuat sebuah filem, iaitu menulis, merakam, menyunting dan memasukkan muzik, hanya dalam tempoh 48 jam.
Pada malam Jumaat, anda akan mendapat sebuah karakter, sebuah prop, sebaris dialog dan sebuah genre, semuanya akan dimasukkan ke dalam filem anda. Empat puluh lapan jam kemudian, filem terbabit harus disempurnakan. Kemudian, ia akan ditayangkan di pawagam tempatan, biasanya dalam masa seminggu selepas projek itu berlangsung.

Pada 2009, hampir 40,000 pembikin filem menghasilkan 3,000 filem di 76 kota. Pada tahun ini, projek berkenaan bertambah besar dengan lebih ramai pembikin filem menghasilkan lebih banyak judul dalam masa hanya 48 jam.

Projek ini bermatlamat untuk mencanggihkan lagi pembikinan filem, selain daripada mempromosikan pembikinnya. menerusi pertandingan ini, pembikin filem dan mereka yang berminat dalam pembikinan filem digalakkan untuk keluar dan cuba menghasilkan filem. Dengan tempoh 48 jam yang diberikan, pembikin filem harus memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kemahiran kerja berkumpulan dan kreativiti. Ia turut membolehkan mereka bekerja, bukannya bercakap semata-mata.

Saturday, October 02, 2010

0 Pelancong paling suka alam sekitar dan makanan Malaysia untuk mereka datang balik

Pengembara kaya pilih Malaysia

Oleh AINUL ASNIERA AHSAN
ainul.ahsan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Pengembara kaya dari Singapura, Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan mereka dalam dua tahun lagi.

Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik-Visa yang melaksanakan Tinjauan Pengembaraan Asia Pasifik mendapati, 22 peratus pengembara kaya dari Singapura telah memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan, AS (17 peratus) peratus dan UK (16 peratus).

Mereka yang menjadi responden adalah berumur 40 tahun ke atas dan merupakan di kalangan golongan profesional berpendapatan melebihi AS$6,000 (RM18,500) sebulan.

Kebanyakan mereka itu memperuntukan bajet bagi tujuan pelancongan hampir AS$3,000 (RM9,000).

Antara faktor utama tarikan Malaysia sehingga membawa mereka ke negara ini adalah alam sekitar, kawasan pelancongan baru, makanan, cuaca dan pantai.

Bagi pengembara yang pernah melancong ke negara ini, faktor kepelbagaian menu tempatan telah menarik mereka untuk ke negara ini buat kali kedua.

''Tinjauan ini mendapati 70 peratus pelancong asing akan datang semula ke Malaysia hanya disebabkan untuk menikmati makanan dan bakinya untuk tujuan aktiviti luar seperti golf.,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pengurus Negara Visa Malaysia, Stuart Tomlinson berkata, hasil tinjauan itu menunjukkan industri pelancongan negara bakal menjadi destinasi pilihan pelancong mewah menjelang 2012.

Tambahnya, tinjauan itu membuat kesimpulan bahawa kerja keras Kementerian Pelancongan dalam mempromosi negara sebagai destinasi pengembara unik berjaya.

Friday, October 01, 2010

0 Planet seperti bumi ditemui selepas 11 tahun pemerhatian

Planet digelar Bumi Baru ditemui




LAKARAN artis menunjukkan planet Gliese 581g.



LOS ANGELES - Lima pakar astronomi Amerika Syarikat (AS) menemui sebuah planet baru dikenali sebagai Gliese 581g yang kelihatan seperti Bumi, lapor beberapa buah akhbar semalam.

Planet itu terletak di satu kawasan yang dirujuk sebagai zon kehidupan kerana suhunya tidak terlalu panas atau sejuk bagi cecair membentuk lautan, sungai dan tasik serta berada pada jarak 20 tahun cahaya dari Bumi.

Planet itu mengelilingi satu bintang yang yang dianggap seperti matahari.

Bintang itu diberi nama Gliese 581.

Planet itu berpusing mengelilingi bintang itu setiap 37 hari untuk satu putaran penuh.

Ia didapati tiga kali besar daripada Bumi namun berada dekat dengan bintang itu pada jarak 22.5 juta kilometer.

Planet yang digelar sebagai 'Bumi Baru' itu mempunyai satu bahagian yang sentiasa siang manakala bahagian yang bertentangan selalu malam kerana ia tidak banyak berputar.

Kumpulan pakar itu tidak dapat mengesahkan sama ada wujud air di planet tersebut.

Namun, salah seorang pakar astronomi, Dr. Steven Vogt dari Universiti California di Santa Cruz yang mengetuai kajian itu percaya terdapat peluang kehidupan di planet tersebut.

Graviti di planet itu sama seperti Bumi sekali gus membolehkan seorang manusia berjalan tanpa menghadapi sebarang kesukaran.

Menurut Dr. Vogt, bintang yang menjadi matahari di planet itu berada pada kedudukan sama pada setiap masa.

Sebuah kapal angkasa yang mempunyai kelajuan hampir dengan cahaya memerlukan masa 20 tahun untuk tiba di planet itu.

Penemuan itu dibuat selepas 11 tahun pemerhatian dijalankan di Balai Cerap W. M. Kec di Hawaii. - Agensi

0 Cadang ibu negara Indonesia dipindah ke Borneo

Susilo cadang pindah ibu negara

JAKARTA 30 Sept. - Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono mempunyai satu penyelesaian bagi mengatasi masalah kepadatan penduduk, kesesakan jalan raya dan banjir teruk di Jakarta iaitu dengan memindahkan ibu negara ini ke tempat lain.

"Jika kita jujur, objektif, Jakarta sudah tidak ideal lagi," kata beliau yang telah mengerahkan pasukan sehingga ke Kepulauan Borneo untuk mencari tapak baru.

Usul-usul untuk memindahkan ibu negara ini dalam projek yang menelan belanja kira-kira AS$11 bilion (RM34 bilion) sebelum ini gagal direalisasikan dan nasib sama mungkin menimpa cadangan terbaru ini.

Banjir juga kerap berlaku dengan air banjir mencapai paras pinggang menghalang lalu lintas dan menenggelamkan rumah setiap kali musim hujan, malah menyebabkan berpuluh-puluh penduduk mati akibat kejutan elektrik.

Dengan lebih 500 buah kereta dan 1,500 motosikal baru memasuki jalan raya setiap hari, tambahan kepada 6.7 juta buah kenderaan di bandar raya ini sudah cukup menyesakkan jalan raya, trafik bergerak pada kelajuan 10 kilometer sejam.

Ia menyebabkan Jakarta, bandar raya terbesar di dunia yang tidak mempunyai sistem kereta api bawah tanah, mengalami kerugian kira-kira AS$1.4 bilion (RM4.3 bilion) dari segi masa dan bahan api, kata jurucakap kerajaan, Yopie Hidayat.

Beberapa negara telah memindahkan ibu negara mereka ke tempat lain seperti Brazil, Pakistan, Malaysia, Myanmar dan beberapa negara lain, atas pelbagai sebab sama ada atas faktor politik hinggalah ekonomi.

Presiden pertama, Sukarno menyarankan untuk memindahkan ibu negara republik ini ke Borneo bagi memacu kemajuan di seluruh negara dengan 17,000 buah pulau ini secara sama rata.

Suharto pula mahu Jonggol sebagai ibu negara baru.

Susilo kini menimbangkan kedua-dua lokasi. - AP