.bubble-comment-count{ background:transparent url(http://tinyurl.com/yd7yycn) no-repeat; float:right;top:0; font-size:11px; font-family:Arial, Helvetica, sans-serif; font-weight:bold; height:31px; width:34px; text-align:center; margin-left:10px; padding:4px 0 0 3px; }

Tuesday, February 09, 2010

0 12,000 pelanggan direkrut jadi penggodam? Bayangkanlah bagaimana 'virus' ini merosakkan bumi. Sangat menakutkan

Pusat latihan godam ditutup


Tiga ditahan raih RM3.45j

BEIJING: Polis China menutup satu operasi latihan penggodam yang secara terbuka merekrut ribuan ahli secara online asas serangan siber serta perisian haram, kata media tempatan semalam.

Tindakan tegas itu berikutan meningkatnya kebimbangan China menjadi pusat jenayah internet global. Enjin pencarian gergasi Google, berkata bulan lalu akaun

e-mel miliknya digodam dari China dalam satu serangan yang turut menjejaskan 20 syarikat lain.


Polis di wilayah Hubei menahan tiga orang disyaki menguruskan laman penggodam dikenali sebagai Black Hawk Safety Net yang menyebarkan teknik menggodam laman web dan perisian Trojan, lapor China Daily.

Perisian Trojan membolehkan capaian luaran komputer apabila dipasang, digunakan penggodam mengawal komputer secara haram.

Black Hawk Safety Net merekrut 12,000 pelanggan berbayar dan mengutip lebih tujuh juta yuan (RM3.45 juta) yuran keanggotaan, sementara tambahan 170,000 mendaftar secara percuma, lapor akhbar.


Media melaporkan polis merampas sembilan pelayan, lima komputer dan sebuah kereta serta menutup laman web terbabit dalam kes itu. Pihak berkuasa turut membekukan aset bernilai 1.7 juta yuan (RM861,875).

Berikutan itu, laman web berkenaan ditutup selepas siasatan membabitkan kerjasama 50 pegawai polis dari tiga wilayah lagi.

Kes ini berpunca daripada serangan penggodam terhadap sebuah kafe internet di bandar Macheng, Hubei, pada 2007 sehingga menyebabkan perkhidmatan laman web terganggu lebih 60 jam dan ada di kalangan suspek yang ditahan mengaku menjadi anggota Black Hawk Safety Net. – AP

0 Strategi pemerintah untuk negara di abad ke-21

4 tonggak jaya agenda negara: PM

Oleh Johari Ibrahim
joib@bharian.com.my



NAJIB berucap pada majlis perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, semalam.



Pentadbiran awam pantas buat keputusan secara kreatif, inovatif

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak menggariskan empat tonggak utama untuk dilaksanakan oleh pentadbiran awam bagi menjayakan agenda negara sepanjang tahun ini, iaitu gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan; Program Transformasi Kerajaan (GTP); Model Ekonomi Baru dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Perdana Menteri, dua perkara lain yang menjadi elemen penting kepada empat tonggak berkenaan ialah pemikiran kreatif dan inovatif serta kepantasan membuat keputusan.


Beliau berkata pemikiran kreatif dan inovatif, iaitu pendekatan penciptaan nilai perlu digunakan dalam ekonomi dan pembangunan yang turut membabitkan penilaian semula pemikiran tahap lama bagi mencari kaedah yang lebih baik.

"Kepantasan membuat keputusan dan melaksanakan dasar pula memberi kesan yang amat besar kepada pentadbiran kerana ia ada kaitan langsung dengan daya saing Malaysia.

"Kita akan dinilai oleh laporan daya saing dunia dan kalau kita berada dalam senarai 10 negara teratas, tentu orang akan lihat kita sudah berada pada tahap negara yang berkemampuan tinggi.


"Saya harap penjawat awam akan memberi komitmen sepenuhnya (kepada) apa yang dianggap penting untuk memenuhi jangkaan dan harapan rakyat," katanya pada majlis perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini semalam.

Najib mengumpamakan empat tonggak berkenaan seperti empat kaki kerusi yang semuanya diperlukan untuk memastikan tempat duduk itu stabil dan selamat.

"Kalau kerusi yang stabil... nak duduk kita rasa selamat. Ada kerusi tiga kaki tetapi tak berapa selamat dan kalau dua kaki lagilah tak selamat," katanya.

Menghuraikan gagasan 1Malaysia, Najib berkata beliau tidak mahu ia dianggap sebagai slogan atau retorik, sebaliknya pengertian yang mendalam dari segi pendekatan dan perubahan yang dilakukan kerajaan.

Beliau berkata gagasan itu adalah usaha murni memacu perpaduan nasional yang membawa kepada kestabilan dan bergerak dalam satu keluarga yang besar untuk menuju matlamat yang sama.

"Ada kumpulan dan individu yang ingin merosakkan keharmonian dan perpaduan dalam negara. Walaupun ia kecil tetapi ingat, bara kecil yang tidak dipadamkan, boleh menjadi api yang akan menghancurkan dan membinasakan kita.

"Jika gereja dan surau dibakar, kepala khinzir dicampak ke perkarangan masjid, ini adalah perkara serius yang mesti ditangani bersama," katanya.

Justeru, katanya, Gagasan 1Malaysia amat penting untuk memupuk rasa kekeluargaan sesama rakyat pelbagai kumpulan etnik serta budaya.

"Rakyat Didahulukan kerana kerajaan ini adalah kerajaan rakyat dan bukan (hanya) untuk perniagaan atau korporat besar. Ia kerajaan untuk rakyat dan ini kita mesti terjemahkan dalam bentuk dasar, program dan peruntukan kita, manakala Pencapaian Diutamakan kerana jika tidak rakyat akan bersikap sinis... umum satu dasar, umum satu program tetapi pelaksanaannya masih timbul banyak persoalan," katanya.

Perdana Menteri berkata GTP pula adalah janji kerajaan yang perlu ditunaikan oleh semua pihak selaras dengan akujanji kepada rakyat.

Beliau berkata Model Ekonomi Baru yang akan dibentangkan pada penghujung bulan depan pula bertujuan memberi suntikan kepada pembangunan ekonomi negara agar lebih berdaya saing.

"Ia berpindah daripada (negara) berpendapatan pertengahan kepada negara yang lebih kompetitif dan lebih berjaya. Ini akan merumuskan strategi ekonomi untuk negara," katanya.

Sementara itu, RMK-1O pula akan mengandungi banyak ketetapan yang dibuat dalam GTP, Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) dan Model Ekonomi Baru itu.

Thursday, February 04, 2010

0 Polis dapat kenaikan gaji

Sumber: UM:

98,747 polis dapat 'durian runtuh'
Oleh HELMI MOHD. FOAD
pengarang@utusan.com.my


Hishammuddin Tun Hussein bersalaman dengan Musa Hassan selepas sidang akhbar di pejabatnya di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya, semalam. - BERNAMA
________________________________________

PUTRAJAYA 3 Feb. - Seramai 98,747 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menikmati pelarasan kenaikan gaji dan elaun Imbuhan Tetap Khidmat Polis (ITKP) antara RM1,500 hingga RM6,000 berkuat kuasa 1 Januari 2009.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika mengumumkan berita baik itu berkata, penyelarasan di bawah skim perkhidmatan baru itu disebabkan tiga pergerakan gaji tahunan dan kenaikan elaun ITKP, bergantung kepada pangkat dan perubahan jadual gaji matriks.
Menurutnya, skim baru itu melibatkan 10,678 orang pegawai kanan polis bermula daripada pangkat Inspektor hingga Timbalan Ketua Polis Negara manakala 88,069 lagi di kalangan anggota berpangkat rendah dari Konstabel hingga Sub Inspektor.
''Saya harap skim perkhidmatan baru ini akan memberikan semangat dan motivasi kepada seluruh warga PDRM sekali gus meningkatkan tekad untuk melahirkan pasukan polis yang lebih berintegriti, berwibawa dan mulia di mata masyarakat.
''Penawaran skim perkhidmatan baru itu sejajar dengan saranan dalam Laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM pada 2005 selain bagi memastikan skim perkhidmatan polis sentiasa relevan dan berdaya saing," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pascaKabinet bagi kementeriannya di sini hari ini.
Hadir sama timbalannya, Datuk Wira Abu Seman Yusop dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Menurut Hishammuddin, pelaksanaan skim perkhidmatan baru itu yang dilaksanakan secara berperingkat melibatkan perubahan gaji matriks Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) kerana gabungan pangkat SAC I dan SAC II, Timbalan Penguasa Polis (DSP), Penolong Penguasa Polis(ASP) dan Inspektor Polis.
Hishammuddin menjelaskan, bagi fasa seterusnya akan menyaksikan perubahan gaji matriks dan elaun di kalangan pegawai rendah polis dan Konstabel.
''Bagi pangkat Konstabel hingga Koperal, pengurusan tertinggi PDRM masih berurusan dengan pihak agensi pusat untuk menghalusi skala gaji termasuk imbuhan tetap.
Katanya, ini membabitkan Sarjan, Sarjan Mejar dan Sub Inspektor yang akan menikmati penambahan tiga skala tangga gaji akhir dalam skim baru itu.
''Saya akan bertemu dengan semua pihak yang berkepentingan termasuk persatuan-persatuan yang mewakili kumpulan anggota lain-lain pangkat agar usaha ini dapat difahami oleh semua peringkat.
''Skim perkhidmatan baru yang diperkenalkan itu bertujuan menambah baik dalam perkara yang berkaitan kelayakan masuk, penggredan semula struktur pangkat, gaji matriks dan imbuhan tetap," katanya.

0 Barack Obama di You Tube

Sumber: Kosmo:

DUNIA
Presiden AS jawab soalan di YouTube

OBAMA berinteraksi dengan pengguna laman web YouTube pada Isnin lalu.
________________________________________


WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama pada Isnin lalu menjadi Presiden pertama menjawab soalan daripada pengundi menerusi laman perkongsian YouTube di Internet.
White House manyatakan sesi itu merupakan satu usaha untuk menjadikan pentadbiran Obama lebih berinteraksi dengan orang awam.
Ia merupakan satu lagi cara untuk Obama berkomuniaksi secara terus dengan pengundi menerusi teknologi terkini.
Pada Isnin lalu, Obama menghabiskan masa kira-kira 40 minit di Perpustakaan White House dengan menjawab lebih 11,000 soalan yang dikemukakan oleh pengguna-pengguna YouTube.
Soalan itu berkisar mengenai isu penjagaan kesihatan dan pengecualian cukai untuk perniagaan kecil.
Beliau turut ditanya berhubung dasar mengenai Sudan dan penutupan Penjara Teluk Guantanamo di Cuba.
Pengarah Politik dan Berita YouTube, Steve Grove berkata, White House tidak memilih soalan dan Obama tidak melihatnya terlebih dahulu.
Temu ramah itu disiarkan secara langsung menerusi YouTube dan laman web White House.
"Saya berharap kita akan mendapat peluang untuk melakukannya lebih kerap kerana ia memberikan saya peluang terbaik untuk mendekati semua orang di luar sana," kata Obama. - AP

0 Berikan kementerian dan FAM 50 cadangan terbaik untuk bola sepak berada pada ranking 100 dunia dalam 5 tahun akan datang

Sumber: Kosmo:

Malaysia No. 159


SKUAD bola sepak negara berjaya memperbaiki kedudukan dalam ranking dunia.


SKUAD bola sepak negara kini melonjak satu anak tangga untuk menduduki nombor 159 dalam ranking terbaru yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) semalam.

Bagaimanapun, kedudukan itu bukan satu pencapaian terbaik kerana skuad negara pernah menduduki ranking ke-150 pada Oktober 2009.

Dalam senarai terbaru FIFA semalam, Malaysia yang mengumpul 100 mata masih ketinggalan di belakang pencabar terdekat dari Asia Tenggara iaitu Thailand (98), Vietnam (116), Indonesia (136) dan Myanmar (141).

Sembilan kedudukan teratas pula tidak berubah masing-masing menjadi milik Sepanyol yang mengumpul 1,627 mata, Brazil (1,568), Belanda (1,288) dan Itali (1,176).
Tempat kelima hingga kesembilan masing-masing menjadi milik Portugal (1,176) diikuti oleh Jerman (1,173), Perancis (1,117), Argentina (1,082) dan England (1,076).
Namun Mesir yang memenangi gelaran ketiga berturut-turut Piala Negara-Negara Afrika Ahad lalu, melonjak 24 anak tangga untuk menduduki tempat ke-10. – AP

3 Saya kagum dengan idea PM kita sekarang dalam hal mendekati rakyat. Jika pengganti PM bukan Najib, belum tentu semua gagasan yang ada belum terlintas

Sumber: Malaysiakini



Datuk Seri Najib Razak berbangga dengan akaun Facebooknya - ia menjadi antara berita penting yang dimuatkan di dada-dada akhbar.

Bercakap kepada sebuah stesen TV India, perdana menteri berkata beliau menganggotai laman sosial itu untuk mendekati rakyat dan merapatkan jurang politik antara generasi tua dan muda.

“Kita perlu berubah mengikut masa kerana (mereka) adalah generasi yang celik IT,” beliau dipetik sebagai berkata.

Sejak mula mendaftar di laman berkenaan pada pertengahan November lalu, Najib berjaya menarik sehingga 30,000 peminat dan setakat kolum ini ditulis, jumlah pengikutnya di laman itu kini hampir mencecah angka 80,300.

Jumlah ini berjaya menandingi pesaing politiknya seperti Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (60,159 orang peminat), Datuk Seri Anwar Ibrahim (39,086 orang peminat), Lim Kit Siang (16,694 peminat) dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (9,159 orang peminat).

Namun Najib masih ketinggalan di belakang mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang setakat ini mempunyai seramai orang 201,564 peminat di laman berkenaan.

Pada awal penglibatannya di arena laman sosial ini, Najib menulis beliau akan menggunakan Facebook untuk menyalurkan pandangannya selain mengumumkan aktiviti-aktiviti beliau.

Katanya, beliau juga akan berkongsi pautan, foto daripada Flickr, video daripada Youtube dan juga maklumat lain seperti makanan kegemaran dan juga aktiviti masa lapangnya di laman itu.

Respons warga Internet ke atas Facebook Najib secara umumnya tampak positif. Masakan tidak, jika peminat sendiri yang menghantar maklum balas?

Contohnya pada 18 Jan, Najib di laman tersebut mengumumkan rancangannya untuk mengadakan hari terbuka Pelan Transformasi Kerajaan (GTP).

Seramai 81 orang 'menyukai' posting tersebut, selain menerima sebanyak 105 komen. Komen terakhir bagi posting tersebut diterima daripada Siti Alfinah Riduan yang berkata: “hope sgt akan ada d sabah gak.”

Selain Siti Alfinah, seorang lagi peminat Najib, Afykah Abdullah juga meninggalkan komen pada jam 11 pagi, 21 Jan: “Salam. Dear Dato' Seri, betul ke ada desas-desus mengatakan yang COLA kakitangan awam akan ditarik semula tahun ini?”

Pada Jan 25 pula, Najib berkata beliau akan ditemuramah dalam satu program khas TV3.

Salah seorang peminatnya Abdul Radzi Ismail menyahut dan berkata: “Syabas dan tahniah. Program yang cukup menarik. Saya tertarik dengan kata-kata Datuk Seri bahawa untuk menjadi pemimpin yang baik kita mesti sentiasa mendekati rakyat.”

Namun selain daripada pujian melangit, ada juga yang mengkritik beliau, seperti yang disuarakan Halimaton Saadiah Manaf: “Kasihan saya lihat Datuk ni. 99% dalam Facebook ini menyokong dengan nada mengampu."

“Cara dia orang buat Datuk pasti terlena dan ujub dengan kemampuan sendiri, padahal kami yang miskin ini tersepit kerana apa yang sebenarnya tak dapat Datuk rasa dan tengok dengan pasti,” kata Halimaton Saadiah lagi pada Ahad 31 Jan.

Di antara komentar pro dan kontra ini, ada juga pandangan yang tidak dapat dipastikan duduk perkaranya, seperti yang diutarakan seorang peminat bernama Faiza Alih bagi satu coretan Najib (kanan).

Dia ingin berkongsi bersama peminat program realiti TV popular Akademi Fantasia berhubung dakwaan, kononnya, Sultan Mizan Zainal Abidin selalu disindir oleh ahli-ahli politik di akhbar.

Sementara itu, selain Najib, Mohamad Tasyrif Tajudin - seorang pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan juga mempunyai akaun di laman sosial itu - dan beliau turut muncul menjadi antara berita penting di akhbar.

Mohamad Tasyrif didakwa pada 18 Jan lalu bawah Seksyen 223(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia, kerana menggunakan rangkaian tersebut bagi “mengeluarkan kenyataan yang boleh mengancam keselamatan orang lain.”

Beliau didakwa menulis “kenapa? nak aku baling bom petrol pulak kat sana? ... harga boleh runding” ketika mengulas mengenai serangan terhadap gereja-gereja, rentetan daripada isu penggunaan kalimah Allah.

Sekiranya pandangan sebegini ingin diambil kira, maka Najib perlu berhadapan dengan satu realiti baru. Beliau tidak sekadar perlu meraih populariti di kalangan orang muda tetapi juga perlu menanggap pendirian dan tahap kematangan warga maya ini terhadap sesuatu isu.

Ada pandangan yang menyebut, komen daripada Mohamad Tasyrif itu tidak lebih daripada satu bentuk humor gelap yang sepatutnya dapat diterima oleh masyarakat.

Menurut seorang penyair muda Rahmat Haron dalam satu coretan Facebooknya (Jan 16):

"dia bukan kaki bakar/bukan bodoh/dia pandai buat lawak gelap. kesian ramai yg dah tak faham kata perli/sindir atau sebenarnya siapa makan cili dia rasa pedas. ha ha ha ha ..."

Persoalannya, mampukah Najib membawa rakyat digital Facebooknya ke ruang 'toleransi' seperti itu?

0 Rupanya bisnes SKALI ialah bisnes webhosting? Yang saya tahu tentang SKALI ialah sebuah tajuk buku yang dijual di kedai EATON'S CP KK

Sumber: UM:

Skali jangka perolehan naik 20 peratus

KUALA LUMPUR 3 Feb. - Skali Group melalui Skali Managed e-Business (SMeB) menyasarkan peningkatan perolehan sebanyak 20 peratus dalam perumah web (web hosting) berbanding RM4.6 juta pada 2008.

Pengerusi Eksekutif SMeB, Saiful Khairi Zainuddin berkata, pihak syarikat sebelum ini, merekodkan peningkatan sebanyak 10 peratus dengan pengenalan produk terbaru yang mampu meningkatkan perolehan tersebut.

''Kami yakin pada tahun ini, perolehan dalam penghosan web dapat ditingkatkan kepada 20 peratus terutama selepas pelancaran EmbunWeb. Com ini.

''Selain itu, pada tahun ini juga dua lagi produk baru akan diperkenalkan dalam usaha meningkatkan jumlah perolehan tersebut,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran perumah web, EmbunWeb.Com di sini hari ini.

Hadir sama Presiden Kumpulan Skali Aimi Aizal Nasharuddin dan Pengasas Bersama EmbunWeb.Com, Kevin Zahri.
Saiful berkata, SMeB juga menyasarkan pertambahan sebanyak 4,000 pelanggan pada akhir tahun ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 8,000 pelanggan.

''Peningkatan tersebut adalah sesuatu yang boleh dicapai memandangkan kerjasama yang baik untuk memasarkan produk tersebut,'' jelasnya.
Terdahulu EmbunWeb.Com yang dilancarkan itu merupakan kerjasama antara WebbingXchange (di bawah SMeB) dan Maxhosting.

EmbunWeb.Com dijangka dapat menarik minat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutama perniaga bumiputera.
Saiful berkata, ia sejajar dengan misi untuk meningkatkan pengetahuan penggunaan teknologi maklumat (IT) di kalangan PKS, selain mendedahkan kepada mereka pelbagai cara dan strategi yang efektif dalam pemasaran Internet.

''Kami sebenarnya membantu mereka bersaing dengan pemain yang lebih besar dalam penggunaan IT untuk membangunkan perniagaan.

''SMeB akan menyediakan kursus reka bentuk web termasuk bagaimana membangunkan laman web pada harga berpatutan,'' katanya.