Gempa bumi kuat di Kepulauan Andaman, India
2010/03/31
KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi kuat berukuran 6.4 pada skala Richter melanda Kawasan Kepulauan Andaman, India pada 12.55 tengah malam tadi.
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan di sini berkata, gempa bumi itu berpusat di latitud 13.51 utara dan longitud 92.85 timur, kira-kira 751km barat laut Ranong, Thailand, dan 1,110km barat laut Langkawi.
Tiada amaran tsunami dikeluarkan oleh jabatan itu.-Bernama
Wednesday, March 31, 2010
0 Lagi gempa bumi di sekitar Malaysia
0 Ke arah pendapatan rakyat sekali ganda
Oleh MOHD. RIDZWAN MD. IMAN dan MOHAMAD SHOFI MAT ISA
pengarang@utusan.com.my

Najib Tun Razak bersama timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Persidangan Invest Malaysia 2010 di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur, semalam.
________________________________________
KUALA LUMPUR 30 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Model Ekonomi Baru (MEB) yang bertujuan melonjakkan ekonomi negara untuk menjadi negara maju menjelang 2020 dan seterusnya meningkatkan pendapatan rakyat secara keseluruhan.
Perdana Menteri berkata, pelbagai strategi akan dilaksanakan melalui MEB yang antara lain melonjakkan kuantum pendapatan perkapita rakyat daripada AS$7,000 (RM23,000) kepada AS$15,000 (RM49,000) setahun dalam tempoh 10 tahun.
"MEB hendaklah dibina dari sini. Ia bukanlah suatu tugas yang mudah, tetapi ia menjanjikan pulangan lumayan jika kita mampu melakukan transformasi ini," katanya semasa berucap pada Persidangan Invest Malaysia 2010 di sini, hari ini.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, keutamaan MEB adalah untuk menangani masalah jurang pendapatan dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum.
"Sehubungan itu, adalah perlu MEB memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan tahap pendapatan semua golongan yang kurang bernasib baik.
"Ia akan memberi fokus terhadap keperluan seluruh rakyat seperti mereka yang tinggal di rumah panjang di Sabah dan Sarawak, serta golongan miskin luar bandar di Semenanjung Malaysia yang seringkali tersisih daripada aktiviti ekonomi negara.
"Golongan nelayan, peniaga kecil dan petani juga tergolong dalam kategori ini. Begitu juga Orang Asli dan penduduk bandar berpendapatan rendah yang bekerja keras untuk menyara kehidupan dalam keadaan ekonomi yang sukar," katanya.
Sehubungan ini, katanya, laporan Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) mencadangkan supaya fokus diberikan terhadap kumpulan 40 peratus strata pendapatan terendah di Malaysia - dari segi individu dan wilayah.
"Merekalah merupakan golongan yang kurang bernasib baik yang masih memerlukan perhatian khusus.
"Matlamat akhirnya, tiada rakyat Malaysia yang hidup dalam kemiskinan, semuanya mendapat peluang saksama untuk berjaya dan berkongsi kemakmuran negara," tambahnya.
Oleh itu, tegas Perdana Menteri, dasar afirmatif yang diperbaharui akan dilaksana berdasarkan empat prinsip yang mesra pasaran, merit, telus dan keperluan.
Najib berkata, sebagai contoh, kerajaan akan mewujudkan proses tender yang telus dengan peraturan jelas bagi golongan bumiputera Melayu dan pribumi lain.
Katanya, secara praktiknya, pendekatan itu bermakna sokongan kepada bumiputera akan dipertingkatkan dan dilakukan berdasarkan kepada keperluan, bukannya mengikut bangsa.
Mengenai usaha mewujudkan negara berpendapatan tinggi, beliau berkata, keadaan itu akan juga memberi kesan kepada upah pekerja yang lebih tinggi di dalam ekonomi.
Katanya, pertumbuhan itu bukan sahaja daripada segi modal, tetapi juga produktiviti yang tinggi melalui penggunaan kemahiran dan inovasi, koordinasi yang diperbaiki, penjenamaan yang kukuh dan mematuhi piawaian antarabangsa dan hak harta intelektual.
"Ekonomi yang berasaskan pengetahuan, pelaburan dalam teknologi baru, kemahiran yang pelbagai, inovasi dan kreativiti, serta peningkatan kecekapan adalah pemacu kepada prestasi sektor awam dan swasta," katanya.
Beliau menambah, pelaburan dan persaingan pasaran untuk mendapatkan bakat terbaik juga akhirnya akan mewujudkan suasana pembayaran upah yang tinggi.
Najib juga menegaskan, dalam memberikan rakyat kehidupan berkualiti, MEB mesti bertunjangkan kepada penjanaan pertumbuhan ekonomi mapan yang mengambil kira kesan ke atas persekitaran dan sumber asli.
"Tidak ada maknanya kita terlalu mengejar masa depan dengan kekayaan yang melimpah-ruah, sekiranya sumber alam dan nilai masyarakat terhakis yang bakal dihadapi oleh generasi akan datang," katanya.
Wednesday, March 10, 2010
0 UEFA Champion Leagu: Arsenal 5, Porto 0
Sumber: Arsenalmalaysia.blogspot.com :
UEFA Champion League: Arsenal Bergaya Atasi Porto 5-0! 
Terbaik dari Arsenal, tiada ungkapan lain yang dapat mengambarkan kemenangan Arsenal pada pagi ini dengan begitu banyak gerakan dan pemainan cantik yang ditunjukan Arsenal. Ketiadaan kapten pasukan,Cesc Fabregas tidak begitu dirasai apabila Arsenal mudah melepasi halangan daripada Porto dengan kemenangan 5-0 di Emirates Stadium, dan aggregate 6-2 dan hero pada pagi ini ialah Nicklas Bendtner yang menjaringkan hatrik pertama beliau bersama Arsenal. Berikut ialah kesebelasan utama Arsenal yang diturunkan Wenger:-
Arsenal's Team XI
Almunia
Sagna---Campbell---Vermaelen---Clichy
Nasri---Song---Diaby
Rosicky---Bendtner---Arshavin
Subs: Fabianski, Armand Traore, Silvester,Walcott,Eboue,Denilson,Eduado.
Arsenal membuat perubahan pada skuad yang menang sabtu lepas ketika melayan Porto pagi tadi dengan memberi peluang kepada Campbell bergandingan dengan Vermaelen serta Song kembali mengisi dibahagian defensive midfielder dan Arshavin mengantikan Walcott dengan bermain di sebelah sayap kiri.
Arsenal yang memerlukan gol awal bagi menghidupkan peluang, ternyata impian tersebut menjadi kenyataan apabila Nicklas Bendtner membuka jaringan pada awal pemainan pada minit ke-9 selepas mendapat bola muntah hasil gerakan Nasri dan Arshavin dengn menolak mudah bola ke gawang Porto.
Kemudian Arsenal mengandakan asakan bagi menambah jaringan dan pada minit ke-25 Bendtner sekali lagi menjadi pemain yang menjaringkan gol apabila gerakkan yang dimulakan oleh Arshavin yang berjaya mengelecek pertahanan Porto masuk kedalam kotak penalti dan membuat hantaran kepada Bendtner yang tidak dijaga oleh pertahanan Porto dan Bendtner mudah menolak bola kegawang yang terbuka luas. First half Arsenal mendahului 2-0.
Pada separuh masa kedua Arsenal bermula agak perlahan, dengan Porto yang semakin terdesak mencari gol bagi sekurang-kurangnya mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti tetapi tersentak apabila Samir Nasri menjaringkan gol cantik pada minit ke-63. Nasri yang dikawal rapat oleh 3 orang pertahanan Porto berjaya mengelecek dan melepasi halangan sebelum merembat masuk melepasi penjaga gol Porto iaitu Helton ke penjuru gol. Gol yang menarik serta gerakkan solo yang menarik dari pemain yang terbaik.Arsenal mendahului 3-0 dan membunuh semangat melawan Porto yang cuba bangkit.
Tidak cukup dengan itu, Wenger membuat pertukaran dengan memasukan Eboue mengantikan Rosicky dibahagian sayap kanan. Dan hasilnya Eboue ternyata tidak mengecewakan pengurus beliau apabila menjaringkan gol ke-4 Arsenal pagi ini. Gol yang berpunca dari satu counter attack dari sepakkan sudut Porto, bola berjaya dikeluarkan pertahanan Arsenal dan Arshavin yang dikawal berjaya mencuri bola tersebut lalu membuat larian solo sambil dibantu Eboue dan Arshavin melorong bola kepada Eboue sebelum beliau memperdayakan Helton dan menolak bola ke dalam gawang yang tidak dijaga. 4-0 Arsenal mendahului pada minit ke-66.
Kemudian Bendtner melengkapkan malam gemilang Arsenal apabila menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-90 apabila Eboue dijatuhkan dalam kotak penalti sekali gus menjadikan malam terbaik bagi Nicklas Bendtner yang menjaringkan hatrik. Nampaknya Bendtner membalas balik kritikan keatas beliau.
Untuk keseluruhan pemainan, Arsenal bermain sebagai satu pasukan yang begitu baik ketika menyerang dan ampuh ketika bertahan dengan gandingan Sol Campbell dan Thomas Vermaelen membuktikan yang mereka mampu beraksi baik dan mengekalkan fokus dari dibolosi oleh penyerang Porto. Nasri dan Arshavin merupakan nadi pasukan pada pagi ini dengan beberapa gerakan menarik dan gol paling terbaik pada pagi ini semestinya gol yang dihasilkan oleh Samir Nasri (boxer bunga). Dan pujian aku juga tidak terlepas kepada prestasi terbaik yang ditunjukkan Nicklas Bendtner yang menyumbat hatrik pertama dalam karie beliau sebagai pemain Arsenal.
Habis pemainan 90minit, Arsenal berjaya layak ke suku akhir UEFA Champion League dengan sangat bergaya dan menunjukkan azam yang kuat bagi memburu piala musim ini.Aku rasa tak sia-sia aku bersengkang mata pada pagi ni. So to All Arsenal Supporter, Always Trust In Arsene Wenger!!! GO ARSENAL GO!!!
Monday, March 01, 2010
0 Lagi pemain arsenal patah kaki dalam perebutan kejuaraan
Sumber: UM:
Malang Ramsey rencat pesta Arsenal
Aaron Ramsey menahan kesakitan akibat patah kaki sambil cuba ditenangkan oleh pemain yang menerjahnya, Ryan Shawcross pada perlawanan Liga Perdana England, kelmarin.– AP
LONDON, England – Kegembiraan Arsenal mengalahkan Stoke 3-1 terencat apabila pemainnya, Aaron Ramsey patah kaki akibat terjahan keras pemain lawan, Ryan Shawcross, kelmarin.
Pengurus Arsenal, Arsene Wenger berkata, Ramsey mungkin akan dipindahkan ke hospital di London.
‘‘Kami tahu ia merupakan kecederaan yang amat teruk, namun kami tidak tahu berapa lama dia akan direhatkan, apa yang pasti sudah tentu untuk jangka panjang.
‘‘Saya kecewa dengan terjahan yang dilakukan oleh Shawcross. Kami memang sudah mengetahui dengan cabaran yang akan dihadapi dalam setiap perlawanan.
‘‘Namun, kami hilang tiga pemain (Eduardo dan Abou Diaby) kerana terjahan melampau, saya enggan untuk mempercayai bahawa ia merupakan satu kebetulan.
‘‘Saya sukar mempercayai apabila terpaksa melalui perkara seperti ini. Saya hanya percaya apa yang saya lihat dan apabila anda mendapati pemain mengalami kecederaan sedemikian, ia amat sukar untuk diterima,’’ kata Wenger.
Shawcross dilayangkan kad merah sejurus selepas insiden itu dan dia menangis selepas melihat kecederaan yang dialami Ramsey.
‘‘Kami tidak dilindungi sepenuhnya. Kadang kala kami sering menjadi mangsa kepada kekasaran pemain lawan,’’ kata ketua pasukan Arsenal, Cesc Fabregas.
Namun, Shawcross mengakui tiada niat mencederakan Ramsey ketika melakukan terjahan itu.
‘‘Saya berasa cukup sedih apabila melihat Ramsey mengalami kecederaan yang begitu teruk dan harapan saya bersamanya.
‘‘Saya mendoakan Ramsey agar cepat sembuh daripada kecederaannya,’’ kata Shawcross.
Selepas perlawanan itu, Fabio Capello memanggil Shawcross ke dalam skuad England buat kali pertama dalam kariernya menjelang pertemuan persahabatan dengan Mesir.
‘‘Sepanjang yang saya tahu, Shawcross tidak pernah berniat sebegitu. Tidak mungkin... walaupun berjuta tahun dia tidak akan beraksi dan berbuat begitu kepada seseorang.
‘‘Dia begitu kecewa dengan apa yang terjadi, anda boleh lihat dia menangis ketika meninggalkan padang, dia terkejut apabila mengetahui kecederaan Ramsey,’’ kata Wenger.
Permainan terikat 1-1 ketika insiden itu berlaku, namun Arsenal mendapat penalti di saat akhir permainan sebelum Thomas Vermaelen menambah jaringan ketiga pada masa kecederaan. – AP
Respon:
Apabila melihat ulang tayang pertembungan kaki itu, betapa sukar untuk mempercaya. Masih ingat bagaimana tiga tahun dulu, pemain arsenal patah kaki dan sejak itu prestasi merosot dan gagal kerkal di takhta liga. Sangat menyedihkan untuk pasukan, team, negaranya, dirinya, keluarganya dan semua yang dekat dengan ramsey.
0 Laporan berita gempa di Chile oleh Utusan Malaysia
Sumber: UM:
Chile bergegar lagi 115 kali
WASHINGTON 28 Feb. - Beberapa gegaran baru yang kuat melanda Chile awal hari ini, gegaran susulan selepas gempa kuat yang melanda negara Amerika Latin itu, semalam.
Setakat ini jumlah korban dilaporkan meningkat kepada 300 orang dan jumlah yang terbunuh dalam bencana itu dijangka terus meningkat.
Jabatan Geologi Amerika Syarikat menyatakan sebanyak 115 gegaran susulan dilaporkan di negara itu berukuran antara 4.9 hingga 6.9 pada skala Richter awal hari ini.
Kejadian itu menyebabkan penduduk di wilayah tengah Chile yang teruk dilanda bencana itu terpaksa bermalam dalam khemah bagi mengelakkan kemalangan.
Jabatan itu melaporkan gegaran paling kuat berukuran 6.1 pada skala Richter dikesan pada pukul 8.25 pagi waktu tempatan (pukul 11.25 malam waktu Malaysia), pada kedalaman 35 kilometer kira-kira 63 kilometer ke utara bandar Talca.
Chile terletak dalam kawasan lingkaran api di Pasifik dan sering mengalami gegaran seismik.
Pusat gempa bumi yang berlaku semalam berada beberapa ratus kilometer ke utara kejadian gempa besar yang melanda Chile pada Mei, 1960 berukuran 9.5 pada skala Richter yang mengorbankan antara 2,200 hingga 5,700 penduduk.
Pegawai Chile berkata, kejadian gempa semalam menyebabkan 1.5 juta rumah dan bangunan rosak atau ranap, selain menyebabkan kemudahan pengangkutan di bandar Concepcion yang terletak berhampiran pusat gempa itu mengalami kerosakan teruk.
Gempa yang melanda Chile semalam itu juga merupakan antara 10 gempa paling kuat pernah dilaporkan dalam sejarah.
Gegarannya dapat dirasakan sehingga sejauh Jepun dan turut menyebabkan tsunami di Lautan Pasifik.
Amaran tsunami telah dikeluarkan di 55 negara sehingga ke New Zealand dan gempa itu telah mencetuskan tsunami di utara Jepun, menyebabkan ratusan ribu penduduk dipindahkan. – AFP
Respon:
115 gegaran susulan? 10 gempa terkuat dalam sejarah? Takut! Mari berdoa kepada Tuhan Yang Maha Kuasa.
0 Gempa bumi terkuat dan bertalu-talu di merata-rata tempat
Sumber: BH:
16 gempa bumi kuat gegar Chile, 214 maut
CONCEPCION, Chile: Satu daripada gempa bumi terkuat dunia pada abad ini menggoncang Chile semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 214 orang maut, meruntuhkan bangunan serta mencetuskan tsunami yang mengancam pantai Pasifik sehingga Hawai dan Jepun.
Bangunan terbakar, jambatan runtuh dan runtuhan menghalang jalan raya di serata tengah Chile tetapi angka korban awal adalah agak rendah berbanding gempa bumi yang menggegarkan Haiti bulan lalu.
Sebuah bangunan pangsapuri dengan 200 penghuni runtuh di Concepcion, bandaraya paling hampir dengan pusat gempa itu, dan anggota penyelamat tidak pasti beberapa ramai yang terselamat.
Kenderaan yang terbalik berselerakkan di bawah jejambat runtuh di ibu negara Santiago dan bekalan elektrik terputus di serata tempat, menyukarkan usaha menilai tahap kerosakan dan kemalangan jiwa.
Kerajaan menyatakan sekurang-kurangnya 214 orang terbunuh dalam gempa bumi bermagnitud 8.8 itu yang berlaku pada 3.34 pagi (0634 GMT), menyebabkan orang ramai yang sedang tidur bertempiaran keluar dari rumah masing-masing ke jalan raya sambil berpelukan dan menangis.
Pegawai Chile berkata, bilangan kematian tidak mungkin meningkat secara drastik dan Pusat Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGA) piawaian bangunan yang baik membantu mengurangkan kemalangan jiwa.
Ia adalah gempa bumi kelima terkuat sejak 1900 dan menjejaskan ekonomi serta prasarana pengeluar tembaga utama dunia itu. - Reuters
Respon:
Sangat menakutkan apabila rentetan gempa bumi berlaku dalam selang masa yang singkat setiap hari di banyak tempat di seluruh dunia.
0 PM benarkan rakyat manfaat jana wang di internet
Sumber: BH:
Rakyat diminta manfaat internet jana pendapatan
Oleh Abdul Razak Raaff dan Rosli Abdul Jalil
bminggu@bharian.com.my
PEKAN: Datuk Seri Najib Razak meminta rakyat memanfaatkan sepenuhnya laman sosial internet yang semakin popular di kalangan masyarakat negara ini bagi menjana ekonomi menerusi perniagaan secara atas talian (online).
Perdana Menteri berkata laman sosial seperti Facebook, Myspace, Twitter dan Friendster bukan hanya untuk bersuka-suka atau aktiviti sosial.
“Saya meminta masyarakat tidak hanya menggunakan internet atau jalur lebar untuk kegunaan sosial tetapi juga menggunakan kemudahan ini untuk mempertingkatkan ekonomi masing-masing dengan menjalankan aktiviti perniagaan secara online,” katanya ketika berucap melancarkan Tanjung Agas Real-Time Broadband (TARB) Tanjung Agas Technology Sdn Bhd, di sini, semalam.
Turut hadir Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah yang juga Pengerusi Tanjung Agas Technology Sdn Bhd (TATSB) dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Najib berkata, banyak laman sosial atau sesawang tempatan boleh digunakan untuk menjalankan perniagaan atau mencari maklumat yang lebih bermanfaat untuk menjana ekonomi dan perniagaan.
“Sejajar dengan tahun inovasi kali ini, rakyat seharusnya berinovasi untuk membangunkan ekonomi dan taraf hidup melalui teknologi komunikasi maklumat (ICT ) dan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB),” katanya.
Najib juga meminta supaya pengguna internet tidak menyalahgunakan laman sosial bagi tujuan memfitnah atau memburukkan pihak lain.
“Infrastruktur dan perkhidmatan moden saja tidak memadai dan ia perlu digunakan sebaik-baiknya oleh orang ramai dan janganlah disalahgunakan termasuk menabur fitnah,” katanya.
Najib berkata, hanya beberapa hari lalu, laman Facebooknya mencapai lebih 100,000 peminat, membuktikan masyarakat negara ini sememangnya gemar berhubung.
Sementara itu, Najib turut melakukan kunjungan ke Unit Haemodialisis Hospital Pekan dan menyaksikan penyerahan tiga unit mesin haemodialisis bernilai RM135,000 yang disumbangkan Radicare (M) Sdn Bhd.
Unit itu mempunyai 16 unit mesin haemodialisis yang memberi perkhidmatan kepada 41 pesakit buah pinggang.
Sumbangan itu bagi membantu pihak hospital menampung rawatan bagi pesakit yang memerlukan rawatan dialisis di Hospital Pekan.
Respon:
Bidang maklumat adalah produk dan perkhidmatan yang baik. Yang penting, kita kena hasilkan produk sendiri. Program affiliate juga merupakan pilihan terbaik, kita harus tahu skil dan triknya...
