.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Sunday, August 15, 2010

0 Isu David Teo dan Ahmad Idham di FINAS

Kak Pora: Elok menteri lantik lebih ramai produser jadi Ahli FINAS


2010/08/08
TAK sangka Kak Pora, isu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memang sudah jadi bualan ramai. Liputannya juga meluas bukan saja dalam ruangan hiburan akhbar dan berita TV tetapi hinggakan sudah jadi bahan sembang dalam internet dan Facebook. Malah, akhbar bahasa Inggeris yang jarang beri perhatian kepada filem tempatan juga makin ligat beri perhatian pada isu yang berlaku terhadap FINAS.

Isu apa lagi, tentulah mengenai siapa bakal Ketua Pengarah baru FINAS. Dah dekat tarikh 16 Ogos, Ketua Pengarah FINAS sekarang, Mahyudin Mustakim tamat kontrak, makin suspen juga orang industri filem nak tunggu siapa bakal pengganti beliau. Bagi Kak Pora, kalau payah-payah sangat nak pilih, sambungkan saja kontrak Mahyudin tu sehingga hujung tahun ini. Isu lagi panas tentulah mengenai kedudukan produser filem yang bermulut laser, David teo serta seorang lagi penerbit muda yang juga pengarah filem, Ahmad Idham. Kak Pora sangka, isu ini dah nak sejuk tetapi apabila pengarah filem, Datin Paduka Shuhaimi baba buat lagi sidang media untuk ‘bantai’ David dan Idham, nampaknya ia makin menjadi lebih panas. Naib baik, David dan Idham tak balas dan cuma diam saja. Tetapi, bos Kak Pora dan rakan setugas beritahu, memang di kalangan orang filem isu ini tengah menggelegak tu... Sekali fikir, kenapalah orang filem kita terutama golongan tauke filem suka sangat nak bergaduh dalam media massa. Yang Kak Pora tak boleh terima ialah apabila ahli dalam Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) sendiri bergaduh sesama mereka. Ahli tuduh AJK, AJK tuduh ahli, Presiden PFM juga tuduh ahli dan macam-macam lagilah. Lantaklah kau orang, itu persatuan kau orang. Jangan sampai PFM jadi pecah belah cukuplah. Kawan Kak Pora ada terima SMS daripada seorang penerbit filem yang juga ahli PFM, Mohd Noor Kadir yang merungut dengan melabelkan ‘PFM’ itu seperti bermaksud “Pembunuh Filem Makers”. Ke situ pula jadinya, kelakar pun ada bunyinya.

Tak apalah. Cuma, kali ini Kak Pora rasa FINAS sekarang dah macam jadi mangsa sasaran pula. Apabila PFM yang diketuai presidennya, Ahmad Puad Onah mempertikai keputusan Menteri Penerangan Komunikasi Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang sambung kontrak David dan Idham sebagai Ahli Lembaga Pengarah FINAS, ramai pihak dah pandang serong pada agensi kerajaan itu. Hinggakan, Kak Pora dengar cakap-cakap, persatuan lain pun tumpang sekaki terutama persatuan yang bernaung di bawah Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM).

Selasa lalu, dengarnya ada pertemuan Pengerusi FINAS, Datuk Mohammed Mohd Daud dengan wakil persatuan filem tetapi tidak ada satu pun wakil persatuan dalam GAFIM yang datang termasuk PFM. Dalam erti kata lain, pertemuan itu macam kena boikot pula oleh GAFIM. yang ada tercongok di majlis itu cuma Ahli Lembaga FINAS termasuk David dan Idham serta Mohammed saja, selain ada wartawan dan jurugambar serta pegawai FINAS. Sampai hati GAFIM boikot pertemuan itu. Kesudahannya, Mohammed terpaksa buat sidang media juga.

Kak Pora rasa, isu ini sudah di peringkat menteri. Sepatutnya Dr Rais yang panggil wakil persatuan untuk berbincang dan bersemuka. Ini tidak, cuma diserahkan pada Mohammed. Tahu-tahu sajalah, ramai juga Kak POra dengar mereka kurang selesa berurusan dengan Mohammed terutama ada beberapa isu sebelum ini termasuk isu Hari SENIMAN. Kepada yang tidak tahu, Mohammed ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) di kementerian Dr Rais. Elok jugalah selepas itu, mungkin berikutan insiden Selasa lalu, khabarnya menteri akan berjumpa pemimpin persatuan artis terutama PFM dan persatuan dalam GAFIM pada Isnin ini. Diharapkan apda pertemuan itu nanti, isu panas ini akan sejuk sikitlah, maklumlah dah nak dekat Ramadan ni, tak elok nak bertegang leher.

Dr Rais sepatutnya memberi maklum balas lebih awal selepas PFM buat sidang media hari tu. apabila lambat beri kenyataan dan buat tidak peduli saja, isu semakin panas dan meleret, jadi kecoh dan kesudahannya ramai dah beri persepsi negatif pada FINAS dan imej D?r Rais sendiri. Kak Pora kasihan pada beberapa pegawai FINAS yang merungut pada kawan Kak Pora mereka rasa tidak selesa sekarang bila jadi isu macam ini.

Kak Pora nampak isu macam ini tak perlulah nak dijadikan polemik yang tak berkesudahan, nanti memalukan golongan penerbit filem sendiri. Sesama mereka pula yang bergaduh dan suasana macam ini kelak tak sihat untuk industri filem kita. Sudahlah industri filem kita masih tidak sehebat mana, tetapi riuh rendah orang filem kita mengalahkan kita macam dalam industri Hollywood atau Bollywood!

Kak Pora fikir balik dan kaji, benar jugalah, memang sesuai kalau ada individu yang memang terbukti kejayaan mereka sebagai produser dan pengarah seperti David dan Idham berada dalam Ahli Lembaga Pengarah FINAS. tak salah pun mereka ada di sana, malah boleh bantu FINAS dari segi idea dan pengetahuan.
Cuma apabila ada orang lain tidak senang dan buat tuduhan tanpa ada bukti sahih, benda macam ini mula kecoh dan berlaku tuduh-menuduh.

Kak Pora nak cadangkan pada Dr Rais supaya lantiklah lebih ramai produser filem jadi Ahli Lembaga. Gunalah kuasa mutlaknya sebagai menteri yang boleh mengatasi Akta Finas demi meningkatkan industri filem kita. Lantik saja Ahmad Puad dan Shuhaimi, malah Norman Abdul Halim dan Datuk Yusof Haslam pun boleh sebagai Ahli Lembaga FINAS. Mansor Puteh pun jangan dilupakan, dia ni pun penting juga.

Kalau dah cukup kuota dalam badan lembaga itu, apa salahnya buat satu panel atau jawatan kuasa khas untuk mengumpul tokoh dan individu yang ada pengalaman dalam penerbitan dan pengarahan supaya sama-sama berkongsi idea dan menjalankan tugas sama seperti Ahli Lembaga FINAS. Mereka dalam Lembaga FINAS dan ahli jawatan kuasa atau panel khas ini boleh duduk semeja untuk bincangkan atau membuat kelulusan mengenai sesuatu perkara termasuklah hal pinjaman filem cereka, kelulusan geran, dana kreatif, wajib tayang dan hal berkaitan. Kak Pora bimbang sebab nanti kalau menteri lantik pula orang lain dalam Lembaga FINAS, ada pula yang protes dan sampai bila isu macam ini tak akan habis.

Kak Pora dah malas nak tulis panjang-panjang hal macam ini. Kita tunggu saja esok apa kata Dr Rais selepas dia bertemu dengan pemimpin PFM dan ahli GAFIM. Jangan sampai ada yang baling buku atau gelas cukuplah...

KAK PORA: Kenapa Persatuan KARYAWAN tak mahu buat-buat lagi mesyuarat agung seperti diarahkan mahkamah? Nak tunggu apa lagi? Tempoh 60 hari yang diberi dah nak habis...

0 Ceritakan tentang negara anda dalam 10 tahun terakhir ini

Malaysia model pelbagai kaum

Oleh Haspaizi Mohd Zain dan Faridzwan Abdul Ghafar
bhnews@bharian.com.my

2010/08/15
Pelajar IPT tempatan digesa kongsi pengalaman dengan 60 negara lain

KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai kelebihan untuk dijadikan contoh kepada negara lain berikutan pencapaian ekonominya serta kejayaan mewujudkan suasana harmoni di kalangan rakyat berbilang kaumnya. Sehubungan itu, Timbalan Setiausaha Jabatan Komunikasi dan Perhubungan Awam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kiyotaka Akasaka, menggesa pelajar institusi pengajian tinggi tempatan yang menyertai Persidangan Model Global Pertubuhan Bangsa Bersatu (GMUN) Kedua di sini, semalam, berkongsi pengalaman keunikan itu dengan rakan dari 60 negara. “Pengalaman Malaysia dalam proses pembinaan negara bangsa, inisiatif yang mencatat pertumbuhan ekonomi pesat dan pada masa sama dapat mengekalkan keharmonian persekitaran sejajar dengan pembangunan ekonomi negara dapat menjadikan Malaysia sebagai model dan contoh kepada negara lain.

“Saya berharap pelajar Malaysia di GMUN dapat bercakap mengenai pengalaman negara ini dalam masa 10 atau 20 tahun lalu dan usaha yang dilakukan bagi mencapai status ekonomi yang mapan dan pada masa sama dapat mewujudkan suasana harmoni antara kaum,” katanya pada sidang media di hari pertama Persidangan Model Global Pertubuhan Bangsa Bersatu Kedua yang diadakan di sini, semalam. Hadir sama, Ketua Unit Pendidikan Jabatan Komunikasi dan Informasi Awam PBB, Yvonne Acosta.

Lebih 1,000 pelajar 60 negara, termasuk 80 dari Malaysia menyertai persidangan lima hari mulai semalam anjuran Jabatan Komunikasi dan Perhubungan Awam PBB dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan dan Bahagian Hal Ehwal Sekretariat Belia Komanwel.

Persidangan itu juga menjadi saluran golongan belia membincangkan isu perhubungan antara budaya, globalisasi dan perubahan sosio ekonomi dunia dan usaha dilakukan PBB.
Kiyotaka berkata, persidangan itu juga boleh dijadikan platform pelajar tempatan dan asing menyuarakan pandangan dan berkongsi idea mengenai cabaran yang dihadapi berhubung kedudukan Malaysia sebagai negara penting dalam pembangunan ekonomi, sosiointegriti dan kerjasama antara kaum.

Saturday, August 14, 2010

0 Banyak pembohongan dan tipu helah dalam prosiding kata saksi utama

Akhirnya saksi utama kes Norman muncul


Norman Hakim dan Memey Suhaiza di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Taman Keramat, semalam.



KUALA LUMPUR 13 Ogos – Seorang saksi perbicaraan kes khalwat pasangan artis, Norman Hakim dan Memey Suhaiza memberitahu dia melihat pelakon lelaki itu cuba melarikan diri ketika serbuan dilakukan oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Muhamad Yusri Abd. Razak, 55, berkata, dalam serbuan pada pukul 2.30 pagi, dua tahun lalu itu, dia melihat kelibat Norman yang berseluar pendek memanjat ke premis atas bangunan berkenaan melalui satu lubang di sebelah ruang legar belakang pejabatnya.

Dalam keterangan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini hari ini, saksi keenam itu mendakwa, dia menyaksikan kejadian itu dari pejabatnya yang terletak di sebelah pejabat Norman.

Muhamad Yusri yang bekerja sebagai pereka dalaman juga mengakui dia yang membuat aduan mengenai perbuatan pasangan tersebut kepada JAIS.

“Selama lapan bulan, setiap hari saya melihat Memey membawa bantal dan tilam ke pejabat Norman.

“Bagaimanapun niat untuk membuat aduan tersebut saya abaikan disebabkan bekas isteri Norman, Abby Abadi sedang sarat mengandung ketika itu,’’ katanya sewaktu disoal oleh Pendakwa Syarie, Muhamad Nazri Basrawi.

Ditanya mengapa dia sanggup memberi keterangan di mahkamah walaupun mempunyai hubungan rapat dengan keluarga Norman, saksi itu berkata, dia ingin menegakkan kebenaran setelah sekian lama melihat banyak pembohongan dan tipu helah sepanjang prosiding itu berlangsung.

Kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan, hadir ke mahkamah hari ini.

Terdahulu, sebelum saksi dipanggil, Fakhrul Azman mengemukakan bantahan terhadap hakim syarie, Salehan Yatim yang terus mengendalikan kes itu meskipun kini bertugas sebagai pendakwa syarie di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Salehan bagaimanapun menolak bantahan tersebut kerana beliau berpegang kepada prinsip berlaku adil dan turut memetik ayat 90, Surah al-Nahl yang menyatakan Allah menyuruh berlaku adil dan melarang daripada melakukan perbuatan keji serta kezaliman.

Hakim tersebut juga menyatakan, beliau mendapat arahan dari Jabatan Kehakiman Syarie Malaysia (JKSM) untuk menyelesaikan kes-kes tertunggak termasuk kes tersebut yang sudah berlarutan selama dua tahun.

Norman atau nama sebenarnya, Mohamed Norhakim Zaidon, 33, dan Memey, 21, dibicarakan atas tuduhan berada bersama dalam keadaan yang menimbulkan syak di antara pukul 1.45 pagi dan 3 pagi, 30 Oktober 2008 di pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP 1/2, Taman Ukay Perdana, Ampang, dekat sini.

Norman didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, manakala Memey atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi pula dituduh di bawah Seksyen 29(1)(b) enakmen sama yang boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Pada sebelah petangnya, kesemua pihak yang terlibat dalam perbicaraan kes itu termasuk hakim dan kedua-dua tertuduh sekali lagi melawat ke premis tersebut bagi membolehkan Muhamad Yusri memberikan gambaran dengan lebih jelas tentang kejadian tersebut.

Perbicaraan bersambung 3 September ini.

0 Gempa bumi di kepulauan Filipina

Gempa bumi kuat gegar selatan Kepulauan Mariana
14/08/2010 10:14am


KUALA LUMPUR 14 Ogos – Gempa bumi kuat berukuran 7.2 pada skala Richter berlaku di bahagian selatan Kepulauan Mariana pada 5.20 pagi ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, pusat gempa bumi itu berada di 1,484 kilometer timur laut Davao, Filipina atau 2,703 kilometer timur laut Lahad Datu, Sabah.

Bagaimanapun, tiada ancaman tsunami dikesan. – Bernama

0 Ulasan 10 pasukan teratas EPL sebelum sepak mula

Saingan kejuaraan bermula
CHELSEA

Pengurus: Carlo Ancelotti

Musim lalu: Juara Liga Perdana, pusingan kedua Liga Juara-Juara, juara Piala FA, suku akhir Piala Liga.

Masuk: Benayoun (Liverpool) 5 juta pound (RM24.8 juta).

Keluar: Ricardo Carvalho (Real Madrid) 8 juta pound (RM39.6 juta), Michael Ballack (Bayer Leverkusen) percuma, Juliano Belletti (Fluminense) percuma, Cole (Liverpool) percuma, Deco (Fluminense) dilepaskan, Miroslav Stoch (Fenerbahce) tidak didedahkan, Rhys Taylor (Crewe) pinjaman dua bulan, Ryan Bertrand (Nottingham Forest) pinjaman enam bulan.

Prospek: Kemasukan pemain tengah Israel, Yossi Benayoun dari Liverpool masih tidak cukup. Banyak pihak meramalkan Chelsea sepatutnya berbelanja besar untuk menghadapi musim baru, apatah lagi selepas skuad Blues kehilangan ramai pemain berpengalaman diketuai Joe Cole, Ricardo Carvalho, Juliano Belletti serta Michael Ballack. Pemain antarabangsa Ghana, Michael Essien tampak agak berkarat di bahagian tengah selepas berehat panjang musim lalu akibat kecederaan.

Kepincangan Chelsea untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana dan Piala FA, yang dirangkul musim lalu mula terserah selepas kalah kepada musuh tradisi, Manchester United 1-3 dalam saingan Perisai Komuniti musim lalu. Sesuatu yang serius perlu dilakukan jurulatih mereka, Carlo Ancelotti jika mahu mengekalkan gelaran di London kerana ketika ini, pemain muda seperti Jeffrey Bruma atau Gael Kakuta, nampak belum cukup menyerlah.

MANCHESTER UNITED

Pengurus: Alex Ferguson

Musim lalu: Naib juara Liga Perdana, suku akhir Liga Juara-Juara, pusingan ketiga Piala FA, juara Piala Liga.

Masuk: Chris Smalling (Fulham) 10 juta pound (RM49.5 juta), Javier Hernandez (Guadalajara) 6 juta pound (RM29.7 juta).

Keluar: Ben Foster (Birmingham City) 4 juta pound (RM19.8 juta).

Prospek: Kempen awal Manchester United untuk merampas kejuaraan Liga Perdana England menampakkan petanda positif, selepas pasukan itu mengalahkan musuh ketat, Chelsea 3-1 dalam perlawanan Perisai Komuniti.

Biarpun berpegang kepada polisi mempercayai pemain muda, sambil menolak sebarang cadangan untuk berbelanja besar dalam pasaran jual beli pemain, skuad bimbingan Alex Ferguson ini tetap seperti kebiasaan - menampilkan barisan yang mampu mencabar kejuaraan liga.

Kemasukan bintang penyerang Mexico, Javier Hernandez diharap mampu membantu mereka merealisasikan misi merampas kejuaraan. Ferguson turut memasang harapan tinggi terhadap Smalling, selain masih menaruh kepercayaan tinggi kepada tonggak lama seperti Wayne Rooney, Nemanja Vidic dan Patrice Evra untuk memburu rekod kejuaraan Liga Perdana England ke-19.

ARSENAL

Pengurus: Arsene Wenger

Musim lalu: Tangga ke-3 Liga Perdana, suku akhir Liga Juara-Juara, pusingan keempat Piala FA, suku akhir Piala Liga.

Masuk: Laurent Koscielny (Lorient) 10 juta pound (RM49.5 juta), Marouane Chamakh (Bordeaux) percuma.

Keluar: Mikael Silvestre (Dilepaskan), William Gallas (Dilepaskan), Sol Campbell (Newcastle United) percuma, Eduardo (Shakhtar Donetsk) 6 juta pound (RM29.7 juta), Philippe Senderos (Fulham) percuma, Fran Merida (Atletico Madrid) percuma, Luke Ayling (Yeovil) percuma, Francis Coquelin (Lorient) pinjaman, Sanchez Watt (Leeds) pinjaman.

Prospek: Lima tahun tanpa sebarang trofi merupakan penantian panjang yang amat meresahkan buat peminat Arsenal, begitupun berjaya mengekalkan bintang tengah dan ketua pasukan, Cesc Fabregas dari disambar Barcelona adalah motivasi terbaik buat skuad Gunners, apabila memulakan kempen musim baru dengan menentang Liverpool, esok.

Sekalipun dengan kelibat Fabregas dan dua pemain baru dari Perancis, Laurent Koscielny dan Marouane Chamakh, yang menunjukkan prestasi baik dalam perlawanan pra-musim, ia tidak cukup menghadirkan kejuaraan di Stadium Emirates, andai pemain memberi komitmen kurang daripada 100 peratus.

TOTTENHAM HOTSPUR

Pengurus: Harry Redknapp

Musim lalu: Tangga ke-4 Liga Perdana, separuh akhir Piala FA, suku akhir Piala Liga.

Masuk: Sandro (6 juta pound (RM29.7 juta), Internacional).

Keluar: Adel Taarabt (Queens Park Rangers) 1 juta pound (RM4.9 juta), Dorian Dervite (Villarreal) percuma.

Prospek: Tottenham mengharungi saingan yang menakjubkan di bawah Harry Redknapp musim lalu, pencapaian yang melayakkan Redknapp menerima anugerah Pengurus Terbaik. Bagaimanapun selepas berjaya mengatasi Liverpool dan Manchester City untuk menghuni tangga keempat liga, Spurs dijangka berdepan kesukaran untuk mengekalkan kedudukan tersebut pada musim baru ini.

Selepas berbelanja besar sejak beberapa tahun lalu, Spurs bagaimanapun kurang aktif dalam pasaran jual beli pemain, biarpun mengakui memerlukan beberapa tenaga pemain baru. Mereka hanya melakukan satu transaksi, mendapatkan pertahanan tengah Brazil, Sandro dari Internacional.

MANCHESTER CITY

Pengurus: Roberto Mancini

Musim lalu: Tangga ke-5 Liga Perdana, pusingan kelima Piala FA, separuh akhir Piala Liga.

Masuk: Yaya Toure (Barcelona) 25 juta pound (RM124 juta), David Silva (Valencia) 24 juta pound (RM119.15 juta), Aleksandar Kolarov (Lazio) 16 juta pound (RM79.4 juta), Jerome Boateng (Hamburg) 10 juta pound (RM49.6 juta).

Keluar: Javier Garrido (Lazio) tidak didedahkan, Benjani (dilepaskan), Sylvinho (dilepaskan), Martin Petrov (Bolton Wanderers) percuma, Valeri Bojinov (Parma) tidak didedahkan, Martin Petrov (Bolton) percuma, Paul Marshall (Walsall) percuma.

Prospek: Selepas menamatkan kempen di tangga kelima musim lalu, City terus berbelanja besar dan mengatasi semua pencabarnya dalam pasaran jual beli pemain dengan harapan untuk mencabar kejuaraan liga dengan lebih serius.

Selepas berbelanja besar hampir 80 juta pound (RM396.8 juta) setakat ini, cabaran terbesar pengurus, Roberto Mancini adalah untuk menukar pelaburan mereka kepada kejuaraan.

"Saya teruja? Ya, sangat teruja. Malah, biarpun pasaran jual beli pemain belum tamat dan masih ada pemain yang boleh datang, saya rasa kami akan mengharungi musim yang bagus. Saya percaya, kami memiliki skuad yang mampu melakar kejayaan dan penyokong kami berhak mendapatkannya,'' kata Mancini.

ASTON VILLA

Pengurus sementara: Kevin MacDonald

Musim lalu: Tangga ke-6 Liga Perdana, kelayakan Liga Europa, separuh akhir Piala FA, naib juara Piala Liga.

Masuk: Tiada.

Keluar: Wilfred Bouma (dilepaskan), Marlon Harewood (dilepaskan), Nicky Shorey (West Bromwich Albion) tidak didedahkan, Stephen O'Halloran (Coventry) tidak didedahkan.

Prospek: Perletakan jawatan Martin O'Neill secara mengejut hanya lima hari sebelum Vila memulakan saingan musim baru, benar-benar merencatkan persiapan mereka.

Selepas menamatkan kempen dengan menduduki tangga keenam musim lalu, sukar untuk meramalkan apakah yang mampu dilakukan Villa musim ini, apatah lagi mereka antara pasukan yang paling sepi dalam pasaran jual beli pemain. Walau siapapun yang bakal mengambil alih jawatan pengurus, cabaran yang bakal dihadapi amat mencabar.

LIVERPOOL

Pengurus: Roy Hodgson

Musim lalu: Tangga ke-7 Liga Perdana, peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, separuh akhir Liga Europa, pusingan ketiga Piala FA, pusingan keempat Piala Liga.

Masuk: Joe Cole (Chelsea) percuma, Milan Jovanovic (Standard Liege) percuma, Danny Wilson (Rangers) 5 juta pound (RM 24.7 juta), Jonjo Shelvey (Charlton) 1.7 juta (RM8.4 juta).

Keluar: Yossi Benayoun (Chelsea) 5 juta pound (RM24.8 juta), Philipp Degen (VfB Stuttgart) pinjaman, Albert Riera (Olympiakos) 5 juta pound (RM24.8 juta).

Prospek: Musim buruk yang diharungi Liverpool mendorong kepada pemecatan jurulatih, Rafa Benitez untuk digantikan dengan Roy Hodgson. Bagaimanapun skuad Reds mampu menunjukkan prestasi yang baik musim ini dengan kombinasi pemain yang ada. Mereka cuma perlu mengekalkan konsistensi jika mahu menamatkan kemarau 20 tahun tanpa gelaran Liga Perdana.

Berjaya mengekalkan dua tonggak penting, Fernando Torres dan Steven Gerrard satu berita baik buat Liverpool, selain ditambah dengan kemasukan pemain berprofil tinggi, Joe Cole secara percuma dari Chelsea.

EVERTON

Pengurus: David Moyes

Musim lalu: Tangga ke-8 Liga Perdana, pusingan kedua Liga Europa , pusingan keempat Piala FA, pusingan keempat Piala Liga.

Masuk: Jan Mucha (Legia Warsaw) tidak didedahkan, Jermaine Beckford (Leeds United) percuma, Magaye Gueye (Strasbourg) 1 juta pound (RM4.9 juta).

Keluar: Dan Gosling (Newcastle United) percuma.

Prospek: Dengan bajet yang serba terhad, David Moyes berdepan cabaran hebat untuk membawa Everton muncul antara empat pasukan teratas pada musim baru. Namun, apa yang sedikit melegakan jurulatih itu adalah persetujuan pemain tengah, Mikel Arteta untuk melanjutkan kontraknya di Everton.

"Kami tidak membelanjakan wang seperti kebanyakan kelab Liga Perdana yang lain, kerana kami benar-benar tidak mempunyai wang. Saya rasa secara keseluruhannya dalam tempoh lapan tahun ini, kami cuma membelanjakan 5 juta pound,'' akui Moyes.

BIRMINGHAM CITY

Pengurus: Alex McLeish

Musim lalu: Tangga ke-9 Liga Perdana, suku akhir Piala FA, pusingan ketiga Piala Liga.

Masuk: Nikola Zigic (Valencia) 6 juta pound (RM29.7 juta), Ben Foster (Man. United) 4 juta pound (RM19.2 juta), Enric Valles (NAC Breda) percuma.

Keluar: Lee Carsley (Coventry) percuma, Gary McSheffrey (Coventry) percuma, Artur Krysiak (Exeter) percuma, Franck Queudrue (dilepaskan).

Prospek: Dengan disokong pemilik baru, hartawan Hong Kong, Carson Yeung, Birmingham berjaya menempatkan diri di kelompok pasukan teratas buat kali pertama dalam tempoh 51 tahun.

Skuad bimbingan Alex McLeish itu sebelum ini sering berdepan kesukaran untuk bersaing dengan kelab utama sejak naik dari Liga Kejuaraan, namun menamatkan kempen di tangga kesembilan musim lalu merupakan pencapaian yang baik, berterima kasih kepada prestasi menakjubkan penjaga gol, Joe Hart.

Musim ini, Hart akan kembali ke pangkuan kelab asalnya, Manchester City. Namun ia bukan masalah besar buat McLeish kerana dia berjaya membawa masuk penjaga gol harapan Manchester United, Ben Foster, selain turut mendapat sentuhan penyerang Serbia, Nikola Zigic.

BLACKBURN ROVERS

Pengurus: Sam Allardyce

Musim lalu: Tangga ke-10 Liga Perdana, pusingan ketiga Piala FA, separuh akhir Piala Liga.

Masuk: Mame Biram Diouf (Man. United) pinjaman.

Keluar: Steven Reid (West Brom) percuma, Andy Haworth (Bury) percuma, Marcus Marshall (Rotherham) percuma.

Prospek: Sukar untuk ditewaskan, Blackburn seringkali dilabel sebagai pasukan liat buat kelab-kelab utama Liga Perdana. Cita-cita Sam Allardyce tidak terlalu besar, cukup jika berjaya mengekalkan pasukannya dalam liga utama England itu.

Kegigihan pemain-pemainnya, selain sikap tidak gentar mereka sering mengundang masalah kepada pasukan besar, namun apabila berdepan lawan setaraf, Blackburn mudah melepaskan mata.

"Kita tengok kalau kami boleh menjangkaui ramalan orang ramai, kemudian barulah boleh saya memikirkan tentang membimbing skuad kebangsaan,'' kata Allardyce, yang memberikan tempoh dua tahun kepada dirinya untuk membimbing skuad liga sebelum mengalih tumpuan kepada pengurusan skuad antarabangsa.

0 Pintarnya lelaki yang bernama Ariel. Tentu selepas ini bisnesnya tidak jalan

Cut kecewa Ariel nafi


2010/08/13
JAKARTA: Ariel Peterpan dilaporkan tidak mengaku mengadakan hubungan seks dengan Cut Tari seperti terpapar dalam rakaman video yang tersebar meluas baru-baru ini.

Menurut sumber, vokalis Peterpan itu menafikan lelaki dalam rakaman itu adalah dirinya.

Laman sesawang kompas.com melaporkan, penafian itu dibuat Ariel ketika bersemuka dengan Cut Tari di Ibu Pejabat Polis Indonesia, kelmarin.


Berdepan dengan kenyataan itu, Cut Tari - sebelum ini mengaku dia mengadakan hubungan seks dengan Ariel - kelihatan tenang.


Katanya, dia memang menjangkakan penafian Ariel itu sejak lama dulu.


“Tidak, saya tidak terkejut langsung kerana memang sebelum ini pun dia tidak membuat pengakuan di media massa.


“Justeru, saya serahkan isu ini kepada pihak yang berkenaan,” katanya.


Ketika disiasat, kata Cut Tari, dia hanya memperkatakan apa yang sepatutnya secara jujur.


Katanya, jika Ariel mendakwa tidak mempunyai sebarang perasaan terhadap dirinya, itu bukan masalah.


“Itu adalah urusan Ariel, tapi di pihak saya, semuanya sudah dijelaskan kepada polis,” katanya.


Cut Tari juga merujuk kesnya itu kepada Persatuan Peguam Indonesia, semalam.



Walaupun begitu, Cut Tari mengaku dia agak sedih apabila diperlakukan begitu.


Mengaku tidak mampu menggambarkan perasaan itu, dia juga melihat penafian Ariel itu sebagai sesuatu yang luar biasa.


“Ia memang aneh, terutama apabila dia terus menafikan pembabitannya dalam klip berkenaan.


“Dia juga menafikan mengenali dan mempunyai perasaan terhadap saya,” katanya. - Agensi

0 Pulau kecil menyebabkan penduduknya enggan menambah populasi Singapura

myMetro
Global

Singapura lancar kempen galak bujang berpacaran


2010/08/13
SINGAPURA: Singapura melancarkan satu lagi kempen untuk menggalakkan orang bujang di negara itu supaya mencari pasangan hidup.

Berdepan dengan masalah kadar perkahwinan dan kelahiran rendah ketika ini, Kementerian Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan Singapura mengeluarkan tender bagi mana-mana pihak berminat mengemukakan cadangan untuk menggalakkan penduduk negara itu yang bujang mencari pasangan.

“Tender ini bertujuan bekerjasama dengan agensi komunikasi bagi merangka konsep, pelan dan pelaksanaan kempen menggalakkan aktiviti berpacaran,” kata kenyataan itu tanpa memberi sebarang perincian.


Akhbar Straits Times pula melaporkan, kerajaan akan memilih agensi yang mampu mengemukakan ‘konsep berpacaran unik’.


Sasaran kempen itu pula adalah kalangan orang bujang berusia di antara 20 hingga 35 tahun. Kempen itu dirancang sebagai inisiatif terbaru kerajaan untuk menjadi penemu jodoh bagi rakyat Singapura yang belum ada pasangan.


Ia juga dilaksanakan ketika kadar kelahiran dan perkahwinan di pulau itu terus merosot.


Daripada lima juta penduduk Singapura, lebih sejuta adalah warga asing.


Sempena sambutan Tahun Baru Cina Februari lalu, Perdana Menteri, Lee Hsien Loong, menggesa rakyat Singapura mengetepikan kepercayaan tahyul yang berkaitan dengan kalendar Cina dan berusaha mendapatkan lebih ramai anak.


Lazimnya masyarakat Tionghua enggan mendapatkan zuriat pada Tahun Harimau yang kali ini disambut Februari lalu. - AFP