PELATIH PLKN OVAI LAHIRKAN ANAK DI TANDAS 
DUA orang jururawat memberi rawatan kepada bayi Kem Ovai di Hospital Daerah Papar.
12th May, 2010
PAPAR: Seorang pelatih wanita Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mela- hirkan bayi di Kem PLKN Ovai, Papar, awal pagi kelmarin.
Pelatih berusia 18 tahun dan berasal dari Keningau itu telah melahirkan bayi lelaki seberat 2.63kg di dalam tandas kem itu kira-kira jam 2.30 pagi.
Lima orang rakannya yang masuk ke tandas terkejut apabila melihat bayi itu di atas lantai tandas berlumuran darah bersama ibunya.
Rakan-rakan pelatih itu kemudian memberi pertolongan kepada ibu dan bayi itu yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Papar dan dalam keadaan baik.
Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) telah pergi ke Kem Ovai untuk menjalankan siasatan setelah dimaklumkan tentang kejadian pada jam 5 pagi.
Pelatih itu merupakan salah seorang pelatih PLKN Kumpulan 2, Siri 7, 2010, yang dihantar menjalani latihan di kem itu bermula 27 Mac tahun ini dan akan menamatkan latihan pada 12 Jun.
Siasatan mendapati pelatih berkenaan telah mengadakan hubungan seks dengan teman lelakinya sebelum menyertai program di kem itu.
Ketua Polis Daerah (KPD) DSP Nik Zaidi Nik Zakaria yang mengesahkan kejadian ketika dihubungi oleh New Sabah Times kelmarin, berkata, pelatih itu memberitahu polis dia mengadakan hubungan seks dengan teman lelakinya juga berasal dari Keningau atas kerelaannya sendiri.
Nik Zaidi berkata polis akan menghu- bungi teman lelaki pelatih itu untuk hadir ke IPD Papar bagi tujuan membantu siasatan.
Berikutan kejadian itu, Nik Zaidi mencadangkan agensi yang terlibat dengan pengambilan pelatih PLKN supaya menjalankan ujian air kencing ke atas semua calon wanita yang dipanggil untuk menyertai PLKN dan memastikan mereka (pelatih wanita) tidak hamil.
Beliau berkata ujian sedemikian perlu bagi menghalang kejadian yang tidak diingini berlaku.
“Semua pelatih akan menjalani pelbagai latihan termasuk beberapa latihan lasak dan latihan menembak, kemungkinan pelatih yang tidak diketahui hamil semasa mengikuti latihan ini akan mengalami kecederaan serius dan memudaratkan nyawa bayi dalam kandungannya,” kata Nik Zaidi.
Menjawab soalan, Nik Zaidi berkata setakat ini polis belum ada cadangan mengambil tindakan ke atas pelatih tersebut memandangkan dia (pelatih) tidak ada niat mahu mencederakan atau membuang bayinya.
Thursday, May 13, 2010
0 Ibu muda di PLKN. Ambil pengajaran ini wahai warga Keningau
Monday, May 10, 2010
0 Gaji, kerja dan hutang. Kehidupan makin mencabar. Sesuatu perlu dilakukan untuk menanganinya
Lelaki muda boros
KUALA LUMPUR 9 Mei – Wanita sering dikaitkan dengan hobi ‘membuang duit’ iaitu membeli-belah, namun hakikatnya lelaki muda merupakan golongan yang paling ramai dibelenggu hutang kerana kegagalan menguruskan kewangan.
Golongan itu mula mengumpul hutang sejak awal bekerja dan apabila berumah tangga, hutang semakin menimbun sehingga gagal dibayar menyebabkan mereka terpaksa mendapatkan khidmat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk keluar daripada masalah itu.
Menurut statistik yang dikeluarkan AKPK, dari 2007 hingga Februari 2010, seramai 25,107 atau 69 peratus daripada 36,547 pelanggan perkhidmatan pengurusan kredit di agensi itu adalah lelaki.
Lelaki berusia 30 hingga 40 tahun merupakan golongan yang paling tinggi iaitu 44.6 peratus atau 16,286 orang mendapatkan khidmat itu bagi melangsaikan hutang masing-masing diikuti 14,622 orang golongan berusia lebih 40 tahun (40 peratus) dan 5,639 orang golongan berusia antara 20 hingga 30 tahun (15.4 peratus).
Golongan yang berkahwin paling ramai mendapatkan khidmat itu iaitu 28,068 orang (76.8 peratus) diikuti bujang seramai 6,260 orang (17.1 peratus) dan bercerai seramai 1,508 orang (4.1 peratus) sementara kematian pasangan seramai 711 orang (dua peratus).
Menurut statistik itu, masing-masing 25 peratus punca golongan tersebut tidak mampu membayar balik pinjaman adalah disebabkan kegagalan merancang kewangan sejak mula bekerja dan perbelanjaan perubatan yang tinggi.
Penyumbang ketiga terbesar pula ialah penggunaan kad kredit di luar kawalan iaitu sebanyak 17 peratus diikuti gagal dalam perniagaan dan hilang pekerjaan iaitu masing-masing 12 peratus.
Faktor lain ialah kematian ketua keluarga (dua peratus) diikuti kegagalan dalam pelaburan (satu peratus) dan lain-lain (enam peratus).
0 Mungkir janji perjanjian kontrak. Hati-hati dengan semua komitmen anda, anda akan dituntut
Kes saman RM546 juta BN diselesaikan di luar mahkamah
10/05/2010 10:58am
KUALA LUMPUR 10 Mei - Kes saman yang difailkan oleh sebuah syarikat pembekal papan iklan, yang menuntut ganti rugi RM546 juta terhadap Barisan Nasional (BN) atas dakwaan parti itu telah menamatkan perjanjian secara salah, hari ini berjaya diselesaikan di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Penyelesaian itu direkodkan oleh Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin tanpa kebebasan memfailkan semula tindakan yang sama.
Peguam Datuk Hafarizam Harun yang mewakili BN memberikan bayangan bahawa jumlah penyelesaian tidak melebihi 0.01 peratus daripada jumlah tuntutan ganti rugi dan ia berbentuk ex-gratia.
Bagaimanapun, jumlah sebenar penyelesaian itu tidak dapat diberikan oleh beliau kerana menurutnya, pihak-pihak yang terbabit masih lagi berbincang.
Hafarizam turut melahirkan rasa lega kerana kes terhadap BN terutama yang melibatkan jumlah tuntutan yang begitu besar dapat diselesaikan tanpa penghakiman sebarang liabiliti oleh BN dan plaintif. - Utusan
Sunday, May 09, 2010
0 Orang tempatan memerlukan pekerjaan. Orang asing pun mahu kerja. Jika anda majikan, anda bagaimana?
Majikan perlu utamakan pekerja tempatan: Najib
Oleh Rohaniza Idris dan Mohd Azis Ngah
bminggu@bharian.com.my
2010/05/09
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak meminta semua majikan mementingkan pengambilan pekerja tempatan dan memberi keadilan serta upah yang wajar, bukannya mencari jalan mudah dengan membawa pekerja asing menguasai pasaran kerja di negara ini. Perdana Menteri berkata, majikan sepatutnya mencari jalan bagaimana mahu meningkatkan produktiviti pekerja tempatan. “Adalah tidak wajar pekerja tempatan diabaikan. Jangan salahkan kerajaan jika kita tidak meluluskan tambahan pengimportan pekerja asing. Kita nak lihat bagaimana pekerja tempatan boleh diberi keutamaan dalam pertimbangan majikan mengambil pekerja,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena sambutan Hari Pekerja 2010 anjuran Kementerian Sumber Manusia di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MIECC) di Mines Resort City, Seri Kembangan di sini, semalam.
Hadir sama Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam; Timbalannya, Datuk Maznah Mazlan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam.
Najib dalam amanatnya kepada 8,000 pekerja berkata, Malaysia antara negara yang terbaik dari segi rekod perhubungan perusahaan berbanding kebanyakan negara lain di dunia.
“Pencapaian itu kerana pekerja di negara ini tidak melihat semata-mata dari sudut kepentingan pekerja saja, tetapi mengambil kira dan sentiasa membuat pertimbangan bagaimana dan apa yang dikehendaki dan dituntut oleh mereka itu munasabah, wajar dan mampu disediakan pihak majikan mahupun kerajaan.
“Ia juga berlandaskan prinsip muafakat yang mana wujud pemuafakatan antara pekerja, majikan dan kerajaan. Hubungan tiga penjuru ini menjadi titik pertemuan untuk mencari penyelesaian kepada masalah yang timbul dengan semua pihak mengutamakan suasana kerja yang lebih positif dan kondusif,” katanya.
Najib berkata, dengan pendekatan pemuafakatan itu, negara akhirnya berjaya melepasi cengkaman krisis ekonomi global yang hebat sedangkan bukan semua negara berada pada landasan pemulihan kukuh seperti yang dilalui Malaysia.
Malah katanya, semalam (kelmarin) bursa saham seluruh dunia terganggu kerana krisis pinjaman yang terlalu tinggi di Greece, iaitu sebuah negara Kesatuan Eropah (EU) yang dikategorikan sebuah negara maju, tetapi mengalami krisis ekonomi dan tidak mampu ditangani mereka sehingga kini.
“Alhamdulillah, negara kita kini pulih daripada krisis berkenaan berkat rancangan dan dasar kerajaan yang tegas serta wujudnya permuafakatan antara pekerja dalam sektor awam dan swasta yang faham kedudukan kerajaan. Tahun lalu ada kita dengar mereka membuat pelbagai tuntutan, tetapi bila kerajaan kata tunggu tahun ini, kerana bukan tahunnya (buat tuntutan), mereka faham. Mereka kata tak apalah kita terima,” katanya.
Najib berkata, jika pemulihan ekonomi semakin rancak, beliau sebagai ketua kerajaan mengamalkan sikap bahawa pekerja patut mendapat upah, gaji dan imbuhan yang lebih tinggi.
0 Sorry PDRM silap sapu? Rupanya berperikemanusiaan juga mereka, tapi?

Penjenayah silap 'sapu'
Oleh Hardi Effendi Yaacob
hardi@bharian.com.my
2010/05/09
ANGGOTA polis memeriksa kenderaan rasmi Khalid yang ditemui semula di tepi jalan di Prima Damansara menghala Sungai Buloh, semalam.Kenderaan rasmi Khalid ‘dipulang’ selepas dua hari
PETALING JAYA: “Sorry PDRM... silap sapu,” demikian nota ringkas ditinggalkan penjenayah dalam kenderaan rasmi Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang ditemui semula pagi semalam selepas dilaporkan dicuri di Seksyen 9, Shah Alam dua hari lalu. Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, ketika dihubungi, berkata Proton Perdana V6 berwarna hitam itu ditemui kira-kira jam 8.45 pagi semalam di tepi jalan di Prima Damansara menghala ke Sungai Buloh. “Ia ditemui anggota peronda (MPV) dari Balai Polis Damansara ketika melakukan rondaan rutin di taman perumahan itu yang turut ditugaskan mengesan kereta berkenaan sejak dilaporkan hilang di Shah Alam, Khamis lalu.
“Difahamkan, kereta itu ditemui dalam keadaan baik tanpa sebarang kerosakan atau ada komponennya hilang. Malah, tiada pengubahsuaian dilakukan pada nombor pendaftarannya seperti yang biasa berlaku pada kereta curi,” katanya.
Bagaimanapun, agak melucukan apabila anggota peronda terbabit menemui sekeping nota ditinggalkan penjenayah yang memohon maaf kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana tersilap mencuri kereta rasmi pihak berkuasa berkenaan.
Katanya, kereta itu dihantar ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor untuk siasatan lanjut, termasuk ujian forensik bagi mengenalpasti jumlah sebenar suspek terbabit dalam kes berkenaan serta identiti mereka.
“Siasatan masih berjalan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor atau mana-mana bahagian komponen, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan antara satu hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Kereta Khalid dilaporkan hilang kira-kira jam 9 pagi, Khamis lalu ketika pemandunya yang dalam perjalanan menghantar dokumen dari IPK Selangor ke Ampang, berhenti bersarapan di sebuah restoran di Jalan Tengku Ampuan Zabedah, Shah Alam.
Dalam tempoh tidak sampai 24 jam, sebuah lagi kereta model sama milik peribadi Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohilan Pillay dilaporkan dicuri di hadapan rumah pembantunya di Taman Kepong, pagi kelmarin.
Difahamkan, kenderaan terbabit dilarikan bersama lambang dan pelekat `Ahli Dewan Negara – Parlimen Malaysia’ yang dikhuatiri disalahgunakan, termasuk dijual kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk tujuan tidak baik.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, ketika dihubungi memaklumkan kenderaan terbabit yang didaftarkan atas nama abang tokoh politik itu belum ditemui sehingga semalam.
“Semua pegawai dan anggota dikerah mengesan kenderaan itu, termasuk penjenayah yang melarikannya secepat mungkin melalui sekatan jalan raya di sekitar bandar raya,” katanya.
Saturday, May 08, 2010
0 Miskin tegar, Labuan bebas 100%, Sabah bagaimana? Miskin tegar di kampung-kampung dan miskin tegar di bandar-bandar
Labuan capai sasaran sifar peratus miskin tegar
6th May, 2010
LABUAN: Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Senator Dato’ Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, Labuan telahpun mencapai sasaran sifar peratus miskin tegar sepenuhnya.
Katanya, menurut laporan terkini Jawatankuasa Kemiskinan Labuan, kesemua 34 KIR miskin tegar yang direkodkan sejak tahun 2008 telah pun berjaya dikeluarkan daripada garis kemiskinan tegar sejak 15 April lalu.
“Kejayaan itu adalah hasil kerja keras jawatankuasa pelaksana Program Pemutihan Misin Tegar yang membabitkan pelbagai agensi kerajaan termasuk Jabatan Perangkaan Labuan dan Jawatankuasa Kemiskinan Labuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Bersama Penjawat Awam di Labuan yang diadakan di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan, pada Isnin.
Raja Nong Chik berkata, sejak tahun 2007 Labuan mencatatkan seramai 67 Keluarga Isi Rumah (KIR) miskin tegar dan jumlah itu berjaya dikecilkan kepada 34 KIR pada tahun 2008.
Bagaimanapun katanya, sehingga kini Labuan masih lagi mempunyai 229 KIR yang didaftarkan sebagai golongan miskin yang memerlukan perhatian untuk dibantu.
Justeru itu katanya, Jawatankuasa Kemiskinan Labuan bersama agensi yang terlibat perlu terus memainkan peranan untuk membantu golongan tersebut bagi memastikan golongan ini juga dapat dikeluarkan daripada golongan miskin.
Dalam perkembangan yang lain, Raja Nong Chik mahu kakitangan kerajaan termasuk Perbadanan Labuan selaku pihak berkuasa tempatan (PBT), lebih proaktif dalam memainkan peranan konsep 7P yang diperkenalkan oleh beliau sejak memeggang jawatan Menteri Wilayah.
Katanya, konsep 7P yang merangkumi Pembangunan, Perumahan, Penyengeraan, Penjaja, Penguatkuasaan, Pengangkutan dan Prihatin adalah selari dengan gagasan Perdana Menteri yang berlandaskan kepentingan dan kebajikan rakyat.
Hadir sama di majlis itu, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar yang juga Pengerusi Perbadanan Labuan, Dato’ Ahmad Phesal Talip dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan serta kira-kira 1,000 kakitangan penjawat awam daripada pelbagai agensi.
0 Pasangan remaja check in hotel untuk buat maksiat! Marilah bimbang
Jangan benarkan remaja berpasangan tempah bilik penginapan: John
7th May, 2010
KENINGAU: Mantan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah – Datuk John Angian merayu kepada pengusaha rumah penginapan di daerah ini supaya lebih bertanggungjawab, dengan tidak membenarkan sama sekali golongan remaja menginap dengan pasangan.
John berkata, banyak aduan yang diterima mendapati terdapat kes remaja bawah umur menempah bilik penginapan dengan pasangan, dan pengusaha rumah penginapan membenarkan tempahan bilik tersebut.
“Perbuatan ini tidak bertanggungjawab dan saya mahu ia dihentikan dengan serta-merta,” katanya.
John juga mahu supaya pengusaha rumah penginapan melaporkan kepada pihak berkuasa, jika terdapat remaja bawah umur yang didapati berbuat demikian.
Katanya, apa yang beliau cadangkan itu adalah untuk kebaikan semua pihak.
“Keberanian remaja masa kini melebihi batas dan pemantauan serius perlu dilakukan, dan ini adalah tanggungjawab bersama,” jelasnya.
Sepanjang dua tahun kebelakangan ini kes sumbang melibatkan anak-anak remaja didapati tidak terkawal.
Senario ini katanya menimbulkan tanda tanya kerana pada sebelum ini tidak pernah berlaku di daerah ini.
Kes bergaduh, mabuk dan mengunjungi pusat-pusat hiburan melibatkan golongan itu turut dilaporkan meningkat.
Mantan Timbalan Spekar itu menambah, ibu bapa zaman ini terpaksa bekerja keras untuk memastikan anak-anak mereka tidak terlibat dalam gejala sosial yang boleh meruntuhkan moral dan masa depan mereka.
Sungguhpun demikian katanya, ibu bapa tidak seharusnya dipersalahkan berhubung dengan keciciran moral di kalangan anak remaja hari ini, memandangkan banyak pengaruh berkesan yang terbit pada era globalisasi ini.
“Era digital telah meracuni dan menghancurkan masa depan remaja kita hari ini,” tegasnya.
John menarik perhatian kepada ibu bapa di daerah ini, supaya lebih tegas dan praktikal ketika mendidik anak-anak mereka.
