.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Saturday, April 03, 2010

0 Kahwin bawah umur melibatkan pelajar pintar. Mari ambil ikhtibar

Nasihat Nooh kepada Halimaton

KUALA LUMPUR 2 April - Pelajar cemerlang, Halimaton Abdul Rasyid, 15, perlu memikirkan semula niatnya untuk berkahwin muda kerana tanggungjawab yang akan digalas bukan hanya sebagai isteri, namun juga sebagai ibu kepada anak-anak yang bakal dilahirkan.

Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadut berkata, perkara tersebut perlu diberi perhatian kerana perkahwinan adalah untuk selamanya, bukannya untuk sementara waktu.

"Apabila telah berkahwin tanggungjawab bukan hanya kepada suami tetapi juga kepada anak-anak. Semua ini perlu difikirkan oleh Halimaton, oleh itu jangan membuat keputusan kerana terlalu ikutkan nafsu sebaiknya buatlah solat istikharah dahulu,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 22 Mac lepas, Halimaton menghilangkan diri dari rumah kakaknya di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, Kedah kerana ingin berkahwin dengan teman lelakinya, Mohamad Noor atau lebih dikenali sebagai Adam.

Pelajar yang mendapat keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2007 itu tetap dengan pendiriannya untuk bersama dengan Adam atas alasan teman lelakinya seorang yang kacak.

Menurut Nooh, sesuatu perkahwinan perlu mendapat restu ibu bapa kerana perkahwinan tanpa restu akan mengundang malapetaka.

''Hampir 90 peratus perkahwinan tanpa restu ibu bapa membawa kepada penceraian. Sebagai seorang pelajar cemerlang, Halimaton perlu cemerlang dalam berfikir dan orang yang cemerlang tidak akan menyusahkan ibu bapa,'' katanya.

Nooh memberitahu, 30 peratus keruntuhan rumahtangga adalah berpunca daripada faktor kewangan dan ia wajar diambil perhatian oleh pelajar itu dan teman lelakinya sebelum berumahtangga.

0 Penggiliran calon pilihan raya? Pernah digunakan di Sabah untuk jawatan ketua menteri

Wujudkan sistem giliran calon Hulu Selangor

SHAH ALAM 2 April - Pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) disaran supaya mewujudkan sistem penggiliran calon kerusi Parlimen Hulu Selangor mengikut parti komponen bermula pilihan raya kecil kawasan itu yang dijadualkan 25 April ini.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor, Datuk Ramli Abd. Rahman berkata, pendekatan itu dapat memberi manfaat yang besar kepada kedudukan BN di kawasan tersebut selepas kalah pada pilihan raya umum lalu.

Katanya, pada masa ini pun banyak pihak memberi pandangan berdasarkan hasrat pengundi di kawasan itu yang mengharapkan BN memilih calon UMNO.

''Tetapi dengan sistem penggiliran calon, ia dilihat lebih adil selain mampu mengelak wujudnya pertikaian antara parti komponen BN bagi menentukan siapakah yang lebih layak untuk bertanding di kawasan itu.

''Maka, adalah lebih baik dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor 25 April ini, kita letak calon dari UMNO menerusi sistem penggiliran ini.

''Malah, meletakkan calon UMNO bagi mewakili BN juga dilihat dapat memenuhi tuntutan serta hasrat pengundi di kawasan itu pada masa ini yang mahukan calon Melayu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad, 71, dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) akibat barah otak pada 25 Mac lalu.

Ramli memberitahu, berdasarkan sejarah, pemilihan calon BN di Parlimen Hulu Selangor agak unik kerana ia pernah diwakili UMNO, MCA dan kemudian MIC.

Katanya, pada pilihan raya umum pertama tahun 1955, calon yang bertanding atas tiket Perikatan pada masa itu adalah daripada UMNO, iaitu Halimaton Saadiah.

''Selepas itu, calon kerusi Parlimen tersebut diserahkan kepada MCA pada 1959 sehingga 1982 yang diwakili bekas Menteri Telekom dan Pos, Tun Omar Ong Yoke Lin dan kemudiannya Timbalan Presiden MCA, Tan Sri Lee Kim Sai.

''Pada 1986, kerusi itu diserahkan kepada bekas Naib Presiden MIC, Datuk S.S. Subramaniam sehinggalah kepada Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel yang bertanding mewakili BN pada pilihan raya umum lalu di kawasan berkenaan sebelum kalah kepada calon PKR," jelasnya.

Tambah Ramli, cadangannya itu bukan untuk menidakkan kemampuan calon parti komponen BN lain, sebaliknya ia hanya usaha bagi memastikan BN menang di kerusi berkenaan yang merupakan kubu kuat BN.

Beliau menambah, kesemua Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Hulu Selangor iaitu Hulu Bernam, Kuala Kubu Baru dan Batang Kali ketika ini dikuasai BN.

Ramli yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor turut memohon supaya pucuk pimpinan BN mempertimbangkan pandangan majoriti pengundi semua kaum serta pemimpin BN di Hulu Selangor dalam membuat sebarang keputusan berhubung soal calon.

''Namun saya harap semua pihak akan menerima keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan BN nanti selain memberikan sokongan sepenuhnya kepada calon dipilih bagi memastikan BN menang di Hulu Selangor," ujarnya.

0 Skandal seks paderi: Paderi yang bersalah wajar dihukum, mereka tidak layak jadi paderi

Gereja Eropah gesa paderi bertaubat


2010/04/02


PENUNJUK perasaan menggesa Pope Benedict bertindak tegas terhadap paderi yang menganiayai kanak-kanak di depan gereja Los Angeles.VATICAN: Pope Benedict XVI menyifatkan skandal seks membabitkan paderi sebagai satu ujian kepada beliau dan gereja ketika paderi di seluruh Eropah menggesa mereka terbabit bertaubat dan berhenti mendera kanak-kanak dari segi seksual.

Paderi kanan Switzerland menggesa mangsa salah laku seks paderi membuat aduan jenayah, paderi kanan Jerman membuka satu talian untuk mangsa manakala di Denmark satu soal siasat dijalankan terhadap aduan yang disifatkan sudah lama. Paderi kanan Austria, Kardinal Christophe Schoenborn mengakui gereja bersalah kerana beliau mengetuai khidmat bagi mangsa untuk bertaubat. “Terima kasih kerana memaklumkan perkara ini,” kata Schoenborn kepada mangsa. “Banyak yang sudah dibongkar. Tetapi, masih banyak yang perlu dilakukan.”

Seminggu selepas Pope Benedict menegur paderi Ireland kerana silap penilaian dalam kes menguruskan paderi yang merogol kanak-kanak, seorang demi seorang paderi Eropah mengakui kesilapan, menemui mangsa dan berjanji untuk bertindak apabila mengetahui mengenai penderaan terbabit.

Mereka berjanji untuk lebih terbuka dan bekerja sama dengan polis, menyamai tindakan dilakukan paderi Amerika ketika munculnya skandal penderaan paderi di Amerika Syarikat pada 2002.

Ia berlaku berikutan kemarahan orang awam terhadap gelombang baru dakwaan penderaan di seluruh Eropah dan apa yang disifatkan mangsa sebagai cuba ditutup oleh paderi dan Vatican sendiri.
Ia diumumkan ketika minggu kemuncak dalam kalendar gereja. Paderi Switzerland pula berkata, ‘Holy Week’ adalah masa untuk bertaubat apabila mereka perlu mengakui kesalahan, mencari jalan untuk menjadi baik dan meminta keampunan Tuhan dan orang lain.

Ditanya bagaimana Benedict menangani skandal itu, jurucakap Vatican, Federico Lombardi berkata: “Pope adalah seorang yang jujur. Beliau melihat ini sebagai ujian kepadanya dan gereja. – AP

0 Bilangan anak luar nikah. Bagaimana status mereka kelak?

17,303 anak luar nikah didaftar 2009
Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my
2010/03/21
KUALA LUMPUR: Seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim, berkata bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya. Pada 2008 seramai 16,541 anak luar nikah didaftarkan di JPN manakala pada 2007 seramai 16,100 orang.
Alwi menjelaskan dalam tempoh lima tahun lalu, JPN mencatatkan 74,723 pendaftaran anak luar nikah adalah membabitkan orang Melayu/Islam. Ini tidak termasuk kes buang bayi yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). “Sepanjang tempoh ini, 214,033 bayi pelbagai bangsa didaftarkan dengan status anak tidak sah taraf, termasuk kes anak yang tidak berbapa 104,834 orang dan 109,199 orang mengikut Seksyen 13, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299),” katanya kepada Berita Minggu.

Mengikut Seksyen 13, bayi itu dianggap anak yang dilahirkan hasil ikatan perkahwinan tidak teratur atau tidak sah mengikut undang-undang negara.

Ini termasuk anak hasil hubungan luar nikah bagi orang Melayu/Islam atau pernikahan tidak didaftarkan mengikut undang-undang negara. Bayi yang lahir kurang enam bulan dari tarikh pernikahan ibu bapanya juga termasuk dalam status sama.

Bagi anak pasangan bukan Islam, kebanyakan kes merujuk kepada anak dilahirkan sebelum tarikh pendaftaran perkahwinan atau anak yang tidak mempunyai bapa.
Dalam tempoh lima tahun dari 2005 hingga 2009, pendaftaran ‘anak luar nikah’ membabitkan orang Melayu menduduki tempat kedua dengan 74,723 kes, di belakang kaum-kaum lain dengan 91,922 kes, diikuti India (23,696 kes) dan Cina (23,692 kes).

Beliau berkata, bayi tanpa bapa daripada keturunan Melayu/Islam diletakkan nama diikuti ‘bin’ atau ‘binti’ Abdullah atau mana-mana nama pilihan Asma Al-Husna (nama-nama Allah).

“Keputusan itu selaras ketetapan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan ia juga selaras format baru sijil kelahiran yang memerlukan nama penuh bayi berserta bin atau binti dipaparkan pada sijil kelahiran.

“Bagaimanapun, hanya maklumat ibu akan dimasukkan dalam sijil kelahiran bayi berkenaan dan nama pada MyKad kanak-kanak itu kekal menggunakan nama dalam sijil kelahiran,” katanya.

Bagi kes bayi pasangan yang berkahwin di luar negara tanpa mendaftar semula di Malaysia, beliau menasihatkan mereka menyelesaikan urusan dengan pihak berkaitan termasuk majlis agama atau mahkamah.

“Jika anak dilahirkan di luar negara, daftar dengan kedutaan dan apabila pulang ke Malaysia, daftar semula dengan JPN.

“Bagi kes yang tidak mendaftar perkahwinan mereka tetapi sudah mempunyai anak, mereka boleh mendaftar terus untuk dapatkan sijil kelahiran tanpa perlu dokumen daripada mahkamah, tetapi nama bapa tidak akan dimasukkan dalam rekod.
“Maklumat itu boleh diganti dengan nama sebenar bapa selepas mendapat pengesahan status perkahwinan,” katanya.

Thursday, April 01, 2010

0 Apabila Kit Siang kritik Muhyiddin tentang 1Malaysia

Kit Siang berniat jahat serang 1Malaysia


2010/04/01
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan Lim Kit Siang yang menyerangnya konon tidak menyokong konsep 1Malaysia adalah perbuatan jahat untuk memecah-belahkan pemimpin kerajaan.

Sambil menegaskan beliau pemimpin Barisan Nasional yang diamanahkan untuk adil kepada semua kaum, Timbalan Perdana Menteri berkata, ia menunjukkan Penasihat DAP itu kehabisan isu dengan membuat kenyataan beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak senada konsep 1Malaysia. “Saya percaya Kit Siang ada niat jahat sebab tidak sokong 1Malaysia. Tindakan jahat itu bertujuan menyerang gagasan 1Malaysia yang disokong rakyat tetapi tidak disokong pemimpin itu. “Dalam BN semua kaum ada, Iban sehingga Melayu, Cina dan India dan kita mewakili semua kaum di negara ini. DAP pejuang satu kaum, tetapi cakap dia Middle Malaysia,” katanya semalam.

Muhyiddin mengulas gesaan Kit Siang semalam yang mencabar beliau meletakkan jawatan Timbalan Perdana Menteri jika gagal menjelaskan pendirian terhadap konsep 1Malaysia.

Muhyiddin berkata, penjelasannya di Dewan Rakyat sebelum ini jelas iaitu apabila pemimpin berjuang untuk kaumnya, ia tidak bermakna menolak 1Malaysia.
“Tidak salah bagi pemimpin berjuang untuk kepentingan kaum dia. Tidak mungkin Lim kata tak berjuang kaum Cina.
“Tidak bermakna bila kata nak tolong Melayu, orang Cina tak tolong. Malah, DAP dianggap sebagai parti cauvinis yang dominasi oleh satu kaum saja,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, BN tidak terperangkap dengan permainan politik Kit Siang yang cuba mengalih tumpuan rakyat terhadap pelbagai isu yang gagal diselesaikan pembangkang.

“Saya tidak termakan itu, dia boleh sebut seribu kali. Saya seorang Melayu, tetapi tidak bererti kita bukan rakyat Malaysia. Kalau saya jelaskan banyak kali pun, Lim tidak akan faham,” katanya.

0 Kejadian yang memalukan sekolah SMK. Siapa harus dipersalahkan? Apakah ini sabotaj? Apakah akan berulang lagi?

20 pelajar dicop tak berdisiplin dapat sijil berhenti baru


2010/04/01
ALOR SETAR: Dua puluh dua pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yan yang dilabel sebagai pelajar tidak berdisiplin dalam sijil berhenti sekolah diminta pergi ke sekolah itu untuk mendapat-kan sijil baru.

Difahamkan, selepas berita itu didedahkan akhbar ini kelmarin, beberapa pegawai dari Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Yan diarah ke sekolah berkenaan untuk menyelesaikan masalah itu. Pengarah Pelajaran Negeri, Shahidan Abdul Rahman, berkata perkara itu sudah diselesaikan kerana beliau sudah mengarahkan pihak sekolah mengeluarkan sijil berhenti sekolah baru kepada pelajar terbabit. “Ia sudah selesai dan kita harap pelajar pergi mendapatkan sijil berhenti sekolah baru. Mungkin ketika ini sekolah menghadapi masalah untuk menghubungi sesetengah pelajar, oleh itu saya harap mereka boleh datang ke sekolah untuk berurusan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kelmarin akhbar ini melaporkan 22 bekas pelajar SMK Yan itu menghadapi masa depan yang gelap berikutan dilabel sebagai pelajar tidak berdisiplin dalam sijil berhenti sekolah walaupun tidak melakukan kesalahan serius sepanjang tempoh persekolahan.

Malah ada di antara mereka menyertai acara sukan hingga berjaya mewakili negeri, tetapi sumbangan itu tidak diiktiraf kerana tidak dicatat dalam sijil berkenaan.

0 Gaji kurang RM1000 adalah miskin tegar. Bagaimana bantu golongan ini?

2.2 juta pekerja bergaji rendah
Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my
2010/04/01
Pendapatan bulanan bawah RM1,000 layak dikategorikan miskin tegar

KUALA LUMPUR: Kira-kira 2.2 juta pekerja tempatan di seluruh negara menerima gaji pokok di bawah RM1,000 sebulan dengan lebih 1.8 juta daripadanya berpendapatan di bawah paras kemiskinan dan kemiskinan tegar. Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud, mendakwa daripada jumlah itu, 1.5 juta menerima gaji pokok di bawah paras kemiskinan dan lebih 300,000 lagi di bawah kadar kemiskinan tegar. Katanya, mereka adalah pekerja dalam pelbagai sektor, termasuk perkhidmatan seperti perhotelan, perladangan, pengangkutan, pembuatan dan lain-lain sektor.

Golongan miskin ditakrifkan sebagai isi rumah dengan jumlah pendapatan kurang atau bersamaan RM750 sebulan, manakala miskin tegar pula isi rumah yang mempunyai jumlah pendapatan kurang atau bersamaan dengan RM440 sebulan.

Syed Shahir berkata, gaji pokok yang tidak seberapa itu menjejaskan kadar caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga mereka dikhuatiri dibelenggu kesulitan hidup berterusan apabila tamat tempoh perkhidmatan pada usia tua kelak.

“Gaji pokok yang terlalu rendah menjadi antara faktor utama mereka menghadapi masalah seperti menanggung beban hutang ceti atau along berikutan kesempitan hidup.
“Kualiti kehidupan sebahagian mereka juga merosot kerana terpaksa melakukan dua kerja pada waktu siang dan malam untuk menambah pendapatan.
“Malah, ada di kalangan mereka mengalami kemalangan akibat keletihan.

“Selain itu, ada pekerja terpaksa memikul beban berat dengan bekerja untuk tempoh panjang dalam sehari kerana mahu mendapat bayaran kerja lebih masa.

“Bukan itu saja, ada pekerja yang memperoleh gaji pokok pada kadar statik untuk tempoh agak lama, malah terpaksa berdiam diri dalam derita kerana di sesetengah tempat kerja, tiada kesatuan yang dapat bersuara bagi pihak mereka,” katanya semalam.

Akhbar baru-baru ini melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meminta majikan menimbangkan tawaran gaji yang lebih menarik untuk pekerja tempatan kerana kerajaan banyak menerima aduan gaji ditawarkan tidak memadai bagi menarik minat mereka bekerja.

Ia berikutan ada majikan yang menawarkan gaji tidak setimpal dengan kelayakan dan kemahiran seorang pekerja itu selain boleh memperbaiki kehidupan pekerja tempatan.

Mengulas lanjut, Syed Shahir berkata, tanpa penguatkuasaan undang-undang atau peraturan secara khusus, tidak mustahil majikan bersikap sambil lewa terhadap saranan pemimpin negara dengan mengemukakan pelbagai alasan untuk mengelakkan tanggungjawab berkenaan.

“Justeru, sudah tiba masanya kerajaan membuktikan ketegasan dengan memperkenalkan dasar gaji minimum RM900 sebulan bagi semua sektor pekerjaan dan elaun kos sara hidup (Cola) RM300,” katanya.