1Malaysia strategi bijak erat perpaduan kaum
2010/04/08
SEKALI air berubah, sekali pasir berubah. Begitulah peribahasa Melayu yang membayangkan betapa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selama satu tahun menempa kegemilangan demi kegemilangan. Bermula dengan konsep 1Malaysia, beliau melonjakkan pemikiran rakyat betapa demi kelangsungan hidup negara bangsa Malaysia - asas perpaduan tulen perlu di pupuk dan dibudayakan.
Konsep 1Malaysia memperihalkan jika rakyat bersatu di bawah satu bumbung dan berpaksikan perlembagaan, Rukun Negara dan prinsip penerimaan kepelbagaian kaum dan memahami rentetan sejarah pembentukan negara Malaysia, maka tiada usaha luar mahupun dalam yang boleh mengikis jati diri kita. 1Malaysia bukan retorik politik bahkan gagasan mencerminkan satu realiti dan hakikat sejarah serta perkembangan politik negara. Kita bersatu teguh di dalam konteks prinsip penerimaan, bahawa semua kaum sebagai rakan setia, prinsip kenegaraan bertunjangkan semangat cintakan negara yang diterapkan sejak Perdana Menteri pertama dan prinsip keadilan sosial di kalangan kaum dari segi kebajikan dan aspek sosial yang penting. Natijah yang dituntut daripada amalan kebersamaan bukan kesamarataan dalam 1Malaysia ialah rasa saling menghormati sesama kita bahawa segala tindakan kita perlu mengutamakan kepentingan negara.
Nilai murni yang cuba diterapkan seperti kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, kesetiaan, pendidikan dan integriti perlu dilestarikan ke arah membina negara bangsa Malaysia yang bersatu padu. Ia menuntut rakyat memahami warisan sejarah dan budaya, sekali gus melonjakkan pemikiran dan perasaan kekitaan bukan sebaliknya.
Malaysia memerlukan Wawasan 2020 direalisasikan segera jika negara ingin maju, walaupun syarat utama pencapaiannya memerlukan pertumbuhan ekonomi sebanyak 6.5 peratus setiap tahun.
Jika sejak suku tahun pertama 2010, ekonomi negara semakin pulih mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan, maka Najib sewajarnya disanjungi dan dipuji kerana berjaya mengatasi kemelut kemelesetan ekonomi negara.
Ia sesuatu yang bukan mudah direalisasikan tanpa kepemimpinan bijak lagi strategis dalam era globalisasi yang mengganas.
Justeru, ketika kecemerlangan kepemimpinan Najib, kita juga harus berwaspada terhadap musuh dalam dan luar yang saban hari cuba mempengaruhi rakyat dengan pelbagai taktik dan strategi yang memesong pemikiran rakyat. Hanya jauhari yang mengenal manikam .
Oleh itu, kita mesti bersyukur bilamana politik negara semakin stabil dan ekonomi negara memberikan peluang untuk rakyat menikmati kemewahan yang sewajarnya dengan memperlihatkan sikap positif bersama membantu melestarikan tindakan proaktif Perdana Menteri yang di usahakan selama ini.
PROF MADYA MOHAMAD MD YUSOFF,
Pensyarah Pusat Pengajian Komunikasi USM,
Pulau Pinang.
Thursday, April 08, 2010
0 Konsep Malaysia adalah idea yang baik. Sabahkah model 1Malaysia terbaik? Sarawak? Johor?
Wednesday, April 07, 2010
0 Gegaran 7.2 pada skala richter di Sinabang Acheh
Gempa di Aceh: Gegaran dirasai di Kuala Muda, Kedah
2010/04/07
ALOR SETAR: Gegaran akibat gempa bumi kuat berukuran 7.2 pada skala Richter di Sinabang, Aceh pagi ini turut dirasai di Kota Kuala Muda, kawasan nelayan yang dilanda tsunami pada Disember 2005.
Menurut saksi, kejadian itu tidak menyebabkan panik berikutan siren amaran tsunami yang dipasang oleh Jabatan Meteoroloji berdekatan pantai Kota Kuala Muda tidak dibunyikan. Gempa berkenaan berlaku pada kedudukan 75 kilometer ke Tenggara Sinabang, berkedalaman 34 kilometer di bawah permukaan laut kira-kira 5.15 pagi ini waktu tempatan, dipercayai turut dirasai di beberapa tempat di Kedah, Pulau Pinang dan Perak. Pengerusi Taman Permatang Katong (penempatan mangsa tusnami 2005), Yusoof Awang berkata beliau turut merasai gegaran itu semasa bersiap untuk ke laut menangkap ikan.
"Beberapa rakan nelayan yang berada di tepi pantai merasai gegaran akibat gempa itu kira-kira 6.15 pagi dan menelefon memberitahu saya mengenai kejadian itu," katanya ketika dihubungi hari ini.
Yusoof berkata beliau bergegas ke tepi pantai untuk mendapatkan pengesahan mengenai kejadian itu sebelum menelefon nelayan-nelayan yang telah pun turun ke laut supaya pulang sebagai langkah keselamatan jika berlaku ombak besar.
"Ada yang baru melabuh pukat terus mengarau pukat... yang telah melabuh pukat memperoleh sedikit tangkapan. Kira-kira pukul 9 pagi ramai antara mereka tiba di pantai," katanya.
Sementara itu, seorang penghuni Taman Permatang Katong, Salmah Ismail, 75, berkata beliau merasai gegaran semasa dalam perjalanan ke surau taman itu kira-kira 6.15 pagi.
"Gegaran dirasai di sekitar kawasan rumah. Mulanya saya rasa cemas namun menjadi tenang dalam beberapa saat apabila keadaan kembali normal," kata mangsa tsunami pada 2005 itu. - Bernama
Tuesday, April 06, 2010
0 Gempa bumi lagi. Hampir setiap hari di merata tempat. Mari berdoa
Gempa gegar Mexico, AS
2010/04/06
SEBUAH kereta melepasi rekahan di lebuh raya Mexicali-Tijuana selepas gempa melanda. - Foto AP Dua maut, 100 cedera gegaran 7.2 skala Richter goyang bangunan
TIJUANA: Sekurang-kurangnya dua terbunuh dan 100 lagi cedera selepas satu gempa bumi berukuran 7.2 skala Richter melanda sempadan Mexico dan dirasai di beberapa kawasan di Amerika Syarikat termasuk Los Angeles, Phoenix dan Vegas.
Dua terbunuh di Mexico dan 100 lagi cedera, kebanyakannya kerana dihempap objek yang jatuh kerana gempa itu yang turut menyebabkan bekalan elektrik terputus, memaksa pesakit di hospital dan rumah orang tua dipindahkan serta menyebabkan bandar Arizona menutup kawasan pinggirnya. Gempa itu berpusat di selatan sempadan Amerika berhampiran Mexicali, adalah antara gempa paling kuat melanda rantau itu sejak berdekad lalu. “Ia seolah-olah dirasai sekurang-kurangnya 20 juta orang pada ketika ini,” kata pakar seismologi Pejabat Geologi Amerika (USGS), Lucy Jones. “Kebanyakan penduduk di California Selatan merasai gempa ini.”
Gempa waktu tengah hari kelmarin paling teruk dirasai di Mexicali, pusat perdagangan sibuk di sepanjang sempadan Mexico dan California. Pihak berkuasa berkata, gempa itu diikuti sekurang-kurangnya 20 gegaran kecil susulan, termasuk tiga dengan kekuatan 5.1, 4.5 dan 4.3 skala Richter pada kedalaman 10 kilometer.
“Gegaran masih dirasai di Mexicali,” kata Pengarah Perlindungan Awam Baja, California, Alfredo Escobedo.
Katanya, seorang lelaki terbunuh apabila rumahnya runtuh di luar Mexicali. Manakala, mangsa kedua maut apabila dia panik ketika gegaran berlaku, lari jalan raya dan dilanggar kereta.
Bekalan elektrik terputus di keseluruhan bandar yang dijangka berlangsung sekurang-kurangnya 14 jam, kata Escobedo.
Seramai 300 pesakit dipindahkan dari Hospital Awam Mexicali ke klinik persendirian kerana bangunan itu tidak mempunyai bekalan elektrik mahu pun air.
Jana kuasa kecemasan mungkin tidak bertahan lama dan pihak berkuasa perlu memindahkan pesakit ke hospital lain di luar bandar ini, katanya. Garaj kereta di majlis perbandaran Mexicali juga runtuh, kata Escobedo, namun tiada siapa cedera.
Banyak laporan dibuat berhubung kerosakan dari Mexicali ke Calexico, Arizona, bandar dengan 27,000 penduduk. Majlis Perbandaran Calexico mengisytiharkan perintah kecemasan.
Kenderaan peronda polis mengawal jalan di pinggir Calexico. Banyak tingkap pecah dan dinding runtuh dari sesetengah bangunan.
Polis Calexico, Lt Gonzalo Gerardo berkata kebanyakan kawasan rosak berlaku di pinggir bandar di mana bangunan di sana dibina pada 1930 an dan 1940 an dan tidak dapat menahan gempa sekuat itu.
“Kawasan pinggir bandar akan ditutup sehingga diberitahu. Saya tidak yakin ia akan dibuka segera,” katanya. “Banyak rekahan, tingkap pecah dan tidak selamat untuk sesiapa pergi ke sana.”
Bahagian tenggara bandar itu terputus bekalan elektrik selama empat jam.
Rosendo Garcia, 44, berkata beliau sedang memandu pulang bersama anak perempuannya dari tempat kerja apabila gempa berlaku. – AP
0 Misi Najib selepas setahun pentadbiran, murni bukan?
Cabaran urus masyarakat majmuk: PM
Oleh Magendran Rajagopal
magendran@bharian.com.my
2010/04/06
PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak meminta penjawat awam komited bagi menghadapi cabaran untuk menguruskan negara berbilang kaum, budaya dan agama yang fikiran rakyatnya semakin kritikal dan lebih canggih dari segi jangkaan serta harapan terhadap kerajaan.
Perdana Menteri berkata, kerajaan pimpinannya yang kini berusia setahun, menghadapi pelbagai cabaran seperti hubungan antara kaum membabitkan soal pertikaian agama termasuk perkahwinan atau perceraian, kematian serta isu kalimah Allah yang memerlukan perhatian dan pertimbangan teliti. “Mentadbir masyarakat majmuk ini menjadi cabaran bagaimana kita nak menguruskannya, bagaimana kita nak membenarkan keterbukaan dan setakat mana kita nak benarkan perbezaan pendapat dalam negara kita, termasuk bagaimana nak menguruskan media baru. "Kakitangan awam perlu mencari penyelesaian yang kreatif dan inovatif, membuat keputusan secara pantas dan menepati tempoh ditetapkan untuk menyempurnakan sesuatu kerja”
Najib Razak
Perdana Menteri “Kita memerlukan pendekatan terkini bagi menghadapi cabaran baru daripada masyarakat yang semakin canggih dan rakyat yang lebih matang,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri, di sini, semalam.
Justeru, katanya, kakitangan awam perlu mencari penyelesaian yang kreatif dan inovatif, membuat keputusan secara pantas dan menepati tempoh masa ditetapkan untuk menyempurnakan sesuatu kerja selain mengutamakan keberhasilan berbanding kuantiti supaya rakyat lebih yakin kepada kerajaan.
Beliau juga menekankan keperluan memaksimumkan nilai pulangan daripada apa juga perbelanjaan yang dilakukan oleh kerajaan supaya sesuatu matlamat boleh diselesaikan dengan perbelanjaan yang lebih kecil tetapi tanpa bertolak ansur dari segi keupayaan atau jangka hayat.
Pada 8 Februari lalu, Perdana Menteri menggariskan empat tonggak utama kerajaan termasuk gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan; Program Transformasi Kerajaan (GTP); Model Ekonomi Baru (MEB) dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) serta Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) .
Beliau berkata, empat tonggak itu bersama enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diumumkan sebelum ini berkait rapat dengan perjuangan melakukan transformasi besar kepada ekonomi jika negara tidak mahu ketinggalan atau tersangkut dalam perangkap negara berpendapatan pertengahan.
“Saya dah pernah sebut mengenai empat tonggak utama kerajaan ini menggunakan kiasan asas sebuah rumah yang mana bumbungnya ialah gagasan 1Malaysia, tiang seri rumah ni lain sikit sebab ada dua iaitu GTP dan MEB, manakala lantainya ialah RMK-10 dan RMK-11.
0 Tiga fokus utama kerajaan untuk menerajui negara
PM: Rakyat semakin kritikal terhadap pelbagai perkara
Apr 5, 10 12:41pm
Selain transformasi ekonomi, dua lagi yang perlu dihadapi kerajaan ialah bagaimana menguruskan sebuah negara yang bukan sahaja terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya tetapi rakyat yang semakin kritikal terhadap pelbagai perkara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
.
"Kalau dulu tidak menjadi satu cabaran yang besar tetapi hari ini ia lebih diberikan perhatian oleh rakyat, soal pertukaran agama, kahwin cerai, soal mati hatta isu seperti kalimah Allah dan sebagainya.
"Ini merupakan satu cabaran yang amat besar yang perlu ditangani oleh kita. Ia (isu-isu seperti ini) sentiasa dalam perhatian dan pertimbangan kerajaan," katanya.
Beliau berkata cabaran lain ialah bagaimana untuk menguruskan sebuah masyarakat yang semakin hari semakin canggih daripada segi jangkaan dan harapan mereka.
"Jadi isu-isu seperti macam mana hendak uruskan keterbukaan umpamanya. Isu-isu seperti ini termasuk macam mana hendak menguruskan media baru dan sebagainya.
"Inilah matlamat dan landasan kita kerana untuk tahun mendatang ialah tahun pelaksanaan dan penyampaian. Inilah tanggungjawab kita bersama," katanya.
Najib berkata empat cabaran itu ada hubungkait dengan empat tonggak utama dan empat pendekatan atau kaedah yang telah beliau perkenalkan sebelum ini, dalam usaha membawa perubahan kepada Malaysia.
Empat tonggak tersebut ialah Gagasan 1Malaysia, "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan", Program Transformasi Kerajaan (PTK), Model Ekonomi Baru (MEB) dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).
Sementara, empat pendekatan itu ialah mempunyai pemikiran yang kreatif dan inovatif, pantas membuat keputusan, mementingkan keberhasilan dan nilai pulangan yang maksimum daripada apa jua perbelanjaan kerajaan.
0 1Malaysia adalah idea tulen pemimpin tulen kita
'1Malaysia bukan idea dari luar'
2010/04/05
Pembangkang sebar fitnah tidak puas hati gagasan diterima rakyat: PM
KUALA LUMPUR: Idea Gagasan 1Malaysia adalah cetusan percambahan fikiran Datuk Seri Najib Razak bersama pelbagai kumpulan ke arah mewujudkan wadah baru untuk memperkukuhkan perpaduan nasional.
Perdana Menteri berkata, dakwaan kononnya slogan 1Malaysia datangnya dari negara luar, termasuk Israel adalah fitnah pembangkang semata-mata, sebaliknya beliau berbincang dengan beberapa rakan selepas menyedari kepentingan usaha baru ke arah penyatuan rakyat.
Saya bincang dengan beberapa teman sebab amat penting kita membuat usaha baru ke arah perpaduan nasional... sebagai penyatuan. Jadi, saya selalu menjemput pelbagai kumpulan mengadakan percambahan fikiran dan apabila saya menggariskan perkara ini, bila kita lakukan percambahan fikiran, timbullah idea Gagasan 1Malaysia ini, katanya dalam wawancara khas yang disiarkan melalui Bernama TV sempena setahun menjadi Perdana Menteri.
Dalam program Setahun Di Aras 5: Temubual Khas Bersama Perdana Menteri, Najib ditemubual oleh Timbalan Ketua Pengarang Bernama, Zulkefli Salleh dan Editor Ekonomi, Mikhail Raj Abdullah di pejabatnya di Putrajaya.
Najib juga berkata, dakwaan pembangkang itu bertujuan merosakkan atau mencemar gagasan itu selepas idea berkenaan semakin hebat diterima oleh rakyat.
Mereka (pembangkang) tak berani serang Gagasan 1Malaysia. Mereka tidak dapat mempertikaikan, mereka cuba untuk merosakkan, mencemar dan mencalarnya melalui kononnya ilham atau idea yang datang dari negara luar. Ini satu fitnah tidak benar, tidak berasas sama sekali, katanya merujuk kepada dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen baru-baru ini.
Perdana Menteri berkata kemuncak kepada penghayatan Gagasan 1Malaysia ialah apabila ia membawa keuntungan strategik kepada rakyat dan negara.
Beliau menjelaskan Gagasan 1Malaysia meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan lain dan mengutamakan keberkesanan serta keberhasilan sesuatu program yang dirancang.
Najib juga berkata, kefahaman rakyat terhadap Gagasan 1Malaysia makin meningkat apabila banyak badan korporat menggunakan 1Malaysia sebagai simbol dalam logo mereka.
Sebutan Salam 1Malaysia umpamanya menjadi kelaziman sekarang dan ada juga perkahwinan 1Malaysia. Jadi, saya lihat ia sudah menjadi satu gerakan massa, katanya.
Mengenai halangan terhadap Gagasan 1Malaysia, Perdana Menteri berkata, ia lebih di kalangan golongan yang masih memikirkan kepentingan kelompok atau kaum masing-masing tanpa usaha ke arah penyatuan. - Bernama
Saturday, April 03, 2010
0 RM40.06 j untuk Keningau. Inilah imbuhan apabila BN menang. Terima kasih pilihanraya
Keningau:RM40.06 juta diperuntukkan bagi pembangunan Keningau dalam jangka masa tiga tahun
Written by admin Sunday, 28 March 2010 05:04
KENINGAU: Sejumlah RM40.06 juta diperuntukkan bagi pembangunan daerah Keningau dalam jangka masa tiga tahun bermula tahun ini.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, peruntukan itu membiayai bekalan air di daerah ini sebanyak RM30 juta dan bekalan Elektrik Luar Bandar bagi 220 buah rumah bernilai RM 6 juta.
Katanya, turut dibiayai dengan peruntukan itu adalah pembinaan parit bagi Kg. Bayangan, Bayangan Atas dan Kg. Purakagis bermilai RM 110,000 dan pembinaan jalan di Kg. Masak sepanjang 850 meter bernilai RM 100,000.
Selain itu katanya, RM 3.2 juta untuk membiayai pembinaan 80 rumah PPRT dan RM 650,000 diperuntukkan bagi 47 projek peningkatan pendapatan membabitkan 65 peserta.
Shafie yang juga Naib Presiden Umno berkata, semua projek ini akan dilaksanakan sebelum ahun 2012.
“Peruntukan tersebut adalah sebahagian daripada peruntukan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Dato’Seri Mohd. Najib Tun Razak berjumlah RM 18 billion untuk Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di seluruh Negara,” katanya semasa berucap di majlis Program Mesra Rakyat di Gerakan Daya Wawasan (GDW) Kg. Bayangan dekat sini, kelmarin.
Hadir sama Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Haji Sairin Haji Karno, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bingkor Justin Guka, Adun Pantai Manis Datuk Abdul Rahim Ismail, Pegawai Daerah Keningau Amar Mohd. Yusof, Ketua Daerah Keningau OKK Amir Datuk Arif, Ketua Pemuda Umno Sabah Azman Haji Ruslan, Exco Pemuda Umno Malaysia Jamawi Jaafar, Ketua-Ketua Jabatan dan pemimpin-pemimpin masyarakat.
Dalam masa yang sama Shafie berkata, Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui oleh Perdana Menteri begitu komited pembangunan di negara ini dengan memberi keutamaan dengan pembangunan prasarana di luar bandar.
Katanya, pembangunan bukan sahaja tertumpu di negeri-negeri di Semenanjung tetapi Sabah dan Sarawak juga diberi keutamaan.
“Kerajaan akan memastikan semua pembangunan prasarana di luar bandar akan menepati keperluan rakyat” katanya.
Jelasnya, kewangan kerajaan haruslah memberi manafaat kepada seluruh rakyat di negara ini.
“Kita tidak mahu projek yang dirancang oleh kerajaan hanya memberi kemudahan kepada pihak pemaju dan kontraktor sahaja” tegasnya.
Ini katanya, selaras dengan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang merangkumi perkara iaitu Penurunan Jenayah, Pembangunan Pendidikan, Sistem Pengangkutan Awam, Peningkatan Pendapatan Masyarakat Luar Bandar, Membenteras Rasuah dan Pembangunan Prasarana Luar Bandar.
Enam perkara pokok dalam NKRA ini adalah penting bagi mencapai hasrat keajaan untuk meletakkan negara ini sebagai negara maju dan membangun.
Pada majlis itu Shafie menyempurnakan penyerahan kunci rumah PBR, penyampaian cek Pembiayaan Mara, Bantuan Ekonomi Kecil (BEK), sumbangan Kelab Pencinta (bukubuku prospectus untuk sekolah-sekolah Daerah Keningau dan Tambunan dan sumbangan satu set komputer dari Pencinta kepada Tabika Kemas GDW Kg. Bayangan.
