.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Saturday, February 20, 2010

0 Dashyatnya pengaruh otak kanan dalam mempengaruhi keputusan? Antara membunuh dan bunuh diri, ia tetap dosa

Sumber: UM:

Serangan ala 9/11 di Texas



Betapa besarnya harga yang perlu dibayar


AUSTIN, Texas 19 Feb. - Seorang jurutera perisian komputer yang dipercayai tidak berpuas hati dengan kerajaan Amerika Syarikat (AS) merempuh bangunan pejabat cukai di sini semalam dengan menggunakan sebuah pesawat satu enjin.

Tindakan kamikaze itu menyebabkan dua orang mati, 13 lagi cedera dan bangunan tujuh tingkat itu mengalami kemusnahan besar walaupun pesawat terlibat hanyalah sebuah pesawat kecil.

Para pegawai kerajaan berkata, perbuatan tersebut disengajakan tetapi ia tidak mempunyai kaitan dengan keganasan antarabangsa.

Jurutera terbabit, Joseph Stack meninggalkan nota bunuh diri di Internet yang menyatakan rasa amat tidak puas hatinya terhadap pihak berkuasa percukaian AS. Dua daripada mereka yang cedera berada dalam keadaan kritikal.

''Mayat dua individu ditemui dalam bangunan itu,'' kata jurucakap Pejabat Pengurusan Kecemasan, Candice Wade yang enggan mengesahkan juruterbang pesawat itu merupakan seorang daripada yang ditemui mati.

Pesawat berkenaan merempuh tingkat dua bangunan tujuh tingkat tersebut yang menempatkan Pejabat Hasil Dalam Negeri pada pukul 9.56 pagi waktu tempatan yang mengakibatkan letupan besar hingga memaksa orang menyelamatkan diri melalui tingkap.

Pesawat pejuang diterbangkan ke tempat kejadian yang menyebabkan ramai warga AS terkenang semula serangan al-Qaeda pada 11 September 2001 (9/11).

''Kejadian hari ini mendedahkan kelemahan di pihak kita sejak 9/11. Pesawat terlibat ialah Piper Dakota, sebuah pesawat kecil namun kemusnahan yang berlaku begitu teruk, ia hampir meranapkan seluruh bangunan, sungguh luar biasa,'' kata Ahli Kongres AS, Michael McCaul.

Jurucakap White House, Robert Gibbs berkata, tindakan itu boleh dianggap sebagai keganasan domestik namun beliau mahu melihat hasil siasatan sebelum memberi tafsiran sesuai mengenainya.

''Presiden Barack Obama dimaklumkan perkembangan siasatan yang diketuai oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI),'' katanya.

Stack dipercayai membakar rumahnya di sini sebelum keluar untuk menerbangkan pesawat miliknya di sebuah lapangan terbang berhampiran.

''Melihat kepada kemusnahan yang berlaku, kita masih bernasib baik kerana tidak ramai yang cedera. Saya percaya ada sejumlah orang orang yang bertindak bagai hero pagi ini,'' kata Ketua Polis Austin, Art Acevedo sambil memuji mereka dalam bangunan tersebut dan petugas kecemasan.

Kandungan nota yang ditandatangani oleh Stack menuduh kerajaan AS mengamalkan sistem cukai tidak adil yang telah memusnahkan kehidupannya. - AFP

Friday, February 19, 2010

0 Syukurlah apa yang ada, jika minyak telah habis hendak dapat 100j atau 500j pun tentu payah

Sumber: UM:

Petronas Gas untung RM966.28 juta

KUALA LUMPUR 18 Feb. - Petronas Gas Bhd. (Petronas Gas) telah mencatatkan keuntungan sebelum cukai belum diaudit berjumlah RM966. 28 juta bagi tempoh sembilan bulan pertama yang berakhir pada 31 Disember 2009.

Ia mewakili peningkatan sebanyak RM81.718 juta berbanding RM884.5 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Petronas Gas dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia di sini hari ini berkata, perolehan syarikat dalam tempoh sembilan bulan pertama, menguncup sedikit kepada RM2.41 bilion berbanding RM2.47 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Manakala pendapatan asas sesaham syarikat itu adalah sebanyak 37.37 sen.

Jumlah dividen keseluruhan yang dibayar pula adalah sebanyak RM963.9 juta dalam tempoh sembilan bulan tahun ini berbanding RM840.9 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

"Perolehan syarikat untuk suku ketiga yang berakhir 31 Disember 2009 adalah RM810.9 juta berbanding RM832.9 juta untuk tempoh yang sama tahun lalu,'' kata kenyataan tersebut.

Keuntungan sebelum cukai untuk suku ketiga Petronas Gas pula adalah sebanyak RM343.3 juta berbanding RM222.2 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Petronas Gas memberitahu, peningkatan keuntungan itu didorong oleh kos perolehan yang lebih rendah.

Mengulas prospek perniagaan pada tahun ini, Petronas Gas berkata, walaupun prospek perolehan untuk kegiatan pemerosesan dan transmisi perniagaan bergantung kepada permintaan gas, tetapi ia tidak menjejaskan keuntungan.

Prospek untuk perniagaan utiliti pula bergantung kepada pemulihan ekonomi.

"Sebarang perubahan harga gas akan memberi kesan kepada harga yang ditawarkan kepada para pelanggan,'' ujarnya.

0 Wahai manusia, apabila lawak budak sekolah Fabianski ini jadi tajuk popular semalam, marilah kita jangan sebodoh atau lalai seperti itu?

Sumber: UM:

Porto hukum Arsenal


PENJAGA gol Arsenal, Lukasz Fabianski (kanan) tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil, Martin Hansson (dua dari kiri) memberi sepakan percuma kepada Porto, sambil diperhatikan pemain Porto, Ruben Micael (dua dari kanan) dan pemain Arsenal, Sol Campbell dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah di Porto semalam. – AP

--------------------------------------------------------------------------------



LONDON – Dua kesilapan ‘budak sekolah’ yang dilakukan penjaga gol Arsenal menghukum kelab Liga Perdana England itu apabila tunduk 2-1 kepada Porto dalam perlawanan pertama, saingan 16 terbaik bola sepak Liga Juara-Juara Eropah di Porto, semalam.

Mimpi ngeri skuad Gunners bermula seawal minit ke-11 selepas penjaga gol keduanya, Lukasz Fabianski, yang mengisi tempat penjaga gol utama, Manuel Almunia terlepas bola tendangan lemah Silvestre Varela.

Penjaga gol muda Poland berusia 24 tahun itu kemudian melakukan satu lagi kesilapan amatur, menangkap bola hantaran ke belakang daripada rakan sepasukan, Sol Campbell, yang membawa kepada gol kemenangan Porto.

Walaupun Campbell berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi tandukan cantik pada minit ke-18, namun gol kontroversi Porto yang disempurnakan Radamel Falcao di minit ke-51 menafikan hajat skuad Gunners untuk membawa pulang bekalan lebih selesa.

Jaringan tersebut mencetuskan kontroversi kerana pemain Porto mengambil sepakan percuma yang pantas ketika pemain-pemain Arsenal masih bercakap dengan pengadil, Martin Hansson.

Amat malang sekali, Hansson membenarkan jaringan tersebut sekalipun dibantah keras oleh Arsenal.

Kemenangan itu membolehkan Porto, juara Eropah 2006 membawa bekalan apabila berkunjung ke London untuk perlawanan kedua di Stadium Emirates, 9 Mac ini.

Bagi pengurus Arsenal, Arsene Wenger tindakan pengadil membenarkan jaringan tersebut adalah satu kesilapan besar.

“Saya percaya ia (hantaran ke belakang) tidak disengajakan oleh Sol, dia tersentuh bola secara tidak sengaja.

“Malah, pengadil juga sepatutnya memberikan kami masa untuk membuat tembok pemain dan bukan membenarkan lawan mengambil sepakan yang pantas pada ketika pemain kami belum lagi bersedia,’’ ujar Wenger kepada televisyen Britain.

Kapten Arsenal, Cesc Fabregas pula berkata, pasukannya terpaksa membayar harga yang tinggi ekoran kesilapan tidak sepatutnya.

“Bila anda melepaskan gol seperti ini, anda tidak boleh pergi ke mana-mana. Kesilapan budak sekolah, apa yang boleh anda lakukan ?,’’ kata Fabregas.

Jaringan tersebut juga menenggelamkan penampilan pertama Campbell dalam kancah Eropah, empat tahun selepas beraksi buat kali pertama buat Arsenal dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang Barcelona.

Ia sepatutnya menjadi malam indah buat Campbell selepas menjaringkan gol penyamaan yang cantik, tujuh minit selepas jaringan pembukaan Porto.

“Keputusan ini tetap baik buat Arsenal kerana mereka menjaringkan gol di tempat lawan,’’ kata pengurus Porto, Jesualdo Ferreira. – AP

0 Apabila BI harus digunakan di dunia global, kita akan tahu bahawa BI ini penting. Dalam membaca news paper pun kita dapat rasa kerugiannya

Sumber: BH:

Atase Indonesia didakwa lemah bahasa Inggeris


Pegawai terbabit kerap ambil cuti sakit elak temui wakil asing

JAKARTA: Beberapa duta Indonesia di kedutaan luar negara begitu lemah berbahasa Inggeris sehinggakan mereka mengambil cuti sakit bagi mengelakkan pertemuan dengan pegawai asing, kata pegawai kanan Kementerian Luar.

Imron Cotan, pegawai nombor dua di Kementerian Luar Indonesia, memberitahu jawatankuasa parlimen bahawa masalah itu bukannya berpunca daripada diplomatnya sendiri tetapi pegawai atase yang dihantar ke kedutaan oleh kementerian lain termasuk pertahanan, perdagangan dan kewangan.

"Saya mendapati sebilangan pegawai atase kami tidak lancar berbahasa Inggeris," lapor akhbar Jakarta Post kelmarin. Imron memberitahu jawatankuasa parlimen yang menyiasat pencapaian diplomat Indonesia.

"Setiap kali rakan sejawatan mereka dari negara tuan rumah ingin mengadakan pertemuan, mereka akan takut dan mencari helah bagi mengelakkannya," tambah Imron.

Cuti sakit adalah alasan biasa bagi mengelakkan pertemuan itu, kata Imron. Beliau tidak memberi bilangan pegawai atase yang kurang mahir berbahasa Inggeris.

Imron yang pernah mewakili Indonesia di New York, Geneva dan Australia – mencadangkan semua calon pegawai atase lulus ujian bertulis dalam bahasa Inggeris, yang menjadi bahasa diplomatik antarabangsa.

Kebanyakan rakyat Indonesia bertutur bahasa Indonesia, bahasa rasmi di negara itu juga mempunyai beratus-ratus loghat lain.

Bahasa Inggeris adalah wajib dalam kurikulum sekolah awam tetapi jarang kedengaran dipertuturkan dan tidak ramai rakyat Indonesia mahir dalam bahasa berkenaan.

Jurucakap Kementerian Luar, Teuku Faizahsyah mengesahkan laporan akhbar itu, tetapi enggan menamakan kedutaan mana daripada 119 kedutaan Indonesia yang menghadapi masalah itu.

Teuku Faizahsyah berkata kementeriannya tidak bertanggungjawab bagi kemahiran berbahasa pegawai atase yang dihantar oleh jabatan lain ke kedutaan asing.

"Ia adalah tanggungjawab kerajaan memastikan pegawainya mempunyai kemampuan yang diperlukan dalam menjalankan tugas di luar negara," kata Teuku Faizahsyah. – AP

Thursday, February 18, 2010

0 Hairan tiada penguatkuasaan kepada penjual DVD 'cetak rompak' di merata tempat di sekitar KK termasuk supermarket? Dulu heboh pasal VCD? Sekarang?

Sumber: BH:

Mesin DVD RM10 juta dirampas
Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
bhnews@bharian.com.my



AYUB menunjukkan peralatan menghasilkan DVD cetak rompak pelbagai tajuk dan lucah dalam serbuan di Lintang Maccalum 1, Georgetown, semalam.


Polis tahan tujuh lelaki sedang salin filem cetak rompak dalam serbuan

GEORGETOWN: Polis merampas sebanyak 200,000 keping cakera video digital (DVD) cetak rompak serta dua mesin membuat salinan langgaran yang bernilai RM10 juta dalam serbuan di Bangunan Harbour Trade Centre di Lintang Maccalum 1 di sini, semalam.

Dalam serbuan jam 3 petang oleh sepasukan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri diketuai Asisten Superintendan Nazarudin Abdul Razak, tujuh lelaki termasuk tiga warga Myanmar turut diberkas.

Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakub, berkata ketika serbuan lelaki berkenaan yang berusia 20-an sedang melakukan kerja menyalin DVD serta mencetak tajuk filem terbaru untuk pasaran.

Katanya, sindiket itu yang dipercayai beroperasi sejak dua bulan lalu, memasarkan DVD berkenaan ke negeri

di Utara Semenanjung.

"Pemeriksaan mendapati tiga warga Myanmar itu mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai diambil bekerja untuk memproses dan mencetak DVD," katanya.

Beliau bercakap demikian selepas meninjau lokasi kegiatan itu di sini, semalam.

Mesin yang digunakan untuk membuat salinan DVD diletakkan dalam dua bilik dengan setiap satu dipercayai boleh membuat salinan kira-kira 6,000 hingga 10,000 keping DVD sejam.

Sindiket itu juga didapati menggunakan premis kediaman di tingkat satu bangunan itu untuk melakukan kegiatan haram bagi mengelirukan pihak berkuasa.

Sekali pandang premis itu seperti tidak berpenghuni dengan pintu depan dipasang besi jeriji.

Ayub berkata, siasatan awal mendapati mesin pencetak itu diimport dan dipercayai mempunyai permit yang dikeluarkan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).

Siasatan dijalankan bagi mengesan pemilik premis itu dan rangkaian pengedar serta dalang sindiket terbabit.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 (4) Akta Hakcipta 1987 bersama Seksyen 41 (d) akta sama.

0 Pelajaran untuk ibu-bapa dan bakal ibu-bapa untuk membijakkan anak

Sumber: BH:

Bayi faham 2 bahasa sejak dalam perut


WASHINGTON: Satu kajian disiarkan rancangan Psychological Science menunjukkan bayi yang mendengar dua bahasa ketika dalam perut lebih terbuka untuk menguasai dua bahasa.

Pakar sains psikologi dari University of British Columbia dan seorang penyelidik dari Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan di Perancis membuat ujian terhadap dua kumpulan bayi yang baru dilahirkan.

Satu kumpulan hanya mendengar bahasa Inggeris ketika dalam kandungan manakala kumpulan lain mendengar bahasa Inggeris dan Tagalog.

Untuk mengenal pasti pilihan bayi bagi sesuatu bahasa, penyelidik menjejak tindak balas menghisap bayi baru dilahirkan.

Peningkatan kadar hisapan membayangkan tindak balas bayi itu terhadap sesuatu stimulus.

Dalam ujian pertama, bayi terbabit mendengar 10 minit ucapan dengan setiap minit diselang selikan dengan bahasa Inggeris dan Tagalog.

Bayi yang hanya berbahasa Inggeris lebih berminat dalam bahasa itu berbanding Tagalong di mana mereka menunjukkan peningkatan dalam kadar hisapan apabila mendengar perkataan Inggeris berbanding percakapan dalam bahasa Tagalog.

Manakala bayi yang terdedah dengan dua bahasa menunjukkan pilihan yang sama bagi bahasa Inggeris dan Tagalog. - AFP

1 Apakah hukuman hanya tertanggung kepada wanita sahaja dan lelaki belum disabitkan?

Sumber: BH:

3 wanita disebat
Oleh Sazarina Shahrim
sazarina@bharian.com.my

Kumpulan pertama jalani hukuman ikut undang-undang syariah: Hishammuddin

PUTRAJAYA: Tiga wanita yang disabitkan dengan kesalahan melakukan persetubuhan luar nikah, menjadi kumpulan wanita pertama menjalani hukuman sebat mengikut undang-undang syariah di negara ini.

Pelaksanaan hukuman itu dijalankan di Penjara Wanita Kajang pada 9 Februari lalu dengan disaksikan 13 orang termasuk Pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan serta pegawai dari Bahagian Syariah Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Dalam Negeri.



Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata dua daripada wanita itu dikenakan enam sebatan, manakala seorang lagi empat sebatan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 23 (2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 antara Disember 2009 hingga Januari lalu.

Sambil merujuk kebimbangan sesetengah pihak berhubung hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi Shukarnor yang belum dilaksanakan, beliau menegaskan sebatan terhadap tiga wanita itu tidak langsung mendatang kecederaan.

"Dari segi pelaksanaan dan kebimbangan orang ramai kononnya apa yang berlaku (hukuman) tidak berperikemanusiaan dan mencederakan, tidak berasas dan hanya digembar-gemburkan sedangkan apa yang dilihat tiada kesan kecederaan langsung.

"Berdasarkan temubual dengan tiga pesalah wanita itu, didapati bahawa mereka reda, insaf dan bertaubat dengan hukuman yang diterima.

"Walaupun sebatan tidak mendatangkan luka pada badan, mereka mengakui ia mendatang kesan yang mendalam kepada diri," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet kementeriannya di sini, semalam.

Beliau berkata, seorang daripada wanita itu sudah dibebaskan Ahad lalu selepas menjalani hukuman penjara sebulan, seseorang lagi akan dibebaskan hujung bulan ini manakala pesalah ketiga Jun depan.

Selain tiga wanita terbabit, katanya, empat pesalah lelaki turut dikenakan hukuman enam sebatan pada hari sama pada jam 10 pagi.

Tahun lalu, keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan yang menjatuhkan hukuman enam sebatan terhadap Kartika Sari kerana kesalahan meminum arak, mencetuskan kontroversi sehingga menyebabkan hukuman berkenaan terpaksa ditangguhkan sehingga hari ini.

Beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mempertikaikan hukuman itu yang didakwa sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan walaupun Kartika Seri sendiri rela untuk dikenakan sebatan.

Hishammuddin berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama dan kehakiman syarie dalam melaksanakan hukuman itu.

"Saya berharap isu ini tidak disalah erti sehingga mencemarkan kesucian Islam. Hukuman berkenaan adalah untuk mendidik dan memberi keinsafan supaya mereka yang terlanjur dapat kembali ke pangkal jalan dan membina hidup baru yang lebih baik," katanya.