Kitab al-Quran ditulis guna 24 liter darah Saddam Hussein
MUKA surat al-Quran yang ditulis dengan darah Saddam Hussein.
BAGHDAD - Pemerintah Iraq buntu memikirkan apa yang sepatutnya dibuat berhubung kitab suci al-Quran yang ditulis dengan menggunakan 24 liter darah bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein (gambar), lapor sebuah akhbar semalam.
Kitab al-Quran setebal 650 muka surat itu kini disimpan di sebuah kamar berkunci di sebuah masjid yang dikenali sebagai 'Ibu Segala Peperangan' di sini.
Empat menara masjid berkenaan menyerupai laras raifal AK-47 manakala empat lagi menara mirip peluru berpandu Scud.
Saddam dipercayai memulakan projek al-Quran itu sebagai tanda kesyukuran selepas anak lelakinya, Uday terselamat daripada percubaan untuk membunuhnya.
Ia ditulis oleh seorang ahli kaligrafi, Abbas Shakir Joody al-Baghdaddi yang dilantik oleh Saddam.
Kitab al-Quran itu ditulis dengan menggunakan darah yang didermakan oleh Saddam selama tiga tahun.
Sementara itu, Presiden Majlis Pentadbiran Iraq mahu semua barang yang berkaitan dengan Saddam termasuk kitab suci tersebut dimusnahkan.
Namun, Ali al-Moussawi yang merupakan jurucakap Perdana Menteri, Nouri al-Maliki berkata, al-Quran itu perlu disimpan bagi mengingatkan rakyat mengenai kekejaman Saddam.
Saddam yang memerintah dari tahun 1979 hingga 2003, mati dihukum gantung selepas dia ditangkap askar-askar Amerika Syarikat (AS) yang menceroboh Iraq. Saddam dihukum mati selepas didapati bersalah melakukan jenayah kemanusiaan.- Agensi
Thursday, December 23, 2010
0 Apabila semua barang yang ada kaitan dengan Saddam Hussien perlu dimusnahkan?
0 Bisnes bola sepak di Asia Tenggara (Malaysia vs Indonesia)
FAM ramal tiket final laris
Oleh Ilah Hafiz Aziz
hafiz.aziz@utusan.com.my
KUALA LUMPUR – Sebanyak 70,000 tiket perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF di antara Malaysia dan Indonesia di Stadium Nasional Bukit jalil, Ahad ini, dijangka laris apabila ia mula dijual hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk S.Sivasundram yakin, tiket untuk penyokong Malaysia akan habis dijual. Menurutnya, ini berdasarkan aksi separuh akhir menentang Vietnam di sini, minggu lalu, yang menyaksikan sebanyak 50,000 tiket habis dijual.
“Saya menyeru penyokong Malaysia datang menyaksikan dan memberi sokongan kepada skuad bola sepak negara kita,” jelasnya.
Beliau juga mengumumkan penyokong Malaysia tidak perlu menunjukkan kad pengenalan ketika membuat pembelian tiket, seperti yang disyaratkan sebelum ini.
Sebelum ini, FAM mensyaratkan pembeli mesti menunjukkan kad pengenalan ketika membuat pembelian di Stadium Nasional, bagi mengelakkan tiket dibeli penyokong Indonesia, yang diperuntukkan hanya 15,000 tiket sahaja.
Ini berikutan pejabat Kedutaan Besar Indonesia di sini, akan membuka kaunter jualan tiket bagi penyokong mereka yang akan mula dijual, hari ini.
“Penyokong Malaysia yang mahu membeli tiket, tidak perlu menunjukkan kad pengenalan.
“Ini kerana Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur juga membuka kaunter jualan tiket untuk penyokong mereka di pejabat Kedutaan republik itu di di Jalan Tun Razak, juga bermula hari ini.
“Tidak perlu kad pengenalan kerana sudah tentu rakyat Indonesia tidak akan hadir ke kaunter Stadium Nasional, apabila kedutaan mereka sendiri membuat jualan di kedutaan mereka,” jelasnya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Mengenai had pembelian tiket, beliau berkata, FAM juga tidak mengehadkan pembelian tiket kepada setiap individu.
“Setiap individu boleh membeli seberapa banyak tiket perlawanan kerana FAM tidak melakukan sekatan jumlah pembelian,” katanya.
Tidak perlu menunjukkan kad pengenalan dan tiada had pembelian tiket, mungkin mengundang beberapa masalah.
Antaranya, kemungkinan penyokong Indonesia turut membeli tiket yang dikhaskan untuk penyokong Malaysia.
Juga dibimbangkan tiada had pembelian tiket akan mewujudkan individu yang mungkin mengambil kesempatan dengan menjual semula tiket perlawanan pada harga yang lebih tinggi.
Dalam hal ini, Sivasundram menegaskan: “FAM berpengalaman mengatasi perkara ini kerana kita telah mengadakan banyak perlawanan sebegini telah dianjurkan.
“Mesyuarat bersama Polis Diraja Malaysia semalam turut membangkitkan isu ini dan kita mengharapkan mereka yang mempunyai mekanisme tersendiri membanteras isu ulat tiket ini.”
Artikel berkaitan:
Imbuhan lumayan hampir RM1 juta menanti pemain Indonesia
KUALA LUMPUR - Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), menjanjikan ganjaran lumayan buat skuad negara itu jika berjaya muncul juara Piala Suzuki AFF menentang Malaysia pada saingan akhir pada Ahad dan Rabu ini.
Setiausaha Agung PSSI, Nugraha Boses berkata, ganjaran tersebut bernilai 3 bilion rupiah atau hampir RM1 juta adalah hadiah buat pasukan Indonesia, sekiranya mereka berjaya menumbangkan Malaysia.
"Sebelum ini kami telah menjanjikan habuan kepada pemain selepas berjaya melepasi peringkat kumpulan iaitu sebanyak 500 juta rupiah (RM150,000) dan 2.5 bilion rupiah (RM700,000) apabila mara ke final.
"Ganjaran itu ditambah kepada 3 bilion rupiah, jika mereka berjaya menjulang piala ini," katanya dalam sidang akhbar di Kedutaan Besar Republik Indonesia semalam.
Jelasnya, kejayaan Indonesia mara ke saingan akhir mencetuskan senario yang berbeza di seluruh negara tersebut, jadi untuk memuaskan hati rakyat dan mencipta sejarah pelbagai usaha telah dilakukan, termasuk memberi ganjaran.
"Semua orang sudah tidak sabar menantikan kejayaan ini, suasanan di Indonesia memang mengagumkan, saya tidak pernah terfikir seluruh rakyat akan menyambut kejayaan pasukan negara mereka mara ke akhir seperti ini.
"Kami memang mengharapkan sokongan padu pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberikan peruntukan tempat duduk sebanyak 15,000 buat penyokong Indonesia, walaupun pada mulanya kami meminta 25,000," katanya.
Mengenai peruntukan tiket untuk penyokong Malaysia di Stadium Gelora Bung Karno pada perlawanan akhir kedua, Boses berkata, mereka masih belum memastikannya lagi,
Cuma, jelasnya pada perlawanan peringkat kumpulan sebelum ini, mereka telah menyediakan 5,000 tiket.
"Bagaimanapun kami berjanji akan memperuntukan tempat duduk yang sama banyak seperti di Kuala Lumpur, iaitu 18 peratus daripada 77,000 tempat duduk.
"Kami juga ingin mengucapkan selamat datang kepada pasukan dan peminat Malaysia ke Jakarta dengan menjamin kawalan keselamatan yang ketat.
"Kami juga berpuas hati dengan perbincangan bersama FAM kelmarin, terutama sekali mengenai hal keselamatan dan kemudahan pasukan kami.
"Ini termasuk jaminan mengenai tidak akan berlaku lagi pancaran laser seperti mana pertemuan antara Malaysia dan Vietnam pada saingan separuh akhir pertama," katanya.
Pasukan Indonesia dijangka tiba esok pada pukul 12.30 tengah hari dan menjalani latihan di padang Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil pada sebelah petang.
Seterusnya, skuad Indonesia diberi peluang menjalani latihan di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Sabtu.
Boses juga berkata, pertemuan antara Malaysia dan Indonesia akan menjadi tumpuan di Asia Tenggara.
Artikel berkaitan:
Usah banding ganjaran - Mazlan
Oleh AIZAWATI AHMAD
sukan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Isu ganjaran mula diperkatakan setelah skuad bola sepak kebangsaan mempamerkan persembahan mantap sehingga melangkah ke perlawanan akhir Piala Suzuki AFF.
Kini, timbul persoalan mengenai berapa jumlah imbuhan yang bakal diterima oleh anak-anak buah K. Rajagobal, jika menang kejohanan terbesar di Asia Tenggara itu.
Bagi negara jiran, Indonesia, pasukan bimbingan Alfred Riedl itu dikhabarkan akan menerima ganjaran yang cukup lumayan iaitu hampir RM1 juta, jika mereka muncul juara kejohanan tersebut.
Jumlah itu sememangnya cukup lumayan berbanding ganjaran yang bakal diterima oleh skuad kebangsaan, tanpa mengira sama ada mereka berjaya muncul juara atau pun sebaliknya.
Namun, bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Mazlan Ahmad mengingatkan nilai imbuhan tidak sewajarnya menjadi perbandingan, kerana jumlah yang bakal dihadiahkan kepada para pemain, harus sesuai dengan status kejohanan.
"Kita perlu waspada dengan ganjaran yang hendak diberikan, kalau boleh biarlah ia bersesuaian dengan tahap sesuatu kejohanan.
"Dalam kejohanan Piala Suzuki AFF, usaha untuk menyediakan ganjaran wang tunai memang satu perkara yang bagus.
"Namun, kita juga perlu ingat bahawa kejohanan yang ini hanya Piala AFF sahaja, tidak lebih dari itu,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Menurutnya, perjalanan skuad kebangsaan masih terlalu jauh, kerana Piala Suzuki AFF merupakan pertandingan bertaraf serantau, bukan peringkat benua.
Jelasnya, kalau ada niat hendak menandingi imbuhan yang dijanjikan Indonesia, persoalan akan timbul iaitu berapa pula imbuhan yang bakal diterima oleh pemain Malaysia, sekiranya mereka sekali lagi menggondol pingat emas Sukan SEA di Indonesia, tahun depan?
''Selepas itu, berapa pula ganjaran yang bakal diberi kepada pasukan bola kita kalau mereka menang pingat Sukan Asia? Berapa pula kita perlu adakan kalau pasukan bola layak ke Piala Dunia?'' ujarnya.
Mazlan berpendapat, ganjaran wang bukan perkara baru di kalangan ahli sukan di negara ini yang berjaya melakar nama di pentas antarabangsa, kerana ia telah mula diperkenalkan sejak 1986 lagi menerusi Skim Hadiah Kemenangan (SHAKAM), oleh MSN.
Namun, katanya dalam masa sama, kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu berhati-hati supaya atlet Malaysia tidak terlalu ghairah dengan wang, kerana dikhuatiri mereka mendapat isyarat yang salah.
Beliau menegaskan, tidak timbul persoalan para pemain dimanjakan apabila menerima imbuhan, kerana ia merupakan satu cadangan dan inisiatif yang baik oleh KBS, tetapi, biar ada hadnya.
0 TYT Sabah yang baru menggantikan Tun Ahmadshah
Juhar Mahiruddin dilantik Yang Dipertua Negeri Sabah
TUANKU Mizan Zainal Abidin mengurniakan surat cara pelantikan kepada Juhar Mahiruddin (kiri) sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah yang baru di Bilik Singgahsana Kecil, Istana Negara, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR 22 Dis. - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini mengurniakan surat cara pelantikan kepada Datuk Juhar Mahiruddin sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah yang baru.
Istiadat yang berlangsung di Bilik Singgahsana Kecil, Istana Negara, disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, Presiden Pertubuhan Bersatu Pasok Momogun Kadazan (Upko) Tan Sri Bernard Dompok dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.
Juhar, 57, Yang Dipertua Negeri Sabah ke-10, menggantikan Tun Ahmadshah Abdullah yang tamat tempoh perkhidmatan pada 31 Dis ini.
Juhar adalah antara pemimpin Sabah yang terlibat dengan rundingan Usno/UMNO untuk kemasukan UMNO ke negeri itu pada 1991.
Beliau pernah menyandang jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat (1990-1999), Anggota Parlimen Kinabatangan (juga 1990-1999) dan Ketua Umno Bahagian Batu Sapi (2003-2008).
Pemegang ijazah sarjana muda undang-undang ini sebelum itu pernah menjadi majistret.
Jawatan terkini beliau adalah Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah. - BERNAMA.
Artikel berkaitan:
Juhar dilantik Yang Dipertua Negeri Sabah
22/12/2010 6:52pm
KUALA LUMPUR 22 Dis. — Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini mengurniakan surat cara pelantikan kepada Datuk Juhar Mahiruddin sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah yang baru.
Istiadat itu, yang berlangsung di Bilik Singgahsana Kecil, Istana Negara disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Presiden Pertubuhan Bersatu Pasok Momogun Kadazan (Upko), Tan Sri Bernard Dompok dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.
Juhar, 57, Yang Dipertua Negeri Sabah ke-10, menggantikan Tun Ahmadshah Abdullah yang tamat tempoh perkhidmatan pada 31 Dis ini.
Juhar adalah antara pemimpin Sabah yang terlibat dengan rundingan USNO/UMNO untuk kemasukan UMNO ke negeri itu pada 1991.
Beliau pernah menyandang jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat (1990-1999), Ahli Parlimen Kinabatangan (juga 1990-1999) dan Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi (2003-2008).
Pemegang ijazah sarjana muda dalam undang-undang ini sebelum itu pernah menjadi majistret.
Jawatan terkini beliau adalah Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah. - Bernama
0 Malaysia kini mempunyai 27.6 juta orang penduduk dengan lelaki 14,112,667 orang dan wanita 13,453,154 orang
Penduduk Malaysia kini berjumlah 27.6 juta orang
NOR MOHAMED (tengah) menunjukkan buku laporan kiraan permulaan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 sambil disaksikan Wan Ramlah (kanan) dan Ismail di Putrajaya semalam.
PUTRAJAYA - Malaysia kini mempunyai 27,565,821 penduduk dengan lelaki melebihi wanita pada nisbah 105:100.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, statistik itu berdasarkan laporan kiraan permulaan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010.
Katanya, penduduk lelaki kini adalah 14,112,667 orang dan wanita 13,453,154 orang.
"Purata kadar pertumbuhan penduduk tahunan dalam tempoh 2000 hingga 2010 ialah 2.17 peratus, menurun berbanding 2.60 peratus dari 1991 hingga 2000," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan laporan itu pada sidang akhbar di sini semalam.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Perangkaan, Datuk Wan Ramlah Wan Abdul Raof dan Timbalan Ketua Perangkawan (Program Sosial/Demografi), Ismail Yusoff.
Wednesday, December 22, 2010
0 Cinta kekasih gelap tidak sama dengan cinta suami - kerana itu membuatkan mereka dirikan rumah tangga dan ada anak
Liz rayu diterima kembali
ADA PENGGANTI...Nayar bersama wanita misteri yang menemaninya semalam.
ELIZABETH...berhajat rujuk semula dengan Nayar selepas mengetepikan Warne. LONDON: Belum sampai 10 hari mengumumkan perpisahannya, Elizabeth Hurley dilaporkan merayu kepada suaminya, Arun Nayar, supaya tidak meninggalkannya, lapor media semalam.
Perubahan mendadak Elizabeth itu berlaku ekoran penemuan lebih 100 mesej pesanan ringkas (SMS) dihantar kekasih barunya, Shane Warne, kepada seorang wanita lain.
Dilaporkan, Warne - memang terkenal sebagai kaki perempuan - mengirim SMS lucah itu kepada Adele Angeleri, 44.
Antara kandungan SMS itu adalah: “Memikirkan kamu, saya sangat berahi hari ini. Saya mahu melihat kamu di atas saya.” Pada 12 Disember lalu, Elizabeth, 45, mengumumkan rumah tangganya dengan Nayar berakhir selepas gambar aktres itu berkucupan dengan Warne disiarkan media.
Elizabeth berkahwin dengan Nayar pada 2007.
Sementara itu, sumber berkata, harapan Elizabeth menyelamatkan rumah tangganya mungkin tidak kesampaian.
“Elizabeth baru sedar dia diperbodohkan dan cepat-cepat menghubungi Nayar untuk meminta maaf.
“Masalahnya, Nayar enggan dan masih mahu perceraian mereka dilakukan segera,” katanya.
Kemungkinan itu diperkuatkan lagi apabila ada saksi berkata, Nayar, 46, mencium seorang wanita tidak dikenali di khalayak ramai di Mayfair, London Barat, semalam.
Menurut saksi, mereka agak panik apabila aksi itu dirakam jurugambar, menyebabkan wanita terbabit masuk ke teksi tergesa-gesa dan berlalu dari situ.
Nayar dilaporkan pernah menasihati isterinya supaya berhati-hati dengan Warne ketika mereka bertengkar selepas kecurangan aktres itu terdedah. Bagi Warne pula, perubahan Elizabeth itu dipercayai akan memberi pukulan hebat kepada dirinya.
Minggu lalu, bintang kriket Australia itu mengumumkan akan meninggalkan bekas isterinya, Simone, selepas mereka tinggal bersama walaupun selepas bercerai.
Hasil perkahwinan Warne dan Simone, mereka dikurniakan tiga anak.
Rakan Warne berkata, bintang kriket itu memang berhajat mengahwini Elizabeth. - Agensi
0 Pemandu Malaysia paling berbahaya di dunia? Cari penyebab lain kenapa kes kemalangan masih tinggi
Musang berbulu ayam dalam LPKP, JPJ, polis...?
Oleh ZAINI HASSAN
SEBAIK sahaja news alert Utusan mengenai kemalangan bas yang meragut nyawa puluhan orang pelancong Thai masuk dalam BlackBerry saya, saya tergamam sebentar. Dalam hati saya mengharapkan bas pelancong itu bukan milik kita, dan sudah tentu pemandu bas itu juga bukan orang kita. Saya berharap pelancong itu datang terus dari Thailand dengan bas pelancongan mereka. Ternyata harapan saya tidak betul. Ia adalah bas kita; dan pemandunya juga pemandu rakyat kita. Kini sudah ternyatalah segala-galanya. Pemandu bas kita, semoga Allah merahmati roh pemandu yang turut terkorban itu, adalah pemandu yang paling berbahaya di dunia.
Orang surat khabar macam saya sering menerima berita dari seantero dunia mengenai kisah seperti ini. Kita selalu berseloroh bahawa kemalangan feri dan kapal karam di Bangladesh - yang sering mengorbankan ratusan nyawa muatannya - bukan satu nilai berita lagi. Begitu juga kisah kemalangan kereta api di India yang mengorbankan ratusan orang - juga bukan satu nilai berita lagi.
Mengapa ia bukan lagi nilai berita? Jawapannya kerana ia sudah terlalu kerap, sering berlaku dan bukan unusual lagi.
Begitu juga kemalangan bas di Malaysia. Ia sudah jadi biasa. Hanya jumlah kematian sahaja yang membezakan ia biasa atau luar biasa. Dalam kejadian di Jalan Cameron Highlands itu kelmarin, ia luar biasa sedikit kerana jumlahnya yang besar serta membabitkan pelancong luar negara. Namun, kisah kemalangan bas bukan luar biasa lagi di Malaysia. Apakah kita kini sebaris dengan Bangladesh dan India dari segi kekerapan kemalangan feri, kereta api dan bas ekspres? Laporan berita asing menulis kemalangan bas ekspres di Malaysia sudah terlalu kerap dan pemandunya adalah antara yang paling bahaya di dunia.
Kita tidak perlu mengulas di sini mengapa ia berlaku, bagaimana ia berlaku, apakah ia masalah mekanikal atau keadaan jalan dan sebagainya. Tulis seorang rakan facebook sebaik sahaja kemalangan itu berlaku, dia sudah dapat mengagak "esok penuhlah muka akhbar dengan cerita-cerita bas itu". Benar kata beliau. Beliau bukan wartawan tapi sudah mengagak itulah berita-beritanya. Akhbar akan membuat pelbagai analisis, termasuk dari pakar ini dan itu. Selain untuk memenuhkan ruang akhbar, ia seperti sudah menjadi satu rutin. Akhbar kita, mungkin jugalah masih lagi bermentaliti dunia ketiga. Pendekatannya agak berbeza dengan akhbar di negara maju. Kita tidak berani membongkar apa yang pihak berkuasa buat dan mengapa ia kerap berlaku? Itu pasal kemalangan seumpama ini hanya berlaku di negara dunia ketiga seperti Bangladesh, India dan Malaysia! Kita harus bertanya apa pihak perlesenan kenderaan awam buat? Apa polis buat? Apa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) buat? Apa Jabatan Kerja Raya (JKR) buat? Dan apa syarikat bas yang mengejar laba itu buat? Akhir sekali apa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) buat?
Kita tidak boleh salahkan syarikat bas semata-mata, kerana walaupun ia jahat sejahat-jahatnya, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) yang patut mengambil tindakan dan bertanggungjawab. LPKP juga harus memaklumkan kepada JPJ dan Polis Trafik dan pihak JPJ dan Polis Trafik harus mengambil tindakan. Jika dulu kita cukup hairan mengapa warganegara China terlalu ramai berada di negara ini dan ramai juga yang menjadi GRO, pelayan lelaki serta pelacur-semalam jawapannya terserlah.
Musang berbulu ayamnya ialah orang dalam Imigresen sendiri. Beliau ialah Timbalan Ketua Pengarah (TKP) yang tanpa rasa bersalah, malu dan segan meluluskan lanjutan pas lawatan warganegara China itu, setelah diberi sogokan wang ringgit.
Jika dalam perang, orang macam itu bukan dihukum enam tahun, tapi hukumannya ialah hukuman mati ditembak kerana treason atau menderhaka kerana menjual kedaulatan negaranya. Begitu juga di dalam LPKP, JPJ, Polis dan lain-lain. Kerana terlalu kerap kemalangan bas berlaku, kini punca yang lain harus dicari. Apakah LPKP, JPJ, Polis juga bersifat musang berbulu ayam seperti bekas TKP Imigresen itu? SPRM jengok-jengoklah ke dalam permasalahan ini. Lakukanlah siasatan forensik dalam LPKP, JPJ, Polis dan lain-lain. Mengapa mereka benarkan bas-bas ini dipandu oleh pemandu yang sering kali mempunyai masalah.
Baru-baru ini Utusan Malaysia, untuk sekian kalinya, membuat tinjauan mengenai teksi di ibu kota. Kesimpulan daripada tinjauan itu ialah pemandu teksi kita adalah antara yang berperangai paling buruk di dunia. Tapi apa tindakannya. Tak nampak?
Oleh itu, marilah kita, once and for all, terbuka dalam hal ini. Keadaannya kini sudah menjadi barah. Jika di negara maju, berita yang kita dengar keesokkan harinya ialah pihak-pihak di LPKP itu akan meletak jawatan!
Pesta bola di Jakarta dan Kuala Lumpur
DIKHABARKAN oleh seorang sahabat yang baru pulang dari Jakarta, pesta sedang berlangsung di sana. Setiap toko atau kedai sudah memasang bendera. Bukan bendera untuk hari kebangsaan, tapi merayakan hari besar perlawanan akhir Indonesia menentang Malaysia dalam Piala Suzuki AFF 2010, mulai Ahad ini. Mereka cukup teruja. Semua orang bercakap mengenainya. Malah sudah tentu dua juta rakyat Indonesia - sah atau PATI - yang berada di negara ini juga akan menanti-nanti perlawanan akhir pertama antara kedua-dua negara itu.
Malaysia akan menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur Ahad ini. Dianggarkan stadium itu akan penuh. Kedua-dua penyokong merah (Indonesia) dan kuning (Malaysia) akan memenuhi stadium itu.
Sesungguhnya di kotaraya Jakarta sekarang, di saat ini, suasananya sungguh meriah sekali. Bapak Presiden SBY serta seteru politiknya, Mergawati bersama-sama akan menyokong pasukan mereka.
Bagi orang Indonesia inilah masanya mereka mahu mengganyang Malaysia dalam erti kata sebenar -- di atas padang.
Malaysia pula wajib mempertahankan maruah kita atas semangat Harimau Muda!
Terima kasih diucapkan kepada RTM yang akan menyiarkan secara langsung final pusingan pertama Malaysia menentang Indonesia, Ahad ini, 8 malam. Kita berharap perlawanan kedua di Jakarta pun dapat disiarkan secara live (bukan siaran tertunda).
0 Jangan panang mudah hal tandas. Ketiadaan tandas buat negara berbelanja RM169 bilion setiap tahun
India rugi RM169.31 bilion akibat kurang tandas, cara hidup tidak bersih
NEW DELHI 21 Dis. - Masalah kekurangan tandas dan cara hidup yang tidak bersih di India menyebabkan negara kuasa ekonomi ketiga terbesar di Asia itu kerugian sebanyak AS$54 bilion (RM169.31 bilion) setiap tahun, kata Bank Dunia semalam.
Kekerapan kematian bayi pramatang dan kos rawatan pesakit hanya merugikan masa serta melemahkan produktiviti selain turut melumpuhkan industri pelancongan di negara ini, tambah laporan Bank Dunia itu.
"Sejak berdekad lalu, kami menyedari tentang kekurangan tandas dan masalah sanitasi di India.
"Laporan yang kami terima menunjukkan India mengalami kemelesetan ekonomi dan kanak-kanak serta penduduk miskin tinggal dalam keadaan sistem sanitasi yang teruk," kata Ketua Program Air dan Sanitasi Selatan Asia bagi Bank Dunia, Christopher Juan Costain.
Laporan Bank Dunia itu menambah, masalah kesihatan yang dialami rakyat adalah punca utama berlakunya kemelesetan ekonomi di India.
Beberapa pakar dalam laporan Bank Dunia itu berkata, seramai 450,000 kematian daripada 575 juta kes cirit-birit dilaporkan berlaku setiap tahun di India.
Menurut laporan itu, masih ramai penduduk di bandar dan di luar bandar yang membuang air besar di merata tempat, tidak mencuci tangan dan diselubungi masalah sistem perparitan yang sangat daif.
Kos rawatan pesakit akibat penyakit cirit-birit, malaria, trakoma, cacing di dalam usus dan kematian akibat bayi pramatang menyebabkan India terpaksa berbelanja sebanyak AS$38.5 bilion (RM121.12 bilion) setiap tahun.
Selebihnya kos sebanyak AS$10.7 bilion (RM33.66 bilion) lagi adalah akibat daripada kerugian masa yang banyak dihabiskan untuk mencari tandas awam serta terpaksa membuang air besar di merata tempat berbanding jika seseorang itu mempunyai tandas sendiri yang bersih dan selesa di rumah sendiri.
Kekurangan tandas di bangunan sekolah dan pejabat juga merupakan punca pelajar perempuan serta pekerja wanita sering tidak hadir atau ponteng sekolah dan pejabat hanya kerana mereka berasa tidak selesa. - REUTERS
