
Memori suram 13 Mei
Wartawan Malaysiakini | May 13, 10 7:26pm
Ianya bermula apabila keputusan pilihan raya pada 10 Mei 1969 diumumkan pada hari berikutnya.
Buat pertama kalinya sejak kemerderkaan, Perikatan hilang penguasaan majoriti dua pertiga di Parlimen dan tumbang di Kelantan dan Pulau Pinang.
Dewan undangan negeri Selangor dan Perak pula digantung kerana tiada parti yang mencapai kemenangan majoriti.
Bagaimanapun, di Selangor, Perikatan kemudiannya dapat menguasai negeri itu selepas mendapat sokongan calon Bebas tunggal.
Untuk merayakan kemenangan itu, pembangkang telah mengadakan perarakan kemenangan pada 12 Mei dengan kebenaran pihak polis.
Penyokong India dan Cina parti Gerakan yang merupakan parti pembangkang ketika itu, turut menyertai perarakan tersebut yang diketuai oleh ikon Gerakan Dr Tan Chee Khoon dari klinik dan pejabat politiknya, Tan Dispensary, yang terletak di Jalan Batu (sekarang dikenali sebagai Jalan Tunku Abdul Rahman). 
Dalam memoirnya 'May 13 Before and After' Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman berkata perarakan untuk 1,000 anggota parti itu telah bertukar menjadi perarakan samseng.
Beliau menulis bahawa kegilaan ekoran kemenangan itu mencapai kemuncaknya dan orang ramai tidak dapat dikawal lagi.
Menurut Tunku lagi pihak komunis mengambil kesempatan dengan membakar emosi mereka.
Perarakan itu kemudian berubah haluan menuju ke Jalan Campbell (sekarang Jalan Dang Wangi) dan Jalan Hale (sekarang Jalan Raja Abdullah) menuju ke kampung majoriti orang Melayu - Kampung Melayu - dan melalui kediaman Menteri Besar ketika itu, Datuk Harun Idris.
Menurut seorang saksi yang berusia 18 tahun ketika itu, mereka berarak sambil membawa penyapu, cuba mengatakan bahawa bangsa Melayu akan disapu. Katanya, mereka membawa penyapu untuk menyapu Datuk Harun dari rumahnya itu.
Dalam keghairan untuk menunjukkan siapakah yang berkuasa, mereka melaungkan kata-kata menghina orang Melayu di kawasan itu sambil memperlihatkan pelakuan yang kurang ajar. Pada saat itulah ia membangkitkan kemarahan orang Melayu, katanya.
Demonstrasi itu kemudiannya reda, tetapi ia tidak berakhir di situ apabila orang Melayu pula merancang untuk mengadakan perhimpunan pada hari berikutnya.
Rumah menteri besar yang kini merupakan tapak pembinaan kondominium, dijadikan pusat operasi untuk menganjurkan perhimpunan tersebut.
Menurut para saksi, orang Melayu dari beberapa kubu kuat di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, telah berhimpun di rumah Datuk Harun dengan bersenjata seperti batang kayu dan parang.
Berita dilaporkan bahawa orang Cina telah menyerang dua orang Melayu di Setapak. Dan pertumpahan darah bermula kira-kira jam 6 petang.
Friday, May 14, 2010
0 Peristiwa hitam 13 Mei dalam kenangan. Apakah ia salah faham atau kesalahan pemimpin atau kesalahan pelampau?
0 Bagaimana Perang Dunia boleh terjadi? Kumpulan pelampau adalah salah satu penyebabnya. Hargailah keamanan. Jadikan dunia ini selamat untuk diduduki
Kumpulan pelampau mampu cetus WW III
Syed Hamid Albar menerima cenderamata daripada Mustafa Latif selepas menyampaikan ucaptama di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. - bernama
KUALA LUMPUR 13 Mei - Kewujudan kumpulan pelampau seperti al-Qaeda, pro-Nazi dan pelampau perkauman yang berselindung di sebalik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh mencetuskan Perang Dunia Ketiga (WW III) pada masa depan.
Bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar memberitahu, WW III tidak mustahil berlaku kerana pelakunya adalah kumpulan pelampau yang melancarkan peperangan dan mereka tidak terikat dengan sempadan serta mampu membawa kehancuran di mana-mana sahaja.
''Kumpulan ini mengguna pakai teknologi canggih dalam menyampaikan mesej kebencian serta konflik tetapi senjata yang diguna mungkin tidak secanggih yang dimiliki oleh angkatan tentera namun kemusnahan yang akan berlaku amat menakutkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ucap utama pada Persidangan Antarabangsa mengenai Perang Dunia Kedua (WW II) dan Bangkitnya Multilateral anjuran World Futures International Sdn. Bhd. (Worldfuture) di sini hari ini.
Turut hadir, penganjur Persidangan Antarabangsa Perang Dunia II dan Kebangkitan Multileteralism, Mustafa Latif.
Persidangan sehari itu membabitkan pembentangan 13 kertas kerja pejuang-pejuang antipeperangan dari Amerika Syarikat (AS), Belanda, Turki, Filipina, Indonesia dan Malaysia serta dihadiri kira-kira 200 orang peserta yang menentang peperangan.
Antara pembentang kertas kerja ialah Profesor Dr. Hasan Yahya dari AS; Profesor Albert Jansen dari Belanda dan bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Mohammad Hashim Ali.
Syed Hamid memberitahu, keadaan itu telah berlaku ketika ini antara AS dengan kumpulan al-Qaeda apabila mereka memburu kumpulan tersebut hingga ke Pakistan serta Afghanistan dan negara-negara di Asia Barat.
''Ini boleh menjadi satu permulaan kepada berlakunya peperangan yang lebih besar di kalangan kuasa besar dengan kumpulan-kumpulan itu," katanya.
Syed Hamid menegaskan, peperangan antara negara juga dijangka berlaku seperti peperangan di negara-negara Balkan yang membabitkan etnik berlainan di dalam sebuah negara yang sama atau negara jiran.
Tegasnya, seluruh dunia tidak menyangka apabila berlaku peperangan di negara-negara Balkan yang menyaksikan pembunuhan ramai penduduk Islam.
''Langkah utama untuk mengelakkan peperangan di dunia ialah dengan mewujudkan lebih banyak kumpulan serantau seperti ASEAN dan pelbagai lagi kerana ia akan mewujudkan kerjasama serta dapat menyelesaikan masalah melalui hubungan baik antara kedua-dua negara.
''Saya percaya kumpulan serantau ini merupakan forum terbaik untuk menyelesaikan segala masalah yang wujud antara negara-negara berjiran," tegasnya.
Beliau memberitahu, dunia juga kini mempunyai mekanisme yang sesuai untuk menghalang peperangan daripada berlaku iaitu menggunakan media sama ada media perdana atau alternatif.
Katanya, mekanisme itu perlu digunakan untuk mendidik penduduk dunia mengenai budaya keamanan, persefahaman dan tolak ansur serta budaya sesebuah masyarakat.
Mengenai WW II, Syed Hamid menegaskan, dunia tidak pernah belajar daripada kemusnahan dan penderitaan akibat perang tersebut yang telah membunuh kira-kira 60 juta orang termasuk 40 juta orang awam.
Katanya, peperangan tidak boleh digunakan sebagai alat untuk menyelesaikan sebarang perbezaan dan konflik serta tidak akan muncul pemenang ataupun mangsa kerana ia tetap merugikan kedua-dua pihak.
''Hari ini kita masih menyaksikan pencerobohan kedaulatan, pelanggaran hak asasi manusia," katanya.
Tambah beliau, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang ditubuhkan sebagai alat untuk menghalang berlakunya peperangan, tidak mencapai maksud penubuhannya kerana ia gagal menghalang dan bertindak menangani konflik ketenteraan di dalam sesebuah negara dan sesama negara.
0 Sime Darby rugi RM1.63b? Banyaknya duit Sime Darby yer? Mari ambil pengajaran
Tindakan Sime Darby selaras prinsip urus tadbir
PUTRAJAYA 13 Mei - Langkah Lembaga Pengarah Sime Darby Bhd. (Sime Darby) mengarahkan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid bercuti ekoran kerugian besar yang dialami konglomerat itu adalah selaras dengan prinsip urus tadbir yang baik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, semua syarikat milik kerajaan (GLC) bertanggungjawab atas prestasi masing-masing dengan kerajaan sendiri telah menggariskan prinsip urus niaga tertentu.
''Peranan lembaga pengarah dan pengurusan amat jelas dan apa jua tindakan yang dibuat oleh Sime Darby ini mencerminkan bahawa mereka perlu membuat keputusan yang tegas, muktamad serta telus.
''Kita tidak ada hasrat untuk menutup kerugian serta kelemahan yang berlaku. Ini bertentangan dengan prinsip urus niaga yang baik," katanya.
Perdana Menteri menyatakan demikian kepada pemberita selepas mengumumkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bagi suku pertama 2010 yang mencatat 10.1 peratus di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Sime Darby mengarahkan Ahmad Zubir yang kontraknya dijangka berakhir 26 November ini, untuk bercuti setelah konglomerat itu mencatatkan kerugian lebih RM1.63 bilion ekoran lebih kos dalam beberapa projek di bawah Bahagian Tenaga dan Utilitinya.
Serentak itu, mesyuarat Lembaga Pengarah Sime Darby yang bermesyuarat hampir 12 jam semalam memutuskan untuk melantik Datuk Azhar Abdul Hamid sebagai pemangku Presiden dan Ketua Eksekutif syarikat itu.
Disebabkan perkembangan itu, Pengerusi Sime Darby, Tun Musa Hitam hari ini berkata, Sime Darby dijangka merekodkan kerugian RM964 juta bagi prestasi kewangan separuh kedua 2010 untuk projek hidroelektrik Bakun (RM450 juta), MOQ (RM159 juta) dan pembinaan kapal bagi projek MOQ (RM155 juta).
Sebelum ini, Sime Darby dilaporkan telah mewujudkan Jawatankuasa Petugas Khas untuk menyiasat Bahagian Tenaga dan Utilitinya.
Kerugian membabitkan projek Bulhanine dan Maydan Mahzam dengan Qatar Petroleum (QP), Projek Maersk Oil Qatar (MOQ), pembinaan kapal bagi kegunaan projek MOQ dan projek empangan hidroelektrik di Bakun.
Projek QP yang dianugerahkan pada April 2006 yang sepatutnya siap pada Ogos 2008 telah tertangguh dan lebihan kos sehingga mengakibatkan kerugian RM500 juta.
Bagi projek MOQ yang diperoleh pada Januari 2007 dan sepatutnya siap pada Oktober tahun lalu juga mengalami lebihan kos dan mencatatkan kerugian sebanyak RM525 juta bagi tahun kewangan 2010.
Projek marin pembinaan dua bot tunda dan kapal untuk kegunaan projek MOQ juga masih gagal disiapkan dan projek itu dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM155 juta.
Dari lebihan kos bagi MOQ sebanyak RM525 juta pada tahun kewangan 2010, RM367 juta telah dikenal pasti pada separuh pertama.
Projek Bakun pula yang dijadualkan siap pada September 2007 tetapi terpaksa dilanjutkan juga, dianggarkan memerlukan kos tambahan sebanyak RM450 juta.
Thursday, May 13, 2010
0 Kemelesetan ekonomi, percaturan politik parti pemerintah, pengurangan bajet jabatan kerajaan dan janji pilihan raya. Rakyat mahu laporan
BN habis belanjakan wang rakyat
Gundam Seed | Apr 24, 10 8:56am
Assalamualakum dan salam sejahtera.
Saya adalah seorang rakyat biasa yang menjadi pemerhati gelagat politik di tanah air khususnya pada pilihan raya yang akan berlansung di Hulu Selangor.
Sebagai seorang penjawat awam yang menjaga aset kerajaan, saya serba sedikit tahu yang kerajaan tidak mempunyai dana yang banyak untuk mentadbir negara.
Ia bermula pada awal tahun ini apabila kerajaan mengumumkan peruntukan untuk setiap kementerian akan dipotong sebanyak 20-50 peratus.
Tergerak di hati saya untuk menyatakan rasa kecewa apabila kerajaan Barisan Nasional mengumumkan dan menjanjikan pelbagai peruntukan yang akan diberikan untuk rakyat di Hulu Selangor yang mungkin dah mencecah bilion ringgit. Walhal negeri-negeri lain dan juga kawasan-kawasan lain juga memerlukan peruntukan secara adil dan saksama.
Oleh itu, saya mohon pihak Malaysiakini menyenaraikan berapa banyak jumlah peruntukan yang telah pihak kerajaan BN bazirkan semata-mata untuk menang pada pilihanraya ini dan sebarkan agar rakyat tahu bagaimana duit mereka dibazirkan dan hak mereka diketepikan.
0 Peristiwa 13 Mei, tentu ramai kita tidak mengetahuinya dan tidak pernah ingin tahu? Malaysia Kini ada butirannya. Terima Kasih atas artikel ini
Selamat tinggal memori gelap 13 Mei
Wartawan Malaysiakini | May 12, 10 8:14pm
Lebih empat dekad peristiwa berdarah 13 Mei 1969 berlalu. Sejak sekian lama, rakyat Malaysia dihantui oleh memori ngeri tragedi hitam tersebut.
Esok genap 41 tahun berlakunya keganasan dan rusuhan kaum di di ibu negara Kuala Lumpur. Dan, mereka yang ditemui Malaysiakini, sepakat bahawa sudah tiba masanya untuk mereka melangkah meninggalkan memori hitam itu.
Ahli-ahli politik dari semasa ke semasa menggunakan taktik menakut-nakutkan rakyat dengan menyatakan bahawa ancaman rusuhan kaum boleh berulang dan seterusnya menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara.
Dari sudut lain pula, ia juga membawa kepada langkah memperkukuhkan lagi undang-undang seperti Akta Hasutan, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Peristiwa itu juga melahirkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1971 - yang dianggap sebagai jalan penyelesaian kepada masalah ketegangan kaum akibat pengagihan kekayaan negara yang tidak saksama, khususnya antara Melayu dan Cina.
Seorang saksi kejadian yang menyaksikan peristiwa berdarah itu ketika berumur 18 tahun memberitahu Malaysiakini, bahawa keadaan sudah berubah dan hubungan antara semua kaum juga kini semakin baik.
"Pembangkang pun sudah bergabung dan hubungan kaum telah menjadi lebih erat," kata seorang peniaga di Kampung Baru yang berusia 59 tahun.
Dengan mengambil contoh Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat, peniaga itu berkata, mursyidul am PAS dan tokok agama itu, kini boleh "makan-makan" dengan orang Cina daripada DAP.
Katanya, contoh yang ditunjukkan oleh menteri besar Kelantan itu memberi kesan kepada masyarakat, di samping menunjukkan bahawa sikap perkauman sudah berlalu.
Satu lagi faktor mengapa tragedi 13 Mei tidak akan berulang lagi ialah kerana kini kebanyakan generasi muda tidak mengetahui mengenai peristiwa tersebut, tambahnya.
"Jika tahu pun mereka tidak berasa apa-apa kerana kurangnya semangat patriotik dan nasionalisme dalam diri mereka. Mereka hanya cuma mahu bekerja, mencari duit dan kemewahan kerana mereka tidak berada semasa kejadian itu dan tidak merasainya.
Sementara itu, seorang pekerja kedai alat ganti yang hanya mahu dikenali sebagai Teoh berkata, beliau masih ingat peristiwa 40 tahun lalu yang berlaku di sekitar Kuala Lumpur.
Teoh, 67, berkata masih segar dalam ingatannya kereta yang lalu-lalang mundar-mandir ketika ketegangan kes tersebut.
"Ia sudah jadi sejarah. Semua ini sudah berubah sekarang," katanya.
Manakala seorang pelajar sekolah 17 tahun yang belum lahir ketika insiden tersebut berlaku, pula dilihat kesal dengan kejadian yang tidak sepatutnya berlaku itu.
Menurut Mohd Hafizin, perbalahan kaum pada masa ini walaupun masih ada, ia tidak menonjol.
Namun begitu, tambahnya, jika dilihat pada kesan peristiwa 13 Mei, isu tersebut tidak relevan lagi dibangkitkan semupa pada pada zaman kini.
"Peristiwa ini tidak akan berlaku lagi kerana walaupun orang ramai tidak gembira (dengan sesuatu dasar), mereka tidak akan bertindak ganas lagi," katanya.
Artikel yang berkaitan:
Perhimpunan 'Melayu Bangkit' ditangguh
Regina Lee | May 12, 10 4:04pm
Perhimpunan 'Melayu Bangkit' bersama Tun Dr Mahathir Mohamad yang dijadual berlangsung di di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu esok sempena ulang tahun peristiwa berdarah 13 Mei 1969, telah ditangguhkan.
Pengerusi Gerakan Kebangkitan Rakyat (GERTAK), Razali Idris berkata penganjur bersamanya, Institut Integriti Terengganu telah meminta supaya perhimpunan itu ditangguhkan selepas nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Ramai yang belum faham objektif sebenar kami. Kami tidak mahu isu ini dipolitikkan oleh mereka yang tidak tahu," katanya ketika dihubungi.
Perhimpunan itu diadakan dalam usaha untuk "memotivasikan" masyarakat Melayu serta bagi memperingati ulangtahun ke-41 peristiwa berdarah 13 Mei.
Mengikut perancangan awalnya, kira-kira 10,000 akan berhimpun di stadium tertutup Gong Badak di Kuala Terengganu esok.
Berita Harian Online memetik pengarah Jabatan Integriti Terengganu, Arpin Draman, berkata program bersama bekas perdana menteri itu terpaksa ditangguhkan berikutan bantahan beberapa pihak yang tidak mahu ia diadakan pada 13 Mei.
"Kita sepatutnya mengadakan raptai jam 3 petang ini tetapi terpaksa membatalkan semuanya," katanya.
Dr M lapang pada 13 Mei
Sebenarnya, inisiatif Jabatan Integriti mengadakan program ini dengan kerjasama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) timbul selepas melihat ramai golongan muda Melayu terbabit dengan kes jenayah dan salah laku sosial serta moral.
“Program bertujuan membangkitkan kesedaran di kalangan generasi muda Melayu mengenai peranan mereka dalam menentukan hala tuju negara pada masa depan ditangguhkan selepas kita menerima nasihat Perdana Menteri yang disampaikan wakil Menteri Besar, Datuk Ahmad Said kira-kira jam 2 petang,” katanya pada sidang media petang ini.
Sebelum ini, MCA dan PAS membantah pemilihan tarikh 13 Mei iaitu ulang tahun peristiwa berdarah sebagai hari perhimpunan Program Melayu Bangkit dan menyifatkan tindakan itu boleh menjejaskan hubungan perpaduan antara kaum di negara ini.
Mengulas lanjut, Arpin berkata, tarikh 13 Mei yang dipilih pihaknya tidak langsung berkaitan dengan peristiwa berdarah seperti didakwa beberapa pihak, sebaliknya ia diputuskan selepas Dr Mahathir tidak mempunyai kelapangan pada tarikh awal yang dijadualkan iaitu 11 Mei.
"Tarikh 13 Mei tidak ada makna apa-apa bagi penganjuran program ini. Tarikh asal dicadangkan ialah 11 Mei, tetapi Dr Mahathir tidak lapang pada hari itu, begitu juga dengan Menteri Besar menyebabkan kita ubah kepada 13 Mei.
Bagaimanapun, saya harap isu ini tidak diperbesarkan kerana pihak yang membuat provokasi tidak tahu pengisian sebenar program ini," katanya.
0 32, 000 kes kanser baru? Bukan murah kos rawatan kanser, belum masuk kos sampingan. Itulah sebabbya ramai mengalah sebelum berjuang. Apa ikhtiar kita?
32,000 pesakit baru kanser dijangka tahun ini, kata Liow
12th May, 2010
KANGAR: Sebanyak 32,000 kes baru kanser dijangka dikesan tahun ini dan ia merupakan antara 10 punca utama penduduk negara ini dimasukkan ke hospital kerajaan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata walaupun kanser bukan penyakit berjangkit, namun jumlahnya terus bertambah.
Berucap pada program Perlis Sihat Sejahtera bertemakan “Kenali Kanser” di sini hari ini, beliau berkata lima jenis kanser paling utama bagi lelaki di negara ini ialah kanser usus besar, paru-paru, nasofrinks, prostat dan hati manakala bagi pesakit wanita ia membabitkan kanser payu dara, usus besar, serviks, ovari dan tiroid.
Bagi pesakit kanak-kanak, kanser yang sering menyerang ialah leukemia, kanser otak dan tulang.
Liow berkata diagnosis awal kanser penting kerana ia mempengaruhi keberkesanan rawatan.
“Jika dikesan awal, peluang untuk pesakit kanser pulih adalah lebih tinggi,” katanya.
Liow berkata Kementerian Kesihatan akan meneruskan promosi kesedaran dan pendidikan supaya masyarakat dapat mengambil langkah pencegahannya melalui amalan gaya hidup sihat.
Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Abdul Rashid ketika merasmikan program itu, berharap rakyat dapat menjaga kesihatan diri dan keluarga masing-masing kerana kos merawat adalah tinggi berbanding kos menjaga kesihatan.
0 Ibu muda di PLKN. Ambil pengajaran ini wahai warga Keningau
PELATIH PLKN OVAI LAHIRKAN ANAK DI TANDAS 
DUA orang jururawat memberi rawatan kepada bayi Kem Ovai di Hospital Daerah Papar.
12th May, 2010
PAPAR: Seorang pelatih wanita Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mela- hirkan bayi di Kem PLKN Ovai, Papar, awal pagi kelmarin.
Pelatih berusia 18 tahun dan berasal dari Keningau itu telah melahirkan bayi lelaki seberat 2.63kg di dalam tandas kem itu kira-kira jam 2.30 pagi.
Lima orang rakannya yang masuk ke tandas terkejut apabila melihat bayi itu di atas lantai tandas berlumuran darah bersama ibunya.
Rakan-rakan pelatih itu kemudian memberi pertolongan kepada ibu dan bayi itu yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Papar dan dalam keadaan baik.
Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) telah pergi ke Kem Ovai untuk menjalankan siasatan setelah dimaklumkan tentang kejadian pada jam 5 pagi.
Pelatih itu merupakan salah seorang pelatih PLKN Kumpulan 2, Siri 7, 2010, yang dihantar menjalani latihan di kem itu bermula 27 Mac tahun ini dan akan menamatkan latihan pada 12 Jun.
Siasatan mendapati pelatih berkenaan telah mengadakan hubungan seks dengan teman lelakinya sebelum menyertai program di kem itu.
Ketua Polis Daerah (KPD) DSP Nik Zaidi Nik Zakaria yang mengesahkan kejadian ketika dihubungi oleh New Sabah Times kelmarin, berkata, pelatih itu memberitahu polis dia mengadakan hubungan seks dengan teman lelakinya juga berasal dari Keningau atas kerelaannya sendiri.
Nik Zaidi berkata polis akan menghu- bungi teman lelaki pelatih itu untuk hadir ke IPD Papar bagi tujuan membantu siasatan.
Berikutan kejadian itu, Nik Zaidi mencadangkan agensi yang terlibat dengan pengambilan pelatih PLKN supaya menjalankan ujian air kencing ke atas semua calon wanita yang dipanggil untuk menyertai PLKN dan memastikan mereka (pelatih wanita) tidak hamil.
Beliau berkata ujian sedemikian perlu bagi menghalang kejadian yang tidak diingini berlaku.
“Semua pelatih akan menjalani pelbagai latihan termasuk beberapa latihan lasak dan latihan menembak, kemungkinan pelatih yang tidak diketahui hamil semasa mengikuti latihan ini akan mengalami kecederaan serius dan memudaratkan nyawa bayi dalam kandungannya,” kata Nik Zaidi.
Menjawab soalan, Nik Zaidi berkata setakat ini polis belum ada cadangan mengambil tindakan ke atas pelatih tersebut memandangkan dia (pelatih) tidak ada niat mahu mencederakan atau membuang bayinya.
