Sumber: UM:
Porto hukum Arsenal
PENJAGA gol Arsenal, Lukasz Fabianski (kanan) tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil, Martin Hansson (dua dari kiri) memberi sepakan percuma kepada Porto, sambil diperhatikan pemain Porto, Ruben Micael (dua dari kanan) dan pemain Arsenal, Sol Campbell dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah di Porto semalam. – AP
--------------------------------------------------------------------------------
LONDON – Dua kesilapan ‘budak sekolah’ yang dilakukan penjaga gol Arsenal menghukum kelab Liga Perdana England itu apabila tunduk 2-1 kepada Porto dalam perlawanan pertama, saingan 16 terbaik bola sepak Liga Juara-Juara Eropah di Porto, semalam.
Mimpi ngeri skuad Gunners bermula seawal minit ke-11 selepas penjaga gol keduanya, Lukasz Fabianski, yang mengisi tempat penjaga gol utama, Manuel Almunia terlepas bola tendangan lemah Silvestre Varela.
Penjaga gol muda Poland berusia 24 tahun itu kemudian melakukan satu lagi kesilapan amatur, menangkap bola hantaran ke belakang daripada rakan sepasukan, Sol Campbell, yang membawa kepada gol kemenangan Porto.
Walaupun Campbell berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi tandukan cantik pada minit ke-18, namun gol kontroversi Porto yang disempurnakan Radamel Falcao di minit ke-51 menafikan hajat skuad Gunners untuk membawa pulang bekalan lebih selesa.
Jaringan tersebut mencetuskan kontroversi kerana pemain Porto mengambil sepakan percuma yang pantas ketika pemain-pemain Arsenal masih bercakap dengan pengadil, Martin Hansson.
Amat malang sekali, Hansson membenarkan jaringan tersebut sekalipun dibantah keras oleh Arsenal.
Kemenangan itu membolehkan Porto, juara Eropah 2006 membawa bekalan apabila berkunjung ke London untuk perlawanan kedua di Stadium Emirates, 9 Mac ini.
Bagi pengurus Arsenal, Arsene Wenger tindakan pengadil membenarkan jaringan tersebut adalah satu kesilapan besar.
“Saya percaya ia (hantaran ke belakang) tidak disengajakan oleh Sol, dia tersentuh bola secara tidak sengaja.
“Malah, pengadil juga sepatutnya memberikan kami masa untuk membuat tembok pemain dan bukan membenarkan lawan mengambil sepakan yang pantas pada ketika pemain kami belum lagi bersedia,’’ ujar Wenger kepada televisyen Britain.
Kapten Arsenal, Cesc Fabregas pula berkata, pasukannya terpaksa membayar harga yang tinggi ekoran kesilapan tidak sepatutnya.
“Bila anda melepaskan gol seperti ini, anda tidak boleh pergi ke mana-mana. Kesilapan budak sekolah, apa yang boleh anda lakukan ?,’’ kata Fabregas.
Jaringan tersebut juga menenggelamkan penampilan pertama Campbell dalam kancah Eropah, empat tahun selepas beraksi buat kali pertama buat Arsenal dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara menentang Barcelona.
Ia sepatutnya menjadi malam indah buat Campbell selepas menjaringkan gol penyamaan yang cantik, tujuh minit selepas jaringan pembukaan Porto.
“Keputusan ini tetap baik buat Arsenal kerana mereka menjaringkan gol di tempat lawan,’’ kata pengurus Porto, Jesualdo Ferreira. – AP
Friday, February 19, 2010
0 Wahai manusia, apabila lawak budak sekolah Fabianski ini jadi tajuk popular semalam, marilah kita jangan sebodoh atau lalai seperti itu?
0 Apabila BI harus digunakan di dunia global, kita akan tahu bahawa BI ini penting. Dalam membaca news paper pun kita dapat rasa kerugiannya
Sumber: BH:
Atase Indonesia didakwa lemah bahasa Inggeris
Pegawai terbabit kerap ambil cuti sakit elak temui wakil asing
JAKARTA: Beberapa duta Indonesia di kedutaan luar negara begitu lemah berbahasa Inggeris sehinggakan mereka mengambil cuti sakit bagi mengelakkan pertemuan dengan pegawai asing, kata pegawai kanan Kementerian Luar.
Imron Cotan, pegawai nombor dua di Kementerian Luar Indonesia, memberitahu jawatankuasa parlimen bahawa masalah itu bukannya berpunca daripada diplomatnya sendiri tetapi pegawai atase yang dihantar ke kedutaan oleh kementerian lain termasuk pertahanan, perdagangan dan kewangan.
"Saya mendapati sebilangan pegawai atase kami tidak lancar berbahasa Inggeris," lapor akhbar Jakarta Post kelmarin. Imron memberitahu jawatankuasa parlimen yang menyiasat pencapaian diplomat Indonesia.
"Setiap kali rakan sejawatan mereka dari negara tuan rumah ingin mengadakan pertemuan, mereka akan takut dan mencari helah bagi mengelakkannya," tambah Imron.
Cuti sakit adalah alasan biasa bagi mengelakkan pertemuan itu, kata Imron. Beliau tidak memberi bilangan pegawai atase yang kurang mahir berbahasa Inggeris.
Imron yang pernah mewakili Indonesia di New York, Geneva dan Australia – mencadangkan semua calon pegawai atase lulus ujian bertulis dalam bahasa Inggeris, yang menjadi bahasa diplomatik antarabangsa.
Kebanyakan rakyat Indonesia bertutur bahasa Indonesia, bahasa rasmi di negara itu juga mempunyai beratus-ratus loghat lain.
Bahasa Inggeris adalah wajib dalam kurikulum sekolah awam tetapi jarang kedengaran dipertuturkan dan tidak ramai rakyat Indonesia mahir dalam bahasa berkenaan.
Jurucakap Kementerian Luar, Teuku Faizahsyah mengesahkan laporan akhbar itu, tetapi enggan menamakan kedutaan mana daripada 119 kedutaan Indonesia yang menghadapi masalah itu.
Teuku Faizahsyah berkata kementeriannya tidak bertanggungjawab bagi kemahiran berbahasa pegawai atase yang dihantar oleh jabatan lain ke kedutaan asing.
"Ia adalah tanggungjawab kerajaan memastikan pegawainya mempunyai kemampuan yang diperlukan dalam menjalankan tugas di luar negara," kata Teuku Faizahsyah. – AP
Thursday, February 18, 2010
0 Hairan tiada penguatkuasaan kepada penjual DVD 'cetak rompak' di merata tempat di sekitar KK termasuk supermarket? Dulu heboh pasal VCD? Sekarang?
Sumber: BH:
Mesin DVD RM10 juta dirampas
Oleh Rudy Syareme Sheriffudin
bhnews@bharian.com.my
AYUB menunjukkan peralatan menghasilkan DVD cetak rompak pelbagai tajuk dan lucah dalam serbuan di Lintang Maccalum 1, Georgetown, semalam.
Polis tahan tujuh lelaki sedang salin filem cetak rompak dalam serbuan
GEORGETOWN: Polis merampas sebanyak 200,000 keping cakera video digital (DVD) cetak rompak serta dua mesin membuat salinan langgaran yang bernilai RM10 juta dalam serbuan di Bangunan Harbour Trade Centre di Lintang Maccalum 1 di sini, semalam.
Dalam serbuan jam 3 petang oleh sepasukan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri diketuai Asisten Superintendan Nazarudin Abdul Razak, tujuh lelaki termasuk tiga warga Myanmar turut diberkas.
Ketua Polis Negeri, Datuk Ayub Yaakub, berkata ketika serbuan lelaki berkenaan yang berusia 20-an sedang melakukan kerja menyalin DVD serta mencetak tajuk filem terbaru untuk pasaran.
Katanya, sindiket itu yang dipercayai beroperasi sejak dua bulan lalu, memasarkan DVD berkenaan ke negeri
di Utara Semenanjung.
"Pemeriksaan mendapati tiga warga Myanmar itu mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai diambil bekerja untuk memproses dan mencetak DVD," katanya.
Beliau bercakap demikian selepas meninjau lokasi kegiatan itu di sini, semalam.
Mesin yang digunakan untuk membuat salinan DVD diletakkan dalam dua bilik dengan setiap satu dipercayai boleh membuat salinan kira-kira 6,000 hingga 10,000 keping DVD sejam.
Sindiket itu juga didapati menggunakan premis kediaman di tingkat satu bangunan itu untuk melakukan kegiatan haram bagi mengelirukan pihak berkuasa.
Sekali pandang premis itu seperti tidak berpenghuni dengan pintu depan dipasang besi jeriji.
Ayub berkata, siasatan awal mendapati mesin pencetak itu diimport dan dipercayai mempunyai permit yang dikeluarkan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).
Siasatan dijalankan bagi mengesan pemilik premis itu dan rangkaian pengedar serta dalang sindiket terbabit.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 (4) Akta Hakcipta 1987 bersama Seksyen 41 (d) akta sama.
0 Pelajaran untuk ibu-bapa dan bakal ibu-bapa untuk membijakkan anak
Sumber: BH:
Bayi faham 2 bahasa sejak dalam perut
WASHINGTON: Satu kajian disiarkan rancangan Psychological Science menunjukkan bayi yang mendengar dua bahasa ketika dalam perut lebih terbuka untuk menguasai dua bahasa.
Pakar sains psikologi dari University of British Columbia dan seorang penyelidik dari Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan di Perancis membuat ujian terhadap dua kumpulan bayi yang baru dilahirkan.
Satu kumpulan hanya mendengar bahasa Inggeris ketika dalam kandungan manakala kumpulan lain mendengar bahasa Inggeris dan Tagalog.
Untuk mengenal pasti pilihan bayi bagi sesuatu bahasa, penyelidik menjejak tindak balas menghisap bayi baru dilahirkan.
Peningkatan kadar hisapan membayangkan tindak balas bayi itu terhadap sesuatu stimulus.
Dalam ujian pertama, bayi terbabit mendengar 10 minit ucapan dengan setiap minit diselang selikan dengan bahasa Inggeris dan Tagalog.
Bayi yang hanya berbahasa Inggeris lebih berminat dalam bahasa itu berbanding Tagalong di mana mereka menunjukkan peningkatan dalam kadar hisapan apabila mendengar perkataan Inggeris berbanding percakapan dalam bahasa Tagalog.
Manakala bayi yang terdedah dengan dua bahasa menunjukkan pilihan yang sama bagi bahasa Inggeris dan Tagalog. - AFP
1 Apakah hukuman hanya tertanggung kepada wanita sahaja dan lelaki belum disabitkan?
Sumber: BH:
3 wanita disebat
Oleh Sazarina Shahrim
sazarina@bharian.com.my
Kumpulan pertama jalani hukuman ikut undang-undang syariah: Hishammuddin
PUTRAJAYA: Tiga wanita yang disabitkan dengan kesalahan melakukan persetubuhan luar nikah, menjadi kumpulan wanita pertama menjalani hukuman sebat mengikut undang-undang syariah di negara ini.
Pelaksanaan hukuman itu dijalankan di Penjara Wanita Kajang pada 9 Februari lalu dengan disaksikan 13 orang termasuk Pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan serta pegawai dari Bahagian Syariah Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Dalam Negeri.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata dua daripada wanita itu dikenakan enam sebatan, manakala seorang lagi empat sebatan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 23 (2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 antara Disember 2009 hingga Januari lalu.
Sambil merujuk kebimbangan sesetengah pihak berhubung hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi Shukarnor yang belum dilaksanakan, beliau menegaskan sebatan terhadap tiga wanita itu tidak langsung mendatang kecederaan.
"Dari segi pelaksanaan dan kebimbangan orang ramai kononnya apa yang berlaku (hukuman) tidak berperikemanusiaan dan mencederakan, tidak berasas dan hanya digembar-gemburkan sedangkan apa yang dilihat tiada kesan kecederaan langsung.
"Berdasarkan temubual dengan tiga pesalah wanita itu, didapati bahawa mereka reda, insaf dan bertaubat dengan hukuman yang diterima.
"Walaupun sebatan tidak mendatangkan luka pada badan, mereka mengakui ia mendatang kesan yang mendalam kepada diri," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet kementeriannya di sini, semalam.
Beliau berkata, seorang daripada wanita itu sudah dibebaskan Ahad lalu selepas menjalani hukuman penjara sebulan, seseorang lagi akan dibebaskan hujung bulan ini manakala pesalah ketiga Jun depan.
Selain tiga wanita terbabit, katanya, empat pesalah lelaki turut dikenakan hukuman enam sebatan pada hari sama pada jam 10 pagi.
Tahun lalu, keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan yang menjatuhkan hukuman enam sebatan terhadap Kartika Sari kerana kesalahan meminum arak, mencetuskan kontroversi sehingga menyebabkan hukuman berkenaan terpaksa ditangguhkan sehingga hari ini.
Beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mempertikaikan hukuman itu yang didakwa sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan walaupun Kartika Seri sendiri rela untuk dikenakan sebatan.
Hishammuddin berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama dan kehakiman syarie dalam melaksanakan hukuman itu.
"Saya berharap isu ini tidak disalah erti sehingga mencemarkan kesucian Islam. Hukuman berkenaan adalah untuk mendidik dan memberi keinsafan supaya mereka yang terlanjur dapat kembali ke pangkal jalan dan membina hidup baru yang lebih baik," katanya.
Wednesday, February 17, 2010
0 Yang bersalah harus bertanggungjawab atas kesalahan mereka walau betapa tinggi kedudukan mereka dalam masyarakat. Mari ambil pelajaran ini
Sumber: UM:
Vatican mahu gereja Ireland mengaku salah
ROME 16 Feb. - Seorang pemimpin atasan Vatican memberitahu bishop Ireland dalam satu persidangan luar biasa Vatican bersama Pope Benedict XVI semalam, bahawa mereka mesti mengakui kesalahan melindungi generasi penderaan seksual kanak-kanak atau mengalami risiko kehilangan kepercayaan penganut-penganut Katolik di Ireland.
Namun bekas pembantu paderi Dublin yang membantu mendedahkan skandal tersebut meragui bahawa sebarang pengurusan hierarki sebenar hanya akan terhasil selepas persidangan tertutup selama dua hari itu berakhir di Apostolic Palace.
Pembantu utama Benedict, Cardinal Tarcisio Bertone, menyampaikan syarahan 'pedas' itu di Mass sebelum beliau mengutuk 'perbuatan-perbuatan keji' yang dilakukan oleh segelintir hierarki gereja Ireland, meskipun beliau tidak menyatakan nama-nama mereka yang terlibat.
Bertone, orang kedua Vatican yang menyertai persidangan itu bersama 24 bishop daripada uskup-uskup Ireland, menyamakan krisis tersebut dengan 'ribut paling dahsyat' yang menyentuh jiwa penganut-penganut, menggoyahkan kepercayaan mereka dan mengancam kemampuan mereka untuk percaya kepada tuhan.
"Untuk mengembalikan kepercayaan, 'pesalah mesti mengakui kesalahan mereka sendiri dengan kepercayaan sepenuhnya'," gesa Bertone, setiausaha Holy See di negara itu.
Beliau bimbang 'kejahatan' itu akan menolak kepercayaan dan 'melemahkan semangat serta mengundang keadaan terdesak'.
Laporan negara pada tahun lepas mendapati pemimpin-pemimpin gereja di Dublin menghabiskan masa berdekad-dekad melindungi paderi yang mendera kanak-kanak daripada undang-undang, sementara kebanyakan paderi yang lain berpura-pura tidak melihat perkara tersebut.
Satu siasatan berasingan didokumenkan sejak berdekad-dekad berhubung penderaan seksual, fizikal dan psikologi sama ada terhadap kanak- kanak atau remaja di sekolah, rumah- rumah kebajikan dan rumah anak- anak yatim yang dikendalikan oleh mazhab Katolik.
Pihak Vatican bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen sebelum persidangan itu berakhir hari ini meskipun ia telah menyiarkan ucapan Benedict dalam sesi itu, yang bermula pada waktu pagi sehingga petang. - AP
0 Rugi tidak post tajuk senarai siapa terkaya Malaysia terbaru. Wahai sekalian rakyat, ambillah pelajaran ini
Robert Kuok kekal terkaya di Malaysia
KUALA LUMPUR 16 Feb. - Bekas Raja Gula, Robert Kuok Hock Nien terus mengekalkan kedudukan di tempat teratas sebagai orang terkaya di Malaysia apabila nilai kekayaannya meningkat sebanyak RM16.1 bilion kepada RM42.7 bilion.
Tahun lalu, nilai kekayaan Robert Kuok adalah sebanyak RM26.6 bilion.
Tempat kedua dikuasai oleh 'orang kuat' industri telekomunikasi, T. Ananda Krishnan dengan nilai kekayaan berjumlah RM27 bilion manakala tempat ketiga pula jatuh kepada taikun perladangan, IOI Corporation Bhd., Tan Sri Lee Shin Cheng dengan nilai kekayaan sebanyak RM11.92 bilion.
Kaji selidik tersebut dilakukan oleh sebuah majalah tempatan, Malaysian Business bagi terbitan hari ini.
Malaysian Business dalam kenyataannya di sini turut mendedahkan nilai kekayaan 40 orang terkaya Malaysia setakat pada 15 Januari 2010 berjumlah RM156.7 bilion berbanding RM96.3 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu mewakili kenaikan sebanyak 63 peratus.
Katanya, sehingga pertengahan tahun ini, pertambahan nama dalam senarai orang terkaya negara dijangka berlaku sebanyak 50 peratus lagi.
Jelasnya, setakat ini, Malaysia mempunyai 22 orang terkaya, meningkat berbanding pada tahun lalu.
"Nilai kekayaan pada tahun ini secara keseluruhannya menyusut sedikit berbanding 2008, jatuh RM171.9 bilion,'' kata Malaysian Business.
Tokoh perbankan dari Public Bank, Tan Sri Teh Hong Piow pula berada di kedudukan keempat terkaya di Malaysia dengan nilai kekayaan sebanyak RM10.86 bilion.
Berada di kedudukan kelima terkaya adalah Tan Sri Lim Kok Thay dari Genting Group dengan nilai kekayaan sebanyak RM10.38 bilion, manakala tempat keenam diisi oleh Tan Sri Quek Leng Chan dari Hong Leong Group dengan nilai kekayaan RM7.09 bilion.
Usahawan bumiputera dan pengasas Yayasan Al-Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary pula menduduki tempat ketujuh dengan nilai kekayaan sebanyak RM6 bilion.
Tempat kelapan dikuasai oleh isteri mendiang Tan Sri Lim Goh Tong, orang kuat syarikat konglomerat hiburan dan perjudian Genting Group, Puan Sri Lee Kim Hua dan tempat kesembilan menjadi milik Tan Sri Tiong Hiew King dari Rimbunan Hijau Group dengan nilai kekayaan sebanyak RM3.5 bilion.
Menduduki carta ke 10 merupakan tokoh korporat, Tan Sri Vincent Tan dari Berjaya Group.
Dua lagi usahawan bumiputera yang berjaya menempatkan diri dalam senarai orang terkaya di Malaysia ialah Tan Sri Azman Hashim dari Arab Malaysian Corporation untuk mengisi kedudukan ke-11 dengan nilai kekayaan RM2.86 bilion dan Datuk Mokhzani Mahathir dari Kencana Petroleum pada kedudukan ke-20 dengan nilai kekayaan sebanyak RM1.07 bilion.
