Jutawan India terkaya di Britain
LONDON 25 April - Nilai harta individu- individu terkaya di Britain dilaporkan meningkat sebanyak 30 peratus dalam tempoh setahun ketika kebanyakan negara masih bergelut untuk pulih daripada kegawatan ekonomi.
Senarai kekayaan individu terkaya di Britain yang disiarkan Sunday Times hari ini, menunjukkan hartawan keluli dari India, Lakshmi Mittal dan keluarganya kekal di tangga teratas dengan aset berjumlah AS$34.5 bilion (RM110 bilion), berbanding AS$16.6 bilion (RM53 bilion) yang diperolehnya pada tahun lalu.
Jutawan Rusia yang juga pemilik Kelab Bola Sepak Chelsea, Roman Abramovich, kekal di tangga kedua dengan kekayaan berjumlah AS$11.3 bilion (RM36 bilion), peningkatan sebanyak AS$615 juta (RM2 bilion) berbanding tahun sebelumnya.
Penyusun senarai itu bagi 2010, Philip Beresford berkata, peningkatan jumlah kekayaan individu-individu terkaya di Britain pada tahun ini merupakan peningkatan tertinggi sejak ia pertama kali disiarkan 21 tahun lalu.
Pemulihan pasaran saham global dan nilai harta berikutan kegawatan ekonomi dunia sebelum ini, membantu meningkatkan kekayaan individu-individu berkenaan.
Seramai 1,000 individu terkaya di Britain menambah kekayaan terkumpul mereka sehingga AS$118.4 bilion (RM377 bilion) pada tahun lalu, meningkatkan jumlah kekayaan keseluruhan sebanyak AS$515.9 bilion (RM1.6 trilion).
Sepuluh individu berkongsi kedudukan sebagai jutawan ke-53 terkaya di Britain.
Peningkatan pasaran komoditi menambah kekayaan usahawan perlombongan, Alisher Usmanov sebanyak 213 peratus kepada AS$7.2 bilion (RM22.9 bilion) dan Anil Agarwal sebanyak 583 peratus kepada AS$6.3 bilion (RM20.1 bilion).
Ketika menjelaskan sebab-sebab usahawan asing mengatasi jutawan Britain dalam senarai itu, Beresford berkata, rakyat Rusia menyukai United Kingdom (UK) kerana ia selamat, tahap rasuahnya rendah dan mereka mendapat layanan perkhidmatan yang memuaskan. -- AFP
Monday, April 26, 2010
0 Orang India Terkaya Di Negeri Orang. Betapa Hebatnya!
Sunday, April 25, 2010
0 111 Kali. Mendaki Tanpa Henti. Apa kuasa dalaman yang mendorongnya?
Mohd. Noor memang 'gila'
Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
lutfi.abdulrahim@kosmo.com.my
Keupayaan kardiovaskular Mohd. Noor dianggap pelik dan luar biasa semasa beliau menjayakan misi menakluk Gunung Kinabalu sebanyak 111 kali dalam masa 111 hari.
MISINYA selepas ini ialah mendaki Menara Kuala Lumpur sebanyak 111 kali dalam masa 168 jam.
KAKINYA hitam dan melecet, tumitnya pula pecah, manakala mukanya gelap dek menadah panas terik matahari yang adakalanya mencecah suhu 43 darjah Celsius.
Malah ada nada sinis daripada pendaki lain yang mengatakan beliau melakukan kerja gila namun semua itu tidak diambil pusing.
Beliau ialah Mohd. Noor Mat Amin, 43, pendaki solo yang melakar sejarah menjadi manusia pertama menakluk Gunung Kinabalu sebanyak 111 kali dalam tempoh 111 hari Selasa lalu.
“Jika orang kata saya gila memang saya gila. Tetapi gila saya adalah untuk mencapai matlamat yang baik dan menjadi ikutan kepada individu lain.
“Saya ingin membuktikan seseorang mampu mencapai impian jika diselarikan dengan usaha dan tawakal pada Allah,” ujar Mohd. Nor merendah diri.
Semasa beliau bertekad merealisasikan impian, ramai pendaki dari China, Thailand, Brunei, Jepun dan beberapa negara Eropah memandang rendah usaha beliau.
Tetapi semua itu tidak menghalang cita-cita Mohd. Noor.
Beliau memulakan misi menawan puncak Gunung Kinabalu, iaitu gunung tertinggi di Asia Tenggara (4,095 meter) sebanyak 111 kali bermula 31 Disember lalu. Jarak perjalanan dari kaki gunung ke puncak ialah 8.7 kilometer
Berbicara soal cabaran, bukan calang-calang yang beliau tempuhi. Namun, diberi kebenaran mendaki pada waktu malam oleh pihak Taman Kinabalu merupakan suatu keistimewaan yang jarang diperoleh pendaki lain.
“Hujan lebat telah saya redah, begitu juga kabus tebal dan angin kuat. Ia cukup getir bagi saya. Malah hujan lebat yang membentuk air terjun yang turun dari puncak gunung cukup menggentarkan.
“Mujurlah tiada istilah putus asa kerana misi 111 kali pendakian belum tercapai ketika itu,” ujar Mohd. Noor jujur.
MOHD. NOOR membuktikan keazaman yang kuat menjadi kunci kejayaan.
Selipar
Pernah melihat kelibat rusa, Mohd. Noor menceritakan pada pendakian ke-70 hingga 111 beliau terpaksa memakai selipar sahaja ekoran tumitnya yang merekah teruk dan melecet sehingga menyukarkan beliau memakai kasut.
“Saya tidak henti-henti berdoa supaya dipermudahkan usaha saya,” ujarnya.
--------------------------------------------------------------------------------

Akhirnya setelah bersusah payah, beliau berjaya menamatkan pendakian terakhir tepat pukul 11.50 pagi (Selasa) di Timpohon Gate selepas memulakan pendakian bersama jurupandu, Safrey Sumping pada pukul 12 tengah malam sebelumnya.
Namun, tidak semuanya sukar bagi jurugambar Utusan Malaysia ini.
“Saya dapat menyambut hari lahir saya pada 3 Februari lalu di puncak gunung di samping penghargaan daripada isteri dan anak yang turut serta pada pendakian ke-49.
“Saya juga sering menerima panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada isteri yang memberi kata-kata semangat.
“Ia menjadi tonik berharga untuk saya meneruskan perjuangan,” katanya.
Menurut Mohd. Noor, beliau turut mengambil makanan tambahan untuk tulang iaitu Triflex dan power gel bagi menambah tenaga sepanjang Projek Pendakian Solo 1Malaysia itu.
Adakah kegilaan lelaki ini terhenti selepas mencatat rekod pendakian 111 kali itu? Tidak sama sekali.
Selepas ini beliau mahu mendaki Menara Kuala Lumpur pula, juga sebanyak 111 kali dalam tempoh 168 jam. Projek itu akan dilakukan dari 8 hingga 14 Mei ini bagi melayakkan dirinya melakar nama dalam Guinness World of Records.
Tidur
Fisioterapi Mohd. Noor, S. Mohd. Salim S. Ibrahim ketika dihubungi Jurnal memberitahu, ada masanya beliau berasa kasihan dengan Mohd. Noor yang pada pendapatnya sering memendam rasa sakit.
“Kerana itu saya kadangkala membenarkan kata orang lain yang dia seorang yang gila.
“Tapi Mohd. Noor begitu berdisiplin. Apa yang kita larang dia daripada melakukannya akan dipatuhi.
“Semangatnya cukup tinggi malah dia tidur empat jam sahaja demi merealisasikan impiannya,” katanya.
Ujar Salim lagi, beliau akan mengurut seluruh badan Mohd. Noor selama lebih dua jam setiap sesi bagi memastikan ‘pelanggannya’ itu berada dalam keadaan baik untuk pendakian seterusnya.
“Memang dia gila - tetapi daripada kegilaannya itu tercetusnya idea dan benda baru dalam hidup. Hidup kita memerlukan sesuatu yang baru dari semasa ke semasa,” katanya berfalsafah.
Adik Mohd Noor, Alias Mat Amin, 33, pula berkata beliau akan terus memberikan sokongan kepada abangnya itu jika beliau ingin mencipta rekod lagi selepas ini.
“Semangatnya sangat kuat. Sejak kecil lagi dia gemar mendaki. Kami bukan daripada keluarga mewah, jadi kami perlu membantu ibu bapa menoreh getah untuk menambah pendapatan.
Luar biasa
“Menoreh getah memerlukan kami menyelusuri bukit yang agak curam. Cuma dia (Mohd. Noor) lebih ke hadapan hingga dapat menyertai ekspedisi mendaki gunung tertinggi di dunia iaitu Gunung Everest pada 1997,” katanya ketawa.
Tambah beliau, orang yang tidak mengenali Mohd. Noor mungkin akan mengatakan abangnya itu seorang yang gila kerana sering melakukan perkara yang tidak terlintas dalam fikiran orang lain.
“Tetapi semua yang dilakukannya adalah untuk membuktikan bahawa kejayaan itu pasti datang jika kita menetapkan sasaran dari awal,” katanya.
Bagi pegawai perubatan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menjadi ketua projek pendakian solo Mohd. Noor itu, Dr. Dayang Maryama Awang Daud, ketahanan mental yang tinggi dan sifat tidak berputus asa menjadi kunci kejayaannya.
MOHD. NOOR diurut selama dua jam setiap sesi bagi membolehkannya melakukan pendakian seterusnya.
“Tubuhnya dalam keadaan normal semasa diperiksa malah kesihatannya bertambah baik. Struktur otot beliau lebih mantap berbanding sebelum ini.
“Malah, keupayaan kardiovaskular beliau (kecekapan sistem peredaran dan sistem pernafasan untuk membekalkan oksigen kepada otot secara berterusan) meningkat lebih-lebih lagi semasa berada di paras yang tinggi itu. Itu yang agak pelik.
“Biasanya selepas melakukan aktiviti lasak, daya tahan seseorang akan berkurangan tetapi beliau (Mohd. Noor) sebaliknya pula.
“Namun, banyak lagi yang belum habis dikaji tetapi itulah Mohd. Noor – manusia luar biasa,” kata Dayang jujur.
Friday, April 23, 2010
Thursday, April 22, 2010
0 Rogol dalam kelas. Rakan subahat buat bulatan. Kemerosotan akhlak adalah dijangkakan!
Remaja mangsa rogol derita, pensil di dalam kemaluan
KUALA LUMPUR 21 April - Seorang pelajar tingkatan dua bukan sahaja dirogol rakannya, tetapi terpaksa menanggung kesakitan setelah suspek memasuk dan meninggalkan pensil di dalam kemaluannya.
Ia bagaimanapun disedari hanya setelah mangsa menjalani pemeriksaan di Hospital Selayang dekat sini, sebagai sebahagian prosedur siasatan polis.
Hasil pemeriksaan, doktor menemui pensil berukuran empat sentimeter tersebut di dalam kemaluan gadis berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Supritendan Rosly Hassan berkata, pemeriksaan sama turut mengesahkan gadis itu telah hamil sebulan.
Katanya, pengesahan kehamilan tersebut sekali gus membongkar bahawa mangsa telah dirogol oleh pelajar lain sebelum itu.
"Mangsa telah dirogol sebanyak dua kali sebelum ini dan kali ketiga pada minggu lalu apabila dirogol di dalam kelas.
"Dalam kejadian terbaru, perbuatan itu dilakukan oleh suspek dengan dilindungi rakan-rakannya yang membuat bulatan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak dekat sini hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan seorang pelajar berusia 14 tahun telah dirogol rakan sebayanya di dalam kelas di sebuah sekolah menengah dekat Rawang, Selasa lalu.
Kisah itu didedahkan oleh mangsa yang menghuni sebuah rumah kebajikan kepada pengasuh sebelum laporan polis dibuat.
Berikutan itu, seorang pelajar telah ditahan reman bermula kelmarin sehingga 26 April ini mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Rosly memberitahu, dalam kejadian pertama, mangsa dirogol pelajar lain di tepi padang sekolah, namun perkara itu disembunyikan mangsa kerana khuatir tidak dibenarkan bersekolah lagi.
Menurutnya, berikutan maklumat baru itu, pihaknya menahan enam lagi pelajar sekolah tersebut yang kesemuanya berusia 14 tahun petang ini.
Katanya, mereka ditahan kerana disyaki terlibat merogol dan bersubahat dalam kejadian tersebut.
Jelasnya, polis akan menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap bayi tersebut selepas ia dilahirkan bagi mengetahui bapanya.
Saturday, April 17, 2010
0 Barack Obama dan Hasil Buku. Hasil juta-juta. Ambil pelajaran dari kisah ini
Barack Obama bayar cukai RM6 juta
WASHINGTON 16 April - Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama dan isterinya, Michelle Obama membayar cukai pendapatan persekutuan bernilai AS$1.79 juta (RM6.08 juta) selepas memperoleh pendapatan berjumlah AS$5.5 juta (RM18.7 juta) pada 2009, kebanyakannya daripada hasil jualan bukunya.
White House memberitahu semalam, pembayaran yang dibuat Obama bersama Wanita Pertama itu menunjukkan pasangan berkenaan semakin kaya sejak menjadi pemimpin AS yang mana kebanyakan pendapatan mereka diperoleh daripada jualan buku mereka yang mendapat sambutan.
Kisah kenangan Obama yang dibukukan melalui Dreams From My Father dan The Audacity of Hope: Thoughts on Reclaiming the American Dream menjadi jualan laris New York Times.
Kedua-kedua buku itu diterbitkan sebelum Obama menjadi Presiden.
Laporan tahunan pendapatan kasar Obama menunjukkan dia memperoleh AS$5.5 juta (RM18.7 juta) pada 2009, peningkatan berbanding AS$2.6 juta (RM8.8 juta) pada 2008.
Pasangan itu juga dilaporkan membayar AS$163,303 (RM521,344) bagi cukai pendapatan di Illinois, sebuah negeri yang mana Obama menjadi senator sebelum dipilih sebagai presiden pada 2008.
Selain itu, Obama juga mendermakan AS$329,100 (RM1.05 juta) kepada 40 pertubuhan kebajikan tahun lalu.
Naib Presiden AS, Joe Biden dan isterinya, Jill, pula dilaporkan membayar cukai pendapatan lebih rendah, kata kenyataan White House.
Biden memperoleh AS$333,182 pada 2009 (RM1.06 juta) dan membayar AS$71,147 (RM227,549) bagi cukai pendapatan persekutuan.
Obama menerima pendapatan AS$400,000 (RM1.27 juta) setahun manakala Biden memperoleh AS$227,300 (RM725,973) tahun lalu bagi jawatan masing-masing. - Reuters
0 Wartawan, dengarlah seruan menteri! Kita ada tanggungjawab besar untuk bangsa dan negara
Pengamal Media Diminta Guna Karier Untuk Kebaikan Negara
KUALA LUMPUR :
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap pengamal media di negara ini menggunakan karier mereka demi kebaikan negara dan kerukunan rakyat.
Beliau berkata ini kerana media mempunyai pengaruh yang besar kepada pemikiran rakyat terutama dengan adanya perkembangan infrastuktur dan teknologi media yang semakin canggih masa kini.
" Jika media saudara dapat membentuk pemikiran 100 orang rakyat, itu merupakan suatu pencapaian hebat apatah lagi jika ia dapat mempengaruhi berjuta-juta rakyat pada setiap jam dan hari.
" Jadi gunakanlah karier saudara-saudara itu untuk kebaikan negara kita dan demi kerukunan rakyat, " katanya ketika berucap merasmikan Malam wartawan Malaysia 2010, di sini, malam kelmarin.
Muhyiddin berkata nilai-nilai dan identiti Malaysia perlu mendasari cara kerja media di Malaysia, justeru media perlu memainkan peranan dalam membentuk persepsi rakyat dan bagaimana dunia melihat Malaysia selain meminimumkan kebencian, pertelagahan dan prejudis.
" Malah lebih murni lagi sekiranya sikap serta perasaan negatif tersebut ditiadakan. Maksumumkan hujah berasas, dialog dan keharmonian. Minimumkan media yang sombong, tidak sensitif, tidak tepat, bias (berat sebelah) yang keterlaluan dan sensasi yang tidak berhemah. Tolonglah kerajaan memaksimumkan apa yang baik untuk negara kita, " katanya. - BERNAMA
Artikel berkaitan:
Media diperlu masa senang, sukar
Oleh Norfatimah Ahmad dan Nazura Ngah
bhnews@bharian.com.my
2010/04/17
MUHYIDDIN menyampaikan anugerah Foto Cemerlang kepada Fathil pada Malam Kewartawanan Malaysia 2010, sambil disaksikan Shamsul Azhar di Kuala Lumpur, malam tadi. Sokongan bantu bangunkan negara, bentuk pemikiran rakyat: Muhyiddin
KUALA LUMPUR: Kerajaan memerlukan sokongan media sebagai rakan akrab dalam pembangunan negara pada masa senang atau saat sukar, tetapi tidak minta dipuji, diampu atau menyembunyikan kebenaran, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Timbalan Perdana Menteri berkata, laporan akhbar, radio, televisyen dan kini portal berita internet sedikit sebanyak mempunyai kesan ke atas pemikiran rakyat dan membentuk pendapat mereka. Sehubungan itu, katanya, kerajaan mengiktiraf media sebagai mata dan telinga masyarakat, pentadbir dan pemimpin menerusi peranannya dalam menyampaikan maklumat dan menyediakan landasan untuk orang ramai membahaskan isu penting sebelum membuat sesuatu keputusan dan pendirian.
Katanya, media yang bersifat profesional melaksanakan tugas dengan amanah bagi membaiki mutu kehidupan masyarakat, mewujudkan persekitaran untuk ekonomi dan membantu dengan cara tersendiri mencipta pekerjaan untuk rakyat, membaiki mutu pentadbiran dan meninggikan demokrasi.
“Saya berpegang kepada pendirian tiada demokrasi tanpa media, industri media begitu subur pertumbuhannya di Malaysia sekali gus menunjukkan nilai tinggi demokrasi di negara ini.
“Nilai dan identiti Malaysia perlu mendasari cara kerja media di Malaysia. Ingatlah peranan media dalam membentuk persepsi rakyat Malaysia dan bagaimana dunia melihat Malaysia. Bantulah minimumkan kebencian, pertelagahan dan prejudis.
“Malah lebih murni jika sikap serta perasaan negatif itu ditiadakan. Maksimumkan hujah berasas, dialog dan keharmonian,” katanya pada Malam Wartawan Malaysia 2010, yang diadakan sempena penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS 2009 (HKM 2009).
Majlis seumpama itu dianjurkan Institut Akhbar Malaysia (MPI) buat kali ke 30 dan yang ke 16 membabitkan kerjasama MPI dan Petronas.
Turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahya; Pengerusi Media Prima Bhd, Datuk Johan Jaaffar; Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima, Datuk Ahmad A Talib; Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd, Zainul Ariffin Mohamad Isa; Pengarang Kumpulan Harian Metro dan Metro Ahad, Datuk Mustapa Omar; Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Mahfar Ali; Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petronas, Datuk Shamsul Azhar Abbas dan CEO MPI merangkap Pengerusi Malam Wartawan Malaysia, Datuk Chamil Wariya.
Muhyiddin berkata, hubungan mesra kerajaan dan media tidak semestinya menghakiskan kredibiliti kedua-dua pihak, malah tidak perlu rasa tertekan.
dalam menjalin kerjasama kerana ia penting untuk imbangan dalam sesebuah negara.
0 Hormatilah pemimpin negara. Mereka hendak buat kebaikan untuk rakyat dan negara
Lelaki mahu bunuh Obama kena 10 tahun
2010/04/17
Militan rancang pancung tokoh kulit hitam AS
WASHINGTON: Seorang militan kulit putih Amerika Syarikat dijatuhi hukuman penjara 10 tahun kelmarin selepas didapati bersalah atas dakwaan bersubahat untuk membunuh calon Presiden ketika itu, Barack Obama dan berpuluh-puluh warga Afrika-Amerika lain pada 2008. Hakim J Daniel Breen menjatuhkan hukuman itu ke atas Paul Schlesselman, 19, dari West Helena, Arkansas selepas tertuduh mengaku bersalah Januari lalu dalam komplot besar-besaran mensasarkan warga kulit hitam Amerika. Dia mengakui terbabit dalam komplot untuk membunuh seramai 88 orang dan memancung 14 warga Afrika-Amerika yang diakhiri dengan membunuh Obama, yang ketika itu cuba menjadi Presiden kulit hitam pertama negara itu.
Schlesselman juga berkata, dia terbabit dalam rancangan mengangkut senjata api, mencuri senjata daripada seorang penjual berlesen dan menghantar senapang patah ke beberapa negeri bagi membantu melakukan pembunuhan, rompakan dan mencuri.
Pada 14 Januari lalu, Schlesselman mengaku bersalah kepada satu tuduhan terbabit dalam komplot pembunuhan, satu dakwaan mengancam untuk membunuh dan mencederakan calon presiden serta satu tuduhan memiliki senjata api.
Defendan bersama Schlesselman, Daniel Cowart, 21, juga mengaku bersalah dan kini menunggu hukuman, dijadualkan pada Julai depan.
Pihak berkuasa menyifatkan pasangan itu sebagai kumpulan radikal dan militan kulit putih yang ditahan pada Oktober 2008.
Cowart dari Bells, Tennessee dan Schlesselman bertemu di internet sebulan sebelum itu. Cowart membeli sepucuk raifal dan menyimpan dua senapang buatan tangan, kedua-duanya dicuri daripada datuknya.
Schlesselman juga memiliki selaras senapang pendek dan revolver yang diambil daripada bapanya tanpa kebenaran. – AFP


